Oleh ARIF ATAN
Sampai bila kita harus terus mendengar angka demi angka berhubung pelbagai kisah di sebalik limpahan pendatang asing di negara ini? Pendedahan terbaru bahawa sindiket pemerdagangan manusia khususnya dari Bangladesh memperoleh untung lebih RM5 bilion dengan seorang warganegara itu dijual pada kadar RM10,000 amatlah mengejutkan. Kisah bertambah 'hebat' apabila puak pelampau politik di Sri Lanka juga adalah antara dalang utama yang terlibat dalam sindiket berkenaan! Sungguhpun aktiviti pemerdagangan manusia dikatakan fenomena antarabangsa tetapi di negara lain tidaklah menyaksikan jutaan orang asing seramai ke negara ini. Kita perlu mencontohi negara lain dalam menangani jenayah tersebut. Perjanjian kerajaan Malaysia dengan Australia baru-baru ini dalam usaha membanteras sindiket "jual orang" hanya benar-benar nampak hasilnya jika langkah-langkah praktik yang segera dan konsisten dilakukan. Begitu juga halnya dengan pelaksanaan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang telah bermula sejak 1 Jun lalu yang kemudian dilanjutkan tempohnya bagi memberi ruang kepada majikan untuk berbuat demikian.
Niat dan penjelasan yang jujur perlu dilakukan agar rakyat tidak keliru dengan sistem biometrik yang dicadangkan ingin digunakan juga oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Memandangkan modus operandi sindiket penyeludupan manusia berkait rapat dengan faktor peluang dan ruang, beberapa perkara perlu diberi perhatian. Pertama, pegawai penguat kuasa di lapangan terbang utama negara iaitu di KLIA dan LCCT mesti lebih serius dalam bertugas. Usah begitu mudah memberi pelepasan terutama untuk penerbangan yang tiba di Malaysia pada lewat malam. Kedua, tingkatkan kekerapan pemeriksaan terhadap seluruh hotel bajet murah di sekitar Lembah Klang yang menjadi pilihan popular sindiket untuk menyorok buat sementara waktu pendatang asing sebaik-baik tiba di negara ini. Namun, apa yang pasti "pagar" yang diharapkan menjaga "padi" mesti benar-benar kukuh. Pagar yang rebah mesti segera diganti. Tindakan menahan sembilan orang pegawai imigresen termasuk pegawai kanan sejak tiga tahun sehingga 24 Mei lalu patut diteruskan dengan siri siasatan dan tangkapan seterusnya terhadap mana-mana pegawai imigresen lain yang terlibat.
Rakyat Malaysia yang sudah tidak tahan dengan lambakan orang asing kini tidak lagi mahu mendengar ada pihak penguat kuasa yang jadi dalang yang berkongsi ketawa dengan sindiket jual orang. Jutaan ringgit yang diperoleh beberapa kerat "pengkhianat" negara sebenarnya tidak berbaloi dengan kerugian ekonomi dan kemuflisan sosial yang kita telah, sedang dan akan kita semua sebagai rakyat tempatan alami. Penubuhan dua unit khas iaitu Unit Risikan dan Unit Pematuhan dalam Jabatan Imigresen adalah suatu usaha baik dalam memantau dengan teliti setiap langkah dan prosedur kerja para pegawai penguat kuasa berkenaan. Apa pun, setiap pegawai imigresen harus ditanam dalam benak akal mereka bahawa jika mahu cepat bergelar jutawan maka segeralah keluar daripada perkhidmatan awam, lalu terjun dalam dunia perniagaan yang sah di sisi agama dan undang-undang. Kesedaran dan tanggungjawab mereka juga mesti "dibasuh" sejak awal lagi sebelum pengesahan jawatan bahawa setiap sen wang yang diterima hasil daripada bersubahat menyeludup manusia ke negara ini adalah haram bagi diri, keluarga dan keturunannya serta satu bentuk pengkhianatan besar kepada tanah air yang sama sekali tidak dapat dimaafkan.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 OGOS 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan