11 Februari 2012

ISU UMUM : PADERI LAKUKAN 250 PENDERAAN SEKSUAL

Oleh AMIRUDDIN HARUN
s2@utusan.com.my


Bukan satu atau dua tuduhan dihadapi oleh seorang paderi Katolik ini. Sebaliknya sejumlah 250 tuduhan didakwa telah dilakukan oleh lelaki tersebut. Kesemua tuduhan itu melibatkan penderaan seksual yang membabitkan tiga budak lelaki dalam tempoh lapan tahun. Akibat perbuatan keji yang dilakukannya antara 2004 dan 2011, paderi berusia 46 tahun itu akhirnya pada 27 Januari lalu dihukum penjara enam tahun oleh sebuah mahkamah di Jerman. Mahkamah di Braunschweig memutuskan bahawa paderi tersebut didapati bersalah mendera budak-budak lelaki terbabit yang berusia antara sembilan dan 15 tahun. Dua daripada mangsa tersebut merupakan adik-beradik. ''Dia mengambil kesempatan terhadap kepercayaan ibu bapa budak-budak tersebut,'' tegas Hakim Manfred Teiwes semasa menjatuhkan hukuman. Paderi tersebut yang namanya tidak didedahkan, disabitkan atas pertuduhan-pertuduhan berkenaan selepas dia bersetuju dengan rundingan bagi pengakuan bersalah pada peringkat awal perbicaraan kes yang dihadapinya.

Tuduhan penderaan itu telah menggegarkan Gereja Katolik Roman di Jerman sehingga menyebabkan beribu-beribu rakyat negara itu yang berasa kecewa bertindak meninggalkan kepercayaan kepada agama tersebut. Pope Benedict XVI yang berasal dari Jerman turut mengadakan pertemuan singkat dengan mangsa-mangsa penderaan seks oleh paderi itu sewaktu beliau melawat negara kelahirannya itu pada September 2011. Dalam pertemuan tersebut, Pope Benedict melahirkan 'rasa amat kesal dan kasihan' ke atas penderitaan mereka. Dalam kes berkenaan, paderi terbabit dilaporkan memberitahu mahkamah bahawa pada mulanya dia mendera budak lelaki berusia sembilan tahun yang merupakan anak kepada seorang balu. Selepas dilarang oleh pihak Uskup daripada berhubung dengan budak tersebut, dia beralih pula kepada dua beradik lelaki yang berusia sembilan dan 13 tahun. Namun nasib paderi itu tidak selalunya baik apabila dia ditangkap pada musim panas tahun lalu iaitu selepas ibu mangsa yang pertama melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Wanita itu bertindak demikian selepas anaknya yang kini berusia 17 tahun mendedahkan kepadanya tentang penderaan yang dilaluinya selama dua tahun. Perbuatan penderaan seksual terhadap ketiga-tiga budak lelaki itu berlaku di pelbagai tempat seperti di rumah paderi tersebut, semasa percutian bermain ski, di rumah ibu bapa mangsa, semasa perjalanan ke Disneyland, Paris dan di dalam gereja. Menceritakan permulaan kepada perbuatannya itu, paderi tersebut yang menutup mukanya ketika hadir ke mahkamah menyatakan bahawa dia menjalin hubungan rapat dengan balu tersebut ketika bekerja di Braunschweig pada 2004. Apabila dia berpindah ke Salzgitter, anak wanita berkenaan selalu menghabiskan masa hujung minggu bersama-sama lelaki tersebut. Untuk mengumpan mangsa, paderi terbabit mendakwa turut memberi hadiah seperti kamera dan telefon bimbit kepada budak lelaki terbabit.

Penderaan selalunya terjadi tiga kali seminggu. Paderi itu menyatakan, bukan niatnya untuk menjalinkan hubungan secara seksual dengan budak-budak lelaki berkenaan dan tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa dia melakukan sesuatu yang memudaratkan mangsa. Ketika disoal di mahkamah sekiranya dia merupakan seorang fidofilia, menurut akhbar tempatan Braunschweiger Zeitung, paderi itu berkata: ''Adalah salah jika saya kata 'Tidak' tetapi untuk menyatakan' Ya' akan menjurus kepada kebenaran.'' Namun paderi itu hanya mendiamkan diri apabila disoal oleh pihak pendakwaan di mahkamah sekiranya dia berpendapat 'seorang bapa akan melakukan sedemikian kepada anak-anaknya'. Orang awam yang hadir pada prosiding kes itu turut terkejut besar apabila mahkamah diberitahu bahawa hampir 2,800 gambar lucah ditemui disimpan pada komputer milik paderi tersebut.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 FEBRUARI 2012

ISU SOSIAL : PERJUANGAN HOMOSEKSUAL SEMAKIN MENULAR DI SELURUH DUNIA

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Dalam menentukan menang-kalah sesuatu perjuangan, taktik dan ideologi menjadi titik penting, tetapi akhirnya bilangan pengikut 'perjuangan' itu yang menentukan ia berjaya atau tidak. Sama juga untuk agenda 'hak' individu homoseksual atau gay yang mahu masyarakat di sekeliling mereka membenarkan mereka hidup dengan apa sahaja cara mereka mahu, bilangan 'pengikut' akan menentukan menang atau kalah. Minggu ini, antara kejayaan perjuangan gay global adalah membatalkan pengharaman perkahwinan pasangan sejenis oleh Mahkamah Rayuan di California, Amerika Syarikat (AS). Dengan alasan melanggar Perlembagaan dan undang-undang kesamarataan AS, pengharaman perkahwinan pasangan sejenis dibatalkan hakim mahkamah tersebut sedangkan majoriti penduduk California mahu mempertahankan 'perkahwinan tradisional'.

Mungkin tidak begitu mengejutkan bila menyebut golongan gay di AS berbanding Malaysia tetapi ia tetap satu kejayaan besar bagi golongan itu 'menawan' baki 44 daripada 50 negeri di AS yang belum menerima perkahwinan sama jantina sebagai satu norma kehidupan. Bukan sahaja di Eropah dan AS, malahan Afrika, India, China, Jepun, Korea, Asia Tenggara serta rantau Arab juga kini semakin tumpas kepada pelbagai tuntutan golongan gay sama ada untuk bebas berpakaian, pesta atau tapak hiburan khas homoseksual, berkahwin, mahupun warisan harta pasangan dan hak memiliki anak. Di Namibia, golongan gay secara terbuka mencabar norma kehidupan setempat dengan mengadakan pertandingan 'Mr. Gay Namibia' yang membolehkan pemenangnya bertanding di pertandingan 'Mr. Gay Dunia' di Afrika Selatan pada bulan April ini.

Wendelinus Hamutenya, 25, yang menjadi juara Mr. Gay di Namibia baru-baru ini bakal menjadi lelaki kulit hitam pertama dari Afrika yang bertanding sebagai Mr. Gay Dunia. Kebanyakan negara di benua Afrika, kecuali Afrika Selatan, mempunyai undang-undang ketat menghalang aktiviti homoseksual termasuk hukuman mati tetapi berterusan dicabar golongan gay tempatan dengan bantuan pihak luar seperti pertubuhan gay atau pertubuhan hak asasi dari Barat. Ghana dan Tanzania baru-baru ini bertindak tegas dalam menyahut dan menolak sebarang usaha mengugut perundangan anti-homoseksual negara tersebut daripada Britain yang mahu menghentikan bantuan ke negara yang tidak memperakui hak golongan gay. Ancaman Britain itu dikeluarkan Perdana Menterinya, David Cameron tahun lalu selepas ketua-ketua negara Komanwel enggan menerima perubahan untuk menghapuskan undang-undang anti-homoseksual di 41 negara anggota.

Uganda pula menerima kecaman hebat Amnesty International ketika mengemukakan rang undang-undang untuk mengenakan hukuman mati terhadap perbuatan homoseksual yang khusus melibatkan kanak-kanak bawah umur dan penghidap HIV/AIDS. Rata-rata di benua Afrika, media Barat juga berterusan menggunakan kisah kehidupan golongan homoseksual yang ditolak masyarakat setempat bagi menarik sokongan antarabangsa sama ada daripada golongan gay sendiri mahupun mereka yang bersimpati dengan 'perjuangan' tersebut. Malahan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri, Ban Ki-Moon turut menekan pemerintah di rantau Afrika agar menghormati hak golongan homoseksual. Di New Delhi, India pula, perarakan homoseksual kini menjadi acara tahunan sedangkan negara itu dahulu pernah menetapkan hubungan gay sebagai satu perbuatan jenayah sehingga 2009.

Selain acara 'Kebanggaan Gay', festival filem, pesta homoseksual dan parti, India juga kini semakin menjadi destinasi pelancongan tumpuan golongan homoseksual. Israel yang terkenal dengan fahaman ortodoks dalam membentuk negara sendiri di atas tanah Palestin juga tidak terkecuali apabila agenda pusat pelancongan homoseksual diutamakan kepimpinan tertinggi di bandar Tel Aviv. Di Asia Tenggara, Malaysia menjadi fokus komuniti gay global apabila penganjur sebuah program untuk golongan homoseksual mencabar pengharaman program tersebut di mahkamah di samping dakwaan perlakuan songsang terhadap seorang pemimpin politik tempatan. Namun, di semua peringkat pelbagai jenis agama tetap membantah hubungan sama jenis sama ada Islam, Pope di Vatican, Yahudi serta agama-agama lain dunia.

Melihatkan kesukaran mendapat perakuan kepimpinan agama, golongan gay telah beralih kepada usaha gerakan sivil melalui hak asasi dan terjemahan perundangan untuk memaksa dunia menerima cara hidup mereka. Di Malaysia, Afrika, India, Eropah, AS mahupun mana-mana negara dunia, agenda sivil itu hanya boleh berjaya jika golongan homoseksual mempunyai bilangan pengikut dan golongan bersimpati yang lebih ramai berbanding golongan penentang dan ortodoks agama. Seperti mana Britain mengancam sekatan bantuan kepada negara Komanwel jika menolak cara hidup gay, sokongan pelbagai agensi dan pertubuhan pro homoseksual di Barat turut membantu golongan ini mencapai agenda mereka, secara sukarela atau paksa.

Jika kesemua cara itu gagal, kisah kekalahan mereka akan diolah sebagai satu kejadian menyedihkan dalam sejarah manusia bagi membuat semua pihak berasa serba salah dan mengutuk masyarakat serta kepimpinan yang menentang kehidupan songsang homoseksual. Jika dibiarkan terus menular, aktiviti golongan homoseksual akan menarik lebih ramai penyokong dan simpati sehingga akhirnya mereka mampu mengubah sistem sosio-budaya masyarakat setempat. Dengan sokongan kuat dari dalam dan luar negara, tidak mustahil agama mahupun tradisi mana-mana negara akan tumpas kepada tekanan komuniti homoseksual seperti mana India yang kini dilihat menerima gaya hidup tersebut.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 FEBRUARI 2012

ISU IPT : UNIVERSITI TEMPATAN PERLU TERUS DIPERKASA

Oleh Dr Zakri Abdul Hamid
Pengerusi Majlis Profesor Negara dan Penasihat Sains Perdana Menteri


Amanat Tahun Baru 2012 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 26 Januari lalu dengan slogan ‘Berfikiran global bertindak lokal’ adalah suatu ‘tour de force’ yang melakarkan wawasan beliau untuk mencetuskan anjakan paradigma dalam arena pengajian tinggi semasa. Frasa ‘Berfikiran global bertindak lokal’ ini luas digunakan dalam konteks alam sekitar sejak 40 tahun lalu untuk menjelaskan betapa masalah pada peringkat sejagat atau serantau itu hanya boleh diselesaikan pada tahap setempat. Ia juga membawa maksud bahawa sebarang cabaran itu harus diteliti dari dua dimensi: Sejagat dan setempat. Frasa ini mula digunakan oleh seorang rakyat Scotland, Patrick Geddes pada 1915 dalam merangka strategi sebagai seorang perancang bandar. Mohamed Khaled percaya sikap sedemikian dalam kalangan ahli akademik dapat membantu transformasi negara melalui ‘pembinaan modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi, penyelidikan yang bernas dan penghasilan inovasi berimpak tinggi’.

Empat agenda pokok yang boleh merealisasikan slogan ini ialah mewujudkan persekitaran baru kampus; membangunkan modal insan yang unggul dan syumul; meligatkan IPT sebagai hab inovasi dan memperagakan kredibiliti pengajian tinggi Malaysia di pentas dunia.  Unsur penting dalam agenda persekitaran baru kampus ialah pemberian autonomi kepada universiti tempatan, bermula dengan lima universiti yang tertua iaitu UKM, UM, UPM, USM dan UTM. Langkah ini amat dialu-alukan ahli akademik dan melambangkan keyakinan pihak kerajaan mengenai kematangan universiti tanah air dalam menangani isu kebebasan akademik dan daya urus sesebuah universiti itu.  Pemberian autonomi membabitkan governans, kewangan, pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik termasuk kemasukan pelajar memberikan peluang lima universiti di atas bergerak dengan lebih ampuh.  Bagaimanapun, keistimewaan yang dianugerahkan ini juga menuntut akauntabiliti tinggi, dalam erti kata sebarang kelekaan di mana-mana universiti berkenaan tidak boleh dikaitkan dengan kekangan peraturan pentadbiran kerajaan.

Adalah diharapkan dengan autonomi, universiti di tanah air akan lebih berupaya menaikkan kewibawaan dan tahap kecemerlangan mereka setanding dengan universiti terkemuka dunia.  Tatkala membincangkan modal insan syumul dan unggul, amat menarik apabila Mohamed Khaled berhujah bahawa dalam memastikan kejayaan Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), sudah tidak memadai menghasilkan modal insan semata-mata tetapi graduan ini mestilah padat dengan ilmu dan berkemahiran tinggi dan disematkan pula dengan semangat untuk terus berkhidmat di negara ini dan tidak berhijrah keluar.  Menteri Pengajian Tinggi juga menyarankan pembelajaran dan pengajaran di IPT wajar berpaksikan kepada falsafah ‘ilmu dan kemahiran untuk masa depan, dan bukan menyelesaikan masalah semalam.’ Ini memerlukan orientasi semula kurikulum pra dan pascasiswazah dengan menyisipkan konsep pendidikan liberal dan multidisiplin. Pendekatan sedemikian mampu menghasilkan graduan mempunyai keupayaan berfikir lebih terbuka, kritis dan mampu melihat persoalan negara dan cabaran global dari pelbagai sudut.

Sesungguhnya ini sesuatu pendekatan segar dan selari dengan apa yang telah dimulakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini oleh universiti terkemuka di negara maju. Cabaran masa kini begitu kompleks, misalnya masalah perubahan iklim atau pembangunan mapan, hanya boleh diselesaikan melalui pendekatan yang multidisiplin dan rentas sektor.  Sempena 2012 sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional, Mohamed Khaled menggesa agar universiti memainkan peranan utama dalam penciptaan, pembangunan dan penyebaran inovasi. Namun demikian, beliau mengakui pada hari ini masih terdapat kekangan ketara membantutkan usaha melonjakkan inovasi dalam sains dan teknologi.  Bidang sains kurang menarik minat pelajar. Sejak 2007 peratus pelajar sekolah mengambil jurusan sains terus merudum sehingga 29 peratus pada 2012. Trend ini berterusan ke tahap universiti. Pembelajaran sains dianggap sukar dan membosankan dan seterusnya kerjaya sains digambarkan sebagai sesuatu yang kurang menarik dan tidak menguntungkan.

Sains harus ditonjolkan sebagai asas teknologi dan inovasi, dan inovasi ialah kunci transformasi ke negara maju dan kemakmuran rakyat. Beberapa langkah telah dicadangkan oleh menteri termasuk menawarkan biasiswa peringkat PhD dalam bidang sains tulen, penyediaan infrastruktur penyelidikan bersesuaian di universiti tempatan, penubuhan syarikat terbitan universiti untuk memindah-kan hasil penyelidikan ke industri dan laluan kerjaya sains yang jelas dan pelbagai. Kerjasama lebih erat dengan industri akan dijalinkan melalui penubuhan pusat kecemerlangan industri (ICoE).  Komitmen Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperkukuh kedudukan sains di negara ini, agenda yang juga menjadi fokus Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi perlu disokong semua pihak. Langkah KPT yang dilakarkan di atas adalah pakej padat untuk menyokong strategi dan pelan tindakan yang gigih diusahakan Majlis Sains dan Penyelidikan Kebangsaan dan Agensi Inovasi Malaysia.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
BERITA HARIAN
11 FEBRUARI 2012

10 Februari 2012

ISU UMUM : APABILA HUJAN RAHMAT BERTUKAR BENCANA

Pandangan IKIM
Pegawai Penyelidik,
Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Pastinya rata-rata kita sering mendengar ungkapan “hujan itu merupakan satu rahmat”. Namun demikian, sejauh manakah kita menyedari hakikat ini? Lebih-lebih lagi pada hari ini, ungkapan itu seolah-olah sudah tidak relevan terutamanya bagi warga kota seperti di Kuala Lumpur. Malah, setiap kali kedatangan rahmat tuhan ini ia menimbulkan kerisauan kepada penduduk kota. Ini kerana, kadang-kala rahmat itu boleh bertukar bencana apabila kerap berlakunya banjir kilat yang membawa kepada kemusnahan harta benda dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Apabila berlakunya bencana akibat hujan, kita mungkin terlupa akan rahmat sebenar daripada hujan yang diturunkan oleh Allah SWT . Sedangkan kita sering diingatkan bahawa alam ini wujud sebagai satu sistem yang lengkap yang terdiri daripada bahagian-bahagian tertentu yang saling berhubung dan berkait antara satu sama lain.

Misalnya, dalam al-Quran ada disebutkan bahawa Allah SWT menurunkan air dari langit dan membantu menyuburkan muka bumi untuk bercucuk tanam. Seterusnya hasil pertanian akan memberi manfaat kepada manusia dan juga haiwan. Selain itu, hujan yang diturunkan dari langit juga menyerap jauh ke dalam tanah lalu keluar sebagai mata air dan mengalir ke sungai-sungai untuk kegunaan seharian manusia. Hal ini dinyatakan dengan jelas dalam firman Allah SWT (Surah an-Nahl, ayat 10-11) yang bermaksud: “Dialah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak: makan padanya. Dia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanam-tanaman dan pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga daripada segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

Daripada penjelasan ayat di atas, ia memberi gambaran jelas apakah yang dikatakan hujan itu sebagai rahmat. Memang tidak dinafikan hujan turut mengundang bencana, bukan sahaja berlakunya banjir kilat tetapi banjir besar seperti di Thailand dan Myanmar baru-baru ini. Namun, jika dilihat dari sudut positif ia sebenarnya membawa mesej seribu makna kepada kita semua. Malah, lebih tepat lagi sebagai peringatan kepada kita agar berfikir mengapakah ia berlaku dan mencari penyelesaian kepada permasalahan berkenaan. Dengan kejadian bencana yang berlaku, kita seharusnya membuka mata dan membaca apakah mesej di sebalik semua kejadian itu. Jika berlakunya banjir kilat di sesuatu kawasan, pasti ia menunjukkan terdapatnya masalah di kawasan berkenaan. Justeru, sewajarnyalah apabila hujan yang pada asalnya merupakan satu rahmat kepada kita tidak semena-mena bertukar menjadi bencana lantaran kepincangan yang dilakukan oleh kita sendiri.

Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya banjir kilat. Antaranya, ia berkait rapat dengan aktiviti penebus gunaan kawasan tanah hutan (kawasan telap air) secara berleluasa kepada permukaan tidak telap air seperti konkrit, simen dan sebagainya untuk keperluan pembangunan. Jika diimbas kembali, negara kita telah mengalami proses pembangunan yang pesat bermula sejak awal 1960-an lagi dan berterusan sehingga ke hari ini. Dalam tempoh tersebut banyak kawasan hutan ditebang untuk tujuan perindustrian, pertanian dan perbandaran. Situasi berkenaan secara tidak langsung menyebabkan peningkatan jumlah aliran air permukaan sewaktu hujan. Ketiadaan kawasan hutan tadahan menyebabkan proses penyerapan air secara semulajadi oleh akar-akar pokok tidak lagi berlaku bagi melambatkan proses aliran air. Apabila proses ini hilang, maka air akan mengalir banyak ke dalam sungai sehinggakan ia tidak mampu ditampung oleh sungai sekali gus mengakibatkan berlakunya fenomena banjir kilat yang lebih ketara.

Bagi menampung aliran air permukaan, banyak saluran dan longkang konkrit telah dibina. Walau bagaimanapun ia tidak banyak membantu, sebaliknya ia menimbulkan lebih banyak masalah. Lebih-lebih lagi apabila sungai dan sistem saliran yang ada dijadikan tong sampah oleh segelintir daripada kita yang tidak bertanggungjawab. Keadaan ini akan menyebabkan sungai dan sistem saliran menjadi cetek yang seterusnya menyebabkan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat, sungai yang menjadi cetek tidak dapat menampung atau mengalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai melimpah ke tebing dan banjir kilat akan menjadi perkara lazim. Selain itu, proses perbandaran yang tidak terancang dan mengikut garis panduan yang sewajarnya juga menjadi punca kepada berlakunya banjir kilat. Misalnya, melalui proses perbandaran menyebabkan banyak kawasan dipermodenkan. Lebih memburukkan keadaan apabila kawasan tanah rendah ditebusguna dengan mengambil tanah daripada kawasan bukit. Pembukaan tanah bukit untuk pembangunan akan menyebabkan berlakunya hakisan tanah secara berleluasa dan mempercepatkan lagi kadar aliran air permukaan apabila berlakunya hujan lebat.

Ini akan menyumbang kepada berlakunya kejadian tanah runtuh seterusnya akan mencetekkan dasar sungai akibat daripada pemendapan kelodak. Malah, lebih memburukkan keadaan apabila ada juga di antara anak-anak sungai yang ditimbus untuk dijadikan tapak pembangunan. Aktiviti-aktiviti seumpama ini akan menyebabkan berlakunya kejadian banjir kilat secara berleluasa dek kerana berkurangnya sistem saliran yang boleh menampung kuantiti air yang banyak. Sampai bilakah kita hanya ingin menjadi penonton kepada bencana alam yang berlaku tanpa mengambil sebarang inisiatif untuk menanganinya? Sedangkan apa yang berlaku adalah rentetan daripada sikap rakus kita sendiri yang memandang mudah kepada peringatan-peringatan Allah SWT yang banyak dinukilkan di dalam al-Quran.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 FEBRUARI 2012

ISU ICT : KEMENANGAN MELINDUNGI DATA PERIBADI

Oleh ZULKIFLI JALIL


Perasmian Jabatan Perlindungan Data Peribadi di Kuala Lumpur semalam memberi makna yang cukup signifikan kepada negara. Dikatakan usaha kerajaan untuk mengiktiraf kepentingan individu melalui usaha-usaha perlindungan data peribadi telah diberi pengiktirafan setimpal. Bercakap kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Angkasapuri selepas penyempurnaan pejabat berkenaan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu, Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709) 2010 atau APDP yang diperkuatkan menerusi penguatkuasaan tersebut memberi manfaat besar kepada e-dagang. "Ia secara tidak langsung melunaskan kemajuan e-dagang yang hebat sekarang yang menjana pendapatan urusniaga 'atas angin' antara RM2.6 bilion hingga RM2.8 bilion," kata beliau. APDP dirancang sejak 2001 semasa Rais menjadi Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri. Dalam tempoh 11 tahun, pelbagai perkembangan berlaku dan kajian mendalam dibuat untuk penghasilan akta yang berkesan. Justeru, pada 2010 ia diluluskan oleh Parlimen.

Memakan masa setahun untuk penyediaan pejabat dalam menguruskan aspek penguatkuasaan, maka hasilnya tercapai semalam. Tujuannya adalah bagi melindungi sambil memproses data peribadi individu atau rakyat dalam persekitaran komersial atau urus niaga. "Matlamat akta ini jelas diterterakan memandangkan dalam dunia moden sekarang, data peribadi banyak disalahgunakan oleh peniaga dan penyimpan rekod seseorang," kata Rais. Apakah data peribadi? Ia termasuk akaun bank, kad kredit dan juga hal-hal berhubung kesihatan, jenis darah, pola-pola DNA dan sejarah kesihatan seseorang. Berhubung kesihatan, ia dinamakan data peribadi khas. Menerusi akta ini, undang-undang melindungi seseorang daripada dipermain atau disalahgunakan data mereka diperkenalkan. Misalnya, semasa berurusan dengan orang tertentu yang menggunakan data itu mengikut selera perniagaan mereka. Antaranya, data peribadi itu digunakan untuk urusan-urusan melibatkan 'online' terutama kredit kad.

Jika penyelewengan data peribadi berlaku, mangsa boleh membuat aduan kepada pesuruhjaya atau Jabatan Perlindungan Data untuk membolehkan siasatan dibuat. "Jika siasatan didapati membuktikan kesalahan pelaku, maka hukuman denda atau pemenjaraan boleh dijatuhkan. Pemenjaraan melibatkan purata antara setahun hingga tiga tahun manakala denda sekitar RM50,000 ke RM300,000," kata beliau. Senarai data peribadi di bawah APDP boleh ditambah pihak berkuasa mengikut tuntutan persekitaran kehidupan. Bagaimanapun, butiran atau informasi mengenai kredit 'rating' seseorang diletakkan di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 dan dengan demikian berada di luar bidang kuasa APDP. "Wajar ditegaskan APDP mengandungi tujuh prinsip ulung yang wajib dipatuhi di bawah Seksyen 5 (1) demi menjaga keutuhan data peribadi," kata Rais.

Pertama, seseorang pengguna tidak dibenarkan memproses data peribadi seseorang lain tanpa kebenarannya. Pengertian proses di sini harus dimengertikan sebagai mengendalikan data melalui cara atau kaedah automatis atau pengkomputeran atau apa-apa proses lain. Kedua, mesti mematuhi prinsip Notis dan Pilihan di mana makluman dan tujuan awalan dimaklumkan kepada subjek data berkenaan. Ketiga, ialah prinsip penzahiran tujuan data peribadi seseorang subjek itu demi mengenal pasti maksud yang baginya data peribadi itu hendak dizahirkan. Keempat, prinsip keselamatan - apabila memproses data peribadi mana-mana subjek, mengambil langkah supaya data tersebut selamat, tidak diubahsuai, disalahguna atau tidak hilang atau diberikan kepada pihak-pihak berkenaan. Kelima, prinsip penyimpanan: sesuatu data peribadi itu tidak dibenarkan disimpan di dalam sesuatu pemprosesan lebih daripada had masa yang diperlukan. Keenam, prinsip integriti data - setiap data peribadi dipastikan supaya tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini menepati maksud sesuatu data itu disimpan dan diproses. Ketujuh, prinsip akses: seseorang hendaklah diberi hak akses kepada data peribadinya yang dipegang oleh seseorang pengguna data dan juga boleh membetulkan datanya itu supaya terkini.

"Dengan adanya prinsip-prinsip tersebut, maka akan wujud keyakinan dalam kalangan pengguna-pengguna, pengamal e-dagang, kemudahan rangkaian dan bukan rangkaian bahawa maklumat-maklumat mereka adalah dilindungi," kata Rais. Cuma, kata beliau, di bawah perundangan ini, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dikecualikan daripada aplikasi akta ini. Ini bagi memberi ruang dan hak untuk kerajaan menggunakan data peribadi asas seseorang untuk diproses susulan maksud pentadbiran yang sah di sisi undang-undang. Ketika ini, lebih 100 negara telah atau sedang memperkenalkan perundangan perlindungan data peribadi kerana persekitaran transaksi tanpa sempadan. Ini memandangkan ia melibatkan aliran maklumat secara terbuka melalui rangkaian elektronik ke seluruh dunia. Dan dapat dirumuskan bahawa kewujudan perundangan ini dapat antara lain, membantu Malaysia menjadi:

i) Pusat komunikasi dan perdagangan elektronik.

ii) Lokasi pelaburan dalam industri dan multimedia yang menarik

iii) Rakan perdagangan antarabangsa yang boleh memberi jaminan perlindungan data peribadi mengikut piawaian antarabangsa.

Keselamatan, integriti dan perlindungan peribadi merupakan faktor asas kepada peralihan negara dari sebuah ekonomi berasaskan kepada pengetahuan bernilai tinggi melalui sokongan infrastruktur ICT. "Masalah yang timbul kini alah untuk mewujudkan sistem penguatkuasaan yang kemas memandangkan jabatan ini masih baru. "Fasa pertama kini ialah melatih pegawai-pegawai yang berkaitan penguatkuasaan. "Semoga Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi melaksanakan prinsip ini demi keutuhan masyarakat yang bakal dilahirkan untuk generasi akan datang," kata Rais.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 FEBRUARI 2012

09 Februari 2012

ISU KEWANGAN : KEKAL SYARAT PINJAMAN ASAL UNTUK KEBAIKAN SEMUA


Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk kelayakan permohonan pinjaman perlu berdasarkan pendapatan bersih dijangka memberi kesan tidak langsung kepada penjawat awam. Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, garis panduan berkenaan dijangka memberi kesan baik kepada penjawat awam untuk jangka masa panjang, namun dalam masa sama ia boleh memberi tekanan sekiranya ada di kalangan mereka yang benar-benar memerlukan pinjaman. Kita tahu langkah BNM adalah untuk mendidik orang ramai daripada membuat pinjaman melebihi kemampuan kewangan mereka, namun ia seharusnya diperhalusi dan sepatutnya diguna pakai hanya untuk segelintir kumpulan saja. Ini kerana ada di kalangan penjawat awam yang menerima gaji bersih sekitar RM200 hingga RM400 saja dan berapa pula pinjaman yang mereka boleh dapat daripada jumlah berkenaan sedangkan ia perlu untuk menampung perbelanjaan lain,” katanya.

Menurutnya, garis panduan berkenaan sesuai diguna pakai untuk individu yang mempunyai pendapatan tinggi sebaliknya ia tidak sesuai untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Mana-mana individu pasti akan berhutang dan ia bergantung kepada usaha mereka untuk melunaskan hutang berkenaan walaupun terpaksa mencari pendapatan sampingan bagi menampung hutang itu. Pada pendapat saya, pihak bank seharusnya kekal dengan kelayakan pinjaman mengikut gaji kasar kerana ia lebih relevan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya. Omar berkata, sekiranya syarat kelayakan itu tidak dikaji semula, pihaknya bimbang lebih banyak individu akan beralih kepada pemberi pinjaman tidak berlesen yang menawarkan pinjaman lebih mudah tanpa syarat ketat. Kita bimbang lebih ramai akan memilih pinjaman tidak berlesen yang menawarkan pelbagai pinjaman mudah hanya kerana mahu membeli kenderaan untuk ke tempat kerja kerana gagal membuat pinjaman melalui institusi kewangan berlesen,” katanya.

BNM mengumumkan bahawa berkuat kuasa 1 Januari lalu, pihaknya menetapkan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang menetapkan kelayakan permohonan pinjaman bank perlu berdasarkan pendapatan bersih dan bukan lagi pendapatan kasar pemohon. Dalam usaha mengurangkan hutang isi rumah di negara ini yang masih terkawal, BNM juga mengehadkan tempoh pembiayaan pinjaman kenderaan hanya selama sembilan tahun berbanding 11 tahun sebelum ini. Di bawah garis panduan tanggungjawab pembiayaan baharu itu, permohonan pemohon juga dinilai berdasarkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai serta mengambil kira semua tanggungan hutang semasa. Bagaimanapun, permohonan itu hanya membabitkan segmen runcit seperti pembiayaan kediaman, kenderaan, kad kredit dan kad caj, pinjaman peribadi termasuk kemudahan overdraf serta pembiayaan bagi pembelian sekuriti kecuali pembiayaan margin saham.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
HARIAN METRO
9 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : INSENTIF KHAS UNTUK GALAK DOKTOR PAKAR BERKHIDMAT DI PEDALAMAN


Antara inti pati penting terkandung di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu ialah ‘Mentransformasi Penjagaan Kesihatan Untuk Mempertingkat Kualiti dan Menyedia Aset Sejagat’. Menerusi proses transformasi itu, penjagaan kesihatan yang bertambah baik diharap akan menyumbang kepada tenaga kerja lebih produktif, yang juga teras menjadikan Malaysia sebagai tempat lebih baik untuk didiami. Dalam RMKe-10 itu juga, kerajaan mahu penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan sekunder dan tertiari diperkukuh, manakala perkhidmatan penjagaan primer akan diperluas ke kawasan yang kurang mendapat liputan perkhidmatan. Untuk itu, kerajaan menyediakan Klinik 1Malaysia dan Inisiatif Klinik Bergerak 1Malaysia bagi memberikan perkhidmatan kesihatan asas yang pantas dan murah kepada golongan berpendapatan rendah. Langkah Kementerian Kesihatan mewajibkan doktor pakar berkhidmat di luar bandar dan pedalaman, termasuk Sabah dan Sarawak selama enam bulan sebelum dihantar bertugas di kawasan lain seperti dilaporkan akhbar ini kelmarin memperlihatkan kerajaan benar-benar mahu setiap rakyat menerima perkhidmatan perubatan terbaik dan pada masa sama dapat mengimbangi penempatan doktor di kedua-dua kawasan berkenaan. Kita percaya langkah itu selain meningkatkan mutu perkhidmatan perubatan di pedalaman, ia juga memberi pengalaman dan pendedahan berharga kepada doktor pakar. Kesediaan mereka berkhidmat di mana saja, walaupun sudah bergelar pakar menaikkan imej profesion itu.

Oleh itu adalah wajar pengorbanan doktor pakar itu dihargai. Kerajaan patut menyediakan insentif perkhidmatan dan keistimewaan lain kerana bukan mudah bagi mereka mengharungi cabaran apabila berada di pedalaman. Selain berkemungkinan terpaksa bertugas lebih masa setiap hari merawat pesakit dan menempuh pelbagai dugaan seharian kerana kekurangan kemudahan infrastruktur, tidak mustahil mereka juga mudah mengalami tekanan emosi sehingga boleh menjejaskan perkhidmatan. Kita berharap kerajaan dapat menimbang mewujudkan insentif atau elaun tertentu kepada mereka yang dihantar bertugas di pedalaman sebagai tarikan untuk menabur bakti di sana. Pada masa sama, kita berharap tidak berlaku ‘pembaziran tenaga doktor pakar’ di kawasan tertentu jika nisbah jumlah pesakit yang mendapat rawatan di luar bandar lebih rendah berbanding di bandar. Kerajaan juga perlu membekalkan kelengkapan perubatan moden di hospital atau klinik tempat doktor terbabit bertugas bagi memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan sebaik mungkin. Tanpa peralatan yang baik, matlamat menghantar mereka bertugas di pedalaman tidak mungkin tercapai.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
BERITA HARIAN
Ruangan Minda Pengarang
9 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : BERHATI-HATI DENGAN AGENDA NGO PRODEMOKRASI

Azmi Hassan
GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM 
dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


Mungkin ramai masyarakat antarabangsa terpinga-pinga dengan keputusan Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) Mesir untuk mengenakan tuduhan kesalahan jenayah ke atas 43 pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana ia bertentangan dengan aspirasi revolusi rakyat yang mahukan Mesir ditadbir secara demokrasi. Menjadi kemusykilan adalah ke semua NGO tersebut sedikit sebanyak terlibat dalam usaha memperkenalkan demokrasi kepada rakyat Mesir dan secara dasarnya SCAF sepatutnya menerima baik kehadiran mereka. Menjadi lebih menarik lagi adalah 19 daripada yang dituduh terdiri daripada rakyat Amerika Syarikat (AS) yang bertugas dengan empat NGO Amerika iaitu Institut Demokrat Kebangsaan (NDI), Institut Republikan Antarabangsa (IRI), Pusat Pemberita Antarabangsa (ICJ) dan Freedom House (FH). Tidak menghairankan jika tuduhan tersebut berlaku sama ada di Rusia, China atau Venezuela kerana beberapa NGO terutama sekali seperti NDI dan IRI dipandang serong tentang niat sebenar mereka menabur bakti demokrasi di negara asing.

Sememangnya kedua-dua NGO ini telah beroperasi di Mesir sejak dari era Hosni Mubarak lagi tetapi inilah kali pertama pekerja NGO tersebut dituduh melakukan kesalahan jenayah yang antara lain beroperasi tanpa permit dan membantu rakyat Mesir untuk kepentingan asing. Tuduhan kedua dianggap begitu sensitif kerana inti patinya ada kena-mengena dengan kegiatan subversif yang boleh menggugat kedaulatan sesebuah negara. Perlu ditekankan bahawa syak wasangka sebegini sebenarnya yang menjadi masalah utama dengan kehadiran NDI atau IRI di negara luar AS. Perlu diingatkan kembali pada tahun lepas beberapa parti politik dan NGO Malaysia telah disyaki ada menerima dana kewangan dari NDI dan IRI untuk menjalankan aktiviti harian mereka. Tindakan SCAF Mesir dianggap begitu terdesak kerana Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton telah memberi amaran bahawa bantuan ketenteraan AS$1.3 bilion dan ekonomi berjumlah AS$250 juta yang telah diperuntukan oleh Washington akan ditarik balik jika tuduhan tersebut tidak dibatalkan.

Jika kedua-dua bantuan tersebut ditarik balik, maka tentera Mesir bakal menerima kesan yang paling ketara kerana selama lebih dari tiga dekad organisasi tentera tersebut amat bergantung kepada dana Amerika. Untuk menyelami mengapa SCAF mengambil tindakan begitu drastik yang boleh memudaratkan diri sendiri adalah dengan meneliti agenda NDI dan IRI itu sendiri. Kedua-dua NGO tersebut mempunyai kaitan yang agak rapat dengan parti politik Demokrat dan Republikan AS dan sudah pastinya setiap agenda akan menjaga kepentingan Amerika. Tetapi apa yang lebih penting adalah kedua-dua NGO tersebut yang ditubuhkan pada 1980an oleh pentadbiran Presiden Ronald Reagan adalah untuk mengambil alih peranan aktiviti politik negara asing yang dipelopori oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA). Pada 1960an dan 70an agensi tersebut bergiat aktif untuk mewarnai suasana politik negara asing dengan memberi sogokan wang kepada ahli politik yang boleh dibeli. Setelah kegiatan CIA itu terbongkar, Reagan mengambil keputusan menubuhkan NDI dan IRI untuk melakukan tugas yang agak selari dengan CIA tetapi secara terbuka dan mengikut lunas undang-undang tempatan.

Kegiatan aktiviti demokrasi NDI dan IRI di Mesir bukan calang-calang kerana mereka mempunyai dana yang begitu lumayan untuk diagihkan kepada NGO lain di Mesir. Pada Mac lepas, Washington memperuntukan geran sebanyak AS$65 juta untuk NGO Mesir dan sebahagian besarnya adalah untuk NDI dan IRI. SCAF merasa begitu curiga terhadap kegiatan NDI dan IRI kerana begitu percaya ia boleh menggugat kestabilan Mesir. Sebabnya demonstrasi yang berterusan masih berlaku terutama sekali di Dataran Tahrir disyaki angkara dan dorongan kedua-dua NGO ini. Terdapat tuduhan bahawa operasi NDI dan IRI adalah begitu licik sehinggakan mampu mencetuskan huru-hara atau menjatuhkan sesebuah kerajaan negara asing. Tumbangnya pemerintahan Yugoslavia Slobodan Milosevic pada tahun 2000 disyaki didalangi oleh NDI dan IRI. Begitu juga dengan meletusnya Revolusi Mawar rakyat di Georgia pada 2003 dan Revolusi Orange rakyat Ukraine pada tahun berikutnya, ramai yang menuduh NDI dan IRI menjadi dalang di sebalik tabir. Sebab itu pada 2006, Presiden Rusia pada ketika itu Vladimir Putin memperkenalkan undang-undang mengekang NGO asing yang berkait dengan aktiviti demokrasi.

Ada yang menuduh tindakan SCAF adalah kerana pertembungan kuasa dengan kumpulan Ikhwan Muslimin yang mengusai sebahagian besar Parlimen Mesir. Mungkin SCAF ingin mempamerkan bahawa mereka tidak mengikut telunjuk Washington dan berani mengambil tindakan menongkah arus. Tetapi mungkin ada juga kebenaran kebimbangan SCAF terhadap aktiviti NDI dan IRI kerana di Mesir terdapat 69 NGO antarabangsa dan 23 daripadanya adalah berpengkalan di AS dan tindakan undang-undang hanya dikenakan pada empat NGO Amerika iaitu NDI, IRI, ICJ dan FH yang dikatakan beroperasi secara haram. Apa yang dilakukan oleh SCAF adalah mengikut lunas undang-undang Mesir dan sebab itu pekerja NGO tersebut bakal dibawa ke pengadilan mahkamah. Adalah begitu ironis sekali jika NDI dan IRI begitu gah dengan aktiviti demokrasi mereka tetapi menjalankan aktiviti mereka secara tidak sah di Mesir. Adalah begitu mengaibkan sekali jika NGO Amerika itu cuba memberi tunjuk ajar demokrasi kepada rakyat Mesir sedangkan pertubuhan tersebut langsung tidak menghormati kehendak undang-undang Mesir.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 FEBRUARI 2012

08 Februari 2012

ISU UMUM : CINTA PENSYARAH KOREA TERHADAP TULISAN JAWI


Ketika budaya K-pop popular dan diminati kalangan generasi muda negara ini, seorang ahli akademik Korea Selatan pula mengakui beliau menyukai tulisan jawi. Prof. Dr. Kang Kyoung Seok dari Busan University of Foreign Studies, mempunyai pandangan tersendiri mengenai tulisan jawi dan budaya Melayu. Dr. Kang, 57, yang fasih berbahasa Melayu, begitu meminati semua perkara mengenai tulisan jawi yang disifatkannya begitu indah. “Budaya Melayu ini, daripada lagunya, bahasanya, semua amat halus dan lembut membuatkan saya jatuh cinta terutama lenggok tulisan jawi,” katanya. Cinta Dr. Kang kepada tulisan jawi berputik pada tahun 1974 ketika belajar di sebuah universiti di Korea Selatan. “Pensyarah saya masa itu beritahu bahawa Malaysia memiliki tulisan unik diberi nama tulisan jawi. Bila saya tanya apa itu tulisan jawi, pensyarah saya tidak tahu. “Di Korea masa itu tiada buku tulisan jawi, rujukan mengenai jawi pula amat kurang. Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengkaji tulisan ini,” katanya.

Pada 1982, pertemuan Dr. Kang dengan seorang pendakwah Islam bernama Abdul Ghani yang berasal dari Pattani, Thailand di Busan, merupakan titik penting percintaannya dengan tulisan jawi. Melalui Abdul Ghani, Dr. Kang mengenali huruf jawi dan sistem penulisan itu. Buku tulisan jawi bertajuk Sejarah Melayu Pattani, menjadi kegemarannya pada masa itu. Dr. Kang membulatkan tekadnya untuk pergi ke Malaysia bagi mendalami tulisan jawi. Pada tahun 1984 impiannya menjadi kenyataan apabila mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Malaya. Namun persepsi rakyat Korea Selatan terhadap Malaysia pada masa itu menjadi cabaran besar bagi Dr. Kang dalam merealisasikan impiannya. “Masa itu Korea Selatan tidak mengenali Malaysia seperti sekarang. Kita sekarang kawan baik. Dulu orang Korea tengok Malaysia sebuah negara yang mundur, miskin dan banyak masalah. “Ibu bapa saya masa itu menangis tidak mahu benarkan saya pergi Malaysia. Tetapi saya sudah cintakan tulisan jawi. Saya mahu pergi belajar tulisan itu di Malaysia,” katanya.

Setelah melakukan kajian terhadap tulisan jawi sejak sekian lama, Dr. Kang mengakui amat tertarik dengan kitab al-Quran yang disifatkanya sebagai anugerah paling bernilai buat umat Islam di seluruh dunia. “Paling menarik perhatian saya bagaimana tulisan jawi dalam kitab al-Quran mampu menghasilkan cara bacaan yang amat indah sekali. Saya selalu dengar orang baca di tilawah al-Quran, amat indah dan buat jiwa saya tenteram,” katanya. Dr. Kang berkata generasi muda Malaysia sekarang tidak menyedari betapa bertuahnya mereka memiliki sebuah warisan unik yang menjadi identiti dan penyambung legasi bangsa. “Tulisan jawi sekarang sudah tenat. Tidak ramai generasi muda tahu membaca dan menulis jawi. Bilangan pakar jawi juga semakin berkurangan kerana ramai pakar yang saya kenali telah bersara tanpa ada pengganti,” katanya. Dr. Kang menyertai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pensyarah pada 2010. “UPSI sebuah universiti yang mendidik guru. Jadi bila saya ajar guru ini tulisan jawi, mereka akan ajar tulisan jawi ini kepada anak murid mereka, yang juga generasi muda negara ini. Maka semakin ramai tahu tulisan jawi,” katanya.

Beliau berkata pelbagai langkah perlu diambil oleh pihak berkuasa pendidikan supaya kembali kepada sistem ejaan jawi Za’ba yang lebih ringkas dan mudah difahami. Media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas. Dr. Kang berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat Malaysia. Selain itu, pihak terlibat seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu memainkan peranan dalam menterjemah lebih banyak buku ke tulisan jawi.



Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 FEBRUARI 2012

ISU KESIHATAN : HADAPI TEKANAN SECARA ISLAM

Oleh Profesor Dr. Osman Che Bakar


Ramai yang tertekan serta menderita apabila mengalami peristiwa atau musibah seperti kerosakan harta benda, kehilangan atau kegagalan dalam kerjaya, percintaan atau rumah tangga dan sebagainya. Musibah atau tekanan adalah satu peristiwa yang ditakuti dan tidak dikehendaki oleh mana-mana individu di dalam kehidupan seharian. Majoriti daripada kita akan bertindak-balas secara spontan sama ada mengeluh, memaki-hamun dan marah terhadap seseorang malah ada pula yang marah kepada takdir Tuhan. Individu yang terbabit dengan musibah mengalami gejala-gejala tekanan seperti bimbang, hilang tumpuan, cepat marah, tidak dapat tidur, hilang selera makan dan lain-lain lagi. Berdasarkan personaliti serta cara seseorang menangani sesuatu tekanan, ada yang merasakan kehidupannya sudah tidak bererti, menjadi panik dan merasakan yang dunia ini kejam terhadapnya. Situasi ini akan lebih menyakitkan apabila ada pula insan sekeliling yang memberi ulasan-ulasan negatif.

Sering dikatakan musibah didatangkan sebagai hukuman atau peringatan daripada Allah SWT tetapi hakikat dan tujuan yang sebenar, hanya Allah yang maha mengetahui. Bolehkah kita mentakrifkan apa yang ditentukan Allah SWT mungkin benar atau sebaliknya. Lupakah kita ujian-ujian yang dilalui oleh para sahabat Rasulullah dan para nabi jauh lebih hebat dan apakah mereka ini melakukan banyak kesalahan serta kita lebih baik daripada mereka? Tetapi sebagai seorang Islam, kenapa kita tidak melihat dan pelajari akan apa yang difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran serta sunah Rasulullah melalui hadisnya. Allah SWT menegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 286, bahawa Dia tidak memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ini bermakna setiap individu yang mengalami musibah tersebut akan mampu mengatasinya . Kerap seseorang individu menjadi kecewa, marah dan susah hati apabila sesuatu hajat yang diingini tidak berjaya atau sesuatu perkara lain pula yang berlaku.

Mereka lupa akan firman Allah SWT; ”Adakalanya sesuatu itu tidak baik bagimu meskipun kamu begitu menghendakinya dan adakala pula sesuatu itu baik bagimu meskipun kamu tidak menyukainya, sesungguhnya aku mengetahui tetapi kamu tidak mengetahuinya”. Kita terlalu mengharapkan keseronokan, kemudahan serta kenikmatan dunia, sudah tentu ia tidak salah kerana itu adalah sifat naluri seseorang manusia. Allah SWT juga menyuruh kita berbuat demikian seperti firmannya; “Dan hendaklah kamu mencari kebaikan akhirat dan jangan lupa habuan kamu di dunia.” Masalahnya, ramai di antara kita tidak mempedulikan janji Allah SWT tentang kehidupan akhirat yang mana ia adalah kehidupan yang kekal sebenarnya dan lebih baik. Jika kita benar bertakwa dan yakin, majoriti daripada tekanan yang kita alami tidak memerlukan kita bersedih dan merasa kecewa yang melampau bahkan dapat melihatnya secara lebih positif.

Pun begitu, janganlah ada antara kita beranggapan kita tidak memerlukan rawatan dan ubat-ubatan bahkan menasihati ahli keluarga atau rakan yang mengalami tekanan untuk tidak mendapatkan rawatan memadai hanya dengan reda. Ramai antara kita yang tersalah faham mengenai konsep reda dalam Islam. Reda pada Islam bukan bererti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa disusuli dengan usaha dan ikhtiar. Ubat-ubatan dan kaunseling akan melengkapkan proses pemulihan emosi seseorang individu. Dapatkan nasihat daripada mereka yang mempunyai pengalaman mengatasi masalah tersebut, berkongsilah masalah anda dengan saudara-mara atau rakan karib atau mana-mana individu yang anda percaya dapat membantu. Cubalah amalkan mengambil sikap terbuka dan fikirlah secara positif dan objektif dalam usaha menyelesaikan sesuatu kesulitan.

Bermula sekarang, kita harus mengambil pendekatan tidak mengeluh bahkan banyakkanlah menyebut Allahuakbar, Subhanallah, Astaghfirullah berulang-kali kerana jika kita mengeluh, memaki hamun contohnya apabila terpijak paku, kita meneriak celaka sambil memaki hamun, percayalah kita akan lebih merasa sakit. Tetapi jika kita ingat dan yakin akan apa yang diberitahu Allah SWT dan ajaran Rasulullah, kita akan merasa kurang sakit, reda serta mendapat limpahan keampunan dan rahmat Allah SWT. Kita hendaklah bersabar dan banyak berdoa serta dapatkan rawatan dan pertolongan supaya kita beroleh kejayaan, di dunia apalagi di akhirat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
8 FEBRUARI 2012

ISU KESIHATAN : KEBAIKAN DAN KEBURUKAN YOGA PADA KESIHATAN


Jika sebelum ini ketika yoga difatwakan haram untuk diamalkan oleh umat Islam ia telah mencetuskan isu dan polemik di negara ini. Kini, perkara yang sama juga berlaku di New York, Amerika Syarikat (AS). Tetapi, bagi masyarakat barat isunya tentu bukan soal halal haram atau yang berkaitan akidah tetapi yang membabitkan kesihatan. Para pengamal yoga di kota raya itu ada yang tersinggung, terkejut malah akan yang terus menghentikan amalan itu apabila satu artikel yang disiarkan dalam seksyen majalah akhbar New York Time edisi Ahad mendakwa aktiviti yoga memudaratkan tubuh pengamalnya. Sedangkan di New York, sudah menjadi pemandangan biasa bagi golongan wanita profesional muda dan langsing ke pejabat sambil mengepit tikar yoga di ketiak mereka. Mereka berpusu-pusu menyerbu pusat yoga sama ada sesudah subuh sebelum waktu bekerja bermula atau ketika masa rehat makan tengah hari. Matlamatnya ialah untuk kekal langsing, cantik dan sihat.

Di AS, malah di Britain jutaan penduduknya mengamalkan yoga setiap hari. Tetapi artikel dalam New York Time menyatakan yoga boleh merosakkan badan mula mencetuskan keraguan di kalangan para pengamal terbabit dan dikatakan akan menjejaskan industri itu secara keseluruhannya. Artikel yang bertajuk Bagaimana yoga boleh merosakkan tubuh anda itu dikatakan telah menyebabkan pengamal-pengamal senaman itu di AS berfikir dua kali. Rencana yang dimuatkan dalam beberapa muka surat dalam seksyen majalah akhbar New York Time keluaran hari Ahad itu ditulis oleh penulis sains kanan akhbar itu, William Broad. Dalam artikelnya Broad mendakwa para pelajar dan juga para jurulatih yoga mencederakan diri mereka apabila terlalu didorong oleh cita-cita melampau dan kurangnya pengetahuan terhadap sesuatu pergerakan yoga. Dia memetik pandangan bekas pengamal yoga veteran Glenn Black, yang mengalami kecederaan belakang serius selepas beberapa tahun mengamalkan amalan yoga.

Black berkata: "Orang ramai sepatutnya meninggalkan amalan yoga kerana ia cenderung untuk mendatang kecederaan yang serius." Sudah tentu artikel Broad dan pandangan Black itu mendapat tentangan dan kritikan daripada wakil-wakil dari industri yoga yang membabitkan AS$5 bilion setahun dan kira-kira 20 juta pengikutnya - bertambah lima kali ganda berbanding 10 tahun lalu. Sensasi, memalukan dan mengelirukan itu antara reaksi terhadap artikel itu daripada para pengamal dan pengikut yoga. "Saya terperanjat. Yoga telah mengubah hidup saya dan saya suka berlatih yoga - ia menjadikan saya lebih sihat dan lebih tenang. Badan saya terasa lebih segar," katanya Jurutera Sistem, Susan Davies, 28, yang menyertai kelas di Central Park dua kali seminggu. Katanya, dengan mengamalkan yoga hidupnya lebih seimbang, yakin dan lebih berkesan di tempat kerja. "Kawan-kawan saya yang melakukan yoga juga berkata demikian," kata Davies.

Paula Tulsi yang mengendalikan pusat yoga di Manhattan berkata, kontroversi itu cukup besar kesannya. "Mereka yang berada di keliling saya menjadi gila kerana ramai yang mahu mencuba yoga. Tetapi sekarang mereka takut kerana fikir yoga memberikan kesan buruk. Ia sesuatu yang tragik dan menyakitkan hati. "Ini merupakan satu penghinaan kepada komuniti yoga," katanya. Terapi urut Eddie Rodriguez, yang mengendalikan pusat terapi fizikal pula berpendapat kebanyakan pusat yoga terlalu sesak. Orang ramai pula katanya, tidak sedar bahawa kebanyakan jurulatih yoga tidak terlatih walaupun mereka kelihatan seperti berpengalaman. "Saya menggalakkan pelanggan saya mencuba yoga. Tetapi hanya setelah dicadangkan oleh orang lain. Bukannya terus ke studio yoga disebab tawaran tertentu," katanya. Namun cerita mengenai kesan buruk yoga tidak sukar untuk ditemui di New York.

Pengurus Seni, Elizabeth Bennett, 45, memberitahu cakera lehernya terseliuh selepas didakwa dibuli oleh jurulatih yoga di sebuah studio di New York. "Apabila saya teragak-agak malakukan sesuatu posisi, dia mengatakan saya pondan. Terdapat ramai pengajar yang terlalu mendesak pelajar melakukan sesuatu di luar kemampuan hanya untuk menjaga ego mereka," katanya. Walaupun memiliki insurans kesihatan, dia terpaksa membelanjakan duit sendiri AS$8,000 untuk rawatan akupuntur dan fisioterapi selama sebulan bagi menghilangkan kesakitan yang ditanggung. Bennett menambah, mereka yang mempercayai bahawa yoga adalah sumber untuk menyembuhkan bukannya mencederakan kini tentunya was-was dan mula berhati-hati dalam memilih pusat yoga. Pakar anatomi juga memberi amaran - seperti mana rencana Broad - tentang risiko melakukan aksi luar biasa ketika yoga yang boleh menjejaskan tulang belakang dan menghalang aliran darah ke kepala sama ada secara drastik atau beransur-ansur.

Pakar Anatomi, David Patane telah berhadapan dengan kira-kira 10 pesakit yang berhadapan dengan kecederaan akibat yoga. Katanya, zaman komputer telah memberikan banyak masalah penyakit membabitkan bahagian belakang. Katanya, duduk terlalu lama misalnya sudah cukup untuk memberikan tekana kepada tulang belakang. Katanya, ini kan pula posisi-posisi sukar dalam yoga terutama yang membabitkan leher. Perkara itu katanya, bukan sahaja melemahkan leher tetapi juga tulang belakang. Pembantu Eksekutif, Megan Branch, 22, mengalami ketegangan bahagian belakang tahun lalu hanya kerana melakukan aksi superman - iaitu meniarap sambil mengangkat tangan dan kaki serentak. Disebabkan dia berada dalam kelas yang terlalu sesak - kira-kira 70 pelajar - dia terpaksa berbaring di tempat yang kurang selesa. "Saya rasa sesuatu berlaku pada belakang saya. Kemudiannya saya terus sukar bergerak," katanya. Masalahnya, terdapat banyak kelas yoga di New York tidak memiliki tenaga pengajar bertauliah. Kelas yoga komuniti yang menawarkan harga AS$5 antara yang mempunyai ramai pengikut. Tetapi ia tidak mempunyai pakar untuk membetulkan posisi pelajar atau memberi amaran kemungkinan apa yang mereka lakukan boleh mendatangkan kecederaan.

Di New York, yoga kini menjadi satu industri ekoran permintaan yang meningkat. Sijil untuk menjadi jurulatih atau tenaga pengajar yoga pula boleh didapati dengan mudah. Tidak perlu lesen rasmi untuk mengendalikannya. Pengajar-pengajar yoga boleh mendapat tauliah hanya dengan mengikuti kursus secara online selama 200 jam. Ramai pengajar yang sudah tamat latihan tidak tahu antara otot dan hamstring," kata Emilia Conradson yang menukar daripada mengajar yoga kepada perniagaan terapi badan yang turut merawat kecederaan akibat yoga. "Pemahaman mereka mengenai tubuh badan kurang. Sedangkan yoga ialah tentang fizikal dan spiritual dan ia perlu selamat," katanya. Salah seorang pengajar yoga Even Tulsi yang marah dengan artikel Broad itu bagaimanapun mengaku bahawa pengajar tidak berpengalaman punca pelajar yoga mengalami kecederaan. "Bukan yoga yang tidak elok, tetapi cara mengajar yoga yang mencetuskan masalah," katanya.

Jurugambar profesional, Naomi Harris, 38, sebelum ini teruja dengan pas tanpa had untuk menyertai kelas yoga berhampiran rumahnya di Manhattan. "Ia bercadang untuk mengamalkannya betul-betul. Selama enam bulan saya pergi lima kali seminggu dan merasa cukup baik," katanya. Tetapi, satu hari dia terjatuh ketika di rumah yang menyebabkan lututnya bengkak. Namun dia terus juga ke kelas yoga untuk beberapa hari, tetapi lututnya bertambah buruk. Imbasan mendapati berlaku koyakan teruk pada tisu yang menyambung dua bahagian lututnya yang memerlukan pembedahan. Katanya, pakar bedah bertanya apa yang dia lakukan, dan sebaik dia memberitahu melakukan yoga lima kali seminggu doktor itu berkata: "Itulah dia!" Doktor tersebut memberitahu, dia melihat banyak kecederaan akibat yoga yang kemungkinan berpunca daripada posisi lutut dilipat ke bawah badan yang di kenali sebagai pigeon pose. Selepas melakukan pembedahan, Harris terpaksa bertongkat. Suatu hari dia terserempak dengan pengajarnya dan bertanya apa sudah jadi. Harris memberitahu yang doktor berkata ia berpunca akibat terlalu banyak melalukan yoga. Tetapi pengajar itu berkata, dia cedera ketika melakukan yoga kerana karmanya buruk. "Kini saya antiyoga," kata Harris.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
8 FEBRUARI 2012