JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 Januari 2012

ISU ANTARABANGSA : ARAB SAUDI PENYELAMAT EKONOMI AMERIKA SYARIKAT

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


Sememangnya tidak menghairankan apabila Kongres Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan 84 jet pejuang F-15SA yang menelan belanja AS$30 bilion kepada Arab Saudi kerana itu adalah sebahagian daripada persetujuan yang telah dicapai tahun lepas yang mengikat kedua-dua negara. Persetujuan pertahanan yang dianggap paling lumayan kepada AS kerana ia bernilai AS$60 bilion sementara bagi Arab Saudi pula akan mempunyai pertahanan yang mantap kerana selain F-15, negara pengeluar minyak itu juga akan menerima helikopter tempur Apache dan peluru berpandu dalam tempoh 10-15 tahun akan datang. Memang benar F-15SA yang akan diterima Riyadh bukan jet pejuang yang tercanggih dalam kelas yang sama tetapi pengumuman yang dibuat oleh Presiden Barack Obama ketika beliau sedang bercuti di Hawaii menimbulkan banyak persoalan kerana White House seolah-olah cuba mengejar sesuatu untuk memperolehi kesan yang paling maksimum. Presiden Obama menegaskan penjualan terbaru ini adalah manifestasi kepada tiga perkara utama iaitu pengamalan dasar luar, keselamatan dan ekonomi. Perlu ditekankan juga kos AS$30 bilion bukan sahaja merangkumi penghantaran 84 F-15SA tetapi juga menaik taraf 80 F-15 yang sedia dimiliki oleh tentera udara Arab Saudi.

Sejak tercetusnya apa yang dipanggil revolusi rakyat Arab sehingga tumbangnya diktator Tunisia, Mesir dan Yemen, hubungan di antara Washington dan Riyadh dikatakan agak tegang terutama sekali reaksi AS yang begitu kritikal terhadap cara jiran dan sekutu Arab Saudi iaitu Bahrain menangani bantahan rakyatnya. Perlu diingatkan bahawa Riyadh telah menghantar tentera untuk mengekang bantahan rakyat Bahrain yang rata-rata daripada fahaman Syiah. F-15SA boleh dianggap sebagai gula-gula untuk berbaik semula dengan Arab Saudi kerana bagi AS, negara tersebut begitu strategik untuk menjaga kepentingan mereka di dunia Arab. Sebab itu apabila Presiden Obama menegaskan penjualan jet pejuang F-15SA adalah untuk kepentingan dasar luar AS, dalil tersebut ada kebenarannya. Mungkin ramai juga yang terpengaruh dengan hujah Presiden Obama yang mengetengahkan kepentingan keselamatan sehinggakan Arab Saudi memerlukan 84 jet pejuang yang baharu. Sebab itu pengumuman tersebut dilihat tergesa-gesa kerana Washington mahu mencuri peluang ketegangan yang disabitkan oleh Iran yang mengugut untuk menutup Selat Hormuz.

Seperti lazimnya ugutan tersebut telah digunakan oleh AS untuk memperkuatkan hujah bahawa Iran adalah ancaman kepada keamanan dunia kerana Selat Hormuz merupakan laluan penting sebab lebih dari 40 peratus bekalan minyak dunia menggunakan laluan selat tersebut. Jika Iran dianggap ancaman kepada keamanan, timbul keraguan terhadap andaian tersebut kerana selain Arab Saudi, Iraq juga bakal menerima sejumlah peralatan ketenteraan yang bernilai lebih dari AS$11 bilion. Secara logiknya Iraq boleh dianggap sebagai kekangan kepada cita-cita Iran kerana kedua-dua negara tersebut sememangnya seteru dan pernah berperang selama hampir satu dekad lamanya. Tetapi setelah tumbangnya Parti Baath Saddam Hussein, Iraq pada hari ini lebih condong kepada pengaruh Syiah Iran terutama sekali setelah ketiadaan tentera AS. Perdana Menteri Nuri al-Maliki umpamanya telah mempergunakan tentera Iraq yang kebanyakannya dari fahaman Syiah untuk menekan rakyat Sunnah Iraq. Perlu ditekankan agak sukar bagi Iran untuk menyekat laluan Selat Hormuz kerana kehadiran Armada Kelima Tentera Laut AS yang berpangkalan di Bahrain sudah cukup untuk membuatkan Teheran berfikir banyak kali.

Sebab itu ramai yang beranggapan bahawa penjualan F-15SA bukan disebabkan oleh pengamalan dasar luar atau isu keselamatan rantau Asia Barat, tetapi lebih merupakan untuk menjaga kepentingan politik tempatan AS. Lebih spesifik lagi ialah F-15SA bakal menyelamatkan Presiden Obama menjelang pemilihan presiden pada bulan November akan datang. Sebab itu diandaikan pengumuman yang dibuat oleh Presiden Obama ketika beliau sedang bercuti bukan kerana ketegangan di Selat Hormuz tetapi disebabkan pemilihan calon presiden Parti Republikan baru sahaja bermula di Iowa dan akan diikuti di New Hampshire minggu hadapan. Isu yang gemar digunakan oleh calon Republikan adalah keadaan ekonomi yang lembab di bawah pentadbiran Obama terutama sekali angka pengangguran yang telah mencecah sehingga 10 peratus. Penjualan F-15SA kepada Arab Saudi telah membuntukan isu perbahasan calon Republikan kerana dianggarkan 50,000 pekerjaan baru akan diwujudkan. Ini adalah kerana pembangunan F-15SA akan melibatkan hampir 600 pembekal dari 44 negeri dalam AS. Pekerjaan baru yang bakal diwujudkan bukan sahaja terhad kepada sektor aeroangkasa tetapi merangkumi segenap rantaian sektor pembuatan.

Dari segi kesan pulangan kewangan pula, dianggarkan sebanyak AS$3.5 bilion akan disumbangkan kepada kitaran ekonomi AS setiap tahun. Kesan paling ketara terhadap perolehan aset ketenteraan terbaru Arab Saudi bukannya memberi kelebihan kepada isu pengamalan dasar luar kerana hubungan rapat kedua-dua negara sentiasa akrab walaupun terdapat satu ketika berlakunya perselisihan pendapat. Hakikatnya kedua-dua negara saling memerlukan antara satu sama lain. Begitu juga dengan ugutan Teheran untuk menutup laluan Selat Hormuz mudah ditangani oleh Armada Kelima AS dan bukannya dengan jet pejuang milik jiran Iran. Seperti lazimnya penjualan senjata AS tidak kira kepada negara yang sememangnya mempunyai limpahan wang yang lumayan seperti Arab Saudi atau pun negara yang baru pulih dari kesangsaraan seperti Iraq, tujuannya hanya untuk memakmurkan ekonomi AS terutama sekali yang berkaitan dengan industri pertahanan. Makmurnya industri tersebut maka secara langsung akan menceriakan ekonomi AS kerana kaitannya merangkumi kesemua sektor ekonomi yang lain.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 JANUARI 2011

Tiada ulasan: