SETIAP kali pilihan raya diadakan di Sarawak, isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sering menjadi isu, malah dijadikan senjata oleh pembangkang untuk menyerang Barisan Nasional (BN) di negeri itu. Tanah berkenaan didakwa oleh pembangkang dirampas oleh kerajaan negeri Sarawak untuk diserahkan kepada syarikat gergasi yang menyebabkan anggota masyarakat Bumiputera, terutama di luar bandar berputih mata. Bagi menjelaskan mengenai situasi sebenar isu berkenaan, wartawan Berita Minggu, HASSAN OMAR dan S ANAND KUMAR menemu ramah Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Sajeli Kipli, di Kuching, baru-baru ini.
BOLEH terangkan apakah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf tanah NCR. Tanah ini wujud mengikut adat pelbagai etnik. Sebelum Rajah Brooke datang ke Sarawak, tanah NCR sudah wujud. Sebelum penjajahan Inggeris, masyarakat Iban, Bidayuh dan peribumi lain sudah meneroka tanah. Mereka menebang hutan, membuka tanah pertanian dan penempatan. Adat mereka menyatakan bahawa apabila pokok di satu kawasan ditebang oleh keluarga A, maka keluarga B tidak boleh ganggu. Pastinya dia akan menurunkannya kepada anak dia. Bagaimanapun, ia bergantung kepada adat masing-masing. Kebanyakan masyarakat Iban meneroka tanah di hutan. Orang Melanau meneroka tanah di tepi pantai. Bagaimanapun, dia tidak boleh mengatakan laut itu pun kawasan NCR dia. Bayangkan kalau dibenarkan semua orang akan menuntut laut sebagai hak dia.
Boleh jelaskan langkah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi menentukan satu-satu kawasan itu berstatus NCR atau sebaliknya.
Tanah NCR sudah wujud sejak sebelum Brooke lagi. Itu kita tidak pertikaikan. Setiap permohonan penduduk untuk mendapatkan status tanah NCR, jabatan akan membuat kerja mengukur atau menyukat. Satu daripada tujuannya adalah untuk mengelak pertelingkahan di antara suku kaum. Kerajaan sentiasa mengiktiraf tanah NCR tetapi ada orang kata kerajaan tidak iktiraf tanah NCR. Bagaimanapun, orang yang mahukan status itu harus membuktikan dia menebang pokok hutan, membuka kawasan pertanian atau penempatan dan menjaga penyelenggaraan kawasan itu. Contohnya, dia membuka kawasan seluas satu hektar di kampungnya dan kemudian membuka sedikit tanah di kawasan lain. Dia mendakwa memiliki keseluruhan tanah itu. Kerajaan kata tidak boleh begitu. Mesti buktikan kawasan itu dijaga penyelenggaraannya.
Kita buat kerja menyukat dengan dua kaedah. Yang pertama, kita ukur keliling kawasan kampung itu. Itu dinamakan sebagai ukuran perimeter. Selepas kita mengesahkan itu sebagai tanah NCR, kita wartakan tanah itu sebagai tanah NCR bagi komuniti berkenaan. Yang satu lagi ialah kita buat sukatan dalaman. Hanya selepas mengesahkan itu adalah tanah NCR, baru kita keluarkan geran untuk individu. Ini yang terbaik di dunia. Tanah NCR untuk individu itu tiada tempoh tamat sampai bila-bila. Tidak dikenakan bayaran premium dan tidak dikenakan cukai tanah. Bagaimanapun, jika tanah itu dijual kepada orang lain, barulah kita kenakan bayaran. Jika tanah itu dijual kepada kaum yang sama tetapi bukan anggota keluarga dia, kita kenakan bayaran cuma RM1. Semua kos kerja menyukat itu percuma. Oleh sebab itulah mereka minta kita buat sukatan dalaman untuk membolehkan mereka mendapat geran individu.
Sejak bila jabatan melakukan kerja menyukat tanah NCR.
Kita sudah mula sejak 1966. Bagaimanapun, kita harus faham, seluruh Sarawak ada 1.5 juta hektar tanah NCR. Bukan mudah untuk membuat kerja ini. Setakat 31 Mac ini, untuk tujuan pertanian dan perumahan, sebanyak 194,616 surat hak milik tanah NCR sudah diberikan. Selain itu, sebanyak 295,438.38 hektar tanah sudah disukat dan dikeluarkan geran individu. Kita juga sudah menyukat 2,557 lot tanah di bawah Rizab Guna Sama Bumiputera. Tanah Rizab Guna Sama Bumiputera adalah tanah yang boleh diberikan kepada Bumiputera lain seperti Melayu dan Melanau. Ia dilakukan mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Sarawak.
Ada pihak tertentu menuduh kerajaan negeri merampas tanah NCR. Boleh jelaskan dakwaan itu.
Hari ini mereka cakap kita merampas tanah NCR. Kita perlu berhati-hati. Apabila dia cakap kita merampas tanah, kita mesti tanya dia, apa yang dimaksudkan sebagai merampas tanah NCR. Kita tidak pernah merampas tanah NCR. Kita tetap mengiktiraf tanah NCR. Kita tidak boleh mengambil tanah NCR begitu saja. Kita terpaksa mengambil tanah NCR hanya untuk melaksanakan projek kerajaan seperti hospital, sekolah, jambatan dan seumpamanya untuk kegunaan masyarakat awam. Kalau kita sahkan itu tanah NCR, maka kerajaan wajib bayar ganti rugi yang berpatutan berdasarkan nilai semasa pasaran tanah. Hal ini terkandung dalam Seksyen 13 Perlembagaan. Dalam Kanun Tanah Negeri Sarawak, Tanah NCR yang diambil untuk tujuan itu dilakukan mengikut Seksyen 47. Bagaimanapun, daripada 569,004 hektar tanah NCR yang ada geran, cuma 0.84 peratus yang kita ambil di bawah Seksyen 47. Tidak sampai satu peratus pun. Kita amat prihatin dalam hal ini. Kalau pemilik tanah setuju dengan pampasan itu, dia boleh terima. Kalau tidak setuju, dia ada pilihan untuk membawa kes itu ke mahkamah. Kita tidak boleh mempengaruhi mahkamah supaya menetapkan pampasan seperti kita mahu. Biar mahkamah yang menentukannya. Bagaimanapun, pemilik tanah harus faham bahawa ia membabitkan kos guaman. Kalau kos guaman itu lebih tinggi daripada pampasan yang ditetapkan oleh mahkamah, macam mana. Pemilik tanah ada hak untuk mencabar di mahkamah.
Adakah Jabatan Tanah dan Survei mengambil langkah tertentu untuk mempercepat kerja menyukat NCR.
Tanah NCR seluas 1.5 juta hektar itu tidak boleh disukat dalam sekelip mata. Ia memerlukan banyak tenaga kerja dan wang. Bagaimanapun, hasil daripada makmal mengenai Tanah NCR yang kita adakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyediakan peruntukan khusus untuk perkara ini mengikut Inisiatif Baru Tanah NCR. Pada 2010 sebanyak RM20 juta diberikan oleh kerajaan Pusat dan untuk tahun ini sebanyak RM30 juta. Dengan peruntukan ini, kita sudah sukat kawasan seluas 20,000 hektar di 28 kawasan bermula September lalu. Untuk tahun ini, kita berhasrat menyukat 234,000 hektar tanah NCR di 107 kawasan. Oleh itu, tuai rumah dan ketua kampung harus membantu kerajaan menyelesaikan masalah tanah NCR. Sepanjang tahun lalu, seramai 14,000 penduduk sudah mendapat nikmat geran tanah dan tahun ini kita menjangka 57,000 lagi akan mendapat nikmat itu dalam beberapa tahap berikutnya.
MINGGUAN MALAYSIA
3 APRIL 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan