15 Oktober 2010

KESANTUNAN BERBAHASA = GELARAN KURNIAAN IKHTISAS

PROFESOR DIRAJA

1. Gelaran untuk profesor lelaki dan perempuan
2. Sudah mencapai kemuncak dalam lapangan akademik

PROFESOR EMERITUS

1. Profesor yang sudah bersara
2. Masih mengekalkan gelaran itu sebagai penghormatan

PROFESOR

1. Gelaran untuk lelaki dan perempuan
2. Sudah mencapai pangkat paling tinggi dalam bidang akademik

PROFESOR MADYA

1. Gelaran untuk lelaki dan perempuan
2. Taraf akademik satu tingkat di bawah profesor

DOKTOR

1. Gelaran untuk lelaki dan perempuan
2. Untuk mereka yang berkelulusan Doktor Falsafah
3. Untuk doktor dalam bidang perubatan, pembedahan, pergigian, veterinar
4. Untuk penerima Doktor Kehormat

CIKGU

1. Gelaran untuk lelaki dan perempuan
2. Orang yang menjadi guru (pendidik)

USTAZ/USTAZAH

1. Gelaran untuk lelaki dan perempuan
2. Guru agama Islam

ISU ALAM SEKITAR : KEJADIAN BANJIR MENYEBABKAN PAKISTAN KERUGIAN SEBANYAK RM30.4 BILION


Banjir buruk baru-baru ini menyebabkan Pakistan mengalami kerugian ditaksirkan berjumlah AS$9.5 bilion (RM30.4 bilion) akibat kerosakan infrastruktur, sektor pertanian dan sektor lain di negara ini. Anggaran tersebut dikemukakan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia dengan kerjasama kerajaan Pakistan. Kerugian sebesar itu memperlihatkan cabaran kewangan yang dihadapi oleh Pakistan, sekutu utama Amerika Syarikat (AS) dalam memerangi pemberontak Taliban dan sudah pun bergantung kepada pinjaman antarabangsa sebelum dilanda banjir. Walaupun negara lain termasuk AS sudah menyumbangkan berjuta-juta dolar untuk operasi bantuan, mereka juga memberi amaran kepada Pakistan mereka tidak mungkin menanggung seluruh kos pemulihan dan pembangunan semula yang dianggarkan boleh mencapai lebih AS$40 bilion (RM128 bilion).

Pegawai AS khususnya menggesa Pakistan memperbaiki sistem pungutan cukainya yang lemah bagi membantu membiayai program pembangunan semula jangka panjang. Angka AS$9.5 bilion itu hanya meliputi nilai semasa bagi jalan, bangunan, sistem saliran dan sektor lain yang ditaksirkan di seluruh negara, bukan kos untuk membinanya semula, kata seorang pegawai kerajaan semalam.  Kos pembinaan semula akan bergantung kepada projek-projek yang dipilih untuk dilaksanakan oleh kerajaan dan sama ada kerajaan mahu membinanya semula dengan cara yang sama atau dengan lebih baik, kata pegawai itu. Banjir terburuk dalam sejarah Pakistan itu bermula pada akhir Julai lalu semasa hujan monsun yang sangat lebat, akhirnya melanda satu per lima kawasan negara ini dan menjejaskan kehidupan kira-kira 20 juta daripada 175 juta penduduknya. Hampir 2,000 orang terbunuh manakala berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

ISU SOSIAL : SIKAP BURUK PEMANDU PENYEBAB MALAPETAKA

Sekali bah sekali pantai berubah, itu adalah bidalan Melayu yang sudah lama digunakan dalam menggambarkan sesuatu perkara yang sering berubah-ubah sama ada melalui evolusi ataupun revolusi. Malangnya, ini tidak berlaku dalam kes corak pemanduan serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan jalan raya di negara ini. Malah setiap kali musim perayaan dan cuti umum atau sekolah, maka jalan raya menjadi seperti medan perang yang meragut puluhan malah ratusan nyawa. Statistik yang ditunjukkan saban hari dalam media nampaknya tidak menggerunkan para pemandu kita. Bayangkanlah kenderaan komersial yang berskala gergasi dengan puluhan roda dipandu seperti di litar lumba. Bukan sahaja secara biadap tetapi lebih dari itu seperti samseng jalan raya mengawal ketiga-tiga lorong di lebuh raya sehingga menimbulkan kesulitan yang bukan kecil kepada pemandu lain.

Walhal, mereka ini sudah memiliki lesen PSV yang sudah tentu memahami asas pemanduan di lebuh raya yang tidak membenarkan mereka memandu di lorong paling laju walaupun jika ingin memotong. Tidak cukup dengan sikap buruk dan perangai hodoh ketika memandu, kadang kala serpihan tayar yang terkeluar dari roda kenderaan yang menggunakan tayar celup berkualiti rendah turut menimbulkan ancaman kemalangan kepada pengguna lain. Ada lagi yang lebih hebat apabila membawa muatan batu kerikil yang tidak ditutup rapat sehingga jatuh bertaburan menghentam cermin kenderaan yang di belakang. Bukannya mendapat simpati sebaliknya mereka diketawakan apabila cermin hadapan kenderaan pecah atau retak.

Kepada siapa sebenarnya pengguna jalan raya lain ingin mengadu? Kepada penguat kuasa, yang kelihatan seperti gembira menyaman kenderaan persendirian yang dipandu laju. Sehingga sanggup menyorok di sebalik tiang jambatan, di atas bukit di tepi lebuh raya dan pelbagai tempat tersorok lagi. Mereka ini seolah-olah lupa sebenarnya tugas mereka sebenarnya adalah mendisiplinkan pemandu bukannya mencukupkan kuota saman. Tidakkah mereka ini didedahkan sistem penguatkuasaan undang-undang jalan raya di negara maju di mana pemandu yang melanggar undang-undang termasuk memandu melebihi had laju akan dikejar dan diberikan saman serta-merta dan bukannya di saman ekor yang kemudian selepas enam bulan baru dihantar secara pos. Jika begini corak penguatkuasaan peraturan di jalan raya di negara kita, nampaknya ia tidak akan berjaya diperbaiki. Sudahlah ia dibuat seolah-olah secara bermusim, berpilih-pilih dan tidak mengikut satu standard operasi antarabangsa maka apakah yang akan diharapkan lagi?

Kepada pihak Kementerian Pengangkutan, sila semak semula modul sekolah memandu kita. Apakah ia sesuai dengan perkembangan dan pertambahan kenderaan serta corak jalan raya negara kini. Malah tidak pelik sekiranya ramai yang tidak mengetahui cara untuk menggunakan jalan-jalan mengikut kelasnya. Tentu ada juga yang berfikir bahawa memandu di lebuh raya sama saja dengan jalan persekutuan. Apakah pasukan penguat kuasa juga tidak didedahkan dengan modul pemanduan di lebuh raya? Sehingga melalui beberapa pengalaman peribadi apabila soalan berkenaan ditanyakan setengah mereka turut terpinga-pinga apabila dimaklumkan bahawa menghalang lorong laju untuk digunakan bagi tujuan memotong sebagai satu kesalahan atau kenderaan komersial menggunakan lorong paling kanan adalah salah -- tidak diketahui mereka. Kerana itu, insiden sedih berlaku lagi. Ramai yang menjadi korban di jalan raya. Sedangkan ia boleh dielakkan sekiranya semua pihak melakukan sesuatu tindakan secara bijaksana serta teratur.

Bukan hanya hangat-hangat tahi ayam atau sekadar melepas batuk di tangga sahaja. Tidak ada gunanya wujud Jabatan Keselamatan Jalan Raya jika hanya membuat kempen mengagihkan topi keledar atau menunjukkan cara memakai tali keledar sewaktu musim perayaan. Ia perlu sesuatu yang jauh lebih besar daripada itu. Ia perlu dilaksana secara bijaksana, terancang malah perlukan tanda aras tertentu. Jangan terlalu melihat ke dalam dan asyik memikirkan bahawa kita sahaja hebat sedangkan hakikatnya ramai tenaga pakar di luar yang boleh dijemput membantu.  Kita perlu menggunakan sedikit belanja bagi mencari pakar untuk berkongsi dalam merangka pelan strategi sebagaimana yang dilaksanakan oleh Polis, Rela dan beberapa Jabatan lain yang sudah melaksanakan transformasi berskala besar.

Jangan lagi menunggu sehingga makin ramai menjadi mangsa ataupun mungkin saudara mara atau anak isteri mereka yang berstatus ketua pengarah atau pengarah sendiri terkorban baru ingin dilaksanakan pembaharuan. Bukalah mata dan buka minda, jangan biarkan jalan raya kita menjadi sungai mayat. Mulakanlah agenda itu sekarang tanpa menangguhkannya lagi sehingga rakyat menjadi jelak dengan pelbagai alasan dan saling menuding jari bagi melepaskan tanggung jawab masing-masing.


Oleh DR. AHMAD ZAKI ISMAIL

Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia
Utusan Malaysia
15 Oktober 2010

14 Oktober 2010

ISU SOSIAL : HIDUP KANAK-KANAK TERANCAM

Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama 2010 yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir di Kuala Lumpur Rabu lalu menjadi medan bagi Wanita Pertama dari pelbagai negara berkongsi pengalaman mengenai pelbagai usaha membentuk dan menyediakan kanak-kanak di negara masing-masing menjadi pemimpin akan datang. Kesemua Wanita Pertama yang berucap pada persidangan berkenaan bersetuju bahawa pendidikan dan pendedahan kepada pelbagai kemahiran sebagai aspek yang perlu diberikan keutamaan dalam melatih kanak-kanak supaya mampu menjadi pemimpin. Namun, ada juga Wanita Pertama dari beberapa negara yang membangkitkan isu berbeza yang mungkin tidak dihadapi oleh golongan kanak-kanak di rantau ini. Antara isu-isu yang dimaksudkan ialah perubahan iklim, perang saudara dan pengaruh keganasan yang mengancam golongan kanak-kanak di negara mereka.

Wanita Pertama Republik Kiribati, Meme Tong dalam ucapan ringkasnya berkata, isu alam sekitar seperti perubahan iklim perlu diberi perhatian demi memastikan kanak-kanak hari ini terutamanya di negaranya mempunyai tempat tinggal yang selamat dan selesa pada masa akan datang. ''Perubahan iklim merupakan satu ancaman besar kepada golongan kanak-kanak dan Kiribati sebagai sebuah negara pulau kini menghadapi masalah peningkatan aras laut dan pelbagai hakisan. ''Kedudukan pulau kami kini hanyalah dua meter dari aras laut dan ada kawasan kampung di Kiribati yang terpaksa dipindahkan kerana masalah tersebut. Justeru, saya merayu kepada semua Wanita Pertama yang hadir pada sidang kemuncak ini untuk memberi perhatian kepada masalah perubahan iklim kerana ia melibatkan masa depan kanak-kanak di negara yang terlibat," jelasnya.

Jika tidak, tambah Tong, penduduk Kiribati berisiko kehilangan kampung halaman malah negara mereka sendiri jika pulau berkenaan tenggelam satu hari nanti. Kiribati adalah sebuah negara pulau seluas 3.5 juta kilometer persegi yang terletak di Lautan Pasifik. Sementara Menteri Kebajikan dan Keselamatan Sosial Sudan, Amira Al-Fadil Mohamed Al-Fadil dalam ucapannya berkata, Sudan mewujudkan talian bantuan kepada golongan kanak-kanak di negaranya bagi membantu mereka yang menjadi mangsa perang saudara. ''Sebuah jawatankuasa peringkat kebangsaan juga ditubuhkan untuk melaksanakan pelbagai program dan memelihara golongan kanak-kanak di Sudan daripada direkrut sebagai tentera kanak-kanak oleh kumpulan pemberontak.

''Kempen kesedaran mengenai hak kanak-kanak juga giat dijalankan bagi memelihara golongan ini daripada menjadi mangsa pertempuran yang berlaku," tambah beliau. Menteri Wanita, Kanak-Kanak, Keluarga dan Warga Emas Tunisia, Bebia Chichi berkata, Tunisia mementingkan aspek hak asasi manusia dan perundangan kepada golongan kanak-kanak di negara tersebut. ''Komitmen ini dapat dilihat melalui mahkamah untuk kanak-kanak yang diwujudkan supaya golongan ini boleh mendapat keadilan," jelasnya. Sementara Pengerusi Jawatankuasa Keluarga, Wanita dan Hal Ehwal Kanak-Kanak Azerbaijan, Hijran Huseynova berkata, keselamatan golongan kanak-kanak di negaranya terancam ekoran konflik bersenjata yang berlaku di kalangan jiran terdekat Azerbaijan. ''Cabaran kerajaan Azerbaijan ialah memastikan semua kanak-kanak mendapat perhatian yang secukupnya dan bukannya terbiar merayau di jalan-jalan raya serta tidak mendapat pendidikan," jelasnya.

Wanita Pertama Mauritius, Sarojini Jugnauth berpendapat kerajaan, sekolah dan ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing dalam membentuk kanak-kanak sebagai pemimpin masa depan. ''Di Mauritius, kanak-kanak yang tinggal di bandar dan di perkampungan nelayan di pesisir pantai adalah sangat berbeza. Walau apa pun persekitaran mereka, kanak-kanak perlu diberikan galakan untuk membuat pilihan sendiri dan mencorakkan kehidupan yang mereka mahukan," katanya. Di akhir sesi perkongsian pengalaman oleh delegasi dari pelbagai negara, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang mempengerusikan majlis tersebut membacakan deklarasi sidang kemuncak berkenaan yang menggariskan tiga aspek yang perlu dipenuhi iaitu pendidikan, perhatian keluarga dan sokongan komuniti dalam memelihara kepentingan golongan kanak-kanak.  ''Wanita Pertama yang terlibat dalam sidang kemuncak ini juga akan bekerjasama dalam menggerakkan pelbagai sumber dan membolehkan matlamat bersama dicapai," katanya. Bercakap kepada pemberita, Rosmah menjelaskan, beliau berpuas hati dengan sidang kemuncak yang berlangsung dan cadangan turut dikemukakan supaya persidangan berkenaan menjadi acara dwitahunan dengan Malaysia sebagai tuan rumah. Rosmah berharap pada sidang 2012 jumlah penyertaan akan meningkat terutamanya di kalangan wanita pertama dari negara maju. ''Deklarasi yang diumumkan pada hari ini akan disampaikan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secepat mungkin," jelas isteri Perdana Menteri.


Hidup kanak-kanak terancam

Oleh ROHANI IBRAHIM
UTUSAN MALAYSIA
14 OKTOBER 2010

ISU PENDIDIKAN : MEMPERKASA PENDIDIKAN VOKASIONAL

Isu pendidikan sejak kebelakangan ini sering menjadi paparan media dan antara yang terbaru diperkatakan ialah soal transformasi dalam pendidikan vokasional. Atas hakikat penting mengarusperdanakan pendidikan vokasional, maka kena pada masanyalah satu transformasi jitu mesti diambil bagi mengangkat martabat pendidikan vokasional sebagai aliran pendidikan yang menjadi pilihan pelajar.  Kemajuan pesat dalam sektor industri yang sedang rancak berjalan sekarang sudah pasti akan mengalami gangguan sekiranya tenaga mahir tidak dapat disediakan. Justeru, langkah transformasi itu mesti digerakkan dengan lebih tersusun dan memerlukan perancangan yang rapi.

Soal mengapakah penyertaan pelajar masih rendah dalam bidang vokasional itu dapat diatasi sekiranya segala informasi selengkapnya dapat diberikan lebih awal kepada para pelajar. Selain itu, pihak Kementerian Pelajaran melalui sekolah seharusnya membetulkan persepsi negatif terhadap pelajar bidang vokasional. Kerana selama ini, umum menganggap para pelajar vokasional itu tergolong dalam kalangan yang lemah. Jika halangan persepsi sebegini dapat di atasi, tidak mustahil, pendidikan vokasional menjadi rebutan pelajar sebagaimana yang telah berjaya dilaksanakan di negara-negara Eropah. Di sana, penyertaan pelajar dalam bidang vokasional sudah mencapai 50 peratus. Dengan ura-ura untuk menjadikan bidang vokasional sebagai mata pelajaran di sekolah rendah lagi, diharapkan ia akan menjadi faktor pemangkin kepada tumbuhnya minat mendapat generasi muda kepada pendidikan vokasional itu.

Tetapi, satu hal seharusnya difikirkan oleh kerajaan ialah transformasi pendidikan aliran vokasional biarlah dilaksanakan dalam kerangka yang menepati kehendak pasaran kerja di bidang industri. Oleh itu, subbidang mata pelajaran hendaklah menjuruskan kepada keperluan semasa dan anggaran masa depan. Dalam merencanakan perkara ini, peranan sektor swasta (industri) seharusnya dibawa bersama dalam transformasi tersebut. Contoh peranan yang boleh dimainkan oleh sektor industri dalam merancakkan pendidikan vokasional ialah menjemput tenaga pakar industri sebagai tenaga pengajar jemputan di sekolah-sekolah vokasional. Dengan kaedah seperti itu, pendedahan awal dan maklumat secara langsung dapat disalurkan kepada pelajar. Selain itu, para lepasan pendidikan vokasional juga hendaklah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan cadangan menaikkan taraf politeknik sebagai universiti baru-baru ini, maka dirasakan ruang boleh disediakan untuk pelajar aliran vokasional itu menyambung pendidikan mereka.

Jadi, kita berharap kesungguhan kerajaan dalam menyemarakkan pendidikan vokasional akan memberi ruang dan peluang yang lebih besar kepada para pelajar. Rancangan penstrukturan semula sistem pendidikan vokasional pasti ditunggu-tunggu oleh semua pihak kerana semua ingin melihat bidang ini menjadi teras utama dalam sistem pendidikan negara. Kita juga berharap kerajaan melalui Bajet 2011 akan menyalurkan peruntukan yang lebih besar agar segala perancangan dan agenda mengarusperdanakan pendidikan vokasional tidak terbantut.


Oleh MOHD. RIZAL AZMAN RIFIN Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal,


Politeknik Mukah, Sarawak.

13 Oktober 2010

PERUBAHAN BENTUK IMBUHAN BAHASA MELAYU KUNO KEPADA BAHASA MELAYU MODEN

IMBUHAN AWALAN

Bahasa Melayu Kuno : mar-
Bahasa Melayu Moden : ber-

Bahasa Melayu Kuno : ni -
Bahasa Melayu Moden : di -

Bahasa Melayu Kuno : ma -
Bahasa Melayu Moden : mem-

Bahasa Melayu Kuno : mang -
Bahasa Melayu Moden : meng -

AWALAN RANGKAP

Bahasa Melayu Kuno : nipar -
Bahasa Melayu Moden : diper -

IMBUHAN APITAN

Bahasa Melayu Kuno : par-...-an
Bahasa Melayu Moden : per-...-an

KATA KERJA SEBAGAI KATA SENDI NAMA

Sesetengah kata kerja transitif dapat berfungsi sebagai kata sendi nama. Kata kerja transitif ini sering bertukar ganti dengan kata sendi nama dalam ayat.

CONTOH

1. Dia memberikan cadangan mengenai (tentang) projek itu.
2. Berita nahas kapal terbang itu disiarkan melalui (dalam) televisyen.
3. Surat itu dihantar menerusi (dengan) pos laju.
4. Mengikut (pada) pandangan saya, projek itu tidak mendatangkan manfaat.

PERINGATAN

Walaupun kata kerja transitif dapat berfungsi sebagai kata adjektif dan kata sendi nama, kata-kata itu tetap tergolong dalam golongan kata kerja.

ISU SOSIAL : PINDAAN AKTA MAMPU CEGAH REMAJA TERJEBAK KEGIATAN TIDAK BERMORAL

Dewan Rakyat yang meluluskan Pindaan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) kelmarin, memperlihatkan kesungguhan kerajaan melindungi remaja perempuan berusia bawah 18 tahun daripada diperalat pihak tidak bertanggungjawab. Selain itu, kerajaan mahu memastikan remaja tidak terus dieksploitasi pihak berkenaan sehingga menjejaskan pendidikan, kesihatan serta keselamatan mereka. Apabila akta itu dikuatkuasakan, mereka tidak lagi dibenar bekerja di premis perniagaan seperti hotel, bar, restoran, rumah penginapan atau kelab malam, kecuali premis itu milik keluarga atau penjaga mereka. Kita yakin langkah menguatkuasakan akta berkenaan bertujuan memastikan remaja perempuan dalam lingkungan usia itu tidak terdedah atau terbabit dengan gejala tidak sihat. Kita tidak boleh menafikan remaja pada usia itu terlalu mentah untuk melakukan pekerjaan di tempat seumpama itu. Remaja seusia itu masih memerlukan pengawasan ibu bapa dan bimbingan dari aspek akhlak bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan gejala negatif.
 
Adalah tidak wajar remaja terdedah atau terbabit dengan perbuatan tidak bermoral seperti mengambil minuman keras serta pergaulan bebas yang cukup sinonim dengan persekitaran bar, hotel atau kelab malam. Kita yakin pindaan akta itu mampu melindungi remaja daripada kegiatan tidak bermoral atau mengancam keselamatan mereka. Bagaimanapun semua usaha ini tidak akan memberi kesan jika tiada kerjasama semua pihak, terutama majikan dan pemilik premis perniagaan. Dengan melarang remaja bekerja di premis sosial itu, kita berharap tiada lagi kes remaja perempuan dieksploitasi pihak tertentu untuk melakukan pekerjaan yang tidak bersesuaian. Akta ini juga dapat mengekang sindiket atau majikan yang mahu mengaut keuntungan besar dengan mengeksploitasi remaja bawah umur.  Justeru, hukuman baru terhadap mereka yang melanggar akta berkenaan iaitu penjara sehingga setahun dan denda RM5,000 yang kemudian digandakan bagi kesalahan kedua seperti ditetapkan melalui pindaan itu, diharapkan dapat memberi kesedaran kepada pihak yang cuba mengeksploitasi golongan berkenaan.
 
Di sebalik penguatkusaan akta itu, wujud kelonggaran bagi membolehkan remaja perempuan bawah 18 tahun bekerja di premis perniagaan terbabit dengan syarat ia dimiliki keluarga sendiri atau mereka perlu mendapatkan kebenaran dan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Bagaimanapun kita masih khuatir kerana kelonggaran ini boleh disalahgunakan, termasuk remaja itu sendiri. Jika ini berlaku, pindaan akta tidak memberi sebarang makna. Lagipun kita tidak nampak sebarang jaminan atau perlindungan meskipun mereka bekerja di bar atau kelab yang dimiliki keluarga. Risiko terhadap keselamatan dan terdedah kepada pengaruh negatif tetap ada. Kerajaan juga sepatutnya turut menjelaskan mengenai had umur remaja lelaki yang tidak dijelaskan dalam pindaan akta berkenaan. Perkara itu perlu dikaji supaya remaja lelaki juga mendapat perlindungan sama dari segi undang-undang. Sama ada gadis atau remaja lelaki, mereka tetap terdedah kepada pelbagai eksploitasi majikan yang mahu memperalatkan mereka untuk meraih keuntungan. Lebih wajar jika mana-mana perlindungan dan larangan membabitkan remaja bawah 18 tahun diselaraskan di bawah satu akta bagi mengelak kekeliruan.


ISU BAHASA : RAMAI PEMIMPIN POLITIK TIDAK BERBANGGA MENGGUNAKAN BAHASA MELAYU

Masih ramai pegawai tinggi kerajaan dan swasta serta pemimpin politik tidak menggunakan bahasa Melayu, sedangkan ia tuntutan Perlembagaan yang wajib dalam konteksnya memartabatkan bahasa kebangsaan. Menurut Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Aziz Deraman, biarpun penggunaan bahasa lain seperti Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab dibenarkan, penggunaan bahasa Melayu tidak harus dicampuradukkan, bagi memelihara martabatnya sebagai bahasa rasmi. Di Malaysia kadangkala orang keliru, termasuk ahli politik yang cuba melihat perbezaan perspektif dan persepsi. Apabila kita kata bahasa Melayu bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, maknanya faktor bahasa itu sebagai tuntutan perlembagaan harus berada dalam konteksnya sebenar sebagai bahasa rasmi. Semasa mesyuarat jabatan kerajaan, kementerian, harus meletakkan kembali kedudukan bahasa Melayu ke tempat sepatutnya. Kadangkala pimpinan mesyuarat tanpa segan silu menggunakan bahasa Inggeris.

Walaupun semua yang hadir mungkin ahli politik, pegawai tinggi kerajaan, tetapi penyampaiannya dalam bahasa Inggeris. Sikap megah dan bangga terhadap bahasa ibunda itu tidak ada. Apabila kita bercakap mengenai kesatuan, satu negara, agama, bangsa, ketua, dasar dan rukun negara, bahasa juga harus satu iaitu bahasa Melayu. Kalau orang faham itu, nescaya kita tidak menimbulkan kekeliruan dan pada masa sama bahasa etnik, daerah dan sukuan masih boleh dipakai. Peneguhan sikap terhadap bahasa Melayu termasuk cara menyebut dan menggunakannya dengan betul serta lengkap sopan dan santunnya membolehkan transformasi negara seperti digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaksanakan dalam semua aspek dan bukan fizikal semata-mata. Kalau ini dapat dilakukan semula (memartabatkan bahasa Melayu), maknanya transformasi yang diminta Perdana Menteri akan berlaku dalam semua bidang, bukan saja dalam institusi, tetapi kehidupan. Sementara itu, semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan harus memberi perhatian serius terhadap papan tanda dan mengenakan tindakan kepada yang ingkar.


ISU SOSIAL : MASALAH KEMISKINAN


Kerajaan berjaya mengurangkan kadar miskin tegar sebanyak 49 peratus dalam tempoh kurang dua tahun sejak 2008 dengan hanya 22,198 isi rumah masih berada dalam kelompok itu sehingga akhir September 2010. Menurut Datuk Seri Najib Razak , berbanding sejumlah 44,643 isi rumah miskin tegar yang berpendapatan kurang RM440 pada Disember 2008, kerajaan berjaya mengurangkan hampir separuh jumlah golongan itu sehingga September 2010, sekali gus membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan memerangi kemiskinan rakyat di negara ini.  Kerajaan berazam terus mengurangkan jumlah itu menjelang akhir tahun 2010. Secara keseluruhan, kerajaan berjaya mengurangkan kadar golongan miskin daripada 58.7 peratus pada 1970 kepada 7.1 peratus pada 2007 sebelum menjadi 3.8 peratus pada tahun lalu, manakala kadar miskin tegar menurun daripada 5.2 peratus pada 1990 kepada 1.4 peratus pada 2007.  Dalam konteks berkaitan, rekod kerajaan melaksanakan pelbagai program penting dan projek pembangunan untuk membela nasib masyarakat luar bandar berkemungkinan yang terbaik di dunia, walaupun berbanding dengan negara maju.

ISU SOSIAL : SIKAP BURUK PEMANDU 'PELESET' PUNCA KEMALANGAN NGERI

Kemalangan ngeri di Lebuh Raya Utara-Selatan berulang lagi. Kali ini amat menyayat hati dengan 12 nyawa melayang dan berpuluh-puluh lagi cedera termasuk parah. Bas Ekspres Delima dari arah Melaka menuju ke Kuala Lumpur melayang dan menerjah ke laluan bertentangan. Bas itu melambung dan menghempap tiga buah kereta dan sebuah van yang sedang menuju ke arah selatan. Gambar-gambar kemalangan yang dipaparkan sungguh mengerikan. Badan bas ekspres yang menghempap sebuah kereta terburai sama sekali. Mayat 12 mangsa yang berjaya dikeluarkan pula disusun sementara menunggu untuk dihantar ke hospital. Punca kemalangan sebenar mungkin belum diketahui. Tetapi semua orang sudah tahu, kelajuan adalah puncanya. Kelajuanlah yang meragut 12 nyawa yang tidak berdosa itu.

Menurut saksi, yakni penumpang bas yang terselamat, kelajuan bas tersebut menjadikan mereka di dalamnya tidak ubah seperti 'kacang dalam botol yang digoncang! Kisah pemandu bas ekspres yang memandu bagai pelesit pula bukan cerita baru. Sudah banyak kes mereka didakwa di mahkamah kerana memandu secara bahaya dan cuai sehingga mengakibatkan kematian. Walaupun sebahagian sudah menerima hukuman penjara tetapi pelesit jalan raya ini tidak pernah serik. Akhbar Utusan Malaysia pernah mendedahkan kisah pemandu pelesit bas ekspres dalam satu laporan khas tidak lama dahulu. Para pemandu yang ditemui mengakui punca mereka membawa laju adalah kerana mahu mengejar 'trip', selain berasa tidak selesa memandu perlahan sebuah bas moden yang canggih. Alasan seperti ini tidak boleh diterima sama sekali.

Masih banyak lagi syarikat-syarikat bas ekspres lain yang berjaya menyediakan perjalanan selesa dan selamat. Walau dekat sekalipun satu-satu sektor atau jarak perjalanan itu, soal keselamatan penumpang tidak boleh diabaikan sama sekali. Tetapi tidak bagi para pemandu 'pelesit' ini. Mereka tidak mempedulikan itu semua. Nyawa penumpang dipertaruhkan demi kepentingan diri sendiri. Pada masa yang sama, ada juga pihak-pihak tertentu menyalahkan aspek keselamatan lebuh raya di negara ini. Kononnya, besi pembahagi jalan tidak cukup kuat untuk menahan bas ekspres tersebut daripada menerjah ke laluan bertentangan di lebuh raya. Jawapannya walau tembok keluli sekalipun dipasang sebagai pembahagi jalan, kemalangan ngeri tiga hari lalu tetap akan berulang selagi ada pemandu bersikap sedemikian.

Kerajaan sendiri sudah melakukan pelbagai usaha bagi tujuan ini. Peraturan dan undang- undang sedia ada sudah diperketatkan. Kempen kesedaran keselamatan jalan raya juga sepanjang tahun diadakan. Tragedi menyayat hati ini tidak mustahil akan terus berulang, berulang dan berulang lagi selagi para pemandu pelesit ini tidak insaf dan tidak mahu mengubah sikap buruk mereka itu.