18 November 2011

ISU DADAH : KENAPA MALAYSIA JADI PILIHAN SINDIKET DADAH?

Oleh suffian abu bakar


PULAU EASTER, CHILE

Apakah benar Malaysia kini menjadi hab sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga asing, ekoran kejayaan pihak berkuasa membongkar satu demi satu kegiatan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Rakyat Malaysia pasti bimbang jika andaian itu betul. Jika benar negara kita hab dadah, apa akan terjadi kepada generasi muda pada masa depan, bagaimana persepsi pelancong untuk berkunjung ke Malaysia dengan imej sedemikian rupa. Sekiranya Malaysia menjadi hab dadah juga, ia bukan sahaja memberi gambaran negatif tentang negara ini, malah kesan jangka panjang yang akan dihadapi termasuk meningkatnya kes jenayah dan bilangan penagih. Untuk mengklasifikasikan Malaysia sebagai hab dadah, kita perlu kaji adakah benar negara ini memiliki banyak makmal haram menghasilkan dadah, tidak kira sama ada untuk pasaran tempatan atau untuk diseludup ke negara luar. Pada 2008 lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah menggagalkan satu kartel dadah melibatkan tiga beradik warga Mexico untuk mewujudkan sebuah makmal terbesar di sebuah kilang Johor.

Ini merupakan salah satu daripada kejayaan polis menumpaskan sindiket dadah antarabangsa membina makmal di negara ini. Jika kegiatan warga Amerika Latin itu tidak ditumpaskan, makmal tersebut mampu menghasilkan maksimum 600 kilogram dadah jenis syabu sehari! Selepas sindiket itu dilumpuhkan, sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai makmal dadah mula berkubur. Namun, disebabkan permintaan yang masih ada dari dalam negara, ada cubaan untuk kembali membawa masuk bekalan dadah sintetik yang telah siap diproses ke negara ini. Itulah yang berlaku apabila pada Mei 2009 apabila polis merampas dadah jenis syabu bernilai RM254 juta di Rompin, Pahang selepas menahan empat suspek termasuk seorang ahli perniagaan bergelar datuk. Bekalan dadah yang sudah siap diproses itu diseludup masuk setelah pihak berkuasa termasuk PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengekang cubaan sindiket untuk mewujudkan makmal-makmal di negara ini.

Bagaimanapun, sindiket dadah antarabangsa ini tidak putus asa dan terus cuba membina empayar mereka termasuk makmal dadah di Malaysia selepas itu. Kejayaan terbaru PDRM adalah menumpaskan sindiket yang didalangi warga Belanda selepas menyerbu dua buah premis di Kedah dan Pulau Pinang selain merampas dadah bernilai RM20 juta pada Jumaat lalu. Malaysia sebenarnya begitu 'diminati' oleh sindiket dadah antarabangsa untuk membina makmal kegiatan mereka, dan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Antaranya, kedudukan negara yang begitu strategik di tengah-tengah rantau Asia yang membolehkan sindiket menyeludup keluar dan masuk bekalan dadah untuk dipasarkan di negara serantau termasuk Australia, Indonesia dan Hong Kong (sekadar menyebut tiga buah negara). Selain itu, sindiket dadah (terutamanya yang besar) menggunakan pelbagai taktik untuk membina empayar dan makmal dadah mereka di negara ini.

Antara yang dikesan pihak berkuasa adalah mereka mulanya akan menjalankan perniagaan sebagai contoh minyak wangi atau sabun dengan membawa masuk bahan-bahan mentah dalam kuantiti yang banyak untuk menghasilkan dadah menggunakan kontena. Selepas kegiatan mereka membawa masuk bahan-bahan mentah itu tidak dicurigai pihak berkuasa, sindiket ini akan mula mengubah pelan mereka dengan membawa masuk bahan-bahan menghasilkan dadah menggunakan kontena. Bagi sindiket pengedaran dadah tempatan yang bergerak secara kecil-kecilan pula, mereka akan mendapatkan bahan-bahan untuk menghasilkan dadah di pasaran. Pembelian bahan-bahan itu dilakukan secara berkala dan dibuat di beberapa buah kedai sebelum dikumpulkan bagi mengelak kegiatan itu dihidu. Secara tidak langsung juga, bahan-bahan untuk menghasilkan dadah psikotrapik seperti 'asid acetic', 'klorofom', 'ephedrine ethyl ether' dan 'asid hidroklorik' (sekadar menyebut beberapa bahan) begitu mudah didapati dan dijual secara terbuka di pasaran. Ia membolehkan kegiatan sindiket ini terus dilakukan.

Faktor lain yang menyebabkan Malaysia dipilih sebagai lokasi sesuai untuk makmal dadah adalah kemudahan. Warga asing tidak kekok untuk berada di Malaysia, kerana sudah ramai warga asing yang datang dan menetap di sini.Mereka menyalahgunakan kemudahan yang diberikan. Warga asing yang masuk sebagai pelajar di negara ini, menyalahgunakan kemudahan itu untuk menyeludup dan mengedar dadah. Demi mencari kemewahan hidup juga, warga asing akan menjalankan kegiatan itu asalkan mereka boleh memperoleh wang yang lumayan serta mampu memiliki aset-aset mewah seperti kereta dan rumah besar. Hakikatnya, bukan bermakna pihak berkuasa tidak menjalankan tugas mereka, sebaliknya kemudahan yang diperoleh di negara ini, dimanipulasikan untuk kegiatan jenayah sindiket dadah. Menyentuh mengenai penglibatan warga asing dari Afrika dan Iran pula, tangkapan yang dilakukan pihak berkuasa, sama ada PDRM atau JKDM di pintu-pintu masuk di negara ini menunjukkan peningkatan.

Tangkapan demi tangkapan yang dibuat dan disiarkan dalam media-massa saban hari memberi gambaran bahawa peranan agensi penguatkuasaan sudah dilakukan. Cuma persoalan yang timbul adalah sejauh mana pula permintaan terhadap bekalan dadah tempatan itu dapat dipenuhi dengan tumpasnya sindiket-sindiket dadah di negara ini, sama ada milik rakyat tempatan mahupun warga asing. Meskipun terdapat maklumat yang mengatakan bahawa bilangan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di seluruh negara hanya sekitar 3,700 orang, ini tidak bermakna pasukan itu gagal menangani masalah dadah di negara ini. Apa yang diperlukan adalah, PDRM sentiasa mencari kaedah alternatif untuk menangani dan membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah, walaupun bilangan anggota yang bertugas dalam JSJN itu begitu terhad.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
18 NOVEMBER 2011


ISU MEDIA MASSA : ABN MUNCUL UNTUK JADI SAINGAN ASTRO

Oleh
DATUK IBRAHIM YAHAYA
Penasihat Media
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan


PULAU MAMANUCA, FIJI

Pelancaran Asian Broadcasting Network (ABN), televisyen kabel digital pada 15 November lalu mencatatkan satu sejarah lagi dalam industri penyiaran di negara ini. Ia secara langsung menambah satu lagi pilihan perkhidmatan televisyen berbayar kepada rakyat negara ini. Secara kebetulan kemunculan ABN, milik Nilamas Corporation Sdn Bhd, ketika hati rakyat masih lagi 'panas' dengan tindakan All-Asian Satellite Television and Radio Operator (Astro) menaikkan kadar bayaran lebih tinggi kepada perkhidmatan tertentu. Walaupun, kerajaan menegur tindakan itu tetapi Astro tetap mengambil keputusan melaksanakannya kerana bagi mereka ia tidak membabitkan rakyat keseluruhannya tetapi hanya sebahagian perkhidmatan saja. Tindakan Astro itu walaupun tidak disenangi oleh pelanggannya tetapi sehingga kini tiada maklumat mengenai jumlah yang menamatkan perkhidmatan. Hanya syarikat itu saja yang mempunyai maklumat berkenaan. Kemarahan pelanggan itu boleh dirasai kerana dalam keadaan mereka menghadapi pelbagai cabaran akibat putaran ekonomi dunia seperti kenaikan harga barang, mereka pula terpaksa mengempiskan kocek semata-mata untuk menambah bayaran bagi perkhidmatan Astro.

Bagi ibu bapa, mereka tiada pilihan memandangkan perkhidmatan televisyen satelit itu digemari oleh anak-anak terutama siaran kartun dan filem selain bapa yang meminati bidang sukan terutama bola sepak Liga Inggeris. Oleh itu, mereka tetap terus melanggan perkhidmatan walaupun hati penuh dengan rasa kecewa ditambah pula dengan 'kekurangan' sistem siaran itu yang tidak boleh ditonton ketika waktu hujan. Inilah kesempatan yang digunakan oleh ABN, pemain baru industri penyiaran untuk menyatakan mereka menawarkan kadar bayaran yang lebih rendah dari Astro di samping tiada gangguan ketika musim hujan. Kelebihan ini mungkin menarik pelanggan untuk mengambil perkhidmatan mereka tetapi yang lebih penting ialah isi kandungan yang akan dihidangkan kepada pelanggan. Isi kandungan yang baik sudah pasti menarik hati pelanggan untuk melanggani perkhidmatan terutama yang membabitkan program serupa yang ditawarkan oleh Astro seperti penayangan filem-filem tempatan dan luar yang bermutu selain program sukan dan hiburan yang menghiburkan.

Dalam pada itu, kemunculan ABN amat dialu-alukan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. Beliau menyifatkan ia satu lagi pilihan kepada rakyat negara ini dan secara langsung mengelakkan rakyat tertumpu pada syarikat tertentu saja. Kerajaan, katanya, menggalakkan persaingan dalam industri penyediaan siaran televisyen berbayar untuk mengelakkan monopoli oleh sesetengah pihak dalam industri itu. Dr. Rais berkata berdasarkan peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998, amalan monopoli termasuk kandungan hiburan televisyen tidak akan berlaku. Sebaliknya, kata beliau industri itu akan berkembang dengan kemunculan ABN yang bakal memulakan siarannya pada suku kedua tahun depan dengan menggunakan sistem kabel optik. "Kita akan menggalakkan percambahan kandungan ini dengan pelancaran ABN. Saya yakin iaitu khidmat televisyen kabel digital akan menjadi popular sebab mereka menekankan mengenai harga yang berpatutan, khidmat yang cemerlang dan kualitinya baik dan mereka mematuhi piawaian undang-undang negara," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran korporat ABN di Kuala Lumpur.

Antara perkara yang ditimbulkan oleh pemerhati industri ialah bagaimana ABN akan mendapat membeli program-program yang baik ini sedangkan ramai yang tahu bahawa banyak program kini dimonopoli oleh Astro? Bagi Ketua Pegawai Eksekutif ABN, Sreedar Subramaniam, isu mengenai kandungan bukanlah satu perkara yang kronik kerana menurutnya ia masih banyak lagi di pasaran. Apa yang perlu ialah mencari dan menandatangani kontrak dengan pembekal yang terus menerus mengeluarkan penerbitan yang bermutu dan digemari ramai. ABN juga, katanya, turut menerbitkan program-programnya sendiri bagi memenuhi selera penonton sekarang di samping mewujudkan sumber tenaga profesional yang akan dibimbing menerusi Akademi ABN. Semua itu akan berlaku dalam masa sesingkat ini selepas Pusat Penyiaran ABN yang ditempatkan di Puchong siap sepenuhnya. ABN yakin memperoleh kira-kira 500,000 pelanggan bagi tahun pertama operasinya dan mengunjurkan kepada tiga juta pelanggan dalam tempoh lima tahun selepas operasi.

Satu sasaran yang amat optimistik sebagai pemain baru dalam industri penyiaran ini. Keyakinan itu, menurut Subramaniam berdasarkan perkembangan terkini di rantau ini di mana perkhidmatan kabel digital amat digemari oleh pelanggan di Singapura dan beberapa negara lain. Ia juga menyasarkan untuk menguasai 15 peratus pasaran dalam tahun pertama dan mencapai 40 peratus menjelang tahun kelima. ABN pasti tidak bimbang dengan beberapa program atau siaran yang dimonopoli Astro. Mengulas isu monopoli itu, Dr. Rais berkata siaran istimewa seperti bola sepak Piala Dunia dan peristiwa penting tidak seharusnya dikuasai satu pihak kerana ia adalah milik bersama dan sepatutnya ia dikongsi bersama untuk penyiaran. "Dalam konteks penyiaran di negara ini, kita perlu melihat kandungan itu sebagai hak orang ramai seperti pertandingan bola sepak dunia ataupun badminton dan program-program besar yang tidak boleh dikuasai atau dipegang oleh satu pihak sahaja," katanya. Ditanya sama ada ABN boleh menyaingi Astro dalam menyediakan siaran televisyen berbayar, beliau berkata mereka tidak seharusnya bertanding atau berkonflik tetapi berjaya mengikut keistimewaan mereka sendiri.

"Astro dengan kelebihan siaran melalui satelitnya dan ABN dengan keistimewaan yang boleh diberikan melalui sistem kabel fiber optiknya dan mungkin ada kerjasama yang boleh dihasilkan antara kedua-dua pihak", katanya. Kemunculan ABN akan menyediakan pilihan kepada rakyat negara ini untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik dalam industri penyiaran. Yang penting, ABN perlu mempunyai kekuatan kewangannya bagi membolehkan ia terus hidup dan berkembang. Mereka perlu belajar daripada sebarang kesilapan dan kekurangan yang dilakukan oleh pemain terdahulu seperti Mega TV atau MiTV, rangkaian televisyen berbayar di negara ini. Mega TV adalah stesen televisyen Malaysia yang menawarkan khidmat langgan pelbagai saluran yang tersedia 24 jam di Malaysia. Mega TV diperbadankan pada 18 Oktober 1994 dan dikendalikan oleh TV3. Pemancaran penyiaran bermula 1 November 1995 menggunakan Sistem Penyiaran berdasarkan gelombang mikro. Setelah menemui pesaingnya iaitu saluran televisyen satelit berbayar Astro, Mega TV telah menamatkan penyiarannya bermula 2001.

Hayat MiTV, stesen televisyen berbayar menggunakan Internet Protocol Television (IPTV) juga tidak panjang dan pada 31 Oktober 2006 mengumumkan satu penstrukturan semula termasuk menggantung semua kegiatan pemasaran dan pelanggan baru. Dalam pada itu, rakyat negara sudah pasti menunggu dengan minat dengan program pendigitalan televisyen yang akan dilaksanakan oleh kerajaan seawal 2012 bagi membolehkan mereka mendapat siaran bebas di udara (FTA) yang lebih banyak dan bermutu. Ketika ini, urusan mengadakan program pendigitalan itu dikatakan berada di peringkat akhir sebelum sebarang pengumuman dibuat.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
18 NOVEMBER 2011


17 November 2011

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN YANG BENAR-BENAR PERCUMA

Oleh
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Pengerusi
Yayasan Guru Malaysia Berhad


TAMAN NEGARA KILLARNEY, IRELAND

Ramai ibu bapa tersenyum lebar apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 5.5 juta pelajar sekolah seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012 kini sedang disalurkan ke akaun pelajar masing-masing. Mana tidaknya belum lagi berakhir sesi persekolahan tetapi pelajar telah menerima wang bantuan. Bayangkan jika sebuah keluarga mempunyai lima orang anak bersekolah sudah tentu jumlah bantuan diterima adalah RM500. Ini dikira lumayan kerana jumlah itu sudah boleh menyelesaikan pembelian pakaian seragam dan alat tulis apabila bermulanya sesi persekolahan baru yang tidak sampai dua bulan lagi. Sebenarnya tidak banyak negara di dunia ini seperti kita yang memberi keutamaan kepada perkembangan bidang pendidikan. Sejak dahulu pendidikan percuma diberikan kepada pelajar di peringkat prasekolah, rendah dan menengah.

Pendidikan percuma maksudnya kerajaan membiayai sepenuhnya pembinaan infrastruktur sekolah, membayar gaji guru dan staf sokongan, membiayai bayaran bil elektrik dan air, menyediakan keperluan perabot, pusat sumber, makmal komputer, makmal sains, buku teks, kerusi meja, peralatan pengajaran guru, kemudahan peralatan sukan dan olahraga, yuran peperiksaan awam dan penyediaan hampir keseluruhan kemudahan pembelajaran pelajar. Malah bagi sebahagian pelajar diberikan pula bantuan dalam bentuk wang melalui skim biasiswa atau dermasiswa, disediakan makanan dan tempat tinggal secara percuma di asrama. Sekiranya kita mengimbau kembali sejarah iaitu sejak negara merdeka hingga kini didapati kerajaan setiap tahun dalam belanjawan menyediakan peruntukan tertinggi kepada bidang pendidikan. Ini menandakan kerajaan sentiasa memandang tinggi dan menaruh keyakinan bahawa pelaburan besar dalam bidang pendidikan akan membawa hasil pulangan berganda.

Ini terbukti melalui peningkatan berterusan indeks kemajuan dan daya saing negara jika dibandingkan dengan negara sedang membangun lain. Kita percaya pencapaian dan kemajuan negara yang dinikmati hari ini sedikit sebanyak adalah hasil kejayaan dasar, perancangan dan pelaksanaan sistem pendidikan yang terbaik dan berkualiti. Tambahan peruntukan berterusan dapat dilihat dalam Bajet 2012 di mana kerajaan memperuntukkan RM50.2 bilion untuk pendidikan. Ini termasuk RM1.9 bilion kepada Kementerian Pelajaran khusus untuk pembangunan semua jenis sekolah dan RM1 bilion lagi kepada dana khas pembinaan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah. Ini bermakna bayaran tambahan yang dibayar oleh ibu bapa sejak beberapa tahun lepas tidak perlu lagi kerana diserapkan dalam peruntukan melalui bajet yang disediakan oleh kerajaan. Istilah pendidikan percuma ini menjadi isu besar sejak dua tahun lepas.

Ramai ibu bapa mempersoalkan mengapa mereka masih membayar bayaran tambahan RM33.50 bagi pelajar sekolah menengah dan RM24.50 sekolah rendah semasa pendaftaran di awal sesi persekolahan sedangkan kerajaan menguar-uarkan pendidikan percuma kepada semua pelajar. Isu tersebut bukan saja dibincangkan melalui tulisan di akhbar tetapi juga dibahaskan dengan panjang lebar di Dewan Rakyat. Melalui jawapan yang diterima daripada Kementerian Pelajaran bahawa bayaran tambahan itu bukanlah untuk pembangunan atau pengurusan sekolah. Sebenarnya bayaran tambahan itu adalah untuk kegunaan anak-anak dalam mempelbagaikan aktiviti pembelajaran dan pengajaran seperti membeli kertas pendua dan kertas jawapan untuk latih tubi dan ujian, menyediakan hadiah dan pengurusan sukan tahunan, melaksanakan aktiviti kokurikulum termasuk kegiatan keagamaan, pasukan seragam atau kelab dan bayaran insurans peribadi pelajar.

Bagaimanapun isu tersebut dapat diredakan apabila pihak sekolah dengan kerjasama ahli jawatankuasa PIBG memberikan penerangan tentang untuk apa bayaran tambahan itu. Pun begitu, kegawatan tentang bayaran tambahan yang dikenakan kepada ibu bapa hampir tidak wujud dan tidak kedengaran di kalangan ibu bapa pelajar SRJK (C). Keadaan ini mungkin kerana ibu bapa lebih memahami dan meletakkan pendidikan anak-anak sebagai keutamaan lantas mereka sedia memberikan sumbangan kepada sekolah tanpa banyak soal. Ini terbukti jika kita melihat keunggulan dan kehebatan kemudahan yang terdapat di sekolah tersebut khususnya yang terletak di Lembah Klang atau bandar-bandar besar di seluruh tanah air. Sekali pandang mungkin kita menganggap sekolah itu adalah sebuah kolej atau kolej universiti. Hampir semua sekolah mempunyai dewan yang besar dan ada antaranya mempunyai sehingga lima atau enam gelanggang badminton di dalamnya serta dilengkapkan dengan sistem pembesar suara dan pendingin hawa.

Ini belum lagi dikira bilik darjah yang berhawa dingin, memiliki lebih daripada satu makmal komputer, sistem mini mikrofon untuk kegunaan guru semasa mengajar di bilik darjah, peralatan pengajaran canggih, tandas bersih dan pusat sumber dilengkapi berbagai jenis buku terkini. Jika kita bertanya kepada guru besar sekolah itu dari manakah sumber kewangan untuk melengkapkan infrastruktur dan peralatan canggih sekolah mereka. Jawapannya sudah pasti melalui sumbangan ibu bapa atau badan kebajikan tertentu. Lazimnya ibu bapa yang berpendapatan besar akan memberi sumbangan besar sementara ibu bapa berpendapatan kecil seperti pemandu teksi, penjaja atau pekerja kilang akan memberi sumbangan sesuai dengan pendapatan mereka. Apa yang menariknya badan korporat, institusi kewangan, syarikat perniagaan, pertubuhan politik, para dermawan atau ‘philanthropist’ dan badan bukan kerajaan (NGO) turut melaksanakan tanggung jawab sosial dengan memberi sumbangan tidak sedikit jumlahnya kepada kemajuan sekolah-sekolah berkenaan. Selain itu, ibu bapa juga menyedari bahawa SRJK (C) adalah merupakan sekolah bantuan modal.

Ini bermakna kerajaan hanya menyediakan kemudahan dari segi modal atau keperluan asas seperti kemudahan infrastruktur, gaji guru dan staf, perabot dan lain-lain. Namun demikian sekarang ini pihak kerajaan menyediakan banyak bantuan seperti buku teks percuma, bayaran bil elektrik dan air serta bantuan lain yang hampir sama seperti yang diberikan kepada sekolah kebangsaan. Oleh itu, ibu bapa berpendapat mereka mempunyai tanggungjawab dan bersedia memberi sumbangan diperlukan sekolah demi menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak- anak mereka. Selain itu, persatuan bekas pelajar atau alumni turut memainkan peranan memberikan idea, sokongan moral dan material bagi membantu dan menyokong perkembangan sekolah-sekolah tersebut. Tidak terlewat sebagai ingatan kepada ibu bapa apabila sekolah memulakan sesinya pada awal Januari 2012 nanti janganlah banyak bersoal jawab dengan pihak sekolah apabila diberikan senarai peralatan yang perlu dibeli. Ini disebabkan ibu bapa masih dikehendaki menyediakan buku latihan, alat tulis, kamus, tali leher, lencana sekolah, baju-T, pakaian sukan, pakaian seragam untuk unit beruniform dan lain-lain peralatan untuk kegunaan anak mereka. Inilah masanya menggunakan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 itu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 NOVEMBER 2011



16 November 2011

ISU KESIHATAN : OBESITI BUKAN BAHAN GURAUAN

Oleh Fauziah Arof


BANDAR VATICAN, ITALI

Benarkah rakyat Malaysia ramai yang gemuk? Bila Kementerian Kesihatan mengatakan bahawa Malaysia kini berada pada kedudukan pertama di kalangan negara ASEAN yang berhadapan dengan masalah obesiti dan di rantau Asia Pasifik kita duduk di tangga keenam, ramai yang agak sangsi dengan fakta itu. Betulkah itu? Dalam ASEAN kita nombor satu? Mungkin, rasa sangsi itu timbul bukan kerana di sekeliling kita ramai yang kurus ramping atau ‘melidi’, tetapi kita sudah biasa dikelilingi oleh orang yang mempunyai berat badan berlebihan. Sebelum ini, Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM) turut menjangkakan 30 peratus atau 8.1 juta rakyat negara ini akan mengalami masalah obesiti pada tahun ini akibat gaya hidup mereka yang tidak sihat. Masalah kegemukan di kalangan rakyat negara ini dikatakan meningkat dari tahun ke tahun. Tiada statistik yang kita dengar menunjukkan berlakunya penurunan.

Dan isu obesiti membabitkan pelajar sekolah turut heboh diperkatakan pada awal April lalu, sehingga penjualan nasi lemak di kantin dikatakan antara puncanya. Obesiti diertikan sebagai jumlah berat badan yang berlebihan akibat kandungan lemak. Daripada status kesihatan, semua orang tahu obesiti boleh mengundang banyak penyakit kronik seperti diabetes dan masalah jantung. Dari segi psikososial pula, orang gemuk kerap merasa rendah diri, kurang berkeyakinan dan tidak selesa dengan keadaan diri, sedangkan rakan sekeliling sebenarnya tidak kisah pun mengenai penampilan itu. Sebenarnya, kita sepatutnya bimbang dan mengambil serius perkembangan ini dan tidak menjadikan ia bahan gurauan. Ini kerana secara langsung ia melibatkan tenaga sumber manusia dan produktiviti negara. Dalam keluarga pula, sekiranya ahlinya mengalami obesiti dan berpenyakit, ia akan memberi bebanan tambahan dari segi kos pembiayaan perubatan.

Di samping itu ia akan menjejaskan tumpuan terhadap kerja atau pelajaran serta boleh timbul pula masalah sosial lain. Semua orang pun tahu kunci kepada masalah obesiti ini adalah mengamalkan cara hidup yang baik dan sihat. Dari segi pemakanan terutamanya. Kita sendiri terdedah dengan pengambilan makanan yang berkalori tinggi, termasuklah yang mempunyai lemak dan gula yang tinggi.  Makan di restoran-restoran makanan segera dan mamak juga sudah menjadi amalan dalam hidup kita. Dan pada masa sama, kita kurang atau malas bersenam. Setiap pergerakan walau dengan jarak dekat sekali pun, kita lebih suka berkereta dan masa banyak dihabiskan di tempat kerja, menghadap komputer atau bagi kanak-kanak pula menonton televisyen. Jadi yang boleh mengubah bentuk tubuh badan kita ialah diri kita sendiri, tanpa menyalahkan mana-mana makanan. Dan dalam menguruskan badan pula, kita perlu realistik serta mengikut nasihat pakar, supaya tidak memudaratkan kesihatan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
16 NOVEMBER 2011



ISU PENDIDIKAN : INTEGRITI DALAM DUNIA AKADEMIK

Oleh
Prof. Dr. Mohamed Yusoff Ismail
Fakulti Sains Sosial Gunaan
Universiti Terbuka Malaysia.


LEMBAH-LEMBAH MENARIK DI PAKISTAN

Lumrahnya golongan akademik adalah komuniti yang dianggap kudus, berintegriti, berakhlak tinggi, serta boleh dipercayai dari segi menjana dan mengukuhkan khazanah ilmu. Hanya akhir-akhir ini komuniti tersebut telah dicemari dengan unsur-unsur negatif yang berpunca daripada pelbagai faktor, sama ada kerana permainan ranking atau faktor-faktor lain, sehinggakan ada yang sanggup melakukan apa sahaja 'kecurangan akademik' demi mengejar pangkat dan kedudukan. Istilah 'kecurangan' atau 'jenayah akademik' merujuk kepada perilaku segelintir pensyarah universiti yang melanggar etika dan amalan baik profesion perguruan tinggi melalui penyelewengan kuasa atau membuat dakwaan palsu. Jenayah akademik dapat dibahagikan kepada tiga jenis: pertama, pembohongan dalam penulisan biodata; kedua, penipuan dalam penerbitan; ketiga, salah laku dalam tugas pengajaran, penyeliaan dan penyelidikan.

Biodata yang sangat hebat

Etika asas penulisan Curriculum vitae (CV) ialah kejujuran dan keikhlasan, tetapi penyelewengan maklumat di dalamnya sering berlaku dengan memasukkan apa yang disebut dalam bahasa Inggeris half truth. Maklumat yang dimuatkan kadang-kadang tidak tepat dan boleh mengelirukan. Satu contoh klasik ialah bagaimana seorang pensyarah membuat dakwaan palsu bahawa beliau pernah menjadi penyelia Phd di sebuah universiti terkenal di England. Pensyarah berkenaan kebetulan menjadi pelawat selama enam bulan di universiti tersebut. Dalam tempoh tersebut beliau telah dikunjungi oleh seorang pelajar Phd yang ingin mendapatkan pandangannya. Apabila pensyarah itu pulang ke tanah air beliau telah mengemaskini CVnya dengan memasukkan maklumat bahawa beliau telah dilantik sebagai penyelia Phd di universiti tersebut. Sungguh hebat! Pengakuan "separuh benar" itu sangat menarik. Pertama, beliau berbuat demikian kerana terdesak. Permohonan menjadi profesor menghendaki seseorang itu menjadi penyelia Phd terlebih dahulu. Maka dirangkumnya pelajar di England itu sebagai calon Phd di bawah seliaannya. Kedua, nak dipanjangkan cerita, siasatan telah dibuat oleh pihak dekan. Terbukti berlakunya pembohongan terang-terangan dalam CV berkenaan. Bahkan calon Phd yang dikatakan diselianya itu telah membuat pengakuan bertulis menafikan bahawa pensyarah itu adalah penyelianya.

Penulisan dalam percetakan

Satu contoh lagi ialah bagaimana seorang pensyarah dilantik menjadi profesor kerana dalam CVnya terdapat tajuk buku yang sangat berwibawa. Sewaktu ditemuduga beliau telah menunjukkan kulit buku yang kononnya masih dalam percetakan. Namun demikian, bukunya itu tak keluar-keluar setelah sekian lama. Maka terkenallah profesor itu di kalangan rakan seangkatannya sebagai "profesor kulit buku," Yang lain memanggilnya unbooked profesor. Selain buku, makalah dalam percetakan juga tidak terkecuali daripada disenaraikan dalam CV sebagai usaha untuk menunjukkan jumlah penerbitan. Petua umumnya ialah kita jangan mudah percaya dengan bahan yang masih dalam percetakan. Taktik lain adalah mengumpul beberapa kertas kerja yang diformat semula dan dijilid seolah-olah seperti buku, lalu dipersembahkan sebagai karya akademik bertaraf buku. Dalam amalan akademik, kertas kerja yang dikumpul dan dijilid dipanggil prosiding. Untuk menjadikannya buku tidak salah, tetapi prosesnya memerlukan penyuntingan dan penilaian yang ketat oleh pakar bidang. Kalau kertas kerja itu dijilid mentah-mentah tanpa suntingan rapi sebaik sahaja berlangsungnya seminar, maka integriti orang yang menjadi penyunting 'buku' itu boleh dipersoalkan.

Bayi tunggal bidan sepuluh

Kita pernah mendengar fenomena pembonceng gratis dalam bentuk penulis bersama. Amalan ini bukan perkara baru dalam dunia akademik, tetapi akhir-akhir ini kita sering melihat karya akademik yang mempunyai terlalu ramai penulis bersama, ada yang sampai sepuluh orang. Setelah diteliti ternyata bukan semua sepuluh orang itu pakar dalam bidang berkenaan, tetapi nama-nama mereka dimasukkan dengan tujuan menambahkan jumlah penerbitan setiap orang. Fenomena yang seakan-akan sama juga berlaku dalam penulisan kertas kerja bergabung. Kertas kerja yang dimaksudkan itu adalah hasil kerja berpasukan tetapi pembahagian tugasnya sangat menarik. Salah seorang akan menjadi penulis. Seorang lagi akan menaja perbelanjaan ke luar negara untuk menghadiri seminar. Mungkin ada seorang lagi yang akan menjadi pembentang kertas kerja tersebut. Setelah pulang, ketiga-tiga orang itu akan menyenaraikan dalam CV masing-masing satu lagi kertas kerja antarabangsa.

Menciplak tugasan pelajar

Demi memperbanyakkan jumlah penerbitan ada pensyarah yang menciplak tugasan pelajar terutama sekali hasil kerja pelajar sarjana dan Phd. Tugasan pelajar diedit semula dan diterbitkan dalam bentuk artikel tanpa sebarang pengiktirafan kepada pelajar berkenaan. Bukan setakat itu, ada pensyarah yang mengguna keringat dan titik peluh pelajar untuk menjalankan penyelidikan peribadi mereka dengan alasan bahawa itu adalah sebahagian daripada kerja kursus pelajar. Hasil penyelidikan itu digunakan oleh pensyarah berkenaan sebagai penerbitan asalnya, sementara pelajar berputih mata kerana langsung tidak diberikan sebarang ganjaran ataupun pengiktirafan. Kewajaran yang digunakan oleh golongan ini ialah sebagai penyelia, mereka berhak ke atas hasil kerja pelajar kerana merekalah yang mengeluarkan idea asal dan bimbingan - satu lagi bentuk pentakrifan semula etika akademik yang mungkin tidak akan berlaku di Barat.

Sibuk dengan penyelidikan

Penyelidikan merupakan salah satu kriteria yang diambil kira dalam kenaikan pangkat. Jenayah akademik yang melibatkan penyelidikan berlaku dalam pelbagai bentuk, antaranya pengurusan dana yang penuh dengan penipuan, sama ada dalam bentuk tuntutan perjalanan, perbelanjaan runcit, pembayaran kepada pembantu penyelidik 'hantu' serta penggunaan keringat pelajar secara percuma. Selain itu terdapat mereka yang menjalankan kerja-kerja perundingan secara diam-diam tanpa memaklumkan kepada universiti tetapi mereka ini rakus pula menggunakan kemudahan universiti dan tenaga kakitangan sokongan pada waktu pejabat dengan dakwaan itu adalah tugas rasmi. Pensyarah golongan ini biasanya banyak membatalkan kuliah dan tutorial atau mengajar tidak cukup jam. Ada pula yang menyuruh 'keldai akademik' melakukan kerja-kerja pengajaran bagi pihaknya. Keldai tersebut terdiri daripada pensyarah muda yang menaruh harapan kepada pensyarah kanan dan yang berpengaruh itu.

Tiba-tiba bergelar Dr.

Pada zaman dahulu peluang untuk mendapatkan Phd adalah sangat sukar kerana prosedur penilaian yang sangat ketat. Apa yang berlaku sekarang ialah ramai orang yang mendapat Phd dengan begitu mudah, terutama sekali di kalangan ahli perniagaan dan ahli politik. Hampir tidak percaya -- bila masa pula mereka ini mengikuti pengajian di peringkat Phd? Ada beberapa kelompongan yang terdapat dalam proses mendapatkan gelaran Dr. Kalau di luar negara ada Phd yang 'boleh dibeli' terutama sekali daripada universiti yang integritinya diragui, di Malaysia caranya agak berlainan. Proses asas memperolehi Phd melibatkan tiga tahap; penyelidikan, penulisan dan penilaian. Nampaknya akhir-akhir ini ada beberapa kes di mana tahap pertama dan kedua itu boleh 'diswastakan' mengikut kadar bayaran yang boleh dirunding. Maka muncullah penyelidik upahan dan penulis hantu - satu industri hiliran baru dalam dunia akademik. Penilaian tesis Phd di universiti luar negara biasanya melalui proses yang sangat ketat dengan pemeriksa yang dilantik secara objektif mengikut bidang kepakaran masing-masing.

Bahkan penyelia tidak boleh campur tangan dalam pelantikan tersebut. Di Malaysia siapa yang akan menjadi penilai 'bisa diatur' dengan pemeriksanya merangkumi daripada kalangan kawan-kawan baik penyelia tesis. Yang menariknya ialah apabila kawan-kawannya itu mempunyai pelajar Phd yang hendak dinilai, maka penyelia ini akan dilantik pula sebagai pemeriksa. Maka wujudlah lingkaran 'hutang budi' yang sangat merbahaya. Perkembangan akademik yang tidak sihat ini sedikit sebanyak merosakkan persepsi dunia luar terhadap integriti akademik Malaysia. Biarpun seseorang itu mempunyai CV yang sangat impresif, namun dunia di luar sana sudah lama mengetahui tentang permainan kotor segelintir golongan akademik di negara ini. Seseorang mungkin bergelar Dr. atau profesor, tetapi kalau proses perolehannya diragui maka tak akan ke mana komuniti akademik kita di persada antarabangsa. Yang menariknya jenayah akademik bukanlah jenayah yang boleh dikenakan tindakan mengikut hukum kanun negara. Maka berleluasalah pelanggaran etika akademik dalam pelbagai bentuk dewasa ini.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
16 NOVEMBER 2011


15 November 2011

ISU PENDIDIKAN : SYOR KURANG PELAJAR LEMAH DI KELAS COROT MUDAH GURU BERI TUMPUAN


PANTAI KERALA, INDIA

Kaji Selidik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kelmarin mendedahkan amalan pengasingan pelajar kurang bijak ke kelas corot menyumbang kepada kanak-kanak terbabit terjerumus dalam jenayah. Menurut kajian itu, tahap disiplin pelajar terbabit merosot di kelas corot itu berikutan pengaruh negatif rakan sekelas, selain perasaan rendah diri dan kecewa dirasai mereka apabila diasingkan dengan pelajar cemerlang. Hasil kajian ini sebenarnya bukanlah memeranjatkan kepada kebanyakan kita. Memang sudah diketahui umum tidak ramai daripada pelajar lemah ini mempunyai peluang untuk muncul semula di kelas yang lebih baik. Malah bagi kebanyakannya, pencapaian di sekolah tidak lagi menjadi satu keutamaan. Berikutan itu, sering kali kita mendengar guru sendiri berputus harapan terhadap pelajar ini dan melabel mereka dengan bermacam-macam panggilan negatif. Perkara ini tidak harus berlaku, namun cabaran dihadapi guru untuk mengajar pelajar lemah ini bukanlah mudah untuk diatasi. Selain berdepan dengan masalah memastikan pelajar lemah ini dapat menerima apa yang diajar, guru juga terpaksa bergelut dengan masalah kawalan kelas.

Selagi masalah kawalan kelas ini tidak dapat diatasi, tidak banyak yang boleh dilakukan guru untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar lemah ini. Satu penyelesaian yang dibayangkan oleh kaji selidik JKM itu ialah dengan tidak mengasingkan pelajar lemah ini dengan pelajar cemerlang dengan harapan unsur pengaruh negatif akan ditenggelamkan oleh sikap positif yang sering ditunjukkan pelajar cemerlang. Namun kaedah ini turut mempunyai kekurangannya berikutan perbezaan tahap penerimaan pelajaran kedua-dua kelompok pelajar ini. Penyelesaian yang mungkin lebih tepat ialah dengan meneruskan pengasingan pelajar ini tetapi dengan mengurangkan bilangan pelajar di kelas lemah berkenaan. Jumlah pelajar yang kecil akan memberi peluang kepada guru terbabit untuk memberi lebih tumpuan kepada setiap pelajarnya, selain memudahkan kawalan kelas. Mungkin perkara ini sukar dilaksanakan berikutan kekurangan kemudahan dan guru, namun memandangkan kes jenayah membabitkan kanak-kanak semakin meningkat seperti dipaparkan kaji selidik JKM itu, ia harus dipertimbangkan demi masa depan kanak-kanak ini.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
15 NOVEMBER 2011



ISU SOSIAL : FAHAMI MAKSUD TERSIRAT RASUAH

Oleh RUSINAH SIRON
PROF. MADYA DR. RUSINAH SIRON
Kolej Pengajian Siswazah
UNITEN, Kampus Putrajaya


Pelbagai perasaan bercampur baur antara sedih, marah, keliru dan bercelaru fikiran apabila menatap helaian akhbar yang hampir setiap hari memaparkan berita penahanan individu-individu berkaitan rasuah tidak kira mendapat liputan muka depan, muka tengah atau muka belakang akhbar. Apa yang tersurat ialah muka-muka yang terlibat dengan penahanan berkaitan rasuah itu memberikan implikasi terhadap diri individu terbabit, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Walaupun benar salahnya individu yang ditahan berkaitan rasuah itu belum dapat dibuktikan dan biarlah undang-undang yang menentukannya tetapi impak kepada isu rasuah ini terhadap peribadi, keluarga, kerjaya dan masyarakat adalah besar. Dalam usaha kerajaan untuk cuba bergerak kepada hala tuju "Rasuah Sifar" nampaknya semakin ramai manusia mengukur "Rezeki Sifir" mengira berapa banyak amaun RM yang akan didapati daripada pelbagai tindakan yang berkaitan dengan 'rasuah' dan yang seangkatan dengannya.

Bukan mudah untuk membasmi rasuah seperti usaha kerajaan untuk menghapuskan dadah. Khayal dadah boleh dilihat dari tingkah laku penagihnya, tetapi hayal orang untuk mendapat duit bukan boleh dikesan dengan pandangan mata kasar, ia memerlukan pelbagai usaha pengesanan dari aspek rohani, jasmani dan emosi oleh semua pihak supaya akar umbi rasuah dan yang seangkatan dengannya dapat diminimumkan. Rasuah berskala kecil, sederhana dan besar ini jika tidak dibasmi akan menjadi wabak virus yang akhirnya memakan maruah agama, bangsa dan negara. Marilah kita hayati dengan sikap prihatin maksud yang tersurat dan yang tersirat mengenai apa itu rasuah:

R - REPUTASI

Orang yang terlibat dan terjerat dengan rasuah sebenarnya telah merendahkan reputasi dan kehormatan dirinya, keluarga, kerjaya, masyarakat, bangsa, agama dan negaranya. Sejarah dahulu telah membuktikan kerana amalan rasuahlah telah hancur negara dan terjual maruah bangsa kerana perlakuan dan sikap pemberi dan penerima rasuah itu.

A - AKHLAK

Sesungguhnya untuk menggelakkan rasuah, akhlak seseorang itu memainkan peranan penting. Akhlak yang mulia membentuk keperibadian mulia yang menjadikan seseorang itu menghormati diri dan nilai murni agamanya. Makanya akhlak yang buruk dan tiada pendirian menjadikan seseorang itu mudah terjerumus dan tertumus dengan rasuah.

S - SENANG

Bukannya senang nak hidup senang dan tidak susah hendak susah. Perumpamaan ini sesuai bagi mereka yang hendak hidup senang tetapi tidak mahu berusaha dan akhirnya mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri dengan rasuah dan yang seangkatan dengannya.

U - ULAT

Pengamal rasuah ini umpama ulat yang menyelinap, memakan dan merosakkan habitatnya tanpa dapat dilihat dengan mata kasar oleh orang lain. Akhirnya habitatnya rosak dan hancur dan ulat tersebut menjadi kenyang dan "hidup gembira dengan kekenyangan daripada hasil habitatnya".

A - AMALAN

Rasuah sebenarnya bermula dari amalan seseorang dalam hidupnya yang telah terbiasa dengan "curi kecil-kecilan" dan sentiasa terlepas dan akhirnya seronok dengan amalan tersebut dan menjadikan rasuah itu sebagai profesion sepenuh masa atau separuh masa di samping kerja tetap mereka. Dengan demikian, berhati-hati dengan amalan-amalan hidup yang kita jalani seharian, hindarilah amalan-amalan buruk walau sekecil manapun kerana dibimbangi ia menjadi hobi yang membinasakan.

H - HANCUR

Rasuah boleh menghancurkan diri pengamalnya, bayangkan betapa malunya diri dan keluarga jika pengamalnya ditangkap kerana perlakuan rasuah. Yang menerima kesannya ialah pasangan dan anak-anak yang tidak berdosa yang akan dipulaukan oleh rakan-rakan, menerima ejekan dan kecaman kerana perlakuan ibu bapa atau ahli keluarga. Hancurlah sebuah keluarga bahagia. Masyarakat yang menerima warga kerja yang terlibat dengan rasuah menerima impak yang besar dari aspek keselamatan dan kesejahteraan hidup.

Oleh demikian, marilah kita rakyat Malaysia yang hidup dalam aman sejahtera dengan kestabilan ekonomi, politik, sosial dan agama menolak rasuah dan binalah maruah diri, agama, bangsa dan negara kita dengan titisan peluh dan air mata kita yang berusaha dan bekerja keras dengan keringat untuk mencari rezeki yang halal. Maruah diri yang terpelihara dengan sempurna adalah tunjang utama menggelakkan rasuah demi maruah agama, bangsa dan negara kita yang tercinta.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 NOVEMBER 2011


14 November 2011

ISU PENDIDIKAN : CADANGAN KERJA 9 JAM ATASI BEBAN TUGAS GURU


Cadangan kerajaan untuk melaksanakan program perintis sistem kerja sembilan jam bagi guru mulai Januari ini yang ditolak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menjadi isu terbaru yang hangat dibincangkan kelompok keguruan sekarang. Bagi kesatuan terbabit, cadangan menetapkan tempoh waktu kerja bagi guru adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Alasan bagi menyokong pendirian ini ialah tugas guru tidak tamat selepas waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran pula mahu guru bersikap terbuka terhadap cadangan itu. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong kelmarin, berkata program perintis itu hanyalah kajian awal yang membabitkan 5,000 guru di empat negeri. Sama ada ia dilaksanakan atau sebaliknya kepada keseluruhan warga perguruan belum dimuktamadkan dan bergantung kepada hasil kajian itu yang mengambil masa enam bulan.

Program perintis itu seperti dijelaskan Ka Siong adalah sebahagian daripada usaha menangani isu beban tugas guru yang dikatakan semakin berat sekarang. Isu beban tugas guru ini memang sukar difahami masyarakat umum melainkan ada dalam kalangan keluarga atau rakan mereka terbabit dalam kerjaya itu. Tidak seperti kebanyakan kerjaya lain, tugas guru tidak terikat kepada waktu persekolahan. Selain terpaksa membawa kerja balik ke rumah, guru kadang kala terpaksa membuat kerja yang tidak ada kaitan dengan tugas mengajar seperti menghadiri mesyuarat sekolah, mengikuti program peringkat daerah atau peringkat negeri atau wakil pengetua atau guru besar. Di samping itu, mereka juga terpaksa melakukan penyeliaan dan bimbingan aktiviti kokurikulum seperti persatuan, sukan dan badan beruniform. Ini tidak termasuk mengiringi pelajar menyertai program di luar sekolah yang mungkin mengambil masa beberapa jam mahupun beberapa hari.

Semua ini dilakukan tanpa kemudahan bayaran lebih masa, tuntutan perbatuan yang dicatu mahupun lebihan masa yang digunakan untuk tugas rasmi diganti sebagai cuti rehat pada keesokan harinya. Namun, bagi kebanyakan guru, beban itu tidak pernah dipertikaikan kerana menyedari mereka sudah memilih kerjaya yang tanggungjawabnya menjangkaui waktu kerja. Walaupun begitu penyelesaian harus dicari bagi meringankan beban ini kerana lambat laun ia akan menjejaskan kesihatan dan kecergasan guru itu sendiri, selanjutnya memberi kesan negatif kepada murid. Apa sekali pun, kita yakin Kementerian Pelajaran akan mengambil kira kebajikan guru dalam menilai buruk baiknya penetapan waktu kerja sembilan jam ini sebelum membuat keputusan untuk melaksanakannya.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
14 NOVEMBER 2011