Oleh
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Pengerusi
Yayasan Guru Malaysia Berhad
TAMAN NEGARA KILLARNEY, IRELAND
Ramai ibu bapa tersenyum lebar apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 5.5 juta pelajar sekolah seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012 kini sedang disalurkan ke akaun pelajar masing-masing. Mana tidaknya belum lagi berakhir sesi persekolahan tetapi pelajar telah menerima wang bantuan. Bayangkan jika sebuah keluarga mempunyai lima orang anak bersekolah sudah tentu jumlah bantuan diterima adalah RM500. Ini dikira lumayan kerana jumlah itu sudah boleh menyelesaikan pembelian pakaian seragam dan alat tulis apabila bermulanya sesi persekolahan baru yang tidak sampai dua bulan lagi. Sebenarnya tidak banyak negara di dunia ini seperti kita yang memberi keutamaan kepada perkembangan bidang pendidikan. Sejak dahulu pendidikan percuma diberikan kepada pelajar di peringkat prasekolah, rendah dan menengah.
Pendidikan percuma maksudnya kerajaan membiayai sepenuhnya pembinaan infrastruktur sekolah, membayar gaji guru dan staf sokongan, membiayai bayaran bil elektrik dan air, menyediakan keperluan perabot, pusat sumber, makmal komputer, makmal sains, buku teks, kerusi meja, peralatan pengajaran guru, kemudahan peralatan sukan dan olahraga, yuran peperiksaan awam dan penyediaan hampir keseluruhan kemudahan pembelajaran pelajar. Malah bagi sebahagian pelajar diberikan pula bantuan dalam bentuk wang melalui skim biasiswa atau dermasiswa, disediakan makanan dan tempat tinggal secara percuma di asrama. Sekiranya kita mengimbau kembali sejarah iaitu sejak negara merdeka hingga kini didapati kerajaan setiap tahun dalam belanjawan menyediakan peruntukan tertinggi kepada bidang pendidikan. Ini menandakan kerajaan sentiasa memandang tinggi dan menaruh keyakinan bahawa pelaburan besar dalam bidang pendidikan akan membawa hasil pulangan berganda.
Ini terbukti melalui peningkatan berterusan indeks kemajuan dan daya saing negara jika dibandingkan dengan negara sedang membangun lain. Kita percaya pencapaian dan kemajuan negara yang dinikmati hari ini sedikit sebanyak adalah hasil kejayaan dasar, perancangan dan pelaksanaan sistem pendidikan yang terbaik dan berkualiti. Tambahan peruntukan berterusan dapat dilihat dalam Bajet 2012 di mana kerajaan memperuntukkan RM50.2 bilion untuk pendidikan. Ini termasuk RM1.9 bilion kepada Kementerian Pelajaran khusus untuk pembangunan semua jenis sekolah dan RM1 bilion lagi kepada dana khas pembinaan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah. Ini bermakna bayaran tambahan yang dibayar oleh ibu bapa sejak beberapa tahun lepas tidak perlu lagi kerana diserapkan dalam peruntukan melalui bajet yang disediakan oleh kerajaan. Istilah pendidikan percuma ini menjadi isu besar sejak dua tahun lepas.
Ramai ibu bapa mempersoalkan mengapa mereka masih membayar bayaran tambahan RM33.50 bagi pelajar sekolah menengah dan RM24.50 sekolah rendah semasa pendaftaran di awal sesi persekolahan sedangkan kerajaan menguar-uarkan pendidikan percuma kepada semua pelajar. Isu tersebut bukan saja dibincangkan melalui tulisan di akhbar tetapi juga dibahaskan dengan panjang lebar di Dewan Rakyat. Melalui jawapan yang diterima daripada Kementerian Pelajaran bahawa bayaran tambahan itu bukanlah untuk pembangunan atau pengurusan sekolah. Sebenarnya bayaran tambahan itu adalah untuk kegunaan anak-anak dalam mempelbagaikan aktiviti pembelajaran dan pengajaran seperti membeli kertas pendua dan kertas jawapan untuk latih tubi dan ujian, menyediakan hadiah dan pengurusan sukan tahunan, melaksanakan aktiviti kokurikulum termasuk kegiatan keagamaan, pasukan seragam atau kelab dan bayaran insurans peribadi pelajar.
Bagaimanapun isu tersebut dapat diredakan apabila pihak sekolah dengan kerjasama ahli jawatankuasa PIBG memberikan penerangan tentang untuk apa bayaran tambahan itu. Pun begitu, kegawatan tentang bayaran tambahan yang dikenakan kepada ibu bapa hampir tidak wujud dan tidak kedengaran di kalangan ibu bapa pelajar SRJK (C). Keadaan ini mungkin kerana ibu bapa lebih memahami dan meletakkan pendidikan anak-anak sebagai keutamaan lantas mereka sedia memberikan sumbangan kepada sekolah tanpa banyak soal. Ini terbukti jika kita melihat keunggulan dan kehebatan kemudahan yang terdapat di sekolah tersebut khususnya yang terletak di Lembah Klang atau bandar-bandar besar di seluruh tanah air. Sekali pandang mungkin kita menganggap sekolah itu adalah sebuah kolej atau kolej universiti. Hampir semua sekolah mempunyai dewan yang besar dan ada antaranya mempunyai sehingga lima atau enam gelanggang badminton di dalamnya serta dilengkapkan dengan sistem pembesar suara dan pendingin hawa.
Ini belum lagi dikira bilik darjah yang berhawa dingin, memiliki lebih daripada satu makmal komputer, sistem mini mikrofon untuk kegunaan guru semasa mengajar di bilik darjah, peralatan pengajaran canggih, tandas bersih dan pusat sumber dilengkapi berbagai jenis buku terkini. Jika kita bertanya kepada guru besar sekolah itu dari manakah sumber kewangan untuk melengkapkan infrastruktur dan peralatan canggih sekolah mereka. Jawapannya sudah pasti melalui sumbangan ibu bapa atau badan kebajikan tertentu. Lazimnya ibu bapa yang berpendapatan besar akan memberi sumbangan besar sementara ibu bapa berpendapatan kecil seperti pemandu teksi, penjaja atau pekerja kilang akan memberi sumbangan sesuai dengan pendapatan mereka. Apa yang menariknya badan korporat, institusi kewangan, syarikat perniagaan, pertubuhan politik, para dermawan atau ‘philanthropist’ dan badan bukan kerajaan (NGO) turut melaksanakan tanggung jawab sosial dengan memberi sumbangan tidak sedikit jumlahnya kepada kemajuan sekolah-sekolah berkenaan. Selain itu, ibu bapa juga menyedari bahawa SRJK (C) adalah merupakan sekolah bantuan modal.
Ini bermakna kerajaan hanya menyediakan kemudahan dari segi modal atau keperluan asas seperti kemudahan infrastruktur, gaji guru dan staf, perabot dan lain-lain. Namun demikian sekarang ini pihak kerajaan menyediakan banyak bantuan seperti buku teks percuma, bayaran bil elektrik dan air serta bantuan lain yang hampir sama seperti yang diberikan kepada sekolah kebangsaan. Oleh itu, ibu bapa berpendapat mereka mempunyai tanggungjawab dan bersedia memberi sumbangan diperlukan sekolah demi menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak- anak mereka. Selain itu, persatuan bekas pelajar atau alumni turut memainkan peranan memberikan idea, sokongan moral dan material bagi membantu dan menyokong perkembangan sekolah-sekolah tersebut. Tidak terlewat sebagai ingatan kepada ibu bapa apabila sekolah memulakan sesinya pada awal Januari 2012 nanti janganlah banyak bersoal jawab dengan pihak sekolah apabila diberikan senarai peralatan yang perlu dibeli. Ini disebabkan ibu bapa masih dikehendaki menyediakan buku latihan, alat tulis, kamus, tali leher, lencana sekolah, baju-T, pakaian sukan, pakaian seragam untuk unit beruniform dan lain-lain peralatan untuk kegunaan anak mereka. Inilah masanya menggunakan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 itu.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan