Oleh Dr Zakri Abdul Hamid
Pengerusi Majlis Profesor Negara dan Penasihat Sains Perdana Menteri
Amanat Tahun Baru 2012 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 26 Januari lalu dengan slogan ‘Berfikiran global bertindak lokal’ adalah suatu ‘tour de force’ yang melakarkan wawasan beliau untuk mencetuskan anjakan paradigma dalam arena pengajian tinggi semasa. Frasa ‘Berfikiran global bertindak lokal’ ini luas digunakan dalam konteks alam sekitar sejak 40 tahun lalu untuk menjelaskan betapa masalah pada peringkat sejagat atau serantau itu hanya boleh diselesaikan pada tahap setempat. Ia juga membawa maksud bahawa sebarang cabaran itu harus diteliti dari dua dimensi: Sejagat dan setempat. Frasa ini mula digunakan oleh seorang rakyat Scotland, Patrick Geddes pada 1915 dalam merangka strategi sebagai seorang perancang bandar. Mohamed Khaled percaya sikap sedemikian dalam kalangan ahli akademik dapat membantu transformasi negara melalui ‘pembinaan modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi, penyelidikan yang bernas dan penghasilan inovasi berimpak tinggi’.
Empat agenda pokok yang boleh merealisasikan slogan ini ialah mewujudkan persekitaran baru kampus; membangunkan modal insan yang unggul dan syumul; meligatkan IPT sebagai hab inovasi dan memperagakan kredibiliti pengajian tinggi Malaysia di pentas dunia. Unsur penting dalam agenda persekitaran baru kampus ialah pemberian autonomi kepada universiti tempatan, bermula dengan lima universiti yang tertua iaitu UKM, UM, UPM, USM dan UTM. Langkah ini amat dialu-alukan ahli akademik dan melambangkan keyakinan pihak kerajaan mengenai kematangan universiti tanah air dalam menangani isu kebebasan akademik dan daya urus sesebuah universiti itu. Pemberian autonomi membabitkan governans, kewangan, pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik termasuk kemasukan pelajar memberikan peluang lima universiti di atas bergerak dengan lebih ampuh. Bagaimanapun, keistimewaan yang dianugerahkan ini juga menuntut akauntabiliti tinggi, dalam erti kata sebarang kelekaan di mana-mana universiti berkenaan tidak boleh dikaitkan dengan kekangan peraturan pentadbiran kerajaan.
Adalah diharapkan dengan autonomi, universiti di tanah air akan lebih berupaya menaikkan kewibawaan dan tahap kecemerlangan mereka setanding dengan universiti terkemuka dunia. Tatkala membincangkan modal insan syumul dan unggul, amat menarik apabila Mohamed Khaled berhujah bahawa dalam memastikan kejayaan Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), sudah tidak memadai menghasilkan modal insan semata-mata tetapi graduan ini mestilah padat dengan ilmu dan berkemahiran tinggi dan disematkan pula dengan semangat untuk terus berkhidmat di negara ini dan tidak berhijrah keluar. Menteri Pengajian Tinggi juga menyarankan pembelajaran dan pengajaran di IPT wajar berpaksikan kepada falsafah ‘ilmu dan kemahiran untuk masa depan, dan bukan menyelesaikan masalah semalam.’ Ini memerlukan orientasi semula kurikulum pra dan pascasiswazah dengan menyisipkan konsep pendidikan liberal dan multidisiplin. Pendekatan sedemikian mampu menghasilkan graduan mempunyai keupayaan berfikir lebih terbuka, kritis dan mampu melihat persoalan negara dan cabaran global dari pelbagai sudut.
Sesungguhnya ini sesuatu pendekatan segar dan selari dengan apa yang telah dimulakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini oleh universiti terkemuka di negara maju. Cabaran masa kini begitu kompleks, misalnya masalah perubahan iklim atau pembangunan mapan, hanya boleh diselesaikan melalui pendekatan yang multidisiplin dan rentas sektor. Sempena 2012 sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional, Mohamed Khaled menggesa agar universiti memainkan peranan utama dalam penciptaan, pembangunan dan penyebaran inovasi. Namun demikian, beliau mengakui pada hari ini masih terdapat kekangan ketara membantutkan usaha melonjakkan inovasi dalam sains dan teknologi. Bidang sains kurang menarik minat pelajar. Sejak 2007 peratus pelajar sekolah mengambil jurusan sains terus merudum sehingga 29 peratus pada 2012. Trend ini berterusan ke tahap universiti. Pembelajaran sains dianggap sukar dan membosankan dan seterusnya kerjaya sains digambarkan sebagai sesuatu yang kurang menarik dan tidak menguntungkan.
Sains harus ditonjolkan sebagai asas teknologi dan inovasi, dan inovasi ialah kunci transformasi ke negara maju dan kemakmuran rakyat. Beberapa langkah telah dicadangkan oleh menteri termasuk menawarkan biasiswa peringkat PhD dalam bidang sains tulen, penyediaan infrastruktur penyelidikan bersesuaian di universiti tempatan, penubuhan syarikat terbitan universiti untuk memindah-kan hasil penyelidikan ke industri dan laluan kerjaya sains yang jelas dan pelbagai. Kerjasama lebih erat dengan industri akan dijalinkan melalui penubuhan pusat kecemerlangan industri (ICoE). Komitmen Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperkukuh kedudukan sains di negara ini, agenda yang juga menjadi fokus Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi perlu disokong semua pihak. Langkah KPT yang dilakarkan di atas adalah pakej padat untuk menyokong strategi dan pelan tindakan yang gigih diusahakan Majlis Sains dan Penyelidikan Kebangsaan dan Agensi Inovasi Malaysia.
Sila berikan komen anda. Terima kasih
SUMBER
BERITA HARIAN
11 FEBRUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan