11 November 2011

ISU NUKLEAR : MEMBETULKAN MAKLUMAT "MENYESATKAN"

Oleh
Prof Dr. Ismail Bahari
Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia
Penyelidik bidang keselamatan sinaran dan keselamatan industri lebih 30 tahun.


KAWASAN PROJEK LYNAS 
DI KUANTAN, PAHANG

Terlalu banyak maklumat salah yang boleh 'menyesatkan' pembaca yang saya dapati pada temu bual dengan seorang yang dikatakan sebagai 'pakar nuklear', seperti mana dilaporkan dalam akhbar terbitan parti pembangkang baru-baru ini. Bukan tujuan untuk memperkecil-kecilkan kepakaran 'pakar nuklear' yang ditemu bual itu, tetapi untuk membetulkan daripada sudut fakta ilmiah semata-mata.

* Panel penasihat Agensi Tenaga dan Atom Antarabangsa (IAEA) yang membuat penyelidikan dan keputusan bagi projek Lynas Advanced Manufacturing Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan telah menyembunyikan maklumat tentang wujudnya bahan-bahan uranium dan thorium dalam projek tersebut.

Untuk penjelasan, panel IAEA ini adalah panel pakar yang dipertanggungjawabkan untuk menaksir kesan dan risiko radiologi akibat pelaksanaan projek Lynas ini. Bermakna, mereka dipanggil untuk memberi pandangan bebas terhadap isu radionuklid semula jadi bahan-bahan uranium dan thorium. Ini telah disebut dengan jelas dalam laporan panel pakar IAEA itu sendiri, agak pelik jika hal ini tidak disedari sekiranya laporan ini benar-benar dibaca dan difahami oleh 'pakar nuklear' berkenaan.

* Kadar bahan radioaktif dalam nadir bumi adalah rendah tetapi jumlah yang dibawa masuk besar.

Istilah tepat sepatutnya ialah kepekatan aktiviti bukan kadar bahan radioaktif. Jika kepekatan aktiviti radionuklid adalah rendah seperti diakui oleh 'pakar nuklear' itu sendiri, maka dosnya sudah pasti rendah. Aras dos rendah kepada pekerja Lynas dan orang ramai sekitar kilang Lynas telah dilaporkan dalam Penaksiran Impak Radiologi (RIA) yang dibentangkan kepada pihak Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB). Perlu ditekankan bahawa operasi Lynas tidak memekatkan kepekatan aktiviti thorium. Kepekatan aktiviti thorium dalam pekatan lantinid adalah sama dengan kepekatan aktiviti residu (iaitu sekitar 6 Bq g-1)

* Bahan buangan mengandungi uranium dan thorium dicampak ke dalam kawasan pembuangan seluas 48 hektar, kemudian menjadi pekatan yang menghasilkan gas radon selain habuk-habuk thorium dan uranium.

Sedangkan, 'bahan buangan' tidak dicampakkan ke dalam kawasan pembuangan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, disimpan sementara dalam sel yang direka dan dibina khas, selaras dengan piawaian antarabangsa yang diiktiraf selamat. Kaedah kejuruteraan yang digunakan ini serta sifat fiziko-kimia uranium dan thorium itu sendiri akan memastikan tidak berlaku penyebaran gas radon/thoron serta habuk mengandungi uranium dan thorium yang memudaratkan manusia. Perlu ditekankan bahawa RIA ke atas projek ini mendapati potensi penyebaran gas thoron adalah sangat kecil dan sukar diukur. Perlu ditekankan juga persekitaran semula jadi sendiri mempunyai uranium dan thorium yang masing-masing membebaskan gas radon dan thoron.

* Betapa bahan uranium yang terdapat dalam projek Lynas ini adalah sama dengan yang digunakan dalam loji nuklear Fukushima di Jepun.

Sedangkan, ini adalah maklumat yang sangat tidak lengkap, menyesatkan malahan berbahaya. Memang U-238 terkandung dalam bahan proses Lynas adalah sama jenisnya dengan yang digunakan dalam reaktor nuklear di Fukushima tetapi kepekatan yang terdapat pada kedua-duanya adalah berbeza ' ibarat langit dan bumi'. Uranium semula jadi (seperti yag digunakan oleh Lynas) terdiri daripada 0.7 peratus (%) U-235 dan 99.3% U-238. U-235 adalah bahan belahan dalam bahan api nuklear yang sangat penting untuk memulakan tindak balas nuklear. Dalam bahan api nuklear kepekatan U-235 diperkaya menjadi 5%. Dalam reaktor nuklear Fukushima yang menggunakan bahan api MOX atau campuran bahan belahan oksida, U-235 tidak digunakan dalam bahan api nuklear tetapi digantikan dengan Plutonium-239 (radionuklid ini tidak terdapat secara semula jadi dalam alam sekitar dan tidak ada dalam bahan pekatan yang digunakan Lynas). Sepekara lagi, uranium bukan hanya ada dalam bahan api nuklear dan pekatan lanthanid Lynas (28 ppm) sahaja tetapi wujud dalam baja (boleh mencapai 400 ppm) dan arang batu (> 100 ppm). Secara anologi, 'pakar nuklear' berkenaan seolah-olah menyatakan bahawa tanah di Pahang atau keseluruhan Malaysia mempunyai persamaan dengan reaktor nuklear di Fukushima hanya kerana ia mempunyai bahan uranium yang sama.

* Bahan buangan Lynas boleh mencemarkan air dan alam sekitar.

Sedangkan, hasil kajian RIA mendapati bahan buangan Lynas tidak mencemarkan air dalam alam sekitar. Sama seperti kilang-kilang lain di Kawasan Perindustrian Gebeng, setiap pelepasan kilang ke persekitaran hendaklah mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan AELB.

* Gas radon akan terbebas ke udara. Partikel alfa yang dihidu juga boleh merosakkan sel tubuh dan kromosom manusia.

Sedangkan, maklumat ini tidak lengkap dan sekali lagi menyesatkan. Memang benar gas radon dihasilkan tetapi 'pakar nuklear' tersebut tidak pula menyatakan bahawa gas radon daripada thorium (lebih tepat disebut thoron) mempunyai jangka hayat yang sangat pendek, cuma 56 saat. Ini bermakna dalam masa 56 saat gas thoron terbentuk dan dibebaskan ke udara, ia akan segera menyepai menjadi radionuklid pepejal yang jatuh ke bumi serta tidak membahayakan. Dengan kepekatan aktiviti yang kecil, kemungkinan thoron dihidu dan memudaratkan adalah sangat tipis. Pakar Nuklear ini lupa atau sengaja lupa menyatakan bahawa risiko dikawal dengan Had Dos. Selagi Had Dos tidak dilampaui, risikonya boleh diterima. Had Dos ini digunakan kerana kita perlu ingat bahawa kita sentiasa terdedah kepada uranium dan thorium semula jadi. Selagi ada uranium dan thorium, selagi itu kita terdedah kepada radon, thoron dan zarah alfa. Pendek kata kita tidak boleh kata kita tidak hendak didedahkan kepada radon, thoron atau zarah alfa atau sinaran sebab kesemua ini berada di mana-mana sahaja di muka bumi ini. Sebaliknya, berdasarkan kepekatan aktiviti Th-232 yang ada dalam bahan mentah dan residu pemprosesan Lynas, serta sifat fizik gas thoron itu sendiri telah ditentukan secara saintifik tidak mampu mencemarkan alam sekitar sehingga ke tahap dikatakan berbahaya kepada manusia yang menghidunya.

* Pelan pelupusan sisa adalah tidak lengkap.

Sedangkan, sebagai ' pakar nuklear', beliau tentu tahu bahawa pelan pelupusan sisa bukan setakat melupus sisa dengan menanam, tetapi turut merangkumi penggunaan semula sisa tersebut dengan selamat. Dengan cara ini, isu pelupusan kekal mungkin tidak diperlukan. Jika perlu dilupuskan, Lynas pula sudah mereka bentuk dan membina tapak pelupusan sementara yang mematuhi segala syarat dan kriteria pembinaan tapak pelupusan kekal (sungguhpun bukan matlamatnya untuk menjadikan tapak tersebut sebagai tapak pelupusan sisa kekal).

* "Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menolak industri ini kerana tidak ada level radiasi yang selamat".

Sebagai seorang pendidik dan penyelidik bidang keselamatan sinaran dan keselamatan industri selama lebih 30 tahun (dan masih berkhidmat dengan selamat), saya amat terkejut dengan kesimpulan yang dibuat oleh 'pakar nuklear' itu. Sama ada disedari atau tidak, beliau sebenarnya menyatakan bahawa kita boleh hidup dalam dunia yang bebas daripada dedahan sinaran atau radiasi. Bukan pakar nuklear pun tahu, ini tidak benar sama sekali. Sama ada kita hendak atau tidak, kita sentiasa terdedah kepada sinaran dari bumi dan matahari. Malah terdapat beberapa tempat di negara kita yang mempunyai aras sinaran semula jadi yang lebih tinggi daripada aras purata tanah- tanih Malaysia. Sila rujuk hasil kajian aras sinaran di kawasan lombong bijih timah di Perak, Selangor dan Pantai Pasir Hitam di Langkawi. Begitu juga, cuba lihat di Ramsar, Iran; Kerala, India; Grand Junction, Colorado, Amerika Syarikat dan tempat-tempat lain yang disahkan mempunyai aras sinaran semula jadi yang jauh lebih tinggi daripada apa yang bakal dibebaskan oleh Lynas.

Persoalannya, adakah penduduk di tempat-tempat tersebut semua cacat dan terencat? Malah, kajian ke atas penduduk di Ramsar, Iran mendapati penduduk di sana mempunyai jangka hayat yang lebih panjang daripada rakyat Iran di tempat-tempat lain. Rujuklah dokumen ilmiah sebelum membuat pernyataan tidak tepat, salah dan mampu menyesatkan. 'Pakar nuklear' tersebut pernah belajar dan memperolehi ijazah pertama dalam bidang Kejuruteraan Nuklear dan Fizik di Amerika Syarikat. Tidakkah beliau terdedah kepada sinaran semasa pengajiannya? Tentulah ada. Maka, adakah beliau atau keluarga beliau mengalami apa-apa kecacatan akibat dedahan sinaran tidak kira rendah mana pun tahapnya? Pakar Nuklear sepatutnya mendidik masyarakat tentang fakta sebenar sinaran dan kesannya, dan tidak menyesatkan masyarakat dengan maklumat yang tidak lengkap dan salah.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 NOVEMBER 2011


ISU ALAM SEKITAR : MENGEKANG JENAYAH ALAM SEKITAR

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


KAWASAN BUKIT BINTANG, 
KUALA LUMPUR

Cadangan kerajaan untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang akan dibawa ke Parlimen pada Mac 2012 jelas membuktikan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan dalam mengekang jenayah alam sekitar di negara kita. Di bawah cadangan pindaan ini, kerajaan akan menaikkan penalti terhadap pelanggaran Seksyen 2 akta tersebut iaitu daripada RM100,000 kepada RM500,000. Melihat kepada jumlah kenaikan yang agak besar ini, ia dilihat sangat wajar memandangkan kesalahan-kesalahan yang terkandung di bawah seksyen berkenaan adalah melibatkan isu-isu yang begitu serius. Antara kesalahan yang digariskan di bawah seksyen tersebut adalah seperti pelupusan sisa toksik, pencemaran air dan sungai, pembakaran terbuka, pengeluaran asap berlebihan, tumpahan minyak di laut dan juga pembukaan tanah secara haram. Cadangan kenaikan penalti sebanyak lima kali ganda ini adalah bertujuan untuk mencegah sebarang bentuk kemusnahan yang berpunca daripada pencemaran alam.

Penalti yang lebih berat kepada pesalah baik kepada individu mahupun syarikat antara lain adalah bagi memperkukuh dan memantapkan lagi aspek penguatkuasaan terhadap masalah pencemaran di negara ini. Menurut Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang juga merangkap Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, di bawah pindaan ini kelak, ia akan memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk memberhentikan mana-mana projek yang melanggar peraturan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Namun persoalannya, sejauh manakah kenaikan penalti ini mampu mengekang jenayah alam sekitar? Adakah penalti yang dikenakan terhadap individu yang terlibat benar- benar berkesan dan mampu memberi pengajaran kepada mereka? Jika diimbas kembali kepada kes-kes tangkapan yang lepas, kerapkali juga dilaporkan bahawa segelintir pelaku jenayah alam sekitar yang ditangkap adalah melibatkan mereka yang pernah diisabitkan terhadap kesalahan yang sama secara berulang kali.

Ini memberi gambaran yang jelas kepada kita bahawa kadar penalti yang dikenakan sedikit pun tidak menggentarkan mereka. Malah, jauh sekali terkesan dan memberi pengajaran kepada mereka untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama. Hukuman penjara dilihat mempunyai potensi yang besar dari segi keberkesanan memandangkan individu yang terlibat melalui sendiri tempoh hukuman akibat daripada kesalahan yang dilakukan. Ia amat berbeza dengan hukuman berbentuk penalti (pesalah hanya perlu membayar jumlah penalti yang dikenakan tanpa melalui sendiri hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan). Dengan hukuman penjara yang dilalui, ia pasti sedikit sebanyak meninggalkan kesan yang mendalam di dalam jiwa mereka yang sekali gus mampu memberi pengajaran kepada individu yang terlibat agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Selain itu, mengenakan hukuman kepada individu atau pihak yang terlibat agar menanggung semua kos untuk memulihkan alam sekitar yang terjejas akibat jenayah alam sekitar yang dilakukan juga boleh dipertimbangkan.

Ini memandangkan kos untuk sesuatu proses pemulihan adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan jumlah penalti yang dikenakan untuk setiap kesalahan. Dengan hukuman seumpama ini, ia setidak-tidaknya akan membuka mata para pelaku jenayah alam sekitar agar menyedari bahawa bukan mudah untuk memulihkan sesuatu kerosakan terhadap alam sekitar. Jika sebelum ini mereka hanya menutup mata dan dikaburi keuntungan wang ringgit semata-mata tanpa memikirkan betapa peritnya pihak kerajaan dan badan-badan yang terlibat untuk memulihkan segala kepincangan ke atas alam sekitar ekoran kerakusan sikap mereka. Mungkin dengan cara ini, mereka akan mula membuka mata dan memikirkan betapa begitu banyak kos yang telah dibazirkan untuk tujuan pemuliharaan alam sekitar yang telah dimusnahkan oleh mereka. Sedangkan, alangkah bagusnya jika peruntukan untuk tujuan berkenaan dapat digunakan untuk tujuan-tujuan lain yang lebih bermanfaat.

Bagaimanapun, dengan pelaksanaan hukuman seumpama itu semata-mata ia dilihat masih diragui mampu menghentikan sepenuhnya jenayah terhadap alam sekitar. Malah, ia masih belum lengkap dan sempurna jika hanya hukuman berbentuk fizikal dan material semata-mata diaplikasikan. Sebaliknya, ia perlu dilengkapkan dan disusuli dengan program penyempurnaan akhlak terhadap mereka yang disabitkan dengan jenayah alam sekitar. Ini penting kerana dengan penekanan terhadap kesempurnaan akhlak manusia, ia bukan sahaja mampu mengekang perlakuan buruk manusia terhadap alam sekitar semata- mata, tetapi juga dapat melahirkan insan yang berkeperibadian unggul dalam semua aspek kehidupan. Ia amat bertepatan dengan pandangan Islam terhadap alam sekitar itu sendiri, yakni ia adalah berasaskan kepada ajaran tauhid atau kefahaman kesatuan yang menggabungkan antara manusia, alam dan juga Pencipta (Allah SWT). Dalam konteks ini, Islam menjadikan akhlak sebagai teras utama hubungan antara manusia, alam dan Tuhan. Malah, sebarang permasalahan alam sekitar seperti pencemaran alam dan seumpamanya adalah berpunca daripada kepincangan dan juga ketidaksempurnaan akhlak manusia terhadap diri mereka sendiri, alam sekitar dan juga Allah SWT.

Sedangkan secara jelas konsep manusia sebagai khalifah menunjukkan bahawa alam sekitar dan segala kekayaan di dalamnya adalah milik mutlak Allah SWT. Hal ini telah dinyatakan dengan jelas di dalam firman Allah SWT (Surah al-Maidah, ayat 120) yang bermaksud: "Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan Dialah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". Oleh yang demikian, manusia perlu melaksanakan misi dan amanah pemuliharaan alam sekitar dengan sebaik-baiknya agar kelestariannya terus dapat dipertahankan. Justeru, penekanan terhadap aspek akhlak dan kerohanian dalam usaha menambahbaik dan memastikan keberkesanan sesuatu hukuman terhadap pelaku jenayah alam sekitar juga tidak seharusnya diabaikan. Malah, kajian dan penelitian secara mendalam terhadap hukuman yang sewajarnya dikenakan terhadap penjenayah alam sekitar yang disusuli dengan penekanan terhadap aspek akhlak akan memantapkan lagi penguatkuasaan bagi membendung jenayah alam sekitar.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 NOVEMBER 2011


10 November 2011

ISU UMUM : RAKYAT MALAYSIA HARUS BERASA MALU, KATA TUN DR MAHATHIR


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat Malaysia harus meniru sifat malu orang Jepun yang berjaya memartabatkan bangsa itu sebagai antara tamadun yang paling berjaya dalam dunia moden. Katanya, adanya sifat itu telah membentuk orang Jepun mengadaptasi budaya kerja yang tinggi di mana kegagalan langsung tidak boleh diterima hingga membuatkan mereka berasa malu.  Perasaan malu ini cukup kuat sehinggakan dia sanggup bunuh diri selepas kalah perang di mana ratusan ribu tenteranya bunuh diri kerana gagal mempertahankan empayar mereka (semasa perang dunia kedua), katanya ketika menjawab soalan editor Bernama, Mahrus Ibrahim yang bertanya tentang tamadun dunia moden yang berjaya semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan Syarahan Perdana Budaya. Orang Jepun apabila diberi tugas akan cuba buat sebaik mungkin kerana kalau buruk, mereka akan berasa malu. Perasaan malu perlu ada dalam masyarakat kita juga, kalau kita tidak capai kejayaan 100 peratus, kita sepatutnya berasa malu. Beliau berkata, pada hari ini pertembungan tamadun antara Barat dan Timur sedang berlaku dan Malaysia sedang membentuk tamadunnya sendiri tetapi dengan tidak meninggalkan nilai-nilai mulia dalam diri seseorang individu serta masyarakat. 


Dr Mahathir berkata masyarakat Barat mungkin melihat masyarakat Timur sebagai kurang bertamadun seperti di Malaysia contohnya masih mengenakan hukuman gantung sampai mati ke atas pembunuh dan pengedar dadah. Sebaliknya, kata beliau, bangsa yang menganggap diri mereka bertamadun juga melakukan pembunuhan beramai-ramai iaitu dengan melancarkan perang. Walaupun tamadun mereka tinggi tetapi mereka tidak segan-segan melancarkan peperangan, bagi mereka dalam peperangan kita boleh bunuh kerana ia tidak menjadi jenayah. Bagi kita pula, membunuh seorang pembunuh adalah satu cara untuk mencegah supaya pembunuhan tidak meluas dalam masyarakat kita. Dr Mahathir juga berkata, Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk maju kerana keunikan budayanya.

Katanya bangsa bertamadun ialah bangsa yang mampu mengawal diri daripada nafsu untuk melakukan sesuatu yang salah seperti menolak rasuah. Jika masyarakat mula menganggap rasuah sebagai perkara biasa, percayalah kita (Malaysia) tidak akan maju. Dr Mahathir berkata rasuah besar padahnya hingga menyebabkan kos meningkat dan boleh membawa bencana misalnya bangunan yang dibina boleh runtuh kerana menggunakan bahan mutu rendah kerana perbuatan rasuah. Jika amalan rasuah menjadi budaya di kalangan kakitangan kerajaan dan kemudian menular di kalangan orang politik, negara ini akan musnah jika pemimpin dipilih melalui amalan rasuah. Kerajaan yang mengamalkan rasuah tidak mungkin dapat memajukan negara ini," katanya. Beliau juga memberitahu, asas kepada demokrasi ialah memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan tetapi barat telah menokok tambah perkara ini dengan mewujudkan kebebasan bersuara. Malaysia tidak mampu mengikut acuan kebebasan bersuara ala Barat kerana wujudnya kepelbagaian kaum di negara ini dan tidak mustahil kebebasan bersuara ini akan disalah guna sehingga menimbulkan kekacauan. 


Alasan kebebasan bersuara, satu hari kalau tidak dibendung, kita akan hidup dalam negara yang tegang suasana politiknya, kata Dr Mahathir.  Umpamanya demonstrasi, ini kononnya adalah hak kebebasan bersuara, memang ada hak untuk demonstrasi tetapi kalau sudah dibuat besar-besaran, ini akan mengganggu pihak lain umpamanya peniaga.  Katanya, adakah kerajaan akan menjadi lebih adil apabila memberi kebebasan kepada orang yang mahu membangkitkan kebencian atau pun kebebasan kepada peniaga yang mahu mencari makan.

SUMBER
BERITA HARIAN
10 NOVEMBER 2011


ISU EKONOMI : MKM PENERAJU TRANSFORMASI MODAL INSAN KOPERASI


GUNUNG BRINCHANG, 
CAMERON HIGHLANDS

Gerakan koperasi telah bermula sejak sebelum merdeka. Sesuai dengan kepentingannya, ia kini diiktiraf sebagai antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Sebab itu kerajaan menyasarkan koperasi dapat menyumbang lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2013 dan 10 peratus pada 2020. Tetapi untuk mencapai hasrat itu gerakan koperasi memerlukan modal insan yang berkualiti supaya urus tadbirnya berjalan lancar dan mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan. Tentunya ramai yang tidak sedar bahawa peranan untuk memastikan koperasi di tadbir oleh insan-insan yang berkualiti dan berpengetahuan terletak pada bahu Maktab Koperasi Malaysia (MKM). Kewujudan MKM juga bukan baru. Pada mulanya ia dikenali sebagai Maktab Kerjasama Malaysia yang dirasmikan oleh Penasihat Hal Ehwal Koperasi kepada Setiausaha Tanah Jajahan, B.J. Surridge pada 13 November 1956. Ketika itu ia terletak di tapak seluas kira-kira 2.5 hektar di Seksyen 7, Jalan Templer, Petaling Jaya.

Ia ditadbir oleh Lembaga Jemaah Penasihat yang dilantik oleh gerakan koperasi di Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Mereka dipertanggungjawabkan merangka dan menggubal perlembagaan dengan Datuk Abdul Majid Mohamed dilantik sebagai Pengetua Maktab yang pertama. Pada tahun pertama beroperasi, hanya tiga kursus diadakan iaitu Kursus Pegawai Koperasi, Kursus Penyelia Koperasi dan Kursus Pemimpin Koperasi Luar Bandar. Peserta kursus tersebut yang aktif dilantik oleh Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) sebagai Pegawai Koperasi Kehormat untuk membantu Pegawai Koperasi mengendalikan koperasi di luar bandar. Bermula tahun 1958, beberapa kursus baru ditambah seperti kursus untuk pemimpin Melayu, kursus untuk pekerja koperasi pengguna dan kursus untuk koperasi Cina. Kursus khas untuk wanita juga diadakan kerana mereka adalah tonggak ekonomi rumah tangga. Selain itu, turut diperkenalkan kursus untuk jawatankuasa koperasi dalam bandar, koperasi nelayan, koperasi kredit, koperasi pengguna dan kursus khas untuk koperasi kaum ibu serta kursus khas untuk kumpulan pertama 18 orang guru bagi membantu penubuhan koperasi di sekolah-sekolah.

Pada tahun 1968 Rang Undang-Undang Maktab Kerjasama (Perbadanan) 1968 digubal dan diluluskan oleh Parlimen pada 11 September tahun yang sama bertujuan membangun dan menggalakkan latihan dan pendidikan koperasi. Dalam membantu Kerajaan menjayakan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussain, pada tahun 1970 MKM telah melaksanakan pembaharuan dengan memperketat syarat kemasukan peserta. Antaranya permohonan perlu dibuat sendiri oleh koperasi, peserta disyaratkan boleh membaca dan menulis selain diwajibkan menduduki peperiksaan di penghujung kursus. MKM juga melebarkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak dengan pembukaan cawangan di Kota Kinabalu pada tahun 1997 dan diikuti dengan Cawangan Sarawak di bandar Kuching pada tahun 1998. Cawangan MKM turut dibuka di Bera dan di Johor Bahru pada tahun 2009 serta Alor Setar pada 2010. Selain itu maktab turut mengorak langkah menerbitkan majalah berkala seperti Dimensi KOOP dan Info MKM.

Keluaran pertama Malaysian Journal of Co-operative Management diterbitkan pada tahun 2005 manakala buku Gerakan Koperasi di Malaysia pula pada tahun 2008. Dari segi perjawatan, bermula pada tahun 2009, MKM mempunyai 204 orang tenaga kerja iaitu 170 orang di Semenanjung, 17 orang di Sabah dan 17 orang di Sarawak. Penambahan kakitangan dari semasa ke semasa dapat meningkatkan kualiti kerja dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada para koperator dan peserta-peserta kursus di MKM. Pada tahun 2010, MKM telah melaksanakan 463 kursus membabitkan 22,242 peserta. Bermula pada April 2009, MKM diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah menyasarkan gerakan koperasi dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bagi membolehkan MKM memainkan peranan yang lebih dinamik, Parlimen telah meluluskan Akta Perbadanan Maktab Kerjasama Malaysia (Pindaan) 2011 dan diwartakan perlaksanaannya mulai 1 September 2011. Akta ini merupakan proses transformasi dan penjenamaan semula Maktab Kerjasama Malaysia kepada Maktab Koperasi Malaysia selain untuk memperkasa dan memperluaskan peranan MKM kepada gerakan koperasi.

Pindaan Akta ini juga mengubah gelaran nama jawatan Pengarah MKM kepada Ketua Pengarah MKM dengan Idris Ismail sebagai Ketua Pengarah pertama bertanggungjawab mentransformasikan MKM sebagai pusat latihan koperasi bertaraf dunia. Sepanjang 55 tahun penubuhannya, MKM komited membangunkan modal insan gerakan koperasi. Ribuan telah dilatih bagi membangun dan memacu koperasi dalam menyumbang peningkatan ekonomi. Matlamatnya supaya koperasi dapat membantu rakyat ke arah berpendapatan tinggi melalui peningkatan aktiviti perniagaan koperasi serta menjadikan sektor koperasi sebagai salah satu penjana ekonomi negara. Ia selari dengan pertambahan jumlah koperasi di negara ini yang hanya beberapa buah sahaja di awal negara mencapai kemerdekaan kepada lebih 8,000 ketika ini. Dalam menjangkau usia setengah abad, MKM berbangga dengan graduan kelahirannya terus mendapat tempat di semua sektor pekerjaan khususnya di bidang koperasi dan peserta kursus jangka pendek yang telah dilatih oleh MKM terus memberi sumbangan positif kepada gerakan koperasi di negara ini.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 NOVEMBER 2011


ISU SOSIAL : INTEGRITI DAN GENERASI MUDA

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia


PANTAI CHERATING, PAHANG

Sambutan Hari Integriti Nasional 2011 yang diamanahkan kepada Institut Integriti Malaysia (IIM) adalah bertemakan Agenda Integriti Nasional: Peranan Generasi Muda. Dalam persekitaran politik, ekonomi dan sosial tanah air kini; isu integriti merupakan antara elemen utama yang sering menjadi tumpuan oleh kesemua lapisan anggota masyarakat termasuk kepimpinan kerajaan, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau pernah menyatakan bahawa untuk memulihkan keyakinan ke atas kerajaan; sikap telus, bercakap benar dan keterbukaan menjadi agenda beliau. Ini kerana banyak kepimpinan mahupun empayar besar dunia dirobek oleh isu integriti yang tidak kukuh bukan sahaja antara penggubal, pelaksana dan kumpulan sasar sesuatu dasar tetapi lebih daripada itu, ia ketara dalam kalangan pemimpin dan rakyat terutamanya generasi muda yang seolah-olah mewujudkan satu lompong besar atau jurang komunikasi sesama mereka mengenai peri pentingnya isu ini. Tanpa ada integriti, tidak akan berlaku sebarang transformasi nasional termasuk ke atas Pelan Transformasi Kerajaan (PTK), Pelan Transformasi Ekonomi (PTE), Model Ekonomi Baru (MEB), Rancangan Malaysia Ke-10 (RM Ke-10) dan Bajet 2012 yang turut mempengaruhi kependudukan dan hubungan antara etnik di negara ini.

Titik keseimbangan 'masa depan bersama' bergantung kepada kekuatan setiap individu termasuk 'generasi muda'. Sudah pasti, generasi muda dalam konteks hari ini menjadi 'ejen transformasi' yang akan memain peranan serta mempunyai fungsi tertentu dalam memberi maksud dan makna kepada integriti. Ia adalah tanggungjawab bersama. Generasi muda mahu difahami dan sudah pasti yang mudah memahami mereka adalah pemimpin muda sendiri. Generasi muda menjadi benteng kekuatan negara dan harus terus diiktiraf, dihormati dan diberikan penghargaan sewajarnya atas kedudukan tersebut kerana tanpa sumbangan mereka, negara ini tidak akan kemana-mana. Integriti generasi muda perlu diperhebatkan secara pembudayaan berterusan. Integriti berpaksikan kepada nilai murni seperti jujur, benar, amanah, adil, kebertanggungjawaban, telus, cekap dan bijaksana. Ia bermula dalam diri setiap individu yang subur dalam hati, minda dan emosi yang memberi roh dan jasadnya kepada karakter.

Melihat kepada kepentingan integriti, Pelan Integriti Nasional (PIN) dilaksana pada tahun 2004 dan pendefinisian integriti individu dirujuk kepada - 'keselarasan antara apa yang dikata dan dikota, antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang, kepentingan diri dan umum'. Isunya adalah sikap dan mindset generasi muda; sejauh manakah mereka merungkai, meneliti dan menggarap nilai integriti sebagai sebahagian amalan kehidupan? Adakah proses modenisasi, industrilisasi dan pertumbuhan dan pembangunan negara seiring dengan nilai integriti generasi hari ini? Sebagai ejen transformasi yang menyumbang kepada perkembangan negara bangsa, adakah generasi hari ini proaktif sebagai penyuntik, penjana ataupun pemangkin kepada pembudayaan integriti? Isunya juga tertumpu kepada faktor dalaman dan luaran; bagaimanakah nilai kendiri dipertingkatkan dalam mencari keselarasan dengan faktor luaran yang semakin mendesak terutama keinginan bersifat materialistik dan dunia individualistik?

Bagaimana pula peluang yang diberikan kepada generasi ini; adakah memadai untuk mereka memperlihatkan elemen kreatif, inovatif dan melahirkan nilai kualiti yang tinggi untuk menyalurkan maklumat integriti kepada umum dengan pendekatan sendiri? Sejauh manakah generasi muda dibenar untuk terbabit dalam 'pengisian' ke atas isu integriti walhal sering dipertanggungjawabkan dengan kepincangan struktur sosial termasuk isu mat rempit, bohsia, hamil luar nikah, seks bebas, keruntuhan akhlak, penagihan dadah, jenayah remaja, pembunuhan, kecurian, gangsterisme. Cabaran besar hari ini adalah untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan integriti dalam diri generasi muda ini melalui aktiviti, program serta diri masing-masing. Pembudayaan integriti memerlukan komitmen dan tanggungjawab besar dari segala lapisan masyarakat. Begitu juga untuk menangani persepsi ke atas generasi muda yang dilabel sebagai bersikap kompetitif dalam era individualistik dan materialistik. Hari ini stereotaip 5C sudah berubah menjadi 5B dalam kalangan generasi muda.

Jika dahulu mereka dikaitkan dengan generasi Cash, Car, Credit Card, Condominium dan ahli Country Club; hari ini ia berubah kepada Billions, Bunglow, Benz, Brain dan Body. Saya khuatir cabaran akan datang akan berpusat kepada pertembungan isu kelas; kemelut inter-etnik yang cuba ditangani kerajaan akan menjadi pertembungan inter dan intra kelas yang akhirnya membawa kepada gejala sosial kerana sukar berhadapan dengan persaingan mempertingkatkan gaya dan kualiti kehidupan semasa. Pengumuman Laporan Audit Negara baru-baru ini menunjukkan bagaimana usaha berterusan merendahkan nilai integriti, misalnya nilai teropong Bushnell Binocular yang harga asal adalah RM2,827 boleh berubah kepada 56,350; peningkatan 1,893%. Generasi muda memerhati tingkah laku seperti ini dan jika golongan lain tidak mengamalkan integriti sebenar, wajarkah generasi ini dikatakan memiliki motivasi rendah ke atas integriti, termasuk integriti politik dalam kalangan pembesar politik negara?

Sebagai ejen transformasi negara, maka penguasaan dan pemahaman ke atas isu integriti sangat penting. Perlu ada kesedaran dan kefahaman yang tinggi dalam kalangan generasi muda. Dalam mahu keperluan dan kemahuan dipenuhi, mereka juga perlu mengubah mindset atau pemikiran agar seiring dengan norma pembangunan pendidikan negara. Cabaran ke atas persaingan kelas perlu diteliti secara menyeluruh terutama jurang antara etnik; jurang dalam etnik; jurang bandar dan luar bandar yang turut menyumbang kepada darjah dalam dan luaran integriti seseorang. Di peringkat sistem penyampaian dan tadbir-urus, perlu ada rombakan cara kerja. Kod etika dan amalan baik perlu diusahakan secara terancang; diperkuatkan dengan latihan dan didikan berterusan yang boleh diterjemah dalam bentuk praktis dan amalan. Pemantauan berterusan akan membolehkan jati diri diawasi dan sentiasa diperiksa diri sendiri agar tidak bertindak di luar kawalan. Yang penting, generasi muda harus disediakan saluran untuk dilibat sama dalam proses penjanaan nilai integriti, barangkali ada elemen konsultansi yang boleh diperkasa agar ia dimanfaat untuk meneruskan benteng kesinambungan kepimpinan kepada golongan yang berwibawa dan mampu melahirkan legitimasi politik.

Transformasi integriti dalam kalangan generasi muda akan berlaku dengan lebih besar jika ada mindset positif dan perkongsian ilmu mengenainya dengan pelbagai kumpulan dan ejen sosialisasi lain seperti keluarga, media, guru, rakan sebaya, pemimpin dan diri sendiri mengambil iktibar untuk mengetahuinya. Sumbangan dalam menyulam kegemilangan ketamadunan negara bangsa dari generasi muda tidak boleh dinafikan. Mereka sebenarnya boleh menentukan jatuh bangun sesebuah negara bangsa. Segala inisiatif dan intensif kerajaan hanya akan berjaya sepenuhnya dengan kehadiran golongan muda untuk turut memikul beban tersebut untuk memastikan output dan outcome yang positif dalam komitmen bersifat resiprokal kerana kerajaan tidak boleh keseorangan untuk merealisasikan kesemua gagasan besar di bawah kepimpinan hari ini untuk kepentingan generasi muda sebenarnya. Golongan muda adalah tulang belakang negara ini yang harus diiktiraf, diberikan penghormatan dan penghargaan sewajarnya agar dapat memobilisasi rasa tanggungjawab holistik untuk memperkasakan agenda integriti demi mempertahankan kehidupan berukun dan kesejahteraan yang perlu diwarisi dari generasi ke generasi.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 NOVEMBER 2011


09 November 2011

ISU SOSIAL : JANGAN DIUNDANG KEMURKAAN ALLAH

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD


Negara digemparkan dengan tindakan berani 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menganjurkan program Seksualiti Merdeka 2011 iaitu satu program yang dibimbangi menggalakkan seks bebas. Walaupun Perlembagaan dalam perkara 3 (1) memperuntukkan bahawa Islam merupakan agama Persekutuan dan menjadi tonggak kepada tertubuhnya Malaysia, ia tidak menjadi penghalang kepada kesemua NGO terbabit menunjukkan ‘belang’ mereka menganjurkan program yang menjijikkan itu. Bagaimanapun program yang bertujuan memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mendapat bantahan keras daripada pelbagai pihak bukan sahaja di kalangan masyarakat Islam malah komuniti bukan Islam. Mereka mahu program seperti itu dihentikan dan pihak penganjur antaranya bekas Presiden Majlis Peguam yang juga Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk S.Ambiga dikenakan tindakan undang-undang kerana perbuatan itu bertentangan dengan Perlembagaan selain berlawanan dengan fitrah manusia.

Seperti mana kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tujuan penganjur program itu adalah untuk menunjukkan mereka selari dengan amalan hak asasi manusia berdasarkan prinsip-prinsip antarabangsa meskipun sedar ia tidak mungkin berlaku kerana Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara Islam. Jelas, program yang memperjuangkan seks bebas hukumnya haram dan ia dinyatakan sendiri di dalam al-Quran khususnya mereka yang mengamalkan hubungan sejenis. Harus diingat perbuatan memperjuangkan LGBT atau apa-apa perjuangan yang berlawanan dengan ketetapan hukum Allah SWT sebenarnya hanya akan mengundang kemurkaanNya. Berdasarkan sejarah umat terdahulu, Allah pernah menurunkan mala petaka ke atas mereka sehingga kaum-kaum tersebut dilenyapkan daripada muka bumi ini. Puncanya kaum-kaum itu ingkar kepada perintah Allah termasuk golongan yang mengamalkan seks bebas dan seks sejenis. Pada masa itu tiada siapa yang boleh menghalangNya kerana sesungguhnya Allah Maha Berkuasa daripada segala-galanya dan kehebatan kekuasaan Allah terlalu banyak disebutkan di dalam al-Quran.

Cuba lihat bala yang menimpa kaum Nabi Luth dan kemusnahan bandar Pompeii ekoran berlakunya gejala seks bebas serta hubungan seks sejenis. Tidak dinafikan dua kisah ini sering dipaparkan untuk bacaan umum sama ada di majalah, akhbar mahu pun buku tetapi penulis mahu memaparkan semula dua kisah ini kerana ia amat berkaitan dengan penganjuran seks bebas serta memperjuangkan hak LGBT oleh 20 NGO terlibat. Kisah pertama ialah mengenai sejarah umat Nabi Luth. Nabi Luth A.S hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim A.S dan baginda diutus sebagai rasul kepada satu kaum yang berjiran dengan kaum Nabi Ibrahim. Seperti mana yang disebut di dalam al-Quran kaum Nabi Luth membudayakan perbuatan yang bercanggah dengan syariat serta fitrah manusia iaitu melakukan hubungan jenis antara lelaki dan lelaki juga dikenali dengan liwat. Ekoran budaya tersebut, Nabi Luth dengan segala kudratnya menyeru semua umatnya meninggalkan perbuatan terkutuk itu dengan mengingatkan kepada mereka amaran serta peringatan yang telah disampaikan oleh Allah.

Bagaimanapun kaum Nabi Luth yang angkuh itu menolak seruan tersebut dengan terus melakukan perbuatan liwat sesama lelaki dan paling malang mereka turut menafikan kerasulan Nabi Luth. Seruan Nabi Luth disambut dengan pelbagai ugutan dan cemuhan daripada kaumnya. Mereka tidak mahu Nabi Luth menganggu budaya liwat yang begitu digemari mereka ketika itu. Nabi Luth dikecam hanya disebabkan baginda menunjukkan kepada umatnya ke jalan yang benar. Cuba lihat maksud surah al-A’Araf ayat 80-81; Dan Nabi Luth (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya ‘‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun penduduk alam ini sebelum kamu’’. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Bagaimanapun ingatan yang diberikan oleh Nabi Luth itu dijawab sinis oleh kaumnya. Perkara ini disebut di dalam al-Quran di dalam surah yang sama ayat ke 82; Dan tidak ada jawapan daripada kaumnya selain mereka berkata ‘‘Usirlah mereka (Nabi Luth dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang yang mendakwa mensucikan diri.

Setelah menerima jawapan daripada kaumnya, Nabi Luth memohon berdoa kepada Allah dan ia dinyatakan di dalam surah as-Syuara ayat 169; (Nabi Luth berdoa) ‘‘Ya Allah selamatkanlah aku serta keluargaku dari (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan’’. Akhirnya melalui perutusan dua malaikat, Nabi Luth sekeluarga serta pengikut-pengikut yang setia dibawa keluar ke satu tempat lain kerana Allah mahu memusnahkan umatnya yang durhaka itu. Kaum Nabi Luth yang begitu biadab sebelum itu telah mengepung rumah baginda kerana mahu bertemu dengan dua orang tetamu terdiri daripada dua malaikat berkenaan. Mereka mahu melakukan perbuatan yang dimurkai oleh Allah. Ekoran itu, Nabi Luth seperti mana dalam surat al-Hijr ayat ke 68-69 berkata ; ‘‘Sesungguhnya mereka ini tetamu aku. Maka janganlah kamu memberi malu kepadaku. Dan takutlah kamu kepada Allah, serta janganlah kamu menghina aku.’’ Berikutan kebiadapan tersebut, Allah segera menyelamatkan Nabi Luth sekeluarga dan pengikut-pengikutnya yang taat melalui perutusan dua malaikat tersebut, kaum baginda kemudian dimusnahkan dalam malapetaka yang dahsyat pada sebelah pagi.

Surah al-Hijr ayat 73-74 menceritakan segala-galanya: Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan kaum Lut tunggang-terbalik (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah terbakar.’’ Inilah akibat mereka yang mengingkari perintah Allah dengan melakukan perbuatan hubungan sejenis sesama lelaki. Peristiwa ini dianggarkan berlaku kira-kira 1,800 sebelum masihi dan kesan sejarah kebinasaan kaum Nabi Luth terdapat di kawasan Laut Mati di sempadan Jordan-Israel. Kisah kedua adalah mengenai bala bencana yang diturunkan oleh Allah kepada masyarakat yang tinggal di bandar Pompeii kerana berlakunya seks bebas hingga ke peringkat melakukannya secara terbuka. Pompeii ialah simbol keruntuhan Empayar Rom yang terlibat dengan kegiatan seks melampaui batas. Kemusnahan yang berlaku ke atas rakyat bandar itu serupa dengan balasan dialami oleh umat Nabi Luth.

Kehancuran masyarakat di kawasan itu adalah akibat daripada letupan gunung berapi Vesuvius terletak di bandar Naples, Itali. Kehilangan bandar Pompeii akibat malapetaka itu bukan tanpa sebarang sebab. Rekod sejarah menunjukkan bandar tersebut menjadi pusat memuaskan nafsu dan perbuatan melampau batas kemanusiaan. Jumlah rumah pelacuran tidak terhitung banyaknya. Mereka juga mengikut tradisi daripada kepercayaan Mithra yang mempercayai alat-alat kelamin dan persetubuhan tidak sepatutnya terlindung tetapi hendaklah dilakukan tempat terbuka, Bagaimanapun perlakuan mereka mendapat kemurkaan Allah dan ia dibuktikan dengan letusan gunung Vesuvius dan lavanya menyapu bersih penduduk di kawasan itu dengan tidak seorang pun terselamat. Dengan sekelip mata mereka menjadi batu. Malah berdasarkan beberapa penemuan terdapat mereka yang sedang melakukan hubungan seks turut menjadi batu. Dua contoh di atas menunjukkan bukti kemurkaan Allah terhadap mereka yang sengaja mencabar ketetapan Allah dan kedua-duanya merupakan bukti sejarah yang wajar dijadikan iktibar.

Sehubungan itu, kepada pihak berkuasa mereka perlu membanteras kegiatan seks bebas dan perjuangan LGBT hingga ke akar umbi tanpa sebarang kompromi. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan kerana ia juga merupakan amanah daripada Allah. Pusat-pusat pelacuran, homoseks dan apa jua pusat seks bebas di negara ini hendaklah dimusnahkan kerana kewujudan kegiatan maksiat seperti ini hanya akan mengundang kemurkaan Allah sekali gus memberi kesan buruk kepada negara. Kepada orang Islam yang terlibat dengan kegiatan LGBT serta seks bebas, bertaubatlah sebelum nyawa ditarik oleh Malaikat Maut. Kembalilah ke pangkal jalan. Apa yang anda lakukan itu dosanya amat besar. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 NOVEMBER 2011


ISU KEWANGAN : PERANAN KESAN AUDIT DAN DASAR KELUAR YANG JELAS

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan
Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.


TAMAN WETLAND, PUTRAJAYA

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Laporan Ketua Audit Negara menjadi perhatian rakyat. Kepekaan mengenainya menggambarkan prinsip akauntabiliti sektor awam semakin dituntut oleh rakyat. Berbeza dengan sektor swasta yang lebih mementingkan keuntungan semata-mata untuk kepentingan pemegang saham, sektor awam lebih mengutamakan kepentingan rakyat. Ini bermakna, sektor awam berfungsi membelanjakan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan melalui cukai-cukai yang dikutip daripada rakyat secara berakauntabiliti dan berhemah. Wang yang dibelanjakan sewajarnya mencapai matlamat asas iaitu memaksimumkan "keuntungan" kepada rakyat. Justeru, sektor awam adalah agen pelaksana dasar-dasar yang digubal untuk rakyat. Sementara itu, juruaudit berperanan untuk memastikan wang rakyat dibelanjakan secara teratur mengikut prosedur ditetapkan di samping tidak berlaku sebarang kelemahan yang menjejaskan kecekapan dan keberkesanan sektor awam dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. Di sinilah peranan juruaudit iaitu meminimumkan "kos agen" yang berpunca daripada kelemahan yang terdapat di sektor awam.

"Kos agen" ini akan memudaratkan rakyat. Namun begitu, masih ramai yang beranggapan seolah-olah juruaudit berperanan semata-mata mengesan penyelewengan. Satu lagi peranan utama juruaudit adalah mengesan kelemahan kawalan dalaman. Kelemahan kawalan dalaman bukanlah satu penyelewengan. Kelemahan ini timbul apabila prosedur ditetapkan tidak dipatuhi sepenuhnya ataupun kerana kelemahan pekerja itu sendiri yang kurang mahir dan tidak menjalankan kerja dengan teliti sehingga banyak berlaku kesilapan. Perkara-perkara ini bukanlah satu penyelewengan tetapi lumrah bagi mana-mana sistem ciptaan manusia yang tidak akan sempurna walau mana hebat pun sistem itu. Pastinya ada kelemahan tersendiri. Namun, itu bukanlah alasan untuk tidak memperbetulkan kesilapan. Kesilapan yang dilakukan berulang-ulang merupakan satu risiko yang amat berbahaya bagi mana-mana jabatan di sektor awam. Sebab itulah, ketua-ketua jabatan berperanan besar memastikan setiap kelemahan yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara diambil kira dan tindakan pantas dilaksanakan bagi mengatasi kelemahan-kelemahan ini.

Mengenalpasti kelemahan dan kesilapan serta mengesyorkan cadangan-cadangan penambahbaikan adalah peranan asas audit dalaman, namun sekiranya mereka menjumpai sebarang penyelewengan, juruaudit dalaman bertanggungjawab melaporkannya kepada pihak atasan. Sebagai juruaudit yang memeriksa bukan sahaja perkara kewangan tetapi juga hal-hal bukan kewangan, juruaudit dalaman berkemungkinan akan menjumpai penyelewengan yang berlaku di organisasi mereka. Sekali lagi, perkara ini tidak boleh ditutup kerana akhirnya ia boleh memberi implikasi besar kepada organisasi tersebut. Lebih teruk lagi jika penyelewengan itu membabitkan banyak pihak. Apabila dilaporkan oleh juruaudit dalaman mahupun melalui Laporan Ketua Audit Negara, perkara ini mestilah ditangani segera. Bukanlah fungsi audit untuk mengesan si pelaku. Peranan untuk mengesan si pelaku diambil alih oleh organisasi lain umpamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPRM berperanan sebagai akauntan forensik bagi membuktikan penyangak-penyangak yang tidak jujur melaksanakan tugas mereka. Bukti yang mencukupi dan boleh dipercayai hendaklah diperoleh sebelum mereka ini dibawa ke muka pengadilan.

Jika aturan ini dapat dilaksanakan dengan baik (bermula diaudit, ditegur, tindakan pembetulan dan penyangak dibawa ke muka pengadilan), sektor awam akan dapat mencapai tahap kualiti yang amat tinggi. Bagi penulis, pelaksanaan dasar keluar sektor awam yang akan bermula pada tahun 2012 sepatutnya mengambil kira juga Laporan Ketua Audit Negara. Ini kerana ia juga menggambarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi individu. Tidak kiralah sama ada KPI itu melibatkan pegawai tertinggi mahupun pegawai peringkat bawahan yang pasti siapa yang bertanggungjawab sewajarnya mengamalkan budaya berakauntabiliti tinggi. Dasar keluar yang jelas dan telus berpaksikan prestasi sebenar kakitangan awam boleh membawa satu budaya baru berkualiti tinggi di sektor awam. Ini akan memberi satu "kejutan" kepada kakitangan awam yang berprestasi rendah agar meningkatkan prestasi mereka. Dengan cara ini, barulah akan menampakkan keberkesanan Laporan Ketua Audit Negara mahupun laporan juruaudit dalaman dalam mempertingkatkan kualiti perkhidmatan sektor awam . Tidaklah lagi timbul kelemahan dan kesalahan yang sama diulang tayang pada setiap tahun yang akhirnya timbul persepsi negatif di kalangan rakyat.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 NOVEMBER 2011



ISU UMUM : JENUH FIKIRKAN TARIKAN LELAKI AFRIKA


Entah apa tarikan kuasa yang ada pada lelaki-lelaki warga Afrika yang menyebabkan ramai wanita negara ini dilapor terjebak dalam cinta siber yang berakhir dengan penipuan. Jenuh juga memikirkan daripada mana datangnya tarikan itu. Bukan penulis saja jenuh memikir, kawan-kawan lelaki lain juga sibuk bertanya-tanya, sudah tiadakah lelaki tempatan atau apa kurangnya mereka sampai wanita negara ini beralih kepada golongan 'awang hitam' ini. Tentu agak luar biasa kuasa tarikan itu atau putar-belit kata-katanya, sehinggakan wanita tempatan ini mudah 'cair' dan mempercayai seratus peratus tanpa rasa curiga menyerahkan wang yang bukan sedikit jumlahnya kepada lelaki warga Afrika ini. Sebelum ini, kita turut maklum dengan wanita negara ini yang turut menjadi 'keldai dadah' yang memusnahkan kehidupan mangsa dan membuatkan keluarga mereka turut sengsara. Jenayah ini juga bermula melalui perkenalan di Internet. Dan kini, muncul pula sindiket penipuan kiriman bungkusan, yang menggunakan modus operandi yang agak sama.

Data terbaru polis mencatatkan sebanyak 86 kes dilaporkan dalam tempoh sebulan atau tiga kes setiap hari berhubung penipuan kes ini. Kebanyakan yang terkena ialah wanita yang berkerjaya, berpelajaran tinggi serta menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Justeru ada pihak merumuskan sifat tamak dan buta cinta menjadi antara faktor utama wanita Malaysia mudah diperbodohkan oleh sindiket warga Afrika yang menjalankan penipuan ini. Tidak dapat dinafikan, rata-rata jenayah yang berlaku kebanyakannya berkisar tentang tamakkan wang. Tetapi yang jelas, ia tidak mengecualikan lelaki atau wanita. Bagaimanapun, dalam kes penipuan seperti ini, golongan wanita seperti mendedahkan diri mereka terhadap jenayah itu. Malaysia adalah antara negara tertinggi bilangan pengguna Internet berbanding negara-negara lain. Satu kajian sebelum ini menyatakan, pengguna Internet di negara ini terutamanya golongan muda menghabiskan masa pada purata 22.3 jam dalam talian seminggu.

Sudah tentu, ketagihan terhadap rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter, Myspace dan lainnya bakal mengundang padah sekiranya wanita tidak dapat mengawal diri daripada diperdaya oleh sindiket penipuan yang sukar untuk disekat dalam era langit terbuka ini. Wanita perlu ingat bahawa bahaya bukan sahaja ada di luar sana, malah di dalam duduk bersantai di rumah sambil bersembang di rangkaian sosial pun, terdedah kepada penipuan yang boleh merubah kehidupan dalam sekelip mata. Sudah banyak berita dan isu dilaporkan mengenai penipuan di Internet, maka peka dan ambillah langkah berjaga-jaga dan pencegahan. Janganlah begitu cepat mempercayai orang yang tidak dikenali, apatah lagi orang yang menabur janji yang bukan-bukan dan tidak logik langsung. Dalam pada itu, pendedahan kepada identiti diri, gambar atau pergerakan hendak ke mana pun dilaporkan di dalam laman sosial itu, akan menarik perhatian penjenayah yang kini menggunakan saluran Internet untuk memerangkap mangsanya. Sebagai pengguna Internet, wanita perlu bijak menggunakan kemudahan itu. Jangan disebabkan leka, akhirnya kemudahan tersebut kelak menyusah dan membinasakan kehidupan sendiri.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 NOVEMBER 2011