16 Jun 2011

ISU SOSIAL : GERAK KEMPEN DIDIK RAKYAT BERBUDI BAHASA

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia




DILIHAT daripada kelakuan dan sikap sebilangan besar rakyat Malaysia, saya mempunyai kesangsian tentang keberkesanan usaha yang diambil setakat ini untuk mempromosikan pengamalan kempen budi bahasa di kalangan rakyat. Saya ingin menegaskan betapa pentingnya rakyat Malaysia berbilang kaum memperbaharui usaha menjayakan amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Promosi dan pengamalan ini adalah dirasakan perlu berdasarkan kemerosotan nilai-nilai murni dan kurangnya budi bahasa di kalangan sebilangan besar rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda. Kebanyakan pelajar sekolah hari ini tidak bersedia mengucapkan ungkapan terima kasih apabila menerima sesuatu. Bahkan ramai yang tidak menghargai apa yang kita lakukan untuk mereka. Contohnya, saya pernah menghadiri beberapa majlis penyampaian sijil atau anugerah kepada para pelajar sebagai menghargai pencapaian akademik mereka.

Mereka menerima anugerah dan pergi begitu sahaja tanpa mengucapkan terima kasih. Sifat kebiadaban dan tidak berbudi bahasa di kalangan rakyat dapat dilihat daripada cara pemanduan dan cara meletak kereta di jalan raya, memandu ke dalam kawasan kotak kuning; membuang sampah di tempat awam; merosakkan harta awam dan tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan. Isu-isu lain juga termasuk bercakap secara kasar dengan pelanggan; merokok di kawasan larangan merokok; meludah di tempat awam dan tidak memberikan tempat duduk untuk warga tua, kurang upaya dan juga wanita hamil. Adalah tepat pada masanya bagi rakyat untuk menangani isu-isu ini dan bertanyakan pada diri sendiri sejauh mana mereka mengamalkan sikap berbudi bahasa dan nilai-nilai murni tersebut. Menganjurkan kempen mempromosikan pengamalan budi bahasa dan nilai-nilai murni ini adalah penting tetapi apa yang lebih penting ialah untuk menjadikan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang dilancarkan itu sebagai suatu amalan harian.

Kempen peningkatan budi bahasa dan nilai murni di kalangan rakyat patut diberi keutamaan dan dijadikan agenda utama negara semasa kita melangkah ke hadapan untuk menjadi negara maju menjelang 2020. Pembangunan negara tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu, tetapi perlu seiring dengan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti tinggi. Negara kita perlu memiliki rakyat yang berbudi bahasa, hormat-menghormati, beramanah, jujur serta integriti kerana sistem nilai itu menjadi pengukur sebenar sebuah negara maju. Adalah tidak bermakna pembangunan dilaksanakan dengan pesat dan maju tanpa sistem nilai yang sewajarnya. Tidak guna infrastruktur bertaraf kelas pertama tetapi rakyatnya mempunyai mentaliti kelas ketiga sehingga gagal menjaga dan menghargai segala kemudahan disediakan. Sebelum budaya masyarakat kita terus merosot, kita harus sedar dan mempraktikkan semula nilai murni dan budi bahasa.

UTUSAN MALAYSIA, 16 JUN 2011




14 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : MENCARI UNIVERSITI SAINS SOSIAL "TOP"

Oleh Nordin Kardi
Utusan Malaysia, 14 Jun 2011


APABILA Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini mengumumkan yang kementeriannya sedang dalam usaha mengumumkan Universiti Sains Sosial negara, tentu beberapa universiti sedang mengintai-intai peluang untuk mendapat tempat itu dengan harapan pelbagai keistimewaan akan diberikan bagi mengiringi gelaran itu. Tentulah demikian kerana belajar daripada pengumuman Universiti Penyelidikan dahulu, pelbagai kemudahan menarik dan layanan diberikan kepada universiti penerima gelaran itu. Setidak-tidaknya semua Naib Canselornya diangkat sebagai penerima Turus A dan hampir serta-merta pula mendapat gelaran Tan Sri (kecuali Universiti Malaya). Universiti manakah yang akan dipilih nanti tentulah mendebarkan para Naib Canselor yang ada. Semasa universiti penyelidikan diumumkan dahulu, semua penerimanya adalah universiti awam, tetapi semasa bintang SETARA diumumkan, Kementerian Pengajian Tinggi telah memasukkan sama universiti swasta.

Dalam pengumuman itu ada universiti swasta yang mendapat kedudukan lebih tinggi daripada universiti awam. Tentu universiti awam kali ini merasa bimbang jika sekali lagi universiti swasta, terutama yang umurnya relatif muda, mendapat tempat lebih baik. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) terutamanya tentu resah kerana dua universiti awam ini adalah universiti awam yang tertua mengikut urutan penubuhannya. Jika UTM tidak berminat dengan gelaran Universiti Sains Sosial, kerana tidak memenuhi ciri namanya ‘teknologi’ dan lebih berminat memasuki kelompok universiti penyelidikan, maka hanya UUM yang sepatutnya berada pada barisan paling hadapan untuk gelaran itu. Jika universiti swasta berkepentingan kerajaan dimasukkan, maka Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Multimedia juga bersedia untuk menyaingi UUM, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Paling kritikal nanti ialah apakah kriteria atau ciri-ciri yang diambil kira untuk menyukat penerima gelaran itu. Adakah kriteria memilih universiti APEX, Universiti Penyelidikan dan kriteria SETARA juga yang akan digunakan nanti? Kaedah dan kriteria pemilihan yang digunakan hendaklah seboleh-bolehnya jelas dan munasabah. Di manakah lagi rujukan yang lebih baik daripada rujukan pengajian tinggi di Amerika Syarikat (AS). Jika kriteria di negara itu yang dikelolakan oleh The Center for Measuring University Performance dan diletakkan di University of Arizona digunakan, maka dimasukkan kriteria: (1) Jumlah sumbangan kewangan dari luar yang diterima; (2) Bilangan orang universiti yang menganggotai pelbagai akademi di peringkat negara dan antarabangsa; (3) Bilangan pensyarah yang menerima pelbagai anugerah (awards) di peringkat negara dan antarabangsa; (4) Bilangan Doktor Falsafah yang telah dikeluarkan; (5) Bilangan tempat pasca-doktoral yang disediakan; (6) Skor Kemasukan Kelayakan Calon (dalam kes AS ialah skor SAT atau ACT; di Malaysia pula GPA bagi STPM, Matrikulasi atau Diploma).

Mengapa kriteria demikian dipilih? Kriteria pertama, iaitu jumlah sumbangan kewangan tahunan diterima, menggambarkan keyakinan pelbagai pihak terhadap universiti itu sehingga banyak orang awam sanggup memberi derma. Mereka yakin universiti itu akan memanfaatkan sepenuh dan sebaik-baiknya wang yang mereka sumbangkan. Kriteria kedua pula menggambarkan penjaga universiti, iaitu pentadbir dan ahli akademiknya diiktiraf oleh agensi negara dan antara bangsa sebagai pakar-pakar yang pendapat mereka elok didengar. Kriteria ketiga pula menggambarkan hasil kerja universiti mendapat pengiktirafan tertinggi. Kriteria keempat menggambarkan universiti itu mempunyai rekod kejayaan mengeluarkan ijazah tertinggi dalam aktiviti ilmu tinggi. Kriteria kelima menggambarkan luasnya bidang liputan universiti itu sehingga orang yang telah memiliki Ijazah Doktoral mahu menyambung lagi bagi mendalami bidang pengkhususan yang dipilihnya. Kriteria terakhir (keenam) menggambarkan calon-calon muda dan terbaik di luar berlumba-lumba mahu memasuki universiti tersebut sebagai pilihan pertama mereka.

Apabila saya meneliti contoh universiti di AS yang secara konsisten mendapat ranking tertinggi, saya dapati universiti itu bukanlah universiti penerima geran penyelidikan paling banyak, sebaliknya ialah universiti yang boleh menjana kewangan yang paling tinggi. Sebagai contoh universiti Harvard hanya menerima sebanyak AS$451,276,000 geran penyelidikan berbanding Universiti John Hopkins yang menerima sebanyak AS$1.5 bilion. Namun demikian, John Hopkins tidak menduduki tempat popular seperti Harvard, Yale, Stanford, Princeton dan MIT yang masing-masing mempunyai harta sumbangan (endowment) paling tinggi antara semua universiti paling top di sana. Harvard mempunyai harta berjumlah AS$36.55 bilion: Yale AS$22.86 bilion; Stanford AS$17.20 bilion; Princeton AS$16.34 bilion; dan MIT AS$10.07 bilion. Dari segi aset sumbangan John Hopkins jatuh pada tangga ke-26.

Apabila diteliti kedudukan universiti popular dengan ranking di AS, nampaknya ada hubungan antara universiti yang paling banyak ahlinya diiktiraf menduduki pelbagai akademi, paling banyak hasil tahunannya menerima pelbagai anugerah, paling banyak mengeluarkan ijazah doktoral, paling mampu menyediakan tempat pasca-doktoral dan paling dapat menarik calon-calon muda terbaik untuk memilih universiti itu sebagai pilihan pertama dengan jumlah harta sumbangan yang mereka miliki. Dalam konteks Malaysia, jika harta sumbangan dijadikan ukuran universiti terbaik itu, maka Universiti Malaya (UM) nampaknya akan mendapat gelaran yang akan diumumkan nanti. Jika kriterianya mengambil kira universiti paling banyak menjana kewangan sendiri, maka Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal penerimanya. Jika universiti penerima gelaran itu ialah universiti yang paling tinggi peratusan janaan kewangan sendiri pada kadar peruntukan wang operasi daripada kerajaan, maka calonnya ialah UUM.

Oleh sebab UM dan UKM telah menerima gelaran Universiti Penyelidikan, maka peluang UUM adalah amat cerah jika kriteria janaan kewangan dan pengeluaran ijazah doktoral diambil kira. Dalam tempoh terdekat untuk memenuhi kriteria lain, UUM hendaklah mula segera mengambil calon pasca-doktoral bagi memeriahkan persaingan dengan UIA, MMU, UNIMAS, UMS dan UPSI, selain mula melengkapkan data ahli universiti yang menerima keahlian akademi dan badan profesional selain daripada pelbagai anugerah keberhasilan yang diterima. Namun, bagi melengkapkan kriteria, suka saya mencadangkan supaya badan pemilih memasukkan kriteria universiti yang mempunyai banyak aktivis kemanusiaan sebagai tanda universiti itu unggul dalam bidang sosial dan kemanusiaan. Kepemimpinan anggota masyarakat universiti dalam pelbagai badan sukarela atau NGO dapat menggambarkan universiti itu n menyediakan jambatan antara menara gading dengan kehidupan realiti manusia. Universiti ialah pendamai dalam perang ‘town and gown’.

TAN SRI DR. NORDIN KARDI ialah Penyandang Kursi Za‘ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

ISU SOSIAL : DI MANA PENYELESAIAN ISU ARAK?

Oleh NURUL ANUAR KARI
BERITA HARIAN, 14 JUN 2011


MALAYSIA pengeluar utama arak di rantau Asia Tenggara! Kita juga antara 10 negara yang paling tinggi pengambilan alkohol di seluruh dunia! Itu antara dakwaan yang berulang kali dibangkitkan oleh para peserta sesi akhir Persidangan Meja Bulat Arak dan Pencegahannya anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bersama 13 agensi berkaitan baru-baru ini. Mengambil kira situasi pengambilan arak yang semakin serius di kalangan generasi muda kini, resolusi dari tiga sesi persidangan meja bulat itu akan dikumpulkan dalam satu laporan penyelidikan untuk mengenal pasti kaedah terbaik menanganinya. Bukan sekadar trend tajaan industri arak yang kian meresap dalam beberapa industri tempatan seperti industri hiburan negara, penglibatan sebilangan artis dengan 'ibu segala maksiat' itu juga dikhuatiri menjadi ikutan para remaja. Lebih membimbangkan, sebahagian besar pekerja pusat-pusat hiburan yang bergelumang dengan arak terdiri daripada orang Melayu berikutan termakan sogokan kerja mudah untuk gaji lumayan hasil komisen jualan rokok dan arak kepada para pelanggan.

Walaupun sesi dibuat secara tertutup, apa yang paling nyata adalah masalah definisi mengekang tindakan undang-undang diambil terhadap pihak berkenaan walaupun jelas sekali perbuatan mereka salah dari segi hukum syarak. Peruntukan undang-undang mengklasifikasikan arak sebagai minuman dengan kandungan alkoholnya melebihi dua peratus (2.0 peratus) sahaja sementara yang di bawah peratusan itu bukan arak. Hukum syarak yang diguna pakai di negara ini pula menegaskan arak adalah bahan yang mengandungi kandungan alkohol melebihi 0.01 peratus dan hanya di bawah peratusan itu baru boleh dikira sebagai bukan arak. Percanggahan definisi itu didakwa anggota agensi berkaitan telah digunakan sesetengah pihak untuk melindungi peniaga minuman beralkohol daripada tindakan undang-undang dan menyukarkan usaha melindungi umat Islam dan generasi muda daripada ibu segala maksiat itu. Sementara itu, agihan kuasa perundangan kepada pelbagai pihak dan agensi juga telah menyebabkan kekeliruan antara mereka tentang pihak yang memegang kuasa untuk mengambil tindakan.

Ini juga membolehkan pihak tertentu membuat tafsiran sendiri bagi menyekat sebarang usaha pihak berkuasa mengawal penjualan arak secara terbuka terutamanya di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam. Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Ismail Hamzah menjelaskan, pihaknya juga tidak mempunyai kuasa penuh dalam isu arak tetapi dapat mengambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 (Akta 87). Selain itu katanya, Perintah Perihal Dagangan (penggunaan perbahasan 'halal' dan penandaaan makanan) 1975, juga di bawah Akta 87 turut digunakan untuk penguatkuasaan status halal. "Ini melibatkan sebarang petunjuk, indikasi, penyataan dan gambaran 'halal' sesuatu produk secara langsung atau tidak, termasuk perbahasan, gambaran melalui imej dan tulisan Arab atau tajuk seperti 'Ramadan special'. "Secara lisan, pakaian (kopiah) atau letak sekali dengan barang halal juga indikasi sebagai 'produk halal' dan boleh jadi kesalahan jika produk itu tidak halal (termasuk jika masakan yang dicampur dengan alkohol)," tegasnya.

Menurut beliau, pihak kementerian secara umumnya tidak memerlukan permit atau kelulusan halal mana-mana pihak untuk produk yang dipromosikan sebagai 'halal' selagi tiada penipuan dibuat terhadap status yang dipromosikan itu. Tambahnya, tindakan juga boleh diambil jika pihak tertentu menjual arak sebagai produk halal, kandungan alkohol berbeza dengan label, dinyatakan sebagai tiada alkohol tetapi ujian membuktikan sebaliknya atau premis halal menggunakan ramuan tidak halal (termasuk arak). "Kami juga telah menyiasat isu bir halal yang dibangkitkan baru-baru ini. Produk itu dilabel sebagai tiada alkohol (non-alcoholic) bersama perkataan dalam bahasa Arab. "Walaupun tiada perkataan halal, dua perihal (perbahasan) itu mungkin dilihat umat Islam sebagai 'halal' dan boleh diminum," jelasnya. Oleh itu, Ismail menjelaskan pihaknya boleh mengambil tindakan jika terbukti minuman itu mengandungi 0.05 peratus alkohol seperti yang didakwa sesetengah pihak."Kami belum menerima hasil ujian dari Jabatan Kimia tetapi jika terbukti mengandungi 0.01 peratus alkohol (seperti ditetapkan syarak) juga boleh dikira kesalahan perihal dagangan palsu disebabkan label 'non-alcoholic' itu," dakwanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna Islam supaya tidak hanya mengikut ungkapan yang digunakan pada produk kerana banyak lagi elemen dalam syariah perlu diambil kira dalam menentukan halal dan haram untuk makanan atau minuman. Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Profesor Datin Paduna Dr. Zaleha Kamaruddin yang mempengerusikan sesi tersebut turut menekankan pentingnya definisi arak itu diselaraskan agar mengikut tuntutan agama Islam. "Perkara ini akan diperincikan bersama Jabatan Peguam Negara untuk tafsiran arak yang jelas dan mengikut syarak. Selain itu, kita juga mahu diperjelaskan siapa sebenarnya yang patut menangani isu arak ini atau perlukah untuk satukan tindakan ke atas arak di bawah satu badan khas kerana arak sudah merosakkan sistem sosial kita," ujarnya. Beliau menegaskan, arak itu sememangnya ibu segala maksiat serta lebih merosakkan daripada dadah dan kerana itu memerlukan tindakan yang sama atau lebih tegas berbanding membendung dadah. "Kita tidak mahu orang Islam terus menjadi ejen masalah sosial dengan terus bekerja di pusat-pusat hiburan.

Kita perlu mencari alternatif dan mendidik mengenai keberkatan hasil pendapatan mereka itu. "Selain itu, mungkin perlu diwujudkan satu badan bukan kerajaan (NGO) bagi memantau permohonan lesen premis arak di akhbar kerana satu bantahan atau aduan daripada penduduk setempat sahaja diperlukan untuk menyekatnya," jelasnya. Zaleha turut meluahkan rasa bimbang sejauh mana peniaga dapat mematuhi arahan tidak menjual arak kepada kumpulan bawah umur 18 tahun dan umat Islam. "Adakah peniaga dengan suci hati berniaga secara jujur dalam memastikan antara halal dan haram untuk umat Islam, dengan niat atau tanpa niat? Kedai serbaneka menjual arak secara terbuka, begitu juga di pasar malam, kepada para remaja yang bermegah dengan rakan yang minum arak. Jika pedagang tidak jujur, penguatkuasalah yang perlu melindungi umat Islam di negara ini," tegasnya.

Tambahnya, situasi di Kuala Lumpur dan Selangor kini amat menyedihkan di mana anak-anak muda Islam terpaksa terlibat dengan penjualan arak secara terbuka di pasar raya besar. "Mereka memberi alasan tiada pilihan kerana sudah kerja. Sepatutnya kerajaan negeri boleh kawal semua ini dengan mengasingkan penjualan arak daripada pekerja Islam. "Arak kini bukan lagi masalah individu tetapi masalah sosial. Saya harap hasil perbincangan ini akan membawa kepada tindakan sewajarnya terutama dari segi pengeluaran lesen seperti negara Barat yang mengawal ketat lesen arak," katanya. Laporan hasil sesi dialog itu dijangka siap menjelang awal Julai ini dan akan diserahkan kepada menteri berwajib berkaitan agama Islam dan agensi berkenaan untuk tindakan lanjut.

13 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : IMPAKS DINAMIK LAHIR MODAL INSAN BERKUALITI

Oleh Mohamed Khaled Nordin
BERITA HARIAN, 13 JUN 2011




MUTAKHIR ini senario pengajian tinggi global berkembang dengan begitu pesat sekali. Arus dan ledakan globalisasi telah menghasilkan daya penggerak yang membentuk hala tuju baru pengajian tinggi dunia. Hala tuju ini juga melahirkan beberapa trend baru seperti antara lainnya, globalisasi, mobiliti, kolaborasi, evolusi dalam pembelajaran dan pengajaran serta penggunaan teknologi yang maksimum. Tidak dinafikan, kedinamikan pengajian tinggi dan arus globalisasi ini akan berterusan khususnya sepanjang tempoh lima tahun (2011-2015) Fasa Dua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Ini bermakna, Malaysia dan sektor pengajian tinggi perlu memberi pertimbangan wajar terhadap impak dinamik ini kepada hala tuju strategik, sistem serta institusi pengajian tingginya. Sehubungan itu, lima fokus baru sudah dikenal pasti dan perlu dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sepanjang tempoh itu lima fokus itu ialah pengukuhan usaha melahirkan modal insan, memperkayakan kreativiti dan inovasi, memaksimumkan ekosistem pengajian tinggi, memanfaatkan globalisasi dan kepemimpinan yang bertransformasi di kalangan peneraju institusi pengajian tinggi.

Dalam konteks pengukuhan usaha melahirkan modal insan, pelajar yang akan dilahirkan mestilah benar-benar berketrampilan dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Dalam erti kata lain, mereka tidak boleh lagi bersifat modal insan yang biasa iaitu hanya untuk memenuhi keperluan industri, sebaliknya mempunyai bakat untuk membantu negara menghadapi persaingan dan menyumbang penyelesaian cabaran semasa dan akan datang. Justeru, pembangunan bakat dalam kalangan pelajar perlu memperlihatkan ciri-ciri yang disimpulkan melalui 5Cs iaitu Critical Thinking and Problem Solving (pemikiran kritikal dan penyelesai masalah), Effective Communication Skills (keberkesanan berkomunikasi), Collaboration and Team Building (boleh bekerja secara berkesan termasuk dengan kumpulan yang berbeza pandangan), Creative and Innovative (kreatif dan inovatif) dan Culturally Literate (celik budaya untuk bergerak dalam dunia yang kepelbagaian).

Selain itu, KPT juga berpandangan sudah tiba masa anjakan paradigma perlu dilakukan iaitu daripada semata-mata melahirkan modal insan kepada usaha meningkatkan modal intelektual demi menjana pembangunan negara yang lestari. Dalam konteks penyelidikan dan inovasi, tumpuan banyak diberikan kepada pembangunan universiti penyelidikan, pusat kecemerlangan pengajian tinggi (HiCOE) dan Top Business School (TBS). Dalam pada itu, semua lima buah universiti berinsentifkan Penyelidikan (RU) diminta mempertingkatkan usaha untuk meneraju tujuh platform penyelidikan berimpak tinggi. KPT juga sedang berusaha membimbing IPT untuk membangunkan sebuah lagi universiti penyelidikan berasaskan Sains Sosial menjelang 2020 untuk sama-sama membantu dalam pembangunan penyelidikan negara. Persaingan dalam pengajian tinggi tidak lagi relevan. Justeru, ekosistem pengajian tinggi akan dimaksimumkan sebaik mungkin dengan penyertaan yang lebih besar membabitkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Kolaborasi dan sinergi antara IPTA dan IPTS harus digiatkan. IPTA yang mempunyai ‘ramai bakat’ boleh digunakan untuk membantu pembangunan IPTA baru dan IPTS. ‘Cross-fertilization’ yang sudah diamalkan dalam sektor awam boleh dipanjangkan dari IPTA ke IPTS. Sumbangan IPTS kepada pembangunan negara berdasarkan bilangan pelajar antarabangsanya semata-mata perlu dikaji semula. Justeru, pendapatan IPTS hendaklah distruktur semula dan dipelbagaikan. Pergantungan kepada yuran pengajian pelajar semata-mata sebagai punca pendapatan mestilah difikirkan semula. Punca pendapatan alternatif mestilah digiatkan melalui aktiviti R&D&C, program eksekutif dan perkhidmatan. Proses menyamakan taraf antara IPTA dan IPTS di Malaysia harus dijadikan satu model baru dunia dalam sektor pengajian tinggi. Keterbukaan pihak kerajaan adalah jelas selepas baru-baru ini mengumumkan bahawa IPTS juga akan menerima pelajar cemerlang negara dengan tajaan penuh untuk menyambung pengajian di IPTS.  Ini adalah peluang terbaik kepada IPTS untuk sama-sama menjadi pemain yang seimbang bersama IPTA dalam pembangunan negara dan melahirkan modal insan minda kelas pertama.

Bagi memperkukuhkan lagi pelaksanaan Fasa Dua PSPTN dalam melangkaui globalisasi, bidang pengajian tinggi juga akan dijadikan sebagai satu instrumen dan pendekatan yang besar dalam konteks jalinan diplomatik dan hubungan antarabangsa. Pendekatan kuasa tambatan hati ini adalah strategi jangka panjang yang bermatlamat meraih keyakinan serantau dan global kepada jenama Malaysia dan Malaysia itu sendiri. Dalam usaha memartabatkan lagi peranan IPT khususnya akademia, IPT perlu mengambil pendekatan agresif untuk mempamerkan diri. Kita didapati masih malu-malu untuk mengaku bahawa institusi di bawah kita adalah institusi terbaik negara. IPT juga tidak begitu berani atau tidak terkehadapan mengambil cabaran untuk mempamerkan diri mereka sebagai universiti yang terhebat dan tersohor dalam negara, serantau dan global dalam sesuatu bidang yang tertentu. Pensyarah dan profesor juga masih ramai yang hanya dikenali di kalangan rakan kesepakaran saja dan tidak dikenali oleh pembuat dasar negara sebagai rujukan dalam bidangnya untuk mendapat khidmat nasihat.

Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.





ISU PENDIDIKAN : UNIVERSITI SEBAGAI TEMPAT BINA NEGARA MAJU

Oleh Abd Razak Hussin
Berita Harianb, 13.06.2011




Dalam syarahan utama yang julung kali disampaikan oleh seorang Menteri Pengajian Tinggi di negara ini, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin antara lain mengungkapkan bahawa kewujudan universiti amat perlu dirasai kehadirannya dan kehilangan fungsinya adalah kerugian kepada masyarakat dan negara. Ungkapan itu dilontarkan dalam syarahan yang disampaikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, sempena Ekspo Pemacuan Kegemilangan Warisan Ilmu. Meskipun sebuah universiti dalam konteks dunia moden, tidak lagi dianggap menara gading yang bersifat eksklusif, megah dan terasing. Bagi beliau universiti harus menjadi antara komponen ekosistem masyarakat yang terpadu, memberi pengukuhan kepada persekitaran, negara dan dunia global. Persoalannya, apakah wujud universiti yang tidak lagi dirasai kehadirannya oleh masyarakat? Persoalan awal mengocak pemikiran hadirin itu diredakan apabila beliau menunjukkan rakyat masih menaruh keyakinan terhadap universiti sebagai institusi ilmu, yang bukan saja memiliki himpunan tenaga pemikir dan intelektual, bahkan membina gagasan dan idea serta bermakna bagi memimpin negara menyelesaikan kemelut dan permasalahan.

Menjelang usia 41 tahun UKM (pada 18 Mei 2011 nanti), Khaled mengimbau khalayak bahawa UKM satu-satunya universiti di Malaysia yang mempunyai sejarah perjuangan yang panjang iaitu sejak awal abad ke-20 lagi. Gejolak untuk melahirkan UKM mengalir dari bawah iaitu desakan rakyat jelata khususnya orang Melayu yang merasai keterpinggiran mereka dalam pendidikan. Imbauan itu tentu bermaksud untuk mengimarahkan warga UKM bahawa aspirasi rakyat dan pejuang UKM tidak harus dilupakan, perlu terus dibugar bahkan dijadikan landasan untuk UKM bergerak pantas. Cabaran semasa adalah dampak globalisasi. Masyarakat umum mengharapkan universiti mampu menyediakan graduan yang kukuh dan luas ilmunya, memiliki pemikiran kritikal untuk menyelesai masalah, keberkesanan berkomunikasi termasuk dalam bahasa asing, berkolaborasi dan luwes dalam kepelbagaian, kreatif dan berinovasi.

Universiti ingin dilihat sebagai penggubal dan penyumbang pembinaan negara maju berpendapatan tinggi menerusi sumbangan sains dan teknologi yang begitu pantas berkembang dan berubah.  Pujian yang beliau berikan kepada UKM dalam aspek ini, mempunyai asas yang kukuh. Ini bersandarkan kepada keterserlahannya, juga dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan. UKM turut mempertaruh tanggungjawab sebuah universiti kebangsaan yang memartabat nilai sebagai landasan ekosistem kehidupan sejahtera. Dengan pemerkasaan pusat kecemerlangannya iaitu Institut Alam dan Tamadun Melayu, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Institut Kajian Oksidental, Institut Islam Hadhari, Institut Kajian Etnik, Institut Kajian Rantau Asia Barat, Pusat PERMATApintar dan Pusat Pemerkasaan Remaja melambangkan kesuburan UKM dengan sumber intelektualnya yang mampu menggubal jawapan terhadap persoalan kemanusiaan.

Masyarakat akan lebih meletakkan penghormatannya apabila universiti yang berada dalam persekitaran baru, sentiasa mengorak keberanian, melakukan rejuvenasi, memekar dan menyuburkan semula budaya akademia yang tulen. Universiti harus menjadi medan meraikan perdebatan idea dan pemikiran secara ilmiah dan terbuka. Suasana ini pastinya akan membentuk kecemerlangan universiti. Namun, Khaled mengingatkan khalayak dengan rumusan Max Weber, sosiologis Jerman 100 tahun lalu agar tidak menghalalkan apa saja yang boleh dirasionalkan secara rambang tanpa berpijak dan berpegang kepada nilai utama kita.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UKM




11 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : DASAR 1 MURID 1 SUKAN DILANCARKAN


Kementerian Pelajaran telah melancarkan Dasar 1Murid 1Sukan pada 9 Jun 2011, yang menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata dasar itu mewajibkan semua murid yang tidak mengalami masalah kesihatan memilih satu jenis sukan ditawarkan pihak sekolah atau dijalankan dengan persetujuan sekolah. Kementerian menggariskan beberapa perkara bagi memantapkan pelaksanaan dasar ini iaitu pihak sekolah perlu membuat perancangan sistematik, memaksimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran sedia ada, mewujudkan kerjasama dengan agensi berkaitan sukan dan memastikan aktiviti sukan dijalankan sepanjang tahun.  

Antara lain, dasar ini berhasrat memupuk budaya bersukan di kalangan murid supaya menjadi anggota masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.  Dasar 1Murid 1Sukan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mac lalu bertujuan memantapkan pembangunan sukan peringkat sekolah selaras program terdahulu iaitu Sukan Berprestasi Tinggi Sekolah (SPTS), khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang yang dilaksanakan sejak Julai 2008.  Muhyiddin menggariskan enam strategi memantapkan sukan di sekolah ketika mengumumkan program SPTS dan berharap dasar terbabit akan mengembalikan kecemerlangan sukan sekolah di seluruh negara. Abdul Ghafar berkata, penyertaan menyeluruh semua murid dalam kegiatan sukan perlu bagi membangunkan modal insan cergas.



CONTOH KARANGAN
FOKUS : MANFAAT DASAR 1 MURID 1 SUKAN

Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Pada pendapat saya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan , Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan.

Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini demikian kerana kerajaan sedar semakin ramai rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang mengidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan mengidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa.

Selanjutnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 54 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa dengan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli suka mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Seterusnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi “ulat buku” kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Masa yang ada diisi dengan mengikuti kelas-kelas tuisyen di luar sekolah demi memastikan diri mereka mampu bersaing dengan rakan-rakan dalam bidang akademik. Bagi golongan ini, aktiviti sukan hanyalah untuk pelajar-pelajar yang tidak cemerlang dalam bidang akademik seperti mereka. Oleh itu, mereke lebih suka melayari internet dan berinteraksi dengan kawan-kawan melalui laman web sosial apabila ada masa lapang daripada turun ke padang dan gelanggang untuk bersukan.

Akhir sekali, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan.

Konklusinya, Dasar 1 Murid 1 Sukan membawa banyak kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap samba lewa, bak kata pepatah, “sekadar melepaskan batuk di tangga”. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti. ‘’MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA’’

(998 patah perkataan)

JADIKAN MOTIVASI UNTUK BERJAYA : ANAK MALAYSIA PEREKA iPhone4


Ketika ramai bercerita dan kagum dengan kecanggihan telefon bimbit pintar generasi keempat, iPhone4, rakyat Malaysia boleh berbangga di sebalik kejayaan itu kerana salah seorang pereka ciptanya adalah anak tempatan. Salah seorang yang terlibat dalam merealisasikan gajet terbaru itu ialah Timothy Seng Yen Lim, 24, rakyat Malaysia yang diberi kepercayaan oleh syarikat Apple untuk menghasilkan iPhone4. Semasa bekerja dengan Apple pada 2008, dia bertanggungjawab untuk merangka model terbaru iPhone itu bagi memastikan ia lebih baik daripada gajet sebelumnya. Bekerja di Apple merupakan impian beliau sejak dahulu lagi dan apa yang dipelajari di Universiti Stanford telah diaplikasikannya  dalam proses rekaan gajet tersebut.

Timothy yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Biomekanikal dan Pengurusan Sains dan Kejuruteraan daripada Universiti Stanford. Beliau sebelum itu pernah muncul sebagai pelajar Asia pertama yang mendapat 16A1 dalam peperiksaan A Level yang melayakkannya ditawarkan ke Universiti Stanford. Selain bijak dalam akademik, Timothy juga aktif berpesatuan dan pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di universitinya. Timothy berkata, beliau merancang untuk berkhidmat di negara ini setelah cukup menimba pengalaman dan kemahiran di luar negara. Beliau kini berkhidmat sebagai Penganalisis Sistem Perniagaan untuk syarikat Internet terkenal, Yahoo! Inc. di AS bagi merumus semula organisasi tersebut menjadi syarikat berita dan komunikasi tersohor dunia.