JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : MENCARI UNIVERSITI SAINS SOSIAL "TOP"

Oleh Nordin Kardi
Utusan Malaysia, 14 Jun 2011


APABILA Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini mengumumkan yang kementeriannya sedang dalam usaha mengumumkan Universiti Sains Sosial negara, tentu beberapa universiti sedang mengintai-intai peluang untuk mendapat tempat itu dengan harapan pelbagai keistimewaan akan diberikan bagi mengiringi gelaran itu. Tentulah demikian kerana belajar daripada pengumuman Universiti Penyelidikan dahulu, pelbagai kemudahan menarik dan layanan diberikan kepada universiti penerima gelaran itu. Setidak-tidaknya semua Naib Canselornya diangkat sebagai penerima Turus A dan hampir serta-merta pula mendapat gelaran Tan Sri (kecuali Universiti Malaya). Universiti manakah yang akan dipilih nanti tentulah mendebarkan para Naib Canselor yang ada. Semasa universiti penyelidikan diumumkan dahulu, semua penerimanya adalah universiti awam, tetapi semasa bintang SETARA diumumkan, Kementerian Pengajian Tinggi telah memasukkan sama universiti swasta.

Dalam pengumuman itu ada universiti swasta yang mendapat kedudukan lebih tinggi daripada universiti awam. Tentu universiti awam kali ini merasa bimbang jika sekali lagi universiti swasta, terutama yang umurnya relatif muda, mendapat tempat lebih baik. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) terutamanya tentu resah kerana dua universiti awam ini adalah universiti awam yang tertua mengikut urutan penubuhannya. Jika UTM tidak berminat dengan gelaran Universiti Sains Sosial, kerana tidak memenuhi ciri namanya ‘teknologi’ dan lebih berminat memasuki kelompok universiti penyelidikan, maka hanya UUM yang sepatutnya berada pada barisan paling hadapan untuk gelaran itu. Jika universiti swasta berkepentingan kerajaan dimasukkan, maka Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Multimedia juga bersedia untuk menyaingi UUM, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Paling kritikal nanti ialah apakah kriteria atau ciri-ciri yang diambil kira untuk menyukat penerima gelaran itu. Adakah kriteria memilih universiti APEX, Universiti Penyelidikan dan kriteria SETARA juga yang akan digunakan nanti? Kaedah dan kriteria pemilihan yang digunakan hendaklah seboleh-bolehnya jelas dan munasabah. Di manakah lagi rujukan yang lebih baik daripada rujukan pengajian tinggi di Amerika Syarikat (AS). Jika kriteria di negara itu yang dikelolakan oleh The Center for Measuring University Performance dan diletakkan di University of Arizona digunakan, maka dimasukkan kriteria: (1) Jumlah sumbangan kewangan dari luar yang diterima; (2) Bilangan orang universiti yang menganggotai pelbagai akademi di peringkat negara dan antarabangsa; (3) Bilangan pensyarah yang menerima pelbagai anugerah (awards) di peringkat negara dan antarabangsa; (4) Bilangan Doktor Falsafah yang telah dikeluarkan; (5) Bilangan tempat pasca-doktoral yang disediakan; (6) Skor Kemasukan Kelayakan Calon (dalam kes AS ialah skor SAT atau ACT; di Malaysia pula GPA bagi STPM, Matrikulasi atau Diploma).

Mengapa kriteria demikian dipilih? Kriteria pertama, iaitu jumlah sumbangan kewangan tahunan diterima, menggambarkan keyakinan pelbagai pihak terhadap universiti itu sehingga banyak orang awam sanggup memberi derma. Mereka yakin universiti itu akan memanfaatkan sepenuh dan sebaik-baiknya wang yang mereka sumbangkan. Kriteria kedua pula menggambarkan penjaga universiti, iaitu pentadbir dan ahli akademiknya diiktiraf oleh agensi negara dan antara bangsa sebagai pakar-pakar yang pendapat mereka elok didengar. Kriteria ketiga pula menggambarkan hasil kerja universiti mendapat pengiktirafan tertinggi. Kriteria keempat menggambarkan universiti itu mempunyai rekod kejayaan mengeluarkan ijazah tertinggi dalam aktiviti ilmu tinggi. Kriteria kelima menggambarkan luasnya bidang liputan universiti itu sehingga orang yang telah memiliki Ijazah Doktoral mahu menyambung lagi bagi mendalami bidang pengkhususan yang dipilihnya. Kriteria terakhir (keenam) menggambarkan calon-calon muda dan terbaik di luar berlumba-lumba mahu memasuki universiti tersebut sebagai pilihan pertama mereka.

Apabila saya meneliti contoh universiti di AS yang secara konsisten mendapat ranking tertinggi, saya dapati universiti itu bukanlah universiti penerima geran penyelidikan paling banyak, sebaliknya ialah universiti yang boleh menjana kewangan yang paling tinggi. Sebagai contoh universiti Harvard hanya menerima sebanyak AS$451,276,000 geran penyelidikan berbanding Universiti John Hopkins yang menerima sebanyak AS$1.5 bilion. Namun demikian, John Hopkins tidak menduduki tempat popular seperti Harvard, Yale, Stanford, Princeton dan MIT yang masing-masing mempunyai harta sumbangan (endowment) paling tinggi antara semua universiti paling top di sana. Harvard mempunyai harta berjumlah AS$36.55 bilion: Yale AS$22.86 bilion; Stanford AS$17.20 bilion; Princeton AS$16.34 bilion; dan MIT AS$10.07 bilion. Dari segi aset sumbangan John Hopkins jatuh pada tangga ke-26.

Apabila diteliti kedudukan universiti popular dengan ranking di AS, nampaknya ada hubungan antara universiti yang paling banyak ahlinya diiktiraf menduduki pelbagai akademi, paling banyak hasil tahunannya menerima pelbagai anugerah, paling banyak mengeluarkan ijazah doktoral, paling mampu menyediakan tempat pasca-doktoral dan paling dapat menarik calon-calon muda terbaik untuk memilih universiti itu sebagai pilihan pertama dengan jumlah harta sumbangan yang mereka miliki. Dalam konteks Malaysia, jika harta sumbangan dijadikan ukuran universiti terbaik itu, maka Universiti Malaya (UM) nampaknya akan mendapat gelaran yang akan diumumkan nanti. Jika kriterianya mengambil kira universiti paling banyak menjana kewangan sendiri, maka Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal penerimanya. Jika universiti penerima gelaran itu ialah universiti yang paling tinggi peratusan janaan kewangan sendiri pada kadar peruntukan wang operasi daripada kerajaan, maka calonnya ialah UUM.

Oleh sebab UM dan UKM telah menerima gelaran Universiti Penyelidikan, maka peluang UUM adalah amat cerah jika kriteria janaan kewangan dan pengeluaran ijazah doktoral diambil kira. Dalam tempoh terdekat untuk memenuhi kriteria lain, UUM hendaklah mula segera mengambil calon pasca-doktoral bagi memeriahkan persaingan dengan UIA, MMU, UNIMAS, UMS dan UPSI, selain mula melengkapkan data ahli universiti yang menerima keahlian akademi dan badan profesional selain daripada pelbagai anugerah keberhasilan yang diterima. Namun, bagi melengkapkan kriteria, suka saya mencadangkan supaya badan pemilih memasukkan kriteria universiti yang mempunyai banyak aktivis kemanusiaan sebagai tanda universiti itu unggul dalam bidang sosial dan kemanusiaan. Kepemimpinan anggota masyarakat universiti dalam pelbagai badan sukarela atau NGO dapat menggambarkan universiti itu n menyediakan jambatan antara menara gading dengan kehidupan realiti manusia. Universiti ialah pendamai dalam perang ‘town and gown’.

TAN SRI DR. NORDIN KARDI ialah Penyandang Kursi Za‘ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tiada ulasan: