Kemalangan ngeri di Lebuh Raya Utara-Selatan berulang lagi. Kali ini amat menyayat hati dengan 12 nyawa melayang dan berpuluh-puluh lagi cedera termasuk parah. Bas Ekspres Delima dari arah Melaka menuju ke Kuala Lumpur melayang dan menerjah ke laluan bertentangan. Bas itu melambung dan menghempap tiga buah kereta dan sebuah van yang sedang menuju ke arah selatan. Gambar-gambar kemalangan yang dipaparkan sungguh mengerikan. Badan bas ekspres yang menghempap sebuah kereta terburai sama sekali. Mayat 12 mangsa yang berjaya dikeluarkan pula disusun sementara menunggu untuk dihantar ke hospital. Punca kemalangan sebenar mungkin belum diketahui. Tetapi semua orang sudah tahu, kelajuan adalah puncanya. Kelajuanlah yang meragut 12 nyawa yang tidak berdosa itu.
Menurut saksi, yakni penumpang bas yang terselamat, kelajuan bas tersebut menjadikan mereka di dalamnya tidak ubah seperti 'kacang dalam botol yang digoncang! Kisah pemandu bas ekspres yang memandu bagai pelesit pula bukan cerita baru. Sudah banyak kes mereka didakwa di mahkamah kerana memandu secara bahaya dan cuai sehingga mengakibatkan kematian. Walaupun sebahagian sudah menerima hukuman penjara tetapi pelesit jalan raya ini tidak pernah serik. Akhbar Utusan Malaysia pernah mendedahkan kisah pemandu pelesit bas ekspres dalam satu laporan khas tidak lama dahulu. Para pemandu yang ditemui mengakui punca mereka membawa laju adalah kerana mahu mengejar 'trip', selain berasa tidak selesa memandu perlahan sebuah bas moden yang canggih. Alasan seperti ini tidak boleh diterima sama sekali.
Masih banyak lagi syarikat-syarikat bas ekspres lain yang berjaya menyediakan perjalanan selesa dan selamat. Walau dekat sekalipun satu-satu sektor atau jarak perjalanan itu, soal keselamatan penumpang tidak boleh diabaikan sama sekali. Tetapi tidak bagi para pemandu 'pelesit' ini. Mereka tidak mempedulikan itu semua. Nyawa penumpang dipertaruhkan demi kepentingan diri sendiri. Pada masa yang sama, ada juga pihak-pihak tertentu menyalahkan aspek keselamatan lebuh raya di negara ini. Kononnya, besi pembahagi jalan tidak cukup kuat untuk menahan bas ekspres tersebut daripada menerjah ke laluan bertentangan di lebuh raya. Jawapannya walau tembok keluli sekalipun dipasang sebagai pembahagi jalan, kemalangan ngeri tiga hari lalu tetap akan berulang selagi ada pemandu bersikap sedemikian.
Kerajaan sendiri sudah melakukan pelbagai usaha bagi tujuan ini. Peraturan dan undang- undang sedia ada sudah diperketatkan. Kempen kesedaran keselamatan jalan raya juga sepanjang tahun diadakan. Tragedi menyayat hati ini tidak mustahil akan terus berulang, berulang dan berulang lagi selagi para pemandu pelesit ini tidak insaf dan tidak mahu mengubah sikap buruk mereka itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan