Oleh SAODAH ABD. RAHMAN
PROF. MADYA DR. SAODAH ABD RAHMAN,
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Wanita Malaysia yang bekerja di luar rumah menghadapi kesulitan untuk mendapat pembantu rumah yang dapat memberi sumbangan yang memuaskan. Ramai wanita Malaysia menghadapi pelbagai masalah apabila pembantu rumah dari Indonesia yang kurang profesional bekerja dengan mereka. Masalah pembantu rumah melarikan diri dari rumah pada waktu malam atau ketika tuan rumah berada di tempat kerja merupakan satu kebiasaan yang dilakukan oleh kebanyakan pembantu rumah Indonesia di negara ini. Sikap pembantu rumah begini menyebabkan ramai wanita Malaysia merasai serik untuk mendapatkan pembantu rumah terutama wanita dari golongan pertengahan dan bawahan. Perbelanjaan untuk mendapat pembantu rumah melalui ejen adalah terlalu mahal. Keadaan begini menyebabkan ramai wanita dalam golongan ini menghantar anak-anak mereka ke rumah rakan atau jiran untuk menjaga anak-anak mereka. Bagi pasangan golongan ini yang mempunyai anak melebihi seorang adalah tidak mungkin bagi mereka menghantar anak-anak ke tempat asuhan yang berlesen. Oleh itu pembantu rumah amat diperlukan oleh mereka bagi mengurangkan perbelanjaan menghantar anak-anak ke rumah jiran dan tempat asuhan kanak-kanak.
Permasalahan begini sepatutnya difikirkan oleh pihak berkuasa dalam negara ini berkaitan pembantu rumah dari Indonesia. Gaji sebanyak RM700 yang dipersetujui oleh pihak berkuasa untuk membawa masuk pembantu rumah dari Indonesia tidak dapat membantu golongan bawahan dan pertengahan di negara ini dalam menghadapi permasalahan pembantu rumah. Persetujuan ini hanya memberi faedah kepada golongan berpendapatan tinggi dan mereka yang melibatkan diri dalam perniagaan. Pihak berkuasa negara ini sepatutnya memahami keadaan dan permasalahan kewangan golongan bawahan dan pertengahan yang mana gaji atau pendapatan bulanan mereka hanya mampu untuk membiayai tempat kediaman, kenderaan dan anak-anak. Bilangan anak yang melebihi daripada seorang yang memerlukan kepada pengasuh sepatutnya dijadikan renungan dan kajian. Tambahan pula Malaysia menghadapi kadar populasi muda yang kurang seimbang dengan golongan tua. Jika golongan bawahan dan pertengahan ini mendapat kemudahan bagi membantu mereka dalam menghadapi permasalahan pembantu rumah maka mereka tidak akan menghadapi permasalahan jika mempunyai bilangan anak yang ramai di mana secara tidak langsung ia boleh mengimbangi kadar populasi di antara golongan muda dan tua dalam negara ini.
Sepatutnya pihak berkuasa Malaysia mengklasifikasikan pembantu rumah Indonesia berdasarkan kepada kebolehan dan kemahiran mereka dalam urusan rumah tangga. Pembantu rumah yang hanya mampu untuk mengasuh dan kurang mahir dalam mengendalikan rumah tangga sepatutnya mendapat gaji minimum kerana tugas mereka mudah dan tidak seteruk bekerja di rumah yang besar yang memiliki taman atau halaman yang luas. Sedangkan golongan bawahan dan pertengahan dalam negara ini memiliki rumah yang kecil dan tidak mempunyai halaman. Oleh itu bidang pekerjaan mereka adalah terlalu terhad di mana gaji manimun adalah bersesuaian dengan mereka. Keluarga golongan bawahan dan pertengahan dalam negara ini hanya memerlukan pembantu rumah untuk mengasuh anak-anak ketika berada di luar rumah dan membantu mereka di dapur. Kerajaan Indonesia sepatutnya memahami kadar bayaran gaji pembantu rumah sebanyak RM700 itu adalah gaji kepada pembantu rumah profesional seperti pembantu rumah dari Filipina.
Kerajaan Filipina menyediakan pusat latihan pembantu rumah di mana individu yang ingin menjadi pembantu rumah di luar negara menjalani latihan di pusat tersebut. Oleh itu apabila mereka mendapat pekerjaan sebagai pembantu rumah di luar negara jawatan dan kedudukan mereka terjamin. Kerana untuk mendapat pembantu rumah dari negara tersebut majikan dari negara luar perlu menguruskannya melalui kedutaan Filipina. Latar belakang majikan dikaji terlebih dahulu sebelum membawa pembantu rumah. Berdasarkan kepada keperihatinan kedutaan Filipina dan sikap profesional pembantu rumah dari negera tersebut maka majikan dalam negara ini tidak menghadapi permasalahan pembantu rumah lari dari rumah kerana pemikiran dan jiwa pembantu rumah telah disemat dengan sikap bekerja untuk mendapat gaji secara profesional. Jika kerajaan Indonesia ingin meletakkan kedudukan pembantu rumahnya bertaraf profesional maka prosedur tertentu perlu dipenuhi supaya majikan dalam negara ini yakin bahawa mereka meringankan beban rumah tangga yang dihadapi oleh majikan walaupun dikenakan bayaran yang tinggi.
Bagi kepentingan kedua-dua negara maka gaji pembantu rumah perlu didasarkan kepada bentuk pekerjaan mereka di negara ini. Jika pembantu rumah Indonesia ditugaskan untuk menguruskan soal pekerjaan yang meletihkan maka gaji yang dikenakan itu mestilah bertepatan dengan tenaga yang disumbangkan olehnya. Penetapan gaji kepada RM700 sebulan bukan sahaja menyebabkan ramai golongan bawahan dan pertengahan gagal untuk mengguna khidmat pembantu rumah malah ia juga akan menganiayai pembantu rumah Indonesia jika bentuk pekerjaan yang dikenakan kepadanya melebihi kadar kemampuan dirinya apabila bekerja dengan majikan yang tidak mempunyai perasaan kemanusiaan. Peristiwa pembantu rumah didera tidak dapat dielakkan kerana penetapan gaji boleh mengunci mulut pembantu rumah jika majikannya mengarahkannya membuat pekerjaan yang tidak sewajarnya.
Perundingan antara majikan dan pembantu rumah adalah cara yang paling baik dan selamat supaya kedua-dua belah pihak berpuas hati. Cara begini juga boleh menjalinkan perasaan kasih sayang antara pembantu rumah dan majikan kerana mereka saling bantu membantu dalam menyelesaikan permasalahan masing-masing. Pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia sepatutnya meneliti permasalahan majikan dalam negara ini juga kerana kadar pendapatan rakyat Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara maju. Oleh itu usah terlalu menekan dalam aspek gaji yang tinggi untuk pembantu rumah Indonesia kerana sikap begini boleh menyebabkan majikan di Malaysia berpaling ke negara lain untuk mendapat pembantu rumah dengan gaji yang berpatutan.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber
Utusan Malaysia
14 Mac 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan