04 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN : CABARAN DAN PERUBAHAN DASAR PENDIDIKAN

PENULIS adalah bekas Ketua Pengarah Pelajaran


Abad  ke-21 akan mengalami perkembangan pesat lagi mencabar dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Perkembangan ini berlaku di seluruh dunia tidak kira sama ada di negara maju atau negara sedang membangun. Ramai penulis berpendapat perubahan itu berkait rapat dengan sistem pendidikan dan perkembangan sistem maklumat. Alvin Toffler seorang penulis terkenal pernah menyatakan bidang pendidikan di abad ini sangat penting dan mesti berupaya melahirkan pelajar yang kreatif yang mampu menyelesaikan masalah dan boleh berfikir secara kritis. Ini memberi gambaran bahawa pendidikan tidak lagi berkisar hanya memberikan pengetahuan asas 3M (membaca, menulis dan mengira). Tetapi mestilah boleh melahirkan orang yang berilmu pengetahuan dan mempunyai pelbagai kemahiran bagi menghadapi cabaran di abad ini. Bagi mencapai hasrat itu pendidikan perlu bersifat dinamik dan holistik yang sentiasa segar serta berubah mengikut keperluan masa dan persekitarannya. Kini perubahan terus berlaku di mana masyarakat dunia di abad ke-21 telah memasuki zaman baru yang dikenali sebagai knowledge age atau k-ekonomi.

Keperluan kepada perubahan baru ini menekankan tentang peri pentingnya maklumat, kreativiti dan inovasi dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Perubahan ini juga menekankan perlunya pendekatan berfikir secara kreatif, menyediakan strategi penyelesaian masalah dan turut melibatkan aktiviti ekonomi berbentuk global. Apa yang menariknya dalam zaman maklumat ini ialah ia sentiasa memberi ruang dan peluang kepada setiap individu untuk mengembangkan bakat, kebolehan dan potensi mereka melalui techology-powered knowledge yang boleh didapati di mana-mana melalui kemudahan ICT. Seorang lagi penulis terkenal yang mengupas tentang perubahan dan cabaran abad ke-21 ialah Thomas Friedman dalam bukunya The World Is Flat : A Brief History of the Twenty-First Century. Menurutnya ekonomi dunia adalah sangat terikat serta terjalin rapat antara satu negara dengan lain dalam suatu bentuk ekosistem ekonomi. Ini bermakna jika berlaku krisis ekonomi dalam sebuah negara ia akan memberi kesan kepada negara lain. Sebagai contoh, krisis pinjaman perumahan yang baru-baru ini berlaku di Amerika Syarikat maka tempiasnya dirasai negara-negara lain.

Keduanya, terdapat kecenderungan bertambah lebar jurang perbezaan ekonomi antara negara maju dan negara sedang membangun. Perkembangan yang tidak sihat ini dikatakan akan membawa kepada berlakunya ketegangan sosial, konflik, munculnya kumpulan pelampau dan menjadikan dunia seolah-olah tidak selamat. Ketiganya, wujudnya isu kepanasan global yang membawa kepada kemarau panjang atau perubahan iklim yang boleh menjejaskan bidang pertanian dan keperluan bahan makanan. Selain itu pertambahan mendadak penduduk dunia yang seolah-olah tidak dapat dikawal terutama di negara-negara sedang membangun. Keadaan ini menyebabkan bertambahnya kadar kemiskinan dan melebarnya perbezaan dalam strata masyarakat yang boleh membawa kepada berlakunya krisis sosial dan politik. Menurut Friedman ketiga-tiga isu besar itu sebenarnya boleh dikurangkan atau ditangani melalui transformasi dan perubahan dasar pendidikan. Jelasnya pendidikan turut memainkan peranan penting dan menjadi kunci utama kepada kejayaan ekonomi dan kelestarian dunia dalam abad ke-21 ini. Perkembangan pendidikan di negara kita juga tidak terlepas daripada keperluan masyarakat serta persekitaran politik, sosial dan ekonomi pada masa tersebut.

Ini dapat dibuktikan dengan terbentuknya Dasar Razak 1956, Dasar Rahman Talib 1961 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan 1970 semuanya adalah berkait rapat dengan tuntutan dan keperluan negara pada masa itu. Bagi menangani perubahan dan cabaran baru di peringkat global maka negara juga tidak terlepas dari memperkenalkan dasar-dasar baru dalam pendidikan. Oleh itu baru-baru ini Menteri Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin Yassin, mengumumkan pelaksanaan Transformasi Kurikulum yang bertujuan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran berbentuk kreatif dan inovatif serta menarik minat pelajar. Selain itu, diperkenalkan dasar 'Satu Murid Satu Sukan' yang bertujuan meningkatkan minat dan keupayaan pelajar dalam permainan dan sukan supaya lebih aktif. Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pula bagi mengembalikan semula peranan utama bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu di samping meningkatkan keupayaan pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris. Sementara itu, dasar mengehadkan 12 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan penambahbaikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah adalah jelas untuk meningkatkan kualiti pendidikan supaya melahirkan pelajar yang seimbang dan mampu mengembangkan potensi diri.

Dengan kata lain dasar ini mengubah persepsi pendidikan supaya tidak hanya berorientasikan peperiksaan tetapi berupaya melahirkan modal insan cemerlang. Satu lagi dasar baru ialah mewajibkan lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan SPM mulai 2013. Ini bertujuan meningkatkan semangat patriotik dan menanamkan rasa cintakan negara. Usaha menanamkan semangat cintakan tanah air melalui pendidikan khususnya dalam mata pelajaran Sejarah sebenarnya turut menjadi amalan di negara-negara lain di dunia ini. Cabaran baru dunia sekarang ialah melalui k-ekonomi. Dalam hal ini sebenarnya negara kita bersedia dan bertindak awal. Sejak awal 1980-an apabila bermulanya ledakan teknologi maklumat, sekolah-sekolah kita telah mula memperkenal dan menggunakan peralatan komputer. Kini penggunaan ICT begitu meluas sekali di mana makmal komputer didirikan di semua sekolah. Guru-guru diberi kemahiran melalui latihan dan penggunaan LCD, laptop dan Internet dan pelajar-pelajar kita mendapat manfaat yang besar. Kesimpulannya, Malaysia akan bertambah maju jika rakyatnya dapat menguasai teknologi maklumat dan menggunakan kemudahan ICT dalam semua urusan. Sesungguhnya zaman k-ekonomi merupakan perubahan global dan cabaran baru yang perlu kita tangani melalui perubahan dalam dasar pelajaran.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 OGOS 2011

ISU PENDIDIKAN TINGGI : KEGIATAN “BONCENGAN GRATIS” HAKIS KESARJANAAN DAN HIKMAH UNIVERSITI

PROF. DR. A MURAD MERICAN

Bandar Seri Iskandar
Tronoh, Perak



Universiti di Malaysia kehilangan hikmah. Akhir-akhir ini kita lihat universiti merestui 'pemboncengan gratis' di kalangan ahli akademik. Jika tidak membonceng dalam kegiatan penyelidikan dan penerbitan, mereka dianggap sebagai tidak normal. Tiba-tiba kita terlihat banyak nama yang menulis pada sesuatu karya. Perkara itu tidak salah. Tetapi jika nama-nama itu tidak ada kaitan intelektual dengan bidang atau tema yang dibincangkan, bagaimana kita mengukur hasilnya? Walaupun kajian dan penulisan antara disiplin digalakkan, perlu ada teguran jika ia disalahgunakan. Ramai ahli universiti yang telah salah tafsir konsep dan falsafah penglibatan kepelbagaian disiplin dalam sesuatu projek kajian. Jika nama-nama itu hanya dikenali dengan kepakaran bahasa dan kemungkinan besar hanya menyunting sesuatu hasil penulisan, apakah namanya layak berkampung sekali? Kadang-kadang, seseorang ketua jabatan itu meminta namanya diletakkan sebagai penulis bersama kepada penulisan yang tidak ada kaitan dengan bidangnya. Asalkan tindakan itu dapat memberi markah kepada semua terbabit, dapat dicatat dalam kurikulum vitae dan dinilai untuk kenaikan pangkat, ia 'restui' oleh semua yang terbabit.

Tanggapan sedemikian merupakan satu masalah amat besar yang melanda pandangan alam universiti ke arah 'prestasi yang cemerlang.' Pemerhatian Prof. Muhammad Syukri Salleh (Utusan Malaysia, 20 Julai 2011), dan Prof. Madya Mohamad Md. Yusof ( Utusan Malaysia, 26 Julai 2011) ke atas gejala budaya material yang menular di universiti amat menakutkan. Jika ini tidak ditangani, akan pupuslah kesarjanaan di Malaysia. Ini ada kaitannya dengan bagaimana universiti kita dipaparkan dan ditonjolkan kepada dunia. Tidak kira universiti awam atau swasta, terlihat semacam kegilaan yang menyesatkan. Ini ada kaitannya dalam penonjolan keakraban universiti dengan industri dan profesion. Universiti kita kini nampaknya tidak mempedulikan etika dan tatasusila dalam kerjasama, pemasaran dan pengiklanan universiti dan tawaran kursus yang ada. Jika kajian rambang dilakukan, pihak industrilah yang 'dipertuhankan.' Universiti tidak boleh 'diindustrikan'. Malangnya inilah yang sedang berlaku apabila ahli akademik membonceng, sama ada dalam projek penyelidikan atau penerbitan, di mana hasil karya dan penulisan seseorang itu diukur dengan kaedah nombor, kerana kaedah inilah yang paling mudah.

Nampaknya, banyak masa terbuang dengan menumpukan kepada cadangan menulis dan mendapatkan pembiayaan penyelidikan, dan menyiapkan laporan penyelidikan. Ada yang menerbitkannya dan ada yang tidak. Akan tetapi apakah menerbitkan hasil penyelidikan yang dibiayai itu satu bukti pencapaian dan pemaparan kesarjanaan? Kita lupa hikmah yang perlu ada pada universiti. Nilai jauhari terhakis dalam diri kita sehinggakan kita tidak lagi mengenal manikam. Kita tidak tahu menilai idea, konsep dan teori. Saya khuatir jika gejala ini berlarutan tanpa kekangan, maka hapuslah kesarjanaan di Malaysia. Yang ada hanya kilang-kilang mengeluarkan ijazah hasil dari para pensyarah yang taksub kepada model Pengajaran Berasaskan Hasil (OBE) yang tidak boleh mengukur nilai dan kepercayaan. Pensyarah-pensyarah berkenaan membayangi bahawa mereka bukan pensyarah tetapi sebahagian daripada profesion dan pasaran. Itu merosakan nilai akademik. Mereka tidak dapat membezakan antara nilai akademik dan nilai pasaran. Dengan itu apa yang kian berlaku ialah masyarakat pensyarah dilentur untuk akur kepada KPI tanpa kesarjanaan dan hikmah.

Apa yang mereka peduli ialah mengajar mengikut acuan yang diberi, mendapat sekian banyak pembiayaan untuk penyelidikan (tidak kira siapa membonceng) dan menerbit dalam jurnal-jurnal yang berindeks dalam pangkalan data tertentu. Amalan budaya material dan wang sebagai pengukur hasil para pensyarah kini amat tebal di kalangan universiti kita. Ini hendaklah dihentikan. Para pemimpin universiti hendaklah muhasabah akan kesan jangka panjang jika ia berlarutan. Ilmu dan kesarjanaan tidak dapat dijanakan tanpa keikhlasan dan integriti. Malah, keadaan ini kian mempengaruhi para pensyarah muda, dan juga yang lama. Ada wang, boleh terbit dan ini dikira dalam KPI pensyarah itu dan universiti. Budaya ini telah banyak disalahgunakan. Ada 'pakar' dari universiti tempatan, yang dijemput oleh beberapa buah universiti lain, memaklumkan bahawa 'membonceng' itu halal. Dan 'membonceng' itu membolehkan nama kita tersiar di berpuluh-puluh jurnal dalam masa setahun. Dan kegiatan ini amat digalakkan. Dengan itu, seseorang itu dinilai sebagai 'cemerlang' dan seterusnya dianggap sebagai pensyarah yang 'berkualiti.' Di mana integritinya di sini? 


Apakah istilah 'cemerlang' dan 'kecemerlangan' dan 'kualiti' itu telah mengaburkan kita akan kesarjanaan dan hikmah? Mengapa istilah 'cemerlang' ini digunakan dengan sewenang-wenangnya dalam universiti dan masyarakat kita? Saya kira kita telah lari daripada matlamat asal mengapa kita bekerja di universiti dan asas penubuhan universiti itu. Saya bukan menentang usaha dan inisiatif ke arah memperbaiki pengajian tinggi kita. Apa yang saya ingin tegur ialah usaha itu telah banyak disalah tafsir dan disalah guna oleh para pensyarah lalu direstui oleh pentadbir universiti itu sendiri.


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 OGOS 2011

ISU ANTARABANGSA : BEIJING PERLU BELAJAR DARIPADA KUALA LUMPUR



Kekacauan yang sedang melanda wilayah autonomi China, Xinjiang jarang mendapat perhatian antarabangsa mungkin kerana mereka yang terlibat adalah golongan minoriti etnik Islam Uighur yang tidak mempunyai pengaruh manakala Beijing pula kuasa besar dunia yang agak sukar untuk ditegur. Pertembungan terbaru meletus pada hujung minggu lepas di bandar bersejarah Kashgar yang mengakibatkan 18 orang terkorban. Semenjak kebelakangan ini terlampau kerap berlaku kekacauan dan seperti yang dijangkakan setiap perselisihan yang meletus telah melibatkan dua golongan utama iaitu China Han dan Islam Uighur. Perlu diingatkan bahawa Xinjiang pada satu ketika dahulu adalah Turkestan Timur dan majoriti penduduk adalah kaum Islam Uighur. Bahasa yang dipertuturkan adalah lebih mirip kepada bahasa Turki dan budaya hidup yang diamalkan lebih rapat kepada negara Asia Tengah seperti Kazakhstan dan Turkmenistan berbanding dengan China. Segala-galanya mula berubah apabila Xinjiang menjadi sebahagian daripada China pada tahun 1949 dan dasar yang diamalkan oleh Beijing langsung tidak mengambil kira sensitiviti penduduk asal Uighur terutama sekali dalam hal agama, budaya dan bahasa.

Tidak dapat dinafikan semenjak mengambil alih Xinjiang, Beijing telah sedaya upaya membawa pembangunan terutama sekali semenjak dua dekad yang lepas. Xinjiang sememangnya kaya dengan hasil sumber asli, tetapi penerokaannya memerlukan kepakaran dan perbelanjaan yang besar dan di sinilah kehadiran Beijing dirasakan telah memberi manfaat kepada wilayah tersebut. Tetapi timbul ketidakadilan dasar Beijing dalam membahagikan kekayaan ekonomi hasil pembangunan Xinjiang kerana sebahagian besarnya dibolot oleh kaum China Han. Walaupun Uighur adalah penduduk asal Xinjiang, mereka tidak mampu menyaingi kaum China Han bukan kerana kelemahan mereka, tetapi dasar Beijing yang memberi kelebihan kepada kaum Han sahaja. Keharmonian kehidupan Xinjiang mula tergugat apabila Beijing mengamalkan dasar menggalakkan penghijrahan kaum China Han ke Xinjiang pada awal tahun 1970-an. Pada tahun 1949 kaum China Han hanya merangkumi 6 peratus dari keseluruhan penduduk Xinjiang. Akibat daripada dasar penghijrahan Beijing, hari ini kaum China Han merupakan kumpulan majoriti penduduk wilayah tersebut dan paling mengaibkan pula ialah menjadikan Uighur sebagai penduduk minoriti di negara sendiri.

Sepatutnya kehadiran kaum China Han tidak memberi masalah tetapi membawa kebaikan kerana kaum ini lebih berpelajaran yang boleh diguna sebagai pemangkin pembangunan Xinjiang. Tetapi oleh kerana dasar Beijing yang berat sebelah memberi keutamaan kepada kaum etnik sendiri, maka sebahagian besar ekonomi dan jawatan pentadbiran kerajaan dibolot oleh satu kaum sahaja, iaitu China Han. Tetapi apa yang paling menarik adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Xinjiang yang menegaskan militan yang terbabit dalam serangan terbaru terdiri daripada kaum Uighur itu telah mendapat latihan ketenteraan dari Pakistan. Selama ini Beijing tidak pernah mengaitkan kegiatan militan Uighur dengan Pakistan kerana kebiasaannya hanya mengaitkan dengan kumpulan Al Qaeda sahaja. Tetapi masyarakat antarabangsa tidak pernah mengendahkan kaitan tersebut kerana tidak ada bukti kukuh yang mengaitkan militan Uighur berada di bawah pengaruh Al Qaeda. Tuduhan terbuka Beijing yang mengaitkan pembabitan militan Pergerakan Islam Turkestan Timur (ETIM) yang mendapat latihan di Pakistan merupakan satu isyarat diplomatik yang agak keras kepada Islamabad kerana selama ini kedua-dua negara tersebut adalah sekutu kuat.

Tidak menghairankan jika India, Amerika Syarikat atau Afghanistan yang sering menuduh Pakistan melindungi kegiatan militan kerana setiap negara berkenaan mempunyai kepentingan untuk menekan Islamabad. Mungkin juga China mendapati begitu sukar untuk mengawal keadaan di Xinjiang akibat dari aktiviti pejuang pemisah Uighur sehingga memaksa Beijing mengeluarkan kenyataan keras yang ditujukan khas kepada Islamabad. Lebih menarik adalah tuduhan tersebut dkeluarkan ketika Pengarah Organisasi Perisikan Pakistan (ISI) Lt. Gen. Ahmed Shuja sedang melakukan lawatan ke China. Rentetan daripada kenyataan Beijing itu, Islamabad telah berjanji akan memberi kejasama penuh untuk mengawal kegiatan militan ETIM di bumi Pakistan. Tidak dapat dinafikan terdapat militan Uighur yang mendapat latihan di Pakistan tetapi untuk mengaitkan faktor tersebut dengan kekerapan kejadian kekacauan di Xinjiang adalah hipotesis yang berat sebelah. ETIM umpamanya walaupun masih bergerak cergas tetapi diangap sebagai organisasi yang agak lemah. Kesemua kekacauan yang timbul adalah akibat dasar berat sebelah Beijing yang mengakibatkan rasa tidak puas hati kaum Uighur.

Kekacauan terbaru di Kashgar umpamanya didalangi oleh dua penduduk kaum Uighur yang hanya bersenjatakan pisau dan bukannya kumpulan militan menggunakan bom atau senjata api. Apa yang perlu difahami oleh Beijing adalah dasar yang diamalkan mestilah sama rata dan tidak berat sebelah seperti hanya memberi keutaaman kepada kaum tertentu sahaja. Penyelesaian tidak akan dapat dicari jika Beijing masih berdegil mahu menyalahkan pihak luar dengan apa yang berlaku di Xinjiang. Adalah lebih baik Beijing mempelajari dasar yang telah diamalkan oleh Kuala Lumpur selama ini. Walaupun Malaysia mempunyai penduduk majoriti yang bertutur bahasa Melayu, tetapi dasar kerajaan tidak pernah menafikan bahasa ibunda bangsa lain. Perhatikan sahaja dalam sistem pendidikan negara yang langsung tidak menafikan kehadiran bahasa ibunda dan budaya masing-masing. Jika ada satu kaum yang mempunyai kekuatan dalam bidang ekonomi umpamanya, dasar Kuala Lumpur ialah kekayaan tersebut tidak boleh dinafikan kepada kaum lain yang agak tertinggal.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 OGOS 2011

ISU KENEGARAAN : SEMANGAT PATRIOTISME MESTI TERUS DISEMAI

TAN SRI LEE LAM THYE
Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia


Sambutan Bulan Kemerdekaan telah pun bermula. Inilah masanya untuk rakyat Malaysia berbilang bangsa mempamerkan semangat patriotik dan rasa cinta kepada negara. Bukan dengan cara paksaan, tetapi secara sukarela menyambut kelahiran Malaysia sebagai negara yang merdeka. Ketika negara merayakan 54 tahun kemerdekaan, menyemai kebanggaan pada bendera merupakan salah satu ciri penting dalam pembinaan negara. Bendera kebangsaan melambangkan kesetian, kesatuan dan patriotisme, dan adalah penting untuk kita menanam semangat dan nilai-nilai nasionalisme dan patriotisme ini di kalangan generasi muda. Menganjurkan kempen-kempen 'Cintakan Bendera Kita' di sekolah-sekolah, di kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang signifikan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya. Dan ini tidak seharusnya diadakan hanya bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan, malah sepanjang tahun. 


Bagi generasi lama, hari kebangsaan membawa memori kegigihan dan perjuangan menentang zaman penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Bagi mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang telah dicapai selama ini. Bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya mereka yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dahulu menunjukkan mereka masih tidak memahami sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan. Bagi ramai remaja, hari kebangsaan hanya merupakan satu lagi cuti am - hari di mana mereka berpeluang berehat dan bersantai. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar memahami signifikan hari kebangsaan ini. Oleh demikian, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai erti sebenar hari kebangsaan. Setelah memperkatakan mengenai bendera kebangsaan dan signifikannya sebagai simbol negara, rakyat boleh mempamerkan semangat patriotik mereka dalam kehidupan seharian umpamanya, dalam pemikiran, percakapan dan tindakan dalam membela dan mempertahankan kepentingan negara serta memajukan negara. 


Menyatakan perasaan melalui saluran yang betul merupakan satu hak demokrasi yang seharusnya diamalkan oleh semua rakyat yang cintakan negara dan inginkan yang terbaik untuk negara. Dalam hal ini, menyatakan pendapat yang bertentangan demi kepentingan negara tidaklah menjadikan seseorang itu kurang patriotik. Dan kesetiaannya kepada negara tidak seharusnya dipersoalkan. Malaysia hari ini nampak nyata sebagai contoh bagaimana pelbagai kumpulan etnik yang berbeza dapat hidup dan maju dalam suasana harmoni melalui kerjasama erat demi kemajuan dan kesejahteraan bersama. Pembangunan negara tidak akan bermakna tanpa kefahaman, keharmonian, perasaan muhibah dan saling mempercayai antara rakyat berbilang kaum.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 OGOS 2011

03 Ogos 2011

ISU KENEGARAAN : KEKEJAMAN KOMUNIS KEKAL DALAM LIPATAN SEJARAH

Oleh Ahmad Syah Ejaz Ismail


Kebelakangan ini wujud seakan-akan satu pakatan tersusun pihak tertentu yang cuba mengubah sejarah perjuangan tokoh kemerdekaan negara dengan meletakkan tokoh Parti Komunis Malaya (PKM) sebaris negarawan tanah air. Usaha halus bertopengkan kebebasan bersuara dan demokrasi hak asasi manusia ini jelas mengutarakan fakta yang diseleweng dengan niat merubah sejarah terkutuk perjuangan PKM yang hakikatnya banyak mengorbankan nyawa sehinggakan fakta penipuan yang dibuat-buat digambarkan sebagai benar yang harus diterima masyarakat moden Malaysia. Umum mengetahui, berdekad lamanya terlalu banyak kesengsaraan dan kematian direkodkan pasukan keselamatan atau orang awam yang tidak berdosa akibat keganasan PKM. Mungkin ramai tidak mengetahui fakta sebenar kaum Cina di Tanah Melayu paling ramai menjadi mangsa kekejaman PKM. Pada era Perang Dunia Kedua, kebanyakan kaum Cina di Tanah Melayu mendiami pinggir hutan bagi melarikan diri daripada pemerintahan Jepun yang kejam terhadap mereka.

Selepas perang tamat, demografi penduduk ini kekal dan PKM dengan mengambil kira bahawa sokongan Cina yang mendiami pinggir hutan adalah penting dalam memastikan kelangsungan perjuangan di hutan, mereka tidak teragak-agak menyeksa dan membunuh kaum ini yang enggan membantu atau membekalkan maklumat serta makanan. Tun Tan Cheng Lock pernah cuba dibunuh dengan dilemparkan bom tangan ketika bermesyuarat di Ipoh, Perak awal 1950-an. Tindakan ini dilakukan kerana komunis khuatir kejayaan kerjasama Sino-Melayu dalam menuntut kemerdekaan daripada British bakal menenggelamkan perjuangan PKM yang sia-sia. Justeru, tidak hairanlah keganasan komunis pada darurat pertama (1948-1960) banyak direkodkan di negeri yang mempunyai populasi Cina teramai seperti Perak, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan berbanding di negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Melaka, Kelantan dan Terengganu. Kekejaman tidak berperikemanusiaan PKM terhadap kaum Cina ini direkodkan pasukan keselamatan dan disaksikan pekerja estet.

Kaum Cina diseksa akibat enggan bekerjasama malah penyeksaan lebih teruk dibuat kepada mereka yang secara terang-terangan menentang perjuangan PKM (guru, profesional dan ahli perniagaan). Mungkin ramai juga tidak mengetahui kewujudan komunis berbangsa Tamil diketuai pemuda bernama Perumal yang mengganggu pekerja estet di kalangan kaum India di Sungai Siput dan Ipoh, Perak awal 1950-an. Semua kekejaman ini dilakukan atas nama perjuangan Marxist Communism kononnya memperjuangkan hak kesemarataan tanpa perbezaan kelas. Mungkin fakta dan rekod kekejaman pengganas PKM sukar diterima masyarakat hari ini, hakikatnya perkara itu benar-benar berlaku dan direkodkan pasukan keselamatan sebagai fakta kes. Semua lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama diancam PKM setiap hari. Mereka khuatir menaiki kenderaan awam kerana disabotaj pengganas komunis. Rakyat turut tidak selamat menaiki kenderaan sendiri menyusuri jalan raya kerana sering diserang hendap pengganas yang mencari mangsa tanpa mengambil kira perbezaan kaum dan agama kerana terlalu ingin merampas pakaian, makanan dan kad pengenalan orang awam bagi tujuan subversif.

Pada hari ini ada juga dakwaan yang berani daripada mereka yang buta sejarah dengan menyatakan kemerdekaan yang diperoleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957 bukan kemerdekaan sepenuhnya dan turut mendakwa jika bukan disebabkan perjuangan PKM, sukar untuk British memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Fakta ini diseleweng untuk menutup perjuangan sia-sia di hutan oleh PKM. Hakikatnya Tanah Melayu ketika itu mencapai kemerdekaan pada 1957 dan bukan selepas ancaman komunis dihapuskan sepenuhnya pada 1960. Ini jelas menunjukkan British yakin dengan kepemimpinan Tunku yang dilihat mampu membawa kestabilan berkekalan kepada Tanah Melayu serta rantau Asia Tenggara walaupun British ketika itu turut diancam teori domino di Indochina. Ini membuktikan betapa masalah keganasan komunis bukan faktor British memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu lebih awal daripada jangkaan iaitu pada 1960. Mengikut rekod, Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British yang dilantik oleh Winston Churchill, Perdana Menteri Britain pada ketika itu diberikan mandat seawal 1952 iaitu menjadi dasar kerajaan kolonial British bahawa Tanah Melayu diberi kemerdekaan dan hak memerintah seawal 1960.

Jika bukan disebabkan pengorbanan orang awam menggadaikan barang kemas dan menderma wang ringgit sendiri, delegasi Tunku Abdul Rahman tidak cukup dana untuk menghadiri perbincangan Kemerdekaan ke London bersama wakil MCA dan MIC. Hakikatnya yang lebih jelas pada 28-29 Disember 1955, ketika rundingan Baling, Setiausaha Agung PKM, Chin Peng ketika itu secara jelas menyatakan jika kerajaan pimpinan Tunku berjaya mencapai kemerdekaan, PKM tetap meneruskan perjuangan bersenjata menentang kerajaan Tunku yang dipilih rakyat kerana dia melihat tiada ruang untuk kerjasama antara parti komunis dan parti pemerintah (komunis adalah sistem satu parti memerintah). Ketika rundingan, Tunku berkali-kali menawarkan pengampunan kepada anggota PKM untuk meletak senjata dan menjadi anggota masyarakat yang sama-sama membangunkan negara yang bakal merdeka. Peristiwa ini direkodkan pada hari kedua rundingan dengan Tunku meminta Chin Peng memikirkan nasib tujuh juta penduduk Tanah Melayu ketika itu yang menerima kesan buruk akibat perjuangan bersenjata 3,000 pengganas komunis yang aktif di hutan. Chin Peng sekali lagi menolak tawaran ini berikutan terlalu taksub dengan kejayaan Parti Komunis di China tanpa mengambil kira perbezaan politik di Tanah Melayu.


Rundingan Baling walaupun gagal, terus kekal dalam sejarah sebagai bukti cukup jelas pendirian perjuangan komunis yang sia-sia dan menyimpang daripada perjuangan kemerdekaan; hakikat ini tidak dapat dipadam sampai bila-bila oleh sesiapa sekalipun. Jika diteliti rekod tulisan Chin Peng melalui memoirnya, My Side of Story, jelas menunjukkan dia tiada pendirian berkenaan objektif perjuangan PKM di Tanah Melayu dan lebih terikut-ikutkan situasi di China di bawah Mao Zedong.


INFO
Keganasan komunis

Kaum lelaki Cina dipotong badan depan keluarga menggunakan cangkul atau parang berbanding senjata api kerana khuatir pasukan keselamatan Home Guard dan Gurkha menyiasat bunyi tembakan. Pengganas komunis mengeluarkan isi perut atau hati mangsa lalu memaksa keluarga atau isteri mangsa meletakkan organ ini di atas bara api. Mangsa yang dipotong anggota badan dibiarkan mati terseksa di depan keluarga dan pekerja estet dibiarkan menyaksikan tragedi malang ini sebagai peringatan jika enggan bekerjasama dengan PKM. Kanak-kanak turut menjadi mangsa kekejaman komunis seperti di Estet Kamuning, Perak pada 1948 apabila mereka menyalib seorang kanak-kanak atas sebatang kayu. Pelbagai seksaan dilakukan terhadap kaum India di Perak oleh kumpulan Perumal, antaranya mengikat mangsa di pokok getah dan menyeksa mereka sehingga mati dan ada mangsa dipotong jari kerana kekal bekerja di ladang getah walaupun diberi amaran.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 OGOS 2011

ISU BAHASA : NASKAH BAHASA MELAYU SAHIH DI MAHKAMAH

Teo Kok Seong
teokok@ukm.my


Pelaksanaan Dasar Bahasa Negara dalam bidang perundangan mempunyai kaitan rapat dengan penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa negara dalam bidang perundangan Malaysia. Sehubungan ini, menurut Seksyen 6 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971), naskhah dalam bahasa Melayu adalah sahih dalam bidang perundangan negara ini, melainkan ditetapkan sebaliknya. Dengan ini, mulai 1 September 1967, dalam penggubalan undang-undang Malaysia, naskhah dalam bahasa Melayu saja dianggap sahih. Dengan penetapan ini, walaupun penggubalan rang undang-undang yang rata-ratanya ikut dilakukan serentak dalam bahasa Inggeris, hanya naskhah bahasa Melayu yang dianggap sahih.  Dengan ketetapan ini, undang-undang yang digubal dalam bahasa Inggeris sebelum 1967, yang tidak mempunyai naskhah bahasa Melayunya, diusahakan penterjemahnya ke dalam bahasa Melayu. Dalam hal ini, naskhah bahasa Melayu dilabelkan sebagai Terjemahan kerana tidak dihasilkan dan diluluskan melalui proses perundangan.  Walaupun begitu, ia masih dianggap sebagai sahih berdasarkan peruntukan Seksyen 7(1) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971).

Ini berlaku setelah maksudnya dalam bahasa Melayu, didapati tepat dengan pengertian asalnya dalam bahasa Inggeris. Sehubungan ini, ratusan undang-undang induk dan cabang yang digubalkan dalam bahasa Inggeris sebelum 1967, diterjemah dan diwartakan.  Dalam bidang perundangan antarabangsa, walaupun bahasa Inggeris digunakan sebagai naskhah sahih, bahasa Melayu tidak sekali-kali diketepikan. Ia tetap digunakan sebagai bahasa negara ini, yakni bahasa kebangsaan dan rasmi rakyat Malaysia yang menjadi antara pihak yang terbabit, misalnya dalam sesuatu Perjanjian Antarabangsa. Dengan penggubalan undang-undang negara yang perlu melalui dan lulus proses perundangan dalam bahasa Melayu, dan diwartakan di dalamnya pula, sepatutnya perbicaraan di mahkamah dalam bahasa Melayu sepenuhnya, tidak menjadi masalah lagi. Untuk ini, Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971) dipinda bagi memperuntukkan bahawa segala perbicaraan mahkamah, selain pemberian keterangan oleh saksi, hendaklah dikendalikan dalam bahasa Melayu.  

Walau bagaimanapun, untuk kepentingan keadilan yang menjadi unsur utama dalam bidang perundangan dan kehakiman, perbicaraan mahkamah boleh dikendalikan sebahagiannya, dan bukan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Dalam hal ini, budi bicara mahkamah adalah bukan saja penting, tetapi satu amanah besar. Ia adalah untuk bukan saja melindungi keluhuran undang-undang negara, tetapi untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.  Sudah tentu, budi bicara ini tidak boleh sekali-kali disalahgunakan oleh mana-mana pihak. Sehubungan ini, setelah lebih daripada 40 tahun, yakni sejak 1967 yang memperlihat ketetapan mula dibuat secara tegas, untuk menjayakan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perundangan negara, tidak dapat disangkal lagi bahawa semua perbicaraan, sama ada kes jenayah atau sivil, boleh dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Ini antaranya kerana dengan tergubalnya Kaedah Mahkamah dalam bahasa Melayu yang merangkumi pelbagai peringkat, prosedur menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya di mahkamah Malaysia menjadi lebih nyata.  

Ekoran penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah, segala apa jua dokumen yang perlu digunakan di mahkamah hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu. Sehubungan ini, terjemahan dalam bahasa Inggeris boleh disertakan, tetapi ia bukan dokumen sahih melainkan eksibit semata-mata, yakni barang kes saja. Sesungguhnya kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah Malaysia tidak boleh dipertikai lagi. Penggunaannya dari segi urusan pentadbiran, yakni dalam bentuk surat pekeliling dan surat-menyurat mahkamah, didapati memuaskan. Tetapi untuk urusan kehakiman, selain surat-menyurat dan dokumen, perbicaraan tidak selalunya dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Ini dilakukan atas alasan kepentingan keadilan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 8 itu. Peruntukan ini nampaknya tidak banyak digunakan di Mahkamah Rendah. Alasan yang diberikan ialah perbicaraan di sini boleh dengan mudahnya dikendalikan dalam bahasa Melayu kerana kebanyakan kesnya adalah tidak rumit. Justeru, ia tidak memerlukan keadilan yang perlu dikendalikan dalam bahasa Inggeris.

Hal ini tidak sama di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang rata-ratanya mengendalikan kes yang lebih rumit sifatnya. Oleh sebab kerumitan inilah, prinsip kepentingan keadilan menjadi keutamaan semua pihak. Dalam memastikan keadilan ini, semua pihak mendapatinya lebih mudah dipertahankan dengan menggunakan bahasa Inggeris. Alasan yang diberikan ialah kekurangan bahan rujukan dalam bahasa Melayu, istilah perundangan dalam bahasa Melayu yang kurang tepat, dan latar pendidikan perundangan yang tidak diperoleh dalam bahasa Melayu. Dengan ini, penghujahan oleh pendakwa dan peguam bela dibuat dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Begitu juga dengan alasan keputusan oleh hakim. Sesungguhnya, bukan semua kes rumit ini tidak boleh dibicarakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Sesetengah daripadanya, baik ketika perbicaraan secara lisan mahupun pada penghujahan dan alasan keputusan secara bertulis, didapati dikendalikan dalam bahasa Inggeris yang mudah saja, yang sering juga sarat dengan kesalahan. Sebenarnya ia boleh pun dengan mudah dikendalikan dalam bahasa Melayu, dalam bentuk yang lebih kompleks dan tanpa sebarang kesalahan pula! Yakinilah kemampuan bahasa Melayu dalam bidang perundangan dan kehakiman.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

SUMBER
BERITA HARIAN
3 OGOS 2011

ISU EKONOMI : CONTOHI INDUSTRI HALAL THAILAND

Oleh NIZAM YATIM
rencana@utusan.com.my


Industri  halal dunia kini dianggarkan bernilai lebih AS$2 trilion setahun. Dengan jumlah yang sebegitu besar, ia sudah tentu dapat menghasilkan pulangan lumayan kepada mana-mana negara atau syarikat yang berkecimpung secara serius bagi menghasilkan produk berstatus sedemikian. Menyedari hakikat itu, Thailand turut mengambil langkah agresif untuk memastikan produk yang dikeluarkan syarikat negara berkenaan adalah halal selaras dengan kedudukannya sebagai pengeksport produk makanan halal yang keenam terbesar di dunia dengan pendapatan sebanyak AS$5 bilion setahun. Daripada 30,000 kilang mengeluarkan makanan halal yang terdapat di negara itu sekarang, sebanyak 8,000 telah mendapat sijil pengesahan halal. Negara itu kini sedang meningkatkan bilangan syarikat yang mendapat sijil halal bagi memastikan ia mencapai sasaran menjadi negara pengeksport produk makanan halal ketiga terbesar di dunia selepas Brazil dan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Selain bagi membolehkan produk berkenaan dijual kepada 1.5 bilion umat Islam, kerajaan Thailand berharap barangan berstatus halal yang sentiasa diyakini sebagai produk yang bersih, berzat dan baik untuk kegunaan manusia akan menarik minat seluruh penduduk dunia yang berjumlah kira-kira tujuh bilion orang untuk menggunakannya. Produk dan perkhidmatan halal yang sedang dipromosikan oleh negara itu bukan hanya terhad kepada makanan dan minuman sahaja, malah ia turut melibatkan kosmetik, ubat-ubatan, bahan kimia, barangan kulit, rawatan spa, perhotelan, hospital, perbankan dan takaful Islam. Kesungguhan negara jiran itu terbukti apabila ia menubuhkan Pusat Sains Halal di Universiti Chulalongkorn (HSC-CU), Bangkok pada 1995 dan Institut Halal di Universiti Prince of Songkhla, beberapa tahun selepas itu. Menurut Pengarah HSC-CU, Dr. Winai Dahlan, penubuhan pusat dan institut halal berkenaan telah membolehkan Thailand melakukan pelbagai inovasi baru termasuk menghasilkan sabun dan cecair pencuci daripada tanah liat untuk memudahkan proses menyamak.

Beliau berkata, pihaknya turut mencipta dapur khusus yang mempunyai zon penampan bagi mengasingkan antara produk halal dan haram yang telah digunakan secara meluas termasuk ketika Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand. "Pakar-pakar daripada kedua-dua universiti turut terlibat memberikan latihan kepada petugas Thai Airways dan kakitangan sektor perkilangan di negara ini mengenai kaedah betul bagi memastikan produk yang dihasilkan adalah halal," katanya. Terbaru, jelas beliau, ia melibatkan penciptaan sistem logistik dan pengesahan halal menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dikenali dengan nama Shariah-Compliant ICT Logistics Control (SILK). ''SILK yang boleh diakses secara percuma menggunakan kemudahan Internet berkelajuan tinggi membolehkan syarikat di seluruh dunia membuat permohonan sijil halal. Bakal pembeli juga boleh menyemak status halal sesuatu barangan dengan pantas," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Persidangan Antarabangsa Perniagaan, Industri dan Sains Halal Sedunia (Whasib) 2011 di Universiti Prince of Songkhla, Hat Yai pada 27 Julai lalu.

Persidangan sehari berkenaan telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan. Bekas Menteri Luar Thailand yang beragama Islam itu dalam ucapan perasmiannya menyeru negara-negara Asia Tenggara supaya bekerjasama bagi memastikan sasaran menjadikan rantau itu pengeksport produk halal terbesar dunia tercapai. Mengulas mengenai kesungguhan pihak Thailand itu, Naib Presiden 1, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Dr. Abd. Latiff Awang yang berkesempatan menjadi peserta Whasib 2011 berkata, selain peranan yang dimainkan oleh pihak universiti, kerajaan Thailand juga terlibat aktif dalam mempromosi industri halal. Beliau berkata, perkara itu terbukti apabila ramai usahawan Malaysia termasuk 10 delegasi DPIM telah ditaja kerajaan negara itu untuk menyertai persidangan halal berkenaan dengan harapan akan terjalin kerjasama erat antara peniaga kedua-dua negara. ''Kita kagum kerana Duta Besar Thailand ke Malaysia, Thana Duangratana dan dua pegawai kanan daripada kedutaan berkenaan iaitu Makawadee Sumitmor dan Montri Nathananan turut meluangkan masa untuk mengiringi delegasi Malaysia," katanya. Kekaguman yang diluahkan oleh Abd. Latiff memang berasas jika dilihat kesungguhan Duangratana, 60, yang sanggup turun padang untuk menjelajah wilayah yang mempunyai ramai penduduk Islam iaitu Songkhla dan Satun yang bersempadan dengan Kedah dan Perlis selama empat hari.

Selain menyertai Whasib 2011, delegasi yang turut disertai Setiausaha Agung DPIM, Mohammad Sahar Mat Din dan Penasihat Syariah KFC Holdings (Malaysia) Bhd., Mohd. Roslan Mohd. Saludin turut dibawa melawat Kawasan Perindustrian Wilayah Selatan di Wilayah Songkhla. Duangratana yang bertindak sebagai penterjemah turut membawa rombongan berkenaan bertemu dengan Gabenor Satun, Dr. Sumeth Chailertvanitkul dan melawat ladang kambing yang diusahakan usahawan Muslim di wilayah berkenaan. ''Saya berharap diplomat Malaysia mencontohi rakan sejawatan mereka yang bukan beragama Islam yang sanggup turun ke bawah bagi membawa pelabur berpotensi untuk melabur dalam industri halal di negara berkenaan. ''Jika kita terus leka, tidak mustahil Malaysia akan ketinggalan dalam industri ini terutama jika pegawai atasan yang dilantik oleh kerajaan tidak bekerja bersungguh-sungguh," ujarnya. Nasihat yang diberikan Abd. Latiff yang juga bekas Exco kerajaan negeri Terengganu memang kena pada masanya berikutan tidak ramai peneraju agensi yang berkecimpung dalam industri halal di Malaysia menghadiri Whasib 2011, sedangkan banyak inovasi baru yang dihasilkan Thailand yang boleh dicontohi mereka.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 OGOS 2011

ISU SOSIAL : PERANGI MODUS OPERANDI SINDIKET PENYELUDUPAN MANUSIA

Oleh ARIF ATAN


Sampai bila kita harus terus mendengar angka demi angka berhubung pelbagai kisah di sebalik limpahan pendatang asing di negara ini? Pendedahan terbaru bahawa sindiket pemerdagangan manusia khususnya dari Bangladesh memperoleh untung lebih RM5 bilion dengan seorang warganegara itu dijual pada kadar RM10,000 amatlah mengejutkan. Kisah bertambah 'hebat' apabila puak pelampau politik di Sri Lanka juga adalah antara dalang utama yang terlibat dalam sindiket berkenaan! Sungguhpun aktiviti pemerdagangan manusia dikatakan fenomena antarabangsa tetapi di negara lain tidaklah menyaksikan jutaan orang asing seramai ke negara ini. Kita perlu mencontohi negara lain dalam menangani jenayah tersebut. Perjanjian kerajaan Malaysia dengan Australia baru-baru ini dalam usaha membanteras sindiket "jual orang" hanya benar-benar nampak hasilnya jika langkah-langkah praktik yang segera dan konsisten dilakukan. Begitu juga halnya dengan pelaksanaan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang telah bermula sejak 1 Jun lalu yang kemudian dilanjutkan tempohnya bagi memberi ruang kepada majikan untuk berbuat demikian.

Niat dan penjelasan yang jujur perlu dilakukan agar rakyat tidak keliru dengan sistem biometrik yang dicadangkan ingin digunakan juga oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Memandangkan modus operandi sindiket penyeludupan manusia berkait rapat dengan faktor peluang dan ruang, beberapa perkara perlu diberi perhatian. Pertama, pegawai penguat kuasa di lapangan terbang utama negara iaitu di KLIA dan LCCT mesti lebih serius dalam bertugas. Usah begitu mudah memberi pelepasan terutama untuk penerbangan yang tiba di Malaysia pada lewat malam. Kedua, tingkatkan kekerapan pemeriksaan terhadap seluruh hotel bajet murah di sekitar Lembah Klang yang menjadi pilihan popular sindiket untuk menyorok buat sementara waktu pendatang asing sebaik-baik tiba di negara ini. Namun, apa yang pasti "pagar" yang diharapkan menjaga "padi" mesti benar-benar kukuh. Pagar yang rebah mesti segera diganti. Tindakan menahan sembilan orang pegawai imigresen termasuk pegawai kanan sejak tiga tahun sehingga 24 Mei lalu patut diteruskan dengan siri siasatan dan tangkapan seterusnya terhadap mana-mana pegawai imigresen lain yang terlibat.

Rakyat Malaysia yang sudah tidak tahan dengan lambakan orang asing kini tidak lagi mahu mendengar ada pihak penguat kuasa yang jadi dalang yang berkongsi ketawa dengan sindiket jual orang. Jutaan ringgit yang diperoleh beberapa kerat "pengkhianat" negara sebenarnya tidak berbaloi dengan kerugian ekonomi dan kemuflisan sosial yang kita telah, sedang dan akan kita semua sebagai rakyat tempatan alami. Penubuhan dua unit khas iaitu Unit Risikan dan Unit Pematuhan dalam Jabatan Imigresen adalah suatu usaha baik dalam memantau dengan teliti setiap langkah dan prosedur kerja para pegawai penguat kuasa berkenaan. Apa pun, setiap pegawai imigresen harus ditanam dalam benak akal mereka bahawa jika mahu cepat bergelar jutawan maka segeralah keluar daripada perkhidmatan awam, lalu terjun dalam dunia perniagaan yang sah di sisi agama dan undang-undang. Kesedaran dan tanggungjawab mereka juga mesti "dibasuh" sejak awal lagi sebelum pengesahan jawatan bahawa setiap sen wang yang diterima hasil daripada bersubahat menyeludup manusia ke negara ini adalah haram bagi diri, keluarga dan keturunannya serta satu bentuk pengkhianatan besar kepada tanah air yang sama sekali tidak dapat dimaafkan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 OGOS 2011