JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 Mac 2012

ISU SOSIAL : APA DOSA DIRANG SEHINGGA DIPERLAKUKAN BEGITU KEJAM

Fauziah Arof


Adik Nurul Nadirah Abdullah telah meninggalkan keluarganya dan kita. Dia pergi dengan cara yang amat meruntunkan hati kita semua. Beberapa hari sebelum itu, kita semua resah dan sangat mengharapkan agar kanak-kanak comel yang baru berusia lima tahun ini berada dalam keadaan selamat, tidak ada apa-apa yang menyakitinya dan segera pulang ke pangkuan keluarganya. Bagi ibu bapanya, Roselyn Alan dan Lima Medeng, apatah lagi. Sejak kehilangan Nurul Nadirah yang dipanggil Dirang, mereka tidak lelap tidur dan mengadakan bacaan yassin dan solat hajat setiap malam, memohon agar anak kecil itu segera dikembalikan. Namun, selepas 12 hari kehilangannya - setelah pergi ke kedai bersendirian dengan membawa bersamanya RM4 dan sekeping nota bertulis mi segera dan telur RM2 berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor, akhirnya kelmarin polis mengesahkan bahawa rangka manusia rentung yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai pada Khamis lalu ialah Nurul Nadirah.

Rangka yang pada mulanya disangka milik orang dewasa itu ditemui di situ setelah lapan hari kehilangan Nurul Nadirah. Tergamam kita semua. Rupa-rupanya anak kecil itu telah dibunuh dan mayatnya dibakar. Rasa sedih, simpati dan marah semuanya bercampur baur. Kenapalah anak kecil ini menerima nasib sebegitu. Apalah salah dan dosa kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa ini sehingga diperlakukan begitu kejam. Tidak dapat kita bayangkan, anak kecil berkenaan terpaksa melalui semua itu dengan ketakutan dan menanggung kesakitan yang amat sangat. Angkara siapakah yang bersifat mengalahkan haiwan ini? Kita berharap agar pembunuh Nurul Nadirah segera dikesan dan akan menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan kejam itu. Sebelum ini masih kukuh di ingatan kita bagaimana adik Nurin Jazlin Jazimin, murid tahun dua hilang ketika ke pasar malam bersendirian di rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju, Kuala Lumpur, lima tahun lalu. Akhirnya polis mengesahkan penemuan mayatnya yang diletakkan dalam beg sukan di hadapan premis di Petaling Jaya, Selangor, selepas 27 hari kehilangannya.

Hasil bedah siasat ke atas mayat Nurin Jazlin mendapati, kanak-kanak itu meninggal dunia akibat didera secara seksual. Sehingga hari ini, penjenayah yang melakukannya masih belum berjaya dikesan. Selepas itu berlaku satu lagi kehilangan kanak-kanak yang sehingga kini belum dapat dikesan, Sharlinie Mohd. Nashar. Dia yang ketika itu berusia lima tahun diculik semasa dalam perjalanan pulang selepas bermain bersama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari 2008. Sehingga kini keluarga mangsa masih menaruh harapan supaya kanak-kanak yang tidak diketahui nasibnya ini pulang kepada mereka. Dan beberapa hari lalu, seorang kanak-kanak lelaki, Wan Hazim Mohd. Khadhir, berusia tujuh tahun turut hilang dari rumahnya di Jalan PJS 10/1, Subang Indah. Mujur dia dijumpai oleh seorang lelaki di tengah-tengah Lebuh Raya Kesas menghala ke Shah Alam, Selangor dua hari selepas itu ketika cuba melintas jalan kira-kira pukul 2 pagi. Bagaimana dia yang berada di rumah boleh hilang dan berjalan hingga ke situ di awal pagi menjadi tanda tanya sehingga kini.

Kita mahu agar episod-episod tragis yang membabitkan kanak-kanak ini tidak ada sambungannya. Berat mata kita yang memandang dan merasa, berat lagi apa yang dilalui dan ditanggung oleh keluarga kepada mangsa-mangsa terlibat. Kita berharap agar kesemua keluarga kanak-kanak malang tersebut tabah menghadapi kehilangan ini dan semoga Tuhan memberikan kekuatan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan ini. Kita semua maklum bahawa perlakuan jenayah di negara ini yang membabitkan pembunuhan, kini tidak mengenal golongan tua, muda, kanak-kanak mahupun bayi. Keselamatan bukanlah satu jaminan mutlak sekiranya kita tidak berhati-hati atau mengambil langkah-langkah pencegahan. Jika zaman dulu, kanak-kanak bebas berseorangan berjalan kaki ke sekolah, ke kedai atau bermain di padang permainan, rumah jiran atau di mana-mana pun, tanpa ibu bapa kita perlu merasa bimbang, tetapi kini kita perlu bimbang. Kita harus bimbang sebab kanak-kanak ini terdedah dengan bermacam-macam perkara berbahaya di luar sana.

Akal penjenayah juga bermacam-macam, ada yang tak perlukan perancangan, apabila terlihat kanak-kanak berjalan berseorangan, niat jahat pun datang, itulah mangsanya. Kita perlu ingat, sudah banyak kes psikoseksual dan keganasan terhadap kanak-kanak berlaku sebelum ini. Maka, jangan sesekali membiarkan anak-anak kecil kita keluar rumah tanpa pengawasan ibu bapa atau orang dewasa. Soal keselamatan kanak-kanak tidak boleh dikompromi. Sedikit kelalaian, akan membuka ruang kepada ‘si jiwa kacau’ ini untuk mengakibatkan padah pada anak kita. Dan dalam hal ini juga, masyarakat kita yang sibuk dengan tugas-tugas harian perlu prihatin dengan apa yang kita lihat. Apabila melihat kanak-kanak berjalan bersendirian, janganlah dibiarkan. Sebaik-baiknya ditanya dan ditemani sehingga selamat sampai ke tempat yang ditujunya. Semua individu dewasa bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang selamat kepada kanak-kanak. Hukuman yang ditetapkan terhadap pembunuh, iaitu mati memang sudah cukup setimpal. Tetapi tahukah dan sedarkah kita bahawa penjenayah tidak sedikit pun berasa gerun dengan hukuman itu selagi mereka tidak diberkas.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
14 Mac 2012

Tiada ulasan: