04 November 2010

ISU EKONOMI : NEGARA SASAR 10 NEGARA TERATAS DI DUNIA DALAM URUSAN PERNIAGAAN SEBELUM TAHUN 2015

 
Perdana Menteri berkata, negara menyasarkan kedudukan 10 negara teratas di dunia dalam urusan menjalankan perniagaan menjelang hujung Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) iaitu sebelum 2015. Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, pelaksanaan sistem laluan nombor identiti korporat Malaysia (MyCoID) fasa kedua akan memberi impak positif dalam meningkatkan daya saing negara di peringkat dunia dan memperbaiki penilaian Bank Dunia dalam aspek Starting a Business atau memulakan perniagaan. Beliau berkata, berdasarkan laporan penilaian Doing Business 2010 Bank Dunia, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-23 daripada 183 negara.
 
Akan tetapi ketika penilaian ini dilakukan, memulakan perniagaan di Malaysia memerlukan sebanyak sembilan proses dan 11 hari. Kini dengan pelaksanaan MyCoID hanya memerlukan satu proses dan masa sehari sahaja. Ia menjadikan negara setara dan setanding dengan New Zealand yang kini berada pada kedudukan pertama. Dengan andaian faktor-faktor lain tidak berubah bagi negara lain, kedudukan kita mampu melonjak kepada kedudukan ke-17 pada tahun depan. Bagaimanapun, sasaran tersebut bukannya sesuatu yang mudah kerana sudah pasti negara-negara lain akan turut melakukan peningkatan berterusan dalam pelbagai aspek. Lantaran itu untuk maju kita perlu sentiasa berada di hadapan keluk perubahan manakala untuk kekal di hadapan, kita perlu menerajui perubahan.

Setelah dilaksanakan sepenuhnya, MyCoID fasa kedua ini, ia dijangka akan memberi manfaat dalam empat perkara: Pertama, memudahkan orang awam terutama komuniti korporat dalam urusan perniagaan mereka dengan hanya perlu menggunakan satu nombor rujukan sahaja, bukan beberapa nombor rujukan sebelum ini. Kedua, meningkatkan keberkesanan transaksi antara orang awam dan agensi kerajaan melalui pengurangan masa 'rujuk silang' atau cross-referencing. Ketiga, mempertingkatkan interaksi antara agensi kerajaan terutama dalam penyaluran input, pengesahan dan pengemaskinian data. Keempat, membolehkan urusan pemerbadanan dan pendaftaran syarikat dengan beberapa agensi berlainan dibuat secara one touch point.
 
 

03 November 2010

ISU SOSIAL : NASIB PEMANDU KENDERAAN AWAM TERABAI

Kebiasaannya apabila berlaku kemalangan maut melibatkan kenderaan awam seperti bas ekspres, pemandu dan syarikat terbabit akan disiasat serta dihadapkan ke muka pengadilan. Keadaan kenderaan dan fizikal jalan raya juga diteliti sama ada turut menyumbang kepada nahas yang berlaku ataupun tidak. Dalam pada itu, masyarakat Malaysia yang prihatin sibuk mengandaikan sebab kemalangan, sambil mencadangkan itu dan ini. Tidak kurang juga terdapat segelintir yang mudah membuat kesimpulan dengan menyalahkan pihak tertentu. Selang beberapa ketika, isu tersebut seakan dilupakan sehinggalah berlaku kemalangan maut yang lain, lalu ia kembali heboh diperkatakan. 

Namun sedarkah kita nasib golongan pemandu bas ekspres di Malaysia kurang diberi perhatian. Dengan anggaran pendapatan di antara RM300-RM700 sebulan, mereka terpaksa berlumba di lebuh raya demi mengejar trip bagi menyara keluarga dan persekolahan anak-anak. Hasilnya, mereka memperoleh pendapatan empat angka yang tampak mewah walaupun terpaksa bersengkang mata memikirkan nasib puluhan nyawa penumpang yang dibawa.Tambahan lagi kerjaya sebagai pemandu bas ekspres merupakan pilihan terakhir bagi sesetengah golongan kerana ia tidak menjanjikan kehidupan selesa pada masa hadapan terutama bagi yang kurang beringat. Ini kerana tiada potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dilakukan oleh sesetengah majikan. 

Tiada kenaikan gaji tahunan seperti yang biasa dinikmati oleh pekerja sektor perkilangan. Bonus tahunan pula jauh 'panggang dari api'. Faedah cuti juga tidak menentu. Mereka seperti 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Malah lebih buruk lagi, apabila bas yang digunakan untuk mencari makan mengalami kerosakan, maka pendapatan bulanan mereka juga akan terjejas. Jalan raya umpama rumah tangga sehingga keluarga dan anak-anak kadang-kadang terabai demi mencari sesuap nasi. Mereka berkorban masa, tenaga malah nyawa untuk menyelesaikan tuntutan fardu kifayah kepada segenap lapisan masyarakat. Namun jarang jasa dan pengorbanan mereka dibalas dengan ucapan terima kasih oleh penumpang sebaik sahaja selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Tidak dinafikan, ada segelintir pemandu bas ekspres yang nakal di jalan raya. Mereka tidak menghiraukan amaran perangkap laju yang diletakkan di lebuh raya kerana sangat arif dengan kedudukan kamera penembak laju. Ditambah lagi dengan semangat setiakawan yang erat antara pemandu. Memang diakui ada juga pemandu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan arak yang membahayakan penumpang. Tidak kurang juga terdapat komuniti pemandu Muslim yang melalaikan tanggungjawab dan kewajipan agama seperti solat lima waktu sehingga penumpang juga terlibat meninggalkan solat yang difardukan. Di sudut pandang yang lain, tauke-tauke bas ekspres mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap tahun hasil kenaikan tambang bas dan peningkatan jumlah penumpang pulang ke kampung terutama di musim perayaan. Namun aspek kebajikan pemandu yang merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan mereka kurang diberi perhatian terutama oleh majikan yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Justeru, siapa sebenarnya yang patut dipersalahkan setiap kali berlaku kemalangan maut yang melibatkan kenderaan awam. Yang pasti pemandu bas ekspres akan menjadi suspek utama kerana merekalah yang mengendalikan kenderaan tersebut. Tentunya mereka yang terlebih dahulu direman oleh pihak berkuasa. Namun jika difikirkan dengan rasional, golongan pemandu juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Boleh jadi aspek pemanduan laju dan berbahaya akhirnya mengundang padah kepada mereka.asbab mala petaka yang tidak boleh dipertikaikan. Malah kemalangan maut yang meragut nyawa hanyalah asbab kepada kematian yang tidak boleh dielakkan oleh sesiapa jua pun. Tidak salah juga jika setiap orang yang beriman kembali berpegang dengan ketentuan qada dan qadar Tuhan sebagai

Untuk itu, rakan pemandu seagama dinasihat tidak mengabaikan tanggungjawab solat yang utama walau sesibuk mana pun mencari rezeki kerana ia merupakan tali penghubung hamba dengan Tuhan-Nya. Di situlah letaknya keberkatan atas nikmat rezeki kurniaan Tuhan yang jika disyukuri akan ditambah sehingga mencukupi. Berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT serta ingatlah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud "Tergesa-gesa itu daripada syaitan dan berhemah itu daripada Allah SWT". Apa pun sesuatu patut dilakukan bagi membela nasib pemandu kenderaan awam di Malaysia sebagai antara langkah bagi mengelak kejadian yang tidak diingini daripada terus berlaku. Penetapan gaji minimum yang dicadangkan kepada sektor tertentu seperti pengawal keselamatan dan pembantu rumah yang sesetengahnya bukan orang tempatan wajar diperluaskan kepada golongan pemandu yang juga terkesan dengan peningkatan taraf hidup semasa. Malah sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat, mereka lebih layak mendapat pengiktirafan tersebut berbanding warga asing yang pasti pulang ke negara asal apabila tamat bekerja di sini.



MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU)
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
Utusan Malaysia
03 November 2010

ISU KENEGARAAN : SEJARAH PEMBENTUK WARGA BESTARI

Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim
 Pengumuman bahawa Sejarah akan menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan subjek teras pada peringkat sekolah rendah mulai 2014, adalah langkah yang bijak. Ini antaranya adalah kerana pemahaman terhadap sejarah tanah air boleh membantu dalam pembentukan nasionaliti Malaysia yang lebih tulen, dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, khususnya generasi muda. Tidak dapat dinafikan bahawa generasi muda kini tidak banyak mengetahui pelbagai peristiwa sejarah negara yang penting. Sesungguhnya, inilah cabaran utama pada masa kini dalam usaha kita membentuk bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu padu, seperti yang digagaskan dalam 1Malaysia. 

Dalam hal ini, tumpuan utamanya adalah kepada pelajar agar mereka bukan saja dapat memahami proses pembinaan negara dengan lebih baik. Tetapi yang lebih penting lagi ialah mereka dapat menghayati pengertian nasionaliti Malaysia dengan penuh semangat patriotisme. Hasrat yang sebegini mulia sesungguhnya tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak, dalam apa-apa cara jua. Cadangan untuk menjadikan Sejarah subjek wajib lulus perlu dilihat secara positif. Ia tidak sekali-kali bertujuan untuk membebankan pelajar atau menggapai agenda mana-mana pihak. Sebaliknya ia adalah untuk memastikan pelajar mengambil serius mengenai subjek ini, yang boleh diolah sedemikian rupa, agar sukatan pelajarannya lebih mengarahkan kepada pemahaman dan penghayatan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam konteks ini, sukatan pelajaran Sejarah boleh antaranya memberi penekanan kepada proses pemupukan perpaduan kaum di Semenanjung dan integrasi nasional antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, selain membentuk jati diri kebangsaan. Hal ini didapati amat penting dalam negara majmuk, seperti Malaysia yang membenarkan pengamalan kepelbagaian budaya. Penekanan kepada proses, yakni siri peristiwa yang membabitkan pelbagai pihak untuk mencapai sesuatu, khususnya kepada penyatupaduan negara serta jati diri kebangsaan, adalah penting untuk pendukungan nasionaliti Malaysia yang jelas sifat Malaysianya. Ini antaranya boleh dilakukan dengan meneliti era setiap Perdana Menteri secara rinci, untuk menggarap peranan perkongsian kuasa antara kaum yang diterajui kaum Melayu dalam membina negara daripada Malaya sehinggalah ke Malaysia. Dalam hal ini, sumbangan Datuk Onn Jaafar, walaupun beliau bukan Perdana Menteri negara ini, perlu ikut dibincangkan. Legasi beliau sesungguhnya adalah dalam penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan, selain menumpaskan rancangan Malayan Union.

Dalam kerjaya politiknya, pada mulanya Onn memperjuang hak kaum Melayu, tetapi kemudian beliau beralih untuk memperjuang pendekatan pelbagai kaum dalam politik negara. Walaupun Onn tidak berjaya dengan pendekatan ini, beliau sebenarnya meletak asas politik Malaysia yang bersifat multietnik dalam bentuk pentadbiran yang berkongsi kuasa antara kaum.  Asas ini direalisasikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj apabila beliau berjaya memperoleh kemerdekaan negara daripada British, yang hanya akan memberinya selepas mereka meyakini adanya permuafakatan antara kaum dalam mengurus tadbir negara selepas merdeka. Era Tunku banyak meletakkan peraturan asas untuk mengurus hubungan etnik, yang menekankan perkongsian tanggungjawab, selain kuasa. Realiti kebergantungan antara kaum mula diinstitusikan pada era ini. Kontrak sosial yang menggariskan prinsip asas bagaimana negara ini perlu diurus tadbir, sebenarnya memperlihat permuafakatan tulen antara Melayu-Cina-India pada waktu kemerdekaan. Ia perlu diinterpretasi dalam semangat dan konteks ia digubalkan, walaupun pada zaman moden ini.

Era Tun Abdul Razak Hussein memperlihat bagaimana beliau memperkemas sistem selepas kontrak sosial rapuh dengan berlakunya rusuhan kaum pada 1969. Untuk ini, dalam konteks penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan, beliau menambahkan prinsip perimbangan dalam kontrak sosial ini dengan memasukkan prinsip kesamaan, khususnya kesamaan ekonomi. Ini dilakukan melalui penggubalan Dasar Ekonomi Baru pada 1970, yang bertujuan untuk mewujudkan kesamaan ekonomi antara kaum Melayu/Bumiputera dengan kaum bukan Melayu/Bumiputera. Peranan yang dimainkan Hussein dalam konteks penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan, mengambil bentuk yang sedikit berlainan. Untuk ini, beliau mempertahan kedaulatan undang-undang negara, prinsip keempat dalam Rukun Negara. Hal ini dapat dilihat pada kes Datuk Harun Idris yang disabitkan dengan rasuah pada 1975-1978.

Dalam memastikan pentadbiran era beliau ‘bersih, cekap dan amanah’, Hussein menekankan pentingnya etika yang menjadi asas moral dalam pembinaan negara. Selain terus memberi perhatian serius kepada hubungan etnik, beliau memastikan undang-undang negara perlu selalu dihormati semua pihak. Ini adalah satu lagi prinsip kenegaraan Malaysia yang perlu ditegaskan. Tun Dr Mahathir Mohamad dalam terus membina negara, menambahkan dimensi antarabangsa kepada Malaysia. Beliau selain memantap permuafakatan antara kaum, memberi perwatakan kepada Malaysia agar berlainan dengan negara lain. Antara perwatakan ini ialah pengiktirafan Malaysia sebagai negara maju yang berstatus ekonomi moden melalui Wawasan 2020. Pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi didapati memberi penekanan kepada etika dalam penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan. Ini antaranya dapat dilihat pada usaha untuk membanteras rasuah, mempertingkat keefisienan, integriti, sistem penyampaian, selain memupuk budaya telus dan bertanggungjawab dalam perkhidmatan awam. Peningkatan hubungan etnik yang lebih baik ikut menjadi misi negara pada era ini.

Era Datuk Seri Najib Razak melalui Gagasan 1Malaysia, ingin menyemai nasionalisme Malaysia yang menekankan konsep ‘1Bangsa 1Negara’. Dalam konteks penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan, Najib mengajak rakyat untuk menukar nilai dan cara pemikiran bagi mencapai transformasi, berdasarkan beberapa prinsip dalam Gagasan 1Malaysia. Ini ingin dilakukan melalui rakyat yang bersatu padu dan bertindak bersama-sama sebagai bangsa Malaysia untuk menjayakan pelbagai program kemajuan yang direncanakan. Pendidikan adalah saluran penting untuk mencapai transformasi ini. Sejarah adalah antara kurikulum penting yang perlu dimanfaatkan, selain diubah, yakni diolah untuk memenuhi fungsi pertama dan asas pendidikan, iaitu pembentukan warga negara. Ini boleh dilakukan melalui etos yang digaris oleh pentadbiran Perdana Menteri terdahulu dan semasa. 
 
Oleh Teo Kok Seong
Felo Penyelidik Utama
Institut Alam dan Tamadun Melayu
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


ISU PENDIDIKAN : KEPEMIMPINAN PENDIDIKAN HARUS BERUBAH

 
Kepemimpinan pendidikan sewajarnya melaksanakan pentaksiran kritikal terhadap proses pendidikan yang sedang berjalan supaya sebarang penyesuaian selaras dengan keutamaan serta keperluan masyarakat domestik dan global yang sentiasa berubah. Tan Sri Muhyiddin Yassin.  berkata, bagi menghadapi era globalisasi itu, setiap pengetua perlu menjalankan penilaian menyeluruh ke atas setiap aktiviti dan program yang dilaksana pada peringkat sekolah dan seterusnya melaksana penambahbaikan bersesuaian dengan kehendak semasa. Pada hemat saya, dalam konteks perubahan yang wujud dalam masyarakat hari ini, kepemimpinan pendidikan perlu menekankan mengenai pentingnya membina semula dan membuat penyesuaian terhadap perubahan yang berlaku dalam masyarakat. 
 
Justeru, kepemimpinan pendidikan perlu mempunyai kecenderungan untuk membawa perubahan sosial yang membina, mengenal pasti kelemahan kontroversi dan konflik dan seterusnya mengambil pendekatan strategik bagi menangani isu dan permasalahan yang wujud. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, menjadi cabaran kepada pengetua sebagai pengurus sekolah memastikan guru dan kakitangan di bawah kawalan mereka sentiasa dapat dipastikan kesiapsiagaan dalam melaksana tugas secara profesional dan komited.  Katanya, perkara itu hanya dapat direalisasikan jika suasana kerja yang kondusif diwujudkan, latihan bersesuaian diberikan, kebajikan mereka dan urusan berkaitan dengan perkembangan kerjaya diberi perhatian supaya kepuasan kerja dapat dicapai. Beliau berkata, kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada peranan yang dimainkan pengetuanya, yang perlu dilihat dari dua dimensi iaitu pentadbiran dan pengurusan serta kepimpinan pengajaran.

Kepemimpinan pengetua perlu berubah daripada pengurus rutin kepada pengurus pemimpin supaya keberkesanan tadbir urus sekolah dapat terus dipertingkatkan. Budaya kerja yang cemerlang seharusnya menjadi penunjuk penting atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seseorang pengetua supaya sekolah yang dipimpin mencapai sasaran ditetapkan. Oleh itu, budaya kreatif dan inovatif, integriti tinggi, semangat kerja berpasukan dan komitmen tinggi adalah nilai yang perlu dipupuk di setiap peringkat sekolah.


PENGUMUMAN : PEPERIKSAAN SPM DAN STPM KEKAL BERMULA PADA 22 NOVEMBER 2010 WALAUPUN BANJIR

SERI KEMBANGAN: Jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bermula 22 November ini kekal walaupun berlaku banjir di beberapa negeri di utara Semenanjung, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di negeri yang terbabit banjir sudah diarahkan mencari langkah memastikan peperiksaan berjalan lancar walaupun sekolah yang sepatutnya menjadi pusat peperiksaan dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.

ISU PENDIDIKAN : PERDANA UNIVERSITI

Universiti dan pusat penyelidikan kesihatan swasta bertaraf dunia, Perdana Universiti, di Serdang, Selangor yang membabitkan pelaburan hampir RM2 bilion, dijangka memulakan pengambilan kumpulan pelajar pertamanya September tahun 2011. Pengambilan membabitkan dua sekolah perubatan universiti berkenaan yang menjalin kerjasama dengan dua institusi perubatan terkenal dunia iaitu The John Hopkins University and John Hopkins Medicine International, Amerika Syarikat (AS) serta Royal College of Surgeons (RCSI) di Ireland. Pengerusi Eksekutif Academic Medical Centre Sdn Bhd (AMCS), Tan Sri Dr Mohan Swami, berkata sementara menunggu kampus induk di Serdang, dijangka siap 2014, pelajar berkenaan ditempatkan di kampus sementara di ibu negara. 

Sekolah pertama membabitkan program ijazah empat tahun berdasarkan kokurikulum AS dengan kerjasama Sekolah Perubatan Universiti John Hopkins, manakala sekolah kedua menawarkan program ijazah lima tahun berdasarkan kokurikulum Ireland dengan kerjasama RCSI. Selain dua sekolah perubatan, Universiti Perdana itu akan turut mempunyai hospital dengan 600 katil serta Pusat Penyelidikan Perubatan dan Sains Hayat.
 
 

02 November 2010

ISU SOSIAL : USAHA MEMASTIKAN HAK MANGSA JENAYAH TERBELA

Keadilan bukan saja perlu dilakukan, tetapi ia juga hendaklah dilihat sebagai sudah dilakukan. Ini adalah ungkapan umum sistem keadilan, termasuk sistem keadilan jenayah. Walaupun kita mempunyai perbezaan mengenai maksud atau cara mencapai keadilan, kita semua mahukan sistem keadilan jenayah yang sempurna – sistem yang memberi perhatian terhadap semua pihak dalam semua aspek. Banyak yang sudah diperkatakan mengenai hak orang yang tertuduh dan banyak juga tindakan yang diambil untuk memastikan tertuduh mendapat pembelaan sewajarnya. Namun, kita hendaklah sentiasa ingat bahawa pengiktirafan hak mangsa jenayah juga adalah prinsip sistem keadilan jenayah. Perasaan belas kasihan kepada mangsa jenayah tidak harus terhenti pada hari kejadian jenayah saja. Kesan jenayah terhadap jasmani, emosi dan psikologi mangsa, terutama jenayah berat seperti rogol, ragut, rompak dan bunuh (tidak terkecuali pornografi) amat serius. Mangsa akan menanggung kesan itu sepanjang hayatnya. Ramai mangsa jenayah menjalani kehidupan tidak sempurna selepas kejadian.

Dalam sistem diamalkan di negara kita, pendakwa raya menentukan jenis kesalahan dan pertuduhan. Mahkamah pula menentukan sama ada seseorang itu bersalah ataupun tidak. Dalam proses ini mahkamah mengambil kira bukti dibawa pihak yang terbabit, sama ada pendakwa atau tertuduh sendiri (atau melalui peguam). Sekiranya mahkamah mendapati seseorang itu bersalah, ia perlu mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan dan kesan kesalahan itu. Dalam konteks ini, mahkamah boleh menentukan takat atau bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas penjenayah menurut peruntukan yang termaktub di dalam undang-undang. Apakah peranan mangsa jenayah dalam proses pendakwaan dan penghakiman? Apakah keadilan yang boleh dituntut mangsa jenayah di dalam proses ini? Sehingga kini, mangsa jenayah tidak mempunyai apa-apa kuasa atau hak dalam menentukan pendakwaan dan perbicaraan, selain daripada tanggungjawab memberi bantuan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam proses penyiasatan, pendakwaan dan perbicaraan.

Dalam aspek lain, sistem keadilan diamalkan sekarang tidak memberikan mangsa hak undang-undang untuk mendapat ganti rugi akibat perbuatan jenayah, kecuali mangsa atau keluarganya membuat tuntutan atau menyaman pesalah dalam bentuk undang-undang sivil seperti tort. Sekiranya mangsa tidak membuat tuntutan sivil berkenaan, dia tidak akan mendapat apa-apa ganti rugi, walaupun kesan jenayah dilakukan amat serius.  Ini adalah sesuatu yang menarik untuk diberi perhatian kerana keadilan kepada mangsa jenayah bukan saja penjenayah dihukum, tetapi juga kebajikan mangsa jenayah dalam menjalani kehidupan selepas kejadian jenayah itu.  Konsep ganti rugi jenayah bukan perkara baru di sesetengah negara. Di negara kita, konsep ini sudah diperkatakan ahli akademik dan pengamal undang-undang pada seminar, tetapi ia belum lagi mencapai tempat yang selesa dalam sistem undang-undang.

Konsep ganti rugi jenayah penting kerana ia boleh menjadi sokongan kepada mangsa jenayah. Sekiranya mangsa pembunuhan ialah seorang bapa, satu-satunya pencari rezeki keluarga, apakah keadilan yang dapat diberikan kepada balu mangsa dan keluarganya selepas pembunuhan? Hukuman mati ke atas pembunuh mungkin boleh mengubati dendam atau geram, tetapi bagaimana pula dengan kualiti kehidupan mereka? Bayangkan sekiranya balu berkenaan tidak mempunyai pekerjaan dan mempunyai anak ramai, apakah keadilan sebenar kepada mereka? Begitu juga dalam kes kecederaan teruk menyebabkan mangsa kehilangan pancaindera atau kecacatan fizikal kekal serta menanggung kos rawatan tinggi. Tidak terkecuali mangsa jenayah domestik. Satu bentuk sokongan dan pemulihan, fizikal, emosi dan psikologi perlu diberi perhatian bersungguh-sungguh semua pihak, terutama pihak kerajaan. Banyak negara di dunia sudah mengambil pendekatan ‘mesra mangsa jenayah’. Ada negara yang mewujudkan undang-undang khas umpama piagam hak asasi kepada mangsa jenayah. Malah ada negara yang memberikan hak undang-undang kepada mangsa atau keluarganya hak untuk mendapat sedikit jumlah wang bayaran denda sekiranya penjenayah dihukum denda.

Pindaan Kanun Tatacara Jenayah 2010, yang diluluskan Jun lalu memberi sedikit cahaya kepada mangsa jenayah. Pindaan itu antara lain, mewajibkan mahkamah mendengar pernyataan mangsa jenayah atau seorang keluarganya mengenai kesan kesalahan ke atas mangsa atau keluarganya menerusi proses Pernyataan Kesan Terhadap Mangsa. Pindaan terbaru ini juga memberikan mahkamah kuasa menentukan ganti rugi kepada mangsa jenayah, mengeluarkan arahan mengenai peraturan selanjutnya bagi membantu mangsa seperti kaunseling dan seumpamanya.  Saya menyokong sepenuhnya pindaan ini. Ia adalah penambahbaikan kepada sistem keadilan jenayah di negara ini, walaupun ada beberapa penelitian perlu dibuat mengenai kaedah tertentu dalam pemakaian undang-undang ini kelak. Apa yang penting di sini ialah, kita sudah mula menyedari pentingnya mengiktiraf hak mangsa jenayah.

Pindaan itu merakam beberapa prinsip Piagam Hak-Hak Mangsa yang diiktiraf di sesetengah negara seperti Australia. Prinsip lain yang diiktiraf dalam Piagam Hak-Hak Mangsa Jenayah (seperti yang diiktiraf di New South Wales), Australia, termasuklah hak mangsa untuk mendapat layanan baik daripada agensi kerajaan yang terbabit seperti polis, mahkamah, hospital dan pendakwa raya. Sementara Biro Mangsa Jenayah dan Tribunal Pampasan Mangsa pula ditubuhkan bagi memberi bantuan kepada mangsa jenayah. Isu hak mangsa jenayah ini mesti dipandang berat oleh kerajaan. Dalam hal ini, kita tidak boleh bergantung kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) saja. Tindakan sewajarnya perlu disegerakan kerana pengiktirafan terhadap hak mangsa adalah elemen penting dalam sistem keadilan jenayah yang sempurna.  

Oleh Shamrahayu A Aziz  
Penolong Profesor 
Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

01 November 2010

ISU PENDIDIKAN : KESAN KETARA MERITOKRASI KE IPTA


Heboh seketika dulu apabila jumlah pelajar wanita ke insititusi pengajian tinggi (IPT) bagi sesi kemasukan 2009/2010 mengatasi pelajar lelaki. Daripada 40,366 calon yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bermula Jun lalu misalnya, 65 peratus atau 26,200 orang daripada mereka ialah pelajar wanita. Namun, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, trend pelajar perempuan mendominasi IPT sudah menjadi sesuatu yang biasa. Ia turut berlaku di kebanyakan negara apabila kebanyakan wanita hari ini mempunyai akses yang sama rata kepada sistem pendidikan.

Tetapi ada perkara lain daripada jumlah pengambilan pelajar baru ke IPTA di negara ini yang sepatutnya lebih mendapat perhatian. Secara komposisi kaumnya, daripada jumlah keseluruhan pelajar ke IPTA sesi kali ini, sebanyak 27,829 orang adalah calon bumiputera. Seramai 10,116 orang pula merupakan pelajar kaum Cina manakala selebihnya iaitu sebanyak 2,421 terdiri daripada pelajar kaum India dan kaum lain. Pada dasarnya, kemasukan pelajar bumiputera masih tinggi berbanding pelajar bukan bumiputera. Tetapi apa yang tidak kelihatan ialah bagaimana pecahan sebenar komposisi pelajar itu jika dilihat daripada kaedah kemasukan iaitu berdasarkan prinsip meritokrasi?

Sejak 2003, pengambilan pelajar ke IPTA tidak lagi berdasarkan kuota yang mana 55 peratus tempat diperuntukan kepada bumiputera manakala 45 peratus yang lain kepada bukan bumiputera. Sebaliknya, kerajaan memperkenalkan prinsip meritokrasi yang membuka peluang sama rata kepada pelajar pelbagai kaum berdasarkan kemampuan pelajar. Ketika diperkenalkan, sistem meritokrasi antara lain dirujuk sebagai satu bentuk pengajaran kepada kaum bumiputera supaya tidak mensia-siakan peluang pendidikan yang telah disediakan oleh kerajaan. Dengan pelaksanaan itu juga, para pelajar akan dipilih berdasarkan 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. 

Pemilihan itu pula dibuat oleh sebuah badan yang ditubuh khas iaitu Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (yang dahulu dikenali Unit Pusat Universiti atau UPU). Ketika peringkat awal pelaksanaannya, kemasukan pelajar bumiputera ke IPTA dicatatkan sebanyak 68.9 peratus. Ia memeranjatkan banyak pihak terutamanya mereka yang menentang pelaksanaannya kerana bimbang sistem itu akan dibolot oleh pelajar bukan bumiputera yang diketahui lebih pandai dan cemerlang. Rekod penguasaan pelajar bumiputera itu terus dipertahankan untuk tahun-tahun berikutnya iaitu 62.6 peratus pada sesi 2003/2004 dan 63.8 peratus pada 2004/2005. Bagaimanapun selepas kira-kira lapan tahun pelaksanaannya, jumlah pelajar bumiputera itu menunjukkan perbezaan yang sangat ketara. 

Tahun ini, iaitu bagi pengambilan pelajar sesi 2009/2010 yang bermula Jun lalu, jumlah pelajar bumiputera yang layak berdasarkan prinsip meritokrasi dikatakan hanya sebanyak 26 peratus sahaja. Bakinya iaitu 74 peratus tempat yang lain, dibolot oleh pelajar-pelajar bukan bumiputera. Meskipun fakta ini tidak didedahkan oleh agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam urusan pengambilan pelajar ke IPTA, namun ia mempunyai asas yang kukuh untuk diyakini. Ini bermaksud, apa yang dibimbangi oleh banyak pihak sebelum ini mengenai akan berlakunya tempat yang dibolot oleh pelajar bukan bumiputera menjadi kenyataan.

Asas kebimbangan itu sebenarnya sangat jelas kerana pelajar bukan bumiputera mempunyai kelebihan dari sudut pencapaian akademik kerana beberapa faktor. Antaranya kerana kedudukan ekonomi mereka yang lebih baik yang membolehkan pelajar bukan bumiputera mendapatkan pendidikan tambahan di luar sesi persekolahan. Malah, ada yang mampu mengupah guru persendirian khusus untuk mengajar anak-anak mereka secara peribadi. Sudah semestinya, keputusan peperiksaan mereka jauh lebih baik jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar bumiputera yang rata-ratanya hanya bergantung kepada pendidikan asas di sekolah biasa. Ketidakadilan itu lebih dirasai oleh pelajar-pelajar di luar bandar yang mana akses mereka kepada pendidikan tambahan lebih terhad. Belum pun satu dekad prinsip meritokrasi itu dilaksanakan, jurang antara pelajar bumiputera dan bukan bumiputera yang layak ke IPTA sudah kelihatan begitu besar. 

Tidak mustahil, tiada lagi pelajar bumiputera yang layak ke IPTA berasaskan sistem merit sekiranya dasar ini dikekalkan untuk satu jangka masa panjang. Kerana itu adalah wajar bagi kerajaan mengkaji semula dasar ini dengan mengambil kira survival pendidikan tinggi bumiputera. Perkara ini bukan tidak disedari oleh pihak kerajaan kerana khabarnya, kerajaan terpaksa menambah bilangan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengimbangi jumlah pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di IPTA. Ini kerana UiTM ketika ini merupakan satu-satunya universiti khusus milik bumiputera dan tidak mengamalkan sistem merit sepenuhnya dalam pengambilan pelajar. Akan tiba masanya, UiTM juga tidak lagi mampu menampung lebihan pelajar berkenaan dan ketika itu, ke mana pelajar-pelajar bumiputera akan ditempatkan? 

Soal menjamin pendidikan kepada bumiputera adalah sesuatu yang jelas dalam Perlembagaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan. Tidak perlu ada rasa bersalah dalam memastikan bumiputera mendapat kelebihan kepada akses pendidikan yang sempurna termasuk di peringkat pengajian tinggi kerana itu merupakan hak mereka. Sementelah, kaum bumiputera juga berdepan dengan persekitaran yang tidak adil untuk diajak bersaing secara terbuka menerusi pelaksanaan prinsip meritokrasi. Ini kerana mereka tidak berkemampuan untuk ke sektor pengajian swasta seperti kaum lain sekiranya gagal ke IPTA kerana kos pengajian yang terlalu tinggi. Kaum bukan bumiputera pula seharusnya sedar bahawa sistem kuota yang dilaksanakan sebelum ini tidak sedikit pun menafikan hak mereka untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Dengan komposisi kemasukan pelajar mengikut kaum yang terlalu kecil, kuota 45 peratus yang disediakan kepada bukan bumiputera ke IPTA masih meninggalkan baki yang tidak dipenuhkan. 

Selain itu, mereka juga disediakan beberapa buah universiti khusus untuk kaum tertentu yang dananya disalurkan oleh kerajaan. Sebagai contoh Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Terbuka Wawasan, Kolej New Era dan beberapa universiti lain. Begitu juga dengan lambakan universiti dan kolej universiti swasta yang majoriti pelajarnya terdiri daripada bukan bumiputera. Dalam erti kata yang lain, kaum bukan bumiputera sebenarnya tidak mempunyai banyak masalah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi di negara ini meskipun ketika amalan kuota diguna pakai. 

Malah jika faktor itu juga diambil kira, kita akan menyedari bahawa kaum bumiputera sebenarnya berdepan dengan peluang yang sangat terhad untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, bukan hanya kekuasaan ekonomi yang akan terlepas daripada tangan kaum bumiputera. Malah kita juga akan kekurangan kumpulan cerdik pandai yang akan menguruskan negara pada masa depan. 

Oleh 
MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
Utusan Malaysia 
20 Julai 2010



ISU EKONOMI : POTENSI MALAYSIA JADI PUSAT RUJUKAN HALAL SEDUNIA


Industri  halal bukan hanya terhad kepada industri produk yang berasaskan makanan dan minuman sahaja malah ia merangkumi sektor yang lebih besar merangkumi farmaseutikal, kosmetik, penjagaan kesihatan, pembungkusan, logistik, perbankan dan kewangan, jentera pemprosesan dan pembungkusan makanan, pelancongan dan bidang-bidang lain di dalam ekosistem industri halal. Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2010 (Mihas 2010) Ke-7 yang sedang berlangsung sekarang adalah platform terbaik dan penting bagi usahawan Malaysia khususnya dan negara-negara ASEAN secara amnya dalam usaha untuk menembusi pasaran halal global.

Mihas semakin mendapat penyertaan dari negara luar yang mula menyedari potensi besar dalam industri halal ini. Mihas 2010 disertai oleh 169 syarikat asing dan 334 syarikat tempatan dari 32 buah negara dengan Itali, Albania, Belgium, Hong Kong dan Romania merupakan peserta baru. Untuk rekod, Mihas 2009 disertai oleh 127 syarikat asing dan 402 syarikat tempatan. Di samping Mihas, Forum Penyelidikan Halal Sedunia (WHR) diadakan di Pusat KonvensyenKuala Lumpur (KLCC) untuk memberi penerangan yang lebih jelas dan berinformasi mengenai isu-isu yang berkaitan dengan industri halal dan platform untuk berkongsi idea dan inovasi baru untuk faedah industri.

Kesungguhan Malaysia menjadi peneraju hab halal dunia terbukti dengan penubuhan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yang diletakkan di bawah Badan Bertindak Pelaksanaan Kebangsaan (NITF) untuk menjadi sebuah institusi yang memfokuskan usaha memajukan industri halal di negara ini. HDC berperanan dan bertanggungjawab untuk menjadi peneraju kepada penetapan piawaian halal termasuk proses mengaudit, pengeluaran sijil halal bagi melindungi integriti halal, membangun, mempromosi dan memasarkan jenama halal Malaysia dan mempromosi konsep barangan halal dan perkhidmatan di Malaysia kepada pasaran dunia yang lebih luas.

Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang membangunkan piawaian makanan halal mengikut Standard Halal Malaysia MS 1500:2004. Ternyata, Malaysia mempunyai kelebihan dan kepakaran menerajui industri halal ini. Di samping itu, kerajaan proaktif dengan menyediakan lapan taman perindustrian pengeluaran produk dan perkhidmatan halal negara dan juga menawarkan insentif menarik untuk menggalakkan perniagaan untuk menyertai industri halal di Malaysia termasuklah elaun cukai pelaburan untuk pengeluaran makanan halal, faedah istimewa untuk eksport produk halal dan pengecualian duti import bahan mentah.

Perdagangan halal di pasaran global mencatatkan nilai RM7.4 trilion setahun dan jumlah penduduk Islam di seluruh dunia yang dianggarkan 1.6 bilion adalah pemangkin kepada perkembangan industri halal. Justeru, penglibatan dan usaha berterusan dari semua pihak melalui agensi kerajaan, pihak swasta, usahawan-usahawan mampu merealisasikan hasrat kerajaan menjadi peneraju dan pusat halal sedunia.  


Oleh NADZIR AWANG AHMAD 
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan 
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis

ISU DADAH : SEJUTA PENAGIH DADAH DI MALAYSIA

Taburan Penagih Tertinggi Di 14 Buah Ibu Negeri Bagi Januari 2009
Malaysia berhasrat menjadikan tahun 2015 sebagai tahun dadah sifar iaitu tahun di mana kita bebas sama sekali daripada gejala penagihan dadah. Tahun 2003 sudah pun diisytiharkan sebagai Tahun Memerangi Dadah Habis-habisan. Apa yang sangat membimbangkan ialah hakikat bahawa bilangan penagih dadah semakin meningkat dan kini dianggarkan sudah berjumlah satu juta. Satu juta penagih dalam negara yang penduduknya 23 juta adalah jumlah yang sangat besar. Penduduk Thailand 63 juta. Penagih dadah di negara jiran itu dianggarkan tiga juta.

Nampaknya strategi mencegah tidak berkesan dan strategi pemulihan juga tidak ke mana. Kenapa keadaan bertambah buruk dan tidak bertambah baik? Masalah paling besar ialah kegagalan mencegah dadah daripada dibawa masuk ke negara kita. Dadah yang disalahgunakan oleh penagih di Malaysia dibawa masuk dari Thailand. Penyeludupan dadah serta pasarannya dikuasai oleh mereka yang berani mati. Kita semua sering bertanya kenapa sukar sangat hendak menyekat dadah daripada dibawa masuk dan dipasarkan di negara kita. Hanya mereka yang tahu sahaja akan memahami kesukarannya. Memerangi penyeludupan dadah jauh lebih sukar daripada apa yang dapat kita fikirkan. Ia tentang duit, ugutan dan pembunuhan. Masalah akan lebih rumit jika berlaku `pagar makan padi'.

Ada cadangan supaya kita membina tembok sepanjang sempadan dengan Thailand. Ini mungkin berkesan, tapi sejauh mana kesannya? Penyeludup akan memikirkan seribu macam cara lain. Walaupun sukar, berat dan bahaya, gejala dadah perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh. Ia juga ada kaitan dengan gejala AIDS yang turut meningkat. Malaysia sudah pasti menjadi negara maju pada tahun 2020 tetapi apakah gejala-gejala yang sedang mengancam kita akan merosakkan segala-gala yang telah dibina dengan penuh susah payah itu?

Thailand mengambil jalan drastik dalam usaha memerangi gejala salah guna dadah - tembak mati. Bila Perdana Menterinya melancarkan kempen memerangi gejala itu, lebih 2,000 orang yang disyaki terbabit ditembak mati dalam tempoh tiga bulan. Pada akhir kempen itu, diisytiharkan 90 peratus daripada masalah yang dihadapi berjaya diselesaikan. Bagaimanapun cara kempen itu dibuat dikecam oleh Amnesty International. Apakah kita perlu ikut cara Thailand? Jika tidak, apa hendak dibuat? Kita tidak mempunyai sepuluh tahun untuk menghapuskan gejala ini. Jika trend semasa tidak dapat disekat, satu juta penagih yang ada hari ini akan bertambah menjadi dua juta. Bertindaklah sebelum kita sampai ke tahap di mana terdapat seorang penagih dalam setiap keluarga.


Sumber
Utusan Malaysia
30 Mei 2004


31 Oktober 2010

KARANGAN STPM : AMALAN MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN


Tabiat merokok menjadi panorama biasa dalam masyarakat kita. Tabiat buruk ini berlaku kerana kita terdedah dalam persekitaran yang tidak memberangsangkan. Sebenarnya, tabiat ini banyak memberikan kesan negatif kepada kita dan kebanyakan masyarakat tahu akan risiko yang dihadapi akibat merokok. Malangnya, masalah ini menjadi semakin serius dan diamalkan oleh sebilangan besar warganegara Malaysia. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan telah memperuntukkan RM17 juta untuk kempen “Tak Nak” demi menentang tabiat merokok di seluruh negara. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan juga menghadapi pelbagai halangan yang menyekat usaha tersebut dan trend ini amat membimbangkan semua pihak.

Amalan merokok sebenarnya menyumbang pelbagai masalah kesihatan dalam kalangan penduduk Malaysia. Merokok merupakan penyebab utama gangguan kesihatan serta kematian sebelum sampai masanya statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Statistik  telah menunjukkan bahawa bilangan kematian yang berpunca daripada barah paru-paru dianggarkan sebanyak 14733 orang bagi tempoh antara tahun 1995 hingga tahun 2000. Hakikatnya, perokok akan diserang pelbagai penyakit yang berpunca daripada tembakau. Mereka akan mengalami penyakit sekatan pulmonary kronik (COPD) yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas, batuk berkahak, dan memberikan kesan kepada jantung. Hal ini demikian kerana mereka akan menyimpan satu persepuluh partikel asap dalam jantung mereka dan menggandakan risiko mati. Tegasnya, seseorang yang kuat merokok lebih terdedah kepada risiko maut berbanding dengan orang lain yang tidak merokok. 

Selain memberikan kesan kepada perokok itu sendiri, merokok juga membawa kesan buruk kepada orang lain. Orang yang tidak merokok boleh juga diserang penyakit apabila terhidu asap tembakau rokok yang dihembus keluar oleh perokok. Hal ini demikian kerana kandungan asap tembakau ini mengandung bahan kimia yang beracun juga. Manakala, merokok dalam kalangan perempuan yang mengandung boleh mencacatkan proses pembesaran bayi di dalam rahim. Bahan kimia yang terkandung dalam asap rokok boleh memberikan kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan yang kurang daya tahan. Akibatnya, anak yang dikandung itu mungkin akan dilahirkan cacat tubuh badan.  Bayi-bayi berkenaan turut terdedah kepada serangan penyakit paru-paru, batuk-batuk, selesema, dan sakit kerongkong. Kesemuanya ini merupakan kesan-kesan perokok terhadap orang di sekelilingnya.

Memandangkan kesungguhan kerajaan terhadap kempen “Tak Nak” untuk mencegah tabiat merokok dalam halakah masyarakat, tetapi pihak kerajaan telah mengalami pelbagai halangan yang menyekat usaha ini. Antaranya ialah halangan daripada pengaruh media massa, terutamanya iklan. Pengaruh iklan paling susah dikawal oleh pihak kerajaan dalam usaha membanteras amalan merokok. Pihak kerajaan harus mengharamkan iklan rokok yang dipamerkan dalam media massa, sama ada dalam media cetak atau media elektronik. Pihak berkuasa juga harus menghalang iklan barangan lain atau perkhidmatan menggunakan jenama rokok dan restoran yang  mempamerkan iklan rokok dengan besar-besaran juga perlu dihalang. Iklan yang membawa mesej rokok bahawa merokok merupakan simbol imej dan kelelakian harus dicegah dengan secepat mungkin. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, pengaruh iklan memang menghalang usaha dan perbelanjaan kerajaan. 

Selain itu, tabiat perokok sendiri turut menghalang usaha kerajaan dalam mencegah tabiat merokok. Sikap perokok yang lemah semangat untuk menghentikan tabiat tersebut menyebabkan usaha kerajaan mengalami kegagalan. Walaupun perokok sedar kebahayaan rokok, namun mereka turut tidak peduli akan kebahayaan merokok. Hal ini demikian kerana sesetengah bapa perokok juga menghisap rokok tetapi mereka masih boleh hidup sampai 80 tahun. Sementelahan, sesetengah perokok sudah tertagih terhadap rokok dan susah untuk berhenti walaupun telah cuba beberapa kali. Kebanyakan perokok pula tidak dapat mengawal nafsu mereka justeru mereka tidak berhasrat untuk menghentikannya. Dengan itu, keinsafan diri di peringkat tertinggi amat diperlukan kerana tiada cara yang paling berkesan untuk menghentikan ketagihan.

Bertitik tolak daripada itu, undang-undang yang kurang tegas juga merupakan halangan yang menyekat usaha kerajaan dalam menentang tabiat merokok. Seperti frasa yang sering diperkatakan, “ ada undang-undang yang ditetapkan, tetapi tiada polis yang melaksanakannya”. Senario ini telah menyebabkan amalan merokok menjadi semakin berleluasa. Misalnya, papan tanda yang menunjukkan “dilarang merokok” yang diletakkan di kawasan awam sering kali hanya untuk pameran sahaja. Hal ini demikian kerana tiada hukuman yang dijalankan bagi perokok yang menghisap rokok di kawasan awam. Dengan itu, hukuman yang berat harus dijalankan supaya penjual rokok akan takut. Tambahan pula, kekurangan pegawai yang membuat rondaan di tempat awam juga menyebabkan usaha kerajaan disekat. Tegasnya, undang-undang yang tidak dikuatkuasakan akan menyekat usaha kerajaan. 

Secara intihanya, tabiat merokok sememangnya merupakan tabiat yang buruk dan harus dihapuskan. Walter B.Pitkin ada berkata, “Jangan menyesali kegagalan yang dialami dengan menuduh atau menyalahkan orang lain, tetapi akuilah sesungguhnya kegagalan itu adalah kerana pembuatan sendiri.” Kata-kata itu sengaja dipetik untuk memberitahu bahawa mereka gagal untuk berhenti merokok ibarat orang yang gagal dalam melawan dengan nafsu. Hal ini demikian kerana tabiat merokok sendiri merupakan halangan yang susah disekat oleh kerajaan. Dengan kurangnya perokok di negara kita, maka kadar kematian rakyat kita akibat tabiat merokok dapat dikurangkan dan suasana yang bebas daripada pencemaran udara turut dihasilkan. Dengan ini, negara kita tidak akan kehilangan golongan yang produktif dalam pembangunan negara.

HASIL KARYA PELAJAR
Rasul Iman Ramzani
SMK Sacred Heart
2010