08 Januari 2012

ISU PENDIDIKAN : BERIKAN SAINGAN DI PERINGKAT GLOBAL

Oleh Ruhaiza Rusmin


Meskipun masih awal untuk menjangka peristiwa yang mewarnai dunia pendidikan negara sepanjang 2012, masyarakat mengharapkan ia mampu membawa sinar lebih baik demi menjana usaha bersepadu pembangunan negara. Biarpun tahun lalu ada beberapa isu kontroversi, institusi pendidikan negara masih relevan dan positif. Pastinya, wacana dunia pendidikan berharap institusi pengajian tinggi mampu melonjakkan pencapaiannya melahirkan ahli akademik berwibawa manakala graduannya lebih cemerlang untuk mencipta nama sebaris dengan institusi ternama dunia. Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Zakaria Kasa, berkata dunia pendidikan perlu melakukan anjakan paradigma lebih positif dan konsisten untuk memasuki satu frasa baru yang mencabar. Dengan meletakkan sasaran agar institusi pengajian tinggi mampu bersaing lebih hebat dalam bentuk akademik dan penyelidikan, beliau berkata institusi perlu melipatganda­kan usaha mencapai wawasan ditetapkan. Dalam mengemudi dunia pendidikan tinggi hari ini, banyak perlu dilaksanakan bagi memastikan institusi ini terus gagah dan memberi persaingan kepada institusi di peringkat global. Ia bukan mudah, namun boleh dilakukan dengan kesung­guhan dan iltizam tinggi malah sejarah juga membuktikan institusi tempatan mampu melahirkan pakar akademik serta hasil penyelidikan berwibawa.

Institusi pengajian juga bakal berdepan cabaran sengit terutama memenuhi harapan masyarakat meng­hasilkan hasil produk berkualiti, menepati piawaian antarabangsa dan paling utama tersenarai dalam kedudukan prestij dunia. Beliau mengharapkan hasrat mewujudkan Universiti Penyelidikan Sains Sosial menjadi kenyataan bagi mengangkat taraf institusi lain setara lima universiti pe­nyelidikan sedia ada. Bagi mahasiswa, mereka pasti mengharapkan tahun baru membawa anjakan lebih dinamik selepas tahun lalu dipenuhi beberapa insiden memalukan terutama membabitkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AuKu). Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Iqbal Ismat Nordin, berkata mereka mengharapkan isu sensitif dan salah faham itu selesai bagi memberi peluang menonjolkan kewibawaan sebagai bakal pemimpin. Menurutnya, pindaan AuKu juga bakal membawa perubahan besar terhadap dunia pendidikan negara kerana universiti serta mahasiswa bakal melangkah ke frasa lebih terbuka dalam menangani isu politik. Sebelum ini, universiti menjadi tempat larangan keras berpolitik bagi mahasiswa, namun dengan pindaan itu, ia satu pembaharuan yang baik. Bagaimanapun, pindahan itu diharap tidak menjadikan mahasiswa cenderung keterlaluan terhadap politik hingga melupakan tanggungjawab sebenar.

Beliau turut menjangka kerajaan mengambil langkah proaktif sebagai jaminan institusi pengajian tinggi tidak tercemar dengan pengaruh dan budaya politik luar. “Keseluruhannya, kami mengharapkan dunia pendidikan tinggi tidak lagi tercemar dengan insiden memalukan yang bukan saja boleh meng­gugat kewibawaan jati diri serta institusi selain mengikis persepsi negatif dilemparkan,” katanya. Manakala sektor pendidikan sekolah juga menjangkakan institusi pendidikan akan menjadi lebih komprehensif dengan pelbagai pelaksanaan dasar yang menekankan peranan guru sebagai pemangkin kecemerlangan pelajar. Guru sekolah di ibu kota, Syed Khairul Azwi Syed Mokhtar, berkata pendekatan mesra pelajar yang dibangun­kan merangkumi aspek fizikal dan mental dapat mencungkil potensi pelajar dalam akademik dan kokurikulum, antara­nya melalui pengenalan ‘Satu Murid Satu Sukan’. Menurutnya, keseimbangan itu menjadi wadah terbaik membentuk peribadi dan jati diri generasi muda selain memberi peluang guru memperkasakan kemahiran mendidik. “Meskipun dunia pendidikan sering dibayangi polemik terutama isu berkaitan guru, itu bukan alasan kami tidak mampu memberikan yang terbaik kepada pelajar. “Kami berharap pengorbanan ini mendapat perhatian pihak terbabit dengan pemberian insentif tertentu bagi menaikkan lagi semangat guru dan meng­iktiraf pengorbanan mereka,” katanya

Sepanjang tahun lalu, pelbagai rentetan peristiwa mewarnai perjalanan dunia pendidikan negara dengan polemik serta kejutan tersendiri. Antara pendekatan paling ‘mengejutkan’ ialah bantuan RM100 kepada 5.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah bagi meringankan bebanan ibu bapa selain pemansuhan yuran sekolah. Ini menjadikan Malaysia negara pencipta sejarah di kalangan negara Asean melaksanakan pendekatan berkenaan. Golongan mahasiswa juga memperoleh habuan sama apabila menerima bantuan baucar RM200 untuk diagih­kan kepada pelajar yang layak untuk tempoh tiga bulan dari 1 Januari sehingga 31 Mac depan. Isu percanggahan mengenai kedudukan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menemui noktah akhirnya apabila kerajaan muktamad menamatkannya dengan pengumuman pada 4 November lalu. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada 2016, manakala di sekolah menengah pada 2021.

Biarpun ada segelintir pihak beranggapan ia masih relevan terutama dalam memartabatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kala­ngan pelajar, dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) menggantikan PPSMI adalah kekal. Manakala antara catatan kontroversi yang menjadi bualan panas ialah pindaan seksyen 15 AuKu yang dianggap segelintir pihak sebagai ‘kemenangan peribadi’ kepada mahasiswa. Mahkamah Rayuan pada 31 November lalu memutuskan peruntukan dalam AuKu yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam serta luar negara, adalah tidak sah dan bercang­gah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN METRO
2 JANUARI 2012

ISU IPT : APAKAH YANG PATUT DICARI OLEH PELAJAR IPT?

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my


Agak sukar difahami apakah sebenarnya matlamat mutlak seseorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) lebih-lebih lagi di Malaysia. Jika hasrat mereka untuk menuntut ilmu setinggi yang mungkin, mereka sudah pun berada di tempat yang diidam-idamkan. Tetapi, jika mengejar kebebasan, institusi seperti itu, bukanlah tempatnya. Mereka sepatutnya mendaftar sebagai ahli parti politik dan bolehlah naik ke pentas rakyat untuk berucap sepuas-puas hati. Isunya hari ini mereka mahu mencapai cita-cita untuk menjadi manusia yang berjaya dan pada masa sama mengejar kebebasan. Apakah makna kebebasan bagi mereka? Apakah seseorang yang boleh meluahkan apa saja yang terbuku di benak fikiran mereka atau bertindak apa saja tanpa pedulikan orang sekeliling, meliputi maksud kebebasan? Apakah kebebasan bermakna memberi hak kepada sesiapa juga untuk melakukan apa saja tanpa mengambil kira kepentingan atau sensitiviti orang lain.

Apakah dengan memperalatkan slogan kononnya mahu memperjuangkan keadilan bermakna mereka ini tidak boleh dijentik oleh undang-undang kerana mereka adalah spesies masyarakat yang memperjuangkan kebebasan? Dalam konteks yang lebih luas, kebebasan juga bermakna seseorang itu boleh pergi ke mana saja tanpa perlu bimbang terhadap keselamatan diri, tidak ada gangguan atau ugutan atau sekatan jalan raya berpunca daripada demonstrasi jalanan yang boleh mencetuskan keganasan. Di Malaysia, tidak ada orang boleh mengatakan mereka hidup terkongkong, tidak boleh melakukan apa saja kerana terlalu banyak larangan. Seseorang pelajar mewakili semua kaum perlu berfikir bagaimana mereka boleh melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sekiranya tidak wujud keadilan dan kebebasan di negara ini.  Jika seseorang itu mempunyai kelulusan dan layak memasuki universiti tetapi hak mereka dinafikan atas apa alasan sekali pun, mereka mungkin mempunyai alasan mengatakan mereka tidak dilayan dengan adil. Setiap individu di negara ini mempunyai hak membuat pilihan.

Untuk memasuki universiti awam umpamanya mereka diberi pilihan menamakan beberapa buah universiti mengikut keutamaan yang mereka inginkan berasaskan kepada keputusan peperiksaan masing-masing. Puluhan ribu pelajar yang diterima masuk ke universiti setiap tahun adalah mereka daripada latar belakang yang berbeza.  Tidak pernah kita dengar pihak universiti menolak permohonan seseorang kerana mereka anak kepada pengikut sesebuah parti politik. Sebelum memasuki universiti, mereka bermula dari sekolah rendah dan kemudian menengah. Mereka diuji menerusi peperiksaan. Membenarkan setiap rakyat bersekolah seterusnya ke universiti adalah hak paling istimewa diberi kepada setiap warga negara selain hak beragama dan sebagainya. Hari ini mereka berada di menara gading, institusi yang menjadi tempat idaman sebahagian besar rakyat. Tidak semua orang berpeluang menuntut ilmu di universiti. Jika tidak melalui proses pendidikan dari peringkat bawah secara bebas, mustahil mereka boleh menempatkan diri di universiti.

Malangnya, ada segelintir pelajar begitu mudah dipengaruhi terutama dengan klise Barat yang popular. Pelajar seperti inilah yang menimbulkan masalah. Di dalam kelas, mereka adalah pelajar yang setaraf pelajar lain, tetapi bila semangat mereka dikocakkan, mereka menjadi manusia yang kononnya mempunyai idealisme tinggi. Hakikatnya, mereka tidak tahu pun apakah sebenar yang mereka perjuangkan. Bagi rakyat, kumpulan pelajar ini menempa risiko terhadap masa depan mereka. Tidak ada markah untuk demonstrasi. Kita bersyukur kerana sebahagian besar pelajar di negara ini menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Mereka insaf dengan kegetiran hidup keluarga mereka di kampung dan berazam mengubah nasib keluarga. Sudah tentulah sikap mereka ini tidak seperti segelintir pelajar yang agresif.  Kumpulan ini menyuarakan pandangan yang radikal dan terlalu politikal, Anehnya, mereka memperjuangkan perkara yang tidak ada kaitan dengan hidup dan masa depan mereka. Mereka sanggup melakukan ugutan kerana menganggap kezaliman dilakukan oleh kerajaan. Mereka berbaring atas jalan kononnya untuk menunjukkan perjuangan mereka lebih mulia daripada segala-galanya, bila cuba disuraikan, mereka sanggup melakukan apa saja dan kemudian mencari kesalahan orang lain.

Inilah yang berlaku ke atas kira-kira 70 pelajar yang mengadakan demonstrasi dekat Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim pada 1 Januari lalu. Polis bertindak demikian selepas pelajar berkenaan bertindak kasar dan tidak mengendahkan amaran supaya bersurai. Akhirnya, polis menahan 17 mahasiswa, termasuk seorang penuntut wanita kerana menyertai demonstrasi haram itu. Apakah tujuan pelajar berkenaan membawa keranda? Keranda adalah simbol untuk mengangkat jenazah atau mayat. Keranda untuk siapa? Adalah sangat mengelirukan jika demonstrasi itu semata-mata diadakan atas alasan menuntut kebebasan akademik. Tidak pernahkah mereka mempersoalkan di mana mereka menuntut sekarang? Ia sebenarnya menjawab kepada persoalan mereka. Mereka mendesak kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan membebaskan seorang rakan mereka yang ditahan polis. Walaupun ia akan dipinda kerana terlalu banyak desakan, tapi AUKU tidak pernah membawa bala kepada negara pun.

Pelajar itu pula bukan ditahan sesuka hati, dia ditahan untuk siasatan kerana melakukan kesalahan yang melampau. Tentulah tidak munasabah jika seseorang menurun bendera yang tertera gambar pemimpin dan kemudian memijaknya, dibiarkan begitu saja. Tentulah pihak berkuasa ingin tahu bagaimana peristiwa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Disember 2011 itu berlaku dan mengapa mereka berbuat demikian. Mungkinkah mereka yang rakus itu bukan rakyat negara ini yang tidak tahu budaya dan adat resam masyarakat Malaysia. UPSI tidak boleh dipersalahkan, tetapi yang menjadi onarnya adalah segelintir pelajar yang dihasut oleh pihak tertentu supaya melakukan apa saja kononnya atas dasar memperjuangkan hak pelajar, sebenarnya mereka mengambil kesempatan untuk menghuru-harakan keadaan politik negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA MINGGU
8 JANUARI 2012

ISU UMUM : HARI-HARI TERAKHIR SEORANG INSAN BERNAMA ANWAR IBRAHIM


Nama Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki kembali popular. Sejak beberapa hari ini, namanya terus disebut-sebut bukan atas alasan kewibawaan atau karismanya. Tetapi jalan politik yang beliau tempuh yang mahu disamakan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Erdogan, pemimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki ini pernah dipenjara selama 10 bulan. Tetapi bukan atas tuduhan liwat tetapi dakwaan menanam kebencian dalam beragama kerana mengubahsuai sajak nukilan Ziya Gokalp. Abdullah Gul yang menjawat jawatan Perdana Menteri sementara, kemudiannya meminda undang-undang untuk membolehkan Erdogan kembali menyertai politik dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Sebuah kisah happy ending yang menarik bagi seorang politikus. Memang Erdogan sudah kepalang popular di Malaysia. Erdogan pun menjadi label untuk kumpulan pro Anwar dalam saf kepimpinan Pas. Anwarlah yang menggamatkan nama Erdogan apabila beliau tiba-tiba menyusup ke Kedutaan Turki di Kuala Lumpur atas alasan diancam bunuh pada Jun 2010.

Ini sehinggakan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Turki pada Mac tahun lalu dilihat ada kaitan dengan tindakan Anwar itu. Ada yang melihat lawatan itu bakal dihantui dengan isu Anwar. Tetapi layanan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh Erdogan serta Abdullah (atas kapasitinya sebagai Presiden) tidak membayangkan ada rasa curiga dan kecewa. Malah stesen telivisyen Turki membuat siaran langsung pertemuan Najib-Erdogan. Kedua-duanya membahasakan diri sebagai 'brother'. Erdogan sendiri menyifatkan lawatan rasmi Najib sebagai sesuatu yang dinanti-nantikan setelah tempoh 28 tahun. Kedua--dua pemimpin dalam majlis formal dan tidak formal sangat akrab. Itulah realitinya. Kini menjelang 9 Januari, gamat lagi kisah Erdogan yang kononnya telah mempelawa Anwar untuk mendapatkan perlindungan di Turki. Entah benar, entah tidak. Ramai yang percaya tanpa memeriksa fakta bahawa antara Anwar dan Erdogan itu jauh berbeza, macam langit dengan bumi.

Malah Anwar menyebut, bukan sahaja Turki tetapi beberapa negara Arab yang lain telah mempelawanya tempat perlindungan. Dalam ceramahnya beliau juga menyebut telah mendapat pelawaan untuk berucap di Istana Turki dan acara tajaan cucu Mahatma Ghandi. Dulu semasa isu liwat mulai hangat, Anwar turut menggunakan nama ulama Dr. Yusuf Qardawi. Kemudian bekas peguam beliau sendiri, Zulkifli Noordin mendedahkan bahawa fatwa ulama terkenal itu tidak tepat kerana dipengaruhi oleh maklumat yang hanya menyebelahi Anwar. Kenyataan syok sendiri menjual nama pemimpin dan tokoh-tokoh terkenal dunia memang sudah biasa dilakukan Anwar, sama juga kali ini dalam ceramah jelajah seluruh negara untuk kempen bebaskan Anwar. Apa yang mahu dihairankan kerana beliau pernah mahu disamakan dengan Mahatma Ghandi, Aung Suu Kyi dan banyak lagi pejuang rakyat tersohor dunia. Lebih mengejutkan, ada pengikutnya mahu menyamakan Anwar dengan Imam Mahdi.

Memang Anwar terlalu bagus dalam hal mempromosi dan mengagung-agungkan diri. Kisah beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet semasa memangku jawatan Perdana Menteri sentiasa diulang-ulang dalam ceramahnya. Kedudukan sebagai ahli lembaga pengarah sebuah perbadanan di Bahrain, sentiasa menjadi ulam ucapannya untuk menunjukkan betapa pentingnya peranan beliau di dunia Arab. Cuma yang jarang didengar ialah peranannya sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Ramai orang bukan sahaja terpikat tetapi juga terpukau. Mereka tak peduli dengan fakta. Karakter sesumpahnya terlalu halus untuk disedari oleh orang kebanyakan sehinggakan suara kesedaran dari ramai kenalan lamanya yang mahu membetulkan keadaan pun tidak didengar. "Anwar memang hebat tapi mungkin ini ceramah yang terakhir. Tak rugi kita berjaga sampai pagi," luah seorang hadirin sebaik sahaja Anwar menghabiskan ceramahnya di kawasan perumahan padat penduduk di Subang Jaya pada Jumaat.

Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 12.20 pagi, tetapi Anwar tidak terlihat keletihan. Semangatnya luar biasa dengan ucapan yang berapi-api. Tenaganya tahap super kerana mampu berdiri berjam-jam dan bergerak pula sekurang-kurangnya ke tiga lokasi ceramah pada satu malam. Mungkin terinspirasi dengan kehadiran kira-kira 2,000 orang, Anwar begitu bersemangat berkeluh-kesah mengenai nasib dirinya. Anwar hanya menghentikan ceramahnya apabila beberapa kumpulan mula meninggalkan majlis kerana sudah terlalu lewat. Kempen bebaskan Anwar ini akan bersambung di Terennganu, Pahang, Pulau Pinang dan berakhir di tiga lokasi di Kuala Lumpur pada malam Ahad. Daripada kempennya ini, Anwar menjangkakan dapat mengumpul 100,000 orang. Hasilnya nanti Anwar mahu memperlihatkan kebangkitan rakyat, sama seperti kebangkitan rakyat yang memenangkan Parti AK dalam pilihan raya seterusnya membebaskan Erdogan dan mengangkatnya sebagai Perdana Menteri. Sebab itu, beliau bersungguh-sungguh mempromosikan idea Perdana Menteri sementara. Sebab itu, beliau bermati-matian mahu seberapa ramai rakyat dikumpulkan di Kuala Lumpur.

Melalui bantuan Pas, angka itu memang boleh dicapai. Perhimpunan itu diharap oleh Anwar menjadi titik-tolak untuk kebangkitan rakyat, apatah lagi beliau tahu dirinya akan disabitkan dengan kesalahan dan dihukum penjara. Sekurang-kurangnya pada peringkat ini (dipenjara), sepintas lalu nasibnya seakan-akan sama dengan Erdogan. Untuk kisah seterusnya, apa pula yang akan dilakukan oleh Ketua Pembangkang ini? "Anwar di dalam penjara, Anwar di luar penjara, ia tidak penting. Yang paling penting, rakyat perlu tumbangkan UMNO," katanya yang sentiasa diulang-ulang dalam setiap ceramahnya. Anwar bukan saja-saja mahu memetik dan mempopularkan kisah perjuangan Erdogan itu. Beliau bukan saja-saja berbaik-baik dengan Erdogan. Strategi ini mungkin telah lama diatur tetapi apakah rakyat Malaysia akan membenarkannya? Beliau tahu sama ada dipenjara atau tidak, ia tidak menguntungkan Barisan Nasional (BN). Lantas, apa untungnya BN kalau benar pendakwaan kes liwat ke atas pembantunya sendiri ini satu konspirasi kerajaan? Dan soalan lebih penting, apakah nanti kita akan mempunyai bekas banduan sebagai Perdana Menteri, yang dibebaskan daripada penjara atas campur tangan politik bukan kerana prinsip keadilan?

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
8 JANUARI 2012

07 Januari 2012

ISU IPT : PILIH BELAJAR ATAU BERHIMPUN?

Oleh NURUL ANUAR KARI


Sebelum ini, ramai rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gusar dengan usaha pihak tertentu menganjurkan perhimpunan haram jalanan pada 9 Januari 2012 yang dinamakan Kempen Bebaskan Anwar 901. Beratus-ratus laporan polis dibuat bagi menentang kempen tersebut yang dilihat tidak mahu menerima keputusan mahkamah jika Datuk Seri Anwar Ibrahim disabit kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang telah bertahun-tahun tertangguh. Usaha mengheret rakyat dalam menentang keputusan mahkamah yang belum lagi ditetapkan itu memberi tekanan besar kepada pihak berkuasa dan penghuni sekitar Kuala Lumpur yang sudah serik dengan gangguan terhadap urusan harian demi kepentingan individu atau kumpulan tertentu sahaja. Lebih membimbangkan, jika kempen tersebut menarik penyertaan belia terutamanya pelajar universiti sehingga menyebabkan mereka meninggalkan pelajaran dan peperiksaan demi sebuah program yang tidak mampu mengubah apa-apa keputusan mahkamah.

Ketika situasi semakin hangat menghampiri tarikh tersebut, laporan terkini menunjukkan pihak polis akhirnya bersetuju memberi kebenaran penganjur meneruskan Kempen Bebaskan Anwar 901 di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Pihak penganjur dikenakan syarat memastikan perhimpunan itu diadakan dengan aman dan teratur mengikut Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan di Parlimen, baru-baru ini. Kebenaran pihak berkuasa itu bermakna ia bukan lagi sebuah perhimpunan haram dan mungkin membuka kepada penyertaan lebih ramai pihak terutamanya belia di universiti seluruh negara. Bagi Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin, tarikh kempen yang diadakan pada minggu peperiksaan dan aktiviti utama universiti mungkin akan menghalang penyertaan pelajar UTHM. "Kami sedang menjalankan peperiksaan ketika ini dan mungkin tiada pelajar yang turut serta dalam kempen di Kuala Lumpur itu. "Selain itu, kami turut menetapkan Isnin ini sebagai hari untuk mengagihkan baucar buku yang disediakan kerajaan dan saya harap kesemua 10,000 pelajar UTHM hadir mengambilnya," katanya.

Tegasnya, para pelajar universiti tersebut tidak sewajarnya ke sana memandangkan perlu menduduki peperiksaan serta menyertai beberapa program penting dan membiarkan mahkamah sahaja membuat keputusan dalam kes tersebut. Jelasnya, pihak universiti tetap akan memantau situasi pada hari tersebut mengikut peraturan sedia ada termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi melihat jika ada tindakan yang ditakrif sebagai 'haram' atau melanggar peraturan. "Saya tidak boleh komen berkenaan polis memberi permit dan menjadikan kempen itu tidak haram lagi. "Tapi, sewaktu belajar ini, pelajar sebaiknya tumpu kepada pelajaran daripada berdemonstrasi sehingga boleh menyebabkan mereka gagal dalam pelajaran dan peperiksaan," tegasnya. Katanya lagi, tiada guna menyertai apa jua aktiviti jika pelajar gagal dalam pelajaran dan peperiksaan, termasuklah bagi pelajar politik yang menyertai aktiviti politik. "Subjek-subjek di UTHM berat dan memerlukan latihan bertubi dan tumpuan penuh pelajar. Meninggalkan kuliah dan terlibat dengan demonstrasi tersebut juga tidak akan membawa perubahan. "Untuk mengajak orang ramai itu lainlah, tapi saya tidak nampak objektif mengajak pelajar turut serta kerana aktiviti sedemikian tidak sesuai," ujarnya.

Beliau juga menganggap mereka yang menyeru penyertaan pelajar dalam demonstrasi sedemikian menunjukkan sifat tidak mementingkan pendidikan generasi akan datang. Mohd. Noh turut mencadangkan kerajaan membina lebih banyak universiti di luar Kuala Lumpur agar mahasiswa dapat belajar dengan tenang dan kurang diganggu dengan program seumpama kempen tersebut. "Tindakan kerajaan membina universiti di Johor dan Pahang adalah tepat kerana pelajar senang untuk belajar dan kurang diganggu pihak luar. "Saya sedih melihat pelajar di Kuala Lumpur yang terpaksa menghadapi situasi sedemikian dan mungkin lebih mudah terpengaruh dengan aktiviti yang akan menyebabkan mereka meninggalkan bilik kuliah," katanya. Beliau menegaskan, UTHM akan terus memantau perkembangan kempen tersebut tetapi akan menyekat semua kenderaan milik universiti daripada ke kawasan berhampiran perhimpunan itu diadakan. "Kita tidak mahu kenderaan UTHM termasuk bas universiti terbatas pergerakan di kawasan perhimpunan itu diadakan (akibat sekatan jalan raya). "Saya juga takut ada pula orang akan kaitkan nama universiti ini dan pelajarnya dengan program tersebut kelak," jelasnya.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin juga berkongsi nada serupa dengan menegaskan pelajar sedang sibuk menghadapi minggu peperiksaan dan mungkin tidak menyertai kempen tersebut. "Saya fikir pelajar UIAM tidak akan hadir ke perhimpunan tersebut kerana semuanya tengah panas menghadapi minggu peperiksaan berturut-turut setiap hari. "Sedangkan kejadian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak sebelum ini juga tiada penglibatan pelajar UIAM walaupun ketika itu belum minggu peperiksaan, apatah lagi minggu peperiksaan yang padat ketika ini," jelasnya. Beliau berpendapat pelajar di UIAM masih waras dan akan mendahulukan peperiksaan mereka daripada menyertai kempen tersebut. Zaleha bagaimanapun tidak mahu memberi sebarang komen ketika ditanya kemungkinan tindakan jika ada pelajar universiti itu memilih untuk meninggalkan peperiksaan untuk menyertai perhimpunan tersebut kerana dikhuatiri disalah tafsir sebagai kenyataan politik.

Dengan penganjuran Kempen Bebaskan Anwar 901 serentak dengan minggu peperiksaan beberapa universiti utama seluruh negara, mungkin majoriti pelajar akan mengutamakan masa hadapan mereka daripada demonstrasi di luar bangunan Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Sungguhpun pihak berkuasa telah memberi kebenaran, itu bukannya lesen menghalalkan mana-mana individu meninggalkan tanggungjawab mereka sebagai pelajar mahupun sebagai kakitangan awam dan swasta, lebih-lebih lagi pada hari bekerja dan minggu peperiksaan. Apa yang diharapkan, tiada seorang pun daripada mahasiswa dan bakal graduan negara dari mana-mana universiti tersilap langkah dan sanggup meninggalkan kewajipan berjihad dalam pendidikan demi seorang individu, melaungkan bantahan yang tidak dapat membawa sebarang perubahan keputusan mahkamah. Keyakinan pengurusan tertinggi universiti juga menunjukkan mereka turut mempercayai para pelajar lebih matang berfikir dan rasional dalam memilih perjuangan jangka pendek dan jangka panjang. Sampai masa rakyat juga memberi kepercayaan serupa.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JANUARI 2012

ISU IPT : HENTIKAN PROVOKASI POLITIK DI KAMPUS

Oleh MOHAMAD ABDULLAH
MOHAMAD ABDULLAH
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia


Melihat sekumpulan tidak sampai 30 orang pelajar yang cuba mengadakan demonstrasi kampus universiti dalam kesibukan siswa-siswi bergelut dengan peperiksaan, terasa betapa bahayanya apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk merosakkan ketenteraman pembelajaran anak-anak muda kita. Walau pun mesej yang dihantar oleh siswa-siswi yang sebahagian besarnya tidak menyokong malah marah dengan usaha pihak tertentu ini, adalah jelas seperti mana tergambar dalam banyak blog dan media sosial, namun perbuatan ini harus dibanteras segera apatah lagi jika ibu bapa prihatin terhadap masa depan anak-anaknya di kampus. Lebih bahaya apabila terdapat segelintir pihak luar yang sengaja menyelinap masuk dan mengapi-apikan perdebatan pelajar yang jika tidak dikawal boleh menimbulkan masalah berpanjangan. Apa pun alasan dan pandangannya, ini adalah satu perkembangan yang amat tidak sihat, yang boleh merosakkan nilai-nilai ilmu dan mengancam keharmonian kampus yang sewajarnya lestari dalam konteks budaya yang berteraskan akal budi, adab orang berilmu dan wacana-wacana yang membenarkan perbezaan pendapat tetapi dilakukan dalam tata cara yang amat berhemah.

Percubaan-percubaan provokasi dalam demonstrasi, secara sengaja mencari pelbagai alasan untuk menghalalkan apa yang dilakukan dan menyalahkan orang lain seperti yang berlaku di beberapa kampus kebelakangan ini atas isu-isu yang boleh diselesaikan bersama dan sepatutnya belajar menghormati suara majoriti amat berbahaya dan mengocak ketenangan kampus. Apatah lagi tatkala siswa-siswi sedang bergelut dengan persediaan memasuki dewan peperiksaan.Siswa-siswi harus dididik menjadi lebih matang untuk terlibat dalam politik dan bukan hanya menggunakan jiwa muda yang bergelora dengan idealisme tentang kehidupannya dan persekitaran yang ingin dibentuknya lalu menimbulkan suasana tidak harmoni atas nama kebebasan yang secara sendirinya juga menggambarkan pelakunya tidak bebas kerana menurut telunjuk orang lain, bukan pun pandangannya sendiri. Dinilai dari sambutan majoriti siswa-siswi kampus yang enggan terlibat, ternyata mereka jauh lebih matang dari yang disangkakan kerana sebahagian besarnya tahu antara kaca dan permata. Malah bijak membezakan antara keperluan dan kepentingan akademik dengan kepentingan lain yang boleh ditangguhkan atau diketepikan jika ia tidak memenuhi tuntutan nilai orang berilmu.

Kenyataannya, sebahagian besar siswa-siswi adalah rasional dalam pemikiran dan tindakan. Namun dalam era kemajuan teknologi termasuk teknologi maklumat, penguasaan ilmu dan proses kematangan kerap kali berkait rapat, tetapi boleh juga menimbulkan kecelaruan apabila sesetengah maklumat yang dihadam tidak berteraskan kepada fakta ilmu tetapi lebih kepada peribadi, emosi dan fakta-fakta yang tidak jelas termasuk melalui media sosial, maka sedikit sebanyak memberi kesan kepada proses kematangan sesetengah anak muda termasuk siswa-siswi. Keadaan ini juga dimanipulasi oleh segelintir pihak yang mengambil kesempatan, malah apabila siswa-siswi yang berdebat hangat hilang kata-kata, suara provokasi yang menyelinap masuk terus mengapi-apikan supaya terus berdebat tanpa ada penyelesaian. Apabila nilai-nilai ilmu yang sangat menekankan kepada kepentingan masyarakat, alam dan dunia diketepikan, ia amat mengganggu kita. Suasana anti akademik ini boleh merosakkan apatah lagi jika emosi dibakar dan diheret pula ke medan lain. Jika ada pihak yang ingin terlibat sama dengan proses pengajian tinggi dan membantu untuk mengisi masa siswa-siswi dengan pendidikan bagi menjamin masa depannya termasuk membangunkan kerjaya dalam politik, buatlah dengan cara yang berhemah.

Hormatilah kampus universiti dan jangan sama sekali melakukan provokasi menggunakan nilai-nilai yang amat bertentangan dengan budaya dan nilai keilmuan yang ada. Bantulah siswa-siswi membangunkan masa depan mereka untuk menjadi pemimpin politik pada masa depan yang memahami erti kewujudan universiti memartabatkan ilmu, erti perjuangan negara bangsa dan menjaga kemashlahatan orang ramai. Justeru tidak wajar menjadikan keseluruhan kampus sebagai medan perdebatan politik, demonstrasi atau perkumpulan yang tidak boleh dinafikan yang ia dikawal dari luar oleh pihak-pihak tertentu. Malah mereka yang berminat itu pun harus melakukannya dengan penuh adab dan menghormati satu sama lain. Mereka perlu hargai kepelbagaian dan perbezaan pendapat dengan penuh harmoni sebagai proses pembelajaran agar dapat menjadi pemimpin yang terbuka, bersedia mendengar pendapat orang lain, ikhlas dan tahu matlamat perjuangan untuk pembangunan bangsa, agama dan tanah air serta mempunyai teras diri yang kuat dan jitu. Berada dalam kampus dan menjalani kehidupan harian bersama anak-anak muda ini, jelas menunjukkan sebahagian besar mereka amat matang dalam tindakan kerana itu mereka marah dengan tindakan provokasi yang ada, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana menghormati dan bimbang menimbulkan masalah kepada diri dan universiti.

Jangan perlekehkan kematangan dan pemikiran siswa-siswi dan memandang rendah kemampuan anak-anak muda kerana sebahagian besarnya faham tujuan mereka berada di universiti dan ingin bersama-sama membudayakan ilmu untuk kepentingan masa depan negara dan dunia. Anak-anak muda di universiti memerlukan sokongan untuk menyiapkan diri dalam pembangunan ekonomi negara secara kreatif dan inovatif, malah berusaha keras untuk menjadi creator dan pembekal bukan lagi peminjam dan terus bergantung hidup kepada orang lain dengan melahirkan siswazah yang berupaya berfikir, berdikari dan sedia untuk bekerja di mana-mana tempat di seluruh pelosok dunia. Apa yang terjadi sekarang ini mengganggu apatah lagi tatkala siswa-siswi sedang berhadapan dengan peperiksaan dan mempunyai agenda lain yang jauh lebih penting. Jangan heret anak-anak muda ini dalam kancah konflik dan krisis yang tidak perlu. Demonstrasi hanya jalan singkat dan mudah yang menguntungkan mereka yang bergembira di sebalik kemusnahan dalam kekalutan pelbagai pihak untuk menanganinya dalam mengekalkan kesejahteraan kampus mahu pun negara seluruhnya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JANUARI 2012

ISU UMUM : DINASTI PENYATU NEGARA KOMUNIS

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Apabila  disebut dinasti, ia merujuk kepada mereka yang mempunyai pertalian darah yang memerintah sesebuah negara secara turun-temurun. Pada zaman moden ini tidak banyak pemerintah daripada keluarga sama dapat kekal mentadbir berikutan perubahan pemikiran rakyat yang mahukan sistem pemerintahan lebih demokratik dengan pemimpin dipilih menerusi proses pilihan raya. Dinasti yang tidak mahu beralah seperti di Libya, Tunisia dan Mesir terpaksa menghadapi kebangkitan rakyat yang akhirnya menyaksikan keluarga berkenaan ditumbangkan secara kekerasan. Bagaimanapun, ada juga dinasti yang masih kekal berkuasa seperti di Korea Utara dan Cuba.

CUBA : Fidel Castro

Fidel Alejandro Castro Ruz, 86, yang dilahirkan pada 1926 telah memerintah Cuba hampir 50 tahun selepas berjaya menggulingkan Presiden yang disokong AS, Fulgencio Batista dalam Gerakan 26 Julai 1959. Kejayaan itu adalah hasil bantuan adiknya, Raul Castro dan pejuang revolusi Argentina berfahaman Marxis, Ernesto Che Guevara. Sebagai pemimpin utama Revolusi Cuba, Fidel yang berkelulusan undang-undang dari Universiti Havana menjadi Perdana Menteri negara itu dari 1959 hingga 1976 dan Presiden sehingga 18 Februari 2008. Beliau yang berketurunan Sepanyol daripada sebelah bapa dan Cuba di sebelah ibu mengumumkan persaraannya setelah menghadapi masalah usus yang akut dengan pendarahan berterusan. Bagaimanapun, Fidel masih kekal dengan jawatan ‘Panglima Revolusi Cuba’ yang bertaraf penasihat kerajaan. Ketika pemerintahannya, Fidel mengubah Cuba menjadi negara komunis dengan memperkenalkan reformasi tanah, aktiviti pertanian kolektif, memiliki negara industri Cuba dan menyediakan kemudahan kesihatan serta pendidikan percuma kepada rakyat. Beliau yang berperwatakan antiimperialis menganggap dirinya pengikut nilai-nilai Kristian berkaitan keadilan sosial tetapi bukanlah penganut agama itu.

Raul Castro

Raul Modesto Castro Ruz, 80, dilahirkan pada 1931 ialah adik kepada Fidel Castro. Beliau mengambil alih semua jawatan utama negara setelah abangnya mengambil keputusan untuk bersara. Raul yang berfahaman ateis dilantik secara rasmi sebagai Presiden Cuba pada 24 Februari 2008. Beliau yang terpengaruh dengan pembaharuan ekonomi di China telah bertindak menghapuskan aktiviti pertanian kolektif dan menggalakkan pelaburan asing. Beliau juga memberikan lebih banyak autonomi kepada sektor swasta dan menghapuskan perintah melarang rakyat menggunakan telefon bimbit dan membeli pemain cakera padat digital (DVD), komputer dan ketuhar gelombang mikro. Berikutan usianya yang agak lanjut, timbul persoalan siapa yang akan menggantikannya dan ada penganalisis politik berpendapat selepas Raul, Cuba akan diperintah secara kolektif oleh pegawai kanan tentera. Terdapat juga penganalisis yang menjangkakan kekosongan jawatan itu akan diisi oleh anak lelaki tunggal Raul, Alejandro Castro EspĂ­n, 47 yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dan perhubungan antarabangsa.


Korea Utara : Kim Il-sung

Beliau diingati oleh 24 juta rakyat Republik Rakyat Demokratik Korea kerana terlibat secara langsung mengetuai pasukan gerila bagi membebaskan negara itu daripada penaklukan Jepun. Il-sung ialah pemimpin Korea Utara sejak penubuhan negara itu pada 1948. Beliau yang dilahirkan pada 1912 telah memegang jawatan Perdana Menteri dari 1948 ke 1972 dan jawatan Presiden dari 1972 hingga 1994. Beliau dilahirkan di Chonju dan mempunyai datuk sebelah ibu dan ayah yang taat menganut agama Kristian daripada mazhab Presbyterian. Il-sung yang juga Setiausaha Agung Parti Pekerja Korea memerintah secara autokratik dan mahu rakyat memujanya dengan gelaran ‘Pemimpin Yang Hebat’ ketika hidup dan selepas mati digelar ‘Presiden Abadi’. Pada 1950, beliau mengarahkan tentera menyerang Korea Selatan yang turut menyaksikan campur tangan Amerika Syarikat (AS) dan China. Perang tamat pada 1953 dengan dua juta tentera dan orang awam terbunuh. Beliau meninggal pada 8 Julai 1994 ketika berusia 82 tahun, akibat serangan sakit jantung.

Kim Jong-il

Beliau  yang dilahirkan dengan nama Yuri Irsenovich Kim pada 1942 ialah anak hasil perkahwinan bapanya dengan isteri pertama, Kim Jong-suk. Pemimpin Agung Korea Utara yang mula memerintah selepas kematian bapanya mendapat pendidikan di Universiti Kim Il-sung dan turut mengikuti pengajian bahasa Inggeris di Universiti Malta. Ketika pemerintahannya Korea Utara menghadapi banjir besar pada 1995 dan 1996, diikuti kemarau dahsyat selama beberapa tahun bermula 1997 yang menyebabkan lebih 900,000 orang mati. Beliau memperkenalkan dasar ‘Songun’ yang mengutamakan tentera dalam semua aspek termasuk ketika pengagihan bajet. Dia turut meniru pembaharuan ekonomi China dengan mewujudkan Taman Perindustrian Kaesong di kawasan sempadan pada 2003 dengan sasaran penyertaan 250 syarikat Korea Selatan. Jong-il dikritik oleh masyarakat antarabangsa kerana meneruskan program penghasilan senjata nuklear, menahan lebih 200,000 tahanan politik dan mengarahkan kapal selam negara itu menenggelamkan kapal perang Korea Selatan dengan tembakan torpedo yang menyebabkan 46 terbunuh pada Mac 2010. Jong-il yang mempunyai empat anak ialah individu yang bercita rasa mewah termasuk mempunyai bilik bawah tanah yang boleh menampung lebih 10,000 botol wain dari Perancis. Seperti ayahnya, beliau fobia untuk menaiki kapal terbang dan mempunyai perwatakan antisosial. Beliau meninggal dunia pada 17 Disember 2011 ketika berusia 69 tahun akibat serangan jantung ketika menaiki kereta api ke suatu tempat di luar Pyongyang.

Kim Jong-un

KIM Jong-un, 28, diisytiharkan sebagai Pemimpin Agung Korea Utara yang baru selepas pengebumian mayat bapanya. Beliau merupakan anak lelaki bongsu hasil perkahwinan Jong-il dan isterinya, Ko Young-hee. Di upacara peringatan Jong-il; Presiden Korea Utara, Kim Yong-nam mengisytiharkan Jong-un mewarisi fahaman, kepimpinan, keperibadian, nilai-nilai murni, kecekalan hati dan keberanian bapanya. Dalam Tentera Rakyat Korea, beliau berpangkat Daejang yang bersamaan dengan Jeneral. Jong-un belajar bahasa Inggeris di sekolah antarabangsa di Bern, Switzerland. Beliau belajar pengajian sains komputer secara persendirian di Korea Utara dan memiliki dua ijazah termasuk satu dalam bidang fizik dari Universiti Kim Il-sung dan Akademi Tentera Kim Il-sung. Jong-un ialah seorang pemalu dan sering mengelak untuk bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Beliau juga peminat sukan bola keranjang dan menjadikan Michael Jordan sebagai idola.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JANUARI 2012

06 Januari 2012

ISU SOSIAL : KOS TINGGI PUNCA KAHWIN LEWAT?

Oleh NOOR AZIAH MOHD. AWAL


Pada musim cuti sekolah dan cuti perayaan, perkara yang paling banyak diadakan adalah majlis perkahwinan. Pada masa inilah juga katerer mendapat rezeki melimpah ruah, maklumlah kenduri kahwin bukan kecil-kecilan. Di Malaysia, trend majlis perkahwinan di hotel atau dewan telah mengganti majlis yang biasanya diadakan di rumah. Orang kampung pun sudah pandai kenduri dengan menempah makanan. Jika dulu tuan rumah menghantar tepak menjemput tetapi hari ini ada kad, ada yang pakai emel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk jemput ke majlis perkahwinan. Ke mana pergi adat budaya kita? Dulu orang bagi bunga telur tanda terima kasih tuan rumah kepada tetamu, hari ini ada yang bagi gula-gula, coklat, buah, kek dan berbagai hiasan termasuk rantai kunci dan sapu tangan. Semua perubahan majlis perkahwinan bermula daripada persedian hingga ke majlisnya menunjukkan masyarakat Melayu Islam Malaysia yang melalui proses perubahan dan yang pasti kelihatan semakin mewah. Namun berapa ramaikah yang benar-benar tahu tentang hukum pernikahan dan hukum mengadakan kenduri atau walimatulurus?

Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab mengadakan majlis dan siapa yang perlu mengeluarkan belanja? Yang pasti, ramai pasangan yang mahu berkahwin, digamit rasa khuatir kerana perkahwinan memakan belanja yang tinggi. Akhirnya, tunda majlis kerana tidak cukup wang. Adakah perkahwinan itu majlis kenduri atau majlis akad nikahnya? Adakah kenduri itu wajib diadakan? Pernikahan adalah akad yang ditetapkan oleh syarak bagi membolehkan seorang lelaki menikmati hubungan kelamin dengan seorang perempuan dan sebaliknya. Perkahwinan adalah satu ibadah dalam Islam sebagaimana dalam surah ar-Rum ayat 21. Demikian juga sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Nikah adalah sunnahku dan barang siapa yang tidak suka sunnahku, maka dia bukanlah dari umatku". (riwayat Ibnu Majah) Perkahwinan menjadi fardu jika seseorang itu yakin bahawa jika dia tidak berkahwin maka dia akan tercebur ke lembah perzinaan. Selain itu, dia juga mampu melunaskan mahar atau mas kahwin, mampu memberi nafkah isteri zahir dan batin.

Perkahwinan adalah sunat bagi seorang lelaki normal yang jika tidak berkahwin tidak akan melakukan zina dan dia juga tidak akan menganiaya isterinya jika berkahwin. Pernikahan adalah makruh bagi sesaorang yang takut atau bimbang jika dia berkahwin dia akan menganiaya isterinya kerana tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi atau perangai yang kasar atau tidak berminat kepada wanita. Perkahwinan adalah haram jika dia yakin dengan perkahwinannya dia akan menzalimi isterinya seperti tidak mampu menanggung nafkahnya atau tidak mampu mengadakan hubungan seks. Perkahwinan juga bukan sekadar kendurinya saja. Hari ini, orang tidak tanya berapa mahar atau mas kahwin pengantin perempuan kerana ia telah ditetapkan (ikut ketetapan negeri) dan orang mampu mengadakannya. Sebaliknya, tetamu menjeling-jeling wang hantaran dan mengira jumlah dulang yang dihantar. Bukan itu saja, ada yang sanggup membelek-belek barangan yang dihantar hendak menentukan kualiti; tulen atau tiruan. Ibu bapa sanggup berbelanja ratusan ribu ringgit malah ada pasangan muda yang sanggup berhutang untuk memastikan kenduri perkahwinan menjadi paling meriah dan paling mahal.

Memanglah, pasangan mempelai mahu majlis perkahwinan mereka paling istimewa dan unik sebagai tanda cinta mereka. Namun berapa ramai yang tahu bahawa dalam satu majlis perkahwinan, akad nikah itu wajib dilaksanakan kerana ia berlandaskan syarak. Tanpa akad nikah maka tiadalah majlis perkahwinan. Orang dah kenyang makan dan balik tetapi pengantin belum lagi sah suami isteri kecuali pasangan telah selamat diakad nikahkan. Apa yang berlaku hari ini, pasangan mendahulukan semua yang adat seperti membelanja wang untuk hantaran, membeli barang hantaran, membeli bunga telur atau apa-apa buah tangan untuk tetamu, menempah mak andam beserta pelamin, baju dan hiasan perkahwinan. Pasangan hanya berbelanja RM300 sebagai mas kahwin atau mahar berbanding RM50,000 untuk yang lain-lain sedangkan ia hanya adat, bukannya wajib. Malah ia boleh menimbulkan riak kerana rasa ingin menunjuk-nunjuk dan pembaziran.

Menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002 mas kahwin adalah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang. Bagi memastikan suatu perkahwinan itu sah berlaku dan memenuhi kehendak hukum syarak, pasangan hendaklah diakadnikahkan oleh wali atau oleh pendaftar dengan kebenaran wali dan disaksikan oleh dua saksi. Pasangan mestilah seorang lelaki dan seorang perempuan dan pengantin lelaki hendaklah membayar mas kahwin kepada pengantin perempuan. Alangkah mudahnya majlis pernikahan tersebut dan hari ini pasangan telah boleh bernikah dengan mempunyai minimum RM500 kerana jika maharnya RM300, upah nikah dan sedikit yang lain, pasangan boleh diakadnikah dengan selamat. Tentunya ramai yang berkata "tidak mungkin" kerana hari ini hantaran mencecah RM20,000 (bagi seorang anak gadis yang berkelulusan ijazah pertama tidak termasuk artis, orang kenamaan dan sebagainya). Itu tidak termasuk harga barang hantaran seperti cincin pertunangan dan cincin perkahwinan (ada juga yang memberi rantai dan gelang emas) kasut, baju, bag tangan, minyak wangi dan lain-lain barangan sokongan sebagai hantaran.

Ada pasangan berbelanja RM5,000 ke 10,000 untuk hantaran sahaja. Majlis kenduri jika berlangsung di hotel, kosnya kepada berapa jemputan dan jenis makanan yang dihidangkan dan tidak kurang daripada RM50,000. Barang-barang lain yang sangat mahal adalah pelamin, baju pengantin dan bunga telur dan hadiah kepada tetamu. Jika dijumlahkan dari bertunang hingga s akad nikah, ada pasangan membelanjakan RM100,000. Ada yang membelanjakan wang simpanan, ada yang membelanjakan duit ibu bapa yang bergadai bergolok untuk majlis anaknya kerana takut malu dan mahu menjaga air muka dan nama. Lebih malang, pengantin lelaki yang terpaksa meminjam wang bank, koperasi atau kawan kerana wang simpanan tidak mencukupi. Ramai yang terpaksa bertunang lama kerana perlu mengumpul wang. Lebih malang, bayaran pinjaman belum habis dibayar, isteri dah minta cerai. (Utusan Malaysia melaporkan statistik perceraian yang meningkat dan dan 20peratus yang bercerai baru berkahwin lima tahun.)

Menurut kajian, lelaki berkahwin pada usia 28 tahun dan wanita 26 tahun dan adakah ini bermakna pasangan lambat berkahwin kerana faktor kos perkahwinan yang sangat mahal. Perkahwinan adalah isu jodoh dan kita perlu sentiasa ingat bahawa jodoh pertemuan adalah hak Allah. Memang ramai wanita berkahwin lambat kerana kebanyakan wanita berpendidikan tinggi. Umur minimum tamat ijazah pertama universiti adalah 23-24 tahun dan bagi yang membuat diploma adalah 21 tahun. Bagi yang wanita perkahwinan bergantung kepada jika ada orang masuk meminang tetapi bagi lelaki sama ada dia mampu untuk meminang.

Jika tamat belajar mereka berumur 24 tahun dan dengan gaji RM3,000 ke 4,000 sebulan, dengan membayar PTPTN, pinjaman kereta dan perbelanjaan harian, mereka mungkin dapat menabung RM1,000 sebulan. Jika perbelanjaan perkahwinan (hantaran sahaja RM15,000) mereka perlu menabung 15 bulan. Jika anggaran perbelanjaan perkahwinan itu RM50,000 maka mereka hanya boleh berkahwin selepas 50 bulan bekerja (iaitu empat tahun) dan tentulah usia perkahwinan menjadi 28 tahun. Alangkah baiknya simpanan RM50,000 itu dijadikan wang muka membeli rumah dan pasangan boleh terus tinggal di rumah sendiri selepas berkahwin. Memang kos perkahwinan telah naik tetapi itu bukan alasan melewatkan perkahwinan. Ibu bapa perlu ada transformasi pemikiran daripada mahu mengadakan majlis besar-besaran kepada melihat anak berumahtangga tanpa hutang dan memulakan kehidupan rumahtangganya tanpa riba. Tepuk dada tanya selera.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 JANUARI 2011

ISU ANTARABANGSA : TEGAS TERHADAP PESERTA 901

Oleh NURUL ANUAR KARI


Amaran keras, peringatan dan 'nasihat' pasukan keselamatan kepada golongan yang gila mengadakan perhimpunan haram di jalanan nyata sekali umpama mencurah air ke daun keladi. Bukan sahaja tiada kesan akibat ketaksuban golongan itu yang umpama dirasuk sehingga mengikut sahaja segala arahan 'penulis skrip', rakyat jelata juga semakin marah dengan sikap berlembut pihak berkuasa tanpa sebarang tindakan nyata dari sudut perundangan. Negara ini mempunyai pasukan keselamatan dengan kelengkapan terkini, pasukan pendakwaraya terbaik, undang-undang yang jelas dan Perlembagaan yang utuh. Maka, di manakah silapnya perlakuan 'songsang' di jalanan ini masih berterusan dan tiada yang dikenakan tindakan sehinggakan mula merebak di kalangan mahasiswa semula? Dari perhimpunan pertubuhan haram perkauman, parti politik menyorok di sebalik tuntutan pilihan raya, golongan mengamalkan seks songsang, warga Majlis Peguam sehinggakan pelajar universiti, tiada yang diambil tindakan nyata dan rakyat semakin hari semakin hilang kepercayaan kepada pihak-pihak diamanahkan jawatan yang mampu dan sepatutnya bertindak.

Bagi pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz, perkembangan mutakhir ini secara umumnya kerana keadaan masyarakat yang memberi lebih ruang untuk 'kebebasan'. Menurut beliau, tindakan kerajaan kini juga umpama mahu melonggarkan lagi undang-undang melalui pindaan Seksyen 27 Akta Polis serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang darurat serta pengenalan Akta Perhimpunan Aman 2011. "Undang-undang membolehkan kita mengambil tindakan tetapi kerajaan sendiri seperti menyokong tindakan kumpulan tersebut apabila tidak mengambil tindakan tegas. Bukannya pendakwa raya tidak mahu mengambil tindakan tetapi mereka yang tidak menyokong demonstrasi jalanan hampir tiada cara lagi untuk bertindak dari sudut perundangan," katanya. Tambahnya, Akta Ketenteraman Awam yang pernah dibangkitkan sebelum ini mungkin dapat digunakan tetapi malangnya ia tidak menjelaskan sejauh mana kuasa polis untuk bertindak dengan tegas dan berkesan.

Akta Ketenteraman Awam juga jelasnya, hanya meliputi kawasan yang ditetapkan Menteri Dalam Negeri sebagai kawasan berbahaya kepada ketenteraman awam dan lebih sesuai untuk menentang aktiviti komunis atau gengster di kawasan hitam. Beliau mendakwa, polis kini tidak boleh membuat apa-apa kerana tiada lagi platform sesuai untuk melindungi tugas mereka dalam sistem perundangan negara yang semakin liberal. "Sistem yang semakin liberal umpama kita terlalu memberi muka kepada pihak terbabit tetapi di negara luar juga ada peringkat-peringkat perubahan pendekatan perundangan serupa. Dahulu dunia banyak menggunakan cara konfrontasi, kini lebih kepada perbincangan dan toleransi sejajar dengan menjaga hak 'kebebasan'," jelasnya. Shamrahayu berpendapat transformasi kepada sistem perundangan lebih liberal amat memerlukan pemahaman masyarakat umum dan kematangan orang awam yang akan turut serta secara aktif kelak. "Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman merupakan contoh proses negara memahami kehendak rakyat dan mengimbangi perkembangan semasa. Namun, bila Majlis Peguam sendiri bertindak ke jalan raya menunjukkan seolah-olah rakyat yang mahu cara terlalu liberal, mahu bebas sepenuhnya dan polis hanya boleh 'tunggu dan lihat'," ujarnya.

Tegas beliau, langkah 'cuba dahulu' dalam menetapkan sistem perundangan baru juga tidak sesuai dan berbahaya kerana perlu melihat kepada tahap pemahaman dan kematangan rakyat terlebih dahulu. Selain itu, beliau juga tidak menyokong campur tangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menentukan sesuatu perhimpunan boleh diadakan atau tidak. "Biarlah pasukan keselamatan menentukannya berdasarkan budi bicara polis terhadap ancaman ketenteraman awam tanpa campur tangan parti politik. "Perhimpunan haram yang dijangka akan diadakan pada 9 Januari ini, jika hanya demi kepentingan individu adalah tidak adil kepada rakyat tetapi jika KDN campur tangan, rakyat akan melihatnya sebagai polis bertindak di bawah arahan parti politik pula," tegasnya. Bagaimanapun, Shamrahayu memahami walau setegas mana sekalipun polis bertindak dan menggunakan apa jua sudut perundangan, mungkin akan memakan diri hasil implikasi pembangkang cuba mengheret tindakan pasukan keselamatan ke sudut negatif.

Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Mohd. Jamil Mohd. Hassan pula menolak pandangan pihak polis telah hilang kuasa untuk bertindak akibat pemasuhan dan pindaan perundangan sedia ada. "Polis bukannya hilang kuasa tetapi menunggu kelulusan undang-undang baru di Parlimen yang lebih selesa kepada semua pihak dan dapat menentang dakyah 'penjenayah-penjenayah yang sedang bermaharajalela' kerana kelemahan undang-undang sedia ada. "Polis telah menguatkuasakan undang-undang sedia ada dengan cemerlang dan banyak kes dapat diselesaikan dengan pantas tetapi tindakan susulan perlu digalas dan dikendali pihak pendakwaan pula. "Sesiapa pun tidak diberi keistimewaan tetapi memang tidak pernah berlaku ada orang berani berkumpul menentang undang-undang. Perhimpunan haram umpama yang cuba diadakan pada 9 Januari ini tidak seimbang dengan sebuah negara demokratik tetapi malangnya masih ada rakyat tidak dapat berfikir secara mendalam," ujarnya. Mohd. Jamil mempersoalkan tujuan demonstrasi tersebut dan meminta pihak yang mahu menyertainya berfikir sama ada tindakan mereka mampu mengubah keputusan di mahkamah. "Keputusan mahkamah mengikut undang-undang sedia ada dan kita pun belum tahu apakah yang bakal diputuskan hakim. Dengan kedegilan untuk tetap menganjurkan perhimpunan haram itu menggambarkan pihak berkenaan merasakan dirinya rasa bersalah sebelum keputusan diumumkan lagi," katanya.

Walau apa pun cara dipilih pihak terbabit, beliau mewakili anggota Respa merayu pihak polis bertindak dengan penuh ketegasan kali ini. Tegasnya, polis tidak terikat dalam mengambil tindakan dan tidak perlu memberi muka kepada sesiapa pun dalam melaksanakan peruntukan undang-undang kerana tidak mahu perkara sama berulang lagi. "Menjadi tugas polis menjaga keharmonian dan ketenteraman awam, tapi kalau tidak bertegas, tidak tahulah. Selain itu, pihak pendakwaan juga perlu selaraskan tindakan dengan ketegasan serupa ke mahkamah," ujarnya. Jika perbuatan melanggar undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam terus dibiarkan tanpa hukuman, rakyat yang berkecuali akan berasa semakin kecewa terhadap mereka yang memegang amanah dan hak untuk bertindak. Sememangnya sudah dijangka pihak terbabit sudah mempunyai skrip dan pelan sokongan jika pihak berkuasa cuba mematahkan taktik mereka. Namun, janganlah dibiarkan kumpulan minoriti pengacau terus membuat onar dan berlagak lebih dominan daripada majoriti yang memberi amanah dan kuasa kepada pemerintah dan pihak berkuasa.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 JANUARI 2011

ISU ANTARABANGSA : ARAB SAUDI PENYELAMAT EKONOMI AMERIKA SYARIKAT

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


Sememangnya tidak menghairankan apabila Kongres Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan 84 jet pejuang F-15SA yang menelan belanja AS$30 bilion kepada Arab Saudi kerana itu adalah sebahagian daripada persetujuan yang telah dicapai tahun lepas yang mengikat kedua-dua negara. Persetujuan pertahanan yang dianggap paling lumayan kepada AS kerana ia bernilai AS$60 bilion sementara bagi Arab Saudi pula akan mempunyai pertahanan yang mantap kerana selain F-15, negara pengeluar minyak itu juga akan menerima helikopter tempur Apache dan peluru berpandu dalam tempoh 10-15 tahun akan datang. Memang benar F-15SA yang akan diterima Riyadh bukan jet pejuang yang tercanggih dalam kelas yang sama tetapi pengumuman yang dibuat oleh Presiden Barack Obama ketika beliau sedang bercuti di Hawaii menimbulkan banyak persoalan kerana White House seolah-olah cuba mengejar sesuatu untuk memperolehi kesan yang paling maksimum. Presiden Obama menegaskan penjualan terbaru ini adalah manifestasi kepada tiga perkara utama iaitu pengamalan dasar luar, keselamatan dan ekonomi. Perlu ditekankan juga kos AS$30 bilion bukan sahaja merangkumi penghantaran 84 F-15SA tetapi juga menaik taraf 80 F-15 yang sedia dimiliki oleh tentera udara Arab Saudi.

Sejak tercetusnya apa yang dipanggil revolusi rakyat Arab sehingga tumbangnya diktator Tunisia, Mesir dan Yemen, hubungan di antara Washington dan Riyadh dikatakan agak tegang terutama sekali reaksi AS yang begitu kritikal terhadap cara jiran dan sekutu Arab Saudi iaitu Bahrain menangani bantahan rakyatnya. Perlu diingatkan bahawa Riyadh telah menghantar tentera untuk mengekang bantahan rakyat Bahrain yang rata-rata daripada fahaman Syiah. F-15SA boleh dianggap sebagai gula-gula untuk berbaik semula dengan Arab Saudi kerana bagi AS, negara tersebut begitu strategik untuk menjaga kepentingan mereka di dunia Arab. Sebab itu apabila Presiden Obama menegaskan penjualan jet pejuang F-15SA adalah untuk kepentingan dasar luar AS, dalil tersebut ada kebenarannya. Mungkin ramai juga yang terpengaruh dengan hujah Presiden Obama yang mengetengahkan kepentingan keselamatan sehinggakan Arab Saudi memerlukan 84 jet pejuang yang baharu. Sebab itu pengumuman tersebut dilihat tergesa-gesa kerana Washington mahu mencuri peluang ketegangan yang disabitkan oleh Iran yang mengugut untuk menutup Selat Hormuz.

Seperti lazimnya ugutan tersebut telah digunakan oleh AS untuk memperkuatkan hujah bahawa Iran adalah ancaman kepada keamanan dunia kerana Selat Hormuz merupakan laluan penting sebab lebih dari 40 peratus bekalan minyak dunia menggunakan laluan selat tersebut. Jika Iran dianggap ancaman kepada keamanan, timbul keraguan terhadap andaian tersebut kerana selain Arab Saudi, Iraq juga bakal menerima sejumlah peralatan ketenteraan yang bernilai lebih dari AS$11 bilion. Secara logiknya Iraq boleh dianggap sebagai kekangan kepada cita-cita Iran kerana kedua-dua negara tersebut sememangnya seteru dan pernah berperang selama hampir satu dekad lamanya. Tetapi setelah tumbangnya Parti Baath Saddam Hussein, Iraq pada hari ini lebih condong kepada pengaruh Syiah Iran terutama sekali setelah ketiadaan tentera AS. Perdana Menteri Nuri al-Maliki umpamanya telah mempergunakan tentera Iraq yang kebanyakannya dari fahaman Syiah untuk menekan rakyat Sunnah Iraq. Perlu ditekankan agak sukar bagi Iran untuk menyekat laluan Selat Hormuz kerana kehadiran Armada Kelima Tentera Laut AS yang berpangkalan di Bahrain sudah cukup untuk membuatkan Teheran berfikir banyak kali.

Sebab itu ramai yang beranggapan bahawa penjualan F-15SA bukan disebabkan oleh pengamalan dasar luar atau isu keselamatan rantau Asia Barat, tetapi lebih merupakan untuk menjaga kepentingan politik tempatan AS. Lebih spesifik lagi ialah F-15SA bakal menyelamatkan Presiden Obama menjelang pemilihan presiden pada bulan November akan datang. Sebab itu diandaikan pengumuman yang dibuat oleh Presiden Obama ketika beliau sedang bercuti bukan kerana ketegangan di Selat Hormuz tetapi disebabkan pemilihan calon presiden Parti Republikan baru sahaja bermula di Iowa dan akan diikuti di New Hampshire minggu hadapan. Isu yang gemar digunakan oleh calon Republikan adalah keadaan ekonomi yang lembab di bawah pentadbiran Obama terutama sekali angka pengangguran yang telah mencecah sehingga 10 peratus. Penjualan F-15SA kepada Arab Saudi telah membuntukan isu perbahasan calon Republikan kerana dianggarkan 50,000 pekerjaan baru akan diwujudkan. Ini adalah kerana pembangunan F-15SA akan melibatkan hampir 600 pembekal dari 44 negeri dalam AS. Pekerjaan baru yang bakal diwujudkan bukan sahaja terhad kepada sektor aeroangkasa tetapi merangkumi segenap rantaian sektor pembuatan.

Dari segi kesan pulangan kewangan pula, dianggarkan sebanyak AS$3.5 bilion akan disumbangkan kepada kitaran ekonomi AS setiap tahun. Kesan paling ketara terhadap perolehan aset ketenteraan terbaru Arab Saudi bukannya memberi kelebihan kepada isu pengamalan dasar luar kerana hubungan rapat kedua-dua negara sentiasa akrab walaupun terdapat satu ketika berlakunya perselisihan pendapat. Hakikatnya kedua-dua negara saling memerlukan antara satu sama lain. Begitu juga dengan ugutan Teheran untuk menutup laluan Selat Hormuz mudah ditangani oleh Armada Kelima AS dan bukannya dengan jet pejuang milik jiran Iran. Seperti lazimnya penjualan senjata AS tidak kira kepada negara yang sememangnya mempunyai limpahan wang yang lumayan seperti Arab Saudi atau pun negara yang baru pulih dari kesangsaraan seperti Iraq, tujuannya hanya untuk memakmurkan ekonomi AS terutama sekali yang berkaitan dengan industri pertahanan. Makmurnya industri tersebut maka secara langsung akan menceriakan ekonomi AS kerana kaitannya merangkumi kesemua sektor ekonomi yang lain.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 JANUARI 2011

ISU SOSIAL : REALISASIKAN 1 MALAYSIA 1 KOMUNITI SELAMAT

TAN SRI LEE LAM THYE
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)


Utusan Malaysia melaporkan pada 1 Januari ketika seluruh negara menantikan detik menyambut Tahun Baru 2012, satu nahas ngeri meragut nyawa tujuh remaja berlaku di kilometer 9.6 Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Seri Manjung, Perak. Kemalangan ngeri tersebut betul-betul menyayat hati kita. Sebelum tragedi tersebut juga telah berlaku beberapa kamalangan tragik baik pun di jalan raya atau di tempat kerja. Biarlah Tahun Baru 2012 bermula dengan setiap rakyat berazam untuk menjadikan Malaysia tempat yang lebih selamat untuk semua - selamat bukan sahaja daripada pengganas, jenayah dan keganasan tetapi juga daripada tragedi yang terhasil daripada tingkah laku kita sendiri sama ada di jalan raya, di kawasan kediaman ataupun di tempat kerja. Hakikatnya bahawa tanah runtuh, banjir kilat dan jalan-jerlus termasuk jalan berlopak adalah kejadian yang kerap berlaku kerana kegagalan kita untuk membudayakan penyelenggaraan dan keselamatan sebagai satu cara hidup.

Kita juga perlu sedar bahawa apa-apa tindakan yang mengakibatkan kepincangan dan kemusnahan alam sekitar akan memberi kesan yang amat buruk. Apa yang perlu diberi perhatian segera ialah kebimbangan terhadap rekod kemalangan jalan raya di Malaysia yang menggambarkan tahap keselamatan jalan raya yang dahsyat berdasarkan 6,000-7,000 kes kematian di jalan raya setiap tahun. Jelas sekali ia adalah pembuka mata kepada semua, pengusaha pengangkutan awam, pemandu bas, pengguna jalan raya dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan dan tanggungjawab sepenuhnya demi menjadikan jalan raya dan lebuh raya kita lebih selamat. Marilah kita semua berusaha ke arah merealisasikan 1 Malaysia 1 Komuniti Selamat di mana budaya keselamatan tersemai dalam setiap kehidupan rakyat Malaysia. Takrif "Komuniti Selamat" ialah orang ramai hidup, bekerja dan bermain dalam persekitaran yang selamat.

Membangunkan budaya selamat boleh dicapai melalui pewujudan Komuniti Selamat. Pendekatan Komuniti Selamat menjadi titik penentu bagi pihak berkuasa, majikan dan pekerja sama ada perusahaan kecil atau besar, para pengamal keselamatan dan orang ramai yang berminat dalam hal ehwal kemasyarakatan, untuk membina sebuah komuniti yang selamat di mana mereka bekerja atau tinggal. Persekitaran yang selesa dan selamat untuk sekolah-sekolah akan meningkatkan keselamatan terhadap kanak-kanak sekolah. Mengamalkan budaya keselamatan jalan raya akan membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa di jalan raya kita. Masyarakat yang membudayakan keselamatan akan memberi faedah kepada negara dalam pelbagai cara. Program "Komuniti Selamat" adalah merujuk kepada pendekatan pembangunan dan capaian kemasyarakatan. Ia merupakan pembangunan bersepadu membudayakan keselamatan dalam komuniti yang meliputi keselamatan jalan raya, keselamatan di tempat kerja, keselamatan sekolah, keselamatan rekreasi, pencegahan jenayah dan sebagainya. Program yang berkesan boleh dicapai melalui sinergi inisiatif keselamatan dan kesihatan kumpulan-kumpulan masyarakat yang berbeza, syarikat-syarikat tempatan, perniagaan, organisasi, persatuan, sekolah-sekolah, penyedia penjagaan kesihatan, agensi-agensi kerajaan dan kumpulan perkhidmatan yang lain.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 JANUARI 2011