17 Jun 2011

ISU UMUM : HARTAWAN SENGSARA

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my

Kesunyian, kecewa antara jiwa lara pewaris bilionair yang membawa ke mati

John Paul Getty III 


Benarkah harta tidak boleh membeli kebahagiaan? Jika betul, apakah bentuk kebahagiaan yang boleh didefinisikan tanpa harta andai makan pun terpaksa meminta? Dan bagaimana pula ada keluarga kaya raya yang diketahui memiliki harta dan wang ringgit sebaliknya dibelenggu kesengsaraan dengan pelbagai episod duka yang membawa kematian secara tragik, termasuk membunuh diri? Mungkin pelik bagi kita, tetapi mereka, khususnya di negara Barat, rentetan kehidupan tragik yang membelenggu nasib keluarga hartawan ini ibarat sumpahan. Malah itulah beri pengakhiran menyedihkan waris keluarga hartawan John Paul Getty III daripada keluarga Getty - hartawan Amerika Syarikat; Christina Onasis yang dikenali pewaris keluarga perkapalan Greek; waris Johnson & Johnson juga hartawan Amerika, Casey Johnson; Lee Yoon Hyung, anak perempuan keluarga Samsung dari Korea Selatan dan Edoardo Agnelli, pewaris syarikat kereta Fiat di Itali? Hakikatnya, mereka mungkin tidak mengenali antara satu sama lain kerana dilahirkan pada abad dan benua berbeza tetapi ada persamaan yang mengikat mereka - pewaris empayar perniagaan bernilai berbilion dolar tetapi mati dalam keadaan penuh tragik.

Kematian John Paul Getty III, 54, pewaris minyak pada Februari lalu, sememangnya mengejutkan ramai kerana ia menjadi penamat rentetan kesengsaraan yang dialami insan ini. Datuknya, John Paul Getty, hartawan minyak bergelar bilionair, pengumpul koleksi seni dan dermawan, pernah dinobatkan sebagai lelaki terkaya Amerika Syarikat pada 1957. Menepati kata-kata kaya tapi sengsara, biarpun punca kematian John Paul Getty III tidak didedahkan, apa yang diketahui dia berkerusi roda dan memerlukan penjagaan kesihatan yang rapi sejak 1981 apabila pengambilan dadah secara berlebihan menyebabkannya lumpuh dan hampir buta. Dia pernah menjadi subjek liputan media pada 1973 apabila diculik dan tuntutan wang tebusan mencecah lebih AS$17 juta. Bagaimanapun polis menolak dakwaan dia diculik dan sebaliknya satu penipuan bagi memeras wang datuknya.  Satu lagi kisah tragik mendalangi kehidupan Christina Onassis. Dunia mengenalinya ahli perniagaan bijak yang pernah menghasilkan keuntungan RM3.03 bilion sehari! Mewarisi empayar perkapalan Greece daripada bapanya, Aristotle Socrates Onassis dan isteri, Athina, Christina dianggap bertuah dilahirkan dalam keluarga antara terkaya di dunia.

Christina Onasis 
Sayangnya, kekacauan dalam hidupnya bermula pada usia muda apabila perceraian penuh sengketa ibu bapanya pada pertengahan tahun 1960-an diberi liputan besar-besaran oleh media. Dia sekali lagi menjadi tumpuan apabila bapanya mengahwini balu Presiden John F Kennedy, Jacqueline Kennedy pada 1968. Media sekali lagi memainkan kisah itu dan mengikuti rapat perjalanan keluarga Onassis terutama tentangan Christina terhadap perkahwinan itu. Berusaha melakar sendiri jalan hidupnya dan melarikan diri daripada tumpuan, Christina berpindah ke London dan memasuki Queens College untuk meneruskan pelajaran dalam bidang fesyen. Namun dia keciciran beberapa bulan kemudian, pada usianya 19 tahun. Kekalutan terus memburunya apabila Athina mengahwini Stavros Niarchos, yang bukan saja bekas iparnya tetapi saingan terbesar kepada empayar perkapalan Onassis. Ketika akhbar ghairah memaparkan kisah itu, Christina mencipta berita untuk diri sendiri dengan mengahwini lelaki 27 tahun lebih tua daripadanya ketika berusia 20 tahun. Sumpahan keluarga Onassis bermula pada awal tahun 1970-an apabila abangnya, Alexander, maut dalam kemalangan kapal terbang pada tahun 1973, diikuti ibunya setahun kemudian dan ayahnya pada tahun 1975.

Casey Johnson
Di sebalik kejayaannya mengendalikan perniagaan keluarga, kehidupan peribadi Christina kerap membayangi pencapaiannya dan wajahnya kerap menghiasi muka depan akhbar gosip dan hiburan. Dia dikatakan menagih pelbagai jenis dadah. Pada 1985, Christina melahirkan anak dengan suami keempatnya, Thierry Roussel, dan dinamakan Athina, sempena ibunya. Sayang, kelahiran Athina masih belum cukup membahagiakan Christina apabila dia ditemui mati di rumah rakannya di Argentina akibat serangan jantung disebabkan ketagihan dadah selama bertahun-tahun pada usia 38 tahun.  Dunia meratapi kehilangan wanita besi yang dianggap ramai sebagai ‘bakat semula jadi’ dalam bidang perniagaan, mewarisi kepakaran bapanya. Malangnya, sumpahan itu tidak berakhir dengan kematian Christina sebaliknya terus memburu kehidupan anak tunggalnya, Athina. Satu-satunya pewaris kekayaan Onassis, Athina, 26, cuba menjalani kehidupan normal yang baik, di sebalik membesar dalam skandal, tragedi dan kematian mengejut. Legasi itu dipersalahkan ke atas kehidupan mewah keluarganya, sesuatu yang cuba dielakkan sejak mengahwini ahli sukan berkuda Brazil, Alvaro Alfonso de Miranda Neto atau dikenali sebagai Doda, 38.

Ketenangan itu, bagaimanapun mengganggu kehidupan pasangan suami isteri berkenaan apabila bekas kekasih Doda, Cibele Dorsa, membunuh diri dengan terjun dari tingkat tujuh kediamannya Januari lalu. Lebih memalukan Athina, bekas model Playboy berusia 36 tahun itu meninggalkan nota bunuh diri yang merungut mengenai peraturan yang membenarkan anak perempuan Cibele dan Doda, Vivienne dan anak lelaki hasil perkahwinan pertama aktres itu, Fernando, dijaga oleh Athina dan Doda. Cibele bersetuju kedua-dua anaknya dipelihara Athina dan Doda tetapi amat merindui cahaya matanya itu. Bekas pembantu kepada bapa Athina, Alexis Mantheakis, berkata sumpahan Onassis kembali menghantui Athina walaupun kali ini tidak terkena kepada diri sendiri tetapi mensasarkan orang yang ada kaitan dengannya. Berkongsi nasib sama dengan Christina ialah pewaris empayar perniagaan penjagaan diri, Johnson & Johnson. Casey Johnson, 30, ditemui mati di sebuah rumah, tahun lalu. Lebih menjijikkan apabila laporan menyebut rumah berkenaan dipenuhi tikus.  Dia yang disahkan menghidap diabetes ketika masih kanak-kanak, Casey membesar menjadi remaja liar yang memaksa keluarganya memutuskan hubungan dengannya.

Pengambilan dadah dan alkohol memaksa ibunya, Sale, mendapatkan perintah memelihara anak angkatnya, Ava, apabila Casey enggan menjalani rawatan memulihkan masalah ketagihannya. Selepas disingkirkan daripada keluarga, kereta Porsche miliknya ditarik dan rekod mahkamah menunjukkan dia berhutang lebih RM300 ribu. Laporan menyebut mayat Casey ditemui oleh pembantu rumah dalam bilik tidurnya di West Hollywood pada 4 Januari 2010. Bagaimanapun, laporan panggilan ke talian 911 mendedahkan Casey meninggal dunia di rumah salah seorang rakannya di Los Angeles ketika ditinggalkan sendirian apabila rakannya keluar bersuka ria.  Pemanggil tidak dikenali melaporkan tubuh Casey sejuk dan tangannya berwarna biru. Pada 4 Februari 2010, Pejabat Koroner Los Angeles mengumumkan dia maut disebabkan diabetic ketoacidosis kerana mengabaikan pengambilan ubat dan tidak mendapatkan rawatan. Jalan cerita yang menimpa pewaris syarikat elektronik gergasi Korea, Samsung, pula agak berbeza tetapi tetap menuju penamat sama - kematian menyedihkan.

Lee Yoon Hyung
Jelitawan, Lee Yoon Hyung, jelas memiliki wang mencukupi untuk memenuhi minat mendalamnya terhadap kereta lumba dan lukisan. Dengan harta peribadi dianggarkan bernilai £105 (RM514 juta)dan ijazah daripada universiti berprestij di New York dan Seoul, sepatutnya tiada had apa yang boleh dicapainya.  Bapanya, Lee Kun-hee yang kini bergelar bekas Pengerusi Samsung, adalah antara orang terkaya di Korea Selatan yang kerap dimomokkan sebagai Republik Samsung. Namun itu nyata bukan yang dicari dalam hidup apabila Lee menamatkan hayatnya dengan menggantung diri menggunakan wayar elektrik di kediamannya di New York pada 2005. Lee baru berusia 26 tahun ketika mengambil keputusan nekad itu. Rakan-rakan Lee berkata dia semakin sunyi dan tertekan sejak berpindah ke New York selepas rancangan untuk mengahwini teman lelakinya ditentang ibu bapanya kerana dianggap tidak sepadan. Lee paling menonjol daripada empat pewaris Samsung kerana abang dan dua lagi kakaknya enggan dikenali ramai.  Keyakinan diri dan pesona menjadi bukti dalam laman web peribadi yang dinamakan sebagai Pretty Yoon Hyung, yang memperincikan kehidupannya.

Di Korea, Lee sentiasa dikawal sekurang-kurangnya dua pengawal peribadi dan selepas berpindah ke New York, pemandu yang bersedia 24 jam mengiringinya ke seluruh bandar raya itu dengan limosin. Namun kehidupan penuh gaya Lee semakin suram. Penjaga pintu bangunan tempat dia menginap memberitahu kadang-kadang Lee tidak keluar daripada kediamannya selama seminggu. Kematian Lee terus memburukkan keadaan syarikat paling kaya, paling berpengaruh dan paling penuh rahsia yang sudah dikejar publisiti negatif termasuk pendedahan skandal rasuah. Bagaimanapun, kematian pewaris empayar perniagaan dan kereta Fiat, Edoardo Agnelli, paling diselubungi kontroversi apabila Iran mendakwa kematiannya dirancang Israel kerana berang dengan tindakan Edoardo memeluk Islam lima tahun sebelum dia dijumpai mati pada November 2000. Di Itali, kematian Edoardo selepas terjun daripada jambatan di Turin ketika berusia 46 tahun, dilihat sebagai kes bunuh diri tragik tetapi di Teheran, dia diagungkan sebagai syahid kerana dibunuh oleh rejim Zionis itu.

Konspirasi bermula dengan dakwaan Edoardo memeluk Islam dan berfahaman Syiah, kemudian ejen Israel memutuskan Fiat tidak boleh jatuh ke tangan orang Islam, membunuhnya dan memastikan keluarga Elkann yang berdarah Yahudi, perlu menguruskan dinasti pengeluar kereta itu. Bagaimanapun, penyiasat Itali tidak menemui bukti selain kematiannya disebabkan bunuh diri. Edoardo memang menunjukkan minat mendalam terhadap mazhab Syiah sebaik melawat pengasas revolusi Iran pada tahun 1979, Ayatollah Khomeini. Namun graduan sastera dan falsafah itu turut berminat dengan agama lain dan gemar mengembara ke Asia dan Afrika. Sukar mencari punca yang mengelirukan pewaris berstatus jutawan itu sehingga kematian mereka berakhir secara menyedihkan. Jika kemurungan dan tekanan menjadi penyebab, mereka mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk mendapatkan bantuan pakar. Mungkinkah juga, kekurangan kasih sayang menjadi puncanya dan benarlah harta dan wang yang melimpah ruah, tidak mungkin dapat menjadi pengganti kasih sayang dan kunci kebahagiaan.

SUMBER :
BERITA HARIAN
12 JUN 2011

ISU WANITA : WANITA DAN BERPOLITIK : KEMANA AKHIRNYA?

Oleh Noor Sulastry Yurhi Ahmad




Saban hari sudah kedengaran tuntutan dan kenyataan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuklah parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan ramai lagi yang menyuarakan pandangan tentang kepentingan penglibatan politik wanita dalam era kontemporari ini. Jika disingkap lipatan sejarah dunia tentang istilah wanita dan politik, pada zaman Pencerahan, Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika membuahkan satu suasana yang amat mencabar dalam memperjuangkan hak seperti pendidikan, pemilikan, berpolitik dan bermacam lagi di mana wujud satu pemikiran bahawa kedudukan dan status kaum wanita tidak seimbang dengan kaum Adam. Budaya patriarkal yang sangat dominan telah membentuk sebuah masyarakat kaum Hawa yang berjiwa kental dan berusaha gigih dalam mengubah kehidupan mereka. 


Ternyata kegigihan kaum wanita pada 1960-an membawa satu momentum di Amerika Syarikat antaranya lahir Equal Pay Right (1963), Equal Right Act (1964) dan lain-lain bagi menuntut hak sosial wanita pada ketika itu. Perkembangan ini tidak terhenti begitu sahaja malah diteruskan pada 1970-an dan sehingga pada hari ini perjuangan atau tuntutan yang dikemukakan ini berterusan tidak kira tempat dan masyarakat yang terlibat. Bahang ledakan berpolitik kaum wanita ini bukan hanya berada di Eropah tetapi sampai ke negara kita. Penjajahan British telah mengakibatkan lebih ramai pejuang kebangsaan termasuklah kaum wanita untuk bangkit melawan arus kolonialisme yang tidak bertepian pada era kemerdekaan tahun 1957. Kelahiran Angkatan Wanita Sedar (AWAS), parti-parti politik, bidang kewartawanan umpamanya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kaum ibu dan wanita di tanah air untuk sama-sama bersatu padu membanteras penjajahan. 


Namun, Malaysia merupakan antara negara Asia yang benar-benar memberi peluang dan kelebihan kepada kaum wanita untuk menjadi penggerak terhadap kesinambungan dan kejayaan negara dalam pelbagai sektor melangkaui segala bidang yang diceburi oleh kaum lelaki. Bagaimanapun, perbincangan pada kali ini ingin melihat kepada penglibatan politik kaum wanita pada hari ini dalam parti-parti politik. Keterbukaan parti-parti politik dalam menyediakan ruang untuk kaum wanita sama ada dikenali sebagai wanita, muslimat mahupun puteri berjaya merungkai penglibatan berpolitik tersebut. Walaupun setiap parti politik di Malaysia ini berbeza ideologi perjuangan parti, kesempatan atau kekosongan yang diisi oleh kaum wanita dalam parti itu bukanlah sebuah tempelan tetapi membuahkan hasil yang memberangsangkan dalam meyakinkan para pengundi terhadap kemampuan golongan wanita dalam mana-mana pertubuhan politik sehingga dimartabatkan sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya. 


Memang tidak dapat dinafikan bahawa peratusan yang dimiliki oleh kaum wanita dalam kepimpinan tertinggi politik agak minimum dan masih terbuka untuk dibincangkan supaya lebih ramai wanita akan menjawat status sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian, Presiden Parti, badan perundangan, kehakiman sehinggalah ketua jabatan, ketua pegawai dan sebagainya. Lambakan jawatan tertinggi yang kelihatan memihak kepada kaum Adam telah menjadikan pelbagai pihak menyuarakan supaya ruang yang lebih besar diberikan kepada kaum Hawa ini. Malah peratusan yang diberikan sebanyak 30 peratus kepada wanita untuk menerobos ke lapangan Parlimen perlu disahut dengan langkah lebih progresif, tekad dan agresif. Walaupun angka tersebut masih ketinggalan jika dibandingkan dengan Sepanyol dan Norway yang memiliki 50 peratus menteri wanita mewakili dalam Kabinet, begitu juga dengan Perancis dan Denmark. 


Dengan jumlah kaum wanita yang berpendidikan, tidak mustahil 30 peratus ini mampu mencapai sasaran dalam tempoh yang terdekat. Sasaran yang diletakkan ini memperlihatkan betapa tingginya kedudukan wanita dalam arena politik lokal yang bersifat glokal dalam memartabatkan wanita Malaysia yang hebat setanding lelaki. Dominasi disiplin ini tidak seharusnya digeruni kerana idea, sentuhan, penglibatan, pergerakan kaum wanita tidak boleh dilakukan oleh orang lain melainkan wanita. Kepakaran yang ditunjangi oleh kaum wanita melengkapi keputusan dan orientasi politik yang didominasi oleh lelaki ini. Kelebihan yang diperolehi oleh kaum wanita untuk turut sama terlibat dalam aktiviti politik mengharumkan lagi perjalanan politik tanah air dan kedudukan adalah lebih seimbang kerana pelbagai isu dapat diketengahkan tentang kepekaan feminisme dalam peringkat yang tertinggi. 


Namun begitu, peluang dan semangat perlu diberikan kepada golongan wanita yang bukan sahaja berminat menyertai politik tetapi cukup sekadar berminat untuk mengetahui perkembangan politik negara. Kelompok sasaran inilah yang bakal dibentuk menjadi lapisan pemimpin wanita yang terhebat satu hari nanti. Ilmu politik yang secukupnya wajib menjadi bekalan mana-mana ahli politik yang berjuang atas nama rakyat yang memilih mereka sebagai pemimpin. Golongan ini tidak lagi bergerak di belakang kaum lelaki tetapi sudah pun menongkah arus untuk menerajui barisan pertama dalam politik. Walaupun jumlah wanita memegang jawatan yang didominasi lelaki masih minimum, perlu diingatkan bahawa mereka sudah berjaya hingga ke tahap itu. Tidak mustahil perkara yang sama akan berlaku. Rencana demokrasi yang diamalkan oleh negara Malaysia bakal menyaksikan perubahan dan persaingan yang sengit dalam memilih wanita yang terbaik sebagai peneraju dalam segala hal kerana wanita pada hari ini adalah yang terbaik dan terhebat.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
17 JUN 2011




ISU UMUM : LUPA TUHAN MENGUNDANG BENCANA

Oleh ABU BAKAR YANG
PENULIS ialah Fellow Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)






Apabila kita berbicara mengenai pembangunan manusia, kita akan menjadi bingung kerana semakin rancak pembangunan fizikal yang dirancang dan dilaksanakan maka semakin rancak pula keruntuhan nilai kemanusiaan berlaku. Bermula daripada institusi kekeluargaan yang kucar-kacir hinggalah kepada tandusnya akhlak mulia, runtuhnya pemikiran sihat, budaya rasuah, kotornya amalan politik, kedangkalan ilmu dan seribu satu macam lagi keruntuhan nilai kemanusiaan yang boleh ditulis satu persatu. Mengapakah itu boleh terjadi sedangkan Islam adalah agama yang membangun dan sangat menggalakkan pembangunan. Sebabnya banyak telah diperkatakan oleh orang. Cuma dalam kesempatan ini ingin diajukan satu perkara pokok yang menjadi faktor utama, iaitu manusia kini sudah melupakan Allah. Apabila lupakan Tuhan, maka manusia pun akan turut lupa akan asal usul dirinya, lupa kejadian dan tujuan hidupnya, lupa akan fungsi dan fitrah dirinya, maka akhirnya lupa akan amanah yang dipikul ke atasnya.

Ada yang terus melupakan dan menolak Allah secara keseluruhan dengan terus terang mengaku keluar dari Islam. Ada pula yang sama ada secara sedar atau tidak menggantikan Allah dengan tuhan-tuhan lain, dan ada pula yang apabila sesekali teringatkan Tuhan maka disembahlah Allah dalam upacara-upacara tertentu seperti agama lain. Maka apabila manusia itu sudah melupakan Allah, maka Allah juga akan melupakan mereka. Mereka akan dibiarkan dan dibebaskan oleh Allah untuk seketika di dunia ini untuk bertindak sesuka hati menentukan keadaan hidup mereka di dunia. Maka berusahalah mereka menentukan keadaan ekonomi, politik, pendidikan, budaya dan masa depan mereka sendiri. Mereka tidak diberi petunjuk oleh Allah ke jalan yang benar kerana mereka tidak lagi mempedulikan Allah. Mereka yang menjadi perancang utama dunia dan kehidupan manusia telah melupakan Allah, maka Allah melupakan mereka dengan membiarkan mereka sibuk menentukan masa depan hidup sendiri.

Segala-galanya yang mereka rancang dan tentukan sebenarnya diasaskan di atas landasan yang rapuh dan menunggu saat keruntuhan. Sesungguhnya bibit-bibit keruntuhan itu sudah dapat dilihat dan dirasakan oleh masyarakat dunia masa kini. Antara sebab lain yang turut membawa kepada lupakan Allah ialah kekeliruan terhadap ilmu. Ini bukan kerana manusia tidak mempunyai ilmu tetapi memiliki ilmu yang tidak tepat dan salah. Kini ilmu yang dipelajari hanya demi kerana ilmu, iaitu menuntut ilmu untuk memenuhi keghairahan kegunaan duniawi yang didorong oleh runtunan nafsu. Ilmu yang dibangunkan kini lebih banyak melahirkan manusia yang cepat lupakan Allah tetapi pada masa sama cepat terpesona dengan keindahan dunia. Maka, lahirlah ilmuan yang sering dalam keraguan terhadap Tuhannya, dalam dilema dan bimbang tentang masa depan dunianya. Memang ada benarnya apa yang telah dinyatakan oleh Bertrand Russel, bahawa ilmu yang dibangun dan dikembangkan di dunia sekarang berjaya menghasilkan 'a lost man' bukannya 'a better man'.

Perkembangan pengisian ilmu masa kini juga telah memperlihatkan kepada kita bahawa tujuan dan konsepnya yang salah dan kabur telah melahirkan ramai manusia yang juga kabur tentang tujuan dan konsep hidupnya. Manusia sekarang penuh dengan sifat sombong dan bangga diri, kedekut dan tamak kepada harta dunia, suka angan-angan, penuh dengan hasad dengki, suka kepada pujian dan kemegahan dunia, khianat kepada amanah, melupakan Allah, dan memandang rendah sesama manusia. Perkembangan ilmu yang sebegini sebenarnya sangat berlawanan dengan ilmu yang ingin dibangunkan oleh Islam. Bagi Islam, ilmu adalah asas pembangunan insan dan juga asas kepada pembangunan tamadunnya. Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa dan kemuliaan kepada ilmu. Perbincangan mengenai ilmu yang baik dianggap tasbih, mempelajarinya dianggap ibadah, mengajarnya dikira sebagai sedekah, mempelajari dan mendalaminya pula dianggap satu jihad. Kita juga tidak mahu ilmu dan pendidikan kita diasaskan kepada landasan pemikiran asing yang tidak mengikut penekanan yang ditentukan oleh Islam. Juga kita tidak mahu pendidikan dan ilmu yang kita pelajari adalah ilmu yang dipaksakan oleh perkembangan semasa kerana dikhuatiri tujuannya lebih bersifat keduniaan dan akan terus melahirkan manusia yang lupakan Tuhan.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
17 JUN 2011




16 Jun 2011

ISU SOSIAL : GERAK KEMPEN DIDIK RAKYAT BERBUDI BAHASA

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia




DILIHAT daripada kelakuan dan sikap sebilangan besar rakyat Malaysia, saya mempunyai kesangsian tentang keberkesanan usaha yang diambil setakat ini untuk mempromosikan pengamalan kempen budi bahasa di kalangan rakyat. Saya ingin menegaskan betapa pentingnya rakyat Malaysia berbilang kaum memperbaharui usaha menjayakan amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Promosi dan pengamalan ini adalah dirasakan perlu berdasarkan kemerosotan nilai-nilai murni dan kurangnya budi bahasa di kalangan sebilangan besar rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda. Kebanyakan pelajar sekolah hari ini tidak bersedia mengucapkan ungkapan terima kasih apabila menerima sesuatu. Bahkan ramai yang tidak menghargai apa yang kita lakukan untuk mereka. Contohnya, saya pernah menghadiri beberapa majlis penyampaian sijil atau anugerah kepada para pelajar sebagai menghargai pencapaian akademik mereka.

Mereka menerima anugerah dan pergi begitu sahaja tanpa mengucapkan terima kasih. Sifat kebiadaban dan tidak berbudi bahasa di kalangan rakyat dapat dilihat daripada cara pemanduan dan cara meletak kereta di jalan raya, memandu ke dalam kawasan kotak kuning; membuang sampah di tempat awam; merosakkan harta awam dan tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan. Isu-isu lain juga termasuk bercakap secara kasar dengan pelanggan; merokok di kawasan larangan merokok; meludah di tempat awam dan tidak memberikan tempat duduk untuk warga tua, kurang upaya dan juga wanita hamil. Adalah tepat pada masanya bagi rakyat untuk menangani isu-isu ini dan bertanyakan pada diri sendiri sejauh mana mereka mengamalkan sikap berbudi bahasa dan nilai-nilai murni tersebut. Menganjurkan kempen mempromosikan pengamalan budi bahasa dan nilai-nilai murni ini adalah penting tetapi apa yang lebih penting ialah untuk menjadikan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang dilancarkan itu sebagai suatu amalan harian.

Kempen peningkatan budi bahasa dan nilai murni di kalangan rakyat patut diberi keutamaan dan dijadikan agenda utama negara semasa kita melangkah ke hadapan untuk menjadi negara maju menjelang 2020. Pembangunan negara tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu, tetapi perlu seiring dengan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti tinggi. Negara kita perlu memiliki rakyat yang berbudi bahasa, hormat-menghormati, beramanah, jujur serta integriti kerana sistem nilai itu menjadi pengukur sebenar sebuah negara maju. Adalah tidak bermakna pembangunan dilaksanakan dengan pesat dan maju tanpa sistem nilai yang sewajarnya. Tidak guna infrastruktur bertaraf kelas pertama tetapi rakyatnya mempunyai mentaliti kelas ketiga sehingga gagal menjaga dan menghargai segala kemudahan disediakan. Sebelum budaya masyarakat kita terus merosot, kita harus sedar dan mempraktikkan semula nilai murni dan budi bahasa.

UTUSAN MALAYSIA, 16 JUN 2011




14 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : MENCARI UNIVERSITI SAINS SOSIAL "TOP"

Oleh Nordin Kardi
Utusan Malaysia, 14 Jun 2011


APABILA Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini mengumumkan yang kementeriannya sedang dalam usaha mengumumkan Universiti Sains Sosial negara, tentu beberapa universiti sedang mengintai-intai peluang untuk mendapat tempat itu dengan harapan pelbagai keistimewaan akan diberikan bagi mengiringi gelaran itu. Tentulah demikian kerana belajar daripada pengumuman Universiti Penyelidikan dahulu, pelbagai kemudahan menarik dan layanan diberikan kepada universiti penerima gelaran itu. Setidak-tidaknya semua Naib Canselornya diangkat sebagai penerima Turus A dan hampir serta-merta pula mendapat gelaran Tan Sri (kecuali Universiti Malaya). Universiti manakah yang akan dipilih nanti tentulah mendebarkan para Naib Canselor yang ada. Semasa universiti penyelidikan diumumkan dahulu, semua penerimanya adalah universiti awam, tetapi semasa bintang SETARA diumumkan, Kementerian Pengajian Tinggi telah memasukkan sama universiti swasta.

Dalam pengumuman itu ada universiti swasta yang mendapat kedudukan lebih tinggi daripada universiti awam. Tentu universiti awam kali ini merasa bimbang jika sekali lagi universiti swasta, terutama yang umurnya relatif muda, mendapat tempat lebih baik. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) terutamanya tentu resah kerana dua universiti awam ini adalah universiti awam yang tertua mengikut urutan penubuhannya. Jika UTM tidak berminat dengan gelaran Universiti Sains Sosial, kerana tidak memenuhi ciri namanya ‘teknologi’ dan lebih berminat memasuki kelompok universiti penyelidikan, maka hanya UUM yang sepatutnya berada pada barisan paling hadapan untuk gelaran itu. Jika universiti swasta berkepentingan kerajaan dimasukkan, maka Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Multimedia juga bersedia untuk menyaingi UUM, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Paling kritikal nanti ialah apakah kriteria atau ciri-ciri yang diambil kira untuk menyukat penerima gelaran itu. Adakah kriteria memilih universiti APEX, Universiti Penyelidikan dan kriteria SETARA juga yang akan digunakan nanti? Kaedah dan kriteria pemilihan yang digunakan hendaklah seboleh-bolehnya jelas dan munasabah. Di manakah lagi rujukan yang lebih baik daripada rujukan pengajian tinggi di Amerika Syarikat (AS). Jika kriteria di negara itu yang dikelolakan oleh The Center for Measuring University Performance dan diletakkan di University of Arizona digunakan, maka dimasukkan kriteria: (1) Jumlah sumbangan kewangan dari luar yang diterima; (2) Bilangan orang universiti yang menganggotai pelbagai akademi di peringkat negara dan antarabangsa; (3) Bilangan pensyarah yang menerima pelbagai anugerah (awards) di peringkat negara dan antarabangsa; (4) Bilangan Doktor Falsafah yang telah dikeluarkan; (5) Bilangan tempat pasca-doktoral yang disediakan; (6) Skor Kemasukan Kelayakan Calon (dalam kes AS ialah skor SAT atau ACT; di Malaysia pula GPA bagi STPM, Matrikulasi atau Diploma).

Mengapa kriteria demikian dipilih? Kriteria pertama, iaitu jumlah sumbangan kewangan tahunan diterima, menggambarkan keyakinan pelbagai pihak terhadap universiti itu sehingga banyak orang awam sanggup memberi derma. Mereka yakin universiti itu akan memanfaatkan sepenuh dan sebaik-baiknya wang yang mereka sumbangkan. Kriteria kedua pula menggambarkan penjaga universiti, iaitu pentadbir dan ahli akademiknya diiktiraf oleh agensi negara dan antara bangsa sebagai pakar-pakar yang pendapat mereka elok didengar. Kriteria ketiga pula menggambarkan hasil kerja universiti mendapat pengiktirafan tertinggi. Kriteria keempat menggambarkan universiti itu mempunyai rekod kejayaan mengeluarkan ijazah tertinggi dalam aktiviti ilmu tinggi. Kriteria kelima menggambarkan luasnya bidang liputan universiti itu sehingga orang yang telah memiliki Ijazah Doktoral mahu menyambung lagi bagi mendalami bidang pengkhususan yang dipilihnya. Kriteria terakhir (keenam) menggambarkan calon-calon muda dan terbaik di luar berlumba-lumba mahu memasuki universiti tersebut sebagai pilihan pertama mereka.

Apabila saya meneliti contoh universiti di AS yang secara konsisten mendapat ranking tertinggi, saya dapati universiti itu bukanlah universiti penerima geran penyelidikan paling banyak, sebaliknya ialah universiti yang boleh menjana kewangan yang paling tinggi. Sebagai contoh universiti Harvard hanya menerima sebanyak AS$451,276,000 geran penyelidikan berbanding Universiti John Hopkins yang menerima sebanyak AS$1.5 bilion. Namun demikian, John Hopkins tidak menduduki tempat popular seperti Harvard, Yale, Stanford, Princeton dan MIT yang masing-masing mempunyai harta sumbangan (endowment) paling tinggi antara semua universiti paling top di sana. Harvard mempunyai harta berjumlah AS$36.55 bilion: Yale AS$22.86 bilion; Stanford AS$17.20 bilion; Princeton AS$16.34 bilion; dan MIT AS$10.07 bilion. Dari segi aset sumbangan John Hopkins jatuh pada tangga ke-26.

Apabila diteliti kedudukan universiti popular dengan ranking di AS, nampaknya ada hubungan antara universiti yang paling banyak ahlinya diiktiraf menduduki pelbagai akademi, paling banyak hasil tahunannya menerima pelbagai anugerah, paling banyak mengeluarkan ijazah doktoral, paling mampu menyediakan tempat pasca-doktoral dan paling dapat menarik calon-calon muda terbaik untuk memilih universiti itu sebagai pilihan pertama dengan jumlah harta sumbangan yang mereka miliki. Dalam konteks Malaysia, jika harta sumbangan dijadikan ukuran universiti terbaik itu, maka Universiti Malaya (UM) nampaknya akan mendapat gelaran yang akan diumumkan nanti. Jika kriterianya mengambil kira universiti paling banyak menjana kewangan sendiri, maka Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal penerimanya. Jika universiti penerima gelaran itu ialah universiti yang paling tinggi peratusan janaan kewangan sendiri pada kadar peruntukan wang operasi daripada kerajaan, maka calonnya ialah UUM.

Oleh sebab UM dan UKM telah menerima gelaran Universiti Penyelidikan, maka peluang UUM adalah amat cerah jika kriteria janaan kewangan dan pengeluaran ijazah doktoral diambil kira. Dalam tempoh terdekat untuk memenuhi kriteria lain, UUM hendaklah mula segera mengambil calon pasca-doktoral bagi memeriahkan persaingan dengan UIA, MMU, UNIMAS, UMS dan UPSI, selain mula melengkapkan data ahli universiti yang menerima keahlian akademi dan badan profesional selain daripada pelbagai anugerah keberhasilan yang diterima. Namun, bagi melengkapkan kriteria, suka saya mencadangkan supaya badan pemilih memasukkan kriteria universiti yang mempunyai banyak aktivis kemanusiaan sebagai tanda universiti itu unggul dalam bidang sosial dan kemanusiaan. Kepemimpinan anggota masyarakat universiti dalam pelbagai badan sukarela atau NGO dapat menggambarkan universiti itu n menyediakan jambatan antara menara gading dengan kehidupan realiti manusia. Universiti ialah pendamai dalam perang ‘town and gown’.

TAN SRI DR. NORDIN KARDI ialah Penyandang Kursi Za‘ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

ISU SOSIAL : DI MANA PENYELESAIAN ISU ARAK?

Oleh NURUL ANUAR KARI
BERITA HARIAN, 14 JUN 2011


MALAYSIA pengeluar utama arak di rantau Asia Tenggara! Kita juga antara 10 negara yang paling tinggi pengambilan alkohol di seluruh dunia! Itu antara dakwaan yang berulang kali dibangkitkan oleh para peserta sesi akhir Persidangan Meja Bulat Arak dan Pencegahannya anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bersama 13 agensi berkaitan baru-baru ini. Mengambil kira situasi pengambilan arak yang semakin serius di kalangan generasi muda kini, resolusi dari tiga sesi persidangan meja bulat itu akan dikumpulkan dalam satu laporan penyelidikan untuk mengenal pasti kaedah terbaik menanganinya. Bukan sekadar trend tajaan industri arak yang kian meresap dalam beberapa industri tempatan seperti industri hiburan negara, penglibatan sebilangan artis dengan 'ibu segala maksiat' itu juga dikhuatiri menjadi ikutan para remaja. Lebih membimbangkan, sebahagian besar pekerja pusat-pusat hiburan yang bergelumang dengan arak terdiri daripada orang Melayu berikutan termakan sogokan kerja mudah untuk gaji lumayan hasil komisen jualan rokok dan arak kepada para pelanggan.

Walaupun sesi dibuat secara tertutup, apa yang paling nyata adalah masalah definisi mengekang tindakan undang-undang diambil terhadap pihak berkenaan walaupun jelas sekali perbuatan mereka salah dari segi hukum syarak. Peruntukan undang-undang mengklasifikasikan arak sebagai minuman dengan kandungan alkoholnya melebihi dua peratus (2.0 peratus) sahaja sementara yang di bawah peratusan itu bukan arak. Hukum syarak yang diguna pakai di negara ini pula menegaskan arak adalah bahan yang mengandungi kandungan alkohol melebihi 0.01 peratus dan hanya di bawah peratusan itu baru boleh dikira sebagai bukan arak. Percanggahan definisi itu didakwa anggota agensi berkaitan telah digunakan sesetengah pihak untuk melindungi peniaga minuman beralkohol daripada tindakan undang-undang dan menyukarkan usaha melindungi umat Islam dan generasi muda daripada ibu segala maksiat itu. Sementara itu, agihan kuasa perundangan kepada pelbagai pihak dan agensi juga telah menyebabkan kekeliruan antara mereka tentang pihak yang memegang kuasa untuk mengambil tindakan.

Ini juga membolehkan pihak tertentu membuat tafsiran sendiri bagi menyekat sebarang usaha pihak berkuasa mengawal penjualan arak secara terbuka terutamanya di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam. Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Ismail Hamzah menjelaskan, pihaknya juga tidak mempunyai kuasa penuh dalam isu arak tetapi dapat mengambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 (Akta 87). Selain itu katanya, Perintah Perihal Dagangan (penggunaan perbahasan 'halal' dan penandaaan makanan) 1975, juga di bawah Akta 87 turut digunakan untuk penguatkuasaan status halal. "Ini melibatkan sebarang petunjuk, indikasi, penyataan dan gambaran 'halal' sesuatu produk secara langsung atau tidak, termasuk perbahasan, gambaran melalui imej dan tulisan Arab atau tajuk seperti 'Ramadan special'. "Secara lisan, pakaian (kopiah) atau letak sekali dengan barang halal juga indikasi sebagai 'produk halal' dan boleh jadi kesalahan jika produk itu tidak halal (termasuk jika masakan yang dicampur dengan alkohol)," tegasnya.

Menurut beliau, pihak kementerian secara umumnya tidak memerlukan permit atau kelulusan halal mana-mana pihak untuk produk yang dipromosikan sebagai 'halal' selagi tiada penipuan dibuat terhadap status yang dipromosikan itu. Tambahnya, tindakan juga boleh diambil jika pihak tertentu menjual arak sebagai produk halal, kandungan alkohol berbeza dengan label, dinyatakan sebagai tiada alkohol tetapi ujian membuktikan sebaliknya atau premis halal menggunakan ramuan tidak halal (termasuk arak). "Kami juga telah menyiasat isu bir halal yang dibangkitkan baru-baru ini. Produk itu dilabel sebagai tiada alkohol (non-alcoholic) bersama perkataan dalam bahasa Arab. "Walaupun tiada perkataan halal, dua perihal (perbahasan) itu mungkin dilihat umat Islam sebagai 'halal' dan boleh diminum," jelasnya. Oleh itu, Ismail menjelaskan pihaknya boleh mengambil tindakan jika terbukti minuman itu mengandungi 0.05 peratus alkohol seperti yang didakwa sesetengah pihak."Kami belum menerima hasil ujian dari Jabatan Kimia tetapi jika terbukti mengandungi 0.01 peratus alkohol (seperti ditetapkan syarak) juga boleh dikira kesalahan perihal dagangan palsu disebabkan label 'non-alcoholic' itu," dakwanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna Islam supaya tidak hanya mengikut ungkapan yang digunakan pada produk kerana banyak lagi elemen dalam syariah perlu diambil kira dalam menentukan halal dan haram untuk makanan atau minuman. Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Profesor Datin Paduna Dr. Zaleha Kamaruddin yang mempengerusikan sesi tersebut turut menekankan pentingnya definisi arak itu diselaraskan agar mengikut tuntutan agama Islam. "Perkara ini akan diperincikan bersama Jabatan Peguam Negara untuk tafsiran arak yang jelas dan mengikut syarak. Selain itu, kita juga mahu diperjelaskan siapa sebenarnya yang patut menangani isu arak ini atau perlukah untuk satukan tindakan ke atas arak di bawah satu badan khas kerana arak sudah merosakkan sistem sosial kita," ujarnya. Beliau menegaskan, arak itu sememangnya ibu segala maksiat serta lebih merosakkan daripada dadah dan kerana itu memerlukan tindakan yang sama atau lebih tegas berbanding membendung dadah. "Kita tidak mahu orang Islam terus menjadi ejen masalah sosial dengan terus bekerja di pusat-pusat hiburan.

Kita perlu mencari alternatif dan mendidik mengenai keberkatan hasil pendapatan mereka itu. "Selain itu, mungkin perlu diwujudkan satu badan bukan kerajaan (NGO) bagi memantau permohonan lesen premis arak di akhbar kerana satu bantahan atau aduan daripada penduduk setempat sahaja diperlukan untuk menyekatnya," jelasnya. Zaleha turut meluahkan rasa bimbang sejauh mana peniaga dapat mematuhi arahan tidak menjual arak kepada kumpulan bawah umur 18 tahun dan umat Islam. "Adakah peniaga dengan suci hati berniaga secara jujur dalam memastikan antara halal dan haram untuk umat Islam, dengan niat atau tanpa niat? Kedai serbaneka menjual arak secara terbuka, begitu juga di pasar malam, kepada para remaja yang bermegah dengan rakan yang minum arak. Jika pedagang tidak jujur, penguatkuasalah yang perlu melindungi umat Islam di negara ini," tegasnya.

Tambahnya, situasi di Kuala Lumpur dan Selangor kini amat menyedihkan di mana anak-anak muda Islam terpaksa terlibat dengan penjualan arak secara terbuka di pasar raya besar. "Mereka memberi alasan tiada pilihan kerana sudah kerja. Sepatutnya kerajaan negeri boleh kawal semua ini dengan mengasingkan penjualan arak daripada pekerja Islam. "Arak kini bukan lagi masalah individu tetapi masalah sosial. Saya harap hasil perbincangan ini akan membawa kepada tindakan sewajarnya terutama dari segi pengeluaran lesen seperti negara Barat yang mengawal ketat lesen arak," katanya. Laporan hasil sesi dialog itu dijangka siap menjelang awal Julai ini dan akan diserahkan kepada menteri berwajib berkaitan agama Islam dan agensi berkenaan untuk tindakan lanjut.