09 April 2011

ISU UMUM : AWAS, GADIS JANGAN TERPERDAYA DENGAN BOMOH GILA SEKS


Kaum Hawa tidak kira usia, sering tertipu dalam berurusan dengan bomoh. Padahal niat mereka berjumpa bomoh semata-mata sebagai ikhtiar untuk mengubati penyakit setelah rawatan moden menemui jalan buntu. Namun, ikhtiar untuk sembuh hanya membawa padah kepada diri sendiri. Sembuhnya tidak, tetapi akibat usahanya telah menjadi kes polis dan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Intipati kes begini ialah mangsa telah dicabuli dan dirogol oleh si bomoh. Maka keadilan dituntut untuk menghukum si bomoh itu. Aku tidak banyak berpeluang untuk meliputi perjalanan kes membabitkan tertuduh, si bomoh. Tetapi, aku masih ingat satu kes yang mangsanya seorang wanita berusia lewat 20-an memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa dia pergi bertemu bomoh untuk mengubati jiwanya yang tidak tenteram. ''Saya ditemani rakan serumah bertemu bomoh di sebuah hotel murah di Chow Kit," kata mangsa.

Ketika itu galeri awam dalam mahkamah dipenuhi dengan hadirin yang ingin tahu kes tersebut. Mangsa menceritakan, dia dipanggil masuk ke bilik bomoh itu sementara rakannya menunggu di luar. Kata mangsa, dia disuruh oleh bomoh itu menanggalkan pakaian dengan alasan untuk melihat jika terdapat sebarang tanda pada tubuhnya. Pada peringkat ini, mahkamah mengarahkan orang awam keluar kerana perbicaraan akan diadakan secara tertutup. Aku terpaksa melangkah keluar dari mahkamah. Namun selepas itu, aku terdengar beberapa anggota polis yang bertugas dalam mahkamah masa itu sosek-sosek sesama sendiri bahawa mangsa telah dirogol walaupun tidak melawan. Usia mangsa telah melepasi 21 tahun, dan hujah peguam bela bahawa mangsa tahu tindakan bomoh itu. Ini dianggap dia melakukan perbuatan itu dengan kerelaan mangsa. Mahkamah kemudian membebaskan tertuduh.

Mangsa pastinya telah menangis sendirian. Aku berasa kasihan terhadap kaum sendiri tetapi terlintas di hatiku, mengapa mangsa tidak berfikir dengan waras ketika kejadian berlaku. Sebaliknya, dia membiarkan dirinya ditipu dan diperkosa. Dan, undang-undang menerima bukti bahawa mangsa melakukan perbuatan itu dengan kerelaan dan tiada paksaan daripada tertuduh. Namun, ada kes yang benar-benar menganiaya kaum Hawa. Ibu bapa perlu lebih berwaspada apabila berikhtiar bertemu bomoh untuk mengubati penyakit anak gadis sendiri. Di sebuah Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, lebih tiga tahun lalu, seorang bomoh dipenjarakan sembilan tahun kerana didapati bersalah merogol mangsa bawah umur, 16 tahun. Kisahnya, mangsa telah berkunjung ke rumah bomoh itu untuk mendapatkan rawatan mandi tolak bala. Aku memetik satu lagi kes untuk dijadikan renungan dan dijadikan teladan, terutama demi mengawasi keselamatan anak-anak gadis sendiri.

Di Mahkamah Tinggi Shah Alam, empat tahun lalu, hakim telah menolak rayuan seorang bomoh yang dikenali sebagai 'ustaz' dan mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 18 kali. Hakim menolak rayuan bomoh berkenaan setelah mahkamah mendapati terlalu banyak fakta yang menyelubungi kes itu, tidak memihak kepadanya. Ceritanya, bomoh itu dikatakan bukan hanya merogol mangsa iaitu gadis remaja yang merupakan sahabat kepada anak perempuannya sendiri. Lebih membangkitkan kemarahan insan biasa ialah, tertuduh ini menumpang bermalam di rumah ibu bapa mangsa. Dia mengaku dirinya bomoh dan mahu merawat mangsa yang mengalami sakit-sakit badan dan pinggang akibat senggugut. Aku memetik kata-kata mutiara hakim: ''Perayu telah mengambil kesempatan terhadap mangsa yang masih muda. Mengaku bomoh adalah perbuatan yang menjijikkan, begitu juga penipuan tentang nikah batin.

Tegas hakim bahawa mahkamah tidak boleh bertolak ansur dengan pembohongan dan lelaki itu perlu dikenakan hukuman setimpal.'' Sementara itu, satu kes di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, enam tahun lalu, seorang bomoh berjaya mengurangkan hukuman penjara kepada 11 tahun atas kesalahan merogol dua mangsa gadis remaja. Di peringkat perbicaraan, dia dihukum penjara 20 tahun. Hukuman dikurangkan kerana fakta menunjukkan bahawa kedua-dua mangsa telah melakukan hubungan seks dengan tertuduh secara sukarela tanpa paksaan, malah mereka mengikut bomoh itu untuk bersiar-siar. Seorang warganegara Indonesia yang mendakwa dirinya bomoh juga pernah diheret ke Mahkamah Sesyen Seremban kerana dituduh merogol dan mencabul tiga orang mangsa, tujuh tahun lepas. Perbezaan kes yang aku paparkan ini sekadar untuk kita renungkan dan menimbangkan sewaras-warasnya dakwaan seseorang bomoh sama ada boleh melakukan rawatan. Undang-undang hanya memastikan keadilan berlandaskan fakta yang dikemukakan.

UTUSAN MALAYSIA
9 APRIL 2011

05 April 2011

ISU EKONOMI : FENOMENA GLOBAL KENAIKAN HARGA BARANG

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Setelah beberapa kali menafikan dunia akan kembali terjerumus ke kancah kenaikan harga makanan dan barangan keperluan, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhirnya mengakui fenomena itu tidak dapat dielakkan. Timbalan Ketua Pengarah FAO, He Chang Chui dalam satu kenyataan pada 8 Mac lalu berkata, Indeks Harga Makanan pertubuhan itu pada Februari lalu menunjukkan harga makanan dan barangan keperluan utama di seluruh dunia mengalami kenaikan untuk tempoh lapan bulan berturut-turut. ''Indeks pada bulan berkenaan mencatatkan angka 236 unit dan ia mengatasi paras tertinggi yang dicatatkan ketika krisis makanan dunia pada 2008 iaitu purata sebanyak 200 unit. ''Faktor luar kawalan termasuk cuaca buruk yang melanda negara pengeluar makanan telah menyebabkan peningkatan harga barangan termasuk daging, hasil tenusu, biji-bijian, minyak masak dan lemak serta gula," ujarnya.

Negara pengeluar makanan yang dilanda bencana alam terburuk baru-baru ini adalah Rusia dan Kazakhstan dengan musim kemarau manakala India dan Australia pula mengalami banjir. Dalam pada itu, krisis makanan global juga berpunca daripada peningkatan penduduk dunia yang lebih tinggi iaitu sebanyak empat peratus setahun berbanding kapasiti pengeluaran makanan yang hanya meningkat sebanyak dua peratus setahun. Menurut Chang Chui, Indeks Harga Makanan FAO pada Februari lalu jelas menunjukkan senario peningkatan harga makanan dan lain-lain barangan keperluan belum reda dan langkah-langkah segera perlu diambil kerajaan bagi memastikan tidak tercetus protes seperti yang berlaku di sebahagian besar negara di Asia Barat. ''Antara langkah yang boleh dilakukan adalah untuk mengelak daripada mengeluarkan perintah larangan eksport barangan makanan ke negara lain," katanya.

Sebelum ini, Rusia telah melarang eksport gandum dan India menegah eksport bawang merah sehingga menyebabkan harga barangan berkenaan naik secara mendadak di seluruh dunia. Tambah Chang Chui, kerajaan sesebuah negara juga perlu memastikan rakyat tidak membeli barangan dalam kuantiti banyak kerana panik disebabkan perbuatan itu akan menyebabkan bekalan makanan berkurangan dengan mendadak. ''Kerajaan juga perlu memberikan tumpuan untuk melabur secara besar-besaran dalam sektor pertanian dan memperkenalkan dasar-dasar baru bagi membantu rakyat miskin yang merupakan golongan paling terjejas dengan kenaikan harga barangan tersebut,'' katanya lagi. Mengulas mengenai fenomena kenaikan harga makanan dan barangan keperluan itu, penganalisis ekonomi dan pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ia bersifat global.

''Perkara ini berlaku apabila permintaan pengguna yang melebihi penawaran. Ia akan menyebabkan mereka terpaksa membayar melebihi daripada harga asal. ''Inflasi ini bukan sahaja berlaku disebabkan kenaikan harga makanan dan komoditi, malah ia juga berpunca daripada kenaikan harga minyak," katanya. Seperti yang disebut oleh Haim Hilman, kenaikan harga minyak dunia yang sekali gus akan menyebabkan peningkatan kos pengangkutan bagi mengangkut makanan dan barang keperluan adalah fenomena yang tidak dapat dielakkan berikutan krisis politik yang sedang berlaku di Asia Barat. Bagi memastikan kenaikan itu tidak terlalu membebankan rakyat, kerajaan telah memberikan subsidi petrol dan diesel sebanyak RM7.61 bilion setahun. Bagaimanapun, rakyat harus sedar bahawa kerajaan tidak boleh selama-lamanya memberikan subsidi tersebut kerana wang berkenaan juga amat diperlukan untuk bidang-bidang lain termasuk dalam membangunkan kawasan pertanian baru.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berkata, inflasi kini berlaku di seluruh dunia akibat permintaan barangan yang melebihi penawaran. ''Kenaikan harga barangan akan memberi tekanan kepada rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah tetapi kita tetap tidak boleh lari daripada inflasi. ''Cara terbaik untuk menghadapi fenomena ini adalah dengan menyesuaikan diri dan belajar untuk meningkatkan lagi produktiviti agar permintaan barangan dapat dipenuhi," jelasnya. Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga itu, katanya, pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilakukan dari semasa ke semasa selain menggerakkan kempen bagi meningkatkan kesedaran pengguna untuk berjimat cermat. Seperti yang disyorkan oleh Amir, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, sejak dahulu lagi telah melaksanakan proses pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan fenomena peningkatan harga barangan global tidak dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Pemantauan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946 adalah bagi memastikan 12 jenis bahan makanan yang dikategorikan sebagai barangan kawalan mencukupi dan dijual pada harga munasabah. Langkah lain melibatkan kawalan harga pada musim perayaan yang membabitkan 28 jenis barangan termasuk ayam, daging, telur ayam, kubis, tomato dan cili merah. Segala langkah yang diambil itu telah menyebabkan harga barangan keperluan di negara ini masih lagi yang terendah berbanding negara ASEAN lain. Misalnya beras kini dijual pada harga antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram berbanding Indonesia (RM2.59) dan Singapura (RM5.06). Petrol RON 95 pula dijual pada harga RM1.90 seliter berbanding Thailand (RM4.77), Indonesia (RM3.21) dan Singapura (RM5.06). Pihak kementerian turut melaksanakan kempen bagi menjelaskan senario kenaikan harga barangan menerusi slot di radio dan televisyen termasuk Selamat Pagi 1Malaysia di TV1.

UTUSAN MALAYSIA
5 APRIL 2011

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN MALAYSIA DIIKTIRAF DUNIA

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Banyak kejayaan telah dicatatkan dalam sistem pendidikan negara sejak 50 tahun lalu dengan kadar celik huruf di kalangan dewasa kini mencecah 92 peratus. Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga melaporkan antara 2006 hingga 2008, Malaysia berada di tangga keenam dan telah mengatasi Amerika Syarikat dari segi peratusan kemasukan murid prasekolah. Bagaimanapun, perbandingan dengan Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura menunjukkan penurunan hasil pendidikan pelajar Malaysia. Sekitar 20 peratus daripada mereka gagal mencapai garis minimum Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) pada 2007 berbanding hanya lima peratus pada 2003. Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan terutama sekali bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) hasil pendidikan yang melibatkan masa depan generasi muda dan pewaris negara.

Antara inisiatif yang diambil di bawah NKRA ini adalah menyediakan bantuan yuran berjumlah RM10.3 juta untuk 24,179 murid prasekolah dari keluarga berpendapatan rendah yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih. Bantuan itu untuk yuran di bawah RM150 sebulan di 611 prasekolah swasta sementara kelas prasekolah Kementerian Pelajaran, Kemas (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) disediakan secara percuma. Saringan Celik Huruf dan Nombor (LINUS) tiga peringkat turut dijalankan ke atas 450,000 murid darjah satu seluruh negara sementara 15,500 guru LINUS turut dilatih untuk kelas pemulihan kanak-kanak yang ketingglan. Aplikasi LINUS yang bermula pada 2010 ini disasarkan untuk melonjakkan kadar celik huruf dan nombor murid darjah satu kepada 100 peratus menjelang 2012. Pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi (HPS) turut dilaksanakan dengan 20 sekolah dipilih untuk 2010 dengan sasaran 100 HPS menjelang 2012 (30 sekolah 2011 dan 50 sekolah 2012).

Inisiatif anugerah Tawaran Baru juga digerakkan untuk dua peratus Pengetua dan Guru Besar sekolah terbaik dengan insentif tunai RM7,500 sementara lima peratus guru terbaik sekolah sama menerima RM1,800 dan bakinya RM900 setiap seorang. Selain itu, Program Kemajuan Sekolah (SIP) dilaksanakan untuk menjadikan setiap sekolah dalam sistem pendidikan negara sebagai institusi pendidikan cemerlang dengan mencabar, mendorong dan menyokong antara satu sama lain terutamanya untuk sekolah di luar bandar. Akhir sekali, inisiatif Sekolah Amanah di bawah Yayasan Amir iaitu sebuah badan bukan berasaskan keuntungan di bawah Khazanah Nasional Berhad dilancarkan melalui gabungan usahasama sektor swasta dan awam. Sekolah Amanah mengekalkan status awamnya dan menerima peruntukan dari kerajaan tetapi pengurusan sekolah akan diletakkan di bawah rakan swasta yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan kementerian.

Maklum balas Jawatankuasa Antarabangsa Penilaian Prestasi (IPR) di dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010 untuk NKRA ini mengingatkan pihak kementerian agar tidak terikat kepada 'pendidikan mengikut peperiksaan'. Peringatan itu demi mengelakkan pendidikan di sekolah bertumpu kepada menghafal semata-mata dan mungkin akan menggagalkan sasaran memupuk bakat pelajar berkualiti tinggi yang kreatif dan analitis. Tokoh pendidikan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim turut menyokong peringatan itu kerana bimbang tumpuan masih kepada peperiksaan dan perangkaan untuk mengukur prestasi dan potensi pelajar. "Kita tidak mahu pelajar hanya mempunyai keputusan peperiksaan cemerlang tetapi akhirnya gagal menyesuaikan diri dan menyumbang kepada kerjaya, masyarakat dan negara. "Masalah pekerja kerap melompat tempat kerja kerana mahu kerja senang juga bermula di sekolah.

Oleh itu, sistem pendidikan sedia ada belum cukup memuaskan selagi tidak membantu murid menjadi manusia sempurna selepas dewasa kelak," katanya. Beliau turut mencadangkan beberapa ciri positif sistem pendidikan lama sekitar 1960-an wajar dinilai semula untuk diserap kembali ke dalam sistem pendidikan terkini. Selain itu, NKRA ini turut menerima pujian ahli jawatankuasa tersebut yang juga pengasas Transparency International, Michael Hershman yang percaya usaha dan inisiatif yang diambil wajar menerima pengiktirafan antarabangsa. Beliau turut mencadangkan pertubuhan pendidikan antarabangsa dijemput ke negara ini untuk menilai dan membuat ulasan perkembangan semasa NKRA ini. "Walaupun banyak amalan terbaik yang boleh saya kongsikan, saya lebih suka melihat Malaysia meneruskan pendekatan di luar kelaziman ini. Jika berjaya, maka pihak lain pasti akan mengikut jejak anda," jelasya.

UTUSAN MALAYSIA
5 APRIL 2011

ISU UMUM : POLIMEK TANAH NCR

Oleh ZULKIFLI JALIL dan SAIFUL HAIZAN HASAM
pengarang@utusan.com.my


Dipercayai salah satu isu yang akan dimuatkan dalam Manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 ialah penjelasan dan komitmen parti pemerintah itu dalam menyelesaikan isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). Manifesto ringkas dan padat yang bakal dilancarkan sehari dua ini akan memberi input serba sedikit tentang inisiatif kerajaan negeri membabitkan tanah yang wujud berdasarkan adat pelbagai etnik itu. Selebihnya bergantung kepada bagaimana calon-calon BN mampu menjelaskannya kepada rakyat. Tanah NCR diteroka masyarakat Bumiputera sejak kedatangan Rajah Brooke lagi. Ia diusahakan masyarakat Bumiputera untuk tujuan penempatan dan pertanian sejak penguasaan British di negeri itu. Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Sajeli Kipli, masalah timbul apabila ada penduduk mendakwa tanah di kawasan lain yang hakikatnya tidak diterokai untuk tujuan penempatan dan pertanian serta tidak diselenggara adalah Tanah NCR milik mereka. Tanah yang dikategorikan milik kerajaan negeri didakwa sebagai tanah NCR milik mereka dan menuduh kerajaan negeri merampasnya apabila dimajukan.

Ini meliputi sama ada untuk pembinaan perumahan atau diserahkan kepada syarikat swasta bagi pelbagai tujuan termasuk pembangunan. Justeru, untuk mengelakkan pertelingkahan di antara suku kaum, setiap permohonan penduduk untuk mendapatkan status tanah NCR, maka Jabatan Tanah dan Survei negeri akan membuat kerja ukur atau menyukat. "Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf tanah NCR tetapi ada orang kata kita tidak berbuat demikian. Namun, orang yang mahukan status itu harus membuktikan dia membuka kawasan pertanian atau penempatan dan menjaga penyelenggaraan kawasan itu," kata Sajeli. Setakat ini kerajaan BN Sarawak mengeluarkan 195,986 geran tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Sarawak dan 2,557 lot telah diwartakan sebagai tanah untuk kegunaan bersama bagi pelbagai tujuan di bawah Seksyen 6. Hakikatnya, BN komited untuk melaksanakan pendaftaran 1.5 juta hektar tanah tersebut ke dalam sisten pendaftaran tanah. Dikatakan pengukuran keliling Tanah NCR akan terus dijalankan dalam membendung seterusnya mengatasi kekhuatiran pemilik tanah adat terhadap tanah masing-masing.

Di bawah konsep baru pembangunan Tanah NCR, hampir 500,000 hektar tanah di seluruh kawasan diluluskan setakat ini dengan pesertanya melangkaui 16,000 orang (pemilik tanah). Sejumlah lebih 20,000 hektar tanah juga berjaya disukat meliputi seluas 28 kawasan manakala sejumlah 234,142 hektar lagi melibatkan 107 kawasan akan disukat tahun ini. Malah penyukatan lebih banyak tanah NCR akan dilakukan di bawah inisiatif baru nanti. Kerana itu, Sajeli meminta rakyat Sarawak sentiasa berwaspada dengan dakyah yang cuba dilemparkan pihak tertentu bahawa kerajaan negeri kononnya telah merampas tanah. Ini lebih-lebih lagi apabila diuar-uarkan bahawa terdapat lebih 200 kes tanah adat yang sudah dikemukakan di mahkamah, namun masih tertangguh sehingga hari ini. Apatah lagi isu Tanah NCR ini paling mudah 'digula-gulakan' di kawasan pedalaman Sarawak dengan banyak kerusi di kawasan tersebut mewakili masyarakat Dayak. Terdapat 29 daripada 71 kesemuanya. Dalam hubungan ini, Sajeli menegaskan, kerajaan negeri tidak boleh mengambil Tanah NCR begitu sahaja.

Tanah NCR terpaksa diambil hanya untuk melaksanakan projek kerajaan seperti hospital, sekolah, jambatan dan seumpamanya untuk kegunaaan masyarakat awam. Jika disahkan itu tanah NCR, maka kerajaan wajib membayar ganti rugi yang berpatutan berdasarkan nilai semasa pasaran tanah. Perkara ini terkandung dalam Seksyen 13 Perlembagaan. Dalam Kanun Tanah Negeri Sarawak, Tanah NCR yang diambil untuk tujuan itu dilakukan mengikut Seksyen 47. Bagaimanapun, daripada 569,004 hektar Tanah NCR yang ada geran, cuma 0.84 peratus yang diambil kerajaan negeri di bawah Seksyen 47. Ia tidak sampai satu peratus pun. Bukan sahaja kerajaan negeri Sarawak komited untuk menyelesaikan isu Tanah NCR ini, malah Kerajaan Pusat diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyediakan peruntukan khusus untuk perkara ini mengikut Inisiatif Baru Tanah NCR. Pada tahun lepas, sebanyak RM20 juta diberikan Kerajaan Pusat dan untuk tahun ini pula sebanyak RM30 juta lagi.

Ironinya dalam soal tanah, bukan sahaja Tanah NCR dijamin haknya oleh kerajaan negeri malah jika diamati tanah Sarawak yang berkeluasan 12.4 juta hektar masih dilitupi hutan dan 14 peratus lagi dilitupi hutan sekunder. Selebihnya pula digunakan untuk pertanian, penempatan dan sungai. Itu tidak termasuk komitmen kerajaan negeri menawarkan kadar pembaharuan surat hak milik tanah kediaman dan premis perniagaan lebih rendah untuk tempoh 60 tahun. Sedangkan di Selangor dan Pulau Pinang, pengiraan premium adalah berdasarkan kepada tanah yang mempunyai tempoh berbaki setahun.

UTUSAN MALAYSIA
5 APRIL 2011

03 April 2011

ISU UMUM : SINERGI RAKYAT SARAWAK

Oleh Mior Kamarul Shahid


Sehingga 16 April 2011 nanti, perhatian tertumpu ke Sarawak kerana di Bumi Kenyalang itu menjalani proses untuk menentukan hak rakyat - pilihan raya. Sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubar Isnin lalu hinggalah ke hari mengundi nanti, pelbagai aktiviti politik akan berlaku. Tidak dapat dielakkan apa juga tindakan dan keputusan, akan dikaitkan dengan kempen pilihan raya. Bagi kerajaan Barisan Nasional (BN) apa juga pengumuman khasnya peruntukan untuk melaksanakan sesuatu program untuk faedah rakyat akan dipandang sinis kononnya sebagai umpan meraih undi, sedangkan ini adalah aktiviti sepanjang masa. Sama ada musim pilihan raya atau tidak, ada saja peruntukan untuk rakyat diturunkan. Ini bukan perkara baru dan tidak sepatutnya menjadi isu dalam sebuah kerajaan yang menjadikan 'rakyat didahulukan' dalam moto pentadbirannya.

Dalam pilihan raya, parti politik atau setiap individu yang bertanding akan menggunakan cara tersendiri untuk meraih undi. Selagi tidak melanggar peraturan mereka bebas berkempen, malah bentuk kempen di negara ini boleh dianggap lebih bebas daripada negara maju seperti Amerika Syarikat berasaskan isu yang dibangkitkan. Di Malaysia tidak ada isu yang dilarang hinggakan isu mahkamah yang biasanya boleh dianggap menghina mahkamah juga dicakapkan secara terbuka. Setiap kawasan pilihan raya juga dikunjungi ramai pemimpin politik untuk membantu calon yang mewakili parti masing-masing. Dalam suasana pilihan raya, setiap orang yang mempunyai kecenderungan politik membabitkan diri dalam proses untuk memilih kerajaan negeri yang baru.

Setidak-tidaknya mereka menjadi ejen untuk mempengaruhi keluarga dan rakan-rakan untuk mengundi calon atau parti yang dianggapnya lebih baik. Kerajaan Negeri pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengharapkan rakyat memberi mandat baru kepada BN bagi kesinambungan usaha memajukan negeri dan rakyat Sarawak. Seperti biasa juga dalam setiap pilihan raya, ramai pengkaji termasuk dari universiti, organisasi dan institusi kajian akan menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan berhubung pilihan raya kali ini. Kajian seperti ini amat penting untuk dijadikan perbandingan atau panduan masa depan. Topik kajian biasanya mengikut matlamat, perspektif dan dimensi berasaskan hipotesis kajian masing-masing.

Ada kajian yang mahu melihat kecenderungan atau pola kecenderungan pemilihan pengundi, pemilihan berasaskan populariti parti atau calon, trend pengundi muda, sokongan pengundi mengikut kaum atau agama, jantina, bentuk kempen, pengaruh media, impak media baru dan sebagainya. Kemuncak penemuan kepada kajian bergantung kepada keputusan pilihan raya yang akan diketahui pada malam 16 April nanti. Walaupun kemenangan dalam sesuatu pilihan raya bergantung kepada banyak alasan politik dan bukan politik, tidak dapat dinafikan cara meraih undi dalam tempoh berkempen sejak hari penamaan calon 6 April hingga hari mengundi, akan menjadi penentu segala-galanya. Setiap usaha yang dijalankan adalah untuk mendapatkan undi mereka yang berada di atas pagar, yakni mereka yang belum membuat keputusan.

Keputusan undi mereka hanya ditentukan di saat-saat akhir. Bagi mereka yang sudah membabitkan diri dalam parti politik, undi mereka akan pergi kepada calon atau parti yang mereka wakili. Ini sudah diramalkan. Mungkin pengecualian boleh diberikan pada pilihan raya 2008 apabila ramai penyokong BN sendiri menguji kerajaan. Keadaan sudah pulih semula. Di Sarawak, rakyat sudah terdedah kepada pelbagai maklumat politik menerusi media tradisional dan media baru dan kini media sosial. Semua ini menimbulkan minat pengkaji untuk mengetahui faktor kemenangan atau kekalahan dalam pilihan raya. Parti-parti politik pastinya menggunakan sepenuhnya waktu berkempen yang dibenarkan oleh undang-undang. Tujuan kempen adalah untuk mempengaruhi pemikiran pengundi supaya menyokong mereka.

Walaupun parti-parti bertanding sudah pun menjalankan kegiatan politik mereka sepanjang masa, mungkin sejak sebaik berakhirnya pilihan raya yang lalu lagi, tapi dalam tempoh 10 hari terakhir itu akan menentukan segala-galanya. Itulah sebabnya jentera pilihan raya digerakkan secara maksimum dalam tempoh berkenaan. Ini dilakukan walaupun parti sudah pun bekerja dan berdamping dengan rakyat sepanjang masa. Namun, parti yang bertanding tidak boleh leka dan terlalu yakin dengan sokongan rakyat. Kelekaan akan menyebabkan parti lawan mengambil kesempatan. Dari segi konteks dan hubungan dengan rakyat, BN mempunyai kelebihan berbanding parti pembangkang. Pemimpin BN sepanjang masa menganjurkan program dengan rakyat.

Pengumuman untuk membela nasib mereka, melengkapkan segala kemudahan yang mereka perlukan dilakukan oleh parti kerajaan. Malah, rakyat tahu apa yang mereka lakukan. Berbeza dengan pembangkang, mereka hanya datang dan bertemu rakyat apabila pilihan raya diadakan dan kemudian menabur janji. Jika pilihan raya lima tahun sekali, mereka hanya akan muncul lima tahun sekali. Disebabkan mereka tidak mempunyai modal pembangunan, parti pembangkang biasanya akan membangkitkan isu sejagat seperti kebebasan, keadilan, hak asasi dan sebagainya untuk menggambarkan kerajaan yang zalim. Mereka cuba menyamakan keadaan negara ini dengan negara lain yang bermasalah sedangkan Malaysia adalah antara negara di dunia yang aman dan bebas daripada konflik yang boleh menjejaskan keselamatan.

Keadaan ini menjadikan amat sukar bagi pembangkang untuk mempengaruhi pemikiran rakyat Sarawak supaya mengubah pendirian dan menyokong mereka, apatah lagi percubaan PAS untuk mengubah pendirian penduduk Sarawak. Hubungan antara pemimpin dan penyokong BN dengan rakyat terjalin sekian lama. Pemimpin BN dan rakyat sentiasa berhubung antara satu dengan yang lain melalui pelbagai cara. Hubungan di kalangan pimpinan negeri, parti dan rakyat adalah mesra. Pemimpin BN dan rakyat bukan sekadar bertemu muka tetapi menyelesaikan masalah mereka. Pembangkang datang sekadar untuk bersalaman. Pembangkang khasnya dari Semenanjung datang ke Sarawak membawa pelbagai beban baru. Mereka menghasut rakyat dan membuat tuduhan yang tidak dilengkapi fakta.

Pemimpin BN sudah lama menggunakan komunikasi bersemuka dengan rakyat walau di ceruk mana sekali pun. Hasil pertemuan sebeginilah kita lihat sekarang ini rakyat Sarawak mendapat segala-galanya. Bolehkah pembangkang menyediakan sekolah untuk mendidik rakyat Sarawak? Jangankan membina sekolah, pembangkang tidak mampu pun membayar gaji guru yang mengajar anak-anak. Sarawak adalah sebuah negeri yang luas dan penduduknya bertaburan. Namun, dalam keadaan yang sukar dari segi logistiknya, namun pembangunan tetap sampai sekali pun di kawasan pedalaman. Kerajaan melakukan semua ini kerana sedar bahawa rakyat adalah pengundi yang akan membuat keputusan. Di Sarawak, banyak kumpulan kecil rakyat mengikut etnik masing-masing.

Walaupun di satu-satu kawasan penempatan, bilangan mereka kecil mereka tetap tidak diabaikan. Walaupun kecil tapi mereka boleh mewujudkan sinergi yang besar dengan mengambil kira gabungan etnik di negeri itu. Jika salah satu etnik bangkit, ia boleh membangkitkan etnik yang lain pula. Sinergi kumpulan merujuk kepada idea 'nasib yang sama'. Sinergi di kalangan etnik ini juga mampu membuat keputusan berkualiti - menyokong kerajaan yang membela nasib mereka. Dengan mengambil pendekatan inklusif, kerajaan BN lebih diyakini di Sarawak. Pendekatan inklusif turut mengambil kira setiap kumpulan sosial - dari orientasi unit sesebuah keluarga kepada kelab sosial dan organisasi. Setidak-tidaknya kumpulan ini menunjukkan ciri-ciri perpaduan dan seterusnya membina keyakinan diri. Ini penting untuk BN.

BERITA MINGGU
3 APRIL 2011

ISU UMUM : TANAH NCR PENDUDUK PERIBUMI SARAWAK


SETIAP kali pilihan raya diadakan di Sarawak, isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sering menjadi isu, malah dijadikan senjata oleh pembangkang untuk menyerang Barisan Nasional (BN) di negeri itu. Tanah berkenaan didakwa oleh pembangkang dirampas oleh kerajaan negeri Sarawak untuk diserahkan kepada syarikat gergasi yang menyebabkan anggota masyarakat Bumiputera, terutama di luar bandar berputih mata. Bagi menjelaskan mengenai situasi sebenar isu berkenaan, wartawan Berita Minggu, HASSAN OMAR dan S ANAND KUMAR menemu ramah Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Sajeli Kipli, di Kuching, baru-baru ini.

BOLEH terangkan apakah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf tanah NCR. Tanah ini wujud mengikut adat pelbagai etnik. Sebelum Rajah Brooke datang ke Sarawak, tanah NCR sudah wujud. Sebelum penjajahan Inggeris, masyarakat Iban, Bidayuh dan peribumi lain sudah meneroka tanah. Mereka menebang hutan, membuka tanah pertanian dan penempatan. Adat mereka menyatakan bahawa apabila pokok di satu kawasan ditebang oleh keluarga A, maka keluarga B tidak boleh ganggu. Pastinya dia akan menurunkannya kepada anak dia. Bagaimanapun, ia bergantung kepada adat masing-masing. Kebanyakan masyarakat Iban meneroka tanah di hutan. Orang Melanau meneroka tanah di tepi pantai. Bagaimanapun, dia tidak boleh mengatakan laut itu pun kawasan NCR dia. Bayangkan kalau dibenarkan semua orang akan menuntut laut sebagai hak dia.

Boleh jelaskan langkah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi menentukan satu-satu kawasan itu berstatus NCR atau sebaliknya.

Tanah NCR sudah wujud sejak sebelum Brooke lagi. Itu kita tidak pertikaikan. Setiap permohonan penduduk untuk mendapatkan status tanah NCR, jabatan akan membuat kerja mengukur atau menyukat. Satu daripada tujuannya adalah untuk mengelak pertelingkahan di antara suku kaum. Kerajaan sentiasa mengiktiraf tanah NCR tetapi ada orang kata kerajaan tidak iktiraf tanah NCR. Bagaimanapun, orang yang mahukan status itu harus membuktikan dia menebang pokok hutan, membuka kawasan pertanian atau penempatan dan menjaga penyelenggaraan kawasan itu. Contohnya, dia membuka kawasan seluas satu hektar di kampungnya dan kemudian membuka sedikit tanah di kawasan lain. Dia mendakwa memiliki keseluruhan tanah itu. Kerajaan kata tidak boleh begitu. Mesti buktikan kawasan itu dijaga penyelenggaraannya.

Kita buat kerja menyukat dengan dua kaedah. Yang pertama, kita ukur keliling kawasan kampung itu. Itu dinamakan sebagai ukuran perimeter. Selepas kita mengesahkan itu sebagai tanah NCR, kita wartakan tanah itu sebagai tanah NCR bagi komuniti berkenaan. Yang satu lagi ialah kita buat sukatan dalaman. Hanya selepas mengesahkan itu adalah tanah NCR, baru kita keluarkan geran untuk individu. Ini yang terbaik di dunia. Tanah NCR untuk individu itu tiada tempoh tamat sampai bila-bila. Tidak dikenakan bayaran premium dan tidak dikenakan cukai tanah. Bagaimanapun, jika tanah itu dijual kepada orang lain, barulah kita kenakan bayaran. Jika tanah itu dijual kepada kaum yang sama tetapi bukan anggota keluarga dia, kita kenakan bayaran cuma RM1. Semua kos kerja menyukat itu percuma. Oleh sebab itulah mereka minta kita buat sukatan dalaman untuk membolehkan mereka mendapat geran individu.

Sejak bila jabatan melakukan kerja menyukat tanah NCR.

Kita sudah mula sejak 1966. Bagaimanapun, kita harus faham, seluruh Sarawak ada 1.5 juta hektar tanah NCR. Bukan mudah untuk membuat kerja ini. Setakat 31 Mac ini, untuk tujuan pertanian dan perumahan, sebanyak 194,616 surat hak milik tanah NCR sudah diberikan. Selain itu, sebanyak 295,438.38 hektar tanah sudah disukat dan dikeluarkan geran individu. Kita juga sudah menyukat 2,557 lot tanah di bawah Rizab Guna Sama Bumiputera. Tanah Rizab Guna Sama Bumiputera adalah tanah yang boleh diberikan kepada Bumiputera lain seperti Melayu dan Melanau. Ia dilakukan mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Sarawak.

Ada pihak tertentu menuduh kerajaan negeri merampas tanah NCR. Boleh jelaskan dakwaan itu.

Hari ini mereka cakap kita merampas tanah NCR. Kita perlu berhati-hati. Apabila dia cakap kita merampas tanah, kita mesti tanya dia, apa yang dimaksudkan sebagai merampas tanah NCR. Kita tidak pernah merampas tanah NCR. Kita tetap mengiktiraf tanah NCR. Kita tidak boleh mengambil tanah NCR begitu saja. Kita terpaksa mengambil tanah NCR hanya untuk melaksanakan projek kerajaan seperti hospital, sekolah, jambatan dan seumpamanya untuk kegunaan masyarakat awam. Kalau kita sahkan itu tanah NCR, maka kerajaan wajib bayar ganti rugi yang berpatutan berdasarkan nilai semasa pasaran tanah. Hal ini terkandung dalam Seksyen 13 Perlembagaan. Dalam Kanun Tanah Negeri Sarawak, Tanah NCR yang diambil untuk tujuan itu dilakukan mengikut Seksyen 47. Bagaimanapun, daripada 569,004 hektar tanah NCR yang ada geran, cuma 0.84 peratus yang kita ambil di bawah Seksyen 47. Tidak sampai satu peratus pun. Kita amat prihatin dalam hal ini. Kalau pemilik tanah setuju dengan pampasan itu, dia boleh terima. Kalau tidak setuju, dia ada pilihan untuk membawa kes itu ke mahkamah. Kita tidak boleh mempengaruhi mahkamah supaya menetapkan pampasan seperti kita mahu. Biar mahkamah yang menentukannya. Bagaimanapun, pemilik tanah harus faham bahawa ia membabitkan kos guaman. Kalau kos guaman itu lebih tinggi daripada pampasan yang ditetapkan oleh mahkamah, macam mana. Pemilik tanah ada hak untuk mencabar di mahkamah.

Adakah Jabatan Tanah dan Survei mengambil langkah tertentu untuk mempercepat kerja menyukat NCR.

Tanah NCR seluas 1.5 juta hektar itu tidak boleh disukat dalam sekelip mata. Ia memerlukan banyak tenaga kerja dan wang. Bagaimanapun, hasil daripada makmal mengenai Tanah NCR yang kita adakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyediakan peruntukan khusus untuk perkara ini mengikut Inisiatif Baru Tanah NCR. Pada 2010 sebanyak RM20 juta diberikan oleh kerajaan Pusat dan untuk tahun ini sebanyak RM30 juta. Dengan peruntukan ini, kita sudah sukat kawasan seluas 20,000 hektar di 28 kawasan bermula September lalu. Untuk tahun ini, kita berhasrat menyukat 234,000 hektar tanah NCR di 107 kawasan. Oleh itu, tuai rumah dan ketua kampung harus membantu kerajaan menyelesaikan masalah tanah NCR. Sepanjang tahun lalu, seramai 14,000 penduduk sudah mendapat nikmat geran tanah dan tahun ini kita menjangka 57,000 lagi akan mendapat nikmat itu dalam beberapa tahap berikutnya.

MINGGUAN MALAYSIA
3 APRIL 2011

ISU SOSIAL : MENUTUP BUKU MISKIN TEGAR

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Kisah isi rumah berpendapatan rendah dan miskin merupakan kisah lama yang semakin pudar dari ingatan kebanyakan rakyat Malaysia. Perangkaan sekitar 50 peratus rakyat miskin pada 1970 hampir lenyap pada 2009 dengan hanya 3.8 peratus penduduk negara ini masih dalam kategori miskin. Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) isi rumah berpendapatan rendah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjaya mencapai hampir semua sasaran untuk merapatkan jurang antara kaya dan miskin sepanjang 2010. Pada masa ini, definisi miskin tegar bergantung kepada pendapatan isi rumah iaitu kurang RM440 di Semenanjung, kurang RM540 di Sabah dan kurang RM520 di Sarawak. Golongan miskin pula berpendapatan di bawah RM750 di Semenanjung, bawah RM960 di Sabah dan bawah RM830 di Sarawak sementara mereka yang berpendapatan bawah RM2,000 dianggap sebagai berpendapatan rendah.

Sasaran cabang NKRA ini melibatkan empat perkara utama iaitu mengeluarkan kesemua 44,643 isi rumah dari kategori miskin tegar, mengeluarkan 40,000 isi rumah dari kategori miskin, melatih dan melahirkan 2,000 orang usahawan wanita serta menawarkan 44,146 rumah kos rendah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk dijual kepada penghuninya. Bagaimanapun, usaha turut ditumpukan ke arah mengembangkan potensi individu untuk memastikan golongan terbabit dapat berdikari dalam tempoh jangka panjang melalui prinsip 'bukan memberi ikan tetapi mengajar cara memancing'. Di bawah inisiatif untuk memupuk kemampuan berdikari, pihak kementerian telah melaksanakan bantuan sokongan untuk perumahan serta program bantuan kebajikan dan program Akhiri Zaman Miskin (1Azam).  1Azam merupakan inisiatif khusus dengan sasaran meningkatkan ekonomi isi rumah berpendapatan rendah dari kancah kemiskinan melalui keusahawanan (Azam Niaga), penggajian (Azam Kerja) serta aktiviti pertanian (Azam Tani) dan perkhidmatan (Azam Khidmat).

Pangkalan data eKasih pula dibentuk sebagai pusat data untuk mengenal pasti, meluluskan bantuan dan memantau perkembangan isi rumah berpendapatan rendah. Namun, berikutan masalah geografi serta kekangan masa dan sumber bantuan, terdapat sebahagian sasaran untuk 2010 tidak dapat dicapai sepenuhnya Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010 menyatakan cabang NKRA ini mencapai hampir kesemua sasarannya terutama sekali menghapuskan kemiskinan tegar. Selain itu, 15,868 isi rumah berjaya dikeluarkan dari kategori miskin, 2,000 usahawan wanita berjaya dilatih serta 35,095 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam di bawah DBKL ditawarkan untuk dijual kepada penghuni sepanjang 2010. Maklum balas Jawatankuasa Antara bangsa Penilaian Prestasi (IPR) untuk laporan NKRA ini turut memuji inisiatif kerajaan menghapuskan segera kemiskinan tegar dengan fokus kepada potensi individu dan bukan sekadar bantuan kewangan.

Ahli jawatankuasa tersebut yang juga Wakil Tetap IMF di Singapura, Ravi Balakrishnan turut mencadangkan kerajaan menimbang menggunakan amalan terbaik dari Bolivia yang terbukti berjaya menyediakan kewangan mikro kepada golongan miskin di luar bandar. Bagaimanapun, ahli jawatankuasa yang juga pengasas Transparency International, Michael Hershman berpendapat kelangsungan program yang dijalankan mungkin semakin mencabar kelak dan kerajaan perlu memastikan mereka yang telah dibantu tidak kembali berada di bawah garis kemiskinan. Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Amir Baharuddin berkongsi pandangan sama dan merasakan usaha untuk membasmi kemiskinan bukannya sesuatu yang mudah tanpa keazaman, kecekalan, pengorbanan serta keikhlasan berkerja secara sukarela.

"Penurunan kadar kemiskinan yang dicapai sudah cukup bagus tetapi kerajaan perlu meneruskan dan memantau usaha ini supaya tidak terhenti setengah jalan. "Langkah menumpukan perhatian kepada mengembangkan potensi individu juga satu tindakan bijak kerana bantuan kewangan sahaja tidak elok untuk jangka panjang," tegasnya. Beliau juga berpendapat golongan miskin tegar yang baru dikesan selepas ini lebih mudah dibantu kerana bilangannya yang lebih kecil dan bersetuju tumpuan seterusnya adalah untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin pula. Untuk 2011, beberapa sasaran baru telah ditetapkan untuk dicapai menjelang 31 Disember ini termasuk mengurangkan bilangan 57,793 peserta 1Azam yang mendaftar dengan eKasih bagi kategori miskin. Selain itu, permohonan eKasih yang tertunggak sepanjang 2010 akan disahkan dan didaftar menjelang 31 Mac ini atau menjelang Disember 2011 bagi kes bermula Januari 2011 dengan tempoh pengesahan tidak melebihi 14 hari untuk Semenanjung atau 28 hari bagi Sabah dan Sarawak.

Seramai 1,000 usahawan wanita juga akan dilahirkan sepanjang 2011 di samping usaha meningkatkan pemilikan 4,965 unit rumah di kalangan isi rumah miskin. Untuk memastikan inisiatif berkenaan berjaya, kerajaan akan menyediakan lebih banyak rumah kos rendah, skim kredit-mikro, meningkatkan bilangan klinik dan menambah bantuan kewangan untuk golongan yang memerlukan anggota tiruan (prostetik). Menjelang 2012, bantuan tambahan seperti hostel untuk pelajar sekolah pedalaman serta bantuan untuk rawatan dan pengangkutan ke pusat dialisis juga akan disediakan di samping polisi gaji minimum yang masih dalam perbincangan. Dengan komitmen dan inisiatif yang ditunjukkan semua pihak, sasaran berikutnya NKRA ini tidak lagi terikat sekadar menutup buku kemiskinan malahan mungkin mampu menutup juga buku isi rumah berpendapatan rendah serta sebahagian besar yang berpendapatan sederhana. Setinggi mana sekalipun sasaran itu akan bergantung kepada kelangsungan program pembasmian kemiskinan serta GTP yang didokong semua kakitangan kementerian dan agensi kerajaan yang perlu bekerjasama untuk negara mencapai wawasan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

UTUSAN MALAYSIA
30 MAC 2011