09 November 2011

ISU KEWANGAN : PERANAN KESAN AUDIT DAN DASAR KELUAR YANG JELAS

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan
Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.


TAMAN WETLAND, PUTRAJAYA

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Laporan Ketua Audit Negara menjadi perhatian rakyat. Kepekaan mengenainya menggambarkan prinsip akauntabiliti sektor awam semakin dituntut oleh rakyat. Berbeza dengan sektor swasta yang lebih mementingkan keuntungan semata-mata untuk kepentingan pemegang saham, sektor awam lebih mengutamakan kepentingan rakyat. Ini bermakna, sektor awam berfungsi membelanjakan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan melalui cukai-cukai yang dikutip daripada rakyat secara berakauntabiliti dan berhemah. Wang yang dibelanjakan sewajarnya mencapai matlamat asas iaitu memaksimumkan "keuntungan" kepada rakyat. Justeru, sektor awam adalah agen pelaksana dasar-dasar yang digubal untuk rakyat. Sementara itu, juruaudit berperanan untuk memastikan wang rakyat dibelanjakan secara teratur mengikut prosedur ditetapkan di samping tidak berlaku sebarang kelemahan yang menjejaskan kecekapan dan keberkesanan sektor awam dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. Di sinilah peranan juruaudit iaitu meminimumkan "kos agen" yang berpunca daripada kelemahan yang terdapat di sektor awam.

"Kos agen" ini akan memudaratkan rakyat. Namun begitu, masih ramai yang beranggapan seolah-olah juruaudit berperanan semata-mata mengesan penyelewengan. Satu lagi peranan utama juruaudit adalah mengesan kelemahan kawalan dalaman. Kelemahan kawalan dalaman bukanlah satu penyelewengan. Kelemahan ini timbul apabila prosedur ditetapkan tidak dipatuhi sepenuhnya ataupun kerana kelemahan pekerja itu sendiri yang kurang mahir dan tidak menjalankan kerja dengan teliti sehingga banyak berlaku kesilapan. Perkara-perkara ini bukanlah satu penyelewengan tetapi lumrah bagi mana-mana sistem ciptaan manusia yang tidak akan sempurna walau mana hebat pun sistem itu. Pastinya ada kelemahan tersendiri. Namun, itu bukanlah alasan untuk tidak memperbetulkan kesilapan. Kesilapan yang dilakukan berulang-ulang merupakan satu risiko yang amat berbahaya bagi mana-mana jabatan di sektor awam. Sebab itulah, ketua-ketua jabatan berperanan besar memastikan setiap kelemahan yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara diambil kira dan tindakan pantas dilaksanakan bagi mengatasi kelemahan-kelemahan ini.

Mengenalpasti kelemahan dan kesilapan serta mengesyorkan cadangan-cadangan penambahbaikan adalah peranan asas audit dalaman, namun sekiranya mereka menjumpai sebarang penyelewengan, juruaudit dalaman bertanggungjawab melaporkannya kepada pihak atasan. Sebagai juruaudit yang memeriksa bukan sahaja perkara kewangan tetapi juga hal-hal bukan kewangan, juruaudit dalaman berkemungkinan akan menjumpai penyelewengan yang berlaku di organisasi mereka. Sekali lagi, perkara ini tidak boleh ditutup kerana akhirnya ia boleh memberi implikasi besar kepada organisasi tersebut. Lebih teruk lagi jika penyelewengan itu membabitkan banyak pihak. Apabila dilaporkan oleh juruaudit dalaman mahupun melalui Laporan Ketua Audit Negara, perkara ini mestilah ditangani segera. Bukanlah fungsi audit untuk mengesan si pelaku. Peranan untuk mengesan si pelaku diambil alih oleh organisasi lain umpamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPRM berperanan sebagai akauntan forensik bagi membuktikan penyangak-penyangak yang tidak jujur melaksanakan tugas mereka. Bukti yang mencukupi dan boleh dipercayai hendaklah diperoleh sebelum mereka ini dibawa ke muka pengadilan.

Jika aturan ini dapat dilaksanakan dengan baik (bermula diaudit, ditegur, tindakan pembetulan dan penyangak dibawa ke muka pengadilan), sektor awam akan dapat mencapai tahap kualiti yang amat tinggi. Bagi penulis, pelaksanaan dasar keluar sektor awam yang akan bermula pada tahun 2012 sepatutnya mengambil kira juga Laporan Ketua Audit Negara. Ini kerana ia juga menggambarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi individu. Tidak kiralah sama ada KPI itu melibatkan pegawai tertinggi mahupun pegawai peringkat bawahan yang pasti siapa yang bertanggungjawab sewajarnya mengamalkan budaya berakauntabiliti tinggi. Dasar keluar yang jelas dan telus berpaksikan prestasi sebenar kakitangan awam boleh membawa satu budaya baru berkualiti tinggi di sektor awam. Ini akan memberi satu "kejutan" kepada kakitangan awam yang berprestasi rendah agar meningkatkan prestasi mereka. Dengan cara ini, barulah akan menampakkan keberkesanan Laporan Ketua Audit Negara mahupun laporan juruaudit dalaman dalam mempertingkatkan kualiti perkhidmatan sektor awam . Tidaklah lagi timbul kelemahan dan kesalahan yang sama diulang tayang pada setiap tahun yang akhirnya timbul persepsi negatif di kalangan rakyat.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 NOVEMBER 2011



Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails