28 Ogos 2010

YANG SALAH DAN YANG BETUL

YANG SALAH : Setiap orang warganegara
YANG BETUL : Setiap warganegara

YANG SALAH : Semua buah institusi
YANG BETUL : Semua institusi

YANG SALAH : Sekalian orang hulubalang
YANG BETUL : Sekalian hulubalang

YANG SALAH : Segala laras senjata api
YANG BETUL : Segala senjata api

YANG SALAH : Sebahagian orang penduduk
YANG BETUL : Sebahagian penduduk

YANG SALAH : Setengah-setengah buah negara
YANG BETUL : Setengah-setengah negara

YANG SALAH : Para orang guru
YANG BETUL : Para guru

YANG SALAH : Kedua ibu bapa
YANG BETUL : Kedua-dua ibu bapa

YANG SALAH : berjuta ringgit
YANG BETUL : berjuta-juta ringgit

YANG SALAH : Setengah pelajar
YANG BETUL : Sesetengah pelajar atau Setengah-setengah

KARANGAN SPM: ORANG GAJI WARGA ASING


SOALAN KARANGAN

Pengambilan orang gaji asing telah menjadi suatu budaya dalam kalangan rakyat Malaysia. Bincangkan masalah yang timbul akibat pengambilan orang gaji asing bekerja di Negara kita dan usaha-usaha untuk mengatasinya.

Dalam keghairahan kita merealisasikan pelbagai visi kudsi negara seperti Wawasan 2010, 1 Malaysia, dan Model Ekonomi Baru, kita harus peka dengan persekitaran sosial yang berlaku di sekeliling kita. Salah satu daripadanya ialah isu pengambilan orang gaji asing. Secara literalnya, orang gaji asing didefinisikan sebagai orang yang bukan warganegara diambil bekerja sebagai pembantu rumah di negara kita. Nampaknya, hari demi hari kit akan berhadapan dengan pelbagai fenomena sama ada baik atu buruk berkaitan dengan pengambilan orang gaji asing ini. Oleh itu, masalah-masalah yang timbul dan usaha-usaha untuk mengatasi masalah ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Sudah terang lagi bersuluh, masalah utama yang wujud ialah penderaan ke atas orang gaji asing semakin membimbangkan. Penderaan tersebut biasanya dilakukan oleh majikan. Majikan cenderung untuk mendera orang gaji mereka disebabkan oleh pelbagai faktor seperti tekanan hidup ataupun sikap cuai orang gaji asing yang bekerja dengan mereka. Pada kebiasaannya, penderaan yang dilakukan ke atas orang gaji adalah dengan menyimbah badan mereka dengan air panas, tidak memberi mereka makan, membiarkan mereka bekerja tanpa berehat, dan sebagainya. Akibatnya, banyak orang gaji yang melarikan diri kerana tidak tahan didera oleh majikan mereka. Jelaslah bahawa penderaan ke atas orang gaji merupakan masalah yang wajar diberikan perhatian oleh pelbagai pihak.

Sudah jelas lagi nyata, masalah perdana yang perlu diteliti ialah hubungan diplomatik antara dua negara boleh terjejas. Pemimpin di negara asal orang gaji tersebut biasanya menyalahkan kerajaan negara kita setiap kali berlakunya kes penderaan ke atas orang gaji yang berasal dari negara mereka. Hal ini demikian kerana mereka terpengaruh dengan laporan berat sebelah yang disiarkan oleh media massa. Kenyataan yang berupa kritikan dan kadang kala amaran boleh menimbulkan perbalahan jika tidak ditangani dengan bijaksana. Akibatnya, penghantaran orang gaji asing ke negara kita mungkin akan diberhentikan. Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa pengambilan orang gaji asing boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara negara yang terbabit.

Seterusnya, masalah lain yang tidak kurang pentingnya ialah pengambilan orang gaji asing memerlukan kos yang tinggi. Kos yang tinggi diperlukan untuk membiayai pelbagai urusan dengan syarikat yang menguruskan pengambilan orang gaji asing. Hal ini demikian kerana kebanyakan syarikat mengenakan pelbagai caj tertentu yang mencecah ribuan ringgit kepada kita. Perkara ini menyebabkan majikan mudah panas hati apabila mereka diberikan orang gaji yang tidak tahu bekerja dan sentiasa menyusahkan mereka. Sebagai contohnya, majikan terpaksa membayar sejumlah RM5000 hingga RM7000 bagi mendapatkan khidmat seorang pembantu rumah dari Indonesia. Tuntasnya, kos yang tinggi merupakan satu lagi masalah yang wujud ekoran pengambilan orang gaji asing.

Masalah ini wajar ditangani segera. Di samping itu, usaha mengatasi yang tidak boleh dikesampingkan ialah menggalakkan rakyat tempatan bekerja sebagai pembantu rumah. Pada masa ini, rakyat tempatan tidak suka menjadi pembantu rumah. Hal ini demikian kerana kerjaya ini dianggap kerjaya yang tidak glamour dan bergaji rendah. Jadi, kerajaan haruslah memikirkan cara-cara yang lebih sistematik dan pragmatik untuk menarik minat rakyat tempatan untuk menceburi kerjaya ini. Sebagai contohnya, gaji pembantu rumah boleh dinaikkan sehingga RM800.00 sebulan. Dalam hal ini dapatlah dirumuskan bahawa sekiranya rakyat tempatan berminat menjadi pembantu rumah masalah yang melibatkan orang gaji asing sedikit sebanyak dapat dikurangkan.

Selanjutnya, kita juga perlu melihat perkara ini dari aspek penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi orang gaji asing daripada dianiaya dan didera oleh majikan. Sesetengah majikan bertindak kejam dengan melakukan penderaan ke atas pembantu rumah sehingga ada yang cedera parah. Hal ini berlaku disebabkan pelbagai faktor sama ada berpunca daripada majikan mahupun pembantu rumah itu sendiri. Sebagai contohnya, ada pembantu rumah yang disimbah dengan air panas, dicucuh dengan puntung rokok, ditekap dengan sterika, dipaksa bekerja tanpa rehat dan sebagainya. Tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ini menyebabkan pembantu rumah asing takut untuk datang bekerja di Malaysia. Jadi, penguatkuasaan undang-undang akan menjadikan nasib orang gaji asing lebih terbela di negara kita.

Berdasarkan segala huraian di atas, jelaslah kepada kita bahawa pengambilan orang gaji asing bekerja di negara kita memang ada pro dan kontranya. Sama ada kita sedar atau tidak, kita terlalu bergantung kepada orang gaji asing untuk menguruskan kehidupan kita sehari-hari. Dengan itu, masyarakat harus berkesedaran bahawa kebahagiaan dan keutuhan sesebuah institusi kekeluargaan bertungangkan pengorbanan mereka terhadap keluarga mereka sendiri. Kita tidak mahu lambakan orang gaji asing yang bekerja di negara kita menimbulkan pelbagai masalah sosial. Insya-Allah, berkat doa dan usaha yang berterusan segala yang dicita-citakan akan menjadi kenyataan.

25 Ogos 2010

KARANGAN STPM: SKIM CEPAT KAYA

SOALAN KARANGAN

Fenomena Skim Cepat Kaya semakin menular di negara kita. Biarpun banyak pendedahan yang dilakukan tentang keburukan Skim Cepat Kaya namun masih ramai yang terpedaya. Pada pendapat anda, apakah punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.



Skim cepat kaya juga dikenali sebagai pengambilan deposit secara haram.Skim cepat kaya adalah suatu perbuatan menerima, mengambil atau menyetuju terima deposit tanpa lesen sah di bawah Akta bank dan institusi-institusi kewangan 1989 (ABIK). Skim ini telah mencetusan banyak kes penipuan yang melibatkan kerugian yang banyak. Walau bagaimanapun, ramai masyarakat kita masih terjebak dengan skim cepat kaya. Mereka seolah-olah tidak mengetahui impaknya. Oleh itu, kita harus mengenal pasti sebab dan langkah untuk mengatasi masalah ini daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.

Pada pendapat saya, punca perdana masyarakat kita mudah terpedaya dengan skim cepat kaya ialah sikap tamak yang menyelubungi diri individu. Memang tidak dapat dinafikan terdapat individu yang tidak pernah bersyukur dengan rezeki kurniaan Tuhan akan mudah terjebak dengan skim cepat kaya. Mereka sering terpengaruh dengan skim tersebut kerana sikap tamak untuk memperolehi keuntungan yang lumayan. Tanpa disedari, skim tersebut hanya menjanjikan pulangan wang yang palsu. Ini akan menyebabkan mereka mendapat kerugian yang yang banyak sehingga jutaan ringgit. Jelas sekali, sikap tamak individu menyebabkan mereka mudah terjebak dengan skim cepat kaya.

Selain itu, masalah sosiobudaya yang melanda masyarakat juga merupakan salah sebab mereka mudah terdorong untuk menyertai skim cepat kaya. Hidup mewah merupakan trend baharu dalam kalangan masyarakat dan mereka telah mengambil jalan mudah untuk memperolehi kemewahan dengan sekelip mata tanpa mengetahui akibatnya. Akibatnya, mereka telah menyertai skim cepat kaya dengan menyerahkan sejumlah wang dan mengharapkan pulangan yang berlipat kali ganda. Sesetengah daripada mereka mengikuti skim ini hanya untuk menunjuk-nunjuk kemewahan mereka kepada saudara-mara. Tidak dapat disangkal lagi, masalah sosiobudaya yang melanda masyarakat telah menyebabkan mereka terjebak dengan skim cepat kaya.

Di samping itu, tekanan hidup akibat masalah kewangan turut menyebabkan mereka terpaksa mengikuti skim cepat kaya. Mereka yang mengalami kesempitan hidup mudah terpengaruh dengan skim cepat kaya kerana mereka amat memerlukan wang untuk keperluan hidup. Individu yang mengetuai skim tersebut akan mengambil kesempatan di atas kelemahan seseorang dengan menjanjikan pulangan deposit yang lumayan. Tanpa teragak-agak mereka akan bersetuju menyerahkan kesemua wang simpanan mereka dengan mengharapkan wang tersebut menjadi lebih banyak. Individu yang tidak bertanggungjawab pula akan melarikan wang tersebut tanpa memikirkan nasib orang yang mengalami kesempitan hidup tersebut. Jelaslah bahawa, tekanan hidup sesorang menyebabkan mereka terjerumus dengan skim cepat kaya.

Sementelahan itu, untuk membenteras masalah ini penguatkuasaan undang-undang amatlah penting. Hukuman yang sedia ada seperti penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda bagi setiap kesalahan tersebut yang berterusan harus diperketatkan lagi. Hukuman yang berat akan menyebabkan individu sedar akibat melakukan kes penipuan seperti skim cepat kaya. Pindaan Akta bank dan institusi-institusi kewangan 1989 memberi kuasa kepada polis melakukan penyiasatan, menggeledah premis dan menangkap pesalah melalui waran. Jadi, tindakan yang tegas akan membantu kita untuk membenteras masalah yang semakin bermaharajalela ini.

Langkah seterusnya ialah sikap masyarakat kita harus diubah bagi mengelakkan mereka daripada mudah terpengaruh dengan skim cepat kaya. Setiap individu harus mempunyai keinginan untuk berubah. Mereka kita harus membuang sikap tamak dan sentiasa ghairah mengejar kemewahan tanpa rasa bersyukur pada Tuhan. Sebagai manusia, kita hendaklah mengamalkan cara hidup bersederhana. Kita harus bersyukur kepada Tuhan dengan segala nikmat dan kurniaan-Nya. Dengan ini, kita tidak akan mudah terpengaruh dengan janji-janji skim cepat kaya yang memberi pulangan wang yang palsu. Oleh itu, sikap setiap individu amatlah penting dalam usaha kita mengatasi masalah ini.

Seterusnya, peranan media massa sama ada media cetak atau media elektronik amat dituntut dalam usaha mengatasi masalah ini. Media elektronik seperti televisyen dan internet mempunyai pengaruh yang besar kepada masyarakat. Oleh itu, tayangan iklan dan peringatan tentang akibat skim cepat kaya dapat menyedarkan masyarakat daripada terjerumus dengan masalah ini. Melalui media cetak seperti surat khabar, risalah, dan majalah pula maklumat mengenai skim cepat kaya harus didedahkan. Hal ini demikian kerana terdapat segelintir masyarakat yang terlalu mudah percaya. Dengan adanya pendedahan yang berterusan melalui media massa, masalah ini pasti dapat dikurangkan.

Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama untuk mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa dalam kalangan masyarakat. Skim cepat kaya harus dibanteras daripada menjadi beban kepada masyarakat kita. Jika tidak diatasi, masalah ini sudah pasti akan menjejaskan nama negara dan mencemari maruah bangsa. Kita ingin melahirkan masyarakat yang berkeperibadian mulia berdasarkan acuan kita sendiri, namun jika masih ada yang melakukan Skim Cepat Kaya sudah pasti usaha kita hanyalah sia-sia sahaja. Secara tidak langsung, kita telah melahirkan bakal pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan suka mengambil kesempatan ke atas individu yang lain. Oleh itu, kita mesti berganding bahu untuk bersama-sama menangani masalah ini.


(699 patah perkataan)

KARANGAN STPM: KEPENTINGAN KOKURIKULUM



Setiap pelajar diwajibkan menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah. Pada pendapat anda, apakah kepentingan menyertai kokurikulum dan nyatakan strategi-strategi terbaik untuk menarik minat pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum.

Kokurikulum ialah pelbagai aktiviti luar bilik darjah. Aktiviti kokurikulum biasanya dijalankan selepas waktu pembelajaran. Aktiviti kokurikulum merangkumi tiga kategori iaitu aktiviti sukan dan permainan, kelab dan persatuan, dan unit pakaian seragam. Semua pelajar diwajibkan untuk menyertai sekurang-kurangnya dua aktiviti kokurikulum. Hal ini demikian kerana sebanyak 10 peratus markah kokurikulum akan diambilkira semasa pelajar memohon untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Oleh itu, pelbagai kepentingan kegiatan kokurikulum dan strategi yang sesuai untuk menarik minat pelajar menyertainya akan dibincangkan.

Pada pendapat saya, kepentingan aktiviti kokurikulum ialah dapat membentuk kecergasan mental dan fizikal para pelajar. Realitinya, aktiviti kokurikulum memerlukan ketangkasan dan kekuatan fizikal. Keadaan ini akan membantu mempertingkatkan keupayaan sistem perkumuhan seseorang pelajar. Pada masa yang sama sistem aliran darah akan menjadi lebih sempurna. Natijahnya, daya tahan pelajar terhadap serangan penyakit akan meningkat. Dengan ini, tahap kesihatan tubuh badan mereka juga turut meningkat. Hasilnya, kesihatan yang baik akan memudahkan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran di sekolah. Jelaslah bahawa aktiviti kokurikulum dapat melahirkan pelajar yang sihat mental dan fizikal.

Selain itu, penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dapat membenteras gejala keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum dapat memupuk gaya hidup yang positif dalam kalangan pelajar. Kebanyakan masa lapang mereka dipenuhi dengan aktiviti berfaedah seperti perkhemahan dan kawat kaki. Dengan ini mereka tidak akan terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat seperti melepak, ponteng sekolah, merokok dan sebagainya. Ini disebabkan mereka telah mempunyai disiplin diri yang mantap. Mereka juga dapat mengurus dan mengatur masa dengan bijak. Tahap pemikiran mereka akan menjadi lebih matang. Mereka tahu menilai baik dan buruk setiap perbuatan yang dilakukan. Tuntasnya, aktiviti kokurikulum dapat membenteras masalah sosial dalam kalangan pelajar.

Selanjutnya, aktiviti kokurikulum dapat memupuk perpaduan kaum dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum dapat mempertemukan pelajar daripada pelbagai kaum. Dengan ini, mereka dapat menjalinkan muhibah dan perasaan kekitaan sesama mereka. Budaya bekerjasama, bertolenransi dan tolong-menolong sentiasa ditekankan dalam semua aktiviti kokurikulum. Dalam pada itu, elemen kebudayaan, kesenian, dan keagamaan setiap suku kaum juga turut didedahkan. Hasilnya, sikap prasangka antara kaum dapat dihapuskan. Sudah terang lagi bersuluh, aktiviti kokurikulum mampu melahirkan generasi muda yang bersatu padu.

Strategi utama untuk menarik minat pelajar menyertai kegiatan kokurikulum ialah dengan memperkasakan lagi peranan sekolah. Sekolah sebagai institusi formal perlu memperluas penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum. Pihak kerajaan hendaklah proaktif dalam menyokong aktiviti kokurikum yang dikendalikan di sekolah. Peruntukan kewangan dan prasarana untuk aktiviti kokurikulum perlu ditambah. Jika tidak, segala perancangan kokurikulum di sekolah akan terbantut. Dalam pada itu, para pelajar harus diberi kebebasan yang terkawal untuk menganjurkan sebarang aktiviti. Dengan ini, aktiviti kokurikulum akan menjadi lebih menarik dan menyeronokan. Jadi, tindakan memperkasakan lagi peranan sekolah dalam kokurikulum sewajarnya dititikberatkan dalam usaha ini.

Seterusnya, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu menerapkan elemen kerjaya dalam aktiviti kokurikulum yang dirancang di sekolah. Biar kita lihat, pelajar yang aktif dalam Kadet Polis boleh memohon menjadi polis selepas menamatkan alam persekolahan. Di samping itu, aktiviti sukan dan permainan sememangnya menjanjikan pendapatan yang lumayan. Buktinya, Nicol Ann David yang telah dinobatkan sebagai Ratu Squasy Dunia. Dengan ini, minda pelajar akan terbuka untuk bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum yang mereka minati. Mereka sedar bahawa begiat aktif dalam aktiviti kokurikulum bukanlah sesuatu yang sia-sia sahaja. Jelaslah bahawa penerapan elemen kerjaya dalam setiap kegiatan kokurikulum merupakan strategi yang berkesan dalam usaha ini.

Di samping itu, peranan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) hendaklah diperhebat. Ibu bapa hendaklah memberi sokongan kepada anak-anak untuk bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Terdapat segelintir ibu bapa yang menghalang anak mereka bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum. Segala persepsi negatif sebegini hendaklah dilenyapkan. Ibu bapa harus sedar kegiatan kokurikulum akan menjadikan anak-anak mereka lebih berdisiplin. Anak-anak akan menjadi lebih cergas dan cerdas. Ini secara tidak langsung akan membantu mereka memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Perkara perlu disedari oleh ibu bapa. Jadi, sokongan ibu bapa amatlah dituntut dalam usaha ini.

Kesimpulannya, kegiatan kokurikulum memang penting untuk menghasilkan modal insan yang berprestasi tinggi dan bersahsiah mulia. Usaha kerajaan untuk mewajibkan setiap pelajar menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah disambut baik oleh semua pihak. Sesungguhnya, kegiatan kokurikulum banyak membantu kita dalam usaha membenteras masalah sosial dalam kalangan pelajar. Oleh itu, jadikanlah kegiatan kokurikulum sebagai sebahagian daripada kehidupan kita semasa masih menuntut di bangku sekolah.

(700 patah perkataan)

28 Mei 2010

ISU YANG AGAK MENARIK UNTUK DIBACA DAN DIFIKIRKAN OLEH SEMUA RAKYAT MALAYSIA


KEKALKAN ATAU KURANGKAN SUBSIDI

KUALA LUMPUR 27 Mei – Keputusan sama ada mengekal atau mengurangkan subsidi akan ditentukan selepas kerajaan mendapat maklum balas daripada rakyat dan pelbagai pihak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri menegaskan, kerajaan amat konsisten untuk bersifat telus dan sentiasa mahu berkongsi dengan rakyat kerana pada akhirnya, segala keputusan akan ditanggung oleh rakyat dan kerajaan sendiri. “Terserahlah kepada rakyat untuk memikirkan tentang perkara ini. Apakah kita hendak kebaikan pada jangka panjang atau pun kita nak pertahankan status quo yang ada hari ini tetapi mendedahkan negara kepada risiko-risiko tertentu. “Kerajaan akan membuat ketetapan selepas itu. Kita mahu rakyat tahu segala implikasinya, kalau kita tidak buat ini (kurangkan subsidi) dan buat ini (kekalkan subsidi) apa implikasinya.

“Kita amat telus dalam setiap apa yang ingin dilakukan sebab ini isu besar. Jadi kita hendak kongsi perkara ini bersama-sama dengan rakyat supaya mereka faham bahawa keputusan ini kita kena buat bersama-sama,” katanya. Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu pejabat parti itu di sini hari ini. Najib mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa Malaysia mungkin menjadi sebuah negara bankrap dalam tempoh sembilan tahun lagi jika dasar pemberian subsidi kini tidak dimansuhkan. Menurut Idris, hutang negara dijangka meningkat 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2019, jika pemberian subsidi diteruskan.

Sehubungan itu, kata Idris, Makmal Rasionalisasi Subsidi mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan pemberian subsidi bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi negara agar lebih berdaya saing. Jelas Najib, kenyataan Idris itu merupakan satu unjuran daripada kajian makmal tersebut tetapi ia tidak semestinya akan dilaksanakan melainkan setelah terlebih dahulu mendapat maklum balas rakyat. “Proses ini kita sedang buat, iaitu dapatkan maklumat dan pandangan daripada orang ramai. “Maklumat timbal balas daripada rakyat dan juga pendapat umum daripada golongan yang mewakili pihak tertentu. “Penjelasan diberikan akan membolehkan kerajaan membuat rumusan terbaik yang boleh menentukan kesejahteraan rakyat dan masa hadapan negara kita,” katanya.


Mansuh subsidi barang kawalan perlu dimansuh
Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
saiful.sahak@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 27 Mei - Makmal Rasionalisasi Subsidi mencadangkan supaya subsidi terhadap barang kawalan seperti gula, tepung dan minyak masak dimansuhkan tetapi perlu dilaksanakan secara berperingkat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala (gambar) berkata, selaras dengan trend masa kini, subsidi seperti itu sememangnya perlu dimansuhkan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang dengan efisien. "Bagaimanapun, makmal itu mencadangkan pemansuhan subsidi ke atas barang kawalan itu perlu dilaksanakan secara berperingkat supaya tidak membebankan rakyat. "Cadangan mengenai pemansuhan itu akan dikemukakan kepada kabinet tidak lama lagi sebelum sebarang keputusan muktamad," katanya ketika berucap pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di sini hari ini.

Makmal Rasionalisasi Subsidi itu diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi mendapat cadangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai langkah kerajaan untuk memansuhkan pemberian subsidi kepada rakyat di negara ini. Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri berkata, subsidi kerajaan tidak mampu untuk mengekalkan harga barang kawalan sentiasa rendah dalam jangka masa panjang. ''Mengikut cadangan makmal itu, subsidi tepung perlu dimansuhkan dan harganya akan meningkat kepada 20 sen satu kilogram menjelang hujung tahun ini, dan 25 sen pada tahun depan. ''Manakala harga gula pula akan meningkat 20 sen sekilogram setiap enam bulan sehingga 2012, dan harga minyak masak pula meningkat 15 peratus sekilogram menjelang hujung tahun ini, dan 15 peratus lagi tahun depan. Dalam pada itu, Idris berkata, makmal itu menjangka harga petrol akan meningkat 10 hingga 15 sen seliter pertengahan tahun ini, dan akan meningkat 10 sen setiap enam bulan sehingga 2012.

Negara boleh bankrap jika teruskan subsidi - Idris Jala
KUALA LUMPUR 27 Mei - Malaysia mungkin menjadi sebuah negara bankrap dalam tempoh sembilan tahun lagi jika dasar pemberian subsidi masa kini tidak dimansuhkan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, ini kerana hutang negara dijangka meningkat 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2019, jika pemberian subsidi diteruskan. Sehubungan itu, Makmal Rasionalisasi Subsidi mencadangkan supaya kerajaan Malaysia memansuhkan pemberian subsidi bagi mengukuhkan kedudukan ekonominya agar lebih berdaya saing. "Kemajuan negara bergantung pada keupayaan mewujudkan inovasi dan pelaburan yang telus tanpa pemberian subsidi kepada rakyatnya. "Mengikut cadangan makmal itu, pemberian subsidi adalah antara salah satu aktiviti perdagangan yang tidak menguntungkan. Ia menimbulkan kesan ke atas ekonomi Malaysia yang sedang membangun," katanya ketika berucap pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di sini hari ini.

Makmal Rasionalisasi Subsidi itu diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi mendapat cadangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai langkah kerajaan untuk memansuhkan pemberian subsidi kepada rakyat di negara ini. Malaysia merupakan antara negara yang memberi subsidi tertinggi kepada rakyatnya iaitu berjumlah RM74 bilion pada 2009. Ia melibatkan perbelanjaan subsidi untuk sosial (RM42.8 bilion), bahan api (RM23.5 bilion), infrastruktur (RM4.6 bilion) dan makanan (RM3.1 bilion). Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri berkata, mengikut perangkaan daripada Pertubuhan Bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), perbelanjaan subsidi Malaysia berdasarkan peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal antara 2006 dan berakhir 2009 melibatkan peningkatan 11 peratus. "Ia hampir tiga kali ganda berbanding negara bukan OECD Filipina dan 55 kali lebih tinggi berbanding negara OECD Switzerland.

''Pemberian subsidi kerajaan bermakna ia melibatkan defisit bajet dan peningkatan hutang kerajaan yang semakin meningkat," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Idris berkata, pemberian subsidi juga mempunyai kesan negatif kerana ia turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi walaupun sasarannya untuk membantu orang miskin. ''Kira-kira 97 peratus daripada subsidi Malaysia telah diagihkan kepada setiap rakyat di negara ini meliputi soal pendidikan rendah, menengah dan tinggi, perubatan, petrol, gula dan minyak masak serta elaun kebajikan," katanya. Menurut Idris, kerajaan dalam cadangan pelaksanaan pemansuhan subsidi itu, antara lain akan memberi tumpuan terhadap barangan utama bagi mencapai penjimatan yang lebih besar seperti bahan api, gas dan tol.

26 Mei 2010

ISU PENTING KARANGAN BAHASA MALAYSIA STPM 2010 : PERAIRAN NEGARA KITA




BAHAN BACAAN 1
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 18/04/2009
Kegiatan lanun di Somalia akibat sengketa politik
Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA
BERITA penangkapan beberapa orang lanun dan penghapusan kegiatan tersebut di perairan Somalia begitu menggembirakan masyarakat antarabangsa terutamanya kegiatan perkapalan. Mereka berasa selamat sekarang apabila melalui perairan antarabangsa berdekatan dengan Somalia. Namun yang lebih menggembirakan ialah pentadbiran kerajaan Barack Obama selaku Presiden Amerika Syarikat (AS) kerana berjaya menghapuskan kegiatan tersebut. Ini merupakan kejayaan dasar luar pertama beliau. Sekurang-kurangnya laporan media perdana AS dapat melenakan penduduknya buat sementara waktu daripada berhadapan dengan realiti ekonomi dan kesengsaraan yang dialami setiap hari kesan daripada kemelesetan ekonominya.

Namun harus diingat laporan berita itu dalam kerangka 5W 1H sekadar melaporkan apa yang berlaku pada waktu sekarang sahaja. Ini mengetepikan sebarang latar belakang sejarah kepada berlakunya kejadian lanun di Somalia. Ini memandangkan berita yang disiarkan adalah bahan yang dijual-beli seumpama sebuah perniagaan. Dalam perniagaan laporan berita, bahan yang baru itulah yang diperniagakan bagi mendapat keuntungan. Kejadian pelanunan di perairan Somalia yang begitu aktif disebabkan oleh lanun-lanun antarabangsa yang telah merompak sejumlah AS$300 juta nilai kehidupan laut Somalia pada setiap tahun. Kapal-kapal asing telah memasuki perairan Somalia secara haram dan mengautkan hasil mahsulnya yang bernilai jutaan dolar itu.

Berita ini tidak mendapat liputan meluas media antarabangsa khususnya media arus perdana AS. Di samping itu, perairan Somalia menjadi tempat longgokan sisa racun daripada syarikat-syarikat Eropah terutamanya bahan buangan di hospital-hospital di Eropah. Ini juga termasuk logam berat dan bahan kimia berbahaya. Tinjauan yang dibuat oleh agensi berita Somalia Wardheer News menunjukkan 70 peratus warga Somalia "dengan kuatnya menyokong kegiatan pelanunan sebagai suatu bentuk pertahanan nasional ke atas wilayah perairan negara mereka". Kita bukannya menyokong kegiatan pelanunan itu tetapi dalam kes di Somalia persoalannya kenapa kejadian pelanunan begitu kerap berlaku seolah-olah rakyat Somalia tidak ada pekerjaan lain daripada merompak kapal dagang asing yang melintasi perairan mereka. Sejak tahun 1991, penduduk Somalia terpaksa berhadapan dengan kegiatan "lanun-lanun" asing yang bertopengkan korporat-korporat antarabangsa berserta campur tangan tentera Ethiopia dan AS melalui jalan udara atau laut.

Tentera Ethiopia bersama dengan tentera AS telah menjarah, menjajahi dan memporakperandakan Somalia sehingga menjadi ia sebuah entiti yang berpecah kepada wilayah-wilayah tertentu seperti Somaliland dan Puntland. Kalau sesiapa masih ingat, Malaysia pernah terlibat memainkan peranan cuba menstabilkan Somalia melalui operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tentera Malaysia, Pakistan dan beberapa negara lain membantu tentera AS keluar daripada pasar Bakkara setelah diserang hendap oleh pejuang Somalia yang dipimpin oleh Mohamed Farah Aidid. Tetapi kisah ini dimanipulasi oleh pengarah filem Hollywood yang menunjukkan kehebatan tentera AS dalam filem Black Hawk Down. Campur tangan AS dan Ethiopia menyebabkan Somalia hilang kedaulatan darat dan lautnya.

'Lanun-lanun' antarabangsa ini telah merampas segala yang menjadi hak milik penduduk Somalia terutamanya keamanan selain sumber asli. Tetapi pejuang Islam Somalia yang berhadapan dengan perang saudara tetap berjuang menyingkirkan tentera Ethiopia dan ini membuat tentera AS berang. Namun kegiatan pelanunan menjadi langkah perlindungan terhadap perikanan dan longgokan haram akhirnya terikat dengan kepentingan-kepentingan politik dan kewangan beberapa suku puak yang dikaitkan dengan Ethiopia dan kumpulan-kumpulan penjenayah yang menguasai bahagian-bahagian tertentu di negara tersebut. Terdapat kegiatan pelanunan daripada ketua-ketua suku atau puak pengaruh tentera Ethiopia dan AS di bawah dasar luar presiden AS dahulu. Mereka akan melakukan rompakan di laut demi membiayai markas tentera Ethiopia di wilayah Somaliland dan Puntland. (Sila rujuk www. informationclearinghouse.info)

Mungkin terdapat persetujuan yang mereka tidak akan menyerang mana-mana kapal dagang AS. Tidak dipastikan apakah motif serangan lanun-lanun ke atas kapal dagang AS itu yang lebih tujuh tahun tidak diserang. Sebelum ini pada minggu lalu kapal terbang ahli Kongres kulit hitam AS, Donald Payne telah disasarkan mortar semasa beliau melawat Mogadishu, ibu negara Somalia. Namun beliau terselamat. Beliau adalah ahli Kongres yang menentang pakatan AS-Ethiopia di Somalia.Adakah ini tindakan puak yang menentang dasar luar baru AS atau pejuang Somalia yang menentang sebarang campur tangan dalam urusan negara mereka? Kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton yang mengumumkan pelan empat perkara bagi memerangi kegiatan lanun, termasuk pendakwaan dan pembekuan aset lanun dengan bantuan rakan-rakan AS di peringkat antarabangsa harus dilihat sebagai perubahan dasar luar AS ke atas Somalia. Adakah kerana pentadbiran baru Obama tidak lagi mahu bekerjasama dengan Ethiopia menyebabkan berlaku kejadian pertama sejak 10 tahun lalu rompakan ke atas kapal laut perdagangan AS? Atau ini merupakan petanda bahawa AS akan campur tangan sekali lagi di Somalia?

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia
BAHAN BACAAN 2
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 04/06/2009
Kaji kawalan maritim elak pembaziran
Oleh HAMZAH ISHAK


KEDUDUKAN Malaysia yang dikelilingi lautan memberikan kelebihan daripada segi perdagangan laut, sumber perikanan dan pelancongan marin. Namun daripada sudut lain, negara ini juga berdepan dengan ancaman keselamatan maritim. Ia meliputi isu penyeludupan, pendatang tanpa izin, rompakan dan perlanunan serta pencerobohan nelayan asing dan sebagainya. Jarak yang dekat dengan negara jiran memungkinkan aktiviti perlanggaran undang-undang lebih mudah dilakukan. Jika wabak Influenza A H1N1 boleh 'membolosi' pintu masuk di lapangan terbang, perkara yang sama juga boleh berlaku di laut yang 'pintunya' ternyata lebih luas. Pengawasan dan penguatkuasaan maritim negara di perairan yang luasnya dua kali ganda dari daratan kini dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin selain Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Kastam, Jabatan Perikanan dan sebagainya.

Jika dilihat daripada segi jumlah jabatan atau agensi yang terlibat, sudah tentu akan timbul soal pertindihan tugas dan pembaziran aset. Ini kerana kemungkinan wujudnya pertindihan kawasan rondaan tidak dapat dielakkan. APMM diberikan mandat untuk menjalankan rondaan dan penguatkuasaan di Zon Ekonomi Eksklusif dan Laut Wilayah Malaysia. TLDM pula menjalankan tugas utama utuk mempertahankan kedaulatan perairan di seluruh perairan Malaysia. Dalam pada itu, polis Marin juga menjalankan tugas penguatkuasaan di perairan laut wilayah negara ini. Ia secara tidak langsung akan mewujudkan persaingan antara jabatan dan agensi dalam menonjolkan keupayaan masing-masing. Jika dilihat daripada segi mekanisme penguatkuasaan maritim yang efektif, kewujudan satu agensi khusus adalah perlu bagi mengelakkan pertindihan tugas dan pembaziran aset.

Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, India dan Britain misalnya, telah diwujudkan satu agensi khusus iaitu Pasukan Pengawal Pantai atau lebih dikenali sebagai Coast Guard. Di rantau Asia Tenggara, agensi yang serupa diwujudkan di Filipina dan Indonesia. Agensi ini akan melaksanakan semua fungsi pengawasan dan penguatkuasaan maritim selain usaha mencari dan menyelamat. Adalah diharapkan satu kajian menyeluruh dilaksanakan ke atas mekanisme pengawasan dan penguatkuasaan maritim Malaysia bagi membolehkan ancaman keselamatan maritim dapat ditangani secara lebih efektif. Dalam masa yang sama ia tidak akan menyebabkan kerajaan kehilangan jutaan ringgit disebabkan pertindihan tugas dan pembaziran penggunaan aset. Walaupun penyelarasan antara agensi boleh dilaksanakan namun ia tidak menjamin komitmen semua pihak yang mempunyai kepentingan masing-masing. Keutamaan kepada kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan jabatan jika kita mahukan hasil yang terbaik. Anjakan paradigma ini bagaimanapun memerlukan komitmen semua pihak.


BAHAN BACAAN 3
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 23/01/2010
Nasihat perjalanan Jabatan Negara AS tidak bantu jamin keselamatan
Oleh Azmi Hassan


Pelancong asing juga tidak ketinggalan menari tarian sumazau pada Festival Bangandang dan Ekspo Perdagangan di padang pekan Beaufort, Sabah baru-baru ini. Setiap perkara yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) sudah pasti mengundang pelbagai reaksi dan implikasi kerana negara tersebut mampu melakukan apa sahaja yang dihajatkan untuk menjaga kelangsungan agenda tidak kira sama ada politik, sosial, ekonomi atau strategik. Apabila Presiden Barack Obama mengarahkan askar Marin Corps AS membantu mangsa gempa bumi Haiti, Presiden Venezuela Hugo Chavez membuat interpretasi bahawa kehadiran askar yang lengkap bersenjata itu bagaikan cubaan AS untuk menjajah Haiti. Begitu juga apabila Jabatan Negara AS mengeluarkan notis nasihat perjalanan pada beberapa hari lepas terhadap beberapa kawasan timur Sabah, sudah pasti kenyataan tersebut walaupun pada tahap nasihat mengundang pelbagai reaksi dan tanggapan.

Notis yang dikeluarkan pada 15 Januari telah menasihati rakyat AS supaya berwaspada ketika berada di Sabah terutama sekali di Semporna, Pulau Mabul dan Pulau Sipadan kerana dikhuatiri kumpulan penjenayah dan pengganas sedang membuat persiapan untuk menyerang rakyat asing yang melawat kawasan yang dimaksudkan. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman telah memberi jaminan bahawa pulau di sekitar Sabah selamat dikunjungi sebagai reaksi terhadap nasihat perjalanan tersebut. "Jangan bimbang, sesiapa sahaja selamat untuk datang ke Sabah. Pasukan keselamatan kita mengawal sempadan dan melakukan rondaan sepanjang masa," tegas beliau. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga memberi jaminan yang sama iaitu perairan Sabah selamat dikunjungi. Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia sentiasa memastikan keselamatan perairan negara di Sabah terkawal menerusi operasi Ops Pasir dan Ops Sinar.

Lebih menarik apabila Ahmad Zahid menambah, "Kita pun menerima maklumat risikan yang sama dan dengan itu kita meningkatkan kesiagaan kita," Sudah pasti apa yang diperkatakan oleh Musa Aman dan Ahmad Zahid mengenai jaminan keselamatan boleh diterima kerana kedua- dua mereka pada dasarnya tahu apa yang berlaku. Begitu juga dengan Jabatan Negara AS sudah pasti mempunyai maklumat risikan yang membuatkan mereka mengeluarkan notis nasihat tersebut. Jika Kuala Lumpur dan Washington masing- masing mempunyai maklumat risikan mengenai keselamatan di timur Sabah, mengapa pula interpretasi dan analisis yang dibuat jauh berbeza mengundang banyak persoalan. Memang benar notis nasihat perjalanan yang dikeluarkan adalah pada tahap rendah kerana ia berasaskan keadaan semasa sesuatu tempat untuk jangka masa yang pendek kebiasaannya hanya sah selama 30 hari sahaja.

Pada tahap yang lebih tinggi, Jabatan Negara AS akan mengeluarkan notis amaran perjalanan yang lebih bersifat nyata dan jangka panjang. Sebagai contohnya notis amaran mengenai perjalanan ke Haiti yang dikeluarkan pada 14 Januari adalah kerana malapetaka gempa bumi yang melanda negara tersebut dua hari sebelum itu. Begitu juga dengan amaran perjalanan Pakistan yang dikeluarkan pada 7 Januari pula ada kena mengena dengan kegiatan pengganas yang memuncak semenjak pemimpin Taliban, Baitullah Mehsud yang terbunuh pada bulan Ogos tahun lepas. Sekali lagi amaran yang dikeluarkan adalah lebih bersifat nyata dan sah untuk jangka masa yang lebih panjang. Sebelum nasihat perjalanan Sabah dikeluarkan, Jabatan Negara AS ada mengeluarkan notis yang serupa untuk India pada 29 Disember 2009 yang antara lain memberi nasihat kepada rakyat Amerika untuk berhati-hati apabila berada di India kerana terdapat ancaman pengganas yang akan menyerang rakyat asing.

Di antara dalil yang digunakan untuk mengeluarkan nasihat tersebut adalah kemungkinan akan meletusnya kekacauan akibat isu menubuhkan negeri baru Telangana dalam wilayah Andhra Pradesh. Seperti yang diketahui sehingga ke hari ini walaupun terdapat kekacauan yang berlaku tetapi tidak sehingga boleh mengancam rakyat asing. Untuk menguatkan lagi nasihat perjalanan India tersebut, diungkitkan kembali serangan pengganas di Mumbai pada November 2008 yang sudah pasti akan menguatkan lagi hujah bahawa kemungkinan akan berlaku keganasan adalah tinggi. Begitu juga dengan nasihat perjalanan Sabah diungkitkan juga peristiwa penculikan kumpulan Abu Sayaff pada tahun 2000 sebagai asas bahawa nasihat terkini yang dikeluarkan itu mempunyai asas kuat. Insiden tersebut telah mendapat perhatian dunia kerana 10 daripada 21 mangsa penculikan adalah rakyat asing. Perlu diingatkan kembali pada tahun 2002 nasihat perjalanan yang serupa dikeluarkan di atas dasar terdapat maklumat risikan bahawa kumpulan Abu Sayaff akan menculik rakyat asing di perairan Sabah.

Pada ketika itu nasihat tersebut memberi kesan yang mendalam kerana dikaitkan dengan insiden pengeboman di Bali pada Oktober 2002 dan aktiviti keganasan yang didalangi oleh Jemaah Islamiah. Tidak dapat dinafikan bahawa maklumat risikan adalah penting untuk membanteras aktiviti keganasan. Tetapi apa yang lebih kritikal ialah maklumat tersebut perlu dianalisis dengan teliti dengan menggunakan gabungan data dari sumber berlainan. Jika ini tidak dilaksanakan maka analisis yang tepat tidak dapat dihasilkan seperti yang telah berlaku terhadap peristiwa cubaan meletupkan pesawat Delta Airlines pada 25 Disember lepas. Jika Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab menyatakan maklumat risikan tentera dan polis tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa serangan pengganas akan berlaku dalam masa terdekat, maka rakyat Malaysia pasti tertanya-tanya sumber mana maklumat risikan yang digunakan oleh Jabatan Negara AS.

Penulis ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Felo Pelawat ISIS Malaysia
BAHAN BACAAN 4
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 14/04/2010
Perantas KB aset terpantas KDRM
Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH



INI bukan cerita filem Adnan Sempit yang merempit di pawagam bulan lalu. Tetapi kisah realiti daripada pengalaman luar biasa menaiki bot paling laju yang dimiliki Kastam Diraja Malaysia (KDRM). Semuanya bermula dalam suasana cukup tenang malahan hembusan angin laut Selat Tebrau pada petang Jumaat baru-baru ini begitu menyamankan. Sesekali kelihatan rakan-rakan wanita penulis yang rambut mereka panjang mengurai terpaksa beberapa kali membetulkan mahkota berharga itu daripada mengerbang dan mengganggu pemandangan mata. Pada petang itu, berlangsung satu majlis penyerahan tiga bot laju berkuasa tinggi yang dikenali Perantas KB 91, Perantas KB 92 dan Perantas KB 93 kepada KDRM di Jeti Stulang di Johor Bahru.

Sebelum majlis dimulakan, Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Ibrahim Jaapar mengajak pihak media merasai pengalaman menaiki bot laju tersebut. "Awak semua kena mencuba dan merasai pengalaman menaiki Perantas KB9 itu. Rugi kalau tidak naik kerana bukan senang hendak mendapat peluang ini," pelawanya ramah sambil tersenyum. Ingatkan pihak media akan dibawa menaiki bot itu dalam suasana bersiar-siar dan penuh santai untuk menikmati keindahan Selat Tebrau. Namun, telahan awal penulis ternyata tersasar. Rupa-rupanya sebaik perantas KB9 Siri itu meluncur laju membelah lautan, perasaan berdebar pantas muncul tiba-tiba. Baru seminit bergerak, ngauman garang enjin bot yang menghasilkan percikan air laut sudah memberi isyarat bahawa banyak pengalaman 'ngeri' yang bakal dihadapi. Seperti dijangka, pecutan bot yang mencecah 60 knot di lautan iaitu bersamaan kelajuan 110 kilometer sejam (kmj) di jalan raya pantas memaksa para penumpang berpaut erat pada pemegang tempat duduk.

Ini kerana penulis terasa badan bagai dilambung-lambung ke udara dan mula berfikiran barangkali boleh terpelanting ke lautan apatah lagi keadaan ombak yang beralun-alun ketika itu. Jika hendak membandingkan permainan roller coaster yang pernah dinaiki di Genting Highland, ia ibarat jauh panggang daripada api. Dari segi cabaran kelajuan, Perantas KB9 Siri yang merupakan sebuah aset baru KDRM itu jelas tiada tolok tandingannya. Malah ketika bot lanjut itu membuat aksi membelok, pejam sahajalah mata kerana keadaan pada itu sangat mendebarkan. Hati mula berbisik kecil bilakah bot itu akan berhenti. Namun Perantas KB9 Siri itu terus garang di lautan dan jeritan kecil yang kedengaran dalam kalangan rakan-rakan wanita langsung tidak diendahkan. Hampir 15 minit berperang dengan perasaan yang bercampur baur, bot laju itu akhirnya kembali berlabuh ke jeti. Sebaik keluar dari bot itu, tiada kata-kata yang mampu diungkapkan buat seketika sebaliknya hanya berpandangan sesama sendiri sambil menggelengkan kepala.

Namun apa yang perlu diakui Perantas KB9 itu memang hebat dan menepati standard tinggi untuk mengawasi perairan negara. Kecanggihan Perantas KB9 Bot laju itu dibina berkonsepkan Fast Interceptor Craft dan pembinaannya berteraskan kombinasi gentian karbon dan ramaid Kevlar. Bot sepanjang 16.5 meter dan seberat 17.5 tan itu memiliki kelajuan mencecah 60 knot di lautan iaitu bersamaan kelajuan 110 kmj di jalan raya dan mampu bergerak dari Johor Bahru ke Langkawi tanpa perlu mengisi minyak. Ini kerana bot itu dilengkapi dengan dua enjin berkuasa tinggi yang menggunakan diesel sebagai bahan api. Terdapat dua buah tangki diesel yang dibina berasingan dan berkapasiti 1,500 liter setiap satu. Bahagian kokpit dilengkapi dengan enam unit tempat duduk berprestasi tinggi yang memberi keselesaan kepada pengguna terutamanya semasa bot beroperasi dalam kelajuan maksimum. Setiap tempat duduk tersebut dilengkapi dengan sistem interkom dalaman yang dapat membantu krew berkomunikasi sewaktu bot meluncur memecah ombak di lautan.

Bahagian dalam pula terdapat kabin yang dilengkapi empat tempat tidur dan satu bilik air, manakala bilik makan turut disediakan bersama satu ruang rehat yang dilengkapi set sofa. Ibrahim berkata, penerimaan bot laju berkuasa tinggi itu akan membolehkan KDRM terus meningkatkan keupayaan logistiknya menerusi bahagian penguatkuasaan pada masa akan datang. Beliau berkata, pihaknya telah menerima Perantas KB 91, Perantas KB 92 dan Perantas KB 93 selepas Perantas KB 90 pada November lalu. Kesemua bot laju itu dibina dengan kos RM22.5 juta dan ia merupakan projek kerajaan yang ditawarkan menerusi tender terbuka. "Kami amat berpuas hati dengan pembinaan semua bot laju itu yang menepati ciri-ciri keupayaan yang terkandung di dalam kontrak perjanjian. "Malah lebih membanggakan, ia dibina oleh sebuah syarikat tempatan, Destination Marine Services Sdn. Bhd., untuk muncul bot paling laju antara 150 buah yang dimiliki KDRM ketika ini," katanya. Majlis penyerahan itu turut dihadiri Pengarah Eksekutif Destination Marine Services, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir. Ibrahim berkata, kemudahan logistik itu bertujuan meningkatkan lagi keupayaan mengawal segala aktiviti maritim terutamanya kegiatan penyeludupan di perairan negara.


BAHAN BACAAN 5
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 22/01/2010
Perairan Pengerang, Tanjung Piai 'lubuk' pesalah maritim
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
pengarang@utusan.com.my


TIDAK sampai sebulan tahun 2010 membuka tirainya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan sudah menahan lebih 20 kapal yang melakukan pelbagai kesalahan. Kesalahan paling serius melibatkan pemindahan minyak jenis Marine Fuel Oil (MFO) melebihi 700,000 liter di sekitar perairan Pengerang, Kota Tinggi dan Tanjung Piai, Pontian. Keadaan itu dilihat semakin serius dan merunsingkan. Berdasarkan rekod, tangkapan pertama dibuat pada 2 Januari lalu di perairan Tanjung Stapa, Pengerang melibatkan kapal yang berdaftar di Honduras iaitu M.T Royal Salute dan M.T Ai Maru. Kurang 48 jam selepas itu, APMM Wilayah Selatan kemudiannya menahan dua buah lagi kapal di perairan Tanjung Kapal, Pengerang melibatkan sebuah kapal yang berdaftar di Honduras, MT Atago Power dan sebuah kapal dari Thailand, MV Thigayu. Pada 11 Januari pula, APMM berjaya menahan tiga lagi kapal kerana disyaki melakukan pemindahan 350,000 liter minyak secara haram di kawasan perairan Tanjung Piai.

Tiga kapal tangki tersebut adalah Kapal MV Eleftheria K yang didaftarkan di Panama, Neptank VII (Singapura) dan MT Sea Trader 8 (Basseterre, Saint Kitts and Nevis). Sehari selepas itu, pihak berkuasa tersebut berjaya menahan dua buah kapal lagi iaitu MV Marine Force yang berdaftar di Tarawa, Kiribati dan MV Ayu Permata di Indonesia atas kesalahan pemindahan minyak di perairan Pengerang. Tangkapan terbaru dibuat pada 17 Januari lalu apabila empat kapal ditahan kerana melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Pengerang dan Tanjung Piai. Dua kapal iaitu MT Rimba yang berdaftar di Korea dan MT Sea Goddess di Tarawa dikesan melakukan kesalahan itu di tenggara Tanjung Kapal, Pengerang. Persoalannya, mengapakah perairan Pengerang dan Tanjung Piai di selatan tanah air terus dipilih menjadi 'lubuk' bagi kapal asing untuk melakukan kesalahan maritim terutamanya pemindahan minyak secara haram?

Terdapat dakwaan mengatakan ejen-ejen darat yang menjadi dalang bagi mengurus dan mengendalikan aktiviti jenayah itu dan mereka mengaut keuntungan lumayan hinggakan kompaun dikenakan pihak berkuasa negara hanya dipandang sebelah mata. Kompaun akibat kesalahan maritim di negara jiran dikatakan lebih tinggi sekali gus menjadikan perairan selatan negara kita sebagai pilihan utama mereka. Mengulas dakwaan itu, Ketua Penguat kuasa APMM Wilayah Selatan, Datuk Che Hassan Jusoh berkata, pihaknya tidak boleh mengulas secara terperinci mengenai penglibatan ejen-ejen yang menjadi orang tengah untuk kegiatan haram itu kerana tidak mempunyai bukti kukuh tetapi itu tidak bermakna APMM hanya berdiam diri. APMM masih lagi menjalankan siasatan serta meningkatkan hasil risikan dalam usaha mengurangkan kegiatan haram di perairan negara terutamanya di kawasan perairan Pengerang dan Tanjung Piai kerana ia merupakan kawasan panas untuk kegiatan jenayah maritim.

Jika dilihat secara terperinci, kedua-dua perairan itu terletak berhampiran dengan perairan antarabangsa dan merupakan lokasi perkampungan nelayan, menjadikannya kedudukan strategik untuk mengaburi perhatian pihak berkuasa. Che Hassan berkata, kegiatan jenayah maritim itu bukan perkara baru, sebaliknya sudah berlarutan sejak berpuluh tahun lalu. Namun pihak berkuasa maritim seperti APMM sentiasa mencari kaedah terbaru untuk menanganinya secara holistik bagi mengelakkan daripada terus berulang. Beliau berkata, sejak kebelakangan ini hampir setiap hari ada sahaja kapal yang ditahan di perairan tersebut dan ia menunjukkan bahawa pihak berkuasa sentiasa menjalankan tanggungjawab mereka. Beliau memberitahu, kesemua yang ditahan itu terlibat dalam kesalahan sama di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. "Awal tahun ini saja, boleh dikatakan, kesemua kapal yang ditahan terlibat dengan kegiatan pemindahan minyak secara haram dan kesalahan-kesalahan lain di bawah ordinan yang sama," katanya.

Jalinan kerjasama dengan Jabatan Laut dan Jabatan Alam Sekitar akan terus ditingkatkan pada masa akan datang bagi membolehkan proses penguatkuasaan serta pendakwaan dijalankan segera bagi membuktikan ketegasan pihak berkuasa di negara ini. Katanya, proses penguatkuasaan akan dilakukan oleh APMM, manakala proses pendakwaan dilaksanakan Jabatan Laut dan Jabatan Alam Sekitar mengikut akta yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai aspek pendakwaan kerana ia diluar bidang kuasa APMM. "Kami akan terus memberikan tumpuan terhadap aspek penguatkuasaan di kawasan perairan selatan negara dan segala kertas siasatan akan dilakukan pihak kami secara bersama manakala proses pendakwaan serta denda akan diserahkan kepada jabatan-jabatan berkaitan," katanya.

22 Mei 2010

ISU UTAMA KARANGAN : LUMBA HARAM


BAHAN BACAAN 1
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 06/05/2009
Pendekatan agama tangani mat rempit
Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
pengarang@utusan.com.my

MEMBACA tentang gejala mat rempit yang semakin berleluasa di negara kita bukanlah sesuatu untuk dibanggakan. Adalah 'rahsia terbuka' bahawa majoriti remaja yang terlibat dalam kegiatan ini adalah Melayu dan beragama Islam. Inilah yang mencemaskan kita. Rasulullah SAW bersabda yang antara lain bermaksud, Apabila melihat kemungkaran, hendaklah kamu tegah dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu tegah dengan lidahnya dan jika tidak mampu hendaklah membenci dengan hati dan itulah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim) Oleh itu, adalah tanggungjawab umat Islam untuk sama-sama mencari penyelesaian isu ini yang jika dibiarkan ibarat barah yang semakin serius. Golongan mat rempit dilaporkan turut terbabit dalam jenayah seperti pergaduhan, rompak, ragut dan rogol. Malah, bagi yang lebih ekstrem sanggup membunuh. Persoalannya, sampai bila masalah ini akan berlarutan. Undang-undang sudah ada, cuma barangkali ia belum cukup menggerunkan mat-mat rempit. Justeru pendekatan keagamaan boleh diguna pakai sebagai jalan keluar masalah ini.

Tugas utama tentunya terletak kepada ibu bapa. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap anak yang lahir adalah dalam fitrah. Dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (muttafaqun alaih). Para pendakwah perlu turun padang untuk sama-sama menyinsing lengan membantu menangani gejala ini. Ketika ini, nasihat atau kuliah agama di masjid dan surau tidak lagi berkesan. Sebabnya, majoriti mat rempit ini bukan 'melepak' di kawasan tersebut. Sebaliknya, lokasi atau port mereka adalah di kawasan seperti Dataran Merdeka di Kuala Lumpur atau Dataran Espanade di Kuantan, Pahang. Memanglah kematian itu pasti akan berlaku kepada manusia. Tetapi melibatkan diri dalam kegiatan merempit, ibarat menjemput kematian dalam keadaan yang mengerikan.Kalau terus mati akibat kemalangan tidak mengapa. Ini tidak. Ada mangsa yang terus merana akibat kecacatan kekal seperti kudung kaki atau tangan akibat kemalangan jalan raya.

Justeru, para pendakwah termasuk pertubuhan bukan kerajaan harus berganding bahu menyusun strategi agar mampu menembusi kelompok terbabit. Golongan ahli politik tanpa mengira ideologi yang sayangkan bangsa dan agama juga perlu turut serta dalam usaha ini. Bukan hanya pandai 'berkokok' di atas pentas retorik. Pada masa yang sama, usaha seperti menyediakan litar lumba bagi 'menghalalkan' kegiatan remaja ini perlu diusahakan. Mana tahu, ada di kalangan mereka yang mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa persis pelumba profesional Itali, Valentino Rossi. Masjid-masjid juga perlu 'meraikan' golongan remaja begini. Para imam dan pegawai masjid mesti mempunyai kaedah hikmah dan psikologi. Gunakan 'jarum suntikan' secara halus untuk menarik mereka kembali ke pangkal jalan. Jika perlu adakan siri bimbingan fardu ain khas kepada golongan ini terutama tentang kepentingan solat. Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, waktu lapangmu sebelum waktu sibukmu, mudamu sebelum tuamu dan kekayaanmu sebelum kemiskinanmu". (Riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi).

PENULIS ialah Pengarang Agama Utusan Malaysia.
BAHAN BACAAN 2
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 06/05/2009
Cari punca asas masalah mat rempit


PELBAGAI pihak telah menyuarakan kebimbangan dan kerisauan mereka mengenai isu mat rempit, peragut, perompak dan pelbagai aktiviti jenayah yang melibatkan remaja termasuk yang terjerumus ke dalam kancah perlumbaan haram. Boleh dikatakan saban hari terdapat berita yang melaporkan orang awam menjadi mangsa kepada golongan penjenayah termasuk mat rempit. Terdapat beberapa individu yang telah menulis kepada media menyatakan kemarahan mereka mengenai perkara tersebut, terutamanya mereka yang pernah menjadi mangsa kepada golongan remaja yang ganas tersebut. Sungguhpun pihak polis telah meningkatkan operasi 'berbahaya' terhadap mat rempit - dengan beberapa anggotanya mendapat cedera - tetapi badan penguat kuasa ini dilihat belum lagi dapat menghentikan atau menghapuskan kegiatan tersebut.

Kebanyakan mat rempit adalah daripada kalangan remaja yang berumur di antara 15 ke 19 tahun. Soalan yang timbul ialah apakah yang terjadi terhadap bimbingan ibu bapa kepada remaja tersebut? Kerajaan, terutamanya pihak Kabinet perlu mengambil langkah-langkah berpatutan dan berkesan untuk menangani dan menghentikan kegiatan negatif ini. Pada pandangan saya, kita perlu mencari punca asas kepada masalah mat rempit ini. Adakah kerana mereka berasal daripada keluarga yang bermasalah dan tidak mendapat bimbingan daripada ibu bapa? Atau mereka tidak ada tempat yang sesuai untuk beriadah daripada tekanan atau untuk melampiaskan tenaga mereka? Sekiranya benar, pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak kemudahan sukan atau rekreasi untuk kegunaan remaja dan anak-anak muda kita.

Kita memerlukan lebih banyak padang bola, gelanggang badminton dan bola keranjang, kemudahan sukan yang termampu oleh golongan remaja. Di bandar dan pekan kita perlu ada lebih banyak kemudahan bersukan dan beriadah. Dalam hal ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan juga semua kerajaan negeri perlu memastikan pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan bersukan dan rekreasi yang mencukupi di bandar, pekan dan daerah. Tujuannya untuk membantu membangunkan golongan remaja yang sihat tubuh badan dan mentalnya dan supaya mereka tidak menjadi mat rempit atau melakukan aktiviti yang negatif. Kerajaan juga perlu menyemak semula semua peruntukan undang-undang yang relevan untuk memperkuatkan penguatkuasaan undang-undang dan membendung gejala mat rempit dan perlumbaan haram.

Di antara cadangan lain yang patut dipertimbangkan termasuklah mengklasifikasikan mat rempit yang melakukan kesalahan berulang sebagai 'remaja bermasalah' yang kemudiannya dihantar ke sekolah pemulihan akhlak seperti Sekolah Henry Gurney, di mana mereka akan diberikan kaunseling dan latihan kemahiran. Kepada ibu bapa yang gagal melaksanakan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak yang masih di bawah jagaan mereka, mungkin terdapat alasan yang munasabah untuk mengenakan bon jaminan kepada ibu bapa tersebut terhadap perilaku anak-anak mereka.

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan
Jenayah Malaysia (MCPF)


BAHAN BACAAN 3
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 15/03/2010
Remaja, rempit dan filem

REMPIT menjadi profesion remaja Melayu yang paling diingati apabila diwirakan dalam beberapa filem tempatan. Rempit yang disekutukan dengan remaja malas, buang masa, jahat dan bakal menjadi perompak apabila dewasa menjadi sangat dekat dengan remaja Melayu. Ini disebabkan profesion itu dimonopoli oleh remaja Melayu dan dipopularkan pula oleh penerbit filem yang juga menyasarkan kepada remaja Melayu. Mat rempit hanya watak Melayu yang hebat dalam filem. Keburukan mat rempit telah diselimutkan kebaikan melampau semata-mata untuk dijadikan wira remaja Melayu. Filem-filem begini menyoroti secara dangkal sisi putih Mat Rempit dengan menuangkan pewangi palsu untuk membuang busuknya. Adakah kisah-kisah melarat dan mudarat mat rempit boleh dikelaskan sebagai filem remaja yang kita mahu lahirkan? Adakah filem-filem begini boleh menjadi cermin untuk menelaah sosialisasi remaja masa kini? Sebenarnya kisah-kisah mat rempit bukanlah suatu yang berupaya mengangkat idealisme remaja. Mat rempit tidak ada idealisme tetapi dipaksa untuk menjadi wira.

Filem-filem ini memalsukan idealisme remaja Melayu di luar kepompong sempit pembuat filem. Remaja Melayu tidak perlu menjadi mat rempit untuk hebat. Kepalsuan ini tidak lebih daripada memberikan persepsi bahawa mat rempit pun berjaya dalam hidup. Kisah begini hanya diangkat dan ditampal menjadi gambar-gambar yang bergerak. Kita hanya boleh berbangga apabila realiti kehidupan yang penuh keburukan itu melangsungkan jangka hayat filem tempatan. Kalangan produser atau pengarah kerap memberi alasan bahawa sasaran filem mereka adalah remaja. Kata mereka lagi, remaja yang menghidupkan industri filem di negara ini. Tanpa remaja, filem Melayu telah lama hilang. Tanggapan itu ada benarnya. Tetapi remaja tidak menonton semua filem Melayu, lebih-lebih lagi yang menuntut sedikit keterlibatan minda. Filem remaja tidak boleh dipinggirkan. Disebabkan remaja yang menentukan pasaran filem dan filem yang menjadi teman dalam dunia keremajaan, maka filem yang menjurus dunia remaja menuntut kesungguhan. Malangnya banyak filem yang mengambil mudah tentang remaja. Banyak yang menyuluh kehidupan dan alam remaja daripada sudut pandangan yang nipis.

Filem-filem kita tentang kehidupan mat rempit terputus jauh. Rebel Without A Cause (1955) arahan Nicholas Ray yang menampilkan pelakon remaja, James Dean dan Natalie Wood adalah filem remaja yang pertama dan titik mula di mana filem cuba menyusuri kehidupan dan obsesi remaja yang cukup unik. Keunikan dan obsesi itu hilang apabila filem kita mengangkat mat rempit dengan sudut pandangan yang kosong. Rebel Without A Cause dan James Dean secara mendadak muncul sebagai idola remaja di serata dunia. Gaya dan fesyen James Dean merebak dengan pantas selepas Rebel Without A Cause sekalipun filem itu dianggap sebagai ganas oleh banyak pengkritik. Sebuah lagi filem remaja yang menarik adalah American Graffifi (1973) arahan George Lucas. Lucas pernah berkata bahawa filem itu tidak lebih sebuah nostalgianya melayari keremajaan di Amerika. Tetapi pada masa yang sama, dia membawa filem itu menyusuri impian dan tuntutan remaja di Amerika Syarikat pada dekad 70-an.

BAHAN BACAAN 4
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 07/05/2009
Ajar peragut, mat rempit dengan hukuman berat

SUNGGUH sedih dan malang menimpa dua buah keluarga masing-masing di Johor dan Kelantan apabila dua wanita yang mengandung maut di tangan peragut. Begitu juga nasib warga emas di Pulau Pinang yang menjadi korban peragut. Masyarakat juga cukup bimbang dengan kecenderungan kumpulan mat rempit yang kini berani bertindak ganas membelasah hingga mati seperti yang menimpa seorang mekanik di Kuantan baru-baru ini. Mungkin itu takdir mereka yang ditentukan oleh Tuhan. Tetapi insiden itu boleh dielakkan jika kita mengambil langkah-langkah pencegahan jenayah lebih awal. Cabaran kepada semua anggota masyarakat sekarang, sampai bila kita harus membiarkan peragut dan penjenayah mat rempit bermaharajalela di atas jalan raya negara ini?

Dalam hal ini, pihak berkuasa yang menjaga keselamatan dan ketenteraman rakyat perlu bertindak segera. Jadi, tindakan segera yang perlu diambil oleh Kementerian Dalam Negeri bukan setakat mengkaji dan mencari punca penularan gejala lumba haram motosikal atau rempit tetapi juga kegiatan jenayah ragut yang semakin menjadi-jadi di negara ini. Untuk itu juga kerajaan kena mengambil pendekatan di luar daripada kebiasaan. Kita tidak mahu lagi mendengar apabila berlakunya kes-kes baru yang didedahkan oleh media massa, maka kita dibentangkan dengan pelbagai kaedah penyelesaian untuk menangani isu berkenaan. Sebenarnya isu ragut hingga membawa maut dan gejala mat rempit sudah lama diperkatakan. Ia bagaikan sekejap panas, sekejap sejuk. Sehingga kini, kita masih belum berjaya menangani kedua-dua masalah ini.

Ke mana semua cadangan tentang penyediaan pendidikan agama, pusat-pusat didikan dan kaunseling dan pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat yang heboh dibincangkan suatu masa dulu apabila masalah ini timbul. Adakah kita mudah melupakan masalah ragut dan mat rempit apabila ia mula kelihatan tidak lagi mengancam hidup kita? Kerajaan, badan bukan kerajaan, parti politik dan orang awam perlu memberikan idea untuk menyelesaikan isu ini. Carilah kaedah agar kegiatan rempit dan ragut dapat dikurangkan dan akhirnya dibanteras secara menyeluruh. Untuk menangani masalah ini dalam jangka pendek, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan perlu diteruskan dalam mengatasi masalah rempit dan jenayah ragut di negara kita.

Operasi besar-besaran yang diadakan serentak di Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Selangor berjaya memberkas ratusan pesalah trafik yang kebanyakannya adalah remaja bawah umur. Operasi-operasi seperti ini perlu diadakan secara berterusan bagi memberi peringatan kepada golongan berkenaan. Untuk pelan jangka panjang, kerajaan perlu memikirkan undang-undang lebih ketat sebagai langkah-langkah untuk membendung punca yang membawa kepada masalah ragut dan lumba haram. Jika kita percaya pada undang-undang ketat dan berat daripada pendekatan biasa dapat mendidik dan menangani masalah ragut dan lumba haram, maka lakukan. Kita menggesa kerajaan bertegas dan pastikan undang-undang yang ingin digubal atau dipinda meletakkan nilai denda atau hukumannya amat menggerunkan penjenayah atau pesalah.

BAHAN BACAAN 5
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 30/04/2009
Menangani fenomena mat rempit

SEKURANG-KURANGNYA ada dua teori tentang asal usul istilah 'mat rempit'. Pertama, menurut Kamus Dewan (Edisi Empat), perkataan 'rempit' terdapat dalam dialek Perak yang bermaksud memukul dengan rotan atau menyesah. Kedua, mantan Pengarah Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Noresah Baharum pernah memberitahu dalam satu penyelidikan yang dilakukannya bahawa 'rempit' berasal daripada gabungan dua perkataan Inggeris, ramp dan it. Ramp merujuk kepada perasaan marah dan mengancam seperti seekor singa yang berdiri di atas kaki belakang manakala dua kaki hadapan diacu-acukannya ke udara dengan garang. Mungkin kerana yang terlibat dalam fenomena ini sebahagian besarnya orang Melayu, perkataan 'rempit' didahului dengan singkatan nama 'Mat'.

Maka terciptalah gelaran 'mat rempit' yang hampir secara automatik dikaitkan dengan golongan remaja Melayu. Kita tidak pernah mendengar orang menyebut 'Ahcong Rempit' dan tidak juga 'Samy Rempit'. Satu lagi penyakit sosial telah bertambah di kalangan masyarakat Melayu. Masalah Mat Rempit mungkin hanya satu sympton (gejala) atau petanda daripada penyakit sosial yang lebih besar di kalangan masyarakat Melayu. Kerana itu yang lebih penting dilakukan barangkali ialah kajian sosiologi mengenai fenomena itu. Sedangkan kajian etimologi atau kajian asal usul kata 'rempit' itu bolehlah dianggap sebagai nota kaki sahaja. Sememangnya masyarakat tidak begitu peduli asal usul perkataan 'rempit.' Yang jelas sekarang istilah 'mat rempit' membawa konotasi yang negatif, menimbulkan rasa geram dan marah. Isu ini kini telah menjadi satu punca kerunsingan dan keprihatinan.

Di peringkat awalnya mat rempit hanya dianggap sebagai pengacau lalu lintas kerana keserakahan mereka berlumba motosikal di jalan-jalan raya. Sekarang kehadirannya dianggap sudah semakin durjana, sudah semakin tinggi kadar jenayahnya. Mereka bukan sekadar mengganggu lalu lintas di jalan-jalan raya yang sibuk, tetapi sudah mulai merampas, meragut dan merogol. Salah satu cerita terakhir yang semakin menyalakan kemarahan dan rasa benci terhadap mat rempit ialah peristiwa penganiayaan dan kezaliman yang terjadi ke atas seorang perempuan muda yang pekak dan bisu. Sebuah akhbar mingguan berbahasa Inggeris (26 April 2009) melaporkan perihal segerombolan mat rempit mengerumuni seorang perempuan muda berumur 23 tahun di sebuah stesen minyak. Perempuan muda itu ditendang dan dilempang lalu beg tangannya diragut dan dilarikan. Orang sekeliling hanya memandang tanpa memberi sebarang pertolongan. Mungkin takut, mungkin tak berdaya.

Bila ibu bapa perempuan muda itu membuat pengaduan di balai polis, secara kebetulan satu pengaduan yang lain mengenai jenayah sekumpulan mat rempit di tempat lain juga dibuat oleh dua orang yang lain. Keesokan harinya (27 April 2009) akhbar yang sama menyiarkan pula satu berita tentang kemarahan meluap-luap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terhadap jenayah mat rempit yang semakin menjadi-jadi itu. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berpendapat selama ini pihak berkuasa mengambil pendekatan yang agak lembut terhadap mat rempit. Mungkin kerana berita penganiayaan terhadap OKU (orang kurang upaya) yang dilakukan mat rempit itu, Shahrizat nampaknya sudah kehilangan sabar dan mahu polis mengambil tindakan yang lebih tegas dan keras. Tetapi betulkah selama ini polis kurang tegas dan kurang keras? Atau adakah polis kurang kuasa dan kurang sumber? Kurang kuasa dalam erti terdapatnya keterbatasan undang-undang yang membolehkan polis bertindak lebih tegas dan keras. Dan kurang sumber dalam erti bahawa memang pihak polis tidak mempunyai tenaga dan kemudahan yang cukup untuk menghadapi masalah tersebut.

Satu soalan lain yang relevan ialah: Sudahkah dipastikan kekurangan-kekurangan lain yang dihadapi pihak polis, seperti kekurangan kerjasama yang diberikan oleh jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan. Bagaimana pula dengan isu kurang penyelarasan? Kita menanyakan soalan-soalan tersebut kerana pada hari Ahad (26 April), Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan diberitakan berkata seolah-olah selama ini tidak wujud kerjasama yang berkesan antara pihak polis dan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam usaha mengatasi masalah mat rempit. Shahrizat juga menyebut tentang kajian (atau barangkali hanya satu survey atau soal selidik) yang mendapati bahawa remaja-remaja yang terlibat dalam kegiatan mat rempit adalah kerana kebosanan. Lalu beliau marah-marah kepada ibu bapa yang dikatakannya lepas tangan mendidik anak-anak mereka hingga terlibat dalam kegiatan mat rempit. Kita dapat memahami keprihatinan dan kemarahan Shahrizat itu. Tetapi yang lebih penting difahami oleh setiap pihak ialah fenomena mat rempit itu bukanlah satu isu yang terpencil untuk dipertanggungjawabkan kepada satu atau dua pihak tertentu sahaja.

Fenomena mat rempit sudah merupakan satu penyakit sosial yang telah mulai menular dan merebak kepada berbagai-bagai sektor kehidupan. Oleh kerana itu isu ini perlulah ditangani secara bersepadu yang melibatkan ahli-ahli akademik (terutama ahli-ahli saikologi dan sosiologi) pakar undang-undang dan kriminologi serta penguat kuasa keamanan peraturan lalu lintas. Semoga kita tidak memerlukan Pusat Serenti mat rempit untuk menambah pusat Serenti Penagih Dadah yang semakin bertambah-tambah itu. Barang dijauhkan Allah.

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat), Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

BAHAN BACAAN 6
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 28/08/2006
Mat rempit tidak cemerlang
Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN


Golongan yang digelar ‘mat rempit’ menjadi satu beban sosial yang baru selepas dadah. Ini semua penyakit orang muda yang mahu mencuba sesuatu yang baru dalam hidup. Kepada mereka hidup adalah cabaran dan keseronokan. Tapi kita yang berada di luar lingkaran golongan ini tentu sukar untuk mengeluarkan mereka dari dunia ‘‘kerempitan’’ itu. Kerana itu walau apa label sekalipun diberikan kepada filem Remp-It arahan Ahmad Idham, kita wajar melihat ini sebagai usaha mendekati dan mengeluarkan anak-anak muda rempit ini. Ahmad Idham tentu melihat inilah sumbangan yang mampu diberikan untuk membetulkan sosial anak muda yang tergelincir. Barangkali bagi produser, filem ini ada nilai pasaran kerana mendekati dunia pelanggan filem tempatan.

Mat rempit memang tidak ada apa yang boleh diceritakan, apa lagi untuk dilihat idealismenya. Tetapi setidak-tidak ada usaha mendekati golongan ini secara psikologikal. Biar mereka melihat kejelekan sendiri di layar lebar. Ahmad Idham melakukan kerja sosial yang baik. Dia tentu faham bukan mudah untuk mengeluarkan mat rempit dari dunia mereka yang sangat terasing itu. Maknanya di sini memahami kesukaran untuk mendekati dan menyelamatkan golongan ini adalah mustahak. Tanpa memahami kita pasti akan membuat kerja pada kulit, bukan isinya. Kita semua tentu tertanya-tanya rasional menukar gelaran mat rempit kepada mat cemerlang. Ini kerana masalah mat rempit kepada kita bukan kerana namanya mat rempit. Masalahnya kerana sikap dan pemikiran mereka. Maknanya bukan kulitnya, tapi isinya. Usaha menukarkan mereka menjadi mat cemerlang jauh lebih mudah daripada bagaimana filem Remp-It cuba menyelamatkan mat rempit.

Kenapa tidak mendekati saja mat rempit tanpa menukarkan gelaran mereka? Usaha mendekati ini yang sukar dilakukan kecuali kalau kita ada kaedah yang menekankan psikologi. Kita kena ingat kalau mereka ini cemerlang, mereka tidak akan hidup di atas motosikal dan bawah remang-remang kota raya. Sebab mereka tidak cemerlanglah mereka menjadi seperti yang telah terjadi. Bayangkan adakah kalau ada golongan ini yang cedera dalam kemalangan, surat khabar akan melaporkan ‘‘Seorang mat cemerlang cedera parah selepas terbabas dalam lumba haram malam tadi.’’ Tentu kelakar bunyinya. Moral ceritanya, biarlah mereka terus dikenali dengan mat rempit. Nama itu tidak pernah menghalang kita menyelamatkan mereka. Itu pun kalau kita jujur mahu menyelamatkan mereka.

BAHAN BACAAN 7
UTUSAN MALAYSAI ARKIB : 07/05/2009
Banteras mat rempit
Oleh NORILA DAUD


UNTUK kesekian kalinya, isu mat rempit kembali menjadi perhatian banyak pihak. Meskipun hangat diperdebatkan saban tahun, gelagat mat rempit yang merajai jalan raya dengan aksi berbahaya terus menghantui orang ramai. Timbul kebimbangan apakah negara sudah berdepan dengan jalan mati dalam mengatasi gejala mat rempit ini? Adakah ia sudah menjadi satu wabak penyakit yang sukar dihapuskan sebagaimana sukarnya untuk pihak berkuasa menangani gejala penagihan dadah? Andaian itu tidak boleh dipandang mudah kerana selepas pelbagai usaha dilakukan, gejala mat rempit tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Sebaliknya, ia semakin menjadi-jadi dan berleluasa sehingga terjebak dengan jenayah yang lebih berat terutamanya kes ragut, rogol, samun berkumpulan malah sehingga pembunuhan.

Justeru, ia menjadi ancaman yang serius kepada keselamatan awam sekali gus memerlukan pendekatan yang kolektif dan berkesan untuk menanganinya. Kerana itu juga, rakyat sangat berharap perhatian khusus yang diberikan kerajaan menerusi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelain Mersat mampu membuahkan kejayaan. Jelain antara lain dipertanggungjawabkan mencari punca dan mencadangkan kaedah terbaik untuk mengatasi gejala mat rempit tersebut. Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sendiri menyokong supaya Akta Pengangkutan Jalan dipinda bagi memberikan kuasa kepada Jabatan Pengangkutan Jalan menahan mat rempit. Adalah wajar untuk pindaan itu dibuat dengan segera bagi membolehkan hukuman yang lebih tegas dikenakan. Sementelah, golongan itu juga berani memperlekehkan undang-undang dan mencabar pihak berkuasa termasuk cubaan merempuh sekatan jalan raya.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa perlu melipatgandakan usaha dan menambah kekuatan anggota dalam membanteras gejala ini. Operasi besar-besaran seperti sekatan jalan raya seharusnya dilakukan secara konsisten dan bukannya satu langkah pencegahan yang bermusim. Kesungguhan pihak berkuasa itu sekurang-kurangnya menimbulkan rasa gerun di kalangan mat rempit untuk menguasai jalan raya atau berhimpun dalam satu kumpulan yang besar. Lebih jauh seperti yang dicadangkan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah, gejala itu ditangani menerusi sebuah jawatankuasa khas yang dibentuk oleh kerajaan. Jawatankuasa itu tambah beliau, dianggotai oleh wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). "Gejala mat rempit boleh diatasi jika semua pihak bekerjasama untuk merancang program bercorak pendidikan dan melaksanakannya dengan sistematik, tersusun dan bersepadu," tegasnya.

Bagaimanapun, dalam menyambut baik langkah penguatkuasaan dari sudut undang-undang itu, kerajaan juga diharapkan tidak mengabaikan pendekatan berbentuk kemanusiaan. Sering dikaitkan, golongan mat rempit merupakan mereka yang mengalami masalah jiwa dan mental yang tidak sihat sepenuhnya. Pandangan ini dikongsi oleh Pakar Psikologi Klinikal, Choo Leong Hoey Mei yang berpendapat, individu merempit tidak bahagia dengan kehidupan dalam keluarga, tidak berduit dan pernah dibuli. Justeru, aktiviti merempit dijadikan jalan keluar untuk mereka melarikan diri daripada kekecewaan dan kebosanan hidup. Ia juga tambahnya, dijadikan sandaran sementara mereka mendapat sesuatu yang boleh memberi kebahagiaan dan kepuasan dalam hidup mereka. Apa yang lebih membimbangkan, mat rempit juga mempunyai hubungan yang sangat akrab dalam kelompok mereka. Dalam satu kumpulan yang besar, mat rempit boleh melakukan apa sahaja tanpa perlu berasa bimbang dengan keselamatan diri kerana sedar mereka sentiasa dilindungi oleh rakan yang lain.

''Kerana itu juga mereka mudah terdorong untuk berkelakuan samseng apabila berada dalam satu kumpulan," ujar beliau. Selain kecelaruan dalam pembawaan diri, gejala merempit juga banyak didorong oleh sikap ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak. Ibu bapa seolah-olah lepas tangan dalam soal mengawal dan mendidik anak-anak apabila membiarkan mereka berpeleseran sehingga awal pagi. Seperti yang dijelaskan oleh pakar perunding psikologi, Khairol Anuar Masuan, kerana sikap memberi muka itu juga, anak-anak menjadi semakin berani dalam tingkah laku dan pergaulan mereka. Beliau menambah, anak-anak berkenaan akan merasakan diri mereka 'hebat' dan angkuh, sekali gus tidak boleh ditegur oleh ibu bapa walaupun menjadi mat rempit. ''Jika dahulu ibu bapa menghalang anak- anak yang memberontak jiwa mereka untuk menghormati orang tua dan ibu bapa serta bekerja di ladang-ladang, perkara seperti itu tidak lagi wujud hari ini apabila anak-anak dibiarkan lepas bebas," katanya.

Kerana itu juga, ada dicadangkan supaya ibu bapa mat rempit turut dikenakan denda di bawah peruntukan undang-undang tertentu. Antaranya kerana membenarkan anak- anak mereka memiliki dan menaiki motosikal tanpa mempunyai lesen. Walaupun cadangan itu mendapat bantahan banyak pihak, namun ia dilihat sangat praktikal sekiranya semua pihak benar-benar mahu menghapuskan gejala mat rempit. Begitu juga dengan cadangan supaya had umur untuk mendapatkan lesen motosikal dilanjutkan daripada 16 tahun seperti ketika ini kepada 21 tahun. Memandangkan majoriti mat rempit terdiri daripada remaja belasan tahun, pelaksanaannya dilihat mampu mengekang gejala mat rempit dari satu sudut yang berbeza.

ISU UTAMA KARANGAN : INDUSTRI PELANCONGAN


BAHAN BACAAN 1
Mencari identiti budaya
Oleh MOHD. ARIF ATAN
UTUSAN MALAYSIA
19 JULAI 2007

BUKANKAH pelancong antarabangsa lebih cenderung memilih destinasi yang menawarkan kelainan dan keunikan tersendiri kebudayaan masyarakatnya? Adakah promosi pelancongan kita benar-benar menjadikan ciri-ciri kebudayaan dan perayaan kaum Melayu sebagai tumpuan utama dalam promosi pelancongannya di luar negara? Kempen Tourism Malaysia dengan tema Malaysia Truly Asia seperti sengaja mahu menenggelamkan wajah dan citra kebudayaan kaum Melayu dalam promosi Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07). Ini kerana risalah promosi TMM’07 yang diletakkan di tempat duduk pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) gagal menonjolkan kebudayaan Melayu sebagai identiti teras dan tarikan utama pelancong ke negara ini. Paparan melampau budaya dan perayaan kaum-kaum lain kerana mahu menepati konsep Malaysia sebagai wajah Asia sebenar seperti menjadikan Malaysia umpama negara ‘rojak’ tanpa identiti tersendiri di mata pelancong antarabangsa.

Menarik pelancong dari China tidak boleh dijadikan alasan bagi mewajarkan penonjolan kebudayaan yang bukan bersifat kebangsaan untuk tatapan pelancong.
Sepanjang Januari sehingga Mac tahun ini, pelancong dari China hanyalah menduduki tempat kelima dengan 56,903 orang. Sebaliknya, pelancong dari wilayah serumpun seperti Indonesia dan Brunei jauh lebih ramai mengunjungi Malaysia. Pelancong dari Brunei misalnya yang memiliki kuasa berbelanja lebih tinggi mencecah sehingga 78,625 orang untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja. Kedatangan pelancong dari China tersebut juga tidak boleh dianggap benar-benar menyumbang kepada pendapatan negara melalui sektor pelancongan. Tidak perlu dinafikan sebahagian daripada mereka terbukti terbabit dalam sindiket jenayah, kongsi gelap, dan paling ketara ialah pelacuran. Penonjolan kebudayaan etnik lain mengatasi ciri kebudayaan nasional berteraskan Melayu hanya menjadikan pelancong luar keliru dengan keadaan komposisi kaum dan persekitaran budaya sebenar Malaysia.

Mereka yang cenderung mahu mencari destinasi yang menawarkan kelainan dan keunikan yang tiada di tempat lain tentu kecewa melihatkan promosi TMM’07 yang keterlaluan menonjolkan kebudayaan dan perayaan kaum bukan Melayu. Malah, lebih baik jika mereka terus melancong ke China dan India untuk melihat kebudayaan etnik-etnik tersebut. Tidak mustahil juga ada yang mungkin menganggap Malaysia hanyalah negara transit warga China dan India bekerja dan bercuti di Malaysia sahaja. Impak promosi pelancongan negara terhadap pembentukan satu bangsa Malaysia juga perlu difikirkan selain kesan terhadap persepsi dan sambutan pelancong luar. Pluralisme kebudayaan iaitu pengekalan ciri-ciri kebudayaan oleh kumpulan etnik masing-masing akan semakin kuat lantaran terlalu menekankan ciri kebudayaan bukan bersifat pribumi. Adakah ini perkembangan yang baik dalam usaha mahu mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bertolak ansur menerima kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan nasional?
Tidak keterlaluan dikatakan, interaksi kaum dan jurang perpaduan yang semakin melebar kini berpunca daripada kesilapan kita terlalu menonjolkan kepelbagaian budaya yang hanya menguatkan perpaduan dan kebudayaan etnik sahaja. Oleh itu, sewajarnya ciri-ciri kebudayaan tempatan yang berteraskan Melayu dijadikan elemen utama menarik kedatangan pelancong terutama dari Barat seperti Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Kanada, dan Itali. Masyarakat Barat sememangnya dahagakan ciri kebudayaan dan keistimewaan masyarakat pribumi sesebuah negara. Namun, akibat kegagalan fokus kita menonjolkan ciri kebudayaan bumiputera, jumlah pelancong dari wilayah-wilayah tersebut masih tidak menunjukkan peningkatan yang benar-benar menggalakkan. Selain itu, ciri-ciri kebudayaan Melayu yang banyak dicorakkan pengaruh Islam juga selari dengan jiwa pelancong dari Asia Barat yang menyaksikan ketibaan kira-kira 13,545 pelancong dari wilayah tersebut sepanjang Januari hingga Mac tahun ini.

Kempen menarik pelancong luar mestilah mengambil kira faktor kebudayaan dan persekitaran sosial sebenar. Tentulah kelihatan janggal dan tidak adil untuk membiarkan promosi pelancongan mengabaikan perayaan yang disambut orang Melayu. Sepatutnya, Tourism Malaysia serta Kementerian Pelancongan meletakkan kebudayaan dan identiti Melayu sebagai teras utama aset pelancongan negara. Ini kerana penonjolan keterlaluan ciri kebudayaan kaum lain hanya akan menjadikan Malaysia tidak jauh berbeza dengan Singapura. Perlu ditegaskan, kebudayaan kaum lain di Malaysia hanyalah sebagai nilai tambah yang tidak wajar diperbesar sehingga mengatasi kebudayaan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti negara ini. Tarian joget misalnya yang telah lama diiktiraf sebagai tarian kebangsaan negara ini perlu diketengahkan. Tarian kaum lain misalnya tidak perlu dicampur aduk dalam sesuatu persembahan kesenian bagi tatapan pelancong luar.

Peruntukan sebanyak RM240 juta untuk TMM’07 bagi tujuan promosi pelancongan Malaysia di seluruh dunia tidak adil untuk mengabaikan kebudayaan Melayu ke pentas dunia. Oleh itu, Ketua Pengarah Tourim Malaysia, Datuk Mirza Mohamad Taiyab seharusnya lebih peka terhadap perkara ini. Matlamat TMM’07 untuk memperoleh pendapatan kira-kira RM44.5 bilion dengan anggaran kedatangan 20.1 juta pelancong adalah bergantung kepada sejauh mana kita benar-benar ikhlas mengetengahkan citra dan kebudayaan nasional sebagai aset pelancongan unik negara. Pelancong juga tidak harus sekadar dibawa melawat KLCC, Jalan Petaling, restoran mewah dan kompleks beli-belah sahaja. Promosi pelancongan mesti menyeluruh agar manfaatnya dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat seluruh pelosok negara. Kunjungan pelancong ke Malaysia tentunya lebih bermakna andainya mereka juga didedahkan dengan persekitaran budaya masyarakat tempatan.

Program menginap di desa atau dikenal sebagai homestay pasti menyimpan kenangan di hati pengunjung luar selain daripada membantu ekonomi masyarakat desa. Keindahan alam semula jadi merangkumi pantai, pulau, dan bukit peranginan pasti menggamit memori pelancong untuk bertamu lagi di Malaysia. Dalam masa yang sama, peranan bahasa Melayu yang kini dipanggil bahasa Malaysia sebagai salah satu simbol kemegahan rakyat Malaysia tidak wajar diabaikan dalam keghairahan menarik pelancong luar.


BAHAN BACAAN 2
Pelancongan pendidikan perlu unik, menarik
Oleh WAN MAJID WAN MANSOR
UTUSAN MALAYSIA
11 DISEMBER 2007

ASPEK pendidikan dan ilmu pengetahuan sesungguhnya diberi penekanan dalam pembangunan negara termasuk di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Di samping ketiga-tiga negeri Pantai Timur mempunyai Universiti Malaysianya sendiri, kerajaan negeri perlu mengambil satu langkah ke hadapan dan mencanangkan visi masing-masing untuk mengangkat bidang pendidikan tinggi ke tahap yang lebih tinggi dan bertaraf dunia. Ini kerana tidak cukup sekadar usaha mendirikan universiti dengan kemudahan moden atau membawa institusi menara gading ke kawasan yang kurang institusi pendidikan. Kerajaan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan juga perlu menyediakan pelan induk menjadikannya sebagai pusat pelancongan pendidikan. Selain itu, pusat berkenaan pula perlu memiliki daya tarikan kuat dan keunikan yang membezakannya dengan pusat pendidikan yang sedia ada di negara ini. Terengganu kini sedang kiat membina Taman Ilmu di Besut untuk memenuhi keperluan pelajar tempatan dan luar negara.

Taman Ilmu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika pelancaran projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 29 Oktober lalu adalah inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan pusat ilmu antarabangsa berkonsepkan kota pendidikan dan pelancongan pendidikan. Konsep pembangunan Taman Ilmu di kawasan seluas 700 hektar di Besut itu bakal melonjakkan negeri ini sebagai salah sebuah pusat kecemerlangan ilmu bertaraf antarabangsa. Tumpuan dalam bidang ini kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh adalah selaras dengan slogan Terengganu sebagai Bumi Warisan, Ilmu dan Inovasi. Apabila siap kelak, Taman Ilmu Terengganu mampu menempatkan 100,000 penghuni daripada kalangan pelajar, tenaga pengajar, kakitangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pekerja sektor awam dan komersial. Tapak projek Taman Ilmu yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri berdekatan kawasan pantai akan menukar kawasan itu menjadi bandar universiti bersepadu sepenuhnya. Kawasan ini akan dikelilingi pusat perangingan ala kampung, hotel bertaraf lima bintang, taman rekreasi pantai dan bandar pinggir laut.

Suasana ini sesuai untuk manfaat proses pengajaran dan pembelajaran dengan dilengkapi pemandangan dan tumpuan pelancongan. Sebab itu, pada sesetengah pihak berpendapat ia seperti konsep universiti terkemuka dan terbaik di dunia, Cambridge dan Oxford di Britain. Dengan kehadiran para pensyarah dan pemikir terhebat di universiti berkenaan, di samping mempunyai muzium, galeri, seni bina, taman herba dan botanik serta kawasan sekitar universiti yang cantik, Cambridge dan Oxford berjaya menarik ramai pelajar dan pelancong untuk ke sana setiap tahun. Banyak faedah jika Taman Ilmu Terengganu mampu dijadikan sebagai pusat pelancongan pendidikan. Antaranya termasuk memberikan dua sumber pendapatan kepada kerajaan daripada sektor pendidikan dan pelancongan. Kawasan persekitaran pendidikan yang kondusif juga akan menarik minat lebih ramai pelajar untuk belajar di sana.

Besut akan menjadi pusat tumpuan bot dan kapal layar dengan pelbagai destinasi pulau dan pantai. Para pelayar boleh melawat beberapa pulau berhampiran dan pantai yang menarik. Pun begitu, perancangan meningkatkan taraf infrastruktur termasuk kemudahan terminal feri perlu dipercepatkan bagi melonjakkan Besut menjadi pusat pelancongan marina, sukan air dan menyusuri sungai. Di samping menjadi pintu masuk pelancong ke Pulau Perhentian, Besut juga menawarkan pelbagai percutian berasaskan alam semula jadi untuk seisi keluarga. Pantai dan aktiviti menyelam dan penerokaan gua, meluncur angin Laut China Selatan, mandi-manda di kolam air panas dan air terjun cukup sesuai untuk pelancong tempatan dan asing ke sana. Namun, aspek yang tidak patut dipinggirkan ialah mempromosikan budaya dan warisan tempatan setiap tahun kepada pelajar baru dan ahli keluarga mereka. Dengan cara itu usaha ini dapat membina rasa cinta para pelajar kepada warisan budaya dan seni bina tempatan.

Berdasarkan pengalaman universiti yang terkemuka, biasanya bekas-bekas pelajar akan kembali menziarahi pusat tempat mereka menimba ilmu. Dengan itu, kerajaan akan dapat kembali pelaburan dalam pelancongan pendidikan berpanjangan apabila setiap tahun ada bekas pelajar yang datang kembali ke Taman Ilmu untuk mengimbau kenangan lalu mereka di sini. Banyak negara termasuk anggota ASEAN sudah menerapkan konsep pelancongan pendidikan dalam pelan pembangunan mereka. Singapura boleh dianggap negara yang berjaya memanfaatkan konsep ini. Indonesia pula mempromosikan Universiti Perubatan Udayana di Bali dan menstrukturkan semula bandar Yogyakarta menjadi pusat pelancongan pendidikan. Begitu juga Hawaii misalnya yang mempotret wilayah itu sebagai pusat tumpuan warga China mengikuti latihan bidang perniagaan. Pantai Dendong di Hawaii dikenal pasti untuk dimajukan sebagai pusat pelancongan pendidikan tersebut.

Kerajaan menyasarkan 100,000 pelajar asing mendapatkan pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini menjelang 2010 berbanding dengan 50,000 pelajar sekarang. Jika Malaysia terus menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti dan lokasi kampus yang cantik dan menarik, negara kita berpotensi menjadi negara pilihan pelajar asing. Pemikiran untuk mengubah Besut menjadi Taman Ilmu dengan konsep pelancongan pendidikan merupakan cadangan yang boleh direalisasikan semua pihak. Malaysia memerlukan bukan satu tetapi lebih banyak lagi konsep taman ilmu.




BAHAN BACAAN 3
UTUSAN MALAYSIA
ARKIB : 19/06/2008
Menyuburkan industri pelancongan perubatan Malaysia


TERDAPAT sesuatu yang cukup istimewa dalam laporan khas yang ditonton oleh penulis melalui sebuah stesen televisyen di kota Melbourne baru-baru ini. Dalam rancangan Today Tonight yang mendapat rating penonton yang cukup tinggi telah memaparkan tentang pengalaman manis beberapa warga Australia yang melalui apa yang dikatakan sebagai 'Pelancongan Perubatan' (Medical Tourism) di Malaysia. Malaysia digambarkan sebagai destinasi pilihan selain beberapa negara lain di Asia untuk 'berubat sambil melancong.' Memetik kata-kata seorang responden dalam laporan berita ini iaitu Lynda Clifford, warga Australia berusia 48 tahun, pe- ngalamannya di Kuala Lumpur baru- baru ini digambarkan sebagai 'sambil menyelam minum air' kerana dia melalui sesi-sesi rawatan 'fizikal, emosi dan spiritual.' Lynda telah berjaya melalui pembedahan wajahnya yang diseliakan oleh Dr. Nasir Zahari seorang doktor Melayu tempatan, di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Dia diberikan juga rawatan bersifat kaunseling bagi memberikan keyakinan kepada dirinya sebelum dan selepas sesi pembedahan.

Dalam masa yang sama, Lynda turut berkesempatan melancong di lokasi-lokasi menarik di sekitar tanah air kita selepas menjalani pembedahannya itu. Begitu juga dengan pengalaman Rosie Bates, 34 tahun, yang melalui pembedahan perut dan liposuction di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara. Rosie mengakui bahawa dia mendapat layanan 'lima bintang' sepanjang berada di Malaysia dan bersyukur kerana di samping ke- jayaan pembedahannya, dia dan suami da- pat menghabiskan masa melancong pada kos yang dianggap sangat berpatutan. Kisah Lynda dan Rosie ini adalah sebahagian daripada ribuan rakyat Australia bahkan kebanyakan negara maju yang lain, yang mengiktiraf akan kemampuan dan kepakaran pengamal perubatan dan teknologi perubatan di Malaysia yang setanding dengan apa yang ada di negara mereka sendiri.

Tambahan lagi bahawa kos yang perlu dikeluarkan untuk 'menyelamatkan nyawa dan maruah' atau 'mencantikkan tubuh badan' adalah begitu murah jika dibandingkan dengan rawatan di negara mereka sendiri. Apatah lagi jika kos yang di- kenakan adalah turut merangkumi pakej percutian yang cukup hebat kerana Malaysia memang terkenal memiliki sebegitu banyak tempat-tempat menarik. Melalui laman web www.malaysiahealthcare.com, dinyatakan bahawa terdapat beberapa pusat perubatan dan hospital swasta dan kerajaan yang menyediakan pakej-pakej tertentu dalam 'percutian perubatan.' Beberapa jenis rawatan perubatan yang popular kepada kalangan 'pelancong perubatan' juga disenaraikan termasuklah rawatan kardiologi, ortopediks, pergigian, pembedahan kosmetik sehinggalah kepada prosedur pembedahan minor. Menurut Dr. Norman seorang pakar perubatan tempatan Australia dalam temu bual berita Today Tonight ini, kos keseluruhan untuk menikmati satu-satu pakej pelancongan perubatan ini secara puratanya adalah satu pertiga daripada kos yang terpaksa ditanggung di Australia.

Dalam kes Lynda, dia hanya mengeluarkan belanja AUD11,600 (kira-kira RM35,000) untuk pembedahan sekali gus percutian di Malaysia berbanding AUD20,000 (RM60,000) hanya untuk kos pembedahan. Ini jelas menunjukkan Malaysia sememangnya telah berjaya memahatkan namanya sebagai salah satu hub pelancongan perubatan yang bertaraf dunia. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) terdapat peningkatan positif dalam jumlah pelancong asing yang mendapatkan rawatan kesihatan di Malaysia iaitu seramai 296,687 orang pada tahun 2006 berbanding 75,210 sahaja pa- da tahun 2001. Ini merupakan satu perkembangan positif dalam industri pelancongan perubatan ini yang mana ia dikatakan telah berjaya menjana pulangan kewangan sebanyak RM203.66 juta sehingga tahun 2006 yang lalu. Apabila cerita tentang kualiti perubatan di Malaysia diuar-uarkan dalam media massa antarabangsa misalnya seperti di Melbourne, ia jelas menunjukkan bahawa masyarakat dunia telah membuka 'mata hati' untuk tidak terlalu berideologikan tanggapan bahawa hanya negara maju yang pakar dalam dunia perubatan.

Kita tentunya tidak mahu mendengar komen-komen negatif daripada pihak luar yang mengatakan bahawa sektor pelancongan perubatan di Malaysia adalah merugikan bahkan mengancam nyawa pelancong yang mengikuti satu-satu proses rawatan di sini. Sebagai mana yang ditegaskan dalam laporan Today Tonight, 59 peratus pelancong perubatan warga Australia terpaksa mendapatkan rawatan semula di negara sendiri kerana kegagalan pembedahan yang dilakukan di negara luar. Untuk itu pihak-pihak yang terlibat harus membuktikan bahawa negara kita benar-benar berupaya memberikan rawatan yang bertaraf antarabangsa kepada para pelancong.




BAHAN BACAAN 4
UTUSAN MALAYSIA
ARKIB : 14/01/2010
Hapuskan sahaja VOA
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

KEMENTERIAN Pelancongan barangkali boleh berbangga kerana berjaya melepasi sasaran kedatangan pelancong seperti yang diunjurkan tahun lalu. Jumlah pelancong seramai 23.65 juta orang yang dicatatkan tahun lalu jauh melepasi sasaran seramai 19 juta orang seperti yang disasarkan. Kejayaan itu meletakkan Malaysia di tangga kedua di kalangan negara yang melebih sasaran kemasukan pelancong tahun lalu selepas Korea Selatan. Tidak dinafikan, peningkatan pelancong tahun lalu yang turut mengatasi jumlah pelancong pada 2008 (22 juta orang) adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Apatah lagi industri pelancongan di kebanyakan negara agak terjejas lewat dua tahun kebelakangan ini kerana krisis ekonomi global. Maka, industri pelancongan negara boleh dilihat sangat kompetitif ketika negara lain bergelut mempromosikan pelancongan di negara masing-masing. Ironinya, ketika Kementerian Pelancongan meraikan kejayaan melepasi sasaran itu, seramai hampir 40,000 warga India pula dilaporkan hilang secara misteri.

Mereka ini didakwa menyalahgunakan visa pelancongan dan tinggal di negara ini secara tidak sah. Perkara itu didedahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ternyata bimbang dengan senario itu. Isu penyalahgunaan visa ketibaan (VOA) ini sebenarnya pernah beberapa kali mendapat perhatian pelbagai pihak kerana peningkatan mendadak kes penyalahgunaan hanya selepas beberapa tahun diperkenalkan. Mula dilaksanakan pada 1 September 2006 sempena Tahun Melawat Malaysia, VOA bertujuan menggalakkan lebih ramai pelancong asing melawat negara ini seterusnya merancakkan pelbagai rantaian ekonomi. Namun, ia dijadikan kesempatan oleh beberapa rakyat asing untuk memasuki negara ini secara sah, tetapi enggan pulang meskipun selepas tamat tempoh visa pelancongan tersebut.

Sehingga akhir 2008 misalnya, iaitu selepas kira-kira dua tahun VOA diperkenalkan, hampir 30 peratus daripada 251,908 visa yang dikeluarkan telah disalah guna. Ia membabitkan lebih 70,000 pelancong yang kebanyakannya berasal dari negara-negara konflik dan miskin. Mereka menjadikan Malaysia sebagai destinasi untuk mencari pekerjaan serta sebagai transit sebelum ke negara lain terutamanya Australia dan New Zealand. Warganegara India, Pakistan, Bangladesh, China dan Sri Lanka adalah antara yang dikenal pasti paling ramai menyalahgunakan visa tersebut. Beberapa kes juga dikesan di kalangan pelancong dari Myanmar, Nepal, Afghanistan, Bhutan , Hong Kong dan Taiwan. Penyelewengan VOA itu semakin memburukkan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sebelumnya sudah pun menjadi isu negara. Apatah lagi, Malaysia juga sudah sedia dibanjiri dengan buruh asing sah yang bekerja di kawasan ladang dan tapak pembinaan.

Itu belum lagi mengambil kira warga asing yang menyalahgunakan visa pelajar untuk tinggal lebih masa. Warganegara Afrika paling ramai yang dikesan memasuki negara ini menggunakan visa pelajar tetapi tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. Kelibat warga asing yang boleh dilihat dengan mudah di kebanyakan kawasan mengundang kebimbangan dan rasa tidak selesa di kalangan rakyat tempatan. Peningkatan kes jenayah membabitkan warga asing, penyakit berjangkit dan kewujudan komuniti yang tidak seimbang adalah risiko yang dikaitkan dengan kebanjiran warga asing itu. Isu keselamatan ini juga yang mendesak kepada tindakan serius oleh kerajaan termasuk menghapuskan pelaksanaan VOA. Apatah lagi selepas beberapa langkah yang diambil oleh Jabatan Imigresen dalam menangani perkara itu tidak menunjukkan kejayaan sepenuhnya. Jabatan Imigresen sebelum ini pernah memperketatkan pengeluaran visa ketibaan kepada sesetengah negara, selain menaikkan kadar bayaran untuk mendapatkan visa daripada RM30 kepada RM300.

Butiran terperinci pelancong asing yang memohon visa juga diambil bagi memudahkan kerajaan mengesan pemohon itu sekiranya berlaku kes kecemasan. Malangnya, butiran itu masih gagal membantu barangkali kerana tidak ada penyelarasan dalam perkongsian maklumat itu di kalangan agensi yang terbabit. Dalam masa yang sama, kekuatan anggota juga dipertingkatkan bagi memburu pelancong yang tinggal lebih masa ini. Namun kita perlu mengakui bahawa dengan kekuatan anggota keselamatan yang tidak seberapa, adalah sukar untuk menjejak kesemua pelancong lebih masa itu di seluruh negara. Sementelah, mereka ini juga sangat licik bersembunyi bagi mengelak dikesan. Mereka mungkin tidak seperti pekerja sah lain yang bekerja di tempat terbuka seperti di pusat membeli-belah, bangunan korporat dan sebagainya. Sebaliknya, kebanyakan pelancong lebih masa ini bekerja di kawasan-kawasan kampung dan kejiranan yang kecil.

Mereka bekerja di kedai runcit, restoran, kedai gunting dan kedai jahit mengikut kemahiran masing-masing. Disebabkan sudah terlalu biasa pula, rakyat tempatan pula tidak mempersoalkan kehadiran warga asing ini selagi mereka tidak menimbulkan masalah dan mengganggu ketenteraman awam. Sikap rakyat tempatan ini menyebabkan warga asing semakin selesa sehingga ada yang berkahwin dengan rakyat tempatan. Kes-kes ini bukan lagi terpencil kerana masalah anak-anak kaum tertentu yang tidak memiliki sijil kelahiran kerap dilaporkan berlaku. Besar kemungkinan, anak-anak ini merupakan anak warga asing dan kerajaan perlu memberikan taraf kerakyatan atas pertimbangan politik dan kemanusiaan. Kerajaan juga perlu mengelak pelbagai beban sosial lain sekiranya anak-anak tanpa taraf warganegara ini semakin ramai. Maka, dengan pertimbangan kesan buruk yang bakal dihadapi oleh negara dalam jangka masa panjang, adalah wajar sekiranya visa ketibaan itu dimansuhkan.

Sebaliknya, urusan kemasukan pelancong ke negara ini perlu melalui dokumentasi yang lebih selamat dan terjamin iaitu menerusi penggunaan pasport antarabangsa. Jika visa ketibaan itu dilihat masih wajar dilaksanakan, maka kerajaan perlu merujuk kepada kaedah pengeluaran visa ketibaan yang digunakan oleh beberapa negara lain terutamanya United Kingdom. Di sana, pemegang visa yang tidak boleh berbahasa Inggeris perlu pulang ke negara asal pada penerbangan yang paling awal. Kredibiliti pemegang visa juga disaring dengan merujuk kepada pihak bank dan majikan bagi memastikan pelancong itu benar-benar melancong pada kemampuan mereka. Ini adalah antara yang boleh dijadikan rujukan oleh kerajaan dalam memastikan visa negara ini tidak lagi disalahgunakan dengan mudah. Kaedah lain yang dilihat munasabah juga adalah dengan memendekkan tempoh visa ketibaan kepada hanya beberapa hari, sesuai dengan tujuan untuk melancong. Pelancong dengan visa ketibaan juga wajar mempunyai tiket penerbangan pergi balik yang sah dan dikemukakan kepada pegawai imigresen sewaktu mendaftar masuk ke negara ini.