05 Jun 2017

CATATAN CIKGU ZUL : SELAMAT BERSARA TUAN HAJI NAWI


Nama Nawi bin Ismail bukanlah asing bagi semua guru Bahasa Melayu kerana buku-buku dan artikel tulisan beliau selalu menemani kita sehingga ke bilik tidur, dalam kereta, dan di mana-mana jua kita berada. Sebelum mengenali Tuan Haji Nawi bin Ismail secara bersemuka, sebenarnya saya telahpun mengenali beliau lebih awal kerana saya merupakan pengguna buku-buku kerja dan buku rujukan yang dihasilkan oleh beliau. Saya amat mengagumi Tuan Haji Nawi Ismail. Pertemuan pertama saya dengan Tuan Haji Nawi adalah pada 28 Ogos 2009, apabila beliau dijemput khas untuk memberikan ceramah menjawab Teknik Menjawab Bahasa Melayu STPM dan Pengajian Am di SMK Sacred Heart (Sekolah tempat saya berkhidmat selama 19 tahun sebelum berpindah ke SMK Sibu Jaya). Walau bagaimanapun, keterbatasan waktu tidak mengizinkan saya berbual panjang dengan Tuan Haji Nawi, saya hanya mampu berjabat tangan dan mengucapkan terima kasih atas kedatangan beliau ke sekolah kami pada ketika itu. Dalam hati saya berdoa agar Allah memberikan kesempatan untuk saya mengenali Tuan Haji Nawi dengan lebih dekat kerana bagi saya beliau seorang guru bahasa Melayu yang berilmu dan hebat. Saya mengajar menggunakan artikel yang ditulis oleh beliau dalam majalah Pelita Bahasa, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya kenali beliau sebagai Munsyi Dewan dan saya pernah menanam azam untuk menjadi seperti beliau. Idea-idea P&P Bahasa Melayu yang diketengahkan oleh beliau mudah difahami dan dipraktikkan. Semua artikel yang ditulis oleh Tuan Haji Nawi saya failkan dan saya tunjukkan semasa penyeliaan Nazir sewaktu saya memohon jawatan Guru Cemerlang Bahasa Melayu pada tahun 2010. Agak lucu juga, sewaktu ditemu bual saya banyak menyebut nama Tuan Haji Nawi sebagai idola saya untuk memohon jawatan itu sehingga salah seorang nazir bertanya, pernahkah awak berjumpa dengan beliau? Jawapan saya, secara jujur saya tidak pernah bersemuka dengan Tuan Haji Nawi tetapi saya mengenali beliau daripada tulisan-tulisan beliau. Nazir itu menasihatkan agar saya jumpa dengan Tuan Haji Nawi dan belajar sebanyak mungkin ilmu bahasa daripada beliau. Itulah cerita awal antara saya dan Tuan Haji Nawi bin Ismail.


TAHUN 2012, TUHAN MAKBULKAN DOA

Pada penghujung tahun 2011, pengumuman jawatan Guru Akademik Tingkatan Enam oleh Menteri Pendidikan, Datuk Hishamuddin Tun Husien telah mencatat sejarah baharu dalam dunia pendidikan di Malaysia. Seiring dengan pengumuman itu, kurikulum STPM lama pun ditukarkan kepada Sistem Modular. Pada peringkat awal, saya tidak dilantik sebagai Guru Akademik Tingkatan Enam kerana dari segi kelayakan tidak mencukupi walaupun saya telah mengajar Bahasa Melayu Tingkatan Enam hampir 10 tahun. Lebih-lebih lagi, saya merupakan Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Suatu hari, saya diberikan sepucuk surat oleh kerani daripada Majlis Peperiksaan Malaysia. Dalam surat itu, saya dilantik sebagai Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM Modular bersama-sama dengan Puan Siti Sara binti Ismail (SMK Pending) dan Puan Azlin Binti Alias (SMK Bintulu). Mesyuarat pertama semua Jurulatih Utama diadakan di Hotel Pearl International, Jalan Klang Lama pada bulan Januari 2012. Inilah detik pertemuan saya dengan guru-guru Bahasa Melayu STPM dari segenap empat penjuru negeri di Malaysia termasuklah dengan Tuan Haji Nawi bin Ismail yang memakai bush jacket kelabu pada masa itu. Agak lucu juga kerana ramai guru-guru yang selalu membaca blog saya, iaitu “BAHASAKU GLOBAL BANGSAKU GLOKAL” turut dilantik menjadi Jurulatih Utama. Walau bagaimanapun, pada pertemuan ini saya tidak banyak bercakap dengan Tuan Haji Nawi biarpun makan semeja dan duduk bersama kerana beliau merupakan salah seorang yang berperanan penting dalam majlis tersebut. Namun begitu, saya berasa amat bersyukur kerana Allah memberikan peluang dan kesempatan untuk saya mengenali beliau, Puan Raminah binti Sabran, Tuan Haji Mohd. Zaini bin Othman, Tuan Haji Mohd Khir, dan sebagainya.

Pertemuan itu telah melakarkan pertemuan-pertemuan yang seterusnya dengan Tuan Haji Nawi sehinggalah kami menjadi rapat bagaikan bersaudara. Kami sering dipanggil bersama untuk melaksanakan beberapa tugas penting oleh pihak atasan dalam pertemuan yang tidak terhitung jumlahnya bermula dari tahun 2012 hingga kini. Mereka selalu mengatakan kekerapan saya naik kapal terbang dari Sibu ke Kuala Lumpur bagaikan naik bas kerana setiap minggu wajah saya akan muncul di Lapangan Terbang Kuala Lumpur dan hotel-hotel terkemuka di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat. Pada pertemuan itu, saya selalu dipertemukan dengan Tuan Haji Nawi bin Ismail, guru yang saya hormati dan kagumi. Saya amat menghormati Tuan Haji Nawi dan tidak pernah membantah kata-kata beliau kerana bagi saya setiap kata yang diucapkan oleh beliau adalah ilmu baharu untuk saya pelajari, amalkan dan praktikkan. Saya suka dengan cara beliau memberikan pendapat dan cadangan kerana semua yang disuarakan memang berasas dan diterangkan dengan amat terperinci. Semuanya akan saya catat dan taip apabila balik ke Sibu untuk digunakan dalam P&P dengan pelajar-pelajar saya. Saya suka duduk dengan Tuan Haji Nawi kerana beliau akan bercerita tentang pengalaman serta perkara-perkara yang berkaitan dengan guru Bahasa Melayu sahaja. Masa bagaikan terlalu cemburu apabila duduk semeja dengan beliau disebabkan celoteh beliau dalam dialek Terengganu ada ketikanya mencuit hati (saya tidak memahami) tetapi bererti (dia membincangkan isu serius). Itulah Tuan Haji Nawi bin Ismail.


TUAN HAJI NAWI, SATU DALAM SEJUTA

Setelah kami rapat, Tuan Haji Nawi selalu mengusik saya terutama dalam soal jodoh dan mencari pasangan. Dalam setiap pertemuan, itulah perkara yang selalu ditagih oleh beliau. Akan tetapi, saya hanya menjawab dengan senyuman, sesungguhnya jodoh dan pertemuan takdir Yang Maha Esa. Satu perkara yang amat menarik tentang Tuan Haji Nawi ialah sewaktu kami sibuk berbincang tentang sesuatu perkara dalam mesyuarat, semasa kami bertegang leher sehingga bergaduh disebabkan berbeza pendapat tentang sesuatu konsep atau ketetapan mesyuarat, beliau tidur dalam waktu yang lama. Kemudian, tiba-tiba beliau bangun dan menyampuk! Perkara yang beliau utarakan itu pula tidak lari daripada pokok perbincangan kami. Yang amat mengagumkan, beliau memberikan jalan penyelesaian sehingga perbincangan itu tamat. Itulah Tuan Haji Nawi, dalam tidur beliau mendengar, dalam tidur beliau berfikir, dalam tidur beliau bekerja. Kitaran itu tidak pernah berhenti untuk makhluk Tuhan seperti Tuan Haji Nawi bin Ismail. Tuan Haji Nawi tidak pernah menyuarakan keletihan beliau walaupun kami sama-sama tahu banyak masa beliau yang diperuntukkan untuk bekerja. Semasa bertemu di mana-mana, beliau sentiasa dilihat memeriksa karangan pelajar dan menulis artikel untuk dihantar ke akhbar atau majalah. Sifat beliau yang sebegitu, amat saya kagumi dan sedang saya pelajari, insyallah dapat saya ikuti tetapi saya tidak mungkin mampu sehebat Tuan Haji Nawi yang amat dikenali dan disanjungi.

Tuan Haji Nawi bin Ismail sentiasa bercakap menggunakan dialek Terengganu beliau. Yang melucukan, kami tidak faham apa yang beliau tuturkan disebabkan terlalu laju dan pekat dialek Terengganunya, tetapi kami akan cuba juga ketawa seolah-oleh memahami pokok bicara. (Maaf Tuan Haji Nawi). Tuan Haji Nawi selalu membawa saya berjalan-jalan dan makan-makan di sekitar kompleks beli-belah SOGO. Kami akan berhenti makan Mihun Tomyam (Menu wajib kami) di salah sebuah gerai berdekatan dengan Hotel Quality Kuala Lumpur. Perkara yang akan saya rindu tentang Tuan Haji Nawi, apabila kami jalan-jalan shopping di SOGO,  beliau akan bertanya tentang baju-baju yang sesuai sebelum membeli dengan saya. Yang pasti, beliau sentiasa membawa saya sahaja. Selepas ini, mungkin saya akan bersendirian kerana Tuan Haji Nawi telah bersara. Hubungan di media sosial mungkin terputus tetapi hubungan di meja mesyuarat mungkin amat jarang berlaku selepas ini dengan Tuan Haji Nawi. Biarpun begitu, saya tidak menganggap Tuan Haji Nawi hilang dalam mendidik, membimbing, dan memberikan pendapat kerana saya tahu beliau akan menjawab apabila saya bertanya dan memerlukan khidmat nasihat. Keikhlasan Tuan Haji Nawi dalam membantu kami yang muda-muda ini amat dikagumi. Beliau sentiasa bersabar dengan karenah kami yang pelbagai. Kadang-kadang beliau marah tetapi marah itu disampaikan dalam tawa tetapi berbisa. Macam mana tu? Hanya Tuan Haji Nawi yang mampu membuatnya. Satu lagi tabiat Tuan Haji Nawi yang mencuit hati ialah kami akan bersama-sama makan maggie sambil lepak-lepak di kedai makan. Setiap kali makan, beliaulah yang bayar. Terima kasih Tuan Haji Nawi!


Mulai tahun 2013, saya bepeluang menulis beberapa buah buku rujukan dan buku kerja Bahasa Melayu Tingkatan Enam bersama-sama dengan Tuan Haji Nawi, Puan Raminah Haji Sabran, Tuan Haji Mohd Zaini bin Othman, Puan Wahida binti Wahid, dan Tuan Haji Mohd Sis Mohd Yatim. Kami telah mengadakan banyak pertemuan untuk kerja-kerja panel buku dan sebagainya. Walaupun saya masih muda dan baharu dalam kumpulan kami, Tuan Haji Nawi dan semuanya amat menghormati kehadiran saya bersama-sama dengan mereka. Saya mendapat banyak ilmu hasil daripada perbincangan kami pada setiap siri mesyuarat. Mereka tidak pernah menidakkan kehadiran insan kerdil yang serba kekurangan seperti diri saya. Tuan Haji Nawi sentiasa menjadi mentor yang amat baik bersama-sama dengan Puan Raminah Sabran dalam kumpulan kami. Walaupun ilmu mereka setinggi gunung tetapi mereka sentiasa merendahkan diri serendah karang di dasar laut. Mereka sentiasa menerima pendapat dan memberikan buah fikiran yang mengagumkan. Ya Allah, kau peliharalah hubungan silaturrahim antara saya dengan mereka kerana masih banyak yang saya perlu pelajari daripada mereka. Perjalanan saya masih jauh dalam bidang ini dan saya mahu menjadi sehebat mereka yang saya kenali. Insyallah.


GURU CEMERLANG BAHASA MELAYU, GRED KHAS C

Jawatan Tuan Haji Nawi bin Ismail sebelum bersara bukannya calang-calang guru boleh menerimanya. Jika orang lain berbangga dan mendabik dada tetapi Tuan Haji Nawi sebaliknya. Beliau tidak pernah menagih pengiktirafan daripada kami semua. Kami hanya memangil beliau dengan panggilan Haji Nawi atau Tuan Haji. Haji Nawi boleh duduk semeja dengan semua orang tanpa mengira kedudukan dan beliau tidak mahu diberikan keistimewaan. Beliau selalu mengatakan beliau masih belajar dengan semua orang tentang banyak perkara. Yang amat membezakan beliau dengan orang lain ialah beliau tidak pernah bercerita tentang pangkat dan kedudukan, beliau cuma bercerita tentang masalah yang berkaitan dengan Bahasa Melayu dan dunia pendidikan di Malaysia. Jika orang yang baharu mengenali Tuan Haji Nawi, orang mungkin beranggapan beliau hanyalah insan biasa kerana cara pemakaian dan penampilan beliau yang bersahaja. Bagi orang yang pernah bekerja bersama-sama dengan beliau dan mengenali beliau, Tuan Haji Nawi umpama nakhoda dan penyelamat yang amat hebat serta sukar ditandingi. Lantaran itu, bagi saya dengan bersaranya Tuan Haji Nawi, kami ibarat seekor jentayu yang patah sayap, masih boleh bertongkat paruh tetapi paruh itu tidak semestinya teguh kerana kehilangan Tuan Haji Nawi selalu meminjamkan hati beliau untuk kami semua.

Tuan Haji Nawi bin Ismail sentiasa teguh dengan pendirian beliau untuk mengajar di dalam kelas sehingga bersara. Jika orang lain ghairah memegang jawatan penting di jabatan pendidikan daerah, negeri, dan kebangsaan, Tuan Haji Nawi tetap unggul menjadi guru bahasa Melayu sehingga mencecah usia 60 tahun. Beliau memulakan kerja sebagai guru biasa di dalam bilik darjah dan mengakhirinya sebagai seorang jusa di dalam bilik darjah juga. Yang berbeza mungkin tahun dan pangkat beliau. Bukan semua guru berjiwa seperti Tuan Haji Nawi. Saya akui, bagi rakan-rakan sekerja dan anak-anak didik yang mengenali beliau, mereka akan menangisi persaraan Tuan Haji Nawi kerana mereka lebih terkesan dengan ketiadaan beliau. Jika saya yang berjumpa sekali sekala dengan Tuan Haji Nawi terasa, mereka apatah lagi. Tuan Haji Nawi merupakan seorang guru yang amat ikhlas dalam mendidik. Terlalu ikhlas. Mungkin kerana itulah Allah selalu permudahkan perjalanan kerjaya beliau. Saya berharap dalam kalangan pendidik pada masa ini, akan lahir ramai guru seperti Tuan Haji Nawi agar sistem pendidikan di Malaysia dapat dimartabatkan ke tahap dan landasan yang sepatutnya. Saya percaya disebalik kekuatan Tuan Haji Nawi itu dibelakang beliau hadir seorang wanita jelita yang bernama isteri.

Walaupun saya tidak mengenali isteri beliau dengan rapat cuma sesekali melihat dari jauh sewaktu beliau membawa mereka datang mesyuarat, saya tahu kasih sayang dan ikatan silaturrahim beliau dengan isteri dan anak-anak menjadikan beliau tiada masalah untuk fokus dengan kerja yang berlambak. Apabila mendengar cerita beliau tentang anak-anak dan keluarga, saya dapat mentafsir kesejahteraan dan kebahagiaan yang beliau nikmati di rumah, menjadi sumber kekuatan kepada beliau baik di tempat kerja mahupun di bilik mesyuarat. Tuan Haji Nawi pernah mengungkapkan walaupun makanan di hotel banyak dan terhidang cantik serta berseni, beliau tetap juga makan sedikit. Akan tetapi, apabila di rumah, walau dihidangkan nasi dan berlaukkan ikan kering serta sup telur sahaja, beliau berselera kerana yang masak itu isteri beliau. Air tangan isteri lebih sedap daripada air tangan chef terkemuka di hotel lima bintang. Itulah Tuan Haji Nawi yang saya kenali. Semoga beliau terus kekal bahagia di samping isteri, anak-anak, dan cucu-cucu beliau setelah bersara.


PUISI UNTUK TUAN HAJI NAWI

Tuan yang dihormati
Sekian lama kita bersahabat
Tuan nampak selalu sihat dan kuat
Tidak pernah patah semangat
Jarang sekali tuan kata tak dapat
Hujah tersusun teramat hebat
Pelerai kekusutan kami kekurangan
Penyuap ilmu kami yang bertatih
Mengikut jejak langkah tuan

Tuan yang dikasihi
Antara tuan dengan kami
Jaraknya ibarat langit dan bumi
Tetap hati kami selalu tersentuh
Tuan tidak pernah menjauh diri
Kami makan maggie tuan makan maggie
Kami jalan kaki tuan jalan kaki
Gaya tuan tidak terlebih- lebih
Tuanlah teladan
Tuanlah tunjang kekuatan

Tuan yang disayangi
Kadang-kadang kami tertanya
Dari mana punca tenaga yang ada
Tuan manusia kami juga manusia
Bezanya cuma ilmu tuan penuh didada
Sampai kelibat tuan sentiasa didamba
Tiada tuan dicari-cari
Hilang tuan ditangisi
Tuan sumber inspirasi kami

Tuan yang dimuliakan
Perjuangan tuan tidak pernah selesai
Kerja tuan tidak pernah langsai
Tuan tidak pernah berhenti berfikir
Untuk memajukan anak bangsa
Meningkatkan darjat kerjaya kita
Nama tuan mengharum sentiasa
Lelaki kecil berkaca mata
Dialek Terengganu tidak dilupa
Tuan Jusa harapan nusa

Tuan Jusa yang bijaksana
Biar bersara obor guru biar menyala
Jangan dipadamkan bahangnya
Kami mahu terus berpadu bakti
Dengan tuan jusa yang dikasihi
Terus sihat dan dirahmati
Dilimpahi berkat ditambah rezeki
Bahagia sentiasa diriba isteri
Sejahtera selalu dipangkuan anak cucu
Tuan akan selalu kami rindu
Dalam mimpi pasti bertemu

Nukilan
Zul Liverpool
Pasar Seni - OldTown White Coffee
22 April 2017

SELAMAT BERSARA TUAN

“Saya amat gembira bekerja dan berjumpa dengan rakan-rakan semua. Saya tahu tidak semua guru  yang mampu melakukan tugas seperti yang kita lakukan ini. Alhamdulillah. Saya berharap kita pertahankan rahsia apabila kita terlibat dengan perkara yang SULIT demi kebaikan anak bangsa dan maruah diri kita sebagai pendidik yang dipercayai dan sentiasa berpegang teguh kepada amanah. Ingatlah, tiada suatu cara yang betul untuk melakukan perkara yang salah”.

Tuan Haji Nawi bin Ismail, 4 Jun 2017.

Selamat bersara Tuan Haji Nawi bin Ismail. Yang saya harapkan bukannya patah tumbuh hilang tidak berganti tetapi patah tumbuh muncul ribuan guru sehebat Tuan Haji Nawi untuk bersatu mengangkat dan memartabatkan sistem pendidikan di Malaysia. Kita mahu munculnya guru yang gigih mengajar, tidak mengeluh, mahir menyelesaikan, kreatif dan inovatif dalam membantu pelajar, dikenali kerana kesungguhannya mengajar dan berkongsi ilmu, seperti Tuan Haji Nawi. Kita mahukan munculnya guru yang sentiasa merendah diri, tidak terlalu berkira dalam soal pangkat dan kedudukan, tidak mendewa-dewakan ganjaran dan pengiktirafan tetapi ikhlas, amanah, dan bertanggungjawab seperti Tuan Haji Nawi. Bagi saya, Tuan Haji Nawi bin Ismail cukup sempurna untuk dijadikan idola. Saya tahu semua manusia ada kelemahan dan kepincangan kerana tiada yang sempurna melainkan Allah tetapi Tuan Haji Nawi bin Ismail amat sempurna dari segi khidmat dan pengorbanan untuk diangkat sebagai pendidik unggul dan pejuang Bahasa Melayu yang tidak boleh dikesampingkan. Terima kasih Tuan Haji Nawi. Terima kasih atas segala ilmu dan perkongsian. Terima kasih atas rasa hormat tuan terhadap golongan muda seperti saya. Semoga Allah akan terus mempermudahkan urusan tuan baik di dunia mahupun di akhirat. Semoga Allah akan terus melimpahkan kebahagiaan, kesejahteraan, kesihatan yag berpanjangan, dan kesempurnaan hidup untuk tuan dan keluarga. Kami tidak menangisi majlis persaraan Tuan Haji Nawi kerana kami tahu hubungan kami dengan Tuan Haji tidak akan bernoktah pada 29 Julai 2017 tetapi bertahan selama-lamanya.

Cetusan Pendidik Bangsa
Zulkarnain Farihin
Jurulatih Utama

Bahasa Melayu STPM, Malaysia.








21 Mei 2017

CATATAN CIKGU ZUL: CERITA BALIK GAWAI ORANG KAPIT, NAIK EKSPRES ATAU GUNA JALAN RAYA?


Beberapa hari lagi, warf ekspres Sibu ke Kapit, Sibu Ke Song, Song Ke Kapit, Song Ke Sibu, dan Kapit ke Sibu akan dibanjiri oleh lautan manusia yang mahu pulang ke rumah panjang bagi meraikan sambutan Hari Gawai Dayak bersama keluarga. Umum mengetahui bahawa hampir 85% masyarakat yang mendiami Bahagian Kapit merupakan kaum Iban dan masyarakat dayak yang lain seperti kayan, kenyah, dan orang ulu. Oleh itu, jika mahu merasai kemeriahan Hari Gawai Dayak, datanglah berkunjung ke Kapit pada bulan 1 Jun setiap tahun. Sambutan Hari Gawai Dayak memang meriah dan penuh tradisi kerana orang Iban terutamanya masih kuat berpegang kepada warisan turun temurun nenek moyang mereka. Mereka tetap mengadakan upacara Miring, Nimang, Sandau Ari, dan sebagainya pada Hari Gawai. Keadaan di Warf Ekspres Sibu, Song, dan Kapit akan menjadi sesak kerana pengangkutan air merupakan pengangkutan utama yang digunakan untuk balik meraikan Hari Gawai. Pada tahun 2017, senario ini pasti masih lagi berlaku. Berkemungkinan pada tahun 2018, mereka boleh memandu kereta sendiri untuk balik menyambut Hari Gawai Dayak. Mereka amat mengharapkan pihak berwajib menyengerakan pembinaan jalan raya dari Sibu terus ke Kapit dengan segera agar mimpi ngeri balik bergawai berhimpit-himpit dalam ekspres yang sesak dan terpaksa berpanas dan berhujan duduk di atas bumbung ekspres tidak akan muncul lagi dalam lena yang panjang.

Belia di Bahagian Kapit terutamanya belia kaum Iban kebanyakannya mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat lain bagi mendapatkan peluang pekerjaan. Hal ini dikatakan demikian kerana jika mereka tinggal di rumah panjang, mereka tidak boleh meningkatkan taraf hidup kerana tiada peluang pekerjaan disediakan. Oleh itu, mereka sanggup meninggalkan keluarga dan ibu bapa yang sudah tua serta tidak berdaya untuk mendapatkan peluang pekerjaan di Semenanjung Malaysia atau di bandar-bandar di Sabah dan Sarawak malahan di Singapura, Indonesia dan pelbagai negara di seluruh dunia. Bagi yang bekerja di sektor awam mahupun sektor swasta pula, mereka banyak membeli rumah di bandar kerana rumah merupakan keperluan asas yang wajib dibeli. Mereka tinggal di bandar selama bertahun-tahun hingga bersara. Mereka cuma balik ke kampung sekali sekala, itupun jika ada perkara penting. Untuk balik bukannya mudah, mereka perlu menaiki ekspres ke Kapit atau Song. Perjalanan akan disambung dengan bot panjang yang mengambil masa 1 hingga 8 jam perjalanan. Namun begitu, walau sesukar manapun perjalanan, pada akhir bulan Mei, sebaik sahaja Cuti Penggal Persekolahan tamat semua akan pakat-pakat balik ke rumah panjang walaupun terpaksa berhimpit-himpit dan berasak-asak serta lemas dalam kesesakan lautan manusia.

KAMI MESTI BALIK GAWAI

Tradisi balik kampung untuk menyambut Hari Gawai Dayak ini samalah dengan tradisi balik beraya bagi orang yang beragama Islam. Bagi orang Iban pula, balik ke kampung semasa Hari Gawai amat besar maknanya kerana disitulah mereka dilahirkan dan membesar. Kehidupan di rumah panjang amat tebal dengan ikatan persaudaraan. Hubungan dalam kalangan penduduk rumah panjang amat rapat ibarat cubit paha kanan paha kiri pasti terasa. Orang rumah panjang amat menghormati antara satu sama lain. Jika seorang dapat ikan, walaupun sesekor, semua orang akan menikmati ikan tersebut walaupun hanya merana secubit isi ikan itu sahaja. Ikatan kasih sayang antara penduduk amat kuat. Semua orang merindui kehadiran kita dan mengalu-alukan kedatangan kita. Semua orang menyambut kedatangan kita dengan mesra. Situasi ini berlangsung dengan amat indah dan ikhlas. Walaupun terpaksa melupakan seketika telefon, gajet, ASTRO yang mendarahdaging bagi mereka yang hidup di bandar, apabila datang ke rumah panjang masa 24 jam itu terisi dengan pelbagai aktiviti. Kita boleh duduk bersembang dengan kawan-kawan dari pagi hingga ke malam sambil minum ‘air tuak’. Kita usik mengusik antara satu sama lain dalam suasana yang amat ceria dan indah. Kerinduan terhadap keluarga, sanak saudara, dan rakan-rakan terubat. Apatah lagi jika yang balik itu, sudah bertahun-tahun menghilang dari radar kerana tidak dapat di kesan. Tiba-tiba muncul dengan anak dan isteri. Kedatangan mereka pasti disambut dengan tangisan kemeriahan oleh seluruh penduduk rumah panjang itu.


Tuntutan hidup yang semakin moden telah menjarakkan hubungan silaturrahim masyarakat Iban dengan sanak saudara mereka sedikit demi sedikit sehingga saling tidak mengenali. Hari Gawai Dayak akan menghadiahkan pelbagai kejutan kerana kita mungkin dipertemukan dengan Boss kita yang merupakan ayah saudara kita sendiri tetapi selama ini selalu memarahi kita di tempat kerja. Semasa Hari Gawai kita baru mengetahui jiran yang rapat dengan kita di bandar itu bukanlah orang lain tetapi bau-bau bacang dengan keluarga kita. Perkara yang paling ditunggu-tunggu yang kita bepeluang melihat bekas kekasih kita sewaktu zaman sekolah dahulu. Walaupun tiada lagi rasa cinta, sekurang-kurangnya kita menyaksikan kebahagiaan hidupnya yang dikelilingi oleh anak-anak yang comel. Hal ini dikatakan demikian kerana semasa zaman remaja dan kanak-kanak, kita pernah menjalin hubungan cinta monyet tetapi terputus kerana masing-masing membawa haluan sendiri apabila dewasa. Jodoh kita dan jodoh dia ditakdirkan dengan orang lain. Perjumpaan yang tidak diduga ini akan menjadikan sambutan Hari Gawai Dayak amat indah dan meninggalkan banyak kenangan manis untuk semua. Bagi yang berkahwin pula, pada musim Hari Gawai ini mereka meraikannya di rumah panjang, sambutan akan dilakukan dengan penuh tradisi dan berseni. Masyarakat Iban yang terkenal dengan budaya dan adat asal akan memastikan majlis perkahwinan itu tiada cacat celanya untuk dikenang hingga ke akhir hayat.

CERITA TIKET EKSPRES TAK HABIS-HABIS

Masalah ini menghantui masyarakat yang mahu pulang menyambut Hari Gawai Dayak ke Song dan Kapit pada setiap tahun tetapi jalan penyelesaiannya langsung tiada. Bilangan ekspres yang diperlukan tidak ditambah kerana keghairahan untuk mengaut keuntungan yang berganda. Sejak kebelakangan ini, tiket itu sudah dibeli oleh sekumpulan orang dan menjualnya balik kepada yang memerlukan dengan harga yang mahal. Perkara yang lebih mengharukan apabila satu tempat duduk dijual kepada 3 orang menyebabkan wujudnya pergaduhan dan perselisihan dalam kalangan pembeli. Sepatutnya, pada musim-musim begini ekspres ke Song dan ekspres ke Kapit dijarakkan lokasinya. Bilangan ekspres harus ditambah kerana orang yang balik gawai ini membawa pelbagai barangan untuk keluarga di kampung. Jika bilangan ekspres tidak ditambah, kekerapan perjalanan ekspres boleh diubah, sebuah ekspres mungkin terpaksa mengambil penumpang 3 kali sehari. Harga tiket harus kekal dan tidak boleh ada orang tengah yang menjual tiket tersebut. Kita faham, pengusaha mungkin sukar untuk memenuhi tuntutan ini tetapi pemintaan yang tinggi menjanjikan pendapatan yang berlebihan buat pengusaha. Pendapatan yang berlebihan ini haruslah setimpal dengan keselesaan penumpang. Bayangkan jika orang tua, yang membayar harga tambang yang sama tetapi terpaksa berdiri dalam ekspres selama 3 jam (Ke song) dan mungkin 4 jam ke Kapit. Kuasa monopoli yang dimiliki bukan semestinya kita harus menganiayai penumpang yang terdesak tetapi bertimbang rasa lebih utama agar rezeki lebih berkat untuk kita.


Kita jangan beranggapan bahawa mereka mesti membeli sebab mereka perlu, kalau tidak ada duit mereka tidak akan balik. Pada masa inilah kita kenakan mereka cukup-cukup. Anggapan ini salah sama sekali. Mereka bekerja dan terpaksa meninggalkan keluarga dan kampung halaman. Hidup bukan mudah untuk mereka lalui. Mereka menyimpan pada setiap bulan untuk meraikan keluarga dan rakan-rakan. Niat mereka pulang untuk menyambut Hari Gawai adalah untuk melepaskan rindu dan melihat sendiri keadaan ayah dan ibu yang ditinggalkan serta adik beradik yang lama sudah tidak dijumpai. Oleh itu, apabila diberitahu tiket habis, kita harus faham kekecewaan yang akan mereka rasai. Kita mesti letakkan diri kita dalam situasi mereka. Orang yang ambil kesempatan dalam situasi sebegini saya sifatkan sebagai orang yang tamak dan tidak berperikemanusiaan. Amalan meraih rezeki dan keuntungan yang berlipat ganda daripada orang yang terdesak merupakan amalan yang harus dikikis dari hati dan sanubari kita sebagai orang yang berilmu dan berpendidikan. Sudah sampai masanya hal-hal sebegini dipantau rapi oleh pihak berkuasa, Jangan dipandang sebelah mata kerana ramai yang menjadi mangsa.

RIMAS DAN LEMAS DALAM KESESAKAN

Bermula pada 25 Mei hingga 31 Mei, keadaan warf di Sibu akan dipenuhi oleh lautan manusia yang pelbagai wajah dan rupa. Kesesakan ini akan menjadi tidak terkawal apabila mereka yang ingin balik gawai ini berebut-rebut untuk membeli tiket ekspres. Jika dilihat, pengurusan agak kelam kabut dan tidak sistematik. Oleh sebab itu, tempat berkumpul mereka yang pergi ke Song dan ke Kapit harus dijarakkan supaya keadaan lebih teratur dan tersusun. Dalam kekalutan ini mungkin ada yang mengambil kesempatan sehingga berlaku kes seperti tersalah ambil barang orang lain atau barang yang diletakkan atau dibawa hilang tanpa dapat dikesan. Penyeluk saku mingkin menjadikan peluang ini sebagai lubuk emas untuk meraih pendapatan. Kita tidak boleh kawal suara manusia yang sibuk bercerita dengan kawan lama yang bertahun-tahun tidak bersua muka tetapi kita boleh mengawal situasi itu dengan mengubah waktu perjalanan ekspress, menyediakan tempat duduk (seperti di lapangan terbang) dan menasihati supaya pembeli tiket berbaris. Walaupun sukar tetapi jika bilangan pegawai yang bertugas ditambah, semua yang susah akan jadi mudah. Situasi ini berlaku pada setiap tahun tetapi kita tidak nampak perubahan yang dilakukan untuk mengubah situasi ini untuk menjadi lebih sistematik. Semuanya berlaku begitu sejak bertahun-tahun lamanya.


Walau bagaimanapun, masyarakat Dayak yang pulang menyambut Hari Gawai ini jarang mengeluh disebabkan cara hidup mereka yang sudah lali dengan kesusahan dan dianaktirikan. Mereka sanggup bersesak-sesak asalkan dapat meraikan Hari Gawai bersama keluarga. Lagipun, situasi ini cuma berlaku setahun sekali sahaja dalam hidup mereka. Mereka sudah bersedia untuk menghadapinya. Akan tetapi, tidak salah untuk pihak berkenaan mengubah keadaan di warf ekspres itu lebih baik daripada biasa. Selepas beberapa hari di rumah panjang, bersuka ria dan bergawai dengan sanak saudara, tiba hari untuk balik ke bandar, keadaan ini berulang lagi di warf Kapit dan warf Song. Jika melihat penumpang terjun dan masuk ke dalam ekspres terutama di Song kerana berebutkan tempat duduk, kita akan takut. Bila-bila masa mereka mungkin terjatuh ke dalam sungai jika tidak cekap berpaut pada pemegang besi di tepi ekspres. Sepatutnya, di tempat itu disediakan pegawai yang bertugas untuk mengawal keadaan. Keadaan ini mungkin tidak dapat dielakkan dan sukar dikawal tetapi jika ada orang bertugas, keadaan ini akan menjadi lebih mudah dan selamat untuk masyarakat. Masyarakat akan mengabaikan keselamatan jika tidak ada penguasa yang menguatkuasakan peraturan. Hal ini dikatakan demikian kerana majoriti masyarakat pada zaman ini hanya mementingkan diri sendiri dalam situasi sebegini kerana semua orang mengejar masa. Mereka perlu didisiplinkan dengan peraturan dan undang-undang yang tegas daripada pihak berkuasa.

JALAN RAYA OH JALAN RAYA

Selepas puluhan tahun menunggu, akhirnya jalan raya dari Sibu ke Song dan Song ke Kapit akan menjadi kenyataan sepenuhnya pada tahun 2018. Kisah tiket ekspres dan warf sesak ini mungkin menjadi sejarah manis untuk disimpan dalam lipatan memori masyarakat yang tinggal di Bahagian Kapit. Pada masa itu, warf ekspres di Sibu, Song, dan Kapit mungkin hanya menjadi tugu kenangan yang menjadi singahsana pemancing ikan pada setiap petang. Kita amat berharap jalan raya ini akan dibina dengan sempurna bagi memudahkan penduduk di Kapit dan sekitarnya. Kita percaya dengan adanya kemudahan ini kegiatan ekonomi penduduk di Bahagian Kapit akan bertambah baik kerana pasaran hasil-hasil tanaman mereka mungkin lebih meluas. Masyarakat dari bahagian lain yang ingin bercuti ke Kapit untuk membeli ikan Semah, Empurau, dan Tengadak pun boleh berbuat demikian tanpa perlu melalui jalan air. Keindahan alam semulajadi di Bahagian Kapit boleh dimajukan sebagai kawasan pelancongan kerana banyak air terjun yang indah di Kapit. Mereka yang berjaja boleh membuka gerai di tepi jalan raya bagi meraih pendapatan berganda. Yang paling penting, bumi Kapit mungkin boleh dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit oleh pihak berkenaan. Saya yakin, dengan adanya jalan raya itu nanti, kemungkinan penghijrahan golongan belia ke bandar dapat dikurangkan kerana banyak aktiviti ekonomi yang boleh dimajukan andai mereka kreatif dan inovatif serta tidak tamak dengan peluang yang ada ini.


Bahagian Kapit akan maju dan makmur melalui pembinaan jalan raya yang bakal mencatat sejarah negara itu nanti. Urusan akan menjadi lebih mudah dan lebih selamat. Jika dibandingkan dengan pengangkutan air yang agak terhad dan terbatas, jalan raya lebih mudah dan menjimatkan kerana kita boleh merancang perjalanan ikut masa dan keselesaan sendiri. Jadi, masalah kesesakan mungkin dapat dikurangkan. Saya percaya semua masyarakat di Bahagian Kapit menunggu saat ini dengan penuh harapan di hati. Kesabaran mereka selama puluhan tahun akhirnya menjadi kenyataan. Mereka amat menghargai segala usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan Kapit. Mudah-mudahan, Bahagian Kapit akan membangun dengan cepat dengan terbinanya jalan raya itu nanti. Biarlah jalan raya itu siap perlahan-lahan, asalkan siap dan boleh digunakan. Sesungguhnya, penantian itu suatu penyeksaan. Semoga dengan terbinanya jalan raya ini seluruh masyarakat di Kapit akan lebih bersemangat dan berdaya saing untuk meningkatkan taraf hidup dan pembangunan di Bahagian Kapit. Untuk orang Kapit, Cikgu Zul hadiahkan kata-kata ini.

K = Kapit

A = Alami

P = Pembangunan

I =  Industrialisasi

T = Terhebat



Lambat bukan bermakna kita mundur. Lambat bukan bermakna kita tidak hebat. Lambat bukan bermakna kita kalah. Lambat itu anggaplah suatu cabaran. Mudah-mudahan, Kapit akan berdiri megah di persada  kemajuan.




Cetusan idea pendidik bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya

19 Mei 2017

CATATAN CIKGU ZUL : SEBUAH CERITA DI HARI GURU, SETITIS EMBUN BISA MELEMBABKAN DEDAUN


KISAH 1:
ORANG KAYA YANG HORMAT GURU

Setiap kali tibanya hari guru, saya sentiasa mendapat kiriman mesej daripada pasangan suami isteri yang berbangsa Cina kerana mereka tidak pernah lupa menghantar mesej ucapan “Selamat Hari Guru” buat saya.  Walaupun mereka merupakan orang berada tetapi mereka amat menghormati guru seperti saya. Jasa saya dalam membantu mereka mendidik satu-satunya anak lelaki mereka sehingga mencipta kejayaan cemerlang dalam SPM kira-kira 10 tahun lalu sentiasa dihargai sehingga ke hari ini. Kadang kala saya berasa segan apabila berselisih di jalanan kerana mereka begitu menghargai saat pertemuan itu tanpa rasa segan dan malu untuk berjabat tangan dan bertanya khabar dengan seorang guru seperti saya. Mereka banyak mengajar saya erti persahabatan dan persaudaraan. Walaupun berlainan bangsa, kedudukan, dan taraf hidup mereka mempunyai rasa hormat yang amat hebat terhadap insan bergelar guru seperti saya. Mungkin kerana itulah anak mereka berjaya dalam bidang yang diceburi sehingga ke hari ini. Saya selalu mendoakan agar pasangan suami isteri ini terus dilimpahi rahmat Tuhan dan kebahagiaan sehingga ke ,akhir hayat. Hubungan saya dengan mereka ibarat air dicincang tidak akan putus.

Suatu hari, saya didatangi oleh seorang wanita yang bergaya membawa seorang anak kecil yang terlalu cute rupa parasnya. Wanita itu mengetuk pintu rumah saya sambil meminta izin untuk masuk. Ketika itu saya sedang sibuk menyemak karangan di ruang tamu. Wanita yang kelihatan ramah itu duduk di sofa sambil bertanya sama ada saya mahu ataupun tidak mengajar anaknya tuisyen Bahasa Melayu. Saya bertanyakan tentang anaknya itu. Dia menunjukkan ke arah budak yang di bawanya tadi. Budak itu tersenyum memandang saya. Saya tidak mengatakan ‘Ya’, tetapi saya bersetuju dengan syarat cuba dahulu, jika tidak serasi bolehlah berhenti tanpa perlu membayar saya satu sen pun kerana saya tidak mempunyai pengalaman mengajar budak-budak sekolah rendah. Akan tetapi, wanita itu memberitahu saya, prestasi anaknya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu amat cemerlang. Saya diminta mengajar menggunakan buku kerja pelajar Tingkatan Satu. Walau bagaimanapun, saya tidak menerima tawaran tersebut kerana saya belum melihat prestasi anaknya. Setelah berbual lebih kurang 30 minit, wanita itu meninggalkan anaknya di rumah saya. Saya bagi latihan tatabahasa yang saya guna untuk mengajar pelajar Tingkatan 1 di sekolah. Saya biarkan dia menjawab dahulu, kemudiaan saya semak dan seterusnya sesi pebincangan. Alangkah terkejutnya saya, dia mendapat 100% markah. Kemudian, saya ajak dia berbual tentang pelbagai perkara kerana saya ingin melatihnya berbahasa Melayu dengan betul. Sebutan dan intonasinya amat jelas. Apabila dia membaca, bacaannya amat baku. Sejak itu bermulalah kisah saya dengan Rio (Nama samaran), anak wanita itu. Semua ini berlaku 12 tahun lalu. Kebanyakan masa Rio dihabiskan di rumah saya sehinggakan dia lebih mempercayai saya dalam semua perkara berbanding dengan ibu bapanya. Apabila dia ada masalah, dia akan menceritakan masalah itu kepada saya. Akan tetapi, dia tidak mengambil kesempatan terhadap layanan saya terhadapnya kerana semasa di sekolah dia sentiasa hormat dengan saya serta guru-guru yang lain. 

Sehingga ke hari ini apabila berjumpa dengan saya, pasangan suami isteri itu selalu bercerita tentang perkembangan Rio yang telah saya anggap sebagai anak sendiri. Saya mengajar Rio di kelas tuisyen Bahasa Melayu di rumah saya dari dia Tahun Tiga hingga Tingkatan Lima. Saya didik dan bimbing Rio  dalam subjek Bahasa Melayu hingga dia menjadi pelajar terbaik di sekolah dan mencipta kejayaan yang amat cemerlang dalam SPM. Jika tiba Tahun Baru Cina saya sentiasa dijemput datang ke rumah mereka untuk menikmati juadah yang ditempah khusus dari hotel terkemuka. Hubungan saya dengan mereka amat rapat tetapi berlandaskan rasa hormat-menghormati yang amat tinggi. Rio pula sehingga ke hari ini memang selalu menghubungi saya dan bertanya khabar tentang diri saya walaupun menetap di luar negara. Kadang-kadang, apabila balik ke Sibu, saya diajak keluar untuk makan malam di hotel atau di warung-warung tepi jalan. Ada kalanya, saya segan untuk terima pemberian daripadanya kerana saya mendidik dan mengasuhnya dahulu memang ikhlas.

KISAH 2
HORMAT GURU KEBERKATAN BERGANDA

Sewaktu zaman sekolah, saya mempunyai seorang kawan yang pintar tetapi rasa hormatnya terhadap guru amat kurang. Dia selalu mempermainkan nama guru, melawan apabila ditegur kerana tidur di dalam kelas dan pelbagai lagi. Saya tidak nafikan, dalam peperiksaan dia merupakan salah seorang pelajar yang mendapat markah tertinggi. Keadaan ini menyebabkan dia bertambah riak dan bongkak. Semasa keputusan SPM sebenar diumumkan saya bagaikan tidak percaya melihat keputusan peperiksaannya, dia mendapat hanya dua A sahaja, subjek Bahasa Melayunya pula gagal wahal selama ini dia selalu mendapat keputusan yang cemerlang. Apabila saya sendiri menjadi guru pula ada satu cerita yang amat menarik untuk saya kongsikan. Semasa saya mengajar di salah sebuah kelas Tingkatan Enam, saya selalu memarahi dua orang pelajar perempuan yang tidak pernah menunjukkan minat belajar subjek Bahasa Melayu. Semasa peperiksaan mereka selalu menghantar kertas kosong atau kertas yang jawapan di dalamnya cuma separuh. Saya selalu memarahi mereka tetapi tidaklah sampai mengasari dan menghina. 

Saya menggunakan pendekatan yang berbeza dengan mengatakan bahawa semasa kita bersekolah kita tidak boleh benci guru dan benci subjek yang diambil kerana kita datang ke sekolah untuk masa depan kita sendiri. Jika kita benci guru, kita sukar untuk mendapat keberkatan. "Awak tahu tak makna keberkatan?" Mereka geleng-gelengkan kepala. Keberkatan merupakan restu yang diperoleh daripada Tuhan jika kita berusaha dan tahu menghargai dan berterima kasih. Tuhan sentiasa melihat gerak laku setiap manusia di dunia ini. "Awak berdua benci saya tak?" Mereka geleng-gelengkan kepala lagi. Jika tidak, saya hendak awak jawab semua soalan yang ditanya dalam peperiksaan. Jika tidak awak bukan saja mengkhianati saya, ibu bapa awak, awak sendiri, malahan awak mengkhianati peluang yang telah diberikan untuk awak. "Awak tahu siapa yang bagi awak peluang itu?" Tuhan. Kita hidup di dunia ini jangan jauh lari daripada Tuhan. Jika kita lari, kita akan sesat dan hidup kita akan kucar-kacir tak berhaluan. Faham tak? Jika faham, berubahlah. Saya tidak mengharapkan apa-apa, saya cuma mahu awak berdua memikirkan masa depan awak sendiri, jangan fikirkan masa depan saya. Saya tidak mengapa, jadi guru ini pun saya berasa amat bersyukur kerana saya berasal daripada keluarga yang miskin dan daif. 

Beberapa hari selepas itu, pada waktu rehat, mereka datang berjumpa dengan saya. Mereka bertanyakan cara untuk dapat Gred A dalam subjek Bahasa Melayu. Saya agak kagum dengan keberanian mereka kerana ramai pelajar tidak suka berjumpa dengan saya sebab saya tegas dalam mengajar di dalam kelas. Saya pun beritahu mereka buku yang perlu di baca. Saya bagi mereka buku percuma dengan satu nasihat, belajar rajin-rajin, jika awak dapat Gred A dalam Bahasa Melayu, simpan buku ini buat kenangan. Jika tidak dapat Gred A, mohon kembalikan buku ini supaya saya boleh bagi dengan pelajar lain. Mereka ternganga mendengar kata-kata saya kerana mereka amat lemah berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu secara lisan. Sejak itu, saya lihat prestasi mereka dalam semua subjek Bahasa Melayu sentiasa cemerlang sehinggalah apabila keputusan SPM keseluruhan diumumkan, mereka mendapat 4A. Saya amat terkejut tetapi saya tahu mereka memang berusaha. Mereka datang jumpa saya untuk mengucapkan tahniah sambil membawa Ayam KFC, mereka ajak saya makan bersama sambil bergurau senda. Saya percaya, kejayaan mereka adalah disebabkan rasa hormat yang tinggi terhadap guru-guru yang mengajar mereka sehingga Tuhan limpahkan kejayaan di atas kesungguhan mereka. 

Kini, mereka sedang melanjutkan dalam bidang undang-undang di salah sebuah IPTA. Mereka juga sentiasa menghantar mesej “Selamat Hari Guru” buat saya. Kata-kata yang dicatat pada mesej itu tidak pernah berubah tetapi saya suka membaca baris-baris ayat yang berbunyi, “Selamat Hari Guru Cikgu, Jangan lupa makan, Jangan lupa jaga kesihatan, Semoga cikgu sihat selalu. Amin”. Saya anggap mereka seperti anak sendiri kerana hubungan yang amat rapat. Dalam hati saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka. Walaupun suatu masa nanti mereka tidak membantu saya, mudah-mudahan mereka akan membantu orang lain yang memerlukan.

KISAH 3
PELAJAR NAKAL YANG HORMAT GURU

Semua guru mempunyai pengalaman mengajar pelajar nakal di sekolah. Mereka ini bukannya pelajar yang tidak berdisiplin tetapi kenakalan mereka berpunca daripada pelbagai faktor. Kadang-kadang apabila kita bercakap dengan lemah lembut dengan mereka, kita boleh mengalirkan air mata mendengar mereka bercerita tentang kisah hidup mereka. Anak-anak ini, walaupun di sekolah selalu dimarahi, dirotan, dan dihukum, mereka tetap terpekik terlolong melaungkan nama kita apabila melihat kita berjalan-jalan di pasar atau di mana-mana sahaja. Suasana tegang di dalam kelas selalu sahaja tercetus apabila bersama mereka namun ketegangan itu cuma seketika. Mereka boleh ketawa dan menyapa kita dalam masa seminit selepas itu. Mereka memang pandai memujuk guru yang sedang marah sebab kenakalan dan sikap mereka yang tidak mementingkan pelajaran. Perkara yang amat mengagumkan golongan pelajar nakal ini sentiasa menegur dan menyapa kita sehinggalah mereka dewasa. Mereka tidak segan-segan menghulurkan bantuan jika kita memerlukan. Mereka ini menganggap guru adalah cahaya yang menerangi hidup mereka. Apabila duduk di kedai makan, tanpa diminta mereka tolong langsaikan bayaran. Walaupun duduk berjauhan mereka tetap datang bertanya khabar. Mereka ghairah bercerita tentang kisah-kisah lalu semasa alam persekolahan. Kisah mereka dihukum, dipukul, dan dimarahi. Yang amat mengharukan, mereka tidak pernah berdendam malahan berterima kasih kerana telah mendidik mereka dengan sempurna.

Situasi ini berlainan dengan pelajar-pelajar yang cemerlang. Walaupun bukan semuanya bersikap sombong dan tidak peduli tetapi dalam kalangan pelajar cemerlang ini kira-kira 80% tidak akan menyapa guru walaupun duduk bersebelahan dalam kapal terbang dari Sibu ke Kuala Lumpur. Golongan ini hanya memandang guru dari kejauhan mungkin kerana dendam atau mereka merasakan diri mereka lebih baik daripada guru mereka sendiri. Namun demikian, sebagai guru kita tidak boleh berkecil hati dengan perkara-perkara remeh sebegini kerana tugas kita cuma mengajar dan menyampaikan ilmu pengetahuan. Cara seseorang itu menghormati kita walaupun tidak ditunjukkan melalui perbuatan mungkin dalam doa-doanya nama kita diselitkan. Sama-samalah kita mendoakan yang terbaik untuk anak-anak didik kita tanpa mengira siapapun mereka. Saya tidak pernah berkecil hati mahupun terasa dengan sikap anak-anak didik saya kerana apa sahaja kesalahan yang mereka lakukan, saya menganggap yang salah bukan mereka tetapi saya. Saya gagal mendidik mereka dengan sempurna. Saya gagal memberikan contoh tauladan yang terbaik untuk mereka. Saya gagal kerana saya merupakan salah seorang guru mereka. Dalam hati saya berharap agar mereka tidak melakukan kesilapan yang sama ke atas anak-anak mereka pula. Insyallah.

CERITA 4
KISAH SAYA DENGAN GURU-GURU SAYA

Saya mungkin tidak menjadi seperti hari ini jika bukan kerana jasa seorang guru yang membantu saya membayar yuran SRP. Sehingga ke hari ini saya masih ingat, pada suatu petang saya beranikan diri berjumpa dengan Cikgu Julius (Nama samaran) untuk memberitahu beliau bahawa saya mahu berhenti sekolah. Beliau bertanyakan sebab saya mahu berbuat demikian. Saya tanpa berselindung memberitahu saya tidak mampu membayar RM15.00 untuk menduduki peperiksaan SRP. Wang yang diberikan oleh ayah untuk membayar yuran telah saya gunakan untuk membeli buku dan kasut sekolah. Jika ayah saya tahu akan hal ini mungkin saya akan dirotan atau dihukum tidak makan. Jadi, saya beritahu beliau bahawa saya ingin lari ke bandar untuk bekerja. Beliau hanya memandang siling sambil mengetuk meja dengan jari jemarinya. Saya pun meminta maaf dan meminta diri untuk beredar. Entah kenapa, tiba-tiba saya menangis. Saya sebenarnya takut dengan apa yang akan berlaku apabila saya berhenti sekolah kerana ibu bapa saya amat menekankan kepentingan pendidikan demi masa depan keluarga kami. Beliau meminta saya supaya jangan menangis. Beliau akan membantu saya untuk membayar yuran tersebut. Jika ada duit saya bayar. Jika tidak, beliau mahu saya membayar wang itu dengan keputusan yang cemerlang dalam SRP.

Jika bukan kerana guru yang baik hati itu, saya tidak akan mengecapi nikmat orang yang berkerjaya sebagai guru seperti hari ini. Oleh sebab itu, apabila teringatkan beliau, saya selalu mendoakan beliau dan membantu pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan terutama bantuan kewangan. Saya yakin, ribuan lagi guru yang berhati mulia seperti beliau. Mereka tidak segan-segan mengeluarkan wang sendiri untuk pelajar-pelajar mereka. Walaupun ada kalanya hati mereka ditusuki sembilu apabila yang dibantu tidak menghargai usaha mereka namun saya yakin, tidak ada guru yang mendoakan agar anak-anak murid mereka lebih hebat daripada saya. Sebenarnya, jumlah guru yang berjasa dengan saya tidak dapat disebut satu persatu. Cuma saya masih lagi mengingati dua orang guru yang mampu menjadikan saya seorang pemidato. Dua orang guru ini berasal dari Semenanjung Malaysia. Mereka telah melatih saya menjadi seorang pemidato sehingga beberapa kali menjuarai Pertandingan Pidato Piala di Raja dan Pesta Pantun anjuran Berita Harian. Dua orang guru ini tidak pernah jemu mengajar saya berpidato pada setiap petang sehingga saya mampu mencipta teks pidato sendiri tanpa bergantung pada mereka.

Oleh sebab ibu bapa saya miskin dan saya tidak mahu menyusahkan mereka, saya cuma balik kampung semasa cuti persekolahan pada bulan Disember sahaja. Dari Januari hingga November saya hanya tinggal di asrama. Saya tidak pernah mengeluh tentang makanan yang disediakan di asrama kerana saya tahu keluarga saya pun tidak mampu menyediakan makanan sebegitu. Oleh itu, hubungan saya dengan guru-guru terutama warden asrama amat rapat. Kisah saya dengan guru-guru yang mengajar saya amatlah banyak. Walau bagaimanapun, kisah-kisah saya merupakan kisah-kisah yang baik (bukan memuji diri) kerana saya sifar kesalahan disiplin yang boleh menjejaskan pencapaian akademik saya. Kesalahan disiplin yang sesekali saya lakukan ialah ponteng sekolah. Saya terpengaruh dengan ajakan kawan-kawan. Pencapaian saya dalam bidang akademik, bukanlah cemerlang jika dibandingkan dengan kawan-kawan yang lain tetapi saya tetap berada dalam kumpulan 10 pelajar terbaik. Sejak dahulu saya sentiasa merangkul anugerah pelajar terbaik bagi tiga subjek iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, dan Kesusasteraan Melayu. Hidup ini tidak mudah untuk diredah. Jalannya beronak dan berliku. Akan tetapi, saya sentiasa bersyukur dengan rahmat Allah kerana saya selalu diberikan peluang yang amat baik di sepanjang perjalanan hidup saya di dunia ini. 

SELAMAT HARI GURU
TERIMA KASIH CIKGU

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak. 

16 Mei 2017

HASIL KARYAKU: SELAMAT HARI GURU


Selamat Hari Guru
Tahniah atas pengorbanan
Tahniah atas kesabaran
Tahniah atas ketabahan
Walau ujian datang tanpa henti
Dugaan ibarat alir kali tak bermuara
Kita tetap gagah dan kuat
Menangkis dan menepis
Ujian dan dugaan itu
Dengan bunga-bunga silat perwira
Pendidik berjiwa bangsa.

Selamat Hari Guru
Jika hari ini kita jatuh di gaung uji
Jika hari ini kita rebah di lantai cubaan
Andai kaki tersadung di tangga bakti
Jangan mengaduh kesakitan
Terus bangun dan bangkit
Pasakkan hati padu dan bersatu
Seirama bersama menikmati duka itu
Seirama bersama melawan ujian itu
Sehingga berhembus angin jaya
Mengharum dan mewangi
Seluruh semesta

Selamat Hari Guru
Keluarga kita keluarga besar
Ragam dan laku corak berbeza
Lakon layar jalan cerita tak sama
Tersentuh hati apabila menonton
Ketelitian kalian menganyam didikan
Kesabaran kalian menyulam ajaran
Meresap pelahan-lahan di mata hati
Anak-anak didik yang kekurangan
Walau mereka memandang serong
Menjuih bibir muncung menajam
Usah pedulikan anasir itu
Mereka bukannya mengerti
Makna mendidik dan mengajari

Selamat Hari Guru
Ayuh kita meraikan hari ini
Dengan bunga-bunga ceria berseri
Hilangkan duka gundah bertali
Teruskan usaha berpadu satu
Tuhan pasti akan memberkati
Lihatlah, suatu hari nanti
Nama alma meter kita
Dijulang dimartabat,
Disanjung tinggi.



Nota:

Sajak ini ditujukan khusus untuk para guru di seluruh Malaysia, terutamanya semua warga pendidik di SMK Sibu Jaya, Sibu Jaya.


Cikgu Zulkarnain Farihin
16 Mei 2017
10:10 pagi