Oleh Abd Razak Hussin
Berita Harianb, 13.06.2011
Dalam syarahan utama yang julung kali disampaikan oleh seorang Menteri Pengajian Tinggi di negara ini, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin antara lain mengungkapkan bahawa kewujudan universiti amat perlu dirasai kehadirannya dan kehilangan fungsinya adalah kerugian kepada masyarakat dan negara. Ungkapan itu dilontarkan dalam syarahan yang disampaikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, sempena Ekspo Pemacuan Kegemilangan Warisan Ilmu. Meskipun sebuah universiti dalam konteks dunia moden, tidak lagi dianggap menara gading yang bersifat eksklusif, megah dan terasing. Bagi beliau universiti harus menjadi antara komponen ekosistem masyarakat yang terpadu, memberi pengukuhan kepada persekitaran, negara dan dunia global. Persoalannya, apakah wujud universiti yang tidak lagi dirasai kehadirannya oleh masyarakat? Persoalan awal mengocak pemikiran hadirin itu diredakan apabila beliau menunjukkan rakyat masih menaruh keyakinan terhadap universiti sebagai institusi ilmu, yang bukan saja memiliki himpunan tenaga pemikir dan intelektual, bahkan membina gagasan dan idea serta bermakna bagi memimpin negara menyelesaikan kemelut dan permasalahan.
Menjelang usia 41 tahun UKM (pada 18 Mei 2011 nanti), Khaled mengimbau khalayak bahawa UKM satu-satunya universiti di Malaysia yang mempunyai sejarah perjuangan yang panjang iaitu sejak awal abad ke-20 lagi. Gejolak untuk melahirkan UKM mengalir dari bawah iaitu desakan rakyat jelata khususnya orang Melayu yang merasai keterpinggiran mereka dalam pendidikan. Imbauan itu tentu bermaksud untuk mengimarahkan warga UKM bahawa aspirasi rakyat dan pejuang UKM tidak harus dilupakan, perlu terus dibugar bahkan dijadikan landasan untuk UKM bergerak pantas. Cabaran semasa adalah dampak globalisasi. Masyarakat umum mengharapkan universiti mampu menyediakan graduan yang kukuh dan luas ilmunya, memiliki pemikiran kritikal untuk menyelesai masalah, keberkesanan berkomunikasi termasuk dalam bahasa asing, berkolaborasi dan luwes dalam kepelbagaian, kreatif dan berinovasi.
Universiti ingin dilihat sebagai penggubal dan penyumbang pembinaan negara maju berpendapatan tinggi menerusi sumbangan sains dan teknologi yang begitu pantas berkembang dan berubah. Pujian yang beliau berikan kepada UKM dalam aspek ini, mempunyai asas yang kukuh. Ini bersandarkan kepada keterserlahannya, juga dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan. UKM turut mempertaruh tanggungjawab sebuah universiti kebangsaan yang memartabat nilai sebagai landasan ekosistem kehidupan sejahtera. Dengan pemerkasaan pusat kecemerlangannya iaitu Institut Alam dan Tamadun Melayu, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Institut Kajian Oksidental, Institut Islam Hadhari, Institut Kajian Etnik, Institut Kajian Rantau Asia Barat, Pusat PERMATApintar dan Pusat Pemerkasaan Remaja melambangkan kesuburan UKM dengan sumber intelektualnya yang mampu menggubal jawapan terhadap persoalan kemanusiaan.
Masyarakat akan lebih meletakkan penghormatannya apabila universiti yang berada dalam persekitaran baru, sentiasa mengorak keberanian, melakukan rejuvenasi, memekar dan menyuburkan semula budaya akademia yang tulen. Universiti harus menjadi medan meraikan perdebatan idea dan pemikiran secara ilmiah dan terbuka. Suasana ini pastinya akan membentuk kecemerlangan universiti. Namun, Khaled mengingatkan khalayak dengan rumusan Max Weber, sosiologis Jerman 100 tahun lalu agar tidak menghalalkan apa saja yang boleh dirasionalkan secara rambang tanpa berpijak dan berpegang kepada nilai utama kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan