Oleh Noor Sulastry Yurhi Ahmad
Saban hari sudah kedengaran tuntutan dan kenyataan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuklah parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan ramai lagi yang menyuarakan pandangan tentang kepentingan penglibatan politik wanita dalam era kontemporari ini. Jika disingkap lipatan sejarah dunia tentang istilah wanita dan politik, pada zaman Pencerahan, Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika membuahkan satu suasana yang amat mencabar dalam memperjuangkan hak seperti pendidikan, pemilikan, berpolitik dan bermacam lagi di mana wujud satu pemikiran bahawa kedudukan dan status kaum wanita tidak seimbang dengan kaum Adam. Budaya patriarkal yang sangat dominan telah membentuk sebuah masyarakat kaum Hawa yang berjiwa kental dan berusaha gigih dalam mengubah kehidupan mereka.
Ternyata kegigihan kaum wanita pada 1960-an membawa satu momentum di Amerika Syarikat antaranya lahir Equal Pay Right (1963), Equal Right Act (1964) dan lain-lain bagi menuntut hak sosial wanita pada ketika itu. Perkembangan ini tidak terhenti begitu sahaja malah diteruskan pada 1970-an dan sehingga pada hari ini perjuangan atau tuntutan yang dikemukakan ini berterusan tidak kira tempat dan masyarakat yang terlibat. Bahang ledakan berpolitik kaum wanita ini bukan hanya berada di Eropah tetapi sampai ke negara kita. Penjajahan British telah mengakibatkan lebih ramai pejuang kebangsaan termasuklah kaum wanita untuk bangkit melawan arus kolonialisme yang tidak bertepian pada era kemerdekaan tahun 1957. Kelahiran Angkatan Wanita Sedar (AWAS), parti-parti politik, bidang kewartawanan umpamanya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kaum ibu dan wanita di tanah air untuk sama-sama bersatu padu membanteras penjajahan.
Namun, Malaysia merupakan antara negara Asia yang benar-benar memberi peluang dan kelebihan kepada kaum wanita untuk menjadi penggerak terhadap kesinambungan dan kejayaan negara dalam pelbagai sektor melangkaui segala bidang yang diceburi oleh kaum lelaki. Bagaimanapun, perbincangan pada kali ini ingin melihat kepada penglibatan politik kaum wanita pada hari ini dalam parti-parti politik. Keterbukaan parti-parti politik dalam menyediakan ruang untuk kaum wanita sama ada dikenali sebagai wanita, muslimat mahupun puteri berjaya merungkai penglibatan berpolitik tersebut. Walaupun setiap parti politik di Malaysia ini berbeza ideologi perjuangan parti, kesempatan atau kekosongan yang diisi oleh kaum wanita dalam parti itu bukanlah sebuah tempelan tetapi membuahkan hasil yang memberangsangkan dalam meyakinkan para pengundi terhadap kemampuan golongan wanita dalam mana-mana pertubuhan politik sehingga dimartabatkan sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa peratusan yang dimiliki oleh kaum wanita dalam kepimpinan tertinggi politik agak minimum dan masih terbuka untuk dibincangkan supaya lebih ramai wanita akan menjawat status sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian, Presiden Parti, badan perundangan, kehakiman sehinggalah ketua jabatan, ketua pegawai dan sebagainya. Lambakan jawatan tertinggi yang kelihatan memihak kepada kaum Adam telah menjadikan pelbagai pihak menyuarakan supaya ruang yang lebih besar diberikan kepada kaum Hawa ini. Malah peratusan yang diberikan sebanyak 30 peratus kepada wanita untuk menerobos ke lapangan Parlimen perlu disahut dengan langkah lebih progresif, tekad dan agresif. Walaupun angka tersebut masih ketinggalan jika dibandingkan dengan Sepanyol dan Norway yang memiliki 50 peratus menteri wanita mewakili dalam Kabinet, begitu juga dengan Perancis dan Denmark.
Dengan jumlah kaum wanita yang berpendidikan, tidak mustahil 30 peratus ini mampu mencapai sasaran dalam tempoh yang terdekat. Sasaran yang diletakkan ini memperlihatkan betapa tingginya kedudukan wanita dalam arena politik lokal yang bersifat glokal dalam memartabatkan wanita Malaysia yang hebat setanding lelaki. Dominasi disiplin ini tidak seharusnya digeruni kerana idea, sentuhan, penglibatan, pergerakan kaum wanita tidak boleh dilakukan oleh orang lain melainkan wanita. Kepakaran yang ditunjangi oleh kaum wanita melengkapi keputusan dan orientasi politik yang didominasi oleh lelaki ini. Kelebihan yang diperolehi oleh kaum wanita untuk turut sama terlibat dalam aktiviti politik mengharumkan lagi perjalanan politik tanah air dan kedudukan adalah lebih seimbang kerana pelbagai isu dapat diketengahkan tentang kepekaan feminisme dalam peringkat yang tertinggi.
Namun begitu, peluang dan semangat perlu diberikan kepada golongan wanita yang bukan sahaja berminat menyertai politik tetapi cukup sekadar berminat untuk mengetahui perkembangan politik negara. Kelompok sasaran inilah yang bakal dibentuk menjadi lapisan pemimpin wanita yang terhebat satu hari nanti. Ilmu politik yang secukupnya wajib menjadi bekalan mana-mana ahli politik yang berjuang atas nama rakyat yang memilih mereka sebagai pemimpin. Golongan ini tidak lagi bergerak di belakang kaum lelaki tetapi sudah pun menongkah arus untuk menerajui barisan pertama dalam politik. Walaupun jumlah wanita memegang jawatan yang didominasi lelaki masih minimum, perlu diingatkan bahawa mereka sudah berjaya hingga ke tahap itu. Tidak mustahil perkara yang sama akan berlaku. Rencana demokrasi yang diamalkan oleh negara Malaysia bakal menyaksikan perubahan dan persaingan yang sengit dalam memilih wanita yang terbaik sebagai peneraju dalam segala hal kerana wanita pada hari ini adalah yang terbaik dan terhebat.
SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan