25 Oktober 2011

ISU UMUM : AKAN SELAMATKAH MALAYSIA?

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN
Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir,
Universiti Utara Malaysia


JUADAH DEEPAVALI

Apakah kuasa asing tidak akan campur tangan memberikan bantuan menerusi soft power atau ketenteraan sekiranya berlaku kebangkitan dari dalam Malaysia yang dapat membantu pendemokrasian yang secucuk dengan kehendak dan kepentingan globalisasi ke arah “Satu Dunia Satu Amerika”? Apakah apa yang berlaku terhadap Tunisia, Mesir dan Yemen tidak akan berlaku ke atas Malaysia sebuah negara Islam yang sering diprojekkan kepada Barat sebagai tidak memberikan keistimewaan kepada orang Islam, tidak memberikan persamaan hak kepada rakyat dan tidak memberikan kebebasan mutlak kepada rakyat. Pemerintahan beraja di Syria juga sedang diganggu gugat dan menunggu masa keruntuhannya dan tindakan ke atas Iran yang menjadi matlamat utama kuasa Barat dalam map road globalisasi di Asia Barat masih ditangguhkan kerana penyusupan anasir-anasirnya ke negara itu dan juga sokongan dari dalam belum cukup mantap. Pada peringkat ini, media Barat dengan soft powernya – televisyen, internet , akhbar dan sebagainya sedang menyebarkan satu demi satu maklumat ke seluruh dunia yang menunjukan penindasan tehadap rakyat Iran.

Ini adalah strategi yang dilakukan terhadap semua negara yang tidak disenangi oleh mereka. Terkini, seorang pelakon wanita Iran Marzeih Vafamehr dihukum penjara setahun dan sebatan 90 kali kerana lakonan dalam sebuah filem yang mengisahkan pembatasan yang dikenakan terhadap artis di negara itu. Media Malaysia juga turut menyiarkan besar-besaran cerita ini dari hanya suatu sumber tanpa penjelasan dari pihak yang dicemarkan seolah-olah setiap berita yang datang daripada agensi berita Barat benar belaka. Kesedaran menjadi alat atau diperalatkan sudah tidak wujud lagi. Ketika era Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia juga menjadi bahan laporan negatif media Barat mengenai kekangannya terhadap kebebasan media, penyalahgunaan kuasa, rasuah, projek kereta nasional, pembangunan Putrajaya dan sebagainya. Walaupun Mahathir tidak memusuhi Barat tetapi dianggap bukan sahabat baik “Kuasa Besar” kerana beliau sering berterus terang terhadap ketidakadilan dan sikap talam dua muka mereka dalam dasar ekonomi, sosial dan politik dan kerana beliau juga mengkritik sikap berat sebelah dan pembohongan media Barat.

Pemimpin Afrika Selatan yang tersohor Nelson Mendela walaupun mendapat sanjungan tinggi media Barat kerana kemanusiaannya tidak membalas dendam kekejaman orang kulit putih di negaranya dan terhadap dirinya tetapi telah digambarkan sebagai orang tua nyanyuk bila sahaja beliau membantah ketidakadilan dasar ekonomi Barat terhadap sebuah negara Afrika. Presiden Suharto yang merupakan sahabat baik Amerika Syarikat dalam menumpaskan Parti Komunis Indonesia (PKI) sebuah parti komunis terbesar di Asia di luar China dan memberikan harapan baru kepada rakyat Indonesia juga akhirnya mati dalam penghinaan media Barat dan tekanan hasutan luar ke atas rakyatnya. Penggulingan secara kejam pemimpin-pemimpin negara Asia Barat satu demi satu, tidak boleh dinafikan kewajarannya kerana di antara mereka telah menjadi raja yang zalim setelah menjatuhkan pemerintahan beraja. Cuma kerajaan mereka berselindung di sebalik panggilan atau nama “Presiden” yang memberikan konotasi pemimpin rakyat. Memang ada sebab untuk mereka digulingkan oleh rakyat tetapi kewajaran untuk kuasa-kuasa asing menceroboh dan menjatuhkan pemimpin yang diketahui sebagai musuh mereka boleh dipersoalkan.

Dalam usaha membunuh pemimpin Libya Kol. Muammar Gaddafi, negara-negara Perancis, Britain dan Amerika Syarikat dengan bangga mengakui penglibatan mereka. Soalnya apakah campur tangan asing membantu mereka yang menentang kerajaan boleh berlaku atau tidak ke atas Malaysia? Apakah kita akan selamat kerana dari sejak sebelum merdeka dan selepas merdeka, kita adalah sahabat rapat Barat? Apakah kita akan dibiarkan mempunyai kebebasaan sendiri? Tidak dapat dinafikan pemimpin-pemimpin awal kemerdekaan negara yang mendapat pendidikan Barat telah menjadi alat Barat. Mereka tidak sealiran dengan pemimpin-pemimpin Asia lainnya seperti Indonesia, India dan negara-negara Indochina. Allahyarham Dato’ Onn Jaafar sendiri adalah alat kepada Barat dan diikuti Tunku Abdul Rahman dan rakan rakannya. Tetapi ini bukanlah suatu kesilapan tetapi suatu kebijaksanaan kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang berpandangan jauh dan mahu menyelamatkan orang Melayu dan juga tidak mahu dijajah oleh komunis China atau kuasa besar yang tidak demokratik.

Malaysia menjadi negara yang tidak popular dan tidak diyakini di kalangan negara Afro Asia, tetapi dengan sokongan Barat yang melihat potensi pemimpin-pemimpin Malaysia dan Singapura untuk sejalan dengan mereka maka kedua-dua negara muncul sebagai negara yang kemajuan dan kestabilan ekonominya mendahului negara Asia lainnya. China, Indonesia, India dan Indochina mengikuti jalan ini setelah keruntuhan komunisme. Sikap Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan dasar luarnya amat menyenangkan Barat kecuali selepas Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih dan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru berikutan dengan peristiwa 13 Mei 1969 dan menghulurkan tangan persabahatan dengan Komunis China. Maka sejak itu Malaysia telah menjadi bahan kecaman media Barat yang berpengaruh di Asia seperti Far Estern Economic Review, Wall Streert Journal, Times dan Newsweek dan sesekali oleh akhbar-akhbar British. Apabila Singapura disingkirkan dari Malaysia maka kepimpinan republik itu yang diketuai oleh Lee Kuan Yew mendapat sokongan dari media Barat dalam menggambarkan kerajaan Malaysia sebagai kerajaan Melayu yang tidak adil kepada semua kaum dan menjalankan pemerintahan beraja dengan keistimewaan kepada orang Melayu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
25 OKTOBER 2011


ISU BAHASA : HORMATI KETETAPAN, HENTIKAN POLEMIK PPSMI

Oleh DR. SHAMSUL BAHAR ABDUL KADIR
Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI)


SELAMAT MENYAMBUT 
HARI DEEPAVALI KEPADA SEMUA MASYARAKAT INDIA DI MALAYSIA 
DAN DI SELURUH DUNIA

Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sewajarnya tidak perlu dijadikan polemik oleh semua pihak kerana kami percaya keputusan menghentikan pelaksanaan PPSMI dibuat berlandaskan kajian yang mendalam oleh pihak kerajaan. Kami percaya keputusan yang dibuat Kementerian Pelajaran itu selepas mengambil kira suara ibu bapa di semua peringkat dan kawasan, pandangan guru-guru di sekolah-sekolah bandar serta luar bandar di samping para cendekiawan, akademik dan orang perseorangan yang arif dalam bidang tersebut. Maka adalah tidak wajar jika ada pihak-pihak tertentu yang mendesak PPSMI dilaksanakan semula dengan mengambil pandangan sebelah pihak sahaja. Sebagai pertubuhan yang menghimpun rakyat Malaysia yang pernah melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di Indonesia sejak tahun 1950-an hingga kini, Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) amat menyokong langkah kerajaan menggantikan PPSMI dengan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang selari dengan Dasar Pendidikan Negara.

Kami percaya walaupun mempelajari Matematik dan Sains atau lain-lain mata pelajaran dalam bahasa Malaysia sekalipun, kita masih berupaya untuk melahirkan anak-anak dan barisan generasi muda yang cemerlang dalam pelbagai bidang ilmu. Sebagai contoh, sebahagian besar ahli-ahli persatuan kami yang mendapat pendidikan awal di peringkat sekolah rendah dan menengah mengunakan bahasa pengantar bahasa Malaysia termasuk mata pelajaran Sains dan Matematik. Kami seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran kami dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi, kejuruteraan atau perubatan di IPT-IPT di Indonesia yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Indonesia sepenuhnya. Mereka yang telah lulus dan kembali ke tanah air berjaya membuktikan bahawa bahasa bukan penghalang untuk mencipta kecemerlangan dalam kerjaya masing-masing. Malahan ramai di kalangan kami yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang sains dan teknologi di universiti-universiti terkemuka di negara Barat seterusnya mendapat kelulusan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Mereka yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dan perubatan pula berjaya meningkatkan pencapaian mereka dengan memperoleh kelayakan profesional dan menjadi doktor pakar yang di peringkat antarabangsa. Ada yang sudah menjadi naib canselor di IPTA-IPTA terkemuka, ada yang menjadi pakar-pakar dalam pelbagai bidang perubatan, pegawai-pegawai tertinggi dalam syarikat korporat di samping ahli-ahli politik yang berjaya. Sebut sahaja nama-nama besar seperti Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Yassin, Datuk Dr. Abu Bakar Hamid, Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin (akademik), Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat, Tan Sri Aishah Ghani, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang, Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed (politik) atau nama-nama seperti Datuk Abdul Rahman Daud (korporat), Datuk Dr. Asmah Omar, dan Dr. Siti Zainon Ismail (sosiobudaya). Mereka ini telah membuktikan bahawa mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia di peringkat sekolah dan bahasa Indonesia di peringkat universiti bukan penghalang untuk mencapai prestasi cemerlang dalam bidang masing-masing.

Jika berlandaskan sejarah pula, bahasa Malaysia sudah ditetapkan sebagai bahasa perpaduan rakyat negara ini yang berbilang kaum. Selepas kejadian berdarah 13 Mei 1969, kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar menyatakan satu bahasa perpaduan perlu ditetapkan dan sejak itu kerajaan tekun melaksanakan perubahan di mana sekolah-sekolah berbahasa pengantar Inggeris ditukar ke bahasa Malaysia secara berperingkat-peringkat. Perlu diambil perhatian bahawa gambaran yang dikemukakan kepada umum bahawa PPSMI hanya melibatkan dua mata pelajaran sahaja sehingga tidak menukarkan dasar bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar adalah tidak tepat. Ini kerana apabila dua mata pelajaran tersebut diajarkan dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah, ia akan meningkat kepada lebih 80 peratus apabila memasuki tingkatan empat. Apalagi apabila sampai ke peringkat universiti di mana hampir semua IPT di negara ini menggunakan bahasa Inggeris khususnya untuk bidang-bidang profesional. Apabila ini berlaku maka hasrat memperkasa bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu tinggal impian belaka.

Istilah baharu dalam bidang sains, teknologi, perubatan, pergigian, kejuruteraan dan lain-lain tidak perlu lagi dicipta manakala istilah yang sedia tercipta tidak lagi digunakan. Buku juga tidak akan ditulis dan diterbitkan. Perbincangan awam pun dalam bidang-bidang alam sekitar, kesihatan, pembangunan manusia, ekonomi, kewangan dan lain-lain tidak akan dapat dijalankan dalam bahasa Malaysia kerana istilah baharu tidak dicipta dan penggunanya pula tidak lagi fasih menggunakan bahasa Malaysia. Ahli-ahli Parlimen juga akan mendapati sukar membincangkan isu-isu semasa dalam bahasa Malaysia ketika sidang Parlimen. Oleh kerana terlalu sering memohon "dengan izin" apabila mahu menggunakan istilah Inggeris, tidak mustahil akhirnya nanti mereka dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Selanjutnya para wartawan pun akan mendapati sukar untuk membuat liputan persidangan Parlimen dan lain-lain persidangan dalam bahasa Malaysia. Akibatnya akhbar berbahasa Malaysia tidak lagi akan berdaya maju sebagai badan perniagaan. Edarannya tidak cukup besar untuk menampung kos penerbitannya. Apakah bayangan masa depan kedudukan bahasa Malaysia ini khayalan belaka?

Jika sejarah tulisan jawi di Malaysia boleh kita jadikan iktibar, maka kesimpulan ini suatu kemungkinan yang munasabah dan amat menakutkan. Kami percaya, masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan mahasiswa IPT adalah suatu perkara yang serius dan satu penyelesaian munasabah perlu dicari untuk mengatasinya. Mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris bukan kaedah yang telah teruji di mana-mana pun untuk menyelesaikan masalah ini sebaliknya kaedah mengajar bahasa - apa sahaja bahasa sekalipun termasuk bahasa Inggeris - perlu dikaji semula. Banyak hal yang perlu dilihat untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah antaranya tahap kemahiran para guru, korikulum yang sedia ada, alat bantu mengajar yang mencukupi, suasana pembelajaran dan lain-lain. Kaedah yang telah teruji meningkatkan kemahiran bahasa ialah melalui pembacaan. Justeru, penekanan terhadap pembacaan bahan-bahan kesusasteraan atau karya besar dalam bahasa Inggeris akan jauh lebih berkesan daripada mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa tersebut. Kami mengharapkan agar kerajaan tidak lagi berganjak daripada keputusan menghapuskan PPSMI, seterusnya melaksanakan MBMMBI dengan bersungguh-sungguh serta tidak tunduk terhadap mana-mana pihak yang berusaha untuk menghidupkan PPSMI atau mahupun melahirkan semula sekolah kebangsaan berbahasa pengantar Inggeris.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
25 OKTOBER 2011


ISU SOSIAL : BUDAYAKAN MEMBACA DEMI GENERASI MUDA

Oleh NURUL ANUAR KARI


TASIK PULAU DAYANG BUNTING LANGKAWI, KEDAH

Pada zaman serba canggih kini, jurang antara generasi kian ketara melihatkan perbezaan aktiviti membaca golongan dewasa dan kegilaan generasi muda bermain alat elektronik. Namun, perbezaan antara medium cetak atau elektronik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak meneruskan budaya membaca di kalangan generasi muda kerana ilmu hasil bahan bacaan itulah yang akan membentuk sahsiah diri dan pemikiran mereka kelak. Untuk itu, buat julung-julung kalinya Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pelajaran Malaysia akan menganjurkan Festival Buku Kanak-Kanak 2011 (FBK2011) bermula 27 Oktober ini hingga 2 November 2011. Festival yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Buku Kanan-Kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), Perbadanan Kota Buku serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu akan berlangsung selama satu minggu di Perpustakaan Kuala Lumpur. Beberapa penaja swasta dan agensi kerajaan juga dijangka akan turut serta dalam menjayakan FBK2011 demi menggalakkan budaya membaca di kalangan rakyat pelbagai peringkat terutamanya generasi muda.

Selain itu, Kumpulan Utusan juga akan bekerjasama dengan penganjur dalam mengenengahkan hasil karya penulis dan pelukis ilustrasi tempatan kepada para hadirin dan pembaca akhbar dan majalah Kumpulan Utusan. Penolong Pengarah MBKM, Ahmad Fadli Abd. Aziz (gambar) menjelaskan, FKB2011 dianjurkan lebih kepada generasi muda memandangkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sudah sedia ada untuk semua. "Konsep FBK2011 adalah untuk mengikut jejak pesta buku kanak-kanak terbesar dunia yang diadakan di Itali sebelum ini. "Kita juga mahu mempromosikan bahan-bahan penerbitan baru serta pameran ilustrasi dari Kementerian Pelajaran sendiri, hasil bengkel ilustrasi di kalangan para guru," katanya. Menurut beliau, program itu juga diharap dapat memajukan industri penerbitan buku kanak-kanak tempatan dan menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bidang penerbitan seperti penulisan, penyuntingan, ilustrasi, penterjemahan, dan pemasaran buku di negara ini. "Kita juga bukan hanya mempromosikan bahan bercetak malahan penerbitan melalui medium elektronik dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dari dalam dan luar negara.

"Langkah ini akan memupuk kesedaran tentang kepentingan buku kepada kanak-kanak, sama ada yang dicetak atau secara elektronik sebagai gedung ilmu dan pengayaan minda untuk pembinaan modal insan mereka kelak," tegasnya. Ahmad Fadli menekankan, FBK2011 dipercayai mampu menggalakkan budaya membaca di kalangan rakyat semua peringkat, khususnya kanak-kanak dan institusi keluarga seterusnya menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab penerbitan dan pemasaran buku kanak-kanak. Tambahnya, pelbagai aktiviti untuk pelajar, guru dan orang ramai sepanjang tujuh hari penganjuran pesta buku itu juga diharap dapat mengembangkan budaya membaca di kalangan generasi muda. Beliau menjelaskan, sesetengah program telah ditetapkan untuk kumpulan pelajar dan guru dalam jumlah tertentu sementara program lain terbuka kepada orang ramai. "Antara aktiviti yang akan dianjurkan adalah demonstrasi teknik bercerita untuk sekitar 100 orang guru dan orang ramai pada 27 dan 28 Oktober. "Selain itu, sesi bercerita dan pameran bersama warga Group Art Genting akan berlangsung dari 27 Oktober hingga 2 November 2011 bersama warga Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya P18, SK putrajaya P8 dan juga orang ramai," ujarnya.

Menurut beliau, guru sekolah juga boleh menyertai sesi perbincangan sastera sementara sesi bercerita Group Kopi-Kopi pula untuk para pelajar. Selain itu katanya, demontrasi origami sambil bercerita serta sesi bercerita bersama artis terkenal, Wardina Safiyyah untuk cerita bahasa Melayu dan Sarimah Ibrahim, untuk cerita bahasa Inggeris pada 30 Oktober adalah terbuka kepada semua pengunjung. "Secara umumnya, FBK2011 akan mempunyai seminar buku kanak-kanak, bengkel penulisan dan ilustrasi buku kanak-kanak serta pameran hasil ilustrasi daripada bengkel-bengkel tersebut. "Selain itu, pameran dan promosi buku kanak-kanak serta buku untuk orang kelainan upaya (OKU) untuk guru pendidikan khas juga akan dianjurkan," jelasnya. Ahmad Fadli memaklumkan, koleksi buku untuk OKU dan kanak-kanak berkeperluan khas dari seluruh dunia diharap dapat memberi pendedahan kepada orang ramai dan penerbit tempatan tentang cabaran dan situasi hidup golongan tersebut. Sesi tersebut terbuka kepada umum, guru pendidikan khas, ahli Persatuan Orang Buta, ahli Persatuan Dyslexia, warga Jabatan Kebajikan Masyarakat dan murid pendidikan khas.

Antara kemuncak utama FBK2011 untuk golongan pelajar adalah Seminar Sehari Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja 2011 dengan tema 'Hala Tuju Pembangunan Sastera Kanak-kanak dan Remaja: Realiti dan Harapan' pada 1 November 2011. Menurut Ahmad Fadli, program yang terbuka kepada umum dan para pelajar itu akan membicarakan secara kritis tentang ciri dan sifat yang perlu ada dan dipertahankan dalam karya sastera kanak-kanak dan remaja masa kini. "Melalui seminar ini, kita mahu merangsang pertumbuhan pengarang baharu untuk menghasilkan karya sastera kanak-kanak dan remaja, di samping menampung ketekalan pengarang mapan yang sedia ada. "Ini juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja dalam perkembangan sosial semasa negara," katanya. Langkah itu jelasnya, mampu merangsang kelahiran karya sastera remaja yang hebat dari segi persoalan, mutu bahasa, mutu seninya, nilai agama dan berdaya saing di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. 


"Seminar itu bukan sekadar mahu menggalakkan penerbitan karya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja yang berkualiti dalam bahasa Melayu. "Kemuncaknya, kita mahu membina khalayak sastera remaja yang jitu agar mereka seterusnya dapat menjadi khalayak karya sastera yang lebih serius pada masa hadapan," tegasnya. Oleh itu, orang ramai dijemput menyertai pelbagai aktiviti anjuran FBK2011 di Perpustakaan Kuala Lumpur bersama ahli keluarga bermula 27 Oktober ini hingga 2 November 2011 demi mengembangkan budaya membaca di kalangan anak-anak dan generasi muda. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Festival Buku Kanak-Kanak 2011 di Facebook, e-mel mbkm@moe.gov.my atau hubungi talian 03-83217011.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
25 OKTOBER 2011



24 Oktober 2011

ISU PENDIDIKAN : LAPORAN KONSISTEN PPSMI TIDAK SESUAI

Oleh NURUL ANUAR KARI


PULAU KOMODO, INDONESIA

Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pernah membawa kepada perpecahan di kalangan rakyat Malaysia. Setelah mengkaji dasar itu dari berbagai segi, terutama kesannya yang negatif terhadap pembelajaran Sains dan Matematik, kerajaan akhirnya membuat pilihan mengubah PPSMI kepada pengajaran dua subjek itu balik ke dalam Bahasa Melayu beransur-ansur bermula tahun ini. Namun, di kala pihak yang menentang PPSMI mula merasa lega, isu sama kembali timbul menyebabkan 'luka lama berdarah kembali'. Melalui kajian terbaru Profesor Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kumpulan penyelidik dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), PPSMI sekali lagi terbukti tidak membawa manfaat ketara terhadap pembelajaran Sains, Matematik mahupun subjek Bahasa Inggeris sendiri. Kajian pertama dalam kohort 2007 dan 2008 diterbitkan dalam April 2008, kajian terbaru pula ialah meneruskan kajian yang sama bagi tiga kohort lagi iaitu Februari , Ogos 2009 dan Julai 2010, bagi kumpulan pelajar Tahun 5 dan Tingkatan 2. Dapatan dari kajian tiga kohort terbaru ini adalah konsisten atau hampir sama dengan dapatan dalam laporan 2008 itu.

Ia menunjukkan PPSMI memberi kesan negatif kepada pembelajaran Matematik dan Sains pelajar sekolah rendah dan menengah. Berdasarkan data yang dikumpul dalam kajian terbaru itu, Isahak menunjukkan sehingga 80 peratus murid Tahun 5 'tidak faham atau kadang-kadang faham' Sains dalam bahasa Inggeris. Dapatan untuk Matematik pula menunjukkan lebih 70 peratus sukar memahami guru mengajar Matematik dan kandungan buku teks Matematik dalam Bahasa Inggeris kerana mereka tidak memahami pernyataan masalah matematik yang menggunakan ayat dalam bahasa Inggeris. Hampir 80 peratus pelajar terpaksa menggunakan buku rujukan tambahan dalam Bahasa Melayu bagi subjek Sains dan 70 peratus merujuk buku matematik dalam Bahasa Melayu untuk membantu mereka memahami kandungan Matematik dan Sains. Tegasnya, hasil kajian tiga kohort pelajar Tahun 5 dan Tingkatan 2 menunjukkan data konsisten, iaitu 80 peratus pelajar sukar belajar Sains dan 70 peratus sukar mempelajari Matematik dalam Bahasa Inggeris. "Kami menggunakan soalan peperiksaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik sebenar untuk murid Tahun 4 dan Tingkatan 1 untuk menguji kesan PPSMI terhadap murid darjah 5 dan pelajar tingkatan 2.

"Bukan sahaja data kajian kami konsisten untuk Sains dan Matematik, malahan konsisten juga bagi Bahasa Inggeris. Rata-rata peratus tinggi pelajar yang skor rendah dan gagal menguasai bahasa Inggeris di bawah PPSMI," tegasnya. Tambahnya, keputusan ujian subjek Bahasa Inggeris untuk murid bandar dan luar bandar tidak jauh bezanya, dengan murid bandar melebihi sedikit sahaja. Menurut Isahak, pelajar Tingkatan 2 juga didapati menunjukkan keadaan serupa apabila sekitar 80 peratus sukar atau tidak faham sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. "Matematik yang menggunakan nombor lebih mudah, tetapi sains yang lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris lebih menyukarkan pelajar memahami konsep dan proses sains. Hasil kajian yang dikumpul dari tiga kohort menunjukkan trend yang konsisten dan menggambarkan PPSMI gagal untuk meningkatkan pembelajaran Matematik dan Sains, dan tidak juga membawa peningkatan ketara dalam Bahasa Inggeris," jelasnya. Beliau menunjukkan juga peratus pelajar Melayu dan bumiputera yang dalam kategori cemerlang (A) cuma sekitar 20 peratus tetapi skor mereka tidaklah begitu tinggi.

"Berbeza dengan pelajar di Sekolah Kebangsaan, murid di sekolah Cina belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Mandarin, dengan sedikit tambahan masa untuk mereka belajar istilah dalam bahasa Inggeris. Jadi pembelajaran Matematik dan Sains murid di sekolah rendah Cina tidak terjejas dan prestasi pelajarnya terus baik. "Kita kena fahami fakta bahawa purata 80 peratus murid sendiri mengatakan sukar atau kurang senang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan mereka juga lemah dalam subjek Bahasa Inggeris," tegas Isahak. Beliau turut menegaskan kaedah kajian dijalankan adalah secara saintifik sains sosial dengan data sebenar dalam jangka panjang, bukannya sebuah tinjauan pendapat golongan tertentu semata-mata. "Kajian ini dijalankan di sekolah-sekolah kerajaan biasa, yang rata-rata menggambarkan juga kedudukan sebahagian besar 'sekolah harian biasa' di negara kita. "Dakwaan kajian kami ini tidak berasas dan tidak saintifik tidak timbul kerana data kajian kami adalah konsisten bagi empat kohort meliputi tahun 2008 - Julai 2010. Data kami ini juga sebahagian besarnya selari dengan data pengkaji lain, misalnya oleh Profesor Juriah Long di Universiti Kebangsaan Malaysia (2006) dan oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) pada 2009," ujarnya.

Menurut beliau, hasil laporan Pembina juga mengesahkan data kajiannya pada 2008, malahan menggambarkan keadaan yang lebih teruk akibat dasar PPSMI. "Data untuk kajian kami memang tidak termasuk sekolah-sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana sekolah-sekolah ini istimewa dari segi pemilihan pelajar untuk memasukinya, dan kemudahan pengajaran-pembelajaran yang kondusif. "Keputusan peperiksaan di sekolah-sekolah ini biasanya baik, seperti sepatutnya. Kami juga tidak memasukkan sekolah elit di Kuala Lumpur untuk menyatakan bahawa PPSMI itu berjaya kerana ibu bapa murid di sekolah elit ini berkemampuan menghantar anak mereka ke pusat tuisyen yang baik dan memberi sokongan dan kemudahan pembelajaran yang selesa di rumah," jelasnya. Tambahnya, sekolah-sekolah itu tidak mewakili sebahagian besar 'sekolah-sekolah biasa' di negara ini. "Jika pelajar di sekolah-sekolah elit ini mendapat skor terbaik, ini sudah diduga kerana kemudahan di sekolahnya memang baik, cikgu terbaik, murid mendapat bantuan terbaik daripada keluarga dan sekolah mendapat pula peruntukan tambahan.

Tidak munasabah kita mengguna sekolah elit ini untuk mewakili majoriti sekolah biasa di negara ini," tegasnya. Menurutnya lagi, semua pihak harus pandai membezakan antara menguasai bidang ilmu (sains dan matematik) dengan menguasai bahasa. "Sebahagian besar orang yang berjaya dalam negara kita (terutama orang Melayu) adalah hasil sistem kebangsaan yang ada sebelum PPSMI. Semua antara kita yang berjaya kini mencapai puncak dengan belajar dalam bahasa Melayu, dan ramai yang boleh belajar ke seluruh dunia dalam pelbagai bidang hasil pembelajaran yang kukuh dalam matematik dan sains yang diajar dalam bahasa Melayu," katanya. Beliau menyokong kuat supaya ditingkatkan pengajaran-pembelajaran bahasa Inggeris, agar semua pelajar menguasainya dengan baik. "Dasar Kementerian Pelajaran sekarang terhadap Bahasa Inggeris adalah sesuai sekali tetapi pendekatannya boleh diperbaiki supaya lebih berkesan," katanya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 OKTOBER 2011


ISU PENDIDIKAN : TRANSFORMASI KURIKULUM KEBANGSAAN

Oleh HASHNAN ABDULLAH


BANDAR RAYA PUTRAJAYA, MALAYSIA

Sebenarnya kesedaran mengenai kepentingan aktiviti kokurikulum (Ko-k) di sekolah telah bermula sejak 50 tahun lalu melalui dokumen Education Ordinance 1956. Ia terus diperkukuh dan dimantapkan lagi melalui pengenalan Dasar Pelajaran Kebangsaan (1961), Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pendidikan (1979), Falsafah Pendidikan Negara (1980an) dan Akta Pendidikan (1996). Pada 2005, Kabinet meluluskan dasar pemantapan Ko-k yang meliputi pelbagai aspek dan bermula 2006, kerajaan mewajibkan murid sekolah memperoleh 10 peratus markah dari aktiviti itu sebagai melayakkan mereka memasuki institut pengajian tinggi awam. Bagaimanapun di sebalik pengenalan dasar itu, masih ada beberapa pihak menganggap aktiviti tersebut kurang bermaya atau setakat melepas batuk di tangga sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian (BBK), Muhamet Roli Hassan dalam kertas kerjanya di Seminar Transformasi Kokurikulum Kebangsaan 2011 di Putrajaya, baru-baru ini, mendedahkan antara faktor tersebut adalah sekolah, pentadbir, kemudahan dan kewangan. ''Dalam tinjauan yang dilaksanakan oleh BBK pada tahun ini membabitkan lebih 6,000 responden di seluruh negara dirumuskan bahawa aspek murid bukanlah sebagai isu yang menghalang aktiviti Ko-k untuk menjadi lebih baik," katanya.

Namun begitu, faktor peruntukan kewangan dilihat menjadi 'kepala utama' sama ada untuk menyegarkan aktiviti Ko-k itu mahupun bagi menjenamakan semula Ko-k agar ia relevan dengan kehendak semasa. Ini kerana, apa jua perancangan menambah baik aktiviti Ko-k itu sama ada di peringkat sekolah, jabatan atau kementerian, pastinya melibatkan peruntukan tertentu. Dari penyediaan kemudahan Ko-k di sekolah, menambah bilangan penjawatan secukupnya di peringkat pejabat pelajaran negeri dan daerah, latihan guru Ko-k, jurulatih hinggalah membina Pusat Ko-k Negeri, melibatkan peruntukan kewangan. Tidak dinafikan setiap kali bajet dibentangkan, Kementerian Pelajaran menjadi penerima peruntukan terbesar tetapi jangan lupa ia adalah agensi kerajaan yang mempunyai warga kerja yang paling ramai. Ia bukan hanya meliputi kakitangan dan guru tetapi turut melibatkan murid sekolah. Bak kata Muhamet Roli: ''Peruntukannya memang besar tapi bagi yang besar, maka ia menjadi kecil.'' Selain itu, beliau berkata, peruntukan sedia ada yang berjumlah RM50,000 setahun di setiap daerah tidak dikaji sejak lima tahun lalu. ''Pada tahun lalu ketiadaan peruntukan itu menyebabkan peluang murid untuk terlibat dalam aktiviti Ko-k di peringkat itu terhalang dan berakhir dengan penilaian Ko-k murid menurun.

Peruntukan Ko-k untuk setiap murid di sekolah yang berjumlah RM12 (sekolah menengah) dan RM10 (sekolah rendah) tidak pernah dikaji semula sejak lima tahun lalu,'' katanya. Tambahnya, pada tahun ini, jumlah itu dikurangkan kepada RM10 (sekolah menengah) dan RM8 (sekolah rendah) apabila bidang sukan diluluskan peruntukan sendiri. ''Beban mencari peruntukan di pelbagai peringkat pelaksana semakin bertambah apabila kerap kali wujud program 'ad hoc' yang memerlukan pembiayaan," katanya. Kesimpulannya, kekuatan faktor kewangan menjadi penentu kepada keberkesanan aktiviti Ko-k sama ada untuk sekolah, negara, ibu bapa dan pada murid yang terlibat. Jika kerap sangat pihak yang terlibat terpaksa mengeluarkan duit dari poket sendiri atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terpaksa mencari penaja sendiri, ia mungkin berjalan untuk tempoh pendek. Mungkin salah satu cadangan pada seminar itu iaitu mewujudkan Tabung Nasional Kokurikulum Sekolah adalah sesuai bagi mengumpul dana secukupnya. Ini kerana, untuk mengharapkan ibu bapa yang anaknya masih bersekolah rasanya tidak sesuai kerana mereka mempunyai komitmen lain. Tetapi dengan adanya tabung itu, ibu bapa yang anaknya sudah bekerja boleh menderma sebagai membalas jasa pihak sekolah mendidik anak mereka.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 OKTOBER 2011


23 Oktober 2011

ISU ANTARABANGSA : MAKNA KEMATIAN MUAMMAR GADDAFI

Oleh ZIN MAHMUD


Bagi mereka yang mengikuti laporan langsung oleh Al-Jazeera dan BBC mengenai kematian Muammar Gaddafi Selasa lalu, tentu dapat mendengar bunyi latar paparan dari Tripoli itu. Ini kerana laungan yang terdengar itu adalah takbir hari raya berulang- ulang berkumandang menggunakan pembesar suara ketika anak-anak muda Libya bersorak kegembiraan apabila mendapat tahu Gaddafi telah mati. Bagi orang Malaysia laungan takbir hari raya pada waktu ini adalah suatu yang pelik. Dalam laporan langsung di BBC, pemberitanya ialah seorang bukan Islam dan apabila ditanya oleh pembaca berita dari London, apakah laungan yang didengar dari masjid itu, dia menjawab, tidak tahu tetapi menurutnya laungan itu berulang-ulang berkumandang sejak diumumkan kematian Gaddafi. Di Al-Jazeera pula pemberitanya mengatakan bahawa laungan takbir itu adalah sebagai tanda kegembiraan rakyat Libya atas kematian Gaddafi. Sememangnya dalam sejarah Islam, takbir yang dilaungkan semasa hari raya itu berupa zikir memuji kebesaran Ilahi ekoran kemenangan tentera Islam dalam Perang Badar melawan Musyrikin. Dalam laungan itu dinyatakan kejayaan orang Islam mengalahkan orang kafir.

Adalah jelas rakyat Libya amat marah pada Gaddafi. Amarah mereka ini menjadi tanda tanya bagi umat Islam di luar Libya. Ini kerana semasa hidupnya, Gaddafi dipandang tinggi oleh umat Islam. Bermula dengan rampasan kuasa ke atas Raja Idris pada tahun 1969, Gaddafi muncul sebagai seorang pemimpin Islam yang berjuang membela hak kebangsaan Arab, iaitu termasuk Palestin, kepentingan rakyat, sebab itulah gagasan Buku Hijaunya menampilkan kaedah kesaksamaan pengagihan harta negara dan tidak kurang penting ialah usaha pembebasan rakyat terjajah di seluruh dunia, dari Ireland Utara di barat hinggalah rakyat Moro di timur. Orang Islam Malaysia sendiri menghormatinya. Berapa ramai anak-anak Melayu yang bernama Gaddafi kerana bapa masing-masing mengkaguminya. Penulis ingat pada tahun 1972, apabila sebagai kanak-kanak, kawan-kawan sekolah agama bersorak apabila dari radio dilaporkan bahawa Gaddafi menghantar tentera ke Mesir untuk menyertai Perang Ramadan yang menyaksikan pertama kali tentera Israel terpaksa berundur dari SInai. Ketika Yasser Arafat dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) diusir dari Beirut atas tekanan Barat, maka ke Libyalah tempat mereka mencari perlindungan.

Tripoli menggantikan Beirut sebagai pangkalan PLO. Maka sepanjang pemerintahannya, kehadiran Libya di Malaysia dirasakan. Kerajaan Gaddafi menubuhkan Pusat Kebudayaan Arab Libya di Kuala Lumpur yang peranannya setanding dengan agensi-agensi penerangan kuasa besar lainnya seperti Lincoln Cultural Center (Amerika Syarikat) , British Council, Goethe Institut (Jerman) dan Alliance Francaise (Perancis). Libya menjadi wakil negara dunia ketiga yang bersuara mencabar pihak Barat. Gaddafi membantu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) untuk memiliki bangunannya sendiri serta meningkatkan usaha minoriti Islam di Asia Pasifik. Sokongannya kepada Pertubuhan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) adalah jelas. Sebelum kemunculan Iran sebagai pusat politik yang menjadi perhatian umat Islam, Libya di bawah Gaddafi yang merintis persidangan-persidangan antarabangsa untuk pertubuhan-pertubuhan Islam di seluruh dunia. Namun dari tahun ke tahun hingga di akhir pemerintahannya, terdengarlah betapa kuasa yang dimilikinya bertukar kepada bentuk kuku besi. Layanannya kepada pihak penentang dilaporkan kejam.

Turut menjadi mangsanya ialah dari kalangan aktivis Islam. Tetapi apa yang hendak dihairankan tentang perkara ini di dunia Arab. Mesir, Syria, Sudan, Yaman, Iraq, Tunisia, Algeria dan negara-negara Arab lain juga melayan pembangkang mereka secara keras dan kejam. Tidak ada satupun negara Arab yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan mengadakan pilihan raya umum seperti mana amalan piawai dunia. Hanya pada tahun ini apabila berlaku kebangkitan rakyat dunia Arab, bermula dari Tunisia, bersambung ke Mesir dan melarat ke Libya, maka kekejaman Gaddafi semakin kuat dilaporkan. Tidak seperti Hosni Mubarak di Mesir, Gaddafi enggan berundur sebaliknya menjerumuskan negaranya ke dalam perang saudara. Maka dalam tempoh beberapa bulan dilaporkan pembunuhan dahsyat dilakukan oleh pihak penyokong Gaddafi. Ternyata seperti di negara-negara Arab yang lain, sebahagian besar rakyat Libya membenci Gaddafi. Hakikat bahawa kuasa-kuasa Barat telah memasuki Libya dan membantu penentang-penentang Gaddafi secara aktif adalah suatu yang tidak menghairankan.

Dari dulu, Gaddafi merupakan musuh Barat dan apabila rakyatnya sendiri bangkit, tentulah AS dan Eropah dengan senang hati campur tangan. Libya amat strategik dengan kekayaan minyaknya yang tidak dapat ditolak oleh negara-negara Barat. Melalui sistem demokrasi, bukan saja mereka dapat menunjukkan pembelaan kepada rakyat Libya tetapi pada waktu yang sama, Barat mengharapkan penguasaan ekonomi dan sumber negara itu. Bendera merah, hitam dan hijau yang dikibarkan oleh para penentang Gaddafi, dan kini menguasai Libya adalah panji-panji lama ketika negara itu di bawah pemerintahan Raja Idris. Pada masa itu Libya dikuasai oleh Barat. Adakah dengan berakhirnya Gaddafi ini, Libya kembali dikuasai Barat? Adakah demokrasi mesti membawa kepada keadaan begitu? Kalau begitu, sudah tentu ia merupakan suatu yang malang bagi rakyat Libya. Demokrasi diharapkan menjadi sistem yang dapat memberikan kebebasan dan kehidupan bermutu serta bermaruah kepada rakyat. Tetapi jika demokrasi menjadi sistem yang boleh dimanipulasi oleh Washington dan Tel Aviv, maka ia adalah malang bagi rakyat Libya, dan dunia Arab umumnya.

Sekali lalu, nasib Gaddafi adalah seperti Saddam yang juga dibenci oleh rakyatnya. Tetapi sekurang-kurangnya terdapat dua perbezaan iaitu pertama, saddam tidak dibunuh oleh tentera AS, tetapi ditangkap dan kemudian dibicarakan. Sementara Gaddafi yang merayu supaya nyaeanya diselamatkan telah dibunuh oleh pihak penentangnya, yang terdiri daripada rakyat Arab Libya juga. Kedua, kejatuhan Saddam adalah ekoran daripada penaklukan tentera Barat ke atas Iraq. Tetapi di Libya, ia dilakukan oleh rakyatnya sendiri, Namun, senjata dan bantuan lain disalurkan oleh pihak barat. Ternyata perbezaannya kecil saja. Dunia terutama orang Islam mengharapkan supaya Libya dan Iraq memandang ke depan dan tinggalkan dendam masa lalu. Tumpuan wajar kepada membangunkan negara untuk kesenangan hidup rakyat. Malangnya keadaan itu masih sukar di Iraq. Di Libya pula, bimbang keamanan tidak dapat diwujudkan kerana pembunuhan Gaddafi merupakan permulaan yang tidak baik bagi kerajaan baru Libya. Sekurang-kurangnya ketika Afghanistan tumbang, Mujahidin tidak membunuh presiden komunis terakhir Babrak Karmal. Dia dipenjarakan.

Keadaan Afghanistan menjadi buruk apabila Taliban mengalahkan Mujahidin dan terus menggantung Babrak Karmal tanpa proses perbicaraan. Akhirnya negara itu sehingga ke hari ini tidak berjaya mengecapi perdamaian. Perang Saudara dengan penglibatan kuasa luar terus-meneruskan menyebabkan rakyat mereka menderita berpanjangan. Pembunuhan Gaddafi tentu menimbulkan rasa ngeri di kalangan negara-negara Arab lain yang berhadapan dengan kebangkitan rakyatnya khususnya Yaman dan Syria. Kuasa sememangnya indah, tetapi apabila ia melangkaui tempoh yang sewajarnya, pemilik kuasa pula akan menjadi mangsa. Siapa menabur angin, mereka akan menuai badai. Lebih-lebih lagi pada negara yang telah tertumpah darah rakyatnya. Itulah seperti yang berlaku di Libya. Apabila rakyat Libya terkorban kerana Gaddafi, maka lebih keras balasan yang akan diterimanya. Keadaan ini telah pun berlaku di Syria. Presiden Bashar Al-Assad akan mengalami keadaan yang sama dengan Gaddafi jika dia tidak menangani perubahan politik dengan mengutamakan kepentingan rakyat. Begitu juga dengan Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh. Kedua-dua negara ini adalah strategik bagi AS. Syria kerana ia berdepan dengan Israel. Sementara Yaman dilihat sebagai pangkalan Al-Qaeda.



Siapa menabur angin, 
mereka akan menuai badai.
Dunia Arab menanti perubahan.



SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
23 OKTOBER 2011

ISU UMUM : RAMALAN BERAKHIRNYA SEJARAH DAN MANUSIA

Oleh Mazlan Nordin


PATOLA, ISTANA DALAI LAMA DI TIBET

Seorang sarjana tersohor pernah dipuji kerana menyatakan sesuatu persoalan politik dewasa ini dengan jelas: Ke mana kita pergi, betapa kita boleh tiba di sini dan kita yang menang? Pujian itu ditujukan kepada Francis Fukuyama, keturunan yang lahir di Manhattan, New York setelah menulis esei The End of History? pada tahun 1989. Kira-kira dua tahun berikutnya beliau menulis buku berjudul The End of History and the Last Man. Tiada lagi tanda tanya di hujungnya. Ia telah diterjemahkan ke bahasa Melayu bertajuk Penamat Sejarah dan Manusia Terakhir oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), hingga cetakan kali ketiga. Menurut laporan pihak media, karya Fukuyama telah menggemparkan dunia politik antarabangsa setelah mencetuskan perdebatan berlarutan. Seperti telah dicatat, Perang Dingin tamat pada tahun 1989. Sebelum itu golongan pemerintahan fascisme tewas di medan perang pada tahun 1945 dan lebih 40 tahun kemudiannya komunis pula tewas dari segi politik, ekonomi dan budaya. Dianggap lahir sebagai pemenang ialah demokrasi liberal sebagai sistem pemerintahan.

"Tidak ada lain sumber kesahihan dalam dunia moden dari demokrasi liberal," kata Fukuyama. Beliau berhujah bahawa demokrasi liberal menjadi peringkat terakhir evolusi manusia dan dengan itu bersifat penamat sejarah. Berulang-kali disebut dalam penulisan beliau ialah nama ahli falsafah ulung dari Jerman, G.W.F. Hegel. Lalu dinyatakan betapa "konsep sejarah sebagai proses dialektika peringkat awal, tengah dan akhir" Kemudian dipinjam oleh Karl Marx, pelopor komunisme yang meramalkan kemenangan akhir komunis. Bagi Hegel tiap peringkat sejarah berupa tesis yang bertembung dengan antitesis hingga akhirnya synthesis. Dengan itu lahir tesis baru lalu berulang proses selanjutnya. Tetapi Hegel dikatakan menulis dalam konteks Eropah saja. Maka kemudiannya ada pihak yang bertanya apakah yang mahu dilahirkan ialah utopia, iaitu sistem masyarakat atau politik paling sempurna yang diidam-idamkan yang tidak mungkin dilaksanakan atau diwujudkan (terjemahan Kamus Dwibahasa Dewan Bahasa dan Pustaka).

MENINJAU

Sebaliknya pula Fukuyama meninjau dari sejarah silam, dengan pertimbangan lain dan sistem nilai serta cara hidup berlainan hingga mengalami peperangan dan revolusi. Menurutnya, pelajaran-pelajaran pesimis mengenai sejarah masa lalu perlu dikaji semula dari peringkat awal. Pandangan Fukuyama yang optimis mengenai masa depan dunia dikatakan diyakini oleh mereka yang kini berkuasa. Bagi beliau demokrasi liberal mungkin membentuk "takat akhir evolusi ideologi manusia" dan "bentuk akhir sistem kerajaan manusia", dan dengan demikian sistem berkenaan membentuk "penamat sejarah". "Ini tidak bererti demokrasi yang stabil pada hari ini, seperti di Amerika Syarikat, Perancis atau Switzerland tidak dirundung ketidakadilan atau masalah sosial yang serius. Akan tetapi masalah ini lebih merupakan akibat tidak sempurnanya pelaksanaan prinsip berkembar, iaitu kebebasan dan kesamaan yang mendasari demokrasi moden, bukannya kelemahan dalam prinsip itu sendiri".

Wajar dicatat ialah pandangan Fukuyama mengenai Islam, antaranya seperti berikut: "Nampaknya zaman penaklukan budaya Islam sudah berakhir: Pengikutnya yang telah menyeleweng boleh ditarik semula, tetapi agama ini tidak mempunyai makna bagi orang muda di Berlin, Tokyo atau Moscow. "Walaupun hampir satu bilion orang atau satu perlima penduduk dunia - berbudaya Islam, namun mereka tidak mampu mencabar demokrasi liberal di kawasannya sendiri pada tahap gagasan". Seperti disebut pada kulit buku terjemahan karyanya "telah menimbulkan banyak perdebatan". Juga kontroversi adanya. Beliau juga bisa ditanya: Betapa kini ada sejumlah satu bilion orang Islam - satu perlima penduduk dunia? Bagi para pengkritiknya Fukuyama dianggap menyebar propaganda Amerika kerana pernah berkhidmat di Rumah Putih kepimpinan Presiden Reagan dan menjadi Timbalan Pengarah Jabatan Negara. Beliau lulusan Universiti di Paris dan University Harvard, Amerika. Seorang pengkritik, Michael Ignatieff menyifatkan cara penulisan Fukuyama yang berderet-deret seperti "seorang lelaki perut buncit cuba melihat kasutnya".

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
23 OKTOBER 2011