15 Mac 2012

ISU SOSIAL : BELIA MALAYSIA DILAMBUNG TSUNAMI JEPUN

Oleh AKHRAMSYAH MUAMMAR UBAIDAH SANUSI
PENULIS ialah Pengerusi, MAYC Global Relief


Antara tanggungjawab utama mana-mana pemimpin organisasi belia adalah melaksanakan program membina jati diri, mengasuh nilai-nilai murni seperti budi pekerti dan mendedahkan golongan muda kepada ilmu serta pengalaman yang tak dapat dikecapi dengan usaha peribadi. Pada 16 Oktober tahun lepas, 20 belia sukarelawan dari kelab-kelab gabungan MAYC seluruh negara telah ke Jepun untuk menyertai kerja-kerja pemulihan pasca tsunami yang melanda pesisir timur laut Pulau Honshu pada 11 Mac 2011. Pemergian mereka ke Jepun selama 10 hari adalah hasil kerjasama MAYC Global Relief bersama rakan NGO kami di Jepun, Peace Boat. Sepanjang masa di Jepun, para sukarelawan Malaysia bertindak bukan sekadar tenaga kerja tugas pemulihan, tetapi juga secara langsung mengharumkan nama baik negara sambil menaikkan semangat para penduduk setempat yang melihat golongan belia dari negara asing pun sedia berganding bahu membantu mereka dalam usaha baik pulih, walau tujuh bulan sudah berlalu sejak bencana melanda.

Bencana kekadang melanda di setiap penjuru dunia dan lazimnya, sukarelawan dari Malaysia menumpukan usaha dan sumbangan pemulihan ke negara-negara membangun atau serantau.

Namun MAYC Global Relief memilih untuk menghantar sukarelawan ke Jepun. Kami laksanakan tugas ini atas dasar memupuk nilai membalas budi dengan mengirim tenaga kerja seberapa mampu kepada sebuah negara dan masyarakat yang amnya telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara kita sejak merdeka lagi. Jepun sebagai negara yang kaya serta maju teknologinya, tidak memerlukan apa-apa sumbangan peralatan mahupun kewangan untuk membaik pulih kawasan yang dilanda tsunami. Tetapi apa mereka benar-benar kekurangan adalah tenaga kerja belia untuk melaksanakan kerja-kerja yang sudah pun dikenal pasti. Sesungguhnya, sumbangan negara bangsa Jepun menjangkau lebih dari apa yang dikecapi oleh rakyat Malaysia amnya hasil dari pelaburan ekonomi mahupun perpindahan teknologi dari syarikat-syarikat terkemuka negara tersebut. Sejak mantan Naib Presiden MAYC, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengemukakan Dasar Pandang Ke Timur sebagai salah satu dasar pembangunan negara, MAYC telah menerapkan nilai Bushido kepada ahli-ahlinya melalui pendekatan MENJAROH.

MENJAROH, atau pendekatan MENtal, JAsad dan ROH, menerapkan ciri-ciri Amanah, Berani, Disiplin, Rajin serta Setia dalam program-program belia yang merangkumi aspek-aspek politik, ekonomi dan masyarakat. Kelima-lima ciri ini seiras dengan pembawaan Bushido yang diterapkan ke seluruh masyarakat Jepun dari zaman pra-Sengoku Jidai, yakni hampir 10 abad yang lepas, hinggalah ke sekarang, menerusi prinsip-prinsip koprat syarikat-syarikat gergasi seperti Mitsubishi, Mitsui, Sumitomo dan sebagainya. Maka budi yang dibalas oleh para sukarelawan MAYC Global Relief di kawasan tsunami adalah dari jasa penerapan nilai jati diri organisasi belia kami sendiri sepanjang lebih tiga dekad lamanya. Pada masa yang sama, ia juga memberikan peluang atau cara baru untuk golongan belia Malaysia merapatkan silaturahim dengan para belia Jepun. Sesungguhnya hubungan yang terjalin hasil bantuan pada masa mereka kesusahan kami harap akan menghasilkan talian yang utuh buat usaha jangka masa panjang.

Mengejar Ilmu, Menyelami Budaya

Manfaat tambahan yang juga dikecapi oleh sukarelawan ke Ishinomaki, Jepun tersebut adalah ilmu dalam bidang penyelenggaraan sukarela serta baik pulih bencana. Walau tempoh mereka ke sana hanyalah beberapa hari, ilmu yang ditimba dengan penyertaan dalam misi pertama ini sudah pun kami mula terapkan dalam rencana pembangunan organisasi MAYC Global Relief, termasuklah perancangan misi kedua kami ke sana yang dirancang untuk penghujung bulan April atau awal Mei tahun ini. Selain itu, kebetulan kerja-kerja pemulihan ekonomi yang melibatkan sukarelawan mendedahkan mereka kepada pengalaman yang tak mungkin dialami di negara sendiri. Contohnya, sukarelawan di Ishinomaki telah ditugaskan untuk membantu masyarakat nelayan mempercepatkan proses penyemaian tiram-tiram di pesisir pantai. Tugasan tersebut bukanlah ringan kerana cabaran fizikal, termasuklah menahan kesejukan yang tak lazim dirasai di Malaysia. Namun sukarelawan bersemangat hasil pengalaman baru yang dikecapi.

Sukarelawan juga dipupuk dengan budaya kerja Jepun yang berdisiplin tanpa mengira tugasan mahupun jawatan. Ini sebahagian daripada rencana jangka masa panjang MAYC Global Relief untuk membina organisasi yang menawarkan pengalaman bersukarela yang berlainan bagi golongan belia. Menurut Ketua Misi Pertama, Saiful Anuar Baig, "Sebagai sukarelawan MAYC Global Relief menggunakan pendekatan berlainan yakni pergi membantu selepas keadaan bencana sudah reda, tetapi masih ada lagi keperluan bantuan tenaga kerja belia untuk memulihkan kembali kawasan yang terjejas. Ini juga memberi peluang sukarelawan kami menimba ilmu dan pengalaman yang boleh dibawa pulang seperti proses mengitar semula sisa bencana tsunami yang diamalkan di Jepun." Walau tsunami amnya membinasakan, di Jepun kami harap pengalaman menyertai kerja baik pulih pasca tsunami ini melambung nilai kualiti dan taraf anak-anak muda kita ke tahap yang setanding dengan mana-mana kumpulan belia di peringkat global.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
15 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : TEKNIK MENGAJAR NEGARA MAJU WAJAR DICONTOHI UNTUK UBAH SISTEM PENDIDIKAN

Ruangan Minda Pengarang


Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya sistem pendidikan negara dirombak sememangnya tepat pada masanya, seiring dengan arus perubahan dan pemodenan yang dialami negara. Sudah tentu ia sejajar dengan proses transformasi negara bagi melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dan mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran akan datang. Sistem yang ada sekarang yang mengkehendaki pelajar menghafal mata pelajaran dan mengalihkannya ke kertas peperiksaan sudah lapuk ditelan zaman.

Ia tidak menggalakkan pelajar berfikir dengan secara kritis dan kreatif seperti yang diamalkan di pusat pengajian tinggi di negara maju. Seperti pernah dikatakan bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz sistem pendidikan yang baik haruslah menerapkan tiga nilai, iaitu kebolehan menulis dan membaca (literacy), kebolehan mengira (numeracy) dan ilmu berfikir (operacy). Kita bersetuju dengan pandangan Ungku Aziz bahawa dalam usaha mengkaji semula sistem pendidikan itu, adalah wajar kita melihat pengalaman negara lain. Walaupun tidak perlu meniru sepenuhnya, namun mungkin teknik mengajar yang digunakan negara maju yang terbukti berkesan boleh ditimba sebagai contoh dalam mewujudkan daya pemikiran kreatif dalam kalangan pelajar kita.

Kita mengakui walaupun sistem pendidikan negara sudah banyak memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kejayaan Malaysia, namun dunia pada masa depan adalah berbeza dan sebagai negara membangun, kita perlu membuat persediaan ke arah itu. Oleh itu penyediaan sumber manusia ke arah pencapaian Wawasan 2020 sudah pasti memerlukan pembaharuan dalam sistem pendidikan terutama cara kita belajar dan mengajar. Seperti ditegaskan Perdana Menteri, kira-kira 70 hingga 80 peratus jenis pekerjaan pada masa depan masih belum wujud sekarang. Dalam hubungan ini kita memerlukan kaedah bagaimana untuk menggunakan ilmu pengetahuan yang ada untuk menyelesaikan masalah dan mengamalkan pemikiran di luar kotak, yang bukan amalan rutin biasa.

Justeru Projek I-Think yang dilaksanakan kerajaan untuk memupuk kemahiran pemikiran tinggi dan inovasi pada peringkat sekolah rendah dan menengah seharusnya diperluaskan lagi bagi meliputi semua sekolah dalam masa terdekat. Menerusi program seumpama, adalah diharapkan keupayaan murid untuk memahami sesuatu konsep dan mengaplikasinya dapat membantu mereka menghadapi apa jua cabaran pada masa depan dengan lebih yakin tanpa sebarang keraguan. Ia adalah permulaan penting dalam menaikkan mutu sistem pendidikan negara sejajar dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Berita Harian
15 Mac 2012

14 Mac 2012

ISU ANTARABANGSA : DOKTRIN JUNGLE LAW, DASAR PRE-EMPTIVE AMALAN ISREAL

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID
Penganalisis media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.


Gaza bergolak lagi. Sejak serangan tentera udara rejim Zionis itu minggu lalu lebih 20 orang telah terkorban. Walaupun serangan itu disasarkan kepada pejuang Hamas, namun orang awam termasuk kanak-kanak menjadi mangsa utamanya. Serangan ganas Israel ini mengingatkan kita akan peristiwa serangan tentera udara rejim Zionis ke atas Gaza pada Disember 2008 yang berlarutan selama dua minggu. Serangan tidak berperikemanusiaan itu telah mengorbankan lebih 800 nyawa dan memusnahkan begitu banyak harta benda yang tidak ternilai harganya. Kebanyakannya mereka yang terkorban adalah orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Serangan-serangan terbabit membuktikan hasrat Israel untuk menguasai wilayah terbabit tidak pernah luntur. Bagi Israel, halangan terbesar yang terpaksa dihadapinya ialah berhadapan dengan pejuang Hamas yang merupakan kumpulan pejuang yang terkuat dan berpengaruh di Gaza. Justeru, serangan udaranya kali ini adalah siri-siri serangan bertujuan melemahkan kekuatan Hamas di Gaza.

Doktrin Jungle Law dan dasar pre-emptive Israel yang dilaksanakan sejak tahun 1967 menghalalkan serangan ke atas negara atau musuhnya tanpa menghiraukan peraturan dan undang-undang antarabangsa. Dasar-dasar itulah yang telah mencetuskan pelbagai bentuk kekejaman yang di luar batas kemanusiaan seperti tragedi Sabra dan Shatila pada 16 September 1982 dan siri-siri serangan ke atas rakyat Palestin serta beberapa peperangan Arab-Israel yang telah mengorbankan banyak nyawa umat Islam di Asia Barat. Pada hemat penulis, Gaza yang dalam rancangan untuk dijadikan negara Palestin yang merdeka itu tidak akan menjadi kenyataan kerana hasrat sebenar rejim Zionis itu adalah untuk menguasai keseluruhan bumi Palestin. Jika ditakdirkan PBB dan AS berjaya mewujudkan Gaza sebagai Palestin yang merdeka, namun keselamatan Gaza yang merdeka itu tetap tidak akan terjamin kerana Zionis Israel akan terus menyerang dan menguasai wilayah itu. Segala bentuk pelan damai dan perjanjian perdamaian hanyalah tipu daya dan political game rejim Zionis. Serangan ke atas Hamas itu juga bertujuan untuk memberikan mesej bahawa Israel akan terus mengamalkan forward defence ke atas semua musuh di rantau Asia Barat. Inilah kehendak golongan realisme yang menjadi tunjang kepada gerakan Zionisme.

Apa yang diinginkan oleh golongan realisme Zionis itu ialah kemenangan dan kuasa. Israel mahu merealisasikan kemenangannya berhadapan dengan Hamas di Gaza dan wilayah itu mesti dikuasai. Serangan kali ini juga menunjukkan bahawa Israel ingin mempamerkan kehebatan ketenteraan dan pengaruhnya kepada dunia bahawa rejim itu adalah kuasa yang kebal di mana keselamatannya dilindungi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta kuasa Eropah yang diketuai Amerika Syarikat (AS). Dunia tahu bahawa AS adalah pelindung utama Zionis Israel di bumi Palestin. Sejak Jimmy Carter menjadi Presiden AS pada tahun 1977, negara pelindung Israel itu telah mengamalkan dasar membendung kebangkitan negara Arab. Mana-mana pemimpin negara Arab yang cuba menjadi 'hero' kepada rakyat Palestin dan memusuhi Israel akan menjadi mangsa AS seperti yang berlaku ke atas Saddam Hussein di Iraq.

Walaupun Jimmy Carter berjaya melaksanakan perjanjian Kem David antara Israel dan Mesir pada tahun 1978, namun perjanjian itu bukan bertujuan menyelesaikan konflik Arab-Israel dan Zionis-Palestin tetapi perjanjian terbabit hanya perjanjian teknikal untuk Anwar Sadat mendapatkan kembali wilayahnya yang dikuasai Israel dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967. AS akan terus mempertahankan tindakan ganas rejim Zionis itu. Untuk memastikan negara-negara Arab berada di bawah telunjuknya maka pemimpin AS yang silih berganti itu akan terus menyalurkan dana dan sokongan keselamatan kepada Israel. Malah, sokongan dan bantuan yang diberikan kepada Fatah mempunyai agenda yang tersembunyi. Hamas pula dilabelkan sebagai pengganas bertujuan untuk memastikan konflik berlaku antara kedua-dua organisasi rakyat Palestin itu supaya mudah bagi AS dan Zionis memecahbelahkan rakyat Palestin yang buminya kini hanya tinggal 'sekangkang kera' sahaja.

Ketika Hamas memenangi pilihan raya Parlimen Palestin pada Januari 2006, Israel dan AS cuba menyingkirkan Hamas melalui pelbagai usaha termasuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Gaza. Malah, perjanjian Makkah pada Disember 2006 yang termeterai untuk membentuk kerajaan campuran juga tidak disenangi mereka. Usaha jahat AS dan Zionis akhirnya mencetuskan perbalahan dan pertumpahan darah antara Hamas dan Fatah di Gaza pada Jun 2007. Mahmoud Abbas yang membentuk kerajaan Tebing Barat mengisytihar Gaza sebagai wilayah pengganas. Mahmoud mendapat sokongan kuat AS dan Eropah yang mencurahkan berjuta dolar untuk melatih dan menguatkan pasukan keselamatannya. Apabila berlakunya peristiwa 11 September 2001, Presiden AS George W. Bush telah mengambil kesempatan untuk terus mengawal dan menguasai negara-negara Arab melalui agenda memerangi keganasan yang dilaksanakannya. Mana-mana negara yang dilihat memusuhi AS dan Zionis akan dilabelkan sebagai 'negara paksi kejahatan' seperti Iraq, Iran dan Afghanistan.

Hubungan AS dengan pemimpin Arab Saudi dan Kuwait terus diperkukuh kerana negara-negara Arab terbabit merupakan sumber minyak dunia serta dapat membantunya dalam hal-hal mengenai keselamatan di rantau Asia Barat. Malah, pangkalan tentera AS telah pun wujud di kedua-dua negara berkenaan. Dalam konteks Iran, dasar AS terhadap negara itu adalah merupakan satu usaha AS untuk membendung Iran muncul sebagai negara kuasa besar dan memiliki senjata nuklear yang boleh mengancam kedudukan negara haram Israel di bumi Palestin serta mengancam kedudukan AS di rantau Asia Barat. Kesimpulannya, serangan ke atas warga Palestin di Gaza menjadi bukti nyata bahawa rejim Zionis itu tidak akan sama sekali boleh diharapkan untuk berdamai dengan rakyat Palestin. Israel selamanya akan terus mengancam keselamatan rakyat Palestin yang tidak pernah diberi sebarang jaminan keselamatan oleh PBB dan AS. Sebaliknya negara pengganas Israel itulah yang diberikan perlindungan serta bebas melakukan apa saja ke atas rakyat Palestin dan negara-negara Arab sekitarnya melalui doktrin Jungle Law dan dasar pre-emptive yang dilaksanakannya sejak sekian lama menguasai Palestin.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
14 Mac 2012

ISU SOSIAL : JANGAN BIAR "PEMANGSA" BEBAS

Oleh NIZAM YATIM


Kenapa masih berlaku? Mungkin itu persoalan yang bermain di fikiran orang ramai apabila membaca atau mendengar berita terbaru mengenai pembunuhan kanak-kanak tidak berdosa, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang. Setelah 12 hari kanak-kanak berusia lima tahun itu hilang selepas ke kedai bersendirian berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Pasir Gudang, akhirnya polis kelmarin mengesahkan mangsa telah dibunuh kejam sebelum mayatnya dibakar di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai, Johor. Kejadian menyayat hati itu mengingatkan kita akan peristiwa hitam 20 Ogos 2007 apabila Nurin Jazlin Jazimin, murid tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang setelah keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Pencarian berakhir apabila mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di hadapan premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mengesahkan kanak-kanak itu mati akibat didera secara seksual.

Ibu Nurin Jazlin, Norazian Bistaman, 40, yang ditanya mengenai kes terbaru itu hanya mampu mengungkap: "Ya Allah, mengapa ini perlu berulang lagi? Bulu roma saya meremang selepas mengetahui nasib Dirang. Air mata saya mengalir laju membasah pipi. Saya seperti nampak Nurin." Sebenarnya banyak lagi kes pembunuhan dan penculikan kanak-kanak yang belum dapat diselesaikan seperti yang melibatkan Nurin Jazlin antaranya kehilangan Sharlinie Mohd. Nashar. Mangsa yang berusia lima tahun hilang semasa dalam perjalanan pulang selepas bermain di padang permainan berhampiran rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya pada 2008. Kes-kes lain yang berjaya diselesaikan melibatkan Nurul Huda Abdul Ghani Musa, 10, yang dibunuh setelah dirogol dan diliwat di Gelang Patah, Johor pada 2004. Sepuluh hari sebelumnya, Harirawati Saridi, juga berusia 10 tahun ditemui mati dibunuh dengan kainnya tersingkap, di kawasan semak semasa dalam perjalanan ke sekolah di Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah.

Mengulas gejala membimbangkan itu, Konsultan Syarikat K&A Applied Psychology Consultancy, Khairol Anuar Masuan berharap pihak berkuasa dan orang ramai tidak berputus asa untuk menangani perkara itu. Beliau bagaimanapun mengakui kes sedemikian sukar untuk dibasmi sepenuhnya berikutan penjenayah amat payah untuk dikenal pasti kerana mempunyai penampilan seperti manusia normal dari segi luaran. "Walaupun pelaku ini boleh dikaitkan sebagai pesakit mental, tetapi bukan semua yang suka duduk menyendiri seperti yang sering dikaitkan dengan golongan ini," ujarnya yang juga bekas pensyarah di Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kata beliau, kes itu juga boleh berlaku di mana-mana sahaja dan tingkah laku pelaku sukar untuk dijangkakan kerana tidak semua mempunyai corak perlakuan jenayah yang sama. Menurutnya, kes pembunuhan dan penculikan kanak-kanak juga boleh dikaitkan dengan individu pedofilia yang mengalami gangguan psikoseksual yang mencapai kemuncak keseronokan dengan melakukan aktiviti seksual dengan kanak-kanak.

Jelas beliau, terdapat beberapa ciri pelaku yang boleh membantu pihak berkuasa menyiasat seperti kebiasaannya melibatkan penjenayah yang dikenali mangsa. Berikutan kepakaran khusus yang diperlukan bagi menangani kes seperti itu, beliau mencadangkan pihak berkuasa menubuhkan unit siasatan khas berkaitan analisis tingkah laku penjenayah. "Kita boleh mencontohi Behavioral Analysis Unit (BAU) yang menyiasat kes jenayah terhadap kanak-kanak di bawah seliaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat. "Kepakaran bagi menganalisis tingkah laku seperti yang dimiliki anggota BAU amat penting kerana tidak semua kes boleh diselesaikan oleh unit siasatan tempat jenayah (CSI). "Pakar BAU boleh mengesan karakter tertentu penjenayah seperti hanya berminat dengan mangsa yang mempunyai ciri fizikal khusus seperti berambut perang," katanya yang bersedia menghulurkan bantuan jika diminta pihak berkuasa.

Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri Am dan Aviasi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Lt. Kol. Dr. Lotfi Anuar berkata, berdasarkan daripada corak jenayah dalam kes terbaru, pelaku melakukannya secara spontan apabila mangsa hilang secara tiba-tiba. "Cara pelupusan mayat secara kejam menunjukkan bahawa pelaku melakukan pembunuhan tersebut secara impulsive (mengikut gerak hati) tanpa memikirkan kesan dan perasaan belas kasihan. "Pelaku dalam kes ini dan juga kes-kes lain berkemungkinan mengalami masalah kecelaruan seks terhadap kanak-kanak yang dinamakan pedofilia kerana kesemua mangsa adalah kanak-kanak perempuan yang berkemungkinan dirogol sebelum dibunuh," katanya. Berdasarkan kepada faktor di atas, ujarnya, terdapat tiga sebab kenapa pelaku sanggup melakukan perlakuan kejam tersebut sama ada mempunyai masalah personaliti kejam dan ganas seperti antisosial, berada dalam keadaan tidak waras akibat sakit mental atau berada di bawah pengaruh dadah.

"Kegagalan pelaku jenayah untuk tunduk kepada tatasusila norma-norma sosial dan menghormati undang-undang adalah punca utama tingkah laku jenayah tersebut. "Kegagalan untuk mengawal perasaan marah dan tingkah laku impulsive juga memberi sumbangan. Begitu juga kesan daripada penggunaan dadah terlarang yang menyebabkan gejala halusinasi dan delusi yang menyebabkan penagih menjadi ganas dan tidak dapat mengawal tingkah laku," katanya. Tambah beliau, walaupun pembunuh boleh berada di kalangan mereka yang normal, mempunyai keluarga dan kerjaya yang stabil tetapi kajian tingkah laku terhadap ketiga-tiga kumpulan suspek di atas sememangnya sangat membantu pihak polis. "Sebagai contoh walaupun kita tidak tahu seseorang itu menagih dadah tetapi mereka tidak dapat menyorok tingkah laku penagih seperti kerap berkhayal, suka mencuri, gagal menjalin hubungan baik dengan kawan-kawan dan masyarakat.

"Kerana itu masyarakat sendiri perlu tahu menilai dan mengesan tingkah laku penagih (addiction behavior) tersebut untuk keselamatan semua. "Begitu juga dengan tingkah laku impulsive kerana ia boleh dilihat sama ada secara percakapan (suka marah dan bercakap kasar) atau perbuatan (suka memukul atau bergaduh)," jelasnya. Sebenarnya jenayah terhadap kanak-kanak perlu ditangani secara drastik bagi memastikan ia tidak berlarutan. Tidak cukup sekadar pihak tertentu mengeluarkan kenyataan retorik menasihatkan ibu bapa supaya lebih berwaspada menjaga anak-anak dan lebih prihatin dalam menilai tingkah laku orang di sekeliling mereka. Tidak memadai juga jika kita hanya teruja melihat kecekapan anggota BAU dalam siri televisyen Criminal Minds di TV8 setiap Isnin yang terbang ke sana sini dengan jet peribadi bagi menyelesaikan kes, jika unit sama tidak ditubuhkan di negara ini bagi memastikan 'pemangsa' kanak-kanak tidak terus berkeliaran.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
14 Mac 2012

ISU SOSIAL : APA DOSA DIRANG SEHINGGA DIPERLAKUKAN BEGITU KEJAM

Fauziah Arof


Adik Nurul Nadirah Abdullah telah meninggalkan keluarganya dan kita. Dia pergi dengan cara yang amat meruntunkan hati kita semua. Beberapa hari sebelum itu, kita semua resah dan sangat mengharapkan agar kanak-kanak comel yang baru berusia lima tahun ini berada dalam keadaan selamat, tidak ada apa-apa yang menyakitinya dan segera pulang ke pangkuan keluarganya. Bagi ibu bapanya, Roselyn Alan dan Lima Medeng, apatah lagi. Sejak kehilangan Nurul Nadirah yang dipanggil Dirang, mereka tidak lelap tidur dan mengadakan bacaan yassin dan solat hajat setiap malam, memohon agar anak kecil itu segera dikembalikan. Namun, selepas 12 hari kehilangannya - setelah pergi ke kedai bersendirian dengan membawa bersamanya RM4 dan sekeping nota bertulis mi segera dan telur RM2 berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor, akhirnya kelmarin polis mengesahkan bahawa rangka manusia rentung yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai pada Khamis lalu ialah Nurul Nadirah.

Rangka yang pada mulanya disangka milik orang dewasa itu ditemui di situ setelah lapan hari kehilangan Nurul Nadirah. Tergamam kita semua. Rupa-rupanya anak kecil itu telah dibunuh dan mayatnya dibakar. Rasa sedih, simpati dan marah semuanya bercampur baur. Kenapalah anak kecil ini menerima nasib sebegitu. Apalah salah dan dosa kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa ini sehingga diperlakukan begitu kejam. Tidak dapat kita bayangkan, anak kecil berkenaan terpaksa melalui semua itu dengan ketakutan dan menanggung kesakitan yang amat sangat. Angkara siapakah yang bersifat mengalahkan haiwan ini? Kita berharap agar pembunuh Nurul Nadirah segera dikesan dan akan menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan kejam itu. Sebelum ini masih kukuh di ingatan kita bagaimana adik Nurin Jazlin Jazimin, murid tahun dua hilang ketika ke pasar malam bersendirian di rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju, Kuala Lumpur, lima tahun lalu. Akhirnya polis mengesahkan penemuan mayatnya yang diletakkan dalam beg sukan di hadapan premis di Petaling Jaya, Selangor, selepas 27 hari kehilangannya.

Hasil bedah siasat ke atas mayat Nurin Jazlin mendapati, kanak-kanak itu meninggal dunia akibat didera secara seksual. Sehingga hari ini, penjenayah yang melakukannya masih belum berjaya dikesan. Selepas itu berlaku satu lagi kehilangan kanak-kanak yang sehingga kini belum dapat dikesan, Sharlinie Mohd. Nashar. Dia yang ketika itu berusia lima tahun diculik semasa dalam perjalanan pulang selepas bermain bersama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari 2008. Sehingga kini keluarga mangsa masih menaruh harapan supaya kanak-kanak yang tidak diketahui nasibnya ini pulang kepada mereka. Dan beberapa hari lalu, seorang kanak-kanak lelaki, Wan Hazim Mohd. Khadhir, berusia tujuh tahun turut hilang dari rumahnya di Jalan PJS 10/1, Subang Indah. Mujur dia dijumpai oleh seorang lelaki di tengah-tengah Lebuh Raya Kesas menghala ke Shah Alam, Selangor dua hari selepas itu ketika cuba melintas jalan kira-kira pukul 2 pagi. Bagaimana dia yang berada di rumah boleh hilang dan berjalan hingga ke situ di awal pagi menjadi tanda tanya sehingga kini.

Kita mahu agar episod-episod tragis yang membabitkan kanak-kanak ini tidak ada sambungannya. Berat mata kita yang memandang dan merasa, berat lagi apa yang dilalui dan ditanggung oleh keluarga kepada mangsa-mangsa terlibat. Kita berharap agar kesemua keluarga kanak-kanak malang tersebut tabah menghadapi kehilangan ini dan semoga Tuhan memberikan kekuatan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan ini. Kita semua maklum bahawa perlakuan jenayah di negara ini yang membabitkan pembunuhan, kini tidak mengenal golongan tua, muda, kanak-kanak mahupun bayi. Keselamatan bukanlah satu jaminan mutlak sekiranya kita tidak berhati-hati atau mengambil langkah-langkah pencegahan. Jika zaman dulu, kanak-kanak bebas berseorangan berjalan kaki ke sekolah, ke kedai atau bermain di padang permainan, rumah jiran atau di mana-mana pun, tanpa ibu bapa kita perlu merasa bimbang, tetapi kini kita perlu bimbang. Kita harus bimbang sebab kanak-kanak ini terdedah dengan bermacam-macam perkara berbahaya di luar sana.

Akal penjenayah juga bermacam-macam, ada yang tak perlukan perancangan, apabila terlihat kanak-kanak berjalan berseorangan, niat jahat pun datang, itulah mangsanya. Kita perlu ingat, sudah banyak kes psikoseksual dan keganasan terhadap kanak-kanak berlaku sebelum ini. Maka, jangan sesekali membiarkan anak-anak kecil kita keluar rumah tanpa pengawasan ibu bapa atau orang dewasa. Soal keselamatan kanak-kanak tidak boleh dikompromi. Sedikit kelalaian, akan membuka ruang kepada ‘si jiwa kacau’ ini untuk mengakibatkan padah pada anak kita. Dan dalam hal ini juga, masyarakat kita yang sibuk dengan tugas-tugas harian perlu prihatin dengan apa yang kita lihat. Apabila melihat kanak-kanak berjalan bersendirian, janganlah dibiarkan. Sebaik-baiknya ditanya dan ditemani sehingga selamat sampai ke tempat yang ditujunya. Semua individu dewasa bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang selamat kepada kanak-kanak. Hukuman yang ditetapkan terhadap pembunuh, iaitu mati memang sudah cukup setimpal. Tetapi tahukah dan sedarkah kita bahawa penjenayah tidak sedikit pun berasa gerun dengan hukuman itu selagi mereka tidak diberkas.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
14 Mac 2012

ISU SOSIAL : USAH TERLALU TEKANKAN GAJI TINGGI PEMBANTU RUMAH

Oleh SAODAH ABD. RAHMAN
PROF. MADYA DR. SAODAH ABD RAHMAN,
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Wanita Malaysia yang bekerja di luar rumah menghadapi kesulitan untuk mendapat pembantu rumah yang dapat memberi sumbangan yang memuaskan. Ramai wanita Malaysia menghadapi pelbagai masalah apabila pembantu rumah dari Indonesia yang kurang profesional bekerja dengan mereka. Masalah pembantu rumah melarikan diri dari rumah pada waktu malam atau ketika tuan rumah berada di tempat kerja merupakan satu kebiasaan yang dilakukan oleh kebanyakan pembantu rumah Indonesia di negara ini. Sikap pembantu rumah begini menyebabkan ramai wanita Malaysia merasai serik untuk mendapatkan pembantu rumah terutama wanita dari golongan pertengahan dan bawahan. Perbelanjaan untuk mendapat pembantu rumah melalui ejen adalah terlalu mahal. Keadaan begini menyebabkan ramai wanita dalam golongan ini menghantar anak-anak mereka ke rumah rakan atau jiran untuk menjaga anak-anak mereka. Bagi pasangan golongan ini yang mempunyai anak melebihi seorang adalah tidak mungkin bagi mereka menghantar anak-anak ke tempat asuhan yang berlesen. Oleh itu pembantu rumah amat diperlukan oleh mereka bagi mengurangkan perbelanjaan menghantar anak-anak ke rumah jiran dan tempat asuhan kanak-kanak.

Permasalahan begini sepatutnya difikirkan oleh pihak berkuasa dalam negara ini berkaitan pembantu rumah dari Indonesia. Gaji sebanyak RM700 yang dipersetujui oleh pihak berkuasa untuk membawa masuk pembantu rumah dari Indonesia tidak dapat membantu golongan bawahan dan pertengahan di negara ini dalam menghadapi permasalahan pembantu rumah. Persetujuan ini hanya memberi faedah kepada golongan berpendapatan tinggi dan mereka yang melibatkan diri dalam perniagaan. Pihak berkuasa negara ini sepatutnya memahami keadaan dan permasalahan kewangan golongan bawahan dan pertengahan yang mana gaji atau pendapatan bulanan mereka hanya mampu untuk membiayai tempat kediaman, kenderaan dan anak-anak. Bilangan anak yang melebihi daripada seorang yang memerlukan kepada pengasuh sepatutnya dijadikan renungan dan kajian. Tambahan pula Malaysia menghadapi kadar populasi muda yang kurang seimbang dengan golongan tua. Jika golongan bawahan dan pertengahan ini mendapat kemudahan bagi membantu mereka dalam menghadapi permasalahan pembantu rumah maka mereka tidak akan menghadapi permasalahan jika mempunyai bilangan anak yang ramai di mana secara tidak langsung ia boleh mengimbangi kadar populasi di antara golongan muda dan tua dalam negara ini.

Sepatutnya pihak berkuasa Malaysia mengklasifikasikan pembantu rumah Indonesia berdasarkan kepada kebolehan dan kemahiran mereka dalam urusan rumah tangga. Pembantu rumah yang hanya mampu untuk mengasuh dan kurang mahir dalam mengendalikan rumah tangga sepatutnya mendapat gaji minimum kerana tugas mereka mudah dan tidak seteruk bekerja di rumah yang besar yang memiliki taman atau halaman yang luas. Sedangkan golongan bawahan dan pertengahan dalam negara ini memiliki rumah yang kecil dan tidak mempunyai halaman. Oleh itu bidang pekerjaan mereka adalah terlalu terhad di mana gaji manimun adalah bersesuaian dengan mereka. Keluarga golongan bawahan dan pertengahan dalam negara ini hanya memerlukan pembantu rumah untuk mengasuh anak-anak ketika berada di luar rumah dan membantu mereka di dapur. Kerajaan Indonesia sepatutnya memahami kadar bayaran gaji pembantu rumah sebanyak RM700 itu adalah gaji kepada pembantu rumah profesional seperti pembantu rumah dari Filipina.

Kerajaan Filipina menyediakan pusat latihan pembantu rumah di mana individu yang ingin menjadi pembantu rumah di luar negara menjalani latihan di pusat tersebut. Oleh itu apabila mereka mendapat pekerjaan sebagai pembantu rumah di luar negara jawatan dan kedudukan mereka terjamin. Kerana untuk mendapat pembantu rumah dari negara tersebut majikan dari negara luar perlu menguruskannya melalui kedutaan Filipina. Latar belakang majikan dikaji terlebih dahulu sebelum membawa pembantu rumah. Berdasarkan kepada keperihatinan kedutaan Filipina dan sikap profesional pembantu rumah dari negera tersebut maka majikan dalam negara ini tidak menghadapi permasalahan pembantu rumah lari dari rumah kerana pemikiran dan jiwa pembantu rumah telah disemat dengan sikap bekerja untuk mendapat gaji secara profesional. Jika kerajaan Indonesia ingin meletakkan kedudukan pembantu rumahnya bertaraf profesional maka prosedur tertentu perlu dipenuhi supaya majikan dalam negara ini yakin bahawa mereka meringankan beban rumah tangga yang dihadapi oleh majikan walaupun dikenakan bayaran yang tinggi.

Bagi kepentingan kedua-dua negara maka gaji pembantu rumah perlu didasarkan kepada bentuk pekerjaan mereka di negara ini. Jika pembantu rumah Indonesia ditugaskan untuk menguruskan soal pekerjaan yang meletihkan maka gaji yang dikenakan itu mestilah bertepatan dengan tenaga yang disumbangkan olehnya. Penetapan gaji kepada RM700 sebulan bukan sahaja menyebabkan ramai golongan bawahan dan pertengahan gagal untuk mengguna khidmat pembantu rumah malah ia juga akan menganiayai pembantu rumah Indonesia jika bentuk pekerjaan yang dikenakan kepadanya melebihi kadar kemampuan dirinya apabila bekerja dengan majikan yang tidak mempunyai perasaan kemanusiaan. Peristiwa pembantu rumah didera tidak dapat dielakkan kerana penetapan gaji boleh mengunci mulut pembantu rumah jika majikannya mengarahkannya membuat pekerjaan yang tidak sewajarnya.

Perundingan antara majikan dan pembantu rumah adalah cara yang paling baik dan selamat supaya kedua-dua belah pihak berpuas hati. Cara begini juga boleh menjalinkan perasaan kasih sayang antara pembantu rumah dan majikan kerana mereka saling bantu membantu dalam menyelesaikan permasalahan masing-masing. Pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia sepatutnya meneliti permasalahan majikan dalam negara ini juga kerana kadar pendapatan rakyat Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara maju. Oleh itu usah terlalu menekan dalam aspek gaji yang tinggi untuk pembantu rumah Indonesia kerana sikap begini boleh menyebabkan majikan di Malaysia berpaling ke negara lain untuk mendapat pembantu rumah dengan gaji yang berpatutan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
14 Mac 2012

ISU SOSIAL : MENJANA PEMIKIRAN PEMUDA

SUMBER: iluvislam.com


Sejak zaman-berzaman, kegemilangan sesebuah tamadun adalah bergantung kepada kekuatan pemuda yang hidup pada zaman mereka. Pemuda digambarkan sebagai satu golongan yang bersemangat untuk merealisasikan apa yang terbuku dalam hati mereka dan merekalah golongan yang beridealisme tinggi. Adalah silap apabila wujud suara yang menghadang idealisme kerana kadang-kala idealisme harus dikembangkan untuk mewujudkan satu impian dan plan bertindak yang realistik dan sistemik. Perjuangan Rasulullah SAW yang tampak idealis didokong oleh golongan pemuda di saat golongan tua menolak baginda SAW. Pemuda berada di celah-celah kegilaan dan apabila mereka inginkan sesuatu, mereka akan lakukan dengan semangat 'kegilaan' yang ada pada diri mereka. Saya suka istilahkan kegilaan itu sebagai semangat 'ekstasi'. Ekstasi ialah satu saat kemuncak dalam hidup seseorang yang mana ketika itu ia akan berasa satu kekuatan yang entah dari mana muncul dalam diri mereka dan mendorong mereka untuk bertindak di luar kemampuan mereka.

Ini digambarkan oleh Zaid bin Harithah yang hanya mengambil masa selama tujuh hari untuk mempelajari dan menguasai bahasa Yahudi. Imam Al-Syafie sendiri mempamerkan ekstasi beliau apabila mula menjadi guru kecil sewaktu berumur 10 tahun dan dilantik sebagai mufti muda ketika usianya mencecah 15 tahun. Ekstasi melahirkan satu perubahan, atau kita menyebutnya sebagai reformasi. Perubahan merupakan satu perkara yang tidak tetap, dan setiap zaman memerlukan perubahan. Hal ini digambarkan oleh seorang ulama yang memelihara anjing dan beliau telah dikritik oleh para pendokong mazhab anutan beliau. Beliau lantas menjawab: "Sekiranya guru kita berada dalam lingkungan kita pada masa sekarang, nescaya bukan sekadar anjing, bahkan singa pun boleh kita pelihara". Setiap manusia, bahkan negara dan bangsa memerlukan kepada perubahan. Bangsa yang tidak berani berubah adalah bangsa yang lemah dan dayus dalam berijtihad. Negara yang tidak berubah adalah negara yang kekal mundur dan tidak akan maju selamanya. Pemikiran lama akan ditenggelamkan oleh pemikiran baru.

Albert Einstein berkata:

"Masalah zaman kita tidak mampu untuk diselesaikan oleh pemikiran pada zaman kita". Perubahan menuntut kecekalan dan keberanian, bukannya jiwa-jiwa yang dayus dan lemah. Orang yang penakut akan kekal berada di tampuk yang lama kerana mereka sudah hidup dalam zon acuh tidak acuh, namun orang yang berani akan melakukan perubahan dari masa ke masa tanpa mengira cercaan dan gugatan terhadap mereka.

Hanya pemuda dan kepemudaan mampu mendokong perubahan. Tatkala para malaikat tidak sabar untuk menghumbankan bukit-bukau ke atas penguni Thaif yang mencerca Rasulullah SAW, baginda lantas menghalang niat para malaikat. Pandangan baginda ternyata jauh dan analitikal: "Boleh jadi lahir daripada sulbi mereka, zuriat yang akan mengimani risalahku ini". Ya, generasi baru harus dibentuk mulai sekarang. Generasi yang tidak hanya melihat dengan pandangan singkat dan dekat, tetapi generasi berpandangan jauh dan meluas, seolah-seolah sayap matahari yang tidak hanya melimpah di satu tempat tetapi menerangi seluruh alam. Kita boleh perhatikan riak-riak perubahan yang sedang berlaku di Turkey. Sepanjang mereka berpayungkan sistem sekularisme, ekonomi mereka tidak berkembang dan mereka hidup dalam suasana yang kucar-kacir. Nama mereka tidak disebut-sebut sebagai sebuah negara yang maju setelah kejatuhan Turki Uthmaniah. Tetapi setelah wujudnya generasi baru yang membawa pemikiran dan budaya hidup yang menongkah arus, maka kita dapati gelombang perubahan berlaku dengan pesat. Malah, Turkey merupakan negara ke-6 termaju dalam Eropah dan negara ke-16 di dunia yang mempunyai kuasa ekonomi terbesar. Apa yang menarik juga Turkey merupakan negara dunia ke-13 yang paling menarik dan berdaya saing.

Umat Islam harus memiliki jiwa kepemudaan yang tinggi. Jiwa kepemudaan tidak hanya dimiliki oleh pemuda, malah semua orang berhak untuk memiliki jiwa dan semangat kepemudaan ini. Jiwa yang sentiasa meronta-ronta untuk membuahkan pembaharuan dari semasa ke semasa supaya ummah tidak ketinggalan dan hanya mengikut dari belakang. Jiwa kepemudaan juga perlu supaya kita tidak hanya memasang angan-angan seperti Mat Jenin, atau hanya berperilaku seperti Luncai dengan labu-labunya. Cukuplah, kita sudah tidak tahan dan sanggup didendangkan dengan cerita-cerita yang melembapkan pemikiran kita seperti Pak Pandir, Lebai Malang, Awang Kecil, Sang Luncai sebagaimana negara Arab yang mempopularkan kisah Juha, Abu Nawas dan 1001 Malam, sedangkan Barat sudah meluaskan empayar penguasaan mereka hingga ke angkasa lepas. Orang kita melihat udara lalu terciptalah layang-layang sedangkan Barat mencipta kapal terbang. Orang kita melihat sungai untuk berenang, sedangkan Barat mencipta kapal. Malah saya ingin menambah lagi, orang kita melihat bulan untuk menentukan waktu Ramadhan dan Syawal, sedangkan Barat melihat bulan lalu dijelajahnya. Tepuk dada, tanyalah DIRI.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
mStar Online
8 Mac 2012

13 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : BERIKAN KUASA LEBIH KEPADA PEJABAT PELAJARAN DAERAH (PPD)

Oleh Alimuddin Mohd. Dom
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Transformasi pendidikan dan usaha mengkaji semula sistem pendidikan yang sedang giat dilaksanakan sekarang tidak hanya menjurus kepada aspek kurikulum tetapi turut melibatkan sistem penyampaian dan tadbir urus organisasi pendidikan. Cadangan memperkasakan lebih 150 buah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di seluruh negara seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilihat bergerak dan menuju ke arah tersebut. Langkah ini dianggap sebagai sebahagian daripada usaha penting bagi memperkemas dan meningkatkan mutu perkhidmatan. Tambah beliau PPD juga perlu diperkukuh dari sudut organisasi, bidang kuasa serta prasarana bagi membolehkan institusi itu menjadi punca kepada pusat perkembangan ilmu dan pemantauan terhadap pencapaian pendidikan peringkat daerah di seluruh negara.

Sesungguhnya peranan PPD sangat penting kerana organisasi itu berada pada kedudukan yang paling hampir dengan sekolah. Langkah ini perlu dibuat kerana kajian awal pendidikan mendapati tumpuan di peringkat bawah merupakan prasyarat bagi memastikan peningkatan kualiti pendidikan. Oleh itu PPD yang dilihat seolah-olah tidak penting satu ketika dahulu perlu diperkasakan sekiranya ingin melihat perubahan yang positif terhadap sistem pendidikan kita. Kajian dan penilaian semula sistem pendidikan yang telah pun bermula seharusnya tidak hanya melihat kepada aspek kurikulum sahaja iaitu yang melibatkan kandungan pengajaran, kaedah pengajaran dan pembelajaran, alat dan bahan yang digunakan, sistem penilaian dan peperiksaan serta aktiviti sokongan melalui kokurikulum. Ia perlu juga melihat sistem penyampaian dan tadbir urus yang melibatkan institusi dan organisasi yang berada dalam lengkungannya. Sudah sampai masanya dibuat penilaian dan perubahan terhadap bidang kuasa dan memberikan tanggungjawab yang lebih luas kepada organisasi yang difikirkan dapat membantu peningkatan kualiti pendidikan terutama di peringkat akar umbi.

Sejak dilaksanakan Laporan Razak 1956 diikuti Laporan Rahman Talib 1961 dan yang terakhir Laporan Kabinet 1970 sistem pendidikan kita sangat berpusat yang segala-galanya ditentukan oleh Kementerian Pelajaran (KPM). Semua dasar, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian datangnya daripada Putrajaya akan diturunkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) kemudiannya kepada PPD dan akhirnya barulah sampai ke peringkat sekolah. Segala-galanya seperti one size fit all tanpa mengambil kira bahawa terdapat perbezaan dari segi infra struktur atau fizikal sekolah, latar belakang murid, lokaliti dan persekitarannya. Misalnya apa yang diajar kepada murid sekolah di Kuala Lumpur adalah sama juga yang diberikan kepada murid di Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah. Demikian juga sistem penilaian dan peperiksaan yang digunakan di SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur adalah juga dilaksanakan di SK Ulu Lubai atau SK Long Persia, Sarawak. Dengan bilangan sekolah melebihi 10,000 buah adalah sukar untuk memastikan semua maklumat daripada pusat dapat sampai ke sekolah dengan lengkap dan sempurna. Demikian juga data maklumat sekolah tidak dapat dipantau dan dinilai sepenuhnya oleh pihak pusat kerana bilangannya terlalu banyak.

Mungkin berlaku situasi terlepas pandang tentang kekurangan di sekolah terutama yang terletak di luar bandar atau kawasan jauh di pedalaman. Maka di sinilah peranan penting yang boleh dimainkan oleh PPD bagi mengatasi kekurangan tersebut. Demikian juga dengan bilangan guru yang hampir mencecah 400,000 orang perlu mendapat bimbingan, pemantauan dan penilaian yang berterusan terutama bagi memastikan keberkesanan dalam melaksanakan hala tuju serta tugas pengajaran dan pembelajaran. Bagi menjalankan tugas ini terutama yang berkaitan dengan pemantauan dan penaziran akan lebih berkesan jika dilakukan oleh pegawai pelajaran yang lebih hampir dengan sekolah kerana mereka lebih tahu tahap daya saing dan keperluan penambahbaikkan prestasi guru. Demikian juga dari segi penempatan guru, kursus dalam latihan, pertukaran, pengesahan jawatan dan kenaikan pangkat menjadi lebih mudah, berkesan dan teratur jika dikendalikan oleh pegawai-pegawai PPD yang dianggap lebih mengenali dan memahami secara lebih dekat akan guru-guru di daerah mereka. Namun demikian urusan hal perkhidmatan dan perjawatan selanjutnya tetap akan dikendalikan oleh pihak JPN dan KPM.

Memperkasakan PPD boleh dilakukan dengan kaedah ‘desentralisasi’ iaitu melalui penurunan dan penambahan kuasa dan autoriti. Dengan kedua-dua elemen ini membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lancar dan penuh keyakinan. Misalnya penentuan peruntukan kewangan untuk membaik pulih, ubah suai dan penyelenggaraan sekolah perlu ditentukan dan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai PPD. Dengan kuasa yang ada pada mereka bagi menyedia peruntukan dan membelanjakannya maka sekolah-sekolah yang terletak jauh di luar bandar dan pedalaman akan lebih mendapat perhatian dan penjagaan yang lebih baik. Dengan peranan baru dan tanggung jawab yang lebih mencabar maka sudah tentu struktur organisasi PPD memerlukan penambahan pegawai dan kakitangan. Pegawai-pegawai PPD hendaklah dilantik daripada mereka yang berpengalaman, mempunyai kekananan dan berkemahiran tinggi.

Lawatan ke sekolah hendaklah dilakukan sekerap mungkin dan secara berkala. Penambahan tersebut boleh diselaraskan dengan mengurangkan bilangan pegawai di JPN dan KPM. Diharapkan melalui kaedah ini semua sekolah akan mendapat bimbingan, perhatian dan pemantauan yang lebih kemas dan teratur. Akhirnya peneraju PPD hendaklah dipilih dan dikenal pasti dari mereka yang terbaik dan terkanan di daerah itu. Moga-moga saranan Timbalan Perdana Menteri untuk memperkasakan PPD akan dapat melonjakkan lagi kualiti pendidikan di negara kita.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
13 Mac 2012

ISU UMUM : MAHU LGBT DIIKTIRAF : APABILA MANUSIA HILANG KEWARASAN

Pandangan IKIM
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan,
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, 
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


Meskipun pandangan alam antara Islam dan Barat begitu berbeza, namun dari sudut pentakrifan perkahwinan, kedua-duanya sama-sama mengiktiraf bahawa perkahwinan hanya berlaku antara seorang lelaki dengan wanita, dan bukan selainnya. Hal ini secara langsung menafikan “perkahwinan” antara sesama jenis atau jantina. Justeru, perjuangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk mendapatkan pengiktirafan undang-undang terhadap “perkahwinan” mereka kononnya atas dasar kesamaan adalah tidak berasas sama sekali. Ini disebabkan tindakan mereka jelas mencabuli dan mencemarkan maksud perkahwinan yang telah diterima dalam semua budaya serta tamadun dunia sejak sekian lama.Perjuangan golongan ini yang berasaskan fahaman liberalisme tidak menghairankan berlaku dalam masyarakat Barat yang menolak atau meninggalkan agama. Hal yang demikian berlaku tidak lain kerana agama yang dianuti tidak mampu sama sekali untuk memberikan keyakinan, bimbingan dan panduan dalam kehidupan mereka.

Justeru kita melihat prinsip moral, undang-undang dan sebagainya tidak diasaskan pada agama. Sebaliknya ia berdasarkan pandangan sekular yang tidak memiliki asas yang tetap dan teguh, malah sentiasa sahaja berubah-ubah. Lantaran itu juga perjuangan mereka khususnya dalam tuntutan “hak” seperti “berkahwin” dan membina keluarga, bebas daripada amalan diskriminasi berasaskan orientasi seksual, selain “hak” terhadap privasi hanya berdasarkan pertimbangan akal dan kehendak yang dibimbing hawa nafsu semata-mata. Hujah yang diberikan terhadap tuntutan seumpama itu hanyalah disebabkan kedudukan dan kemuliaan mereka sebagai manusia. Namun hakikatnya, sebagaimana digambarkan sifatnya oleh al-Quran, hawa nafsu sentiasa sahaja mendorong manusia terjerumus dalam kejahatan, kekejian dan kebinasaan (Surah Yusuf 12 : 53).

Perjuangan golongan LGBT kelihatan memperoleh sokongan di beberapa buah negara tertentu, antaranya Belanda, negara terawal yang meluluskan perkahwinan sivil sesama jenis, iaitu pada tahun 2001. Undang-undang yang diluluskan itu memberikan hak, perlindungan, dan manfaat yang sama kepada pasangan sejenis yang terlibat, sebagaimana yang diberikan kepada perkahwinan heteroseksual, termasuklah hak pengambilan anak angkat. Langkah yang diambil Belanda disusuli Belgium pada tahun 2003, Kanada dan Sepanyol pada tahun 2005, Afrika Selatan pada tahun 2006, Norway dan Sweden pada tahun 2009, dan Portugal, Iceland, serta Argentina, ketiga-tiganya pada tahun 2010. Bersesuaian dengan gaya hidup golongan ini yang bersifat di luar tabii, maka kemudaratan yang dibawa olehnya juga bersifat di luar batasan atau melampaui kebiasaan.

Selain penyakit-penyakit fizikal yang mengundang maut seperti sifilis, barah dubur, dan HIV, pengamal homoseksual sebagai contoh, berhadapan masalah tekanan mental yang tidak terkawal. Satu kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa cubaan membunuh diri dalam kalangan kelompok ini adalah lima kali ganda lebih tinggi daripada kebiasaan. Penyelidik yang membuat kajian tentang puncanya mendapati bahawa dua pertiga daripadanya disebabkan putusnya hubungan dengan pasangan, dan bukannya tekanan daripada anggota masyarakat. Selain itu, kajian juga menunjukkan salah satu kesan buruk yang dialami oleh anak-anak kepada pasangan gay, lesbian, atau homoseksual ialah mereka memiliki potensi untuk menjalani gaya hidup luar tabii sebagaimana “ibu bapa” mereka selain terdedah kepada pelbagai bentuk penderaan seksual.

Perkahwinan sejenis bukan sahaja merupakan serangan yang bertujuan mencemarkan kesucian dan meruntuhkan institusi keluarga tetapi juga pada masa yang sama, mengundang pelbagai kemudaratan terhadap struktur masyarakat serta negara amnya. Kebiadaban, kegilaan, dan pencerobohan yang dilakukan mereka terhadap keutuhan institusi kekeluargaan dan kehidupan bermasyarakat perlu ditangani dengan tegas. Amat malang jika ada antara kita yang jahil dan terkeliru atau juga cuai dan leka, sedangkan mereka tidak pernah berhenti menyusun agenda dan bertindak dengan berani. Lihat sahaja kepada susulan larangan penganjuran Seksualiti Merdeka oleh NGO tempatan yang telah diadakan sejak 2008 bagi menuntut hak kesaksamaan gender serta mengiktiraf pengamal seks songsang seperti LGBT untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

Larangan tersebut sama sekali tidak meninggalkan sebarang kesan, peringatan, mahupun pengajaran apatah lagi kesedaran terhadap pihak penganjur. Malah mereka telah mengambil tindakan susulan dengan memajukan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung dengan dakwaan diskriminasi terhadap golongan minoriti ini, dan mengheret negara untuk memberikan penjelasan terhadap penafian “hak” mereka. Penyertaan Malaysia dalam sesi persidangan ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia, PBB yang berlangsung mulai 5 Mac 2012 di Geneva, Switzerland merupakan sesuatu yang amat membimbangkan. Dengan meneliti tindak balas kumpulan yang memperjuangkan hak-hak LGBT memberikan kita kesimpulan bahawa ia pasti dijadikan landasan teguh untuk mengambil kesempatan demi merealisasikan cita-cita keji mereka.

Hal ini khususnya melalui tekanan yang dikenakan terhadap Malaysia untuk tunduk terhadap apa yang kononnya dikatakan sebagai international standards and laws. Langkah seterusnya pula ialah mendesak negara membenarkan amalan orientasi seksual dan identiti gender yang songsang serta bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam, nilai tradisi masyarakat negara ini dan semangat Perlembagaan Persekutuan. Bagi umat Islam, segala perkara yang menyelubungi kehidupan dan menimpa masyarakat Barat seharusnya dijadikan sempadan dan pengajaran. Betapa apabila agama tidak lagi dijadikan panduan dalam membimbing diri, keluarga, dan masyarakat, kecelakaan jualah yang menjadi akibatnya.

Namun mengambil kira sikap masyarakat Barat yang sentiasa gigih menyebarkan fahaman dan gaya hidup mereka kepada bangsa-bangsa lain, ia seharusnya mencetuskan kebimbangan besar bagi kita kerana umat Islam pastinya tidak terkecuali. Malah melihat kepada keadaan diri dan peribadi umat Islam hari ini sudah cukup membuktikan bahawa kegigihan usaha masyarakat barat menyebarkan dakyah, fahaman serta budaya hidup mereka telah pun menampakkan hasilnya. Sesungguhnya tiada jalan lain lagi yang dapat dijadikan perisai dan penawar bagi ummah melainkan keimanan yang teguh serta ilmu yang tersemat kukuh dalam jiwa. Dalam hubungan ini, tepat sekali apa yang digambarkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam serangkap pantun beliau (Risalah untuk Kaum Muslimin, 2001),

Muslim tergenggam belenggu kafir,
Akhirat luput, dunia tercicir,
Budaya jahil luas membanjir,
Banyak yang karam tiada tertaksir.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
13 Mac 2012

JADIKAN MOTIVASI DIRI : SARA BLAKLEY POPULARKAN SPANX


Spanx sangat terkenal hingga setiap kali kita melihat kelibat selebriti memakai pakaian dalam pelangsing badan itu, nama jenama pakaian terbabit pasti tampil dalam tajuk beritanya. Dan kelihatannya bukan senarai A saja, tetapi pengasas syarikat Spanx, Sara Blakley muncul pada kulit depan majalah Forbes edisi bilionair, minggu lalu.  Wanita berusia 41 tahun yang berasal dari Florida tetapi kini berpangkalan di New York itu adalah usahawan wanita termuda dalam senarai itu.  Majalah itu mendedahkan bagaimana pengasas kepada syarikat yang dianggarkan bernilai AS$1 bilion (RM3.2 bilion) itu takut dengan ketinggian, terbang dan bercakap depan khalayak ramai. Dan walaupun mempunyai kelemahan sedemikian, Sara berjaya mengumpul hartanya itu atas usahanya sendiri dengan memandu ke seluruh negara untuk demonstrasi dan menjawab panggilan telefon pelanggan dari bilik air di kediamannya. Pernah menjadi kakitangan Disneyworld, Sara mula mendapat inspirasi untuk berniaga ketika sibuk mengendalikan mesin faksimili untuk Danks, syarikat bekalan alat tulis pejabat di Florida.

Tidak selesa dengan cuaca lembap dia terdesak untuk mendapatkan sepasang sarung kaki yang tidak mempunyai kelim dan tidak bergulung ketika memotongnya.  Sara menjelaskan kepada Forbes: “Saya tidak pernah bekerja dalam bidang fesyen atau peruncitan. Saya hanya perlukan pakaian dalam yang tidak wujud.”  Selepas mengetepikan wang simpanannya sebanyak $5,000 (RM16,000), Sara berpindah ke Atlanta dan membuat penyelidikan, berkunjung dari kilang ke kilang untuk membolehkan produk barunya dihasilkan.  Bagi menjimatkan yuran guaman sebanyak $3,000 (RM9,600) yang diperlukan untuk mematen nama jenama produk, dia menggunakan buku teks Barnes & Noble dan belajar melakukannya sendiri.  Mengenai nama jenama itu, Sara berkata: “Perkataan Spanx memang kelakar. Ia membuatkan orang ketawa. Tiada orang yang akan lupa nama itu.” Tanpa sesen dibelanjakan untuk pembungkusan atau pengiklanan, usahawan licik meluangkan masanya pada waktu malam menggunakan komputer rakannya mereka logo dan membaca tentang tip pemasaran.

Dalam kisah Forbes itu, dia menceritakan imejnya dirakam kamera CCTV berulang kali dalam pusat beli-belah kerana memperbetulkan produknya supaya ia diletakkan dengan baik.  Karakter dan tuah yang dipegang untuk melancarkan perniagaannya disebut CEO Neiman Marcus, Karen Katz yang melihat produknya buat kali pertama.  “Usaha Sara adalah untuk menyelesaikan masalah yang sudah lama membelenggu wanita dengan cara yang moden,” katanya sambil menambah: “Kami sudah terpikat sejak awal-awal lagi,” katanya.  Ketika Oprah mengumumkan dalam rancangannya bahawa Spanx adalah produk kegemarannya pada tahun 2000 walaupun tidak mempunyai laman web ketika itu, perniagaan itu terus meletup.  Pada tahun pertamanya, syarikat yang masih dimiliki keseluruhannya oleh Sara meraih jualan $4 juta (RM12.8 juta) dengan jualan mengagumkan sebanyak $10 juta (RM30.2 juta) tahun berikutnya.  Dan sepanjang tempoh ini, Sara tidak pernah membelanjakan walau sesen untuk iklan atau bergantung kepada sokongan pelabur.

Hari ini sembilan katalog dihantar kepada enam juta pembeli setiap tahun dan pengasas Spanx merancang meluaskan perniagaan bersama CEO syarikat itu, Laurie Ann Goldman.  Rancangan termasuk membuka kedai, mempelbagaikan produk dengan harga lebih murah dan pakaian renang. Mengenai harta dimilikinya itu yang membolehkan dia membeli enam kediaman bersama suaminya, Jesse Itzler dan anak lelaki mereka berusia dua tahun, Laser, Sara berkata: “Saya rasa wang membuatkan anda lebih dikenali.  “Jika anda seorang celaka, anda menjadi celaka yang hebat. Jika anda baik, anda menjadi lebih baik. Memang seronok memperoleh wang, seronok untuk dibelanjakan dan seronok untuk disumbangkan.”  Dan memikirkan tentang permulaannya yang merendah diri itu Sara berkata: “Lima ribu dolar. Pelaburan yang baik.”


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Harian Metro
13 Mac 2012

12 Mac 2012

ISU EKONOMI : SESI EKONOMI KESAN GAJI SSM

Oleh ROHAMI SHAFIE

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia


ALHAMDULLILLAH, syukur ke hadrat Allah SWT isu mengenai Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dapat ditangani dengan baik dan berhemah. Biarpun masih ada segelintir yang tidak berpuas hati, namun, suara majoriti kakitangan awam berjaya mengatasi tindakan tergesa-gesa yang dilakukan oleh segelintir golongan yang menguasai perkhidmatan awam. Sebarang tindakan yang dilakukan dengan tergesa-gesa, nescaya kesannya tidak meyakinkan sesiapa sahaja, bahkan memburukkan lagi keadaan. Sektor awam adalah jentera yang amat penting di Malaysia, nasib para pekerjanya perlu dibela dan dijaga. Tindakan yang menyebabkan mereka berasa tidak puas hati bukan sahaja boleh memudaratkan kerja-kerja mereka sebagai individu tetapi juga memberi implikasi negatif terhadap ekonomi negara. Jangan sesekali memandang remeh suara-suara mereka. Gunalah kuasa yang diamanahkan oleh Allah SWT sebaik-baik mungkin dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri.

Tahniah kepada Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) yang berjuang habis-habisan membela nasib majoriti para pekerja sektor awam terutamanya golongan bawahan. Cadangan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif sistem saraan penjawat awam perlu disegerakan dan ahli-ahlinya mestilah mewakili keseluruhan para pekerja di sektor awam dan bukannya dikuasai oleh segelintir golongan yang tidak memahami kedudukan para pekerja bawahan. Jangan diulang lagi kesilapan yang dilakukan di bawah SBPA kerana ia menjejaskan reputasi dan imej kerajaan itu sendiri. Bagi pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM), tambahan peruntukan adalah sebanyak RM6 bilion. Bayangkan betapa besarnya peruntukan bagi membiayai pelarasan gaji sekiranya SBPA dilaksanakan sepenuhnya berbanding di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Tidak mustahil, tidak sampai lima tahun, Malaysia di ambang kemuflisan kerana terpaksa berhutang menggunakan dana luar melalui penerbitan bon kerajaan. Wang yang dikutip melalui cukai pastinya tidak mencukupi kerana wang tersebut juga digunakan untuk sektor-sektor lain seperti pendidikan dan kesihatan. Tindakan memansuhkan SBPA dengan menggantikan SSM yang ditambah baik adalah tindakan yang mengambil kira kedudukan kewangan negara. Pelarasan gaji kakitangan awam boleh memacu ekonomi domestik negara dengan peningkatan perbelanjaan pengguna. Limpahan ini bukan setakat untuk kakitangan awam tetapi untuk para peniaga yang sentiasa mendambakan peningkatan hasil jualan. Sekali gus ia boleh merancakkan keseluruhan ekonomi negara ketika dunia bergelut dengan krisis ekonomi. Ia umpama pakej rangsangan yang menjadi penampan buat seketika bagi mengurangkan kesan krisis ekonomi terhadap negara kita. Namun demikian, apa yang dikhuatiri adalah kesan terhadap kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Perkara ini acapkali berlaku dan pihak yang berkenaan perlulah bertindak dengan segera agar kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak berlaku. Satu perkara yang cukup menarik adalah Bank Negara Malaysia (BNM), minggu lalu telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus. Ini membayangkan kadar inflasi dijangka stabil dalam tempoh terdekat ini. Dengan pengumuman pelarasan gaji kakitangan sektor awam, inflasi akan meningkat jika pihak berkenaan tidak berusaha mengambil tindakan segera terhadap para peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Ketika itu, BNM berkemungkinan membuat keputusan untuk menaikkan OPR. Kenaikan OPR boleh mengurangkan jumlah pinjaman seterusnya boleh mengurangkan perbelanjaan pengguna. Secara tidak langsung, boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi negara yang mana pada masa akan datang banyak bergantung pada ekonomi domestik berbanding pelaburan langsung asing (FDI).

Justeru, ekosistem ekonomi negara yang baik diperlukan bagi memakmurkan negara merangkumi semua pihak terutama pihak berkuasa dan penguat kuasa yang diamanahkan untuk "menjaga" ekonomi negara. Di samping itu, pengumuman SSM memberi sedikit kelegaan buat para pekerja sektor awam yang bakal menikmati kenaikan Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA). Kenaikan ini sedikit sebanyak boleh meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi yang dirasai oleh para pekerja sektor awam. Kesan kenaikan kos sara hidup yang tinggi bukan sahaja dirasai oleh mereka yang bekerja di bandar-bandar besar tetapi juga mereka yang bekerja dan menetap di pedalaman.

Gaji dan COLA telah dinaikkan, bagaimana pula dengan produktiviti para pekerja sektor awam? Mahu tak mahu, para pekerja sektor awam perlu meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan mereka. Produktiviti sektor awam sekurang-kurangnya perlu ditingkatkan pada paras kenaikan gaji dan COLA. Jika ia berada di bawah kenaikan gaji dan COLA, ia boleh menjejaskan ekonomi negara. Produktiviti adalah antara enjin utama pertumbuhan ekonomi mana-mana negara di dunia. Produktiviti melebihi kadar upah membawa implikasi positif kepada negara. Justeru, dalam keadaan sebegini, tidak menjadi satu masalah untuk kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam pada masa akan datang.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
12 Mac 2012