15 November 2013

ISU SOSIAL : PENYATUPADUAN NASIONAL PERLU KERJASAMA SEMUA

PENULIS RENCANA
Mior Kamarul Shahid


Usaha memupuk perpaduan rakyat di negara ini mula dianjak kepada satu tahap baru menerusi gagasan penyatupaduan nasional, dengan kaedah yang lebih berkesan. Ini tidak bermakna cara tradisi menyatupadukan rakyat seperti mengambil bahagian dalam kegiatan Rukun Tetangga (RT) gotong-royong, sukan perpaduan dan sebagainya tidak lagi sesuai pada zaman yang lebih terbuka hari ini.  Kegiatan tradisi yang terbukti memberi sumbangan ke arah menyatupadukan rakyat itu, sudah pun diterima sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat. Cuma, konsep, falsafah dan cara menghadapi cabaran penyatupaduan nasional perlu dilihat menerusi perspektif baru.

Setiap rakyat perlu faham pengertian dan menghayati erti penyatupaduan rakyat terlebih dulu sebelum mereka berasakan ia adalah satu kemestian dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Dalam Kongres Majlis Profesor Negara Kedua yang diadakan selama dua hari hujung minggu lalu, menghasilkan tujuh resolusi untuk dijadikan asas dalam proses pembentukan penyatupaduan nasional.  Resolusi itu membabitkan Perlembagaan Persekutuan, konsep bangsa Malaysia, bahasa Melayu, kepentingan institusi pendidikan, prinsip keadilan ekonomi, mobiliti sosial dan kedaulatan negara. Rumusan itu dihasilkan daripada lima perbincangan panel dengan pelbagai tajuk yang dikaitkan dengan soal penyatupaduan nasional.

Antara tajuk perbincangan ialah mengenai konsep dan cabaran penyatupaduan nasional, keadilan dan sosioekonomi, begitu juga tajuk sains dan pendidikan, jati diri dan patriotisme serta globalisasi dan ketahanan nasional. Ahli panel yang membincangkan tajuk berkenaan mewakili pelbagai disiplin, selain profesor yang pakar dalam bidang masing-masing dan disertai pelbagai kaum.

Perspektif berbeza

Perbincangan dalam kongres itu menarik kerana isu penyatupaduan nasional tidak lagi dilihat secara stereotaip. Ia membuka minda dengan melihatnya dari perspektif yang berbeza. Selama ini isu penyatupaduan nasional yang dilihat dari segi pendidikan, budaya, bahasa, ekonomi dilakukan oleh mereka yang pakar dalam bidang berkenaan. Tetapi, jika isu penyatupaduan nasional dilihat dari perspektif seorang doktor perubatan, ahli matematik, saintis dan bidang lain yang jarang dibawa berbincang mengenai isu yang biasanya dikaji sarjana bidang sains sosial ini, ia berbeza daripada pandangan lumrah.

Doktor perubatan melihat isu penyatupaduan nasional dengan mengaitkannya dengan keadaan setiap anggota badan manusia. Jika salah satu daripadanya sakit, semua sistem anggota dan organ manusia akan cacat. Walaupun kesakitan mungkin pada jari tangan, ia boleh menjejaskan sistem seluruh badan. Jika gigi yang sakit, seluruh sistem badan akan lumpuh. Penyakit dan kuman penyakit tidak mengenal bangsa. Seekor nyamuk Aedes yang menghisap darah seorang kaum Cina yang berpenyakit boleh menyebabkan virus denggi merebak hingga menjadi wabak tidak mengira mangsanya orang Melayu, India, Sikh atau lain-lain. Ini bermakna setiap individu tanpa mengira bangsa perlu menjaga kesihatan dan kebersihan bersama. Seorang pakar matematik pula melihat isu penyatupaduan nasional ini ibarat mereka menyelesaikan masalah matematik. Dalam ilmu matematik, apabila ada masalah, ia perlu penyelesaian dan mendapatkan jawapannya.

Selesai masalah secara bersama

Begitu jugalah dengan masalah dalam masyarakat pelbagai kaum. Jika ada berlaku masalah, ia perlu diselesaikan segera secara bersama menggunakan formula tertentu seperti formula matematik. Dalam masyarakat, jika timbul sesuatu masalah, ia hendaklah diselesaikan bersama dengan semangat yang tulen. Dalam konteks globalisasi pula, isu penyatupaduan nasional ini dilihat dari perspektif bagaimana setiap rakyat perlu sama-sama menghadapi cabaran yang datangnya dari luar. Sama ada masalah politik, ekonomi, sosial dan sebagainya yang dibawa ke dalam negara ini tidak boleh diselesaikan secara berasingan kerana ia memberi kesan kepada kedaulatan bangsa dan negara. Jika budaya negatif dibawa masuk dari luar tidak diatasi bersama, kesannya akan dirasai oleh semua kaum. Kesan buruk globalisasi bukan dihadapi oleh sesuatu kaum saja tetapi oleh setiap kaum.

Ibu bapa yang membiarkan gejala buruk ini melanda negara tanpa ditentang secara bersama, ia boleh memberi kesan buruk kepada keluarga, masyarakat dan seluruh rakyat. Seorang ahli sains melihat bagaimana ciptaan sains boleh memberi faedah kepada setiap kaum. Ciptaan sains bukan dicipta untuk sesuatu kaum tertentu saja. Jika setiap ahli sains daripada pelbagai kaum bergabung tenaga menghasilkan ciptaan yang berguna untuk manusia, ia boleh menyebabkan kaum berkenaan bekerjasama untuk menghasilkan sesuatu yang berfaedah kepada umat manusia. Seorang arkitek pula melihat pembinaan sesebuah negara berasaskan kepada struktur bangunan yang kukuh. Jika struktur bangunan lemah, ia akan menyebabkan bangunan cacat, malah akan runtuh.

Oleh itu, untuk menjadi sebuah bangsa yang kuat, struktur masyarakat mestilah terlebih dulu kukuh. Isu penyatupaduan nasional ini boleh juga dilihat dari perspektif keselamatan. Jika negara ini sering diancam pelbagai masalah, semua kaum akan hidup tidak tenteram. Oleh itu, usaha menjamin keselamatan negara, perlu dijalankan secara bersama.

SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE
TARIKH : 15 NOVEMBER 2013

HARI : JUMAAT

14 November 2013

ISU SOSIAL : PENDERAAN KANAK-KANAN DI TAMAN ASUHAN, BELANJA LEBIH JAMINAN SELAMAT?

PENULIS RENCANA
NIZAM YATIM


Pada 1 November lalu, media cetak dan elektronik mendedahkan klip video yang memaparkan sekumpulan kanak-kanak di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Melati, Selangor ditampar dan dipukul oleh pengasuh. Klip video tersebut dirakamkan pada 18 Oktober lalu oleh seorang bapa yang meletakkan kamera tersembunyi di dalam beg sekolah anaknya setelah mengesyaki sesuatu tidak kena apabila kanak-kanak itu enggan dihantar ke taska tersebut. Ekoran kejadian itu, polis menahan dua wanita tempatan berusia 22 dan 31 tahun yang merupakan pekerja taska berkenaan untuk siasatan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.

Siasatan awal oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati taska itu tidak termasuk dalam senarai 2,910 taska yang berdaftar dengan pihaknya. Apa yang berlaku itu, menghimbau banyak kisah menyedihkan yang berlaku di taska termasuk kes seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, Farisha Nur Hazreen Mohd. Fairuz yang meninggal dunia di sebuah taska di Putrajaya pada 2010 akibat tersedak susu yang diberikan pengasuhnya. Sehari sebelum itu seorang bayi perempuan juga berusia tiga bulan, Nur Azwa Safrina Khairul Anuar meninggal dunia ketika tidur dalam buaian di sebuah taska lain di Paroi, Seremban.

Bagi mengelak tragedi berkenaan berulang, para ibu bapa yang memberikan komen dalam media-media sosial telah mencadangkan supaya pelbagai penambahbaikan dibuat termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di taska dan dipastikan pekerja yang diambil berkemahiran. Bekas Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Shamsinah Che Shariff yang mengulas cadangan berkenaan berkata, para pengusaha taska kini sukar untuk melakukan penambahbaikan kerana kadar yuran yang disyorkan kerajaan dalam lingkungan RM350 seorang kanak-kanak adalah cukup rendah.

"Kadar yang disyorkan ini tidak mampu menampung kos operasi taska yang kini melambung tinggi ekoran pengenalan dasar gaji minimum RM900 yang perlu dibayar kepada pekerja. Ini belum dikira kos caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang perlu dibayar majikan. Bayangkan apa lagi yang tinggal kepada kami bagi digunakan untuk menyediakan peralatan, makan minum kanak-kanak dan mendapat sedikit keuntungan bagi pihak kami," jelasnya. Shamsinah berkata, berdasarkan pengalaman beliau yang telah memasang CCTV di taska miliknya, kos pemasangan adalah antara RM1,500 hingga RM3,000 berdasarkan jumlah CCTV dan kualiti video yang dirakam.

"Ini belum dikira kos elektrik yang digunakan dan juga belanja penyelengaraan CCTV yang perlu dijalankan dari masa ke semasa. Ibu bapa harus sedar caj elektrik di taska dikira mengikut kadar komersial yang lebih tinggi daripada caj kediaman," katanya. Beliau berkata, jika benar-benar ibu bapa mahukan penambahbaikan dilakukan, mereka seharusnya bersedia untuk membayar lebih seperti yang menjadi amalan di luar negara. "Berdasarkan kajian yang telah kita lakukan sebelum ini, kadar yuran munasabah yang perlu dibayar bagi seorang kanak-kanak adalah RM800," ujarnya.

Mengulas isu penderaan dan kes bayi tersedak susu di taska, beliau berkata, faktor utama kejadian itu berlaku kerana ibu bapa menghantar anak mereka ke taska tidak berdaftar dengan JKM dan tidak mempunyai pengasuh terlatih. Katanya, banyak kekurangan yang terdapat di taska tidak berdaftar dengan JKM termasuk jumlah pengasuh yang sedikit sehingga mereka menghadapi masalah bebanan kerja. "Kita mesti tahu, kerja untuk mengasuh bayi dan kanak-kanak adalah sesuatu yang amat berat. Jika ibu bapa hanya bekerja lapan jam di pejabat, terdapat para pengasuh yang terpaksa bekerja antara 10 hingga 12 jam sehari. Sepatut pengasuh diberikan waktu rehat dalam tempoh sehari itu dan jika ini tidak dibuat, terdapat kemungkinan mereka akan menghadapi tekanan dan tidak dapat mengawal emosi," katanya.

Menurut beliau, para pengusaha taska hendaklah mematuhi nisbah yang ditetapkan bagi setiap pengasuh berbanding kanak-kanak di bawah jagaan mereka bagi mengelak tekanan kerja. "Nisbahnya ialah seorang pengasuh bagi tiga bayi yang berusia di bawah setahun (1:3), 1:5 bagi kanak-kanak di bawah tiga tahun dan 1:10 bagi kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun. Untuk memenuhi nisbah yang ditetapkan cukup sukar. Saya sendiri menghadapi masalah mendapatkan pekerja mencukupi walaupun menawarkan gaji RM1,300 sebulan termasuk menyediakan kemudahan tempat tinggal dan kenderaan secara percuma," jelasnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa taska di Selangor mendapati mereka sukar untuk menambah baik kemudahan dan perkhidmatan taska kerana kadar yuran yang dikenakan tidak mampu menampung kos operasi yang tinggi. Walaupun kerajaan telah menyediakan insentif geran penubuhan taska antara RM3,000 hingga RM20,000 sejak Bajet 2013, tetapi tidak ramai pengusaha yang berjaya mendapatnya kerana syarat ketat dikenakan JKM. Sebanyak RM3,000 diberikan kepada pengusaha taska di rumah yang berdaftar dengan JKM, RM10,000 untuk institusi taska yang mengambil antara 10 hingga 19 kanak- kanak dan RM20,000 bagi institusi yang mengambil kanak-kanak melebihi 20 orang.

Antara syarat berkenaan adalah kadar yuran pengasuhan yang dikenakan sebulan ke atas seorang kanak-kanak tidak boleh melebihi kadar maksimum yang ditetapkan dalam buku Garis Panduan Insentif Taska 2013 yang diterbitkan Bahagian Perundangan dan Advokasi JKM. Kadar itu adalah RM500 (Semenanjung Malaysia bandar), RM350 (Semenanjung Malaysia luar bandar), RM550 (Malaysia Timur bandar) dan RM450 (Malaysia Timur luar bandar). Antara perbelanjaan yang dibenarkan dengan menggunakan geran itu adalah untuk membeli perabot, mengecat premis, pemasangan CCTV, penggera keselamatan dan alat pemadam api. Ia juga melibatkan pembelian peralatan permainan dalam dan luar taska, kemudahan peti sejuk, pemanas air, pendingin hawa, kipas, televisyen, pemain video, alat tulis dan bahan bacaan.

Pengusaha juga boleh menggunakannya untuk membeli mesin perakam waktu, projektor, komputer, pencetak, mesin fotostat dan perbelanjaan latihan bagi meningkatkan kemahiran pengasuh, pengurusan taska serta bantuan kecemasan. Walaupun banyak manfaat yang boleh diperoleh daripada geran kerajaan yang keseluruhannya berjumlah RM15 juta itu, ia sudah tentu tidak berguna jika dibiarkan 'terperap' dan tidak disalurkan dengan segera kepada semua pengusaha taska terbabit. Yang perlu lebih diutamakan di sini adalah nyawa dan keselamatan anak-anak kecil yang tidak berdosa. Janganlah terlalu berkira demi keselamatan.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
TARIKH : 13 NOVEMBER 2013

HARI : RABU

ISU KEWANGAN : SELAMATKAN HARTA DARI DILELONG DAN MUFLIS

PENULIS RENCANA
ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


Disenaraihitamkan, muflis sehinggakan harta dan rumah dilelong. Itu antara 'wabak' yang menjadi-jadi sekarang. Kebiasaannya ada dua golongan yang sering berurusan dengan 'wabak' sebegini. Pertama, golongan muda dengan 'lifestyle'nya mudah akses internet dan akibat pengaruh rakan, teruja pula untuk mendapat sesuatu, mengakibatkan tanpa berfikir panjang terjebak dalam muflis. Ditambah dengan masalah bertimbun-timbun, mereka segan pula nak minta pertolongan daripada pihak yang pakar, alamatnya hanya natijah menanti. Kedua, golongan yang berumur yang tahu mereka ada masalah dan cuba mencari penyelesaiannya. Mereka ini lebih konservatif, cuma tak nampak jalan kreatif untuk bebas daripada muflis.

Paling lebih teruk lagi, ada yang telah membuat pembayaran hutang setelah diCTOSkan, tetapi masih belum bebas dari belenggu CTOS. Sedangkan sepatutnya, apabila pembayaran hutang telah dibuat, maka perlu ada surat hitam putih yang dihantar ke CTOS untuk dikemaskini. Dan biasanya, akan ada remark: Kes selesai. Tetapi jika semua prosedur ini tidak dibuat, maka berterusanlah seseorang dibelenggu CTOS. Demikian juga kes bayaran tertunggak ansuran bulanan kereta. Misalnya dua bulan setengah ansuran tidak dibayar, hukumnya tentu kereta akan ditarik. Namun, kenapa tidak diambil tindakan segera. Antaranya ke bank untuk berbincang atasi masalah. Ini tidak, sanggup sorok kereta sedangkan dari hari ke hari, interest atau faedahnya bertambah-tambah, masalah tetap di situ.

Bertitik-tolak dari inilah, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif menarik perhatian bahawa setiap kes muflis dan lelongan harta ada jalan penyelesaiannya. Menerusi pengalaman selama 15 tahun dalam menguruskan penyelesaian permasalahan kredit, 4PM yang didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 17 Julai tahun ini menempa banyak kejayaan skop bidangnya. "Muflis umpama hidup dalam 'koma', masih 'bernyawa' tapi tak mampu berbuat apa-apa. Bank menutup pintu rundingan dan menganggap kebankrapan jalan penyelesaian buat mereka," kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini. Sememangnya apa yang diluahkan oleh Rosland ada kebenarannya. Memang menggerunkan apabila statistik menunjukkan purata 60 orang diisytiharkan bankrap setiap hari di negara ini. Lebih-lebih lagi ia banyak melibatkan mereka yang berusia 35 hingga 44 tahun kerana mereka sudah tentu golongan tenaga kerja yang aktif.

Setakat sembilan bulan pertama tahun ini, 16,306 orang telah diisytiharkan bankrap. Bagi tempoh yang sama sebanyak 27,432 petisyen kebankrapan difailkan di mahkamah. Jumlah kes kebankrapan itu menunjukkan arah aliran yang meningkat dari setahun ke setahun. Tahun lepas sahaja, 19,575 orang diisytiharkan muflis. Sewa beli kenderaan dikenalpasti menjadi kes kebankrapan tertinggi iaitu 30,451 kes (26.14 peratus) diikuti pinjaman perumahan 20,529 kes (17.62 peratus); pinjaman peribadi 18,053 kes (15.50 peratus) dan pinjaman perniagaan 14,431 kes(12.39 peratus). Berkongsi pengalamannya, Rosland memberitahu, beliau pernah hidup sengsara selama lima tahun akibat muflis pada 1997.

"Dulu, saya mengusahakan perniagaan kereta terpakai. Waktu itu biasalah, kakitangan kerajaan yang menjadi pembeli perlukan penjamin. Tidak lama kemudian berlaku masalah, ada yang tak dapat membayar menyebabkan banyak kereta ditarik bank. Namun, ada syarat yang tidak dipatuhi bank, yang sepatutnya apabila kereta-kereta itu ditarik, mereka kena suruh saya jualkan. Ini tidak, semua kenderaan itu diletakkan di kawasan tidak terurus selama setahun. Akhirnya, saya melepasi muflis ini tanpa membayar sesenpun kepada bank. "Justeru, kalau anda mendiamkan diri hanya kerana tidak mahu tunjukkan kesengsaraan, akan akhirnya menyebabkan kita muflis dan masalahnya tak hilang, malah merebak menggugat kehidupan isteri dan anak-anak," katanya.

Mengulas cara-cara persatuannya menyelesaikan masalah pelanggan, kata Rosland, antaranya, terlebih dahulu perlu diperoleh maklumat secara terperinci atau sequence of event tentang masalah kredit yang dihadapi peminjam. Ini kemudian diikuti prosedur-prosedur tertentu sehinggalah 4PM mempraktikkan dasar 'fast action one stop solution' secara rundingan terus dengan pihak atasan dalam kalangan CEO/Timbalan CEO di bank-bank berkaitan untuk mendapatkan satu keputusan positif dan segera. "Rekod kepakaran kami adalah di atas paras normal. Klimaks kepakaran kami berjaya menangguhkan beberapa kali lelongan awam di saat-saat akhir termasuklah yang terbaharu di Mahkamah Tinggi Seremban 10 minit sebelum waktu lelongan dimulakan," katanya.

Menurut beliau, hampir semua jenis permasalahan kredit yang dihadapi masyarakat hari ini telah pun 4PM tangani. Antaranya, kereta tidak berbayar yang disorok, kembali semula ke jalan raya dengan pembayaran minimum atau penjadualan semula. Juga, masalah hutang ah long dan mewakili pengguna untuk kes sebutan di mahkamah. "4PM juga mewakili pengguna bagi kes 'siasatan' di pejabat tanah. Rekod pencapaian terbaik kad kredit tuntutan sebanyak RM140,000, kes ditutup dengan bayaran minimum RM7,000 (dengan 6x bayaran bulanan). Pihak kami juga mengusaha dan mendapatkan kelulusan dari Jabatan Insolvensi untuk menjual harta/rumah yang telah dibankrapkan," kata beliau.

Dalam usaha mencari titik penyelesaian kes, Rosland menarik perhatian bahawa kaedahnya bukan jalan biasa, tetapi di luar kotak. Untuk penyelesaian rumah yang dilelong, kata Rosland: "Sebelum rumah dilelongpun ada prosesnya. Orang ingat apabila tak bayar, terus rumah dilelong. Bukan macam itu. Dalam kes ini, pemilik rumah diberi peluang selama 90 hari untuk bayar. Selepas 90 hari baru keluar 'letter of demand' sampai 120 hari. "Kemudian selepas masuk 180 hari masih tak bayar juga, barulah bank tetapkan tarikh untuk lelongan. Tetapi urusan ini bukannya segera, bukan esok terus lelong rumah tetapi ada tiga atau empat bulan prosesnya yang panjang. Tetapi masalah pelanggan yang hadapi masalah ini, mereka tak mahu buka mulut langsung, bawa 'air liur' sahaja. Sebenarnya pun, mereka jumpa orang yang tidak boleh buat keputusan dengan respons tidak memberangsangkan terutama dengan staf di kaunter.”

Rosland turut menarik perhatian mengenai keperluan seseorang untuk membebaskan diri dari peminjam berlesen 'cekik darah' yang tidak mengikut prosedur. "Tak pernah kadar caj 1.5 peratus seperti yang perlu dipatuhi, sebaliknya peminjam berlesen ini mengenakan caj lima atau enam peratus ke atas," kata beliau. 4PM dan Rosland sendiri boleh dihubungi di talian 019-2531000/019-397 1000 atau Web: http://www.ppppm.com.my/mainpage/,email: info@ppppm.com.my.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
TARIKH : 14 NOVEMBER 2013

HARI : KHAMIS 

05 Ogos 2013

MIMPI SONGSANG DONG ZONG

Oleh Khairuddin Mohd. Zain


Penulis harus mengakui bahawa ada ciri baik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang wajar dikagumi. Antaranya adalah kesediaan ibu bapa, masyarakat dan pemain ekonomi masyarakat mereka yang sanggup menyumbang wang dan tenaga, dalam jumlah yang besar, demi untuk memastikan tahap pendidikan generasi mereka berada di tahap yang terbaik. Sewaktu penulis menetap di Wangsa Maju, adalah menjadi pemandangan biasa untuk melihat rakan-rakan berbangsa Cina bangun jauh lebih awal daripada kanak-kanak berbangsa Melayu. Mereka sanggup menghantar anak ke sekolah paling jauh, asalkan ia menjanjikan kualiti pendidikan yang baik. Sekolah kebangsaan di hadapan rumah pangsa bukan pilihan utama mereka.

Acara-acara untuk mengumpul dana di sekolah Cina jarang sekali gagal. Malahan, adalah menjadi kebiasaan, ratusan ribu mampu dijana oleh pihak pentadbiran sekolah apabila melaksanakan aktiviti menambah tabungan. Itu belum lagi ambil kira jumlah yuran tinggi yang ditanggung oleh ibu bapa. Mungkin semua ini berlaku kerana ‘deria survival’ mereka berada di tahap yang tinggi. Apa sahaja yang mungkin menyentuh kepentingan ‘survival’ mereka akan disuarakan secara cukup lantang. Namun, dalam pada NGO berteraskan pendidikan bersuara lantang, adakalanya mereka gagal melihat sesuatu melalui perspektif yang lebih besar. Tindakan pertubuhan seperti Dong Zong mengepalai rali menentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 boleh disifatkan sebagai contoh di mana ‘mimpi songsang’ pertubuhan tersebut membuat kita mempersoalkan sama ada inikah satu-satunya jalan hadapan kepada sistem pendidikan di Malaysia?

Perlukah kita sentiasa berkonfrontasi? Perlukah ada penentangan terhadap semua perkara - walaupun niatnya baik dan untuk kebaikan semua? Sampai bila kita nak bermain dengan kad perkauman, sedang realiti dan keadaan menuntut kita membawa fikrah kebangsaan? Mimpi songsang Dong Zong sangat mengakar bilamana PPPM disifatkan sebagai agenda kerajaan untuk menutup sekolah jenis kebangsaan? Mimpi dan inspirasi Dong Zong ini terlalu jauh tersasar. Hakikatnya, tidak terdapat dalam satu baris ayat PPPM pun yang membawa niat itu. Tak ada! Sejumlah 248 mukasurat (versi digital) perincian PPPM membicarakan isu pendidikan dalam adunan yang cukup murni dan berpandangan jauh. Ia tidak sempurna, namun sebagai asas masa hadapan, ia bukanlah sesuatu yang layak ditolak secara membuta tuli.

Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persekutuan Persatuan-persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan mana-mana pertubuhan lain perlu menilai PPPM secara adil. Tidak perlu membawa mimpi songsang dan teori konspirasi jenis apa sekalipun. Cukup sayang, sekiranya PPPM masih lagi mahu dinilai melalui tingkap pandangan yang berbentuk perkauman. Apakah dengan niat ‘memperkasa sekolah kebangsaan’, maka dengan sendirinya SJKC dan SJKT akan terkubur? Apakah dengan penambahan minit untuk belajar Bahasa Melayu akan mematikan Bahasa Mandarin dan Tamil?

Niat sistem pendidikan sudah tentulah perlu disesuaikan dengan keperluan masa dan keadaan. Sistem nilaian kita mengenai sistem pendidikan juga perlu ditanda araskan dengan negara lain yang lebih hebat. Dong Zong perlu sedar, pendekatan kalah-kalah’ seperti ini tidak akan menguntungkan sesiapa. Menganjurkan rali, hanya di atas landasan ‘mimpi songsang’ seperti yang dinyatakan adalah suatu perkara yang tidak bertanggungjawab. Penulis sebenarnya mengimpikan, suasana di mana guru-guru SJKC, yang mempunyai kemahiran hebat dalam matematik, dapat duduk berkongsi metod dan kaedah pendidikan terbaik mereka dengan pendidik di sekolah kebangsaan. Perlu ada interaksi yang lebih positif antara kita. Malangnya, suasana itu cukup kurang berlaku. Sehinggakan, apa yang dikatakan oleh Dong Zong, pelaksanaan program kebudayaan yang bersifat ‘nasional’ juga adalah suatu usaha menidakkan kepentingan bahasa dan budaya bangsa Cina. Apakah pembinaan ‘identiti nasional’ juga satu ancaman kepada Dong Zong?

Dalam isu bahasa, PPPM membawa niat seperti berikut (mukasurat 38) - '...Oleh itu, dalam jangka masa tertentu, semua murid dari semua kumpulan etnik dan komuniti digalakkan untuk belajar sekurang-kurangnya tiga bahasa (bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa lain seperti bahasa Mandarin, bahasa Tamil, dan bahasa Arab, serta bahasa ibunda lain seperti bahasa Iban dan bahasa Kadazan Dusun)'. Di mana komitmen PPPM untuk mematikan bahasa Mandarin? Malah, jika PPPM dilaksanakan secara bersungguh, ada sekolah di Taman Melawati (Selangor), Gua Musang (Kelantan), Jorak (Johor) dan Bukit Ibam (Pahang) yang menawarkan bahasa Mandarin, bahasa Iban dan bahasa Kadazan Dusun sebagai subjek elektif.

Niat yang sedemikian murni, tidak wajar ditentang dengan rali berasaskan teori konspirasi dan mimpi songsang. Pimpinan pertubuhan seperti Dong Zong, sudah perlu bersedia berfikir dan bertindak dalam jajaran politik baru. Kecualilah, mereka mahu terus-terusan didodoi dengan lagu ‘bangkang dan tentang’ yang digurindam oleh pihak berkepentingan lain. Menyusur niat melaksanakan rali menentang PPPM ini, membuatkan penulis terimbau dengan kenangan ‘Tuntutan Suqiu’ pada tahun 1999. Daripada tuntutan 83 perkara, 14 berkaitan pendidikan. Dong Zong juga adalah pemain utama kepada tuntutan tersebut. Selepas hampir 13 tahun, kita masih lagi bermain dengan permainan sama.

Penulis mengharapkan pimpinan pertubuhan seperti Dong Zong mempunyai sedikit niat dan identiti nasional’ di dalam gerakan mereka. Jangan bersikap haloba dengan tuntutan dan kehendak. Kerana suka tak suka, setiap kita perlu bertolak ansur. Seorang rakan penulis pernah menggunakan pepatah Cina berbunyi ‘De Cun Jin Che’ (dapat seinci, tetapi mahukan sekaki), mengingatkan kita agar tidak berlebihan dalam meminta sesuatu. Satu lagi pepatah Cina yang penulis dapat ingat - lebih kurang berbunyi ‘menyimpang seinci, rugi seribu batu’. PPPM bukan dirangka untuk generasi pemimpin yang ada di dalam Dong Zong, Jiao Zong dan mana-mana NGO sekalipun. PPPM untuk generasi selepas daripada kita. Generasi anak dan cucu kita. Mereka tidak seharusnya membawa ‘beban mimpi songsang’ yang negatif seperti ini.

Mungkin tiba masanya pertubuhan pendidikan Cina mempunyai sikap yang lebih akomodatif kepada cita perubahan dan transformasi. Pilihan raya sudahpun berlalu. Ini tempoh dan ketika bertenang. Jiwa konfrontasi dan niat menentang sedap dikipas oleh mereka yang punya niat politik. Masyarakat menantikan Dong Zong yang mampu bermimpi sesuatu yang lebih positif dan bersangka baik. Bayangkan jika kekuatan Dong Zong dan sekutunya sebanyak 1'100 NGO pendidikan Cina mampu melihat PPPM melalui kerangka minda yang betul - Malaysia pastinya mempunyai suasana pendidikan yang lebih padu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

5 OGOS 2013

HUBUNGAN KAUM DI MALAYSIA

Oleh : NG LUM YONG
Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia


Dewasa ini hangat diperkatakan yang kurangnya integrasi antara kaum di Malaysia. Setiap bangsa lebih suka bergaul hanya dengan bangsa sendiri. Melayu dengan orang Melayu, orang Cina sesama mereka dan orang India hanya dalam lingkungan mereka sahaja. Tetapi interaksi antara kaum masih wujud di kampung-kampung ataupun di luar bandar. Masyarakat Cina atau India hidup dengan rukun dengan majoriti masyarakat Melayu di kampung-kampung. Sebagai contoh, mereka boleh duduk bersama di kedai-kedai kopi bersembang pelbagai topik. Masyarakat Cina dan India di Utara malah fasih bertutur dalam loghat Melayu Utara. Begitu juga di Pantai Timur dengan dialek Kelantan dan Terengganunya. Di Johor, ada golongan tua Cina mampu bertutur dalam bahasa Jawa!

Sebaliknya di bandar-bandar utama, interaksi antara kaum sangat kurang. Kesan kurangnya pergaulan antara kaum-kaum berlainan di kota-kota ini, mereka juga malah tidak langsung senang bergaul dengan kaum-kaum lain yang berhijrah dari desa ke kota. Ini kerana gaya hidup di bandar yang kurang mempedulikan orang lain. Di samping itu, komposisi kaum di sesetengah bandar seimbang dan mereka hanya duduk di kepompong sendiri. Kalaupun ada pergaulan rapat antara berlainan kaum di kota-kota, ini mungkin kerana mereka berasal dari kampung atau negeri yang sama.

Antara perkara yang mampu merapatkan hubungan seseorang yang berlainan bangsa adalah minat. Berkongsi minat yang sama mampu menutup jurang perbezaan warna kulit. Apa yang berlaku hari ini adalah kaum- kaum berlainan mempunyai minat yang berlainan. Sebagai contoh, orang Melayu mungkin minat konsert Jom Heboh. Orang Cina tidak minat kerana mereka tidak menonton televisyen rangkaian Melayu. Contoh lain, orang Cina minat memperkatakan makanan Cina. Orang Melayu tidak akan berkongsi minat yang sama kerana makanan orang Cina kebanyakannya tidak halal.

Faktor lain adalah kemampuan berkomunikasi. Misalnya, orang Cina di bandar kurang bergaul dengan orang Melayu kerana tidak mampu bertutur bahasa Melayu dengan baik. Orang Cina yang tinggal di dalam komuniti mereka di bandar hanya bertutur dalam bahasa Mandarin ataupun dialek-dialek mereka. Ada yang bertutur bahasa Inggeris. Orang Cina bandar apabila mahu berinteraksi dengan kaum lain lebih cenderung memilih untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Bagi kebanyakan orang Melayu, bertutur dalam bahasa Malaysia menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi dengan rakyat Malaysia sendiri. Bertutur dalam bahasa Inggeris akan memberikan sedikit jurang. Orang Melayu dari kampung-kampung juga kurang fasih berbahasa Inggeris kerana tiada keperluan berbahasa Inggeris di kampung-kampung dan hanya bertutur dalam bahasa Melayu. Bertutur dalam bahasa asing hanya akan merencatkan penyampaian.

Orang India pula bagaimanapun kelihatan lebih mudah bergaul dengan masyarakat Melayu. Mungkin budaya masyarakat India ada persamaan dengan budaya orang Melayu. Adat bersanding adalah tinggalan adat Hindu yang dianuti nenek moyang orang Melayu zaman dahulu yang beragama Hindu/Buddha. Bahasa Malaysia juga banyak menyerap perkataan-perkataan Sanskrit* yang juga dituturkan orang India yang majoritinya bercakap bahasa Tamil. Antaranya bumi, suria dan singa. Makanan orang Melayu juga tidak banyak berbeza dari orang India yang berasaskan rempah. Orang Melayu dahulu juga menganut Islam hasil sebaran pedagang-pedagang India Muslim. Ini mungkin sebabnya Masyarakat Melayu bersembahyang dengan berkain pelikat, sepertimana pakaian orang India, bukan berjubah seperti orang Arab.

Banyak perkara harus dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Banyak aktiviti yang melibatkan semua kaum harus dilakukan. Persatuan-persatuan yang mewakili hanya satu kaum bakal melebarkan jurang antara kaum. Setiap kaum tidak harus hidup dengan kepompong sendiri. Satu contoh adalah kewujudan sekolah-sekolah yang berasaskan satu kaum iaitu sekolah jenis kebangsaan yang memisahkan pelajarnya dari arus perdana. Bukannya dicadangkan di sini untuk menutup saja sekolah-sekolah itu, cuma kewujudan istimewa sekolah-sekolah itu di Malaysia harus lebih mampu berinteraksi dengan majoriti masyarakat Malaysia yang lain. Sekolah Wawasan adalah perancangan yang baik cuma tidak kelihatan kesannya.

Banyak juga orang Malaysia yang kakinya berpijak di Malaysia tetapi fikirannya berada di negara-negara asing. Dengan kemajuan teknologi hari ini, apabila dibuka televisyen, banyak sajian rangkaian dari luar disediakan. Ada yang terlepas dengan perkembangan di tanah air. Bersekolah pun di sekolah antarabangsa. Kurikulumnya dari luar dan kurang bersifat tempatan. Apabila ini berlaku, maka golongan ini kurang berinteraksi dengan komuniti tempatan. Paling penting, pemahaman tentang budaya kaum lain. Masyarakat Melayu tidak harus menjauhi masyarakat Cina semata-mata masyarakat Cina membela anjing dan makanan tidak halai . Banyak perkara lain boleh dikongsi bersama. Contohnya meraikan Tahun Baru Cina tidak salah kerana itu adalah perayaan adat, bukannya perayaan agama.

Orang Cina pula jangan mengatakan semua makanan Cina itu adalah haram. Cuma cara penyediaan itu haruslah mengikut hukum syarak. Masakan masakan (baca masa-kan masakan) Cina semuanya haram kerana jumlah penduduk Islam di China bahkan lebih ramai daripada jumlah penganut Islam di Malaysia. Kita juga harus sedar banyak orang India ialah vegetarian. Mereka tidak makan haiwan atas alasan agama. Untuk merapatkan hubungan kaum, rasanya kita perlu berbalik kepada dasar penyatuan bangsa dengan satu bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia. Tanpa satu bahasa pengantaraan yang khusus, tidak mungkin bangsa yang berlainan mampu berkomunikasi dengan baik dan seterusnya bergaul dengan rapat. Bertutur dalam bahasa Inggeris antara kaum di Malaysia bukanlah cara terbaik kerana yang memilih bertutur dalam Bahasa Inggeris bukan saja menyusahkan penterjemah Buletin Utama TV3, bahkan tidak ubah seperti pelancong asing!

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

5 OGOS 2013

TEGAR SEPTIAN, ANAK JALANAN JADI POPULAR

Oleh : Saharudin.musthafa


Tersentuh hati melihat anak-anak kecil mengemis di pinggir-pinggir jalan meminta ihsan dan simpati masyarakat bagi memberi peluang mereka meneruskan hidup. Ibu dan ayah entah ke mana. Bersama-sama rakan sebaya atau mungkin adik-beradik, senario anak-anak kecil mengemis daripada orang ramai di kota Jakarta bukan asing. Itulah yang dapat dilakukan oleh segelintir warga Jakarta dalam meneruskan kehidupan. Lama penulis berfikir dan cuba menelaah, kenapa itu jalan yang menjadi pilihan mereka? Namun, apabila cuba mendasari suara hati mereka, jawapan yang ditemui ialah pilihan apa lagi yang mereka ada.

Menjadi pengemis bukan hal yang manis di mata umum. Ibarat kata pepatah, tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Realitinya, tidak semua orang akan bermurah hati pada setiap hari untuk menghulur bantuan. Daripada merungut, mengeluh dan mengungkit dengan bantuan yang dihulurkan sehingga menjadi tidak ikhlas, baik sahaja pejamkan mata, tutup telinga dan buat-buat tidak tahu. Hakikatnya, si pengemis juga ada maruah dan harga diri. Tidak semua yang terlibat dalam pekerjaan meminta-minta itu mahu berbuat demikian. Justeru, ada segelintir pengemis mengakui, mental mereka tidak kuat untuk berhadapan dengan masyarakat.


Kenyataan ini diakui oleh seorang anak kecil yang hidupnya suatu ketika dahulu banyak dihabiskan di jalanan meminta simpati orang ramai. Tegar Septian, si cilik berusia 12 tahun menyedari dia harus bekerja keras untuk membawa keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan. Iltizam Tegar disokong oleh tuah badan. Daripada seorang pengemis, dia kini diangkat oleh rakyat Indonesia sebagai seorang penghibur muda yang memiliki masa depan cerah. Kalau dulu di jalanan, barangkali tiada siapa yang peduli dengan Tegar tetapi hari ini dia boleh berbangga kerana popularitinya sebaris dengan artis-artis ternama Indonesia. Itulah penangan Tegar yang lagu nyanyiannya, Aku Yang Dulu kini semakin menjadi siulan para peminat muzik di Indonesia. Pentas Tegar bukan lagi di pinggir-pinggir jalan, di warung-warung terbuka, di dalam bas atau kereta api, tetapi dia sudah boleh berbangga kerana menerima pelbagai undangan untuk membuat persembahan.

Aku Yang Dulu dihasilkan khusus buat Tegar kerana lagu berkenaan menceritakan rentetan perjalanan hidup si kecil itu dan menyebabkan ia sangat mudah memancing perhatian pendengar. Namun, bukan populariti yang menjadi dambaan Tegar, sebaliknya, apa yang paling utama ialah kanak-kanak ini semakin memperlihatkan rasa tanggungjawab untuk mengubah nasib keluarga. Kesibukan menjadi artis membuahkan hasil yang lumayan bagi Tegar. Pendapatan diterima sebagai penyanyi menyebabkan dia sudah mampu memenuhi keperluan buat keluarga. Sebut sahaja apa gajet yang sedang menjadi trend, semuanya sudah mampu dibeli Tegar untuk ahli keluarganya sehinggakan sebuah motosikal dan peralatan elektronik juga disediakan buat keluarga.

"Aku sudah belikan motosikal, Ipad dan telefon bimbit. Tidak lama lagi aku mahu sediakan sebuah rumah buat keluarga di Cikampek (kampung halamannya)," kata Tegar penuh jujur. Berdasarkan hitungan kasar, pendapatan yang diraih oleh Tegar sebagai penyanyi agak lumayan bagi seorang kanak-kanak sepertinya. "Aku enggak (tidak) tahu jumlah bersih tetapi setiap minggu aku akan serahkan antara rupiah 6 juta (RM1,800) hingga Rupiah 7 juta (RM2,180) kepada keluarga bagi membahagiakan mereka," kata Tegar. Sebagai penyanyi baru, tidak banyak yang Tegar ambil tahu mengenai pengurusan kerjaya seninya kerana semua itu diatur oleh pihak pengurusan. Daripada kejayaan dan kekayaan yang diraihnya, Tegar masih merendah diri dan berpendapat, apa yang dilakukannya semata-mata untuk membahagiakan orang-orang terdekatnya.


"Alhamdulillah apa yang saya perolehi dapat membahagiakan ibu, saudara, nenek dan semuanya," katanya lagi. Pada usia 12 tahun, inisiatif Tegar bekerja keras mencari rezeki bagi mengubah nasib keluarga amat disyukuri ibu penyanyi itu, Ratna Dwi Sisi yang begitu terharu dengan pengorbanan anak sulung daripada empat adik-beradik itu. Ratna mengakui, sebelum Tegar terkenal, hidup mereka serba kekurangan sehinggakan untuk menyediakan makanan harian juga dia tidak mampu. Kesedihan dan kemurungan Ratna bertambah apabila di desa yang mereka diami, tiada siapa yang pernah mengambil peduli terhadap kekurangan keluarga itu.

Tambah menyedihkan, pada saat-saat terdesak memohon bantuan untuk mengalas perut anak beranak itu, Ratna dan anak-anaknya terpaksa berlutut. "Kalau minta makan daripada orang lain, kami harus menangis dahulu," cerita Ratna mengenang saat-saat sukar yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu. Kesusahan keluarga Ratna menyebabkan Tegar tercicir daripada persekolahannya dan anak kecil itu terpaksa menjaga tiga adiknya yang masih kecil. Barangkali, tidak sanggup untuk hidup dalam kemiskinan, Tegar membuat keputusan untuk keluar daripada masalah itu dengan membawa diri selama berbulan-bulan.

Tegar dengan berbekalkan keberanian dan kecekalan mula mendekati sekumpulan anak jalanan yang mencari nafkah dengan mengemis. Daripada situ juga, dia mendekati muzik dengan berlatih menyanyi serta mempelajari cara bermain instrumen muzik termasuk piano dan seruling. Akibat tanpa kawalan keluarga, masalah lain dihadapi Tegar, apabila pergaulan tanpa batasan itu menyebabkan dia menjadi liar dengan mula menghisap rokok dan menghidu gam. Namun, sudah ditakdirkan hidup Tegar bukan di situ. Kelebihan dan bakat besar anak kecil itu disedari oleh Alfas Hermansyah yang menawarkan diri untuk membentuk kanak-kanak itu menjadi 'manusia' Alfas bekerja keras mengembangkan bakat seni Tegar sehinggalah dia berada di kedudukan hari ini.

Dia menjadi masyhur dan sibuk memenuhi undangan penyanyi sehingga di luar Jakarta serta tidak menang tangan menerima undangan menjayakan pelbagai program televisyen. Keluarga itu kini tidak lagi tinggal di kampung, sebaliknya, mereka kini menikmati sebuah kehidupan yang mendamaikan di sebuah pangsapuri. Anak kecil bernama Tegar benar-benar melalui gaya hidup seorang penghibur kerana ke mana sahaja dia pergi, kereta mewah akan membawanya serta ditemani pula oleh sejumlah pembantu peribadi. Tegar sangat bersyukur dengan apa yang dinikmatinya. Begitu juga dengan si ibu yang tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran. "Sekarang semua orang mengaku kami saudara mereka," kata Ratna sambil tersenyum penuh makna.

Menyelak kembali lembaran sejarah kerjaya seni Tegar, nasib si kecil ini berubah selepas dia bergelar juara di sebuah pertandingan nyanyian di Subang Jawa Barat, Indonesia. Kejayaan di gelanggang nyanyian itu membuka jalan kepada anak kelahiran Pemalang ini untuk meraih populariti. Tegar tidak perlu lagi merayu belas dan ihsan orang ramai demi sesuap nasi. Bahkan, Tegar tidak perlu lagi memetik gitar dan menyanyi kerana hari ini, sudah tersedia muzik latar atau sesekali persembahannya diiringi pemuzik profesional. "Hidup di jalanan menyebabkan mental saya kuat. Saya semakin mengerti apa yang perlu ada pada kanak-kanak seusia saya iaitu pelajaran," katanya. Sekalipun sudah hidup mewah, namun, Tegar tidak akan sama sekali melupakan dari mana asal usulnya sambil berusaha dan berdoa karier seninya hari ini akan bertahan lama bagi membolehkan dia terus membela nasib diri serta keluarganya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

4 OGOS 2013