29 September 2011

ISU PENDIDIKAN : MAHASISWA, GERAK UNTUK MALAYSIA

Oleh Khaled Nordin


BANDAR MACHU PICCHU, DI PERU
Dianggarkan 2 juta orang mahasiswa sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Jumlah ini boleh dikatakan satu jumlah besar dan dilihat sebagai kuasa atau kelebihan yang menguntungkan negara. Seperti negara-negara lain, Malaysia yang mahu melangkah ke tahap negara maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi menjelang 2020 amat bergantung kepada modal insan yang dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT). Justeru, jumlah 1.2 juta orang mahasiswa ini sebenarnya aset dan harta yang bernilai; bukan sahaja menjadi modal insan semata-mata sebaliknya modal intelektual untuk Malaysia. Melihat kepada kelebihan dan kekuatan yang ada pada jumlah mahasiswa di IPT ini, kita harus akui bahawa segala proses pembangunan dan kemajuan negara mesti melibatkan peranan golongan mahasiswa. Mereka bukan sahaja golongan cerdik pandai, tetapi yang lebih penting mempunyai rangkaian atau rantaian besar juga meluas dalam negara. Bayangkan, jika 1.2 juta orang mahasiswa memainkan peranan masing-masing untuk membantu Malaysia, kita sebenarnya mempunyai kekuatan yang boleh menyerlahkan lagi pembangunan dan kemajuan negara.

Umum mengetahui bahawa kemajuan negara ditentukan oleh beberapa program transformasi, antara yang utamanya adalah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Kejayaan melaksanakan GTP dan ETP akan menentukan kejayaan Malaysia mentransformasikan negara ke tahap maju. Sudah pasti agenda besar transformasi ini memerlukan dukungan semua pihak termasuk golongan mahasiswa. Mereka harus bertindak sebagai kumpulan masyarakat yang aktif, proaktif dan peduli terhadap pembangunan semasa negara dan bertanggungjawab bagi menjamin kelangsungannya secara lestari. Ini bermakna, mahasiswa yang ingin kita lahirkan bukan hanya dapat berperanan secara aktif dalam sebuah negara maju dan berjaya, tetapi berjaya bersaing dan hidup dengan serasi dalam masyarakat global yang kompetitif dengan kepelbagaian budaya serta nilai. Tidak dinafikan, pendedahan mahasiswa terhadap proses transformasi negara khususnya maklumat-maklumat tentang GTP dan ETP amat penting. Ini menjadikan mahasiswa kita seorang warganegara yang prihatin dan cintakan negara kerana ia melatih mereka berfikir dan melahirkan idea tentang persoalan negara dan bertindak bagi menentukan masa depan Malaysia itu sendiri.

Kuasa idea ini tidak seharusnya dipandang remeh. Di seluruh dunia membuktikan bahawa pelbagai program yang asalnya merupakan idea dan gerakan kecil daripada golongan mahasiswa dan belia akhirnya menjadi fenomena di seluruh dunia. Sebagai contoh, Program Teach for America yang dijana hasil idea mahasiswa berjaya merubah landskap kesedaran pendidikan bukan sahaja di Amerika Syarikat, malah di seluruh dunia. Meskipun GTP dan ETP adalah perancangan pembangunan oleh kerajaan untuk keseluruhan rakyat, ia bukanlah satu perkara eksklusif yang hanya melibatkan kerajaan dan pihak yang berkepentingan sahaja. Sebaliknya, rakyat khususnya golongan mahasiswa juga mempunyai peranan tersendiri untuk merealisasikan ia. Hal ini bertepatan dengan realiti masa kini di mana era kerajaan mengetahui segala-galanya telah pun berakhir. Justeru adalah penting golongan mahasiswa didedahkan dengan GTP dan ETP supaya ia menimbulkan kesedaran dan sense of belonging (rasa kepunyaan bersama), dan dengan itu, GTP dan ETP boleh diperjuangkan secara kolektif. Mungkin ada pihak melihat mahasiswa hanya sebagai sampingan dan mempunyai peranan yang terhad dalam menggerakkan GTP dan ETP, tetapi jika kita perhalusi, mereka adalah golongan penting sebagai agen perubahan yang mempunyai rantaian luas dan menyeluruh dalam negara.

Oleh itu, golongan mahasiswa mempunyai peranan yang tersendiri dalam menjayakan program transformasi negara khususnya melalui pendekatan GTP dan ETP. Sehubungan itu, saya melihat mahasiswa-mahasiswa sekalian mempunyai cabaran untuk memikul tiga peranan besar di bawah tema Mahasiswa: Gerak untuk Malaysia iaitu: Pertama : Mahasiswa sebagai penyedar dan penyebar kesedaran Nasional. Kita sedia maklum bahawa GTP dan ETP adalah program transformasi terbaik untuk negara, akan tetapi masih ramai rakyat yang tidak memahaminya. Belum ada mana-mana pihak selain kerajaan yang mampu menghasilkan satu pelan menyeluruh sebegini untuk masa depan. Justeru, saya yakin golongan mahasiswa boleh memainkan peranan yang penting sebagai agen perubahan yang utama. Ini kerana mereka mempunyai kekuatan wibawa dan daya pikat luar biasa yang dapat mempengaruhi dan memberi keyakinan orang ramai bersama-sama menyokong dan menyertai arus pembangunan negara melalui GTP dan ETP. Saya melihat kelab-kelab 1Malaysia yang ditubuhkan di IPTA boleh memainkan tanggungjawab penting ini menyebarluas maklumat dan kesedaran terhadap GTP dan ETP.

Kedua : Membangunkan keperibadian, idealisme, kemahiran dan kepemimpinan melalui program dan aktiviti yang menjadi tumpuan GTP dan ETP. Kita menyedari bahawa kekuatan menguasai keperibadian, idealisme, kemahiran dan kepemimpinan menjadikan golongan mahasiswa kita mempunyai matlamat, cita-cita dan tujuan kehidupan. Kekuatan tersebut tidak boleh dibina hanya melalui ilmu dan pengetahuan yang ‘diturunkan’ oleh para pensyarah dalam bilik-bilik kuliah, tetapi penglibatan aktif dalam aktiviti sosial dan kesukarelawan yang akhirnya memberi kekuatan sahsiah kepada golongan mahasiswa kita. Saya percaya aktiviti-aktiviti tumpuan bagi menyokong GTP dan ETP boleh dijayakan oleh golongan mahasiswa ini sekali gus membangunkan kepemimpinan mereka bagi mendepani dan memikul tugas yang mencabar. Saya juga akan meminta pihak kementerian agar dapat mewujudkan satu mekanisme penilaian dalam memastikan bahawa keterlibatan mahasiswa menerusi aktiviti yang berasaskan kepada ETP & GTP ini dapat dinilai secara berkredit. Ketiga : Mahasiswa menjadi penyelesai kepada isu dan cabaran semasa dan masa hadapan. Mahasiswa perlu mencabar bakat dan potensi diri untuk bersedia menyumbang dalam memberikan jawapan terhadap isu dan cabaran bagi merancakkan usaha kita menjayakan GTP dan ETP sekali gus mengangkat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Program-program berbentuk keusahawanan sosial misalnya perlu digerakkan secara lebih meluas kerana ia merupakan satu nadi penting sumbangan mahasiswa dalam membantu kegiatan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat di luar kampus. Penglibatan mahasiswa dalam merungkai permasalahan masyarakat bukan sahaja memperlihatkan nasib masyarakat itu dibela, tetapi yang lebih penting, mahasiswa didedahkan dengan nilai-nilai seperti kreativiti, berkolaborasi, memahami keutamaan, berfikir secara kritikal, berdaya tahan dan empati tinggi untuk menjawab persoalan-persoalan sosial dan masa kini. Nilai-nilai ini jugalah yang melayakkan mahasiswa kita memiliki keperibadian unggul yang sememangnya menjadi tuntutan majikan dan industri masa kini. Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang dalam merangka beberapa aktiviti yang melibatkan penyertaan golongan mahasiswa secara aktif khususnya mengatasi masalah seperti gejala dadah, meningkatkan bilangan pelajar lelaki ke universiti dan menggalakkan minat pelajar terhadap subjek sains dan matematik. Sebagai sebuah negara yang membangun dan mempunyai program-program transformasinya tersendiri, peranan dan sumbangan golongan muda khususnya mahasiswa amatlah penting. Mahasiswa boleh menjadi penyelesai masalah kepada setiap permasalahan masyarakat dan negara. Peranan mereka penting bukan hanya menyedari kewujudan masalah, tetapi mampu menyediakan penyelesaian dan memberi cadangan bagi mengatasi masalah-masalah itu.

PENULIS ialah Menteri Pengajian Tinggi Malaysia

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 SEPTEMBER 2011


28 September 2011

ISU BAHASA : BAHASA MELAYU ASAS KEMERDEKAAN KITA

Oleh Teo Kok Seong
Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Antara  asas penting kemerdekaan sesebuah negara ialah bahasa negaranya, yang sama ada wujud dalam bentuk bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi dan lebih baik lagi sekiranya dalam bentuk kedua-duanya. Melalui bahasa negara sendiri inilah, negara yang merdeka itu tidak perlu lagi mengikut telunjuk penjajah yang memaksa semua pihak menggunakan bahasanya untuk pelbagai tujuan.  Sesungguhnya paksaan ini adalah sejenis perhambaan. Ini dapat dilihat ketika kita dijajah oleh British yang mengenakan bahasa Inggeris ke atas semua pihak, sebagai bahasa rasmi. Penggunaan bahasa Melayu jika dibenarkan, perlu terlebih dulu diungkapkan gagasannya dalam bahasa Inggeris sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, walaupun untuk pemahaman sesama orang Melayu. Ini bukan saja tidak masuk akal, malah menghina sekali. Namun itulah hakikatnya apabila dijajah. Ketika penjajahan British, kekayaan ekonomi kita diambil dan kuasa politik kita dilesapkan. Khazanah budaya kita pula dibawa keluar. Yang paling malang lagi ialah destini bangsa dan negara kita ikut berada di tangan mereka. Ketika penjajahan, kita bukan saja dikehendaki menggunakan bahasa Inggeris, tetapi perlu mengamalkan budaya Inggeris yang tersemat di dalam bahasa itu.

Selepas sendawa misalnya, kita perlu memohon maaf kerana perbuatan tabii yang tidak disengajakan itu dianggap jijik dalam budaya Inggeris. Ini berlainan sekali dengan budaya Melayu yang berteraskan ajaran Islam. Perbuatan luar kawalan yang membabitkan angin dikeluarkan dari perut melalui mulut dengan bunyi ini perlu disyukuri. Ia tanda nikmat daripada Yang Maha Esa. Sehubungan ini, bahasa Inggeris bukan sekadar sistem komunikasi, ia adalah juga cara hidup. Dalam hal ini, kita mungkin pernah didenda oleh guru bahasa Inggeris apabila tidak segera memohon maaf selepas sendawa dan bersin, dan oleh guru besar kerana menggunakan bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris dalam kawasan sekolah. Perbincangan sebegini bukan bermaksud untuk menimbulkan perasaan seteru terhadap bahasa Inggeris. Ia sebenarnya ingin menjurus kepada persoalan jati diri, lebih-lebih lagi jati diri budaya. Dalam hal ini, bahasa adalah lambang paling dekat, selain yang sejagat sifatnya kepada jati diri. Sehubungan ini, menjadi sifat alamiah bagi sesebuah kelompok itu untuk bukan saja menggunakan bahasanya sendiri. Tetapi yang lebih penting lagi ialah untuk melihat bahasanya itu terus berkembang maju membina tamadun untuk bangsanya.

Dalam hal ini, sudah tentu kelompok berkenaan tidak mahu menerima bahasa pihak lain yang dipaksakan penggunaannya ke atas mereka, walaupun ketika dijajah, apatah lagi selepas merdeka. Sehubungan ini, pada kelazimannya, dalam zaman selepas penjajahan ada penentangan kuat daripada penduduk pribumi untuk tidak meneruskan penggunaan bahasa penjajah. Sebaliknya wujud sokongan teguh untuk menggunakan bahasa sendiri. Berbeza dengan kebanyakan bekas tanah jajahan Empayar British, yang rata-rata terus menggunakan bahasa bekas penjajah itu, kita memilih untuk menggantikannya dengan bahasa Melayu. Ini dilakukan untuk melindungi jati diri budaya bangsa Melayu sebagai kelompok asal bumi ini. Ia juga mengambil kira bahasa Melayu sebelum zaman penjajahan, adalah sebuah bahasa besar di sebelah dunia di sini.  Pemilihan bahasa Melayu adalah langkah yang dapat mengembalikan maruah bangsa Melayu selepas dihina dan ditindas ketika penjajahan. Sesungguhnya penjajahan oleh British itu sudah membantut perkembangan bahasa Melayu. Pada masa itu, bahasa Melayu menjadi hanya bahasa pertuturan di rumah dan bahasa pendidikan di beberapa buah sekolah rendah saja.  Penggantian bahasa Inggeris oleh bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan selepas merdeka, tidak dapat dinafikan adalah antara cara utama untuk mengupayakan bangsa Melayu yang menjadi lemah ketika penjajahan.

Sehubungan ini, bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa ilmu utama dalam sistem pendidikan kebangsaan pada 1983. Dua peperiksaan besar yang sebelum ini ditawarkan dalam bahasa Inggeris juga ditukarkan kepada yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Sehubungan ini, nilai bahasa Melayu yang paling penting ialah pelajar perlu memperoleh gred kepujian untuk dianugerahkan sijil SPM. Bahasa Melayu juga dijadikan prasyarat untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi, dipertimbang untuk bekerja dalam sektor awam dan segala macam peluang yang lain.  Sesungguhnya kemerdekaan pada 1957 itu menyelamatkan bangsa Melayu dan budaya mereka daripada terus ranap di bawah penjajahan British. Daripada sebuah bangsa yang memiliki sejarah gemilang, bebas dan gagah, oleh sebab penjajahan, orang Melayu berubah menjadi bangsa yang lemah.  Kini selepas merdeka, orang Melayu tidak boleh sekali-kali menggadaikan jati diri budaya mereka dalam apa-apa bentuk jua, dengan misalnya menggunakan bahasa pihak lain, yakni bahasa Inggeris, untuk mengendalikan kegiatan budaya tinggi mereka. Antara yang terpenting ialah pendidikan, walaupun untuk mengajar sesetengah mata pelajaran, apatah lagi yang penting seperti sains dan matematik.  Mereka perlu terus menggunakan bahasa Melayu bukan saja untuk memperkaya warisan budaya sendiri, tetapi lebih penting lagi untuk membina peradaban negara ini.

SUMBER
BERITA HARIAN
28 SEPTEMBER 2011


ISU SOSIAL : SERAMPANG BANYAK MATA

Oleh ZULKIFLI JALIL



Sibuk sungguh Kementerian Dalam Negeri (KDN) saat ini. Selepas fasa pertama proses pendaftaran pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk Program 6P menerusi sistem biometrik berakhir 31 Ogos lalu, kini ia akan memasuki proses pemutihan. Difahamkan, menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak menang tangan. Setiap fail diterima daripada divisyen para pegawainya hari ini, beliau akan pastikan semua minitnya diperoleh esok. Itu adalah komitmen beliau untuk memastikan keberkesanan sistem penyampaian. Tarikh bermulanya proses pemutihan, komponen kedua dalam Program 6P akan bergantung kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan PATI yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 3 Oktober depan. Dipercayai penentuan tarikh proses pemutihan yang bakal diumumkan kelak akan mengambil kira keadaan persekitaran dan keselamatan negara. Kejayaan awal Program 6P terserlah menerusi proses pendaftaran yang merupakan komponen pertamanya. Ia menunjukkan hasil positif apabila lebih 2.3 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) mendaftar secara sukarela.

Daripada jumlah itu, seramai 1.3 juta adalah PATI manakala selebihnya pendatang yang sah. Persepsi masyarakat ramai tidak tepat bila menganggap Program 6P ini adalah fasa pemutihan semata-mata. Sebaliknya ia menjurus kepada pelaksanaan program penyelesaian menyeluruh terhadap pekerja asing dan PATI serta termasuklah pelajar," ujar Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam kepada Utusan Malaysia. Impak kejayaan awal Program 6P tercerna menerusi pelaksanaan biometriknya. Sistem ini melibatkan pendaftaran kesemua 10 cap jari bagi mengelakkan pemalsuan identiti dan dokumen. Data tersimpan akan digunakan untuk tindakan penguatkuasaan selepas proses pemutihan berakhir. Sistem ini adalah untuk keselamatan negara dan merupakan salah satu elemen dalam soal penjagaan keselamatan Malaysia. Dan ini sekali gus mendorong ke arah pencapaian agenda besar menangani jenayah rentas sempadan. Selain pendaftaran dan pemutihan, empat lagi komponen 6P ialah Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran. Di bawah sistem biometrik contohnya apabila cap jari direkodkan, ia secara automatik mempunyai kod bar.

Ia boleh diceraikan dengan sebahagian diletakkan di pasport manakala sebahagian lagi diletakkan dalam dompet. Katakan jika individu terbabit yang telah direkodkan biometriknya ditahan oleh pihak berkuasa atas sesuatu jenayah, maka pihak berkuasa (polis) boleh melakukan imbasan yang pantas dengan menggunakan peranti yang dibawa. Daripada sejumlah 2,320,034 orang pekerja asing dan PATI yang mendaftar untuk Program 6P, seramai 1,016,908 adalah pekerja asing sah dan 1,303,126 PATI. Jumlah itu tidak termasuk yang enggan mendaftarkan diri, tidak termasuk pembantu rumah serta tidak meliputi pelarian dan di Sabah dan Sarawak. Justeru, kalau tidak diambil tindakan dengan tidak melalui proses 6P, masalah ini akan menjadi bertambah serius pada masa akan datang. Daripada proses pendaftaran itu jugalah, rakyat daripada beberapa negara didapati lebih ramai menjadi PATI berbanding pekerja yang sah. Ini terutamanya warga Indonesia iaitu jumlah PATInya adalah seramai 640,609 berbanding pekerja sah seramai 405,312, diikuti Bangladesh 267,803 PATI dan hanya 132,897 pekerja sah. Bagaimanapun jumlah pekerja sah dari Nepal lebih tinggi iaitu sebanyak 221,617 berbanding seramai 33,437 PATI.

Dan daripada 1.3 juta PATI yang telah melalui proses pendaftaran inilah yang meliputi 22 peratus tidak tergolong dalam mana-mana sektor pekerjaan. Inilah elemen penting fasa pemutihan yang akan dibincangkan 3 Oktober tersebut. "Jawatankuasa Kabinet itu nanti akan memberi panduan sama ada hendak diserapkan atau tidak 1.3 juta orang ini ke dalam sektor tertentu. Contohnya, bekerja di bengkel kereta yang setakat ini PATI tidak dibenarkan tetapi keperluannya memang ada. Cuma, bagaimana keperluan atau isu ini hendak diselesaikan, ini akan dibincangkan pada 3 Oktober itu," kata sumber kepada akhbar ini. Ketika ini, sektor yang direkodkan untuk penyerapan pekerja asing dan PATI adalah Perkhidmatan (tertinggi), Perkilangan (kedua tertinggi), Pembinaan, Perladangan, Pertanian dan tidak tergolong dalam mana-mana sektor sekitar 22 peratus. Pada masa sama, program pemutihan ini juga berkait rapat dengan usaha kerajaan untuk mengekang pemerdagangan manusia. Ini termasuk apabila melibatkan penghantaran pekerja asing atau PATI ke Malaysia contohnya warga Bangladesh, yang memerlukan mereka membayar kepada ejen tertentu.

Apabila ini berlaku, bukan sahaja PATI terbabit bebas keluar dan masuk ke negara ini malah kebarangkalian untuk mereka diperdagangkan sebagai hamba abdi adalah tinggi. Dalam aspek ini, Hishammuddin sendiri memberi penekanan kepada jenayah pemerdagangan manusia yang menjadikan negara ini sebagai negara transit. Dalam soal ini jugalah, beliau berbincang dengan rakan sejawatnya di Beijing, China meliputi kemasukan pelancong, perkongsian maklumat dan risikan mengenai sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa serta perjalanan barang-barang buatan dalam konteks perdagangan yang boleh ditafsirkan sebagai bahan-bahan ancaman nuklear. Dan difahamkan satu memorandum perjanjian persefahaman akan ditandatangani di Beijing berhubung perkara ini dalam tempoh terdekat. Pemerdagangan manusia adalah jenayah serius. Dikatakan puluhan ribu orang boleh menerobos dari sempadan Thailand ke negara ini jika tidak dikekang ke akar umbi. Kuasa mutlak untuk bertindak membanteras kegiatan ini barangkali bukan kepada tentera. Tetapi yang lebih fokus ialah kepada Jabatan Imigresen yang mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan proses undang-undang itu tercapai. Reputasi Imigresen yang diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad perlu ditingkatkan. Atas sebab itulah Hishammuddin kini mengambil inisiatif mengadakan mesyuarat rutin dengan Ketua-Ketua Pengarah Imigresen negeri. Ironisnya, misi Program 6P berserampang banyak mata.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 SEPTEMBER 2011


ISU ALAM SEKITAR : "PERANG" PENGGUNAAN BEG PLASTIK


Bertembung dengan jiran tetangga yang pulang dari kerja di dalam lif dengan pakaian kemas - berkot dan bertali leher bagi lelaki atau bertumit tinggi dengan fesyen mengikut perkembangan semasa bagi wanita merupakan hal yang biasa bagi saya. Setiap kali bersua, mereka tidak pernah berat mulut menyapa; “Ni hao!" sambil saya turut menjawab “Ni hao!' juga. Bagi masyarakat di China, sapaan “Ni hao!" itu adalah interaksi sosial yang baik untuk menyuburkan hubungan sesama manusia tanpa mengira warna kulit dan asal usul. Sejak menetap di Beijing, saya semakin biasa menggunakan “Ni hao!" sebagai interaksi atau untuk memulakan hubungan manusia yang sihat ke arah integrasi. Pun begitu, yang agak ‘luar biasa’ bagi saya ialah ketika pertama kali melihat jiran lelaki sebelah rumah yang berpakaian kemas mengepit seikat sayur daun bawang di celah ketiak sambil tangan kanan erat menggenggam dua biji keledek. Selang beberapa hari kemudian, saya terserempak dengan seorang lagi tetangga lelaki dalam keadaan yang sama - mengepit seikat sayur sawi di celah ketiak sambil tangan penuh menggenggam beberapa biji bawang besar.

Awalnya, saya menyangkakan mungkin ada saudara-mara atau kenalan mereka yang memberikan sayur-sayuran itu dan kebetulan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja. Tetapi selepas beberapa minggu, barulah saya menyedari bukan setakat jiran lelaki tetapi jiran wanita yang berpakaian cantik, remaja dan budak sekolah turut melakukan ‘ritual’ yang serupa - mengepit sayur kubis sambil menggenggam halia, mengepit botol kicap sambil tangan penuh dengan buah tomato atau mengepit kotak tisu, ‘‘Saya terlupa membawa beg hijau (Green Bag) ke pasar raya sewaktu pulang dari kerja tadi,” jelas Xiao Bai, salah seorang jiran ketika ditanya kenapa barang itu tidak disumbat ke dalam beg plastik sahaja. Dalam erti kata lain, sebahagian besar masyarakat China ini sudah semakin peka terhadap keadaan alam sekeliling yang semakin merosot dan bagi mereka perlu ada satu pendekatan serius - tidak menggunakan beg plastik. ‘‘Penggunaan beg plastik bukan masalah utama pencemaran tetapi kaedah pelupusannya memberi impak besar kepada alam sekitar,” akuinya ketika kami berbual. Xiao Bai menjelaskan, kesedaran rakyat China mengenai bahan plastik memerlukan 100 hingga 500 tahun untuk lupus jika ditanam dan jika dibakar memberikan impak lebih besar kepada alam sekitar termasuk manusia semakin menebal.

Kerajaan China melancarkan tindakan ‘keras’ mengharamkan pengeluaran beg plastik ultra nipis dan melarang pasar raya serta kedai memberi beg plastik secara percuma kepada pelanggan sejak 1 Jun 2008. Portal web rasmi Kerajaan Pusat China melaporkan, China menggunakan terlalu banyak beg plastik sebelum ini dan gagal melupuskan bahan itu dengan betul. Fenomena itu menyebabkan pencemaran serius ekoran penggunaan berlebihan dan proses kitar semula yang tidak mencukupi. Dianggarkan, China menggunakan sehingga 3 bilion beg plastik sehari dan sejumlah 5 juta metrik tan minyak mentah diperlukan setiap tahun untuk menghasilkan beg plastik sebanyak itu. Justeru, kerajaan China sedar ia suatu pembaziran kepada tenaga serta sumber dan larangan yang mula dikuatkuasakan sejak lebih tiga tahun itu sebagai usaha berkesan China untuk mengurangkan pembaziran. Langkah ini jelas membawa China selaras dengan trend antarabangsa untuk mengurangkan penggunaan beg plastik seperti Ireland misalnya, yang mula mengenakan cukai ke atas beg plastik pada 2002 dan kini sudah berjaya mengurangkan 90% penggunaan beg plastik di negara mereka.

Ini jugalah sebenarnya yang dihasratkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang giat melaksanakan Kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik di Malaysia sejak 1 Januari 2010. Bezanya, kempen Hari Tanpa Beg Plastik yang dilancarkan di Malaysia hanya seminggu sekali - pada setiap Sabtu pengguna tidak dibekalkan dengan beg plastik secara percuma . Seperti kata Ismail Sabri, kempen Hari Tanpa Beg Plastik itu dijalankan secara berperingkat di mana peringkat pertama ini adalah lebih kepada memberi kesedaran kepada pengguna tentang kesan penggunaan beg plastik kepada alam sekitar sekiranya dibuang merata-rata. Ada pihak yang berpendapat supaya pengguna tidak perlu diberi pilihan untuk menggunakan beg plastik namun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cuba menggunakan pendekatan yang tidak terlalu drastik supaya pengguna tidak terkejut dengan perubahan yang dibuat. Sebaliknya kempen yang dibuat oleh KPDNKK itu adalah lebih bersifat kesedaran dan mendidik pengguna. Namun persoalannya berapa lama masa yang perlu diambil untuk ‘menginsafkan’ pengguna?


Tidak seperti di China dengan kepadatan penduduk lebih 1.3 bilion orang, setakat ini, kempen Hari Tanpa Beg Plastik di Malaysia belum disambut ‘sepenuhnya’ oleh rakyat termasuk pihak-pihak lain seperti NGO dan pihak industri. Melihat sikap warga China yang peka tentang hal ini, sudah tiba masanya masyarakat Malaysia berubah kerana untuk mencapai status negara maju menjelang 2020, perubahan ini penting demi kesejahteraan alam sekitar. Meminjam kata-kata Kong Fu Tze, ahli fikir yang juga merupakan ahli falsafah sosial termasyhur di China; ‘‘ Yi Shen Zuo Ze : Teladan yang baik harus bermula dari diri kita sendiri.”

RUHAIDINI ABD KADIR
menulis dari Beijing Language and Culture University.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 SEPTEMBER 2011

27 September 2011

ISU PENDIDIKAN : TAK GELAP MASA DEPAN

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Mohd Rifaat Abd Hamid

rencana@hmetro.com.my



Ketika ini, mahasiswa baru yang berjaya ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah memulakan pengajian dan mula menyesuaikan diri dengan kehidupan sebenar di menara gading. Bagaimana pula nasib pelajar mereka yang gagal memperoleh peluang itu? Lantaran mempunyai cita-cita dan impian serupa tapi gagal meneruskan perjuangan kerana keputusan kurang memberangsangkan atau tidak menepati syarat ditetapkan. Usaha dalam apa jua kejayaan, mestilah bermula dengan kesedaran, justeru tidak bermakna memasuki menara gading, masa depan sudah terjamin kerana persaingan globalisasi kini semakin hebat. Sekali gus terpaksa berputih mata melihat kejayaan rakan lain ke menara gading selain dibelenggu tanggapan masa depan mereka sudah berakhir.  Benarkah masa depan mereka sudah kecundang sebaik kerana gagal ke IPTA atau masih adakah lagi peluang bagi mengubah nasib? Benarkah mereka yang gagal memasuki IPTA dilabelkan golongan kelas kedua? Pengarah Pusat Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Salleh Ahmad Fadzillah, berkata tiada istilah gelap masa depan atau kelas kedua kepada golongan terbabit jika semangat pelajar berkenaan masih berkobar-kobar untuk menuntut ilmu.

Menurutnya, hanya yang mudah berputus asa, tidak berfikiran terbuka dan tidak mahu mengubah nasib berhak mendapat label berkenaan biarpun sedar peluang mengubahnya kepada kejayaan tetap ada. “Mengandaikan masa depan sudah punah hanya kerana tidak dapat memasuki IPTA atau bersama rakan lain di menara gading adalah andaian salah. Setiap orang ada peluang untuk berjaya jika mahu asalkan tidak terus berpeluk tubuh. “Malangnya, ramai yang kecundang dengan emosi, dibelenggu perasaan putus asa, kecewa selain terus meratapi kegagalan. Jika mereka bangkit, sudah pasti boleh berjaya sekali gus keluar daripada kekecewaan. “Jika orang yang pernah gagal berjaya melakukannya ia bukan sesuatu yang mustahil selain itu buktikan, golongan ini bukan kelas kedua,” katanya. Daripada 64,703 calon yang memohon hanya 41,267 berjaya memperoleh tempat dan ini bermakna pelajar yang gagal perlu mencari alternatif melanjutkan pelajaran. Meskipun sudah ada 20 IPTA namun jumlah itu masih tidak mampu menampung kemasukan saban tahun biar pun pada masa sama menggunakan sistem meritokrasi menggantikan kuota.

Menerusi sistem meritokrasi, hanya pelajar yang terbaik serta menepati syarat ditawarkan mengikuti pengajian iaitu mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum untuk menentukan nilai merit seseorang calon. Lantas menimbulkan polemik di kalangan masyarakat mengenai nasib mereka yang masih mencari tempat untuk melanjutkan pengajian selain tidak mampu untuk belajar di institusi swasta. Beliau berkata, mereka yang gagal tidak boleh mencipta alasan atau mempunyai pandangan skeptikal mengenai institusi selain hanya memilih IPTA sebagai sandaran masa depan. “Itu perlu diperbetulkan kerana bukan hanya IPTA pilihan untuk berjaya.  “Banyak lagi institusi lain disediakan bagi menampung pertambahan golongan pelajar selepas tamat peperiksaan utama. “Jangan terlalu taksub atau memilih sebaliknya perlu bijak merancang masa depan. Kejayaan bukan hanya bersandarkan sekeping ijazah atau IPTA  tetapi keinginan sendiri untuk berjaya. “Bagaimanapun, itulah sikap sebahagian besar pelajar hingga akhirnya rugi kerana banyak memberi alasan menyebabkan peluang di depan mata terbuang atau dikaut orang lain,” katanya mengakui kebanyakannya juga dihantui tanggapan institusi pendidikan lain selain IPTA tidak mampu melahirkan golongan
berjaya.

Beliau berkata itulah kesilapan terbesar kerana mensia-siakan masa depan hanya kerana terpengaruh tanggapan salah. Sama ada IPTA, institusi tempatan ataupun pilihan lain, jika mampu membawa perubahan yang baik ia sesuatu yang sangat berguna. “Zaman ini semuanya mempunyai peluang sama rata. membezakannya adalah kerja keras dan kehendak serta tidak bermakna apabila memasuki IPT, seseorang itu berjaya sebagai manusia. “Ada yang kecundang kerana tidak beringat. Pilihan terletak di tangan masing-masing kerana diri sendiri bakal menentukannya, bukan orang lain,” katanya. Antara pilihan untuk melanjutkan pengajian beliau mencadangkan Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian, Maktab Perguruan, Kolej Bersekutu dan Komuniti selain memasuki alam pekerjaan. “Bagi memilih alam kerjaya, itu bukanlah penamat kerana boleh belajar sambil bekerja. Sistem pendidikan masa kini sangat mudah dan terbuka, justeru tidak perlu susah hati. “Melanjutkan pelajaran ke institusi swasta juga tidak menjatuhkan standard malah ada di antaranya lebih ke hadapan berbanding IPTA. Jika kewangan menjadi masalahnya, banyak badan boleh membantu, antaranya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Justeru, di manakah alasan relevan, tidak berjaya ke universiti bererti sudah gelap masa depan? Kegagalan sebenar hanya akan berlaku jika kita asyik berpeluk tubuh dan bertindak menyalahkan diri sendiri,” katanya.  Pada masa sama, beliau berharap pelajar yang berjaya memasuki IPTA supaya menggunakan peluang diberikan dengan baik untuk menggenggam ijazah. “Mereka sudah terpilih dan perlu bijak menetapkan matlamat. Jadikan kegagalan rakan lain memasuki IPTA sebagai iktibar selain perlu beringat berada di menara gading bukan jaminan berjaya pada masa depan. “Persaingan globalisasi hari ini amat sengit. Tanpa mengira latar belakang, hanya mereka yang berusaha keras saja berjaya, justeru jangan rendah diri andai kata tidak mendapat tempat. “Kejayaan ada di mana-mana asalkan ada usaha dan kehendak, semua halangan boleh diharungi serta menjadi penawar kegagalan, “katanya.

SUMBER
HARIAN METRO
27 SEPTEMBER 2011

26 September 2011

ISU UMUM : MEWUJUDKAN AKTA POLIS YANG LEBIH RELEVAN

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR


Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang diumumkan Perdana Menteri sehari sebelum kita menyambut Hari Malaysia Ke-48 baru-baru ini boleh dikatakan akan menjadi sejarah dan pasti diingat oleh seluruh rakyat di negara ini. Tujuan kerajaan mengambil keputusan sedemikian bukannya setelah didesak mana-mana pihak sebaliknya ia untuk meneruskan kesinambungan memelihara keamanan dan kesejahteraan hidup rakyat. Menariknya, selain memansuhkan ISA, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 dan berjanji akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Antara yang akan dilihat semula termasuk mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967. Mungkin sebagai rakyat biasa, ramai tidak faham apa yang terkandung di dalam seksyen itu. Penjelasan ringkas di sini adalah kajian yang akan dibuat kelak akan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan, Seksyen 27 Akta Polis 1967 secara jelas memperuntukkan empat perkara iaitu pertama: Mana-mana pihak yang hendak mengadakan perhimpunan atau ceramah umum hendaklah mempunyai kelulusan daripada pegawai polis daerah berkenaan.

Kedua, sebelum mengadakan perhimpunan sama ada di dalam premis atau di luar premis, kebenaran polis hendaklah diperoleh demi kepentingan ketenteraman awam dan keselamatan rakyat.Ketiga, ketua polis daerah boleh menimbang sesuatu permohonan (permit perhimpunan dan ceramah umum) itu tetapi ini bukan bermakna kumpulan atau mana-mana pihak boleh dengan sendiri mengadakan ceramah umum dan yang keempat, kelulusan permohonan permit juga tertakluk kepada budibicara polis dan perhimpunan biasa di dalam bangunan kebiasaannya dibenarkan. Inilah yang akan dikaji oleh kerajaan dan keputusan ini turut disambut baik oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Bagi Ismail, akta baru yang akan diperkenalkan kelak, tetap akan menjamin keselamatan masyarakat dan pada masa sama, polis dapat melaksanakan tanggungjawabnya demi memastikan keamanan dapat diwujudkan. Kita semua belum tahu lagi bagaimana bentuk undang-undang baru yang akan menggantikan Seksyen 27 tersebut. Justeru, satu forum akan diadakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat untuk membincangkan segala bentuk tindakan dan perubahan yang bakal dilaksanakan kelak.

Kesediaan Perdana Menteri untuk melakukan kajian semula terhadap undang-undang dan akta ini bukanlah janji politik, sebaliknya ia pernah disuarakan oleh beliau sebelum ini. Sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, kita sepatutnya berterima kasih dengan perubahan yang dilakukan kerajaan ini kerana segala apa yang diumumkan ini sebenarnya adalah transformasi politik negara yang sudah mengecap kemerdekaan selama 54 tahun. Dalam tempoh yang panjang itu, pastinya ada sebahagian kecil undang-undang atau akta sejak berpuluh-puluh tahun lalu yang tidak lagi relevan dan perlu dikaji semula keberkesanannya. Akta baru itu juga perlu disesuaikan dengan kewujudan masyarakat Malaysia yang semakin meningkat bilangannya, selain 'cabaran' yang diwujudkan oleh mereka. Dan kita juga mengharapkan, perubahan Seksyen 27, Akta Polis itu nanti tidak membebankan kedua-dua pihak iaitu orang ramai dan kerajaan. Masyarakat perlu diberi keadilan dan hak mereka tetapi keadilan yang diberikan itu janganlah disalahgunakan untuk tujuan tidak baik dan boleh mengancam keselamatan negara. Dan diharapkan pindaan itu nanti akan memudahkan PDRM untuk melaksanakan tugas mereka mengawal keamanan di negara ini.

Polis harus diberi kuasa (mengikut Perlembagaan 10) untuk mengawal ketenteraman awam negara. Biarlah apa-apa sekatan boleh dikenakan kepada hak untuk mewujudkan perkumpulan atau hak bersuara sekiranya ia penting daripada segi ketenteraman dan keselamatan dalam negeri. Akta Polis tergolong kepada kebenaran yang diberi di bawah perlembagaan itu dan adalah tidak wajar atau tidak tepat dikatakan ini menghalang hak asasi manusia. Pun begitu, dalam apa jua perubahan dan situasinya, sudah pasti masih ada pihak yang akan menangguk di air keruh berhubung isu kajian semula seksyen ini. Dengan kata lain, dipinda pun salah, apatah lagi apabila ia tidak dipinda. Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah memastikan kedua-dua pihak, baik masyarakat mahupun kerajaan tidak terbeban dengan pindaan ini. Dan pada masa sama, pihak pembangkang tidak dapat mencari kelemahan kepada pindaan tersebut. Walau apa pun, apa yang dilakukan Perdana Menteri ini sebenarnya memberi nafas baru kepada istilah demokrasi untuk terus subur di negara ini, bukannya berasaskan agenda politik dan masyarakat seharusnya pembaharuan yang akan dilaksanakan ini. Bagi PDRM pula, kita yakin mereka akan terus melaksanakan tugas menjaga ketenteraman awam walau apa jua bentuk cabaran dihadapi. Diharapkan pindaan undang-undang ini memberi mereka semangat baru untuk terus berbakti kepada negara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
26 SEPTEMBER 2011

25 September 2011

ISU UMUM : MENGAPA NAMANYA BUKAN NEGERI-NEGERI BERSATU AMERIKA SYARIKAT?

Untung Sabut Timbul


Mengapakah kita panggil United States of America (USA) sebagai Amerika Syarikat (AS) dan bukannya Negeri-negeri Bersatu Amerika (NBA)? Ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dalam catatan di Facebooknya mempersendakan penggunaan nama Amerika Syarikat dalam Bahasa Malaysia yang dianggapnya salah dari segi bahasa, yang biginya patut disebut sebagai Syarikat Amerika. Syarikat Amerika bermaksud lain daripada Amerika Syarikat. Syarikat Amerika bermakna syarikat-syarikat perniagaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat sedangkan Amerika Syarikat ialah nama negara berkenaan. Nama Amerika Syarikat dalam Bahasa Malaysia adalah betul bukan saja kerana ia adalah nama yang sudah sebati digunakan oleh penutur bahasa Melayu tetapi ia mempunyai latar belakang yang tepat dan tidak ada silapnya. Walaupun ia kelihatan ganjil berbanding dengan nama-nama negara yang lain apabila digunakan dalam Bahasa Malaysia. Hakikatnya, nama-nama negara di dunia dalam Bahasa Malaysia mempunyai latar belakangnya tersendiri dan masing-masing kemudian kekal menjadi perkataan yang baku untuk digunakan. Amerika Syarikat sememangnya bermaksud ‘Amerika yang bersatu’, atau ‘Amerika yang bersekutu’. Atau lebih tepat lagi ‘negeri-negeri Amerika yang bersatu atau bersekutu’.

Sememangnya ‘united’ dalam United States of America bermaksud bersatu seperti mana ‘bersatu’ dalam United Nations Organisation (UNO), dalam Bahasa Malaysianya ialah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kini orang lebih biasa menyebut United Nations (UN) secara pendek. Tetapi ‘united’ itu juga boleh bermaksud ‘bersekutu’. Ini kerana Amerika Syarikat sememangnya sebuah negara persekutuan, seperti juga Malaysia. Bagaimanapun, dalam bahasa Inggeris, persekutuan disebut sebagai federation. Federation of Malaya, umpamanya diterjemahkan menjadi Persekutuan Tanah Melayu. Maka ‘united’ dalam United States of America itu boleh juga disebut sebagai Persekutuan Negeri-negeri Amerika atau Persekutuan Amerika saja. Tetapi mengapakah dalam Bahasa Malaysia disebut Amerika Syarikat? Dari manakah datangnya perkataan syarikat yang kini merujuk kepada syarikat perniagaan, dan merupakan terjemahan kepada perkataan company dalam Bahasa Malaysia? Tambahan pula, Amerika Syarikat adalah satu-satunya negara di dunia yang ada perkataan syarikat sedangkan banyak lagi negara lain di dunia yang ada perkataan ‘united’.

Umpamanya United Arab Emirates menjadi Emiriah Arab Bersatu, tidak pula Emiriah Arab Syarikat. Dalam hal ini, perlu diingat bahawa bahasa berkembang menurut zaman. Maka begitu juga istilah dan perkataan yang digunakan untuk menamakan negara. Nama Amerika Syarikat mula muncul ketika bahasa Melayu yang digunakan di negara ini belum berkembang dan dibakukan. Bahasa Melayu di Tanah Melayu belum menjadi bahasa moden. Tulisan bahasa Melayu adalah dalam bentuk jawi. Maka nama-nama negara dalam bahasa Inggeris akan dicetak rumi menurut perkataan asalnya. Maka pada awalnya, United States of America akan dicetak seperti asalnya juga kerana tidak ada terjemahan ke dalam bahasa Melayu. Tentu pada detik-detik awal kemodenan ini, yang sekitar awal abad ke-20, istilah-istilah bahasa Melayu baru mengikut perkembangan bahasa di Indonesia. Tetapi ketika itu Indonesia sendiri tidak wujud lagi, yang ada hanyalah Hindia Timur Belanda. Indonesia belum merdeka. Cumanya pada 28 Oktober 1928, Sumpah Pemuda dilaungkan dengan komitmen bahawa bangsa-bangsa Hindia Timur Belanda mengisytiharkan diri mereka memiliki satu negara iaitu Indonesia, satu bangsa iaitu bangsa Indonesia dan satu bahasa iaitu bahasa Indonesia.

Maka Bahasa Indonesia itu berteraskan bahasa Melayu, dan sejak itu mereka berusaha mengembangkan bahasa itu dan mencipta istilah-istilah baru termasuklah nama-nama negara. Sebelum itu di Indonesia, pada tahun 1912, telah ditubuhkan Sarekat Dagang Islam yang kemudian dikenali sebagai Sarekat Islam (SI) saja. Ia dikenali sebagai pertubuhan politik pertama di Indonesia dan kemudian memperjuangkan kemerdekaan untuknya. Perkataan ‘sarekat’ itu berasal daripada bahasa Arab, bermakna pakatan atau persekutuan. Iaitu daripada banyak, menjadi satu. Perkataan-perkataan Arab seperti syirik, musyarakah dan masyarakat berkaitan dengan syarikat. Di Indonesia, perkataan ini dieja dengan sarekat atau serikat. Tetapi dalam tulisan jawi termasuk yang digunakan di Tanah Melayu, ia menjadi syarikat. Maka asalnya ia bermaksud persatuan, pertubuhan atau apa saja pakatan dan kerjasama. Tidak semestinya syarikat perniagaan. Maka untuk syarikat perniagaan disebut sarekat dagang seperti mana nama asal Sarekat Dagang Islam itu. Maka apabila berdepan dengan nama United States of America, maka adalah tidak menghairankan, mereka menterjemahkannya sebagai Amerika Serikat, di mana istilah ini terus digunakan di Indonesia.

Bagi PBB pula, mereka menggunakan istilah Perserikatan Bangsa-bangsa. Maka pada awal lagi, di Tanah Melayu, istilah Amerika Serikat itu juga diguna pakai, tetapi ditulis dalam tulisan jawi. Apabila Tanah Melayu mula menggunakan tulisan rumi, maka ia menjadi Amerika Syarikat. Justeru istilah ini telah dibakukan dan terus digunakan sekarang. Tetapi terhadap PBB, bahasa Melayu tidak mengikut jejak Indonesia. Maka UMNO tidaklah menjadi Persyarikatan Kebangsaan Melayu, sebaliknya disebut sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Maka selepas daripada itu, apabila ada ‘united’ disebutlah sebagai bersatu. Umpamanya United Arab Republic (UAR) menjadi Republik Arab Bersatu. Tetapi ada negara yang tidak diterjemahkan. Umpamanya United Kingdom. Begitu juga dengan Great Britain. Nama penuh negara itu ialah United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland. Tetapi dalam Bahasa Malaysia, ia disebut United Kingdom saja. Kalau diterjemahkan secara tepat, maka ia menjadi Negara Beraja Britain Raya dan Ireland Utara. Tetapi dalam Bahasa Malaysia. Ia kekal dengan istilah asal. Cuma perkataan ‘north’ pada Ireland diterjemahkan menjadi utara.

Perlu disebut perbezaan antara United Kingdom dan Great Britain. UK merujuk gabungan Great Britain dan Ireland Utara. Sementara Great Britain terdiri daripada England, Scotland dan Wales. Tetapi dalam Bahasa Indonesia, nama United Kingdom penuh itu diterjemahkan menjadi Perserikatan Kerajaan Britania Raya dan Irlandia Utara. Tetapi mereka menyebut Kerajaan Serikat ataupun Britania Raya. Sekali lagi perkataan serikat timbul. Istilah kerajaan dalam Bahasa Malaysia dengan Bahasa Indonesia berbeza. Kerajaan adalah terjemahan daripada government. Tetapi dalam bahasa Indonesia, kerajaan bermaksud kingdom. Government diterjemahkan sebagai pemerintah. Semua bahasa mempunyai perkataan masing-masing dan termasuklah nama-nama negara. Dalam Bahasa Malaysia secara turun temurun, United States of America telah pun disebut sebagai Amerika Syarikat. Hormatilah bahasa kebangsaan kita.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
25 SEPTEMBER 2011