04 Oktober 2011

ISU PENDIDIKAN : ADAKAH PPSMI AKAN DIKAJI SEMULA?

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad


REGISTAN DI SAMARKAND, 
UZBEKISTAN

Teka-teki sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dikaji semula terjawab apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa dasar PPSMI tetap digantikan dengan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2012. Perubahan dasar tersebut mengambil masa beberapa tahun sehingga pelajar menamatkan persekolahan melalui kaedah soft landing. Ini bagi memastikan tidak ada pelajar yang menghadapi masalah atau terabai dalam pembelajaran mereka. Kenyataan tersebut dibuat dalam lawatan kerja beliau di dua buah universiti iaitu UKM (23.9.2011) dan UPM (30.9.2011). Dalam ucapan semasa pertemuan dengan warga UKM, beliau telah meminta pentadbiran universiti berkenaan meneruskan perjuangannya untuk mendaulatkan bahasa Malaysia dengan menggalakkan penyelidikan dan penulisan jurnal ditulis dalam bahasa tersebut. Ini disebabkan penubuhan UKM merupakan suatu wadah dan perjuangan panjang pejuang bahasa bagi menegakkan kedaulatan bahasa sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Pelaksanaan dasar MBMMBI adalah untuk meletakkan kembali kedaulatan bahasa ke landasan yang betul. Kekuatan sesuatu bahasa akan terjejas dan merosot sekiranya dihilangkan kandungan elemen keilmuan terutama yang merangkumi bidang sains, matematik dan teknologi.

Dibimbangi akhirnya bahasa itu akan berada di tahap rendah dan hanya layak dipertuturkan di kedai-kedai kopi atau di tepi-tepi jalan sahaja. Ia tidak akan dapat digunakan secara rasmi dalam majlis-majlis keilmuan berskala tinggi dalam seminar, konvensyen atau perbincangan-perbincangan. Malah lebih menyedihkan usaha yang telah dirintis oleh pelbagai pihak untuk mengangkat martabat bahasa tersebut hingga ke peringkat antara bangsa akan menjadi sia-sia. Amat malang bagi perkembangan bahasa Malaysia yang ditutur hanya kira-kira 27 juta orang yang tinggal dari Arau, Perlis hingga ke Tawau, Sabah jika rohnya tidak diangkat dan didaulatkan. Ramai daripada pejuang bahasa yang banyak berjasa bagi mengangkat martabat bahasa telah meninggal dunia. Jika ada yang masih hidup mereka pasti akan menggelengkan kepala melihat bagaimana generasi kini telah luntur semangat cintakan bahasa. Tidak seperti di negara lain di mana rakyatnya sangat sayangkan bahasa dan bangga menggunakan bahasa mereka. Jelas sekali tidak ada perasaan rendah diri atau rasa bersalah jika bahasa mereka digunakan walaupun dalam persidangan bertaraf antarabangsa atau majlis-majlis rasmi yang dihadiri oleh warga luar negara. Dasar MBMMBI Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah proaktif untuk mengembalikan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah dan dalam Bahasa Malaysia di peringkat menengah bermula tahun hadapan. Bagi memperkukuhkan bahasa Inggeris, kurikulum baru KSSR telah diperkenalkan di mana pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut ditambah nilai supaya menjadi lebih menarik dan menyeronokkan pelajar.

Elemen gerak karja seperti nyanyian, lakonan, kuiz, perbincangan, pembacaan dan lain-lain akan diperbanyakkan. Bagi memantapkan lagi pengajaran bahasa itu tambahan masa dalam jadual pengajaran telah ditingkatkan hampir sekali ganda lagi. Seperti yang dimaklumi bagi memantapkan lagi pengajaran bahasa tersebut lebih 300 orang guru berpengalaman yang terdiri dari penutur jati daripada United Kingdom telah didatangkan. Difahamkan tidak lama lagi guru-guru daripada Amerika Syarikat akan dibawa masuk di mana perbincangan-perbincangan peringkat akhir telah pun dilaksanakan. Amat wajar sekali dasar PPSMI ditukar kepada MBMMBI kerana menurut laporan UNESCO yang membuat kajian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran didapati ia lebih berkesan jika diajar melalui bahasa ibunda atau bahasa yang mereka fahami. Itulah sebabnya kita masih lagi mengekalkan sekolah aliran Cina dan India kerana pembelajaran menjadi lebih mudah jika dilaksanakan dalam bahasa yang mereka telah biasa gunakan. Demikian juga bakal guru dan guru-guru digalakkan mempelajari bahasa atau dialek yang digunakan oleh Orang Asli atau dialek penduduk kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Ini bertujuan untuk memudahkan guru menjelaskan maksud sesuatu perkataan atau istilah yang sukar difahami dengan lancar kepada pelajar-pelajarnya. Dalam pelaksanaan dasar PPSMI, faktor guru juga memainkan peranan penting. Kebanyakan guru adalah mereka yang terdidik melalui sistem pendidikan kebangsaan, oleh itu untuk menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran mungkin memerlukan sedikit masa lagi. Ini diikuti pula faktor keyakinan diri terutama mereka yang mengajar di kawasan bandar yang kebanyakan pelajarnya mempunyai latar belakang bahasa Inggeris.

Satu lagi isu yang dihadapi ialah berkaitan dengan kefahaman pelajar mengikuti pembelajaran mata pelajaran tersebut terutama dari segi konsep atau istilah-istilah baru. Dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada pelajar ada kalanya guru terpaksa menggunakan bahasa Malaysia bagi menerang atau menjelaskan sesuatu yang tidak difahami oleh pelajar. Keadaan tersebut boleh menyebabkan pembaziran masa di mana guru terpaksa mengulang beberapa kali dengan mengalih bahasa dalam pengajarannya. Sebagai guru yang berkesan, apa yang penting ialah kefahaman pelajar tentang perkara yang diajarnya. Walaupun guru menggunakan pelbagai kaedah pengajaran yang canggih tetapi akhirnya yang diukur dan diambil kira ialah sejauh mana kefahaman pelajar terhadap apa yang diajar oleh guru. Kesan dasar PPSMI yang telah dilaksanakan mulai 2003 terbukti melalui penilian yang dibuat oleh badan antara bangsa pada tahun 2009. Didapati pencapaian pelajar menurun jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Akibatnya ranking negara dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran turut terjejas jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Penukaran dasar PPSMI kepada MBMMBI bukanlah bermakna kita anti bahasa Inggeris. Namun demikian sejak akhir-akhir ini terdapat beberapa kumpulan NGO yang menyuarakan pendapat supaya PPSMI dikaji semula. Ada di antara mereka yang mencadangkan dikembalikan semula pengantar bahasa Inggeris atau setidak-tidaknya memberi pilihan kepada ibu bapa dan sekolah untuk meneruskan dasar PPSMI. Difahamkan ada di antara NGO tersebut telah menghantar memorandum kepada pihak tertentu supaya cadangan mereka diberi perhatian. Sesungguhnya perubahan dasar PPSMI kepada MBMMBI akan meningkatkan lagi kualiti pendidikan dan memberi manfaat yang besar kepada semua pelajar.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 OKTOBER 2011


RANGKA KARANGAN KEMALANGAN BAS EKSPRES


RAMALAN 2
ISU : KEMALANGAN BAS EKSPRESS

SOALAN YANG DIJANGKA

Sejak akhir-akhir ini, kita selalu dikejutkan dengan kemalangan maut yang melibatkan bas ekspress. Sikap pemandu bas ekspress yang tidak bertanggungjawab dikatakan sebagai punca kemalangan yang melibatkan bas ekspress semakin menjadi-jadi. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini?

PENDAHULUAN

Fenomena yang berlaku di negara kita hampir setiap tahun
Melibatkan banyak nyata yang terkorban atau cedera parah
Sikap pemandu dikatakan sebagai punca utama tetapi faktor-faktor lain juga harus diambil kira dalam membincangkan isu ini.

SIKAP PEMANDU BAS EKSPRESS

Suka memandu melebihi had laju yang ditetapkan di lebuh raya – memotong kenderaan lain sesuka hati tanpa menghiraukan kenderaan lain yang datang dari sebelah kanan atau dari depan.

Sebilangan pemandu telah keletihan kerana memandu dalan jarak perjalanan yang jauh – mudah mengantuk – menyebabkan bas terbabas dan seterusnya mengakibatkan kemalangan berlaku.

Pemandu yang menggunakan dadah dan meminum minuman keras menyebabkan mereka mudah khayal atau mabuk – memandu bas ekspress  dengan tidak berhati-hati.

Pemandu yang menghadapi tekanan hidup seperti masalah rumah tangga, kewangan, dan sebagainya – melepaskan geram dan kemarahan dengan memandu secara berbahaya

FAKTOR-FAKTOR LAIN 

Keadaan bas ekspress yang kurang elok akibat tidak diselenggara – brek tidak berfungsi, tayar pancit, dan pelbagai lagi masalah – bas tidak dihantar untuk pemeriksaan kepada pihak PUSPAKOM.

Pihak polis traffik dan Jabatan Pengangkutan Jalan kurang mengadakan sekatan jalan raya menyebabkan pemandu bas ekspress yang tidak berdisiplin bermaharajalela semasa memandu.

Pihak pengurusan syarikat bas ekspress mengaji pemandu bas warga asing yang diragui kebolehan dan pengalaman mereka semasa memandu – nilai tanggungjawab mereka juga kurang dan boleh dipersoalkan – ada yang menggunakan lesen palsu.

PENUTUP

Pemandu bas ekspress bertanggungjawab ke atas keselamatan penumpang
Kecuaian mereka boleh menyebabkan kehilangan banyak nyawa
Kemalangan yang melibatkan bas ekspress harus dihentikan segera
Semua pihak harus prihatin dengan isu ini kerana melibatkan ramai nyawa manusia yang tidak berdosa

RANGKA KARANGAN KEPENTINGAN MATA PELAJARAN SEJARAH


RAMALAN 1
ISU : MATA PELAJARAN SEJARAH

SOALAN YANG DIJANGKA

Tindakan kerajaan mengumumkan mata pelajaran Sejarah dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 ada rasionalnya. Pada pendapat anda, apakah kepentingan mata pelajaran Sejarah dan nyatakan faktor-faktor yang menyebabkan pelajaran Sejarah tidak diminati oleh kebanyakan pelajar di sekolah?

PENDAHULUAN KARANGAN

Subjek Sejarah diwajibkan lulus pada tahun 2013 di peringkat SPM
Kerajaan sedar subjek Sejarah penting untuk mengekalkan rasa cinta dan taat setia kepada negara yang tercinta.
Generasi muda juga semakin banyak yang buta sejarah negara sendiri.
Kepentingan subjek sejarah dan faktor yang menyebabkan pelajar tidak meminati mata pelajaran sejarah akan dibincangkan.

Kepentingan Mata Pelajaran Sejarah

Melahirkan pelajar yang mempunyai semangat cintakan negara dan rela berkorban demi mempertahankan kemerdekaan negara pada bila-bila masa.

Melahirkan pelajar yang bersatu padu, bertolenransi, dab hormat-menghormati antara satu sama lain demi mengekalkan keamanan dan keharmonian hidup di Malaysia.

Melahirkan pelajar yang tahu menghargai jasa dan sumbangan orang terdahulu yang bersusah payah membebaskan negara daripada penjajah dan anasir-anasir jahat seperti komunis dan sebagainya.

Melahirkan pelajar yang tahu hak dan asal usul setiap kaum di Malaysia supaya mereka tidak mempersoalkan keistimewaan dan hal kaum lain sesuka hati sehingga menimbulkan ketidakamanan dan kekacauan.

Faktor yang menyebabkan pelajar tidak meminati mata pelajaran Sejarah

Terlalu banyak fakta untuk dihafal dan diingat pada setiap masa – pelajar mudah berputus asa belajar subjek sejarah.

Pengajaran guru Sejarah yang membosankan – membaca buku teks atau secara kuliah menyebabkan pelajar mengantuk

Sukatan pelajaran terlalu banyak dan lama – tidak pernah ditukar atau disesuaikan dengan perkembangan semasa.

Kebolehan pelajar berbahasa Melayu amat terhad menyebabkan mereka sukar untuk memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru.

Sokongan daripada ibu bapa dan para guru amat kurang – pelajar menganggap subjek sejarah ini tidak penting untuk dipelajari.

PENUTUP

Subjek Sejarah mengajar kita mengenali negara sendiri
Kedaulatan dan keharmonian negara harus dihargai
Jangan sampai kita menggadai kemerdekaan negara kerana kita buta sejarah
Semua pihak harus prihatin dengan isu ini.

03 Oktober 2011

ISU FILEM : HAYATI TEGURAN TUN DR MAHATHIR TENTANG KUALITI FILEM HANTU CIPTAAN MALAYSIA

Ku Seman Ku Hussain


Sehingga kini belum ada pemimpin besar yang ambil kisah tentang racun yang disebarkan oleh sebahagian besar filem hantu di negara ini. Kepentingan masyarakat yakni penonton yang terdiri daripada orang Melayu tidak menjadi keutamaan kerana banyak yang menganggap filem hantu telah “memajukan” industri filem negara ini. Bingungnya. Kalau di luar negara genre filem seram antara karya yang dikagumi, nilai estetika dan pemikirannya tinggi. Tetapi di negara ini filem hantu disekutukan dengan filem-filem buruk dan pemikiran sebahagian besar pembuatnya yang dangkal. Tetapi kerana filem beracun ini tidak ada nilai politik untuk dipertaruhkan, maka tidak ada yang menegur supaya pembuatan filem ini dinaikkan taraf menjadi karya yang dihormati. Sebaliknya yang menegur adalah kalangan alim ulama. Tetapi sikap bebal sesetengah pembuat filem hantu membuatkan ulama pula menerima kejian. Mujurlah kelmarin bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan penuh tanggungjawab menyelar bahawa filem hantu yang begitu banyak diterbitkan telah meracun pemikiran masyarakat. Filem ini menyekat perkembangan pemikiran masyarakat, mereka kembali takut kepada hantu lebih daripada mereka takut kepada Tuhan. Dr. Mahathir telah menongkah arus ketika pemimpin lain diam dari bersuara kerana dibimbangi menjejaskan kedudukan saham politik. Perihal filem beracun bukan agenda utama kerana sesetengah menganggap menyokong kegemaran masyarakat lebih penting.

Dr. Mahathir mempunyai asas yang kuat untuk menongkah arus menganggap filem hantu meracun pemikiran masyarakat. Ini kerana semasa era Dr. Mahathir, filem-filem begini tidak ada, laras penapisan filem juga lebih ketat. Tidak ada filem atau drama hantu seperti sekarang disiarkan di televisyen. Ini tindakan tidak popular tetapi Dr. Mahathir dan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat tetap melaksanakan larangan itu. Maka, orang Melayu perlulah merenung dan menghayati teguran Dr. Mahathir dan segera memulaukan filem-filem hantu yang bertaraf sampah sarap itu. Kita tidak perlu mengharapkan pembuat filem hantu berubah. Mereka ini jenis oportunis, apa sahaja jenis filem yang digilai ramai mereka akan mengikutnya. Sekiranya esok ada filem bertemakan dakwah Islam mencatatkan kutipan pecah panggung, pasti mereka juga akan membuat filem jenis yang sama. Kerana itu kita agak kecewa kerana keracunan yang merosakkan pemikiran masyarakat tidak menjadi agenda utama sesetengah pemimpin. Sekali lagi mujur Dr. Mahathir sanggup ambil tahu tentang kepentingan masyarakat dan menegurnya. Padahal Dr. Mahathir boleh saja duduk diam. Tetapi kerana tidak sanggup melihat masyarakat diperbodohkan sedemikian rupa memaksa beliau bersuara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 SEPTEMBER 2011


ISU SOSIAL : GAJI SATU LAPIS SEKTOR AWAM MUNGKIN AKAN DIWUJUDKAN SEMULA, KENAIKAN GAJI DIJANGKA SEHINGGA 40 PERATUS


Putrajaya dijangka memperkenalkan sistem saraan baru sektor awam, menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) — antara lain menawarkan skim gaji satu lapis atau peringkat — yang bakal membawa kenaikan gaji sehingga 40 peratus. Sistem saraan yang namanya masih dirahsiakan dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2012 — yang ramai melihatnya sebagai “bajet pilihan raya umum ke-13”. Kerajaan bercadang untuk melaksanakan mulai 1 Januari 2012 bersama sistem penilaian baru, yang dikenali sebagai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek). Difahamkan agensi-agensi kerajaan sudah melengkapkan kajian memperkenalkan sistem saraan yang baru, bukan pelarasan tetapi satu sistem yang baru, skim gaji satu lapis yang pernah digunakan sebelum SSB. Di bawah sistem satu lapis bilangan tangga gaji juga akan ditambah sampai 25 hingga 30 dan kemungkinan lebih dalam gred tertentu. Minggu lalu, The Malaysia Insider membawa laporan bahawa kerajaan kemungkinan akan menaikkan gaji kakitangan awam dan membayar bonus menerusi bajet kali sebelum menghadapi pilihan raya umum. Kali terakhir kerajaan meluluskan pelarasan adalah pada 2007 iaitu sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus. Bulan Ogos 2011, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan. Menurut sumber lain, langkah ini (memperkenalkan sistem saraan baru) juga satu bentuk kenaikan gaji tetapi pelaksanaan menjangkaui kenaikan gaji sebab ia akan membabitkan penyusunan semula skim dan gred. Tindakan paling signifikan ialah memperkenalkan sistem gaji satu peringkat disebabkan permintaan Cuepacs pada 1995, mendesak kerajaan memperkenalkan semula sistem gaji satu lapis dengan memansuhkan SSB. Bagaimanapun tuntutan itu tidak dilayan dan kerajaan hanya memberi pelarasan gaji ketika itu. Cuepacs juga sebenarnya telah berharap sistem gaji satu lapis akan diperkenalkan semula pada 2002 (ketika SSM diperkenalkan), tetapi tidak menjadi kenyataan. Jika ia diperkenalkan semula bermakna ia akan membawa faedah besar kepada kakitangan awam ... kenaikan kemungkinan boleh sampai RM300 hingga RM700, bergantung pada skim dan gred masing-masing. Maklumat ini benar sehingga semalam dan kemungkinan boleh berubah mengambil kira keadaan ekonomi global dan tempatan. Kalau dari segi peratusan, kita boleh katakan kenaikan ini antara lapan hingga 30 peratus, mungkin dalam kes gred tertentu boleh mencapai 40 peratus. Satu lagi perubahan di bawah sistem saraan baru ini ialah langkah kerajaan menyatukan Kumpulan Sokongan I dan II iaitu perkhidmatan kumpulan rendah di bawah satu grup yang bahawa dikenali sebagai Kumpulan Pelaksana.

Nama Kumpulan Pengurusan dan Profesional dijangka akan dikekalkan. SSM diperkenalkan pada 2002 menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan awam. SSM terdiri daripada sistem gaji tiga lapis dengan kenaikan tahunan secara mendatar, menegak atau melintang dengan masing-masing mempunyai kuota. Sistem kuota itu yang mencetuskan rasa tidak puas hati dan dakwaan wujud diskriminasi dalam proses penilaian prestasi. Proses penilaian itu kemudian digantikan dengan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan sekali lagi membawa kepada kontroversi. The Malaysian Insider difahamkan sistem saraan ini, yang mirip dari segi sistem gaji satu lapis yang digunakan sejak negara merdeka sehingga 1991. Awal bulan ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan bahawa Prospek, sistem baru menggantikan PTK, akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat. Penjawat awam yang mempunyai kompetensi dan memiliki potensi iaitu melepasi syarat untuk lulus dan melepasi tahap potensi yang telah diukur oleh panel penilai dijamin memperolehi ganjaran. Prospek yang diperkenalkan Mei lalu hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari ini. Mei lalu, JPA mengumumkan Prospek sebagai pengganti PTK berkuat kuasa 1 Julai lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi akan ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa. Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

SUMBER
BERNAMA
30 SEPTEMBER 2011



02 Oktober 2011

HASIL KARYAKU : KAU CUBALAH JADI DIRIKU

Cubalah kau jadi diriku
Walau seminit
Kau mengajar aku belajar
Kau tekun mengajar
Aku berlaku nakal
Kau melarang
Aku pura-pura tak dengar
Kau pukul meja
Aku ketawa mempersenda

Jadilah diriku walau sehari
Kau suruh hantar buku aku tak peduli
Kau suruh bentang aku membisu
Kau tanya soalan aku termanggu
Kau marah aku termati kutu
Kau tanya punca aku geleng kepala
Kau mengetap bibir kegeraman
Langsung tidak menakutkan aku

Cubalah jadi diriku walau seminggu
Yang kau larang aku halalkan
Yang kau halakan aku berpantang laku
Yang kau suruh aku tak endahkan
Yang kau mahu aku tak tunaikan
Yang kau ajar aku tak praktikkan
Yang kau nasihat aku muntahkan
Yang kau ingin aku tak teringin
Yang kau suka aku buat selamba saja

Jadilah diriku
Supaya kau tahu
Betapa hancur luluhnya jiwaku
Kerana tak mampu  menyepak batu kedegilanmu
Tidak mampu meranapkan bukit kemalasanmu
Supaya kau mengerti
Tatkala patahnya dahan impian
Melihat kau dan kawan-kawanmu
Berpesta kegagalan
Pada setiap kali keputusan diumumkan

Letakkan dirimu ditempatku
Supaya kau rasa
Apa yang aku rasa
Supaya kau tahu
Seksanya jiwa raga
Guru-guru sepertiku
Yang terlalu cinta
Teramat kasih
Sungguh-sungguh ikhlas
Paling sabar
Berhadapan denganmu

NUKILAN
ZULKARNAIN FARIHIN
SMK SACRED HEART
2 OKTOBER 2011
10.00 MALAM

ISU ANTARABANGSA : KRISIS EKONOMI GREECE BOLEH ANCAM DUNIA

Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin
Ketua Eksekutif
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.


KAWAH NGORONGORO 
DI TANZANIA

Greece  terjerumus ke dalam kancah kemelut ekonomi Eropah dan mungkin boleh mengheret dunia ke alam kemelesetan. Bagaimana boleh terjadi sedemikian dan kenapa Kesatuan Eropah (EU) lemah menangani masalah ini? Pilihan yang terbuka kepada Greece tidak banyak dan semuanya ada implikasi serius. Kalau masalah Greece tidak diselesaikan, ekonomi Eropah boleh merudum dan tentunya Malaysia juga terasa tempiasnya. Greece terperangkap dalam putaran ganas kemuflisan, daya saing dan kediri rendah serta kemerosotan ekonomi semakin mendalam. Masalah ini berpunca daripada pengurusan ekonomi lemah, rasuah dan perbelanjaan boros sehingga hutang negara mencecah 113 peratus. Defisit perbelanjaan kerajaan pula 13.6 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2009. Hutang negara ini dijangka naik sehingga 200 peratus dari KDNK tidak lama lagi. Kedudukan kewangan sektor awam menjadi genting sehingga pendapatan kerajaan (dari cukai dan hasil sebagainya) tidak cukup untuk membayar gaji kakitangan awam! Hutang gergasi Greece sebanyak AS$400 billion telah dibiayai oleh bank-bank Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), Jerman dan bank-bank tempatannya sendiri melalui terbitan (penjualan) bon kerajaan Greece.

Selalunya, bon kerajaan amat dipercayai dan dianggap tidak berisiko tinggi kerana kerajaan mempunyai keupayaan kewangan kukuh untuk membayar hutangnya. Kebimbangan tentang keutuhan bon kerajaan mula muncul apabila Dubai yang dianggap kaya raya tidak dapat membayar hutangnya dan terpaksa minta pertolongan Abu Dhabi. Oleh kerana jumlah hutang terlalu besar dan pendapatan kerajaan kecil akibat pertumbuhan ekonomi rendah berikutan kelemahan ekonomi Eropah, ramai khuatir bahawa Greece akan default dan gagal membayar hutang bonnya. Jika ini berlaku, maka sistem kewangan dunia yang sudah lemah kerana baru sahaja dilanda teruk krisis kewangan global 2008/09, akan runtuh kerana bank-bank mengalami kerugian besar dan masyarakat umum hilang keyakinan yang boleh membawa kepada bank run. Jika bank muflis, kerajaan terpaksa mengambil alih dan dana besar diperlukan untuk memulihkan bank berkenaan. Jika Greece tidak dapat membayar hutangnya, terdapat kebimbangan bahawa Itali, Portugal, Ireland dan Sepanyol yang juga mempunyai beban hutang besar mungkin akan gagal membayar hutang.

Akhirnya, bank-bank utama Eropah yang memegang bon Greece dan negara-negara ini akan jadi muflis dan seterusnya membawa kepada kemusnahan sistem perbankan Eropah dan boleh jadi dunia juga. Oleh itu, Greece mesti diselamatkan bagi kebaikan semua pihak. Cara EU dan IMF menyelamatkan Greece adalah dengan memberi pinjaman bagi membiayai operasi sektor awam dan untuk membayar hutang kerajaan Greece. Justeru, pada Mei 2010 EU dan IMF bersetuju menyediakan pakej penyelamat sebanyak €110 billion. Walaupun komitmen pinjaman diberi, keyakinan terhadap ekonomi dan sistem kewangan EU terus diragui. Pada Februari 2011 Menteri Kewangan EU telah menubuhkan Tabung Stabiliti Eropah bernilai €400 billion. Pinjaman pertama kepada Greece ternyata tidak cukup. EU terpaksa memberi talian hayat kepada Greece dengan pakej penyelamat kedua sebanyak €109 bilion pada Julai 2011.

Jimat cermat

Pinjaman ini diberi dengan syarat Greece melaksanakan langkah jimat cermat dan meningkatkan pendapatan kerajaan. Gaji dan pencen kakitangan awam dipotong, cukai dinaikkan, cukai baru diperkenalkan dan banyak projek diswastakan. Rakyat Greece menganggap langkah mengikat tali perut ini keterlaluan sehingga menyebabkan kesusahan amat sangat. Pekerja pengangkutan awam, pemandu teksi, kakitangan awam, guru dan pengawal trafik udara bertindak mogok. Ramai merusuh dan menunjukkan kemarahan dengan merosakkan harta awam. Pinjaman yang diterima dan langkah jimat cermat ini tidak membuahkan sepenuhnya hasil yang dijangkakan. Pihak memberi pinjam iaitu EU dan IMF berpendapat program penjimatan tidak dilaksanakan dengan berkesan dan tidak mengikut jadual. Mereka mendesak wang pinjaman akan hanya diberi jika langkah penjimatan dan peningkatan pendapatan dijalankan dengan tegas dan cepat. Kerajaan Perdana Menteri George Papandreou tentunya sukar mematuhi desakan ini kerana program penjimatan menerima tentangan hebat daripada rakyat. Akibatnya, ekonomi Greece terus meleset kerana pasaran tidak yakin bahawa ekonomi akan pulih.

Bank-bank yang memegang bon kerajaan Greece mahukan bayaran dibuat segera. Rakyat negara yang memberi pinjaman terutamanya Jerman juga menentang kerana tidak mahu kerajaan mereka menggunakan dana awam untuk membantu negara lain walaupun ia ahli EU. Rakyat Jerman marah kerana wang dari titik peluh mereka digunakan untuk menyelamatkan negara lain yang boros berbelanja. Dana pinjaman Jerman untuk Greece perlu diluluskan oleh Parlimen negara itu. Canselor Angela Merkel terpaksa bertungkus lumus memujuk Parlimen Jerman untuk meluluskan usul tersebut. Suasana di Greece memang muram. KDNK tahun ini dijangka menguncup sebanyak 6.3 peratus dan tahun depan (2012) akan terus menurun sebanyak 5.9 peratus. Kadar pengangguran akan melonjak kepada 17 peratus. Apakah opsyen yang ada bagi Kerajaan Greece? Jawabnya tidak banyak. Menteri Kewangan Greece Evangelos Venizelos merungut bahawa negaranya telah “diugut dan dihina” serta menjadi “korban” ketidakcekapan EU. Manakala rakyat Greece pula menuduh kerajaan mereka menyerahkan kuasa mentadbir dan maruah negara kepada EU. IMF dan bank-bank mengenakan syarat-syarat yang tidak boleh diterima. Contohnya, sekarang ini rakyat Greece yang berpendapatan hanya RM20,000 setahun atau RM1,700 sebulan terpaksa membayar cukai pendapatan.

Opsyen pertama adalah bagi Greece melaksanakan langkah penjimatan lebih berkesan dan menerima syarat pinjaman tambahan yang perit terutamanya menaikkan cukai. Dengan ini, Greece boleh terus mendapat pinjaman dan boleh membayar hutangnya. Tetapi, opsyen ini boleh menyebabkan ekonomi Greece meleset lebih teruk kerana tidak ada program untuk mengembangkan ekonomi seperti pakej rangsangan melalui perbelanjaan sektor awam. Jika ini berlaku, pemulihan mengambil masa lama. Yang selamat adalah bank-bank memegang bon kerajaan Greece. Opsyen kedua adalah Greece tidak membayar hutangnya iaitu default dan keluar dari EU. Setengah ahli ekonomi seperti Prof. Nouriel Roubini mencadangkan ini sebagai opsyen terbaik. Jika begitu, Greece dapat menurun kadar mata wangnya yang boleh meningkatkan eksport, menjalankan program rangsangan ekonomi dan meningkatkan daya saing. Apabila ekonomi berkembang, pendapatan kerajaan akan pulih dan hutang dapat dikurangkan. Jika pilihan ini diambil, keyakinan terhadap ekonomi dan bank EU akan hancur sepenuhnya dan bank yang terdedah kepada hutang di EU akan muflis. Mata wang Euro juga mungkin akan berpecah kerana pasaran tidak mahu lagi memegang Euro. Ekonomi seluruh EU akan meleset, kecuali negara yang kukuh seperti Jerman.

Hutang

Opsyen ketiga ialah pengeluaran bon baru oleh kumpulan institusi kewangan antarabangsa untuk menggantikan bon kerajaan Greece. Opsyen ini telah diambil untuk menyelesaikan masalah hutang Argentina pada tahun 1990-an. Bon baru yang dinamakan “Brady Bond” dikeluarkan oleh Amerika Syarikat untuk menggantikan bon Argentina. “Brady Bond” adalah sempena nama Setiausaha Kewangan AS masa itu. Tetapi opsyen ini tidak boleh dibuat kerana ekonomi Greece lemah dan tidak boleh berkembang untuk membayar bon baru ini. Penyelesaian masalah hutang Greece bukan hanya terletak di bahu negara itu sahaja. Ia memerlukan penyelesaian serantau (EU) dan masyarakat antarabangsa kerana dana yang diperlukan adalah amat besar. Menurut Pengarah Urusan IMF yang baru, Christine Lagarde, walaupun implementasi pakej penjimatan penting, pemulihan ekonomi hanya boleh dicapai jika hutang dikurangkan. Memang, punca masalah ini adalah keborosan kerajaan Greece tetapi bank-bank juga tidak boleh terlepas tanggungjawabnya. Mereka begitu ghairah memberi pinjaman tanpa meneliti risiko yang terlibat. Oleh itu, bank-bank perlu berkongsi kerugian dan mesti menerima jumlah pembayaran balik pinjaman yang lebih kecil.

Satu pengajaran penting dari pengalaman Greece ialah menyelesaikan hutang melalui pinjaman dari punca luar bukanlah satu penyelesaian kekal. Ekonomi sesebuah negara hanya boleh pulih dan terus maju jika ia ada daya saing dan asas mantap. Tanpa pertumbuhan ekonomi, masalah hutang negara akan datang semula. Dayang saing yang berasaskan produktiviti dan kadar mata wang yang realistik serta fleksibel penting untuk pertumbuhan ekonomi. EU pula tidak boleh berlengah dan perlu menjalankan langkah pemulihan dengan segera dan tegas. Perbalahan dan ketidaktentuan akan membuatkan pasaran gusar dan hilang keyakinan. Progam baru untuk membantu bagi ahli-ahli EU yang bermasalah perlu diwujudkan dengan segera dan jumlah bantuan yang diperlukan mesti dibuat secara betul berasaskan maklumat tepat. Langkah pantas perlu diambil kerana jika tidak pelabur akan mengalihkan dana mereka keluar kepada pelaburan di tempat lain yang dianggap lebih selamat. EU juga perlu ada sumber secukupnya jika bank-bank mereka memerlukan suntikan dana dan penambahan modal terutamanya bagi kerajaan Itali dan Sepanyol yang kedudukannya tidak begitu mantap.

Krisis di Eropah ini menampakkan satu perubahan baru yang penting. Kali ini AS tidak mampu mengambil peranan sebagai penyelamat kerana ekonominya sendiri bermasalah. Sebaliknya, dunia beralih kepada kuasa baru iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) sebagai penyelamat baru. Setakat ini, BRICS masih lihat dan tunggu. Jika mereka menjadi penyelamat, ini merupakan fenomena unik kerana negara sedang membangun membantu negara maju. Yang jelas BRICS semakin berpengaruh di persada dunia. BRICS ada dana yang besar, pertumbuhan ekonomi tinggi, daya saing yang kuat, sumber yang banyak dan pasaran besar. BRICS juga berjaya mengharungi krisis global dengan baik dan ekonomi mereka pulih dengan cepat. Secara kesimpulan, krisis hutang Greece bukan masalah negara itu sahaja. Dunia akan terjejas secara langsung dan tidak langsung apabila krisis di Greece menular ke negara lain dan kemelesetan merebak ke seluruh dunia.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
2 OKTOBER 2011