09 Disember 2011

ISU PENYAKIT : PENJAGAAN KESIHATAN MENTAL PESAKIT AIDS

Penulis ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Sudah  hampir 30 tahun penyakit AIDS dan jangkitan HIV bertapak di negara ini dan masyarakat kita sudah amat maklum dan mengetahui apakah sebenarnya jangkitan ini, bagaimana ia boleh tersebar dan kesan tragis yang bakal dibawa dengan penyakit ini. Bagaimanapun hakikatnya, jangkitan HIV masih lagi meningkat, walaupun rawatan yang ada dapat mengurangkan kesan buruk komplikasi HIV/AIDS, namun masyarakat belum boleh merasa selesa dengan perkara ini. Masih banyak perlu dilakukan dalam mempertingkatkan aspek pencegahan penularan dan jangkitan virus ini kepada orang lain. Malah, dari segi rawatan dan penjagaan kesihatan penyakit ini, aspek utama pemulihan belum menyeluruh, kerana ia masih tertumpu di peringkat pemulihan aspek biologi dan fizikal sahaja. Sedangkan sebagai seorang individu, pesakit menyedari bahawa wujud keperluan mengisi segala ruang kekosongan demi pemulihan diri secara total, meliputi aspek mental, emosi, sosial, ekonomi dan spiritual.

Tetapi perkara inilah yang sering tidak menjadi keutamaan dalam aspek pemulihan. Apabila wujudnya keperluan seperti ini, menunjukkan proses pemulihan tidak wajar tertumpu di satu-satu aspek diri individu pesakit, pada peringkat tertentu kehidupan mereka atau melibatkan sesebuah agensi masyarakat sahaja. Ia mungkin akan menjadi tanggungjawab pelbagai peringkat dan agensi lain, malah akan menjadi tanggungjawab seluruh anggota masyarakat. Kemungkinan besar inilah trennya. Persoalannya, adakah masyarakat kita sudah terbuka fikirannya dan bersedia menyambut dan menerima kewujudan pesakit HIV/AIDS di dalam lingkungan kehidupan mereka, atau sebahagian dari anggota masyarakat mereka? Sudah pasti akan timbul pelbagai persoalan dan jawapan, namun perlu diingat, setiap individu yang ada sekarang ini berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan HIV yang biasanya atau secara sinonimnya akan berakhir dengan penyakit AIDS. Kajian epidemiologi mendapati jangkitan HIV/AIDS kini turut menjangkiti golongan tidak berisiko tinggi terlibat dengan gaya hidup dan tingkahlaku negatif dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan.

Ia turut menjangkiti suri rumah sepenuh masa, kanak-kanak yang tidak bersalah, yang masih lagi di peringkat awal persekolahan seperti di tadika dan taska. Apakah masyarakat masih lagi tergamak untuk memandang serong kepada golongan seperti ini? Adakah masyarakat masih lagi takut, gentar atau malu untuk berdepan dengan mereka? Inilah di antara beberapa stigma yang masih wujud dan melanda pemikiran anggota masyarakat dalam menghadapi isu ini yang sewajarnya diperbaiki. Menghapuskan stigma seperti ini juga merupakan antara objektif mengapa diadakan sambutan Hari Aids Sedunia pada setiap 1 Disember setiap tahun, di samping memperjuangkan hak pesakit untuk mendapatkan rawatan terbaik secara penuh adil serta dapat memperingati insan tersayang yang telah pergi dahulu buat selama-lamanya akibat penyakit ini. Sementara tema pada peringkat Pertubuhan Bangsa Bersatu atau UNAIDS bagi tahun ini pula menyasarkan matlamat tidak akan ada lagi jangkitan baru HIV di dalam masyarakat, tiada lagi kematian akibat AIDS dan tidak wujud lagi diskriminasi terhadap pesakit HIV/AIDS dan keluarga mereka.

Jika ditinjau dari aspek pemulihan pula, rawatan dan penjagaan kesihatan pesakit bagi pemulihan yang menyeluruh masih jauh untuk dicapai. Kita membicarakan model pemulihan dan rawatan yang menyeluruh bagi segenap aspek dan kejadian individu sebagai seorang insan kamil. Tidak dinafikan, penjagaan kesihatan moden dan ubatan menunjukkan pencapaian cemerlang dalam meningkatkan tahap kesihatan dan memanjangkan jangka hayat mereka. Tetapi pemulihan sebagai satu proses tidak wajar terhenti apabila mereka keluar dari wad- wad hospital atau klinik. Tambahan pula, aspek penjagaan dan pemulihan masalah kesihatan mental yang pada hakikatnya perlu turut diberi keutamaan, tetapi seringkali terabai berbanding pemulihan fizikal. Sememangnya sudah banyak kajian dilakukan di banyak negara maju yang mendapati pesakit HIV/AIDS berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan kesihatan mental dan pelbagai penyakit neuropsikiatri lain walaupun rawatan diterima berjaya meningkatkan tahap penyembuhan dan memperbaiki kesihatan fizikal mereka.

Namun kualiti kehidupan mereka sebagai seorang individu menurun kerana masalah mental yang tidak dirawat itu. Sudah pasti seseorang yang ditimpa jangkitan dan penyakit ini akan berasa gundah, sedih, kecewa, rasa bersalah, keliru, takut, risau dan bimbang terhadap penyakit dan tahap kesihatan serta masa depan diri dan keluarga mereka. Bukan setakat itu, jangkitan yang dialami pula akan mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan terhadap otak dan sistem saraf dan ia akan mengakibatkan gangguan neuropsikiatri lain. Sebahagian besar penghidap dan pesakit HIV/ AIDS akan mengalami kerosakan fungsi kognitif otak mereka yang boleh membawa kepada masalah dementia, ada juga yang mula menghidapi gangguan psikotik yang tidak pernah dialami sebelum mengalami jangkitan ini, dan selebihnya pula mengalami gangguan mood dan efek seperti kemurungan dan kebimbangan serta mania depresif dan sebagainya. Hasil kajian juga mendapati masalah kesihatan mental mereka menjejaskan proses pemulihan kesihatan fizikal mereka, di samping meningkatkan risiko jangkitan kepada orang lain pula.

Malah, kerosakan fungsi kognitif otak yang dialami didapati meningkatkan pula risiko mortaliti di kalangan pesakit seperti ini. Bagi memastikan masalah kesihatan mental ini tidak berlaku, rawatan awal penting kerana ia dapat menghalang penyakit dari menjadi lebih kronik atau serius dan akhirnya sukar untuk dirawat. Tetapi adakah semua pesakit memiliki peluang dan hak yang sama untuk menerima rawatan dan ubatan yang sama? Adakah mereka mempunyai kekuatan tubuh badan dan mental yang sama untuk menghadapi situasi seperti ini? Hakikatnya, ujian tapisan bagi menentukan status kesihatan mental di kalangan mereka pula bukannya menjadi amalan ujian rutin dalam menentukan kaedah rawatan terbaik kepada pesakit seperti mereka. Menjadi tugas dan tanggungjawab siapakah ini untuk memastikan bahawa mereka turut menerima bentuk rawatan dan pemulihan gangguan mental dan emosi yang dialami akibat dari jangkitan ini? Namun program rawatan yang terbaik tetap perlu diaturkan dan diteruskan untuk mereka.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 DISEMBER 2011


ISU IPT : PENGIKTIRAFAN KEPADA ORANG MUDA

Oleh Ruhaiza Rusmin


Akhirnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sentiasa hangat dan kontroversi di kalangan mahasiswa dipinda bagi memberi kelonggaran golongan itu berpolitik. Pindaan itu ibarat satu kemenangan peribadi kepada mahasiswa yang selama ini berjuang mendapat kebebasan berpolitik dan bersuara. Apakah pindaan ini bakal membawa dimensi baru kepada golongan itu bagi memartabatkan peningkatan minda mahasiswa terhadap perjalanan politik negara atau sebaliknya? Atau apakah pindaan AUKU mampu mengembalikan kegemilangan zaman mahasiswa era 70-an yang gah dengan pelbagai isu dan perjuangan? Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Zaid Ahmad, berkata pindaan itu mencerminkan keprihatinan pihak terbabit mahu melahirkan mahasiswa alaf baru yang peka, rasional, berani dan matang dalam menilai perjalanan politik. Beliau berkata, meskipun pindaan itu bukan secara keseluruhan, ia cukup memberi kebebasan bersuara dalam menzahirkan sesuatu isu selain kepentingan memberi bimbingan secara betul.

Pindaan itu ibarat bonus kerana selama ini berada dalam situasi dikongkong dan terikat jika mahu melahirkan pendapat mengenai sesuatu isu politik. Kini, halangan itu tiada menjadikan hak bersuara semakin bebas. Meskipun aspek kepartian di kampus masih tetap dilarang, pembaharuan ini permulaan yang baik bagi golongan itu mencerminkan tahap intelektual dalam isu politik berbangkit. Ia memberi senario sebenar mengenai politik dari kaca mata mahasiswa, masyarakat dan individu. Namun, lebih penting ia memberi bimbingan kepada golongan itu dengan cara betul dan teratur, “ katanya. Pindaan itu membolehkan mahasiswa lebih terbuka dalam mengutara atau terbabit dalam perjalanan isu politik negara selain merealisasikan hasrat mereka menjadi sebahagian kelompok masyarakat sebenar. AUKU yang digubal pada 1971 dijadikan ‘senjata’ untuk mendiamkan mahasiswa daripada terus lantang mengkritik kerajaan atau dijadikan kuda tunggangan golongan berkepentingan.

Akta ini diusulkan selepas kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 bagi mengekang peranan pelajar terutamanya pembabitan mahasiswa dalam pilihan raya 1969. Ironinya, AUKU sering kali dikaitkan dengan kebangkitan mahasiswa pada era 1960 an yang ketika itu terlalu lantang mengkritik dan berdemonstrasi. Pada 1940-an, semangat berpolitik berpunca pengalaman mahasiswa dengan suasana Perang Dunia Kedua yang turut ditempuhi Tanah Melayu manakala kelantangan mahasiswa era 1950-an akibat pengalaman era kemerdekaan. Era 1960-an dan 1970-an pula menyaksikan kebangkitan mereka didasari pengalaman bekerja sebagai guru pendidik di luar bandar sebelum melanjutkan pengajian di universiti hingga menimbulkan kesedaran nasional.  Ditanya adakah pindahan itu akan menyebabkan perkara sama berlaku, beliau berkata tidak boleh membandingkan senario mahasiswa dulu dan kini kerana mereka berbeza era serta ideologi. Dulu, kemungkinan untuk menyuarakan segala pendapat atau isu sangat terhad, hanya melalui medium tertentu saja mereka mampu menyampaikan idealisme.  

Masyarakat pada waktu itu mungkin juga tidak terdedah seperti hari ini. Keadaan sekarang berbeza, masyarakat lebih terbuka manakala segala sumber maklumat bagaikan berada di hujung jari. Mahasiswa juga sudah semakin matang dan bijak menilai. Apa yang diingini mahasiswa hanyalah pengiktirafan, justifikasi yang betul serta tidak keterlaluan dikongkong kerana mereka juga manusia.  Kongkongan itu hanya menyebabkan keadaan bertambah buruk. Secara amnya, politik boleh dibahagikan kepada dua iaitu politik kuasa dan nilai yang sangat berbeza kepentingannya. Politik kuasa merujuk kepada kekuasaan manakala nilai pula tidak mementingkan kemuncak kekuasaan sebaliknya keadilan hak, kebebasan, hak bersuara, hak berkumpul, hak berpersatuan, hak untuk hidup, hak untuk menikmati pembangunan. Mahasiswa kebiasaannya lebih tertumpu pada politik nilai kerana tahu di mana tahap kemampuan mereka. Malangnya masyarakat pula tidak tahu dan menganggap, jika terbabit dalam politik bermakna mereka menyebelahi parti tertentu.

Stigma itu perlu diperbetulkan kerana bertentangan dengan definisi politik sedangkan ia mencakupi makna luas bukan hanya mementingkan kekuasaan, keistimewaan atau kekebalan, sebaliknya pembelajaran sepanjang hayat. Merujuk kepada mahasiswa yang disifatkan sebagai bangsa terpelajar, mempunyai gagasan pemikiran dan tindakan, beliau berkata, pembabitan dalam politik adalah pembelajaran paling mudah membantu golongan terbabit memahami lebih mendalam proses serta struktur pentadbiran negara. Terbabit dengan politik bukan bermakna lantang menolak kepimpinan sedia ada atau menjadi orang tengah bagi pihak tertentu, ia turut menjurus kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat dan lebih praktikal. Malah, ia lebih baik kerana mereka dapat merasai suasana sebenar. Perkongsian maklumat bersifat akademik dan tidak menggugat keamanan boleh melahirkan generasi cemerlang serta berwibawa pada masa depan. Justeru, tidak perlu disekat keterlaluan kerana ini akan ‘membunuh’ nilai kepimpinan mereka.

Paling penting, berikanlah mereka bimbingan. Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Ahmad Muzzammil Muhd Hairi, berkata pindaan itu bakal melonjakkan lagi kewibawaan dan kualiti mahasiswa. Sebagai golongan intelektual, katanya mereka mahukan kebebasan dalam melahirkan pendapat dan tidak disekat kerana boleh merencatkan pengembangan minda. Mahasiswa adalah barisan hadapan yang bakal mengemudi negara, mereka perlukan pengalaman bagaimana menjadi generasi pelapis. Jika semuanya disekat, ia sukar dicapai. Sekatan akan menjadikan mereka tambah ekstremis, bukan itu yang diperlukan negara. Pindaan dilakukan diharap mampu melahirkan mahasiswa cemerlang. “Kami hanya mahu diiktiraf secara adil sebagai pemerhati dan memperjuangkan nilai positif di kalangan masyarakat terutama generasi muda,” katanya. Bagaimanapun dia berharap pindaan itu bukan gimik semata - mata bagi mengaburi pihak tertentu. “Kami adalah aset, jika diperkotak katikkan, sama seperti memusnahkan masa depan negara,” katanya.

INFO:

AUKU yang diwartakan pada 24 Februari 1971 dan diluluskan Parlimen pada 17 Mac 1971 sudah beberapa kali dipinda pada tahun berlainan seperti 1971 (Akta 80) , 1975 (Akta A295), 1983 (Akta A550), 1996 (Akta A496).  Bagaimanapun pindaan yang dibuat pada 1975 paling ketara kerana ia melarang sama sekali mahasiswa terbabit dalam politik. Kali terakhir AUKU dipinda pada 2009.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 DISEMBER 2011


08 Disember 2011

ISU REMAJA : PERKASA REMAJA MAMPU GILAP POTENSI DIRI

Oleh MD. AZRIN ROSLY
pengarang@utusan.com.my


Program Perkasa Remaja yang telah berjalan sejak 2009 sehingga kini telah menunjukkan kesan-kesan positif dalam mengilap potensi diri remaja negara. Pengarah Pusat Pemerkasaan Remaja (Perkasa), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Samsudin A. Rahim berkata, golongan remaja daripada keluarga berpendapatan rendah di bandar mempunyai potensi, cuma tidak berpeluang seperti mereka yang dilahirkan dalam keluarga yang berkemampuan. Perkasa sedang menjalankan dua program iaitu Kem Perkasa berkonsepkan pemulihan dan Komuniti Perkasa pula bersifat pencegahan yang mana membendung golongan remaja daripada melakukan perkara-perkara yang negatif. Buat masa ini, Kem Perkasa berjalan selama dua bulan telah diadakan sebanyak tiga kali dengan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Felda dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membangunkan nilai kendiri remaja berkaitan harga diri, tanggungjawab, membuat keputusan dan pendedahan kemahiran.

Perkasa dengan kerjasama Permata Negara, Jabatan Perdana Menteri, berperanan menjalankan penyelidikan dan intervensi untuk pemerkasaan demi membina generasi muda berkeyakinan, bersifat dinamik dan mempunyai jati diri yang mantap. Tambah Samsudin, kem itu bagi mengubah gaya hidup peserta agar mereka dapat memenuhi masa lapang dengan melakukan aktiviti yang lebih positif dan tidak lagi terlibat dengan aktiviti Mat Rempit. Selepas menghadiri kem ini, mereka akan disalurkan kepada program jangka panjang lain. Kem ini diharap dapat menimbulkan kesedaran dan hala tuju yang positif kepada peserta. Komuniti Perkasa pula terdiri daripada remaja berumur 15 hingga 25 tahun di bandar yang mengalami kekurangan dari segi kemudahan dan peluang di tempat tinggal mereka dalam mengisi masa lapang secara positif. Samsudin berkata, pada masa ini terdapat dua pusat iaitu Pusat Komuniti Permata Perkasa Remaja di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai dan PPR Pantai Ria, Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Penaung Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor baru-baru ini.

Pusat ini dibuka setiap hari yang telah bermula pada 29 Januari 2010 dengan kerjasama persatuan penduduk setempat. Pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti kelas membuat dan menghias kek, vokal dan muzik, Fun English, Musabaqah Al-Quran dan fotografi yang menempatkan lebih kurang 20 orang setiap kelas. Selain mendapat kemahiran, mereka didik dengan modal sosial yang dapat membantu mencapai cita-cita hidup dan tidak mudah terbabit dalam pelbagai gejala sosial. Komuniti Perkasa menyasarkan untuk meningkatkan 25 modal sosial yang merupakan aset penting di kalangan remaja terlibat. Katanya, remaja itu juga menggunakan pusat ini bagi membuat kerja rumah dengan kehadiran pembimbing daripada UKM untuk membantu. Program ini merupakan projek rintis bagi kami mengkaji dalam dua hingga tiga tahun dan sekiranya hasilnya berjaya, ia akan diperluaskan di tempat-tempat lain. Kita harap pada 2013, dapat bukti dan keyakinan bahawa program ini berjaya membantu mengilap remaja negara dari segi jangka masa pendek dan panjang.

Pusat komuniti ini dapat menghalang mereka daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan terjebak dalam masalah sosial kerana kebanyakannya mereka adalah dalam kategori at risk youth. Jelasnya, kebanyakan mereka yang terlibat dalam salah laku tidak mempunyai modal sosial yang penting dalam hidup. Dalam kelas-kelas yang disediakan, kami akan memupuk modal sosial mereka dari segi disiplin, kerjasama, tanggungjawab, kepimpinan. Contohnya, dalam kelas membuat kek, mereka perlu datang pada waktu yang ditetapkan untuk belajar dan jika tidak mereka akan ketinggalan. Akhirnya, pusat komuniti ini akan diserahkan kepada masyarakat iaitu persatuan penduduk. Kita sedang membuat kajian dan melihat kesan dan pulangan daripada program ini serta kos efektifnya sama ada mampu diuruskan oleh komuniti atau tidak. Jika ia berhasil, kita akan serah modul ini, bagaimana mahu mengukur tahap kemahiran, modal sosial dan potensi diri remaja kepada kerajaan tempatan seperti DBKL.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
8 DISEMBER 2011



ISU PENDIDIKAN : PEMIKIRAN SAINS BAGI SETIAP SISWAZAH

TAN SRI DR. NORDIN KARDI
Penyandang Kursi Za‘ba
Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Pada 1970-an, ramai pelajar di tingkatan enam berasa lega apabila negara membuka Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebabnya, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di universiti itu. Para pelajar yang memasuki tingkatan satu sekolah menengah kebangsaan tanpa perlu lulus peperiksaan darjah enam pada 1965, dan melalui pula peperiksaan objektif dengan menanda kertas OMR pada 1967, mengakui bahasa Inggeris mereka lemah meskipun semasa tingkatan enam mereka wajib lulus General Paper (Kertas Am) dalam bahasa Inggeris bagi mereka lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Dengan kelulusan itu mereka boleh memasuki universiti, sangat gementar memasuki Universiti Malaya yang bahasa pengantarnya bahasa Inggeris. Namun apabila mereka memasuki UKM, mereka dari jurusan Sains Sosial atau Sastera ditakutkan pula oleh mata pelajaran Kenegaraan Malaysia yang terkandung pelajaran Sains dan calon sains pula ditakutkan dengan kandungan sastera dan pengajian Islam dalam mata pelajaran tersebut. Begitulah buah fikiran pengasas-pengasas UKM yang mahukan siswazah yang dikeluarkan mempunyai fikiran liberal.

Menghasilkan siswazah berfikiran liberal menjadi teras utama pengajaran di UKM ketika itu. Mata pelajaran itu pula tidak diajar oleh seorang pensyarah sahaja, sebaliknya oleh beberapa orang pensyarah secara berkongsi. Mereka pula dipilih oleh pengurusan universiti dalam kalangan pensyarah yang paling kanan. Antara pensyarahnya termasuklah Allahyarham Profesor Ghazali Abdul Rahman, Profesor Khoo Kay Kim dan beberapa orang lagi. Hasilnya siswazah UKM pada zaman itu dapat memahami adanya jambatan antara dua dunia ilmu yang dipecahkan oleh pihak berkuasa seawal calon berusia 16 tahun. Pemecahan aliran pemikiran itu diwarisi hingga ke hari ini tetapi model UKM berkenaan dilarutkan oleh arahan dari luar yang saban hari memikirkan cara menyeragamkan universiti untuk memudahkan pemantauan. Model itu nampaknya digantikan dengan buah fikiran baru seperti Kemahiran Insaniah, Pengajian Asia Tenggara, Tamadun Islam dan macam-macam lagi dimasukkan ke dalamnya. Hal ini dikatakan penting demi keboleh pasaran siswazah. Beza aliran pemikiran pengasas-pengasas UKM dengan pemikir kurikulum universiti di Malaysia pada hari ini amat nyata.

Pemikir pengasas UKM lebih menekankan alat asas kerangka pemikiran (sains, sastera dan Islam) supaya apabila mereka menjadi siswazah nanti, mereka amat celik pelbagai disiplin ilmu guna menyelesaikan pelbagai masalah dunia, sedangkan premis pemikir kurikulum semasa nampaknya lebih kepada mengupayakan mereka menarik perhatian golongan penemuduga yang mewakili majikan. Pemikir universiti sekarang seperti mengandaikan penemuduga yang mewakili majikan akan memilih calon berpakaian elok dan tidak menjolok mata, warna pakaian yang secocok antara seluar, baju dan kasut, tali lehernya kemas, bercakap sopan, tidak membantah dan banyak lagi aspek-aspek luaran. Mata pelajaran yang mengandungi semua keperluan itu diajar oleh pensyarah yang tidak perlu kuat disiplin utama ilmu seperti Fizik, Kimia, Sejarah, Matematik, Usuluddin, Syariah atau yang seumpamanya seperti Profesor Ghazali dan Profesor Khoo Kay Kim. Ringkasnya, pemikir pengasas dulu menekankan keupayaan menggunakan disiplin ilmu, sementara pemikir sekarang menekankan tarikan pandang pertama wakil majikan.

Tujuan saya menyentuh hal ini adalah untuk menghibur kerisauan mengenai adanya siswazah yang tidak dapat berfikir menggunakan disiplin ilmu yang kuat. Sudah empat semester saya kembali mengajar untuk empat angkatan kumpulan pelajar sarjana, saya terasa ada sesuatu perlu dibekalkan sebelum mereka diijazahkan. Aplikasi pelbagai ilmu dalam menyelesaikan pelbagai masalah seperti tidak terisi. Para pelajar sarjana itu sendiri mengakui terkejut apabila saya lebih menekankan aplikasi pelbagai disiplin ilmu itu dalam menghadapi sesuatu kes. Seperti terkesan tiadanya kerangka pemikiran sains, walaupun mereka sedang mempelajari metodologi penyelidikan peringkat sarjana. Apabila baru-baru ini saya berbual sambil minum pagi dengan rakan saya Profesor Mustamam Abdul Karim, seorang profesor fizik yang juga bekas Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, kepercayaan saya menjadi semakin kuat bahawa setiap mahasiswa mesti dibekalkan dengan alat kerangka pemikiran sains tulen. Mereka mesti diajar beberapa perkara pokok dalam sains, matematik, fizik, astronomi, biologi dan sebagainya.

Amat janggal jika nanti ada seseorang yang mempunyai ijazah Doktor Falsafah dan bertaraf Profesor dalam bidang yang bukan sains di universiti tetapi buta kayu mengenai perkara-perkara asas fizik seperti teori kuantum, relativiti dan chaos, matematik algebra, tidak tahu membezakan antara bintang dengan planet, tidak pernah mendengar tentang milky way, big bang, genetik dan lainnya. Semasa perbualan kami, Mustamam menyentuh isu Lynas di Gebeng, Pahang yang dipolitikkan oleh ustazah politik yang seperti jahil sains tetapi mendapat sambutan daripada golongan yang dijahilkan oleh ketua-ketua yang memimpin mereka. Kejahilan mereka pula tidak boleh diperbetulkan oleh orang yang tahu, kecuali dibetulkan oleh salah seorang daripada mereka. Dalam kes Lynas itu negara bernasib baik kerana ada ahli politik yang waras dan merasa resah jika dia tidak menyatakan kebenaran. Tuduhan bahawa projek Lynas di Pahang itu bakal membawa bencana bahan buangan nuklear diperbetulkan oleh Ahli Parlimen Pas Hulu Langat Dr. Che Rosli, yang berkelulusan sains nuklear.

Ini adalah contoh hidup yang amat nyata akan pentingnya setiap rakyat atau siswazah khususnya mempelajari prinsip sains terus ke pangkal disiplin sains berbanding mencuri-curi disiplin itu yang diubah suai menjadi, misalnya, statistik sains sosial atau kaedah penyelidikan kuantitatif tanpa memahami asal usulnya. Mustamam menerangkan kepada saya hebatnya rare earth yang akan dihasilkan di Lynas yang boleh menjana tenaga untuk kegunaan yang besar dan tempoh panjang bagi Malaysia dan dunia. Pengeluar lain yang ada hanya negara China yang sentiasa mengawal nilai keluaran yang kemudiannya akan memonopoli pasaran. Malaysia akan jadi pengeluar di luar China dan akan dicemburui, tapi ada orang Malaysia tidak melihatnya sebagai rahmat untuk ramai. Apa pun saya dan Mustamam berjanji bertemu lagi dan berbincang sesuatu mengenainya untuk negara. Beliau ahli fizik dan saya psikologi, terasa seperti menyamai perbincangan antara Einstein dan Freud suatu masa dahulu yang diterbitkan menjadi Einstein-Freud Correspondence untuk cuba memahami mengapa manusia suka berperang, memahami instinct and survival dan memperkukuhkan teori psychodynamic yang berasal daripada teori fizik thermodynamic.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
8 DISEMBER 2011



06 Disember 2011

ISU UMUM : JANGAN BIAR GELAGAT ORANG AFRIKA DI MALAYSIA PIJAK KEPALA KITA


Insiden terbaru membabitkan warga Afrika mengganas di Mantin, Negeri Sembilan pada 5 Disember 2011, sekali lagi mencetuskan perbahasan sama ada kehadiran rakyat asing di negara ini, khususnya dari benua terbabit sudah terlalu ramai sehingga tidak terkawal. Insiden berkenaan yang membabitkan pergelutan warga Afrika dengan pegawai Imigresen yang sedang melakukan operasi membanteras pendatang tanpa izin, menyusuli kejadian di Hospital Kuala Lumpur yang menyaksikan anggota polis terpaksa menembak mati seorang penyeludup dadah warga Nigeria yang mengamuk ketika menerima rawatan. Bagi berlaku adil kepada warga Afrika yang berada di negara ini sama ada sebagai pelajar, pekerja atau pelancong asing, insiden seumpama dua kes dipetik di atas bukanlah sesuatu yang kerap berlaku.

Namun kerana insiden berkenaan berlaku dua hari berturut-turut, ia menjadi besar dan mencetuskan perbualan dalam kalangan masyarakat mengenai isu warga Afrika ini. Rakyat negara ini secara amnya, menyambut dengan tangan terbuka kedatangan pelawat asing, termasuk dari benua Afrika ke negara ini. Kehadiran mereka ini bukan saja bermakna pendapatan mata wang asing negara akan bertambah, tetapi ia juga bererti ia akan mendedahkan warga tempatan kepada budaya dan cara hidup warga asing asing ini, seterusnya memperkayakan budaya kita sendiri. Dalam pada kita menghormati dan menerima perbezaan ini, kita juga mengharapkan orang luar turut melakukan yang sama. Lebih-lebih lagi sebagai pelawat, mereka harus tidak menyinggung kita dengan melanggar sensitiviti penduduk tempatan. Janganlah pula warga asing ini apabila sudah diterima untuk duduk dalam kalangan masyarakat tempatan, cuba pula menegakkan di sini cara hidup mereka yang tidak bersesuaian dengan nilai tempatan.

Sudah banyak rungutan kita dengar berhubung sikap sesetengah warga Afrika ini yang tidak menghormati pantang larang masyarakat negara ini berhubung meminum arak di tengah khalayak. Banyak rungutan juga kita dengar berhubung pergaulan bebas sesetengah warga Afrika ini dengan wanita tempatan, khususnya gadis Melayu tanpa menghormati pantang larang agama kita. Sikap tidak peka dan tidak menghormati cara dan nilai hidup masyarakat tempatan ini sudah tentu mengundang sesuatu yang tidak baik. Kesudahannya tangan yang terbuka, menjadi pula tertutup terhadap warga Afrika ini. Sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap pihak berkuasa bersikap tegas terhadap kumpulan pelawat ini dan melancarkan lebih banyak operasi bagi memberkas kalangan mereka yang melanggar syarat kemasukan ke negara ini dan seterusnya mengusir mereka.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
6 DISEMBER 2011

ISU KENEGARAAN : PERLEMBAGAAN IKAT SETIAP WARGA NEGARA

Shamrahayu A Aziz
Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Kebebasan patut seiring tanggungjawab 
jaga keharmonian majoriti rakyat

Adakah Perlembagaan Persekutuan terpakai dan mengikat semua rakyat Malaysia? Apa akan terjadi sekiranya saya tidak mahu diikat kerana tiada peruntukan yang menghendaki kita mengikuti semua peruntukannya? Terkejut juga saya ketika diaju soalan ini pada sesi soal jawab diskusi berkaitan Perlembagaan Persekutuan. Selepas ditanya lebih panjang kenapa persoalan sebegini diajukan, orang yang bertanya menyatakan ketidakpuasan hati terhadap beberapa peruntukan perlembagaan. Secara khusus, beliau menyebut mengenai peruntukan berkaitan sekatan yang boleh dibuat ke atas Perkara 10 dan 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu peruntukan yang menjamin kebebasan berhimpun secara aman dan kebebasan beragama. Secara jujurnya persoalan sebegini tidak pernah terlintas di fikiran saya. Mungkin kerana saya mengambil mudah mengenai penerimaan dan pemakaian peruntukan perlembagaan. Saya terlepas pandang mengenai isu penting ini.

Pada anggapan saya, semua ahli masyarakat sedia maklum mengenai peranan perlembagaan dan tanggungjawab setiap individu terhadap perlembagaan. Pada anggapan saya juga, semua ahli masyarakat sedar mereka hendaklah mengikat diri dengan perlembagaan tanpa sangsi walaupun jelas perlembagaan tidak menyediakan peruntukan khusus mewajibkan setiap orang mengikatkan diri dengannya. Saya menganggap perbuatan menghormati perlembagaan bukan saja menampilkan semangat patriotisme, tetapi ia juga tanggungjawab wajib yang perlu dilaksanakan setiap warga negara. Malah, mereka yang bukan warga negara juga terikat dengan prinsip ini. Saya sediakan sedikit ulasan untuk dikongsi dengan pembaca kerana persoalan terbabit begitu penting. Secara umumnya tujuan undang-undang ialah mengawal selia kehidupan manusia. Ia juga diwujudkan untuk membetulkan atau menebus kesalahan serta menyelesaikan pertelingkahan.

Undang-undang mengikat manusia kepada satu sistem yang boleh menjamin kehidupan selesa dan juga penuh kehormatan. Undang-undang tidak boleh dikatakan sebagai penghalang aktiviti masyarakat. Ialah adalah pemangkin kepada aktiviti masyarakat. Disebabkan peranannya begitu besar, maka undang-undang mempunyai semangat dan nilai tersendiri. Sebagai contoh, undang-undang boleh menjadikan sesuatu perbuatan yang memberi kesan negatif ke atas orang lain atau masyarakat sebagai satu jenayah yang boleh dihukum. Ini bagi membolehkan setiap ahli masyarakat secara individu atau berkelompok, dihargai kewujudan dan kehormatannya. Tiada orang yang lain boleh meragutnya tanpa sebarang tindakan undang-undang. Oleh itu, setiap orang terikat dengan undang-undang. Mengenai tanggungjawab mengikat diri dengan perlembagaan, perkara pertama yang perlu kita ingat dan semat di dalam hati; perlembagaan ialah undang-undang tertinggi negara. Mengapa?

Jawapan di atas kertas seorang pelajar undang-undang perlembagaan mungkin menyatakan setiap undang-undang lain hendaklah menepati peruntukan perlembagaan. Mungkin ini agak rumit untuk pembaca umum. Bagi umum, jawapan perlembagaan sebagai simbol kemerdekaan dan kedaulatan negara lebih bermakna. Tanpa perlembagaan, kita tidak dapat menjadi negara merdeka berdaulat dalam sistem negara bangsa yang diamalkan dunia. Perlembagaan juga manifesto negara. Ia menampilkan ciri pentadbiran dan negara bangsa yang mahu dibina. Perlembagaan juga dokumen yang mencipta institusi negara, iaitu badan kehakiman, badan perundangan dan badan pelaksana. Ia mengiktiraf dan meletakkan kesinambungan kepada institusi tradisi, iaitu institusi raja.

Bukan saja mencipta dan mengiktiraf kelangsungan institusi ini, perlembagaan menggariskan kuasa dan peranan semua institusi berkenaan. Setelah itu, perlembagaan juga menyekat kuasa institusi itu supaya setiap sesuatu yang bergerak dalam orbit menghormati kedaulatan undang-undang, termasuk kebebasan rakyat. Walaupun tidak berpuas hati dengan peruntukan sedia ada, kita tidak harus mementingkan diri sendiri dan mahu meragut kewujudan dan kehormatan orang lain. Kebebasan sentiasa berkembar dengan tanggungjawab kita. Maka sekatan yang dibenarkan perlembagaan mempunyai alasan, semangat dan nilai tersendiri. Cuma, apa yang kita harapkan ialah pelaksana peruntukan perlembagaan menjalankan kuasa dan peranan dalam konteks yang diinginkan prinsip perlembagaan. Kita tidak harus mengasingkan diri daripada perlembagaan.

Perlembagaan Persekutuan menentukan kelangsungan sistem negara. Ia menjadi panduan dan piawaian kepada tindakan setiap institusi dan menjamin kehormatan individu sama ada warga negara atau bukan warga negara. Perlembagaan menjadikan kita bangsa bersatu, bukan berpecah. Perlembagaan adalah rantai kukuh yang mengikat kita. Perlembagaan juga menyinarkan konsep demokrasi yang mengekalkan kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan berkumpul dalam keadaan aman. Dalam membenarkan sekatannya, perlembagaan bukan semata-mata dokumen, ia adalah dokumen yang mempunyai nilai, kepercayaan dan agama. Ini harus diteroka sedalam mungkin oleh ahli masyarakat. Semoga masyarakat yang menjadi pengguna sebenar Perlembagaan tetap berusaha untuk memastikan kandungan dan amalannya yang terbaik berdasarkan semangat dan nilainya demi agama, bangsa dan tanah air.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 DISEMBER 2011

ISU MEDIA BAHARU : KUASA MEDIA BAHARU HUKUM MANGSA TANPA BUKTI KUKUH

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my


Jika kita mahu bersimpati, barangkali apa yang menimpa Khairul Fahmi Che Mat boleh dianggap satu penderaan luar biasa. Beliau bukan saja dijulang sebagai penjaga gol terbaik dalam Skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda yang raih pingat emas di Sukan SEA di Jakarta baru-baru ini, juga bintang pasukan Kelantan yang memenangi Piala Liga Super dan Piala Sumbangsih tahun ini. Selebihnya, Khairul Fahmi dipalit dengan pelbagai masalah peribadi. Media baru atau media sosial menjadi pendera paling zalim. Dia dikaitkan dengan putus tunang, menghadiri majlis sosial dan gambar bersama Nor Hashidah Harmi tersebar di internet. Bagi kebanyakan orang, isu peribadi perkara biasa dan tidak perlu dihebohkan. Tetapi apabila membabitkan seorang idola sukan, beritanya menggemparkan, juga mengghairahkan! Sama ada Khairul Fahmi bersalah atau tidak, bukan perkara pokok. Media baru sudah menjalankan tugas melaporkan kisah peribadi dengan drama dan intrig cukup mengaibkan.

Ketika orang bercakap kehebatan beliau di padang bola sepak, media baru pula lebih bercakap soal peribadi tanpa memberi peluang pemuda yang dilahirkan pada 7 Januari 1989 di Kota Bharu ini membela diri. Apalah yang mampu dilakukan oleh seorang penjaga gol apabila dirinya dikaitkan dengan skandal dan media baru bagai tanpa ampun terus menghukumnya. Khairul Fahmi senasib dengan mangsa lain apabila menjadi tumpuan media baru setiap kali dia melangkah. Jika sebelum ini ahli politik dan artis menjadi lensa pihak tertentu, dia harus mengenal langkahnya sendiri tanpa perlu mengaibkan nama orang tua sendiri. Malangnya dia sendiri tidak tahu apa yang bakal dilakukan, akan dipalitkan dengan pelbagai kontroversi lain. Pada hari ini sesiapa saja boleh menjadi pelapor di media baru. Ada 600,000 blogger di Malaysia yang sebahagian besar menulis cerita peribadi, isu politik, sosial, sastera dan kesenian. Ada juga blogger yang ghairah memaparkan cerita seks, gambar intim dan dakyah siasah.

Sesiapa saja boleh diserang oleh blogger dan pada bila-bila masa saja cerita serta gambar seseorang boleh terdedah tanpa izin. Dunia maya pada hari ini cukup menakutkan. Seseorang blogger bukan saja sebagai pelapor paling berani dan kebal undang-undang, juga boleh menjadi hakim sekali gus pendakwa yang boleh menuduh orang lain sebagai korup, pembunuh, hidup mewah dan penindas. Masyarakat lebih cenderung mempercayai kerana tabii media baru sering mengajak orang ramai meyakini penulisnya. Mereka juga aktif di laman sembang Facebook yang kini mencecah 12 juta orang di Malaysia, dengan kadar penembusan 69.91 pengguna internet. Laman SocialBakers.com melaporkan, Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai di dunia. Bayangkan kita juga bakal menjadi Khairul Fahmi apabila tidak disenangi pihak lain dan orang ramai akan lebih cenderung mempercayai sesuatu yang belum teruji kesahihan berbanding media arus perdana.

Realiti dunia tanpa sempadan cukup menakjubkan di Malaysia. Ketika jumlah penduduk pada 2000 berjumlah 24.6 juta orang, pengguna internet pula seramai 3.7 juta orang. Bagaimanapun jumlah penduduk pada 2010 ialah 26.12 juta orang, membabitkan 16.9 juta pengguna internet. Kadar penembusan jalur lebar meningkat 64.6 peratus. Pertumbuhan pengguna internet meningkat 356.8 peratus dalam tempoh 10 tahun. Justeru, tidak menghairankan apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menggesa blogger dan generasi muda menjadi pejuang baru parti bagi menyaingi suasana siasah yang tidak seimbang. Menguasai media baru tentunya perang bentuk moden amat mencabar. Ia juga tanpa simpati kerana laman web, portal berita dan blog jarang memikirkan kesan penyampaian. Yang mereka fikirkan bagaimana maklumat disebar dan reaksi masyarakat untuk menghukum seseorang yang sudah dijadikan mangsa!

SUMBER
BERITA HARIAN
6 DISEMBER 2011

03 Disember 2011

ISU UMUM : BALASAN SETIMPAL ANGKARA HINA RAJA THAILAND

Oleh AMIRUDDIN HARUN


Ampon Tangnoppakul dikawal oleh anggota pasukan keselamatan selepas dihukum penjara 20 tahun kerana menghina Raja Thailand.

Akibat banjir yang melanda Bangkok, seorang pesara pemandu teksi yang didakwa menghina monarki Thailand hanya dapat mendengar keputusan hakim melalui persidangan video yang disambungkan dari mahkamah ke bangunan penjara tempat dia ditahan. Namun disebabkan sistem audio yang kurang jelas, seorang kakitangan penjara yang duduk di sebelah Ampon Tangnoppakul, 61, terpaksa menelefon pegawai mahkamah untuk bertanyakan keputusan hakim. ''Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun,'' ujar pegawai mahkamah berkenaan. Hancur luluh warga emas itu mendengar keputusan itu. Pipinya basah dengan air mata. Perasaan hiba turut dirasai oleh kaum keluarganya terutama isterinya, Rosmalin dan para aktivis yang berada di sekelilingnya. Hakikat bahawa dia akan meringkuk selama 20 tahun di penjara perlu diterimanya mulai 24 November lalu iaitu tarikh dia disabitkan bersalah menghantar mesej berunsur penghinaan terhadap raja negara Gajah Putih itu. Dia sebelum ini mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah yang lebih dikenali sebagai undang-undang lese majeste (menghina institusi diraja) dan dua lagi di bawah Seksyen 14 Akta Jenayah Komputer.

Ampon yang berketurunan Cina kemudian dihukum penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan. Hukuman berat terhadap Ampon itu merupakan perkembangan mutakhir dalam senario peningkatan kes seumpama itu di Thailand yang menguatkuasakan undang-undang yang memperuntukkan hukuman berat terhadap kesalahan menghina Raja Bhumibol Adulyadej, 83, dan kaum-kerabatnya. Sebelum ini, beberapa warga asing turut dihukum atas kesalahan yang sama tetapi mereka kemudian segera diberi pengampunan sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing. Bagi kes terhadap Ampon, menurut seorang daripada peguamnya, Poonsuk Poonsukcharoen, anak guamnya itu sama sekali menafikan telah menghantar mesej tersebut. ''Dia berkeras menyatakan bahawa dia langsung tidak tahu menghantar mesej. Dia juga menekankan bahawa dia begitu menyayangi Raja,'' kata Poonsuk. Kandungan mesej yang kononnya dihantar kepada setiausaha peribadi Perdana Menteri Thailand ketika itu Abhisit Vejjajiva bagaimanapun tidak didedahkan di mahkamah.

Hakim Chanathip Muanphawong dalam keputusannya menyatakan, pihak pendakwaan telah menunjukkan bahawa Ampon telah menghantar mesej yang memburuk-burukkan dan menghina raja serta permaisurinya, Ratu Sirikit pada 9, 11 dan 22 Mei 2010. Dalam kes itu, pihak polis telah berjaya mengenal pasti data daripada mesej tersebut datang daripada telefon bimbit Ampon. Pesara tersebut pula tidak dapat mengemukakan saksi pakar bagi mengukuhkan dakwaannya bahawa data tersebut telah dipalsukan. Selain itu, Ampon gagal menampilkan saksi-saksi bagi menyokong dakwaan bahawa dia tidak tahu menghantar SMS. Hakim Chanathip turut menolak dakwaan Ampon bahawa telefon bimbitnya sedang diperbaiki pada masa mesej-mesej itu dihantar pada sekitar pertengahan tahun lalu yang menyaksikan tercetusnya pergolakan politik di kota Bangkok. Pada masa tersebut, kritikan terhadap sistem monarki negara tersebut telah memuncak sehingga kerajaan Thailand pada awal tahun ini terpaksa menubuhkan sebuah 'bilik perang' untuk menutup laman-laman web yang menyiarkan bahan-bahan yang menghina keluarga diraja.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 DISEMBER 2011


02 Disember 2011

ISU ALAM SEKITAR : KESEDARAN URUS SAMPAH MASIH RENDAH

Oleh Mohd. Hazli Hassan


Setiap  hari kita akan berhadapan dengan sampah sama ada yang dihasilkan oleh kita mahupun yang dihasilkan oleh orang lain. Negara juga semakin hari semakin tidak dapat menampung pembuangan sampah yang dihasilkan oleh rakyat negara ini. Ini termasuk mengadakan pelbagai kempen dan penguatkuasaan undang- undang bagi mengekang perkara itu daripada terus berleluasa. Terbaru pindaan akta yang mahukan semua penduduk di negara ini mengasingkan sampah yang boleh dikitar semula dengan pelbagai sampah domestik yang lain. Pindaan akta ini akan membolehkan penguatkuasaan dilakukan kepada mereka yang ingkar dalam mengasingkan sampah mereka. Pada saya, ini merupakan satu langkah terbaik yang berjaya diwujudkan kerajaan dalam mendidik rakyat negara ini daripada tabiat membuang sampah yang tidak teratur.

Namun dalam pelbagai kempen dan pindaan akta dijalankan, masih ada lagi yang tidak sedar akan kepentingan pembuangan sampah secara teratur. Pada mereka sampah merupakan satu perkara remeh yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada mereka. Ini berlaku di depan mata saya sendiri beberapa tahun lalu ketika ditugaskan di tengah laut. Satu kejadian berlaku di tengah-tengah laut di mana petugas kerajaan berkenaan dengan selamba mencampak sampah yang dikumpul dan dibuang di dalam tong sampah ke laut. Dia mendakwa hanya sisa makan yang dibuang namun saya dapat melihat segala jenis plastik pembungkus, kertas dan tin turut terapung. Kedua, ketika bot sudah menghampiri jeti, kakitangan yang berlainan pula mencampak sebungkus sampah yang juga sudah dikumpul ke dalam muara sungai.

Yang hairannya mereka merupakan kakitangan kerajaan yang saya sudah pasti mempunyai protokol atau peraturan khusus tentang pembuangan sampah di laut. Lebih-lebih lagi mereka merupakan petugas yang berkaitan dengan kelautan. Mereka mahu kawasan mereka bersih namun membiarkan laut dicemari sampah yang dihasilkan mereka, sukar juga untuk saya menerima hakikat itu. Sepatutnya merekalah yang menjadi pelindung kepada khazanah negara dan bukan menjadi contoh buruk kepada masyarakat. Mereka sepatutnya lebih tahu mengenai apa yang patut dan tidak dilakukan lebih-lebih lagi di tengah laut. Mungkin mereka tidak mahu memenatkan diri membawa sampah-sampah yang sudah dikumpul di dalam tong sampah naik ke darat. Mungkin mereka juga merasakan tangan-tangan mereka akan busuk untuk membawa sampah-sampah yang dihasilkan mereka sendiri naik ke darat dan laut adalah jalan penyelesaian terbaik.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 DISEMBER 2011

ISU SOSIAL : ANAK-ANAK TERUMBANG-AMBING


Bagaikan  tidak lengkap setiap keluarga itu jika tidak mempunyai anak. Anak bukan sahaja permata keluarga tetapi penyambung zuriat. Seorang anak yang dilahirkan melalui ikatan perkahwinan, bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang antara suami dan isteri, malah akan terus dianggap sebagai harta yang tidak ternilai harganya. Namun bagi pasangan suami isteri yang bercerai anak-anak sering diabaikan, keadaan itu memberi kesan yang tidak baik kepada anak-anak yang sedang membesar. Keadaan tersebut memberi kesan negatif kepada anak-anak malah kehidupan anak-anak yang lahir hasil dari penceraian akan terumbang-ambing tanpa kawalan dan pegangan kukuh daripada kedua ibu bapanya. Oleh kerana pengawalan terhadap mereka telah berkurangan atau mereka tidak diambil perhatian langsung oleh kedua ibu bapa mereka, maka ketika itu tidak mustahil anak-anak tersebut akan bertindak melulu tanpa memikirkan sebab dan akibat yang akan menimpa mereka di kemudian hari.

Dalam situasi sedemikian, mereka mudah terpengaruh dan mencari keseronokan dengan cara sendiri bagi memindahkan 'kelukaan hati' yang dilalui dalam keluarga mereka. Hasil kajian yang dibuat didapati punca jenayah adalah tinggi di kalangan anak-anak yang mengalami perpecahan rumahtangga. Ini kerana pasangan yang bercerai menghadapi kesukaran untuk mengawal anak-anak mereka dan ramai yang menunjukkan sikap memberontak terhadap tindakan ibu bapanya yang bercerai. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan kadar jenayah di kalangan Bangsa Melayu adalah tinggi berbanding bangsa lain iaitu 5,556 kes pada tahun 2006 meningkat kepada 5,876 pada tahun 2007 da merosot kepada 4,760 orang pada tahun 2008. Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata anak-anak yang menghadapi perpecahan ibu bapa biasanya akan memberontak.

Semua ini adalah natijah daripada kurang perhatian serta perpisahan orang tua mereka. Tegas beliau, keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan memudaratkan diri remaja tersebut dan berlarutan apabila dia besar nanti. Beliau juga memberitahu, pasangan bercerai seharusnya bijak berkomunikasi dan mengutamakan hak serta pendapat anak. Ibu bapa dinasihatkan untuk berkongsi pendapat dan perasaan yang dialami anak mereka sebelum mahu pun selepas perceraian supaya kanak-kanak dapat menerima dan sedia meluahkan pendapat mereka dalam meneruskan jadual harian. Interaksi antara ibu bapa juga perlu supaya anak tidak dibayangi dengan pemikiran mahupun emosi negatif kesan daripada perceraian.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 DISEMBER 2011

ISU UMUM : BERFIKIR LUAR KOTAK RAHSIA PEMIMPIN BERWIBAWA

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my


Angkasawan Negara Mejar Dr. Faiz pernah dinobatkan oleh Oxcell.

Individu yang mahu berjaya dalam bidang yang diceburinya perlu berfikir 'di luar kotak' dan mempunyai pengurusan masa yang strategik. Kedua-dua aspek itu penting supaya perancangan masa hadapan dapat dibuat sebaik mungkin, malah berupaya menonjolkan bakat dengan lebih cemerlang. Bagi penerima Anugerah Inovasi Pusat Kecemerlangan Oxford (Oxcell), Asisten Supritendan Nek Abd. Rahman Salleh, 55, meskipun tugas hakikinya menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sebagai pegawai polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur, ia bukan alasan bagi beliau untuk tidak mencuba sesuatu di luar skop tugasnya. Anak kelahiran Melor, Kelantan itu tetap aktif menjalankan aktiviti berkaitan ekuin di Taman Pameran Pertanian Serdang (MAEPS) dengan mengadakan modul ekuin kepada mereka yang minat. Modul tersebut yang diiktiraf oleh beberapa universiti dari Australia dan United Kingdom (UK) turut menggamit beberapa pengamal sukan berkuda untuk mendalami bidang tersebut secara teori.

Namun kegigihan beliau tidak berhenti setakat itu sahaja. Beliau turut terjun ke dalam bidang bioteknologi dengan menghasilkan kapsul anti barah yang diperbuat daripada susu kuda, Niemans Feramilch Capsule. Produk dalam bentuk kapsul itu mengandungi serbuk susu kuda liar tulen yang diperoleh daripada lebih 10,000 ekor kuda yang diternak di sebuah ladang di Irian Jaya, Indonesia. Ia yang dikelaskan sebagai makanan tambahan yang boleh menjadi alternatif perubatan moden telah diuji secara saintifik di makmal oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan hasilnya menunjukkan sel kanser yang dititiskan susu kuda liar berkurangan kira-kira 60 peratus. Jelas Nek Abd. Rahman, dalam mengimbangi masanya, perkara utama yang menjadi pegangannya adalah keghairahan dalam mengejar ilmu serta mewujudkan anjakan paradigma terhadap kehidupannya dan seterusnya kepada orang di sekelilingnya. Banyakkan membaca, menghadiri seminar yang membangunkan potensi anda. Jangan mengharapkan sesebuah anjakan paradigma akan wujud sekiranya kita cuma duduk menggoyang kaki.

"Anugerah daripada Oxcell dapat memberi pendedahan yang luas kepada saya dalam membina rangkaian perniagaan saya di peringkat global," ujarnya. Perkara sama turut ditekankan penerima Anugerah Ahli Perniagaan Tahunan Oxcell, Lawrence Tee Cheng How, 31, yang menegaskan bahawa pemikiran luar kotak akan menghasilkan pemimpin yang kebal menempuh dugaan dan kerumitan di dalam segala bidang yang diceburi. Beliau yang memiliki hampir lima premis makanan kelas antarabangsa menekankan kriteria utama untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang terkemuka adalah kepercayaan yang tinggi terhadap diri sendiri dan organisasi yang dipimpinnya. "Pertamanya, niat kena baik. Ini termasuk menetapkan diri bahawa segala yang dilakukan kita hanya untuk kesenangan ahli keluarga, dirahmati tuhan dan sentiasa pandang ke hadapan. "Menerima anugerah ini merupakan kebanggaan saya. Ia sebuah pengiktirafan antarabangsa terhadap segala usaha saya dalam membangunkan ekonomi negara.

"Berada di atas pentas menerima anugerah ini sudah memadai membuatkan keluarga dan rakan-rakan bangga terhadap saya. Saya turut berterima kasih kepada pimpinan Oxcell yang terus menghargai usaha usahawan negara ini," kata anak kelahiran Muar, Johor itu. Sama seperti Nek Abd. Rahman, penganugerahan tersebut turut membuka ruang seluas-luasnya bagi beliau untuk melebarkan perniagaan beliau ke peringkat global di samping mempertingkatkan persepsinya terhadap persaingan perniagaan antarabangsa. Sambil memberitahu, bidang pemakanan zaman kini amat mencabar dan penuh dengan persaingan, beliau mengingatkan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang itu supaya tidak berputus asa dan optimis dalam menempuh segala cabaran yang mendatang. "Ambil peluang ini untuk merealisasikan impian anda. Jangan biarkan ia berlalu kerana jika dibiarkan, semestinya kita akan menyesal pada masa hadapan. "Turut menjadi ciri utama seorang pemimpin adalah mempercayai nalurinya. Sekiranya naluri anda berkata 'ya', teruskan dan jangan pandang belakang lagi. "Seperti yang ditekankan Pengarah Oxcell UK, Dr. Mike Kearsley, kepimpinan kreatif dan bermatlamat itu lahir ketika berlakunya krisis. Justeru, jadilah seorang yang sentiasa bersedia dalam menempuh cabaran yang mendatang secara proaktif," tambah beliau.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 DISEMBER 2011