Oleh NURUL ANUAR KARI
Amaran keras, peringatan dan 'nasihat' pasukan keselamatan kepada golongan yang gila mengadakan perhimpunan haram di jalanan nyata sekali umpama mencurah air ke daun keladi. Bukan sahaja tiada kesan akibat ketaksuban golongan itu yang umpama dirasuk sehingga mengikut sahaja segala arahan 'penulis skrip', rakyat jelata juga semakin marah dengan sikap berlembut pihak berkuasa tanpa sebarang tindakan nyata dari sudut perundangan. Negara ini mempunyai pasukan keselamatan dengan kelengkapan terkini, pasukan pendakwaraya terbaik, undang-undang yang jelas dan Perlembagaan yang utuh. Maka, di manakah silapnya perlakuan 'songsang' di jalanan ini masih berterusan dan tiada yang dikenakan tindakan sehinggakan mula merebak di kalangan mahasiswa semula? Dari perhimpunan pertubuhan haram perkauman, parti politik menyorok di sebalik tuntutan pilihan raya, golongan mengamalkan seks songsang, warga Majlis Peguam sehinggakan pelajar universiti, tiada yang diambil tindakan nyata dan rakyat semakin hari semakin hilang kepercayaan kepada pihak-pihak diamanahkan jawatan yang mampu dan sepatutnya bertindak.
Bagi pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz, perkembangan mutakhir ini secara umumnya kerana keadaan masyarakat yang memberi lebih ruang untuk 'kebebasan'. Menurut beliau, tindakan kerajaan kini juga umpama mahu melonggarkan lagi undang-undang melalui pindaan Seksyen 27 Akta Polis serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang darurat serta pengenalan Akta Perhimpunan Aman 2011. "Undang-undang membolehkan kita mengambil tindakan tetapi kerajaan sendiri seperti menyokong tindakan kumpulan tersebut apabila tidak mengambil tindakan tegas. Bukannya pendakwa raya tidak mahu mengambil tindakan tetapi mereka yang tidak menyokong demonstrasi jalanan hampir tiada cara lagi untuk bertindak dari sudut perundangan," katanya. Tambahnya, Akta Ketenteraman Awam yang pernah dibangkitkan sebelum ini mungkin dapat digunakan tetapi malangnya ia tidak menjelaskan sejauh mana kuasa polis untuk bertindak dengan tegas dan berkesan.
Akta Ketenteraman Awam juga jelasnya, hanya meliputi kawasan yang ditetapkan Menteri Dalam Negeri sebagai kawasan berbahaya kepada ketenteraman awam dan lebih sesuai untuk menentang aktiviti komunis atau gengster di kawasan hitam. Beliau mendakwa, polis kini tidak boleh membuat apa-apa kerana tiada lagi platform sesuai untuk melindungi tugas mereka dalam sistem perundangan negara yang semakin liberal. "Sistem yang semakin liberal umpama kita terlalu memberi muka kepada pihak terbabit tetapi di negara luar juga ada peringkat-peringkat perubahan pendekatan perundangan serupa. Dahulu dunia banyak menggunakan cara konfrontasi, kini lebih kepada perbincangan dan toleransi sejajar dengan menjaga hak 'kebebasan'," jelasnya. Shamrahayu berpendapat transformasi kepada sistem perundangan lebih liberal amat memerlukan pemahaman masyarakat umum dan kematangan orang awam yang akan turut serta secara aktif kelak. "Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman merupakan contoh proses negara memahami kehendak rakyat dan mengimbangi perkembangan semasa. Namun, bila Majlis Peguam sendiri bertindak ke jalan raya menunjukkan seolah-olah rakyat yang mahu cara terlalu liberal, mahu bebas sepenuhnya dan polis hanya boleh 'tunggu dan lihat'," ujarnya.
Tegas beliau, langkah 'cuba dahulu' dalam menetapkan sistem perundangan baru juga tidak sesuai dan berbahaya kerana perlu melihat kepada tahap pemahaman dan kematangan rakyat terlebih dahulu. Selain itu, beliau juga tidak menyokong campur tangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menentukan sesuatu perhimpunan boleh diadakan atau tidak. "Biarlah pasukan keselamatan menentukannya berdasarkan budi bicara polis terhadap ancaman ketenteraman awam tanpa campur tangan parti politik. "Perhimpunan haram yang dijangka akan diadakan pada 9 Januari ini, jika hanya demi kepentingan individu adalah tidak adil kepada rakyat tetapi jika KDN campur tangan, rakyat akan melihatnya sebagai polis bertindak di bawah arahan parti politik pula," tegasnya. Bagaimanapun, Shamrahayu memahami walau setegas mana sekalipun polis bertindak dan menggunakan apa jua sudut perundangan, mungkin akan memakan diri hasil implikasi pembangkang cuba mengheret tindakan pasukan keselamatan ke sudut negatif.
Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Mohd. Jamil Mohd. Hassan pula menolak pandangan pihak polis telah hilang kuasa untuk bertindak akibat pemasuhan dan pindaan perundangan sedia ada. "Polis bukannya hilang kuasa tetapi menunggu kelulusan undang-undang baru di Parlimen yang lebih selesa kepada semua pihak dan dapat menentang dakyah 'penjenayah-penjenayah yang sedang bermaharajalela' kerana kelemahan undang-undang sedia ada. "Polis telah menguatkuasakan undang-undang sedia ada dengan cemerlang dan banyak kes dapat diselesaikan dengan pantas tetapi tindakan susulan perlu digalas dan dikendali pihak pendakwaan pula. "Sesiapa pun tidak diberi keistimewaan tetapi memang tidak pernah berlaku ada orang berani berkumpul menentang undang-undang. Perhimpunan haram umpama yang cuba diadakan pada 9 Januari ini tidak seimbang dengan sebuah negara demokratik tetapi malangnya masih ada rakyat tidak dapat berfikir secara mendalam," ujarnya. Mohd. Jamil mempersoalkan tujuan demonstrasi tersebut dan meminta pihak yang mahu menyertainya berfikir sama ada tindakan mereka mampu mengubah keputusan di mahkamah. "Keputusan mahkamah mengikut undang-undang sedia ada dan kita pun belum tahu apakah yang bakal diputuskan hakim. Dengan kedegilan untuk tetap menganjurkan perhimpunan haram itu menggambarkan pihak berkenaan merasakan dirinya rasa bersalah sebelum keputusan diumumkan lagi," katanya.
Walau apa pun cara dipilih pihak terbabit, beliau mewakili anggota Respa merayu pihak polis bertindak dengan penuh ketegasan kali ini. Tegasnya, polis tidak terikat dalam mengambil tindakan dan tidak perlu memberi muka kepada sesiapa pun dalam melaksanakan peruntukan undang-undang kerana tidak mahu perkara sama berulang lagi. "Menjadi tugas polis menjaga keharmonian dan ketenteraman awam, tapi kalau tidak bertegas, tidak tahulah. Selain itu, pihak pendakwaan juga perlu selaraskan tindakan dengan ketegasan serupa ke mahkamah," ujarnya. Jika perbuatan melanggar undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam terus dibiarkan tanpa hukuman, rakyat yang berkecuali akan berasa semakin kecewa terhadap mereka yang memegang amanah dan hak untuk bertindak. Sememangnya sudah dijangka pihak terbabit sudah mempunyai skrip dan pelan sokongan jika pihak berkuasa cuba mematahkan taktik mereka. Namun, janganlah dibiarkan kumpulan minoriti pengacau terus membuat onar dan berlagak lebih dominan daripada majoriti yang memberi amanah dan kuasa kepada pemerintah dan pihak berkuasa.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 JANUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan