JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 Februari 2012

ISU UMUM : PADERI LAKUKAN 250 PENDERAAN SEKSUAL

Oleh AMIRUDDIN HARUN
s2@utusan.com.my


Bukan satu atau dua tuduhan dihadapi oleh seorang paderi Katolik ini. Sebaliknya sejumlah 250 tuduhan didakwa telah dilakukan oleh lelaki tersebut. Kesemua tuduhan itu melibatkan penderaan seksual yang membabitkan tiga budak lelaki dalam tempoh lapan tahun. Akibat perbuatan keji yang dilakukannya antara 2004 dan 2011, paderi berusia 46 tahun itu akhirnya pada 27 Januari lalu dihukum penjara enam tahun oleh sebuah mahkamah di Jerman. Mahkamah di Braunschweig memutuskan bahawa paderi tersebut didapati bersalah mendera budak-budak lelaki terbabit yang berusia antara sembilan dan 15 tahun. Dua daripada mangsa tersebut merupakan adik-beradik. ''Dia mengambil kesempatan terhadap kepercayaan ibu bapa budak-budak tersebut,'' tegas Hakim Manfred Teiwes semasa menjatuhkan hukuman. Paderi tersebut yang namanya tidak didedahkan, disabitkan atas pertuduhan-pertuduhan berkenaan selepas dia bersetuju dengan rundingan bagi pengakuan bersalah pada peringkat awal perbicaraan kes yang dihadapinya.

Tuduhan penderaan itu telah menggegarkan Gereja Katolik Roman di Jerman sehingga menyebabkan beribu-beribu rakyat negara itu yang berasa kecewa bertindak meninggalkan kepercayaan kepada agama tersebut. Pope Benedict XVI yang berasal dari Jerman turut mengadakan pertemuan singkat dengan mangsa-mangsa penderaan seks oleh paderi itu sewaktu beliau melawat negara kelahirannya itu pada September 2011. Dalam pertemuan tersebut, Pope Benedict melahirkan 'rasa amat kesal dan kasihan' ke atas penderitaan mereka. Dalam kes berkenaan, paderi terbabit dilaporkan memberitahu mahkamah bahawa pada mulanya dia mendera budak lelaki berusia sembilan tahun yang merupakan anak kepada seorang balu. Selepas dilarang oleh pihak Uskup daripada berhubung dengan budak tersebut, dia beralih pula kepada dua beradik lelaki yang berusia sembilan dan 13 tahun. Namun nasib paderi itu tidak selalunya baik apabila dia ditangkap pada musim panas tahun lalu iaitu selepas ibu mangsa yang pertama melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Wanita itu bertindak demikian selepas anaknya yang kini berusia 17 tahun mendedahkan kepadanya tentang penderaan yang dilaluinya selama dua tahun. Perbuatan penderaan seksual terhadap ketiga-tiga budak lelaki itu berlaku di pelbagai tempat seperti di rumah paderi tersebut, semasa percutian bermain ski, di rumah ibu bapa mangsa, semasa perjalanan ke Disneyland, Paris dan di dalam gereja. Menceritakan permulaan kepada perbuatannya itu, paderi tersebut yang menutup mukanya ketika hadir ke mahkamah menyatakan bahawa dia menjalin hubungan rapat dengan balu tersebut ketika bekerja di Braunschweig pada 2004. Apabila dia berpindah ke Salzgitter, anak wanita berkenaan selalu menghabiskan masa hujung minggu bersama-sama lelaki tersebut. Untuk mengumpan mangsa, paderi terbabit mendakwa turut memberi hadiah seperti kamera dan telefon bimbit kepada budak lelaki terbabit.

Penderaan selalunya terjadi tiga kali seminggu. Paderi itu menyatakan, bukan niatnya untuk menjalinkan hubungan secara seksual dengan budak-budak lelaki berkenaan dan tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa dia melakukan sesuatu yang memudaratkan mangsa. Ketika disoal di mahkamah sekiranya dia merupakan seorang fidofilia, menurut akhbar tempatan Braunschweiger Zeitung, paderi itu berkata: ''Adalah salah jika saya kata 'Tidak' tetapi untuk menyatakan' Ya' akan menjurus kepada kebenaran.'' Namun paderi itu hanya mendiamkan diri apabila disoal oleh pihak pendakwaan di mahkamah sekiranya dia berpendapat 'seorang bapa akan melakukan sedemikian kepada anak-anaknya'. Orang awam yang hadir pada prosiding kes itu turut terkejut besar apabila mahkamah diberitahu bahawa hampir 2,800 gambar lucah ditemui disimpan pada komputer milik paderi tersebut.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: