25 Mac 2011

ISU PERGURUAN : USAH CEPAT BUAT ANDAIAN?


Barangkali, imej sistem pendidikan negara kian tercalar apabila pelbagai insiden memalukan dan memualkan sering terpampang di media massa. Dulu salah laku pelajar menjadi tajuk berita, kini guru pula seolah-olah mengambil tempat dengan kesalahan dan perlakuan tidak masuk akal. Lebih memalukan apabila golongan dihormati dan disanjung itu terbabit pula dengan perbuatan mencemarkan maruah. Pastinya senario itu mengundang kemusykilan masyarakat, apakah yang sedang melanda institusi pendidikan negara hari ini hingga golongan guru hilang pertimbangan? Adakah perlakuan itu disebabkan tekanan kerja yang semakin bertambah hingga mereka 'terlanjur' perbuatan? Apakah mereka sememangnya 'gatal' dan mengambil kesempatan atau masyarakat hanya memperbesar-besarkan hal kecil yang boleh ditangani tanpa pembabitan orang luar?

Kaunselor pakar, perunding dan pakar motivasi, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata jangan terburu-buru membuat andaian kepada guru bermasalah tanpa menimbangkan kemungkinan dan faktor hingga tercetusnya insiden. Menurutnya, sikap masyarakat yang mudah mengambil tindakan dan melemparkan pandangan negatif hanya memburukkan keadaan selain menimbulkan ketegangan hingga menjejaskan maruah atau masa depan guru terbabit. "Belum tentu mereka bersalah biarpun tindakan sudah diambil. Inilah sikap buruk masyarakat kita yang mudah sangat meletakkan kesalahan tanpa usul periksa sekali gus mencalarkan nama baik sekolah, pelajar serta peribadi individu. "Tindakan terburu-buru tidak profesional dalam menangani masalah malah menjadikannya sebagai tindakan pasif bagi individu lain.

Justeru sebelum mengambil keputusan, penilaian menyeluruh perlu dilakukan supaya pihak lain tidak teraniaya," katanya. Sejak akhir-akhir ini, media massa melaporkan masalah perlakuan guru yang dianggap bermasalah dan tidak sesuai dengan norma masyarakat hingga mencetuskan kebimbangan semua pihak.  Antaranya perlakuan guru yang suka menyentuh fizikal pelajar berlainan gender dengan menggunakan 'hukuman' sebagai alasan menghalalkan perbuatan. Ada juga menyentuh dengan alasan kasih sayang biarpun tidak perlu. Beliau berkata bagi mengelakkan kekeliruan, sama ada pelajar atau guru perlu tahu menggunakan hak masing-masing bukan menyalahgunakannya bagi tujuan tertentu. "Selalunya insiden berlaku kerana pelajar berasakan hak peribadi dicabuli sementara guru beranggapan itu hak mereka untuk mendisiplinkan pelajar. Bila wujud kekeliruan, sudah tentu tercetusnya masalah.

"Sewajarnya kedua-dua pihak tahu batas-batas boleh digunakan bagi mengelakkan kontroversi. Sudah termaktub hanya atas sebab tertentu saja seseorang itu boleh disentuh, contohnya atas tujuan perubatan atau rawatan oleh mereka yang bertauliah seperti doktor.  "Jika semua pihak jelas mengenainya, sudah pasti tidak timbul isu begini. Sangat malang apabila guru dan pelajar terpaksa bertelingkah atau 'berperang' hanya kerana perkara boleh dielakkan," katanya. Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada guru suka mengambil kesempatan namun menganggapnya ia hanya kes terpencil. Guru terbabit katanya perlu mendapatkan rawatan psikologi bagi mengesan masalah supaya tidak bertambah kronik. "Tidak dinafikan, ada guru suka menyentuh pelajar dan ini memang salah. Guru ini sebenarnya mungkin mengalami masalah emosi namun tidak mampu dikesan dengan mata kasar dan tekanan itu diterjemahkan dengan perlakuan.

"Guru berkenaan tidak rasa bersalah namun pelajar pula menjadi mangsa. Jika ini berlaku, pihak sekolah perlu mengambil tindakan tertentu supaya keadaan tidak bertambah melarat. "Namun sebaiknya, biarlah hanya mereka yang terbabit saja mengetahui perkara ini supaya tidak memalukan mana - mana pihak. Yang dikesali apabila guru bermasalah, ia seperti diheboh-hebohkan hingga menjadi isu nasional sekali gus menyukarkan usaha sekolah menanganinya," katanya. Ditanya mengenai kaedah terbaik, beliau berkata sama ada guru, pelajar mahupun sekolah perlu menjadi erat dan saling menyayangi selain semua pihak perlu merendahkan ego masing -masing. Menurutnya, pertikaian yang berlaku hari ini disebabkan tiadanya elemen positif seperti kasih sayang, menghormati dan menghargai di kalangan warga sekolah hingga mencetuskan situasi 'hanya kau-aku'.

"Apabila elemen positif tidak dimasukkan dalam perhubungan, sudah tentu mereka semakin renggang. Guru hanya menjalankan tanggungjawabnya mengajar, pelajar pula menerima sementara sekolah asyik berkira mengenai pencapaian kecemerlangan hingga terlupa keperluan kasih sayang. "Ini menjadikan setiap golongan hanya tertumpu pada komuniti tertentu saja sedangkan sekolah boleh diibaratkan sebagai keluarga besar yang boleh berkongsi susah senang. Jalinan kemesraan dan kasih sayang perlu disemai mengikut batas ditetapkan," katanya. "Pelajar juga perlu tahu status dan pandai menjaga diri. Jika betul guru bersalah dan perlu diambil tindakan, lakukanlah mengikut pertimbangan akal bukan emosi semata-mata. Semua pihak ada hak yang perlu dipertahankan," katanya.


Oleh Ruhaiza Rusmin
HARIAN METRO

ISU UMUM : KERJASAMA ASEAN TIDAK SEKUKUH KESATUAN EROPAH

Oleh Dr Zaini Ujang
BERITA HARIAN
25 MAC 2011


Dalam konteks serantau di kalangan negara Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN), kerjasama ilmiah masih pada tahap lama. Setiap negara khususnya pada peringkat kerajaan dan institusi ilmu mempunyai sebab untuk bersikap berhati-hati dengan apa saja inisiatif yang dikemukakan.  Tidak salah jika disebut bahawa kerjasama kesarjanaan masih belum menyerlah, khususnya membabitkan strategi inovasi serantau dan mekanisme pembiayaan. Hal ini jauh bezanya berbanding dengan anggota Kesatuan Eropah (EU) menerusi kerjasama akademik, penyelidikan dan jaringan kesarjanaan. Malah, pada hemat saya, beberapa negara di rantau Asia Tenggara lebih akrab dan biasa dengan kerangka Kesatuan Eropah. Secara peribadi, saya terbabit dalam satu program penyelidikan membabitkan tujuh universiti di Eropah, termasuk Oxford dan Wageningen, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Teknologi Surabaya (ITS), Indonesia sejak 2004.

Apabila pembiayaan kewangan Kesatuan Eropah tamat pada akhir 2009, kami menghadapi cabaran untuk mendapat pembiayaan bagi melanjutkan program berkenaan pada peringkat serantau. Agak aneh tetapi itu hakikatnya, bahawa jaringan ilmiah di Asia Tenggara ditaja Kesatuan Eropah. Hal ini berlaku kerana kerangka lama masih tebal dalam minda kita bahawa persaingan dengan negara jiran perlu diperhebatkan. Kita juga masih beranggapan bahawa jiran perlu dilayani secara berhemah tetapi jangan sampai terlalu pasrah sehingga segalanya dimaklumi jiran. Jika ada kepakaran atau pengetahuan maka kita pendamkan dan jika perlu hanya berkongsi dengan pihak tertentu yang pasti bukan di kalangan jiran tetangga. Hal ini lebih ketara dari segi pengajian strategik, pembangunan ekonomi dan pertumbuhan teknologi termaju. Realitinya persekitaran dunia sudah jauh berubah. Dengan adanya globalisasi, maka peranan kita tidak terbatas kepada sempadan negara saja.

Kita perlu meneroka peluang di serata dunia, terutamanya negara jiran. Dengan adanya konsep inovasi terbuka maka sumber ilmu dan kepakaran perlu diperoleh di segala peringkat dari seluruh dimensi, terutama di kalangan jiran tetangga. Itu kekuatan negara maju khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah yang ketika ini adalah wadah paling subur dari segi inovasi dan perkembangan ilmu. Hal ini diperteguhkan menerusi konsep memanfaatkan jiran adalah satu keutamaan paling mudah dilaksanakan. Ini mendorong UTM dan beberapa universiti awam tempatan mengusulkan penubuhan Forum Cendikiawan Malaysia-Indonesia pada akhir tahun lalu. Forum yang mendapat dukungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah susulan beberapa pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono. Menerusi forum itu, kita berharap lebih banyak inisiatif serantau dilaksanakan sekurang-kurangnya antara Malaysia dan Indonesia terlebih dulu.

Matlamatnya ialah membentuk sinergi di kalangan sarjana, penyelidik dan pemikir di rantau ini sebagaimana kerangka yang wujud di negara EU. Selain bersama melaksana misi kesarjanaan, kita juga berharap hubungan setiakawan dan jaringan produktif dapat diperteguhkan dalam konteks keamanan, kemajuan dan kelestarian serantau. Kemuncaknya kita berharap lebih banyak penjanaan nilai, inovasi, penemuan ilmiah, harta intelek, gagasan besar dan penghayatan ilmu pada tahap tertinggi disuburkan di rantau ASEAN sebagaimana Lembah Silikon atau persisiran Charles River di Boston dalam konteks model ekonomi baru. Usaha ini pada tahap tertentu memang sudah lama berjalan antara Malaysia dan Indonesia. Malangnya, usaha ini tidak dinukilkan dalam konteks gagasan serantau dan kenegaraan, sebaliknya terhad kepada beberapa bidang seperti persuratan dan sastera menerusi Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dan kerabatnya di Indonesia.

Ketika ini lebih 1,000 mahasiswa Indonesia belajar peringkat ijazah lanjutan di beberapa universiti awam menerusi dana penyelidikan ditaja kerajaan Malaysia, sama ada geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi atau geran Universiti Penyelidikan. Pada masa sama, ribuan mahasiswa Indonesia mengunjungi universiti di Malaysia setiap tahun dalam rangka program pertukaran akademik. Dalam konteks UTM misalnya, Indonesia adalah destinasi utama sejak 2009 menerusi Global Outreach Program (GOP). Pada tahun ini saja, daripada 5,000 peserta, lebih 1,500 mahasiswa UTM dijangka mengunjungi pelbagai universiti di Indonesia.  Di kalangan ahli akademik, usaha sama dalam program ijazah kedoktoran (PhD) bermula pada 2010 lagi.

Ini membabitkan mahasiswa dari dua negara menerusi penyeliaan bersama oleh sekumpulan profesor dari dua universiti di Indonesia dan Malaysia. Ini bermakna pengalaman mengendalikan penyelidikan seorang mahasiswa PhD dapat dikongsi bersama oleh dua institusi ilmu dari dua negara dari segi pengalaman menyelia, melaksana kajian, penulisan ilmiah dalam jurnal berimpak tinggi dan reputasi. Namun, tanpa hebahan barangkali perkembangan positif ini akan luput dalam lipatan sejarah, atau tidak dihargai. Maka itu sebabnya pada majlis Konvokesyen ke-46 pada 26 Mac ini, Senat UTM bersetuju untuk menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kepada Menteri Pendidikan Indonesia (sejak 2009), Bapak Prof Dr Ir Muhammad Nuh.

24 Mac 2011

ISU ALAM SEKITAR : DUNIA SAMPAI KE PENGHUJUNGNYA?

Oleh Hafizahril Hamid


Tsunami yang berasal dari perkataan Jepun bermaksud "ombak gergasi" sudah cukup untuk menggerunkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan kemampuannya untuk memusnahkan apa saja yang berada di hadapannya. Sehinggakan manusia semakin terfikir apakah fenomena tsunami yang melanda dunia, yang dilihat lebih kerap adalah hanya satu lagi fitrah alam atau apakah ia angkara petanda kemarahan alam terhadap kerakusan manusia itu sendiri? Melihat kepada tragedi tsunami yang melanda Jepun pada tanggal 11 Mac lepas memang mengerikan namun ia bukanlah sesuatu yang baru di negara matahari terbit itu. Akibatnya ramai yang mula beranggapan apakah peristiwa tsunami sebegini membawa petanda apakah dunia kini semakin sampai ke penghujungnya. Dunia sudah dilanda dua kejadian tsunami besar dalam tahun millennium baru dan semakin ramai yang terpengaruh dengan ramalan kiamat dan kemusnahan total pada 2012. Melihat kepada telahan umum ramai yang beranggapan tahun 2012 adalah tahun di mana satu bencana besar akan berlaku malah ada yang begitu yakin kiamat akan melanda manusia pada tahun tersebut.
Kiamat 2012

Apatah lagi sudah terdapat filem mengenai bagaimana dunia akan menjadi alam yang berbeza akibat kemusnahan dunia yang berlaku dalam filem 2012. Dalam filem berkenaan kalendar kaum Maya yang berusia 5,125 akan tamat pada 21 Disember 2012. Kalendar Maya kuno dikatakan amat tepat terutama membabitkan perubahan pada planet. Tamadun ini yang pernah wujud kira-kira 200 tahun sebelum masihi memiliki ilmu astronomi yang maju dan mereka berjaya mengesan pergerakan matahari dan planet sejak beberapa ribu tahun lalu. Tamadun ini mempunyai 22 kalendar yang merangkumi kitaran masa cakerawala dan sistem solar. Pada tarikh 21 Disember 2012 Bumi dikatakan akan berada sebaris dengan pusat Galaksi Bima Sakti buat kali pertama sejak 25,800 tahun menyebabkan polar magnet Bumi berganjak sekali gus mencetuskan gempa bumi, banjir dan letupan gunung berapi.

Nostradamus

Begitu juga bagi peminat Nostradamus bilamana mereka telah membuat andaian akan berlaku satu peristiwa besar pada 2012, berdasarkan ramalan di bawah;

"At the place where HIERON has his ship built,
There will be such a great sudden flood,
That one will not have a place nor land to fall upon,
The waters mount to the Olympic Fesulan."

Nostradamus mendakwa planet-planet di angkasa lepas akan berantakan yang akan mengakibatkan hancurnya kehidupan. Namun tiada sebarang tarikh khusus yang dinyatakan cumanya pengikut Nostradamus membuat andaian berdasarkan pemahaman mereka. Keadaan kini semakin kalut apabila dikatakan sebuah planet bernama Nibiru atau Planet X oleh NASA sedang melengkapkan putaran orbitnya yang berlaku setiap 3600 tahun. Planet ini digambarkan 100 kali ganda besar berbanding bumi atau sama besar dengan planet Musytari.

Planet Nibiru

Adalah dijangkakan pada 23 Disember 2012 planet ini akan memberi kesan paling dahsyat kepada Bumi apabila ia menceroboh sistem solar Bumi. Apabila ini berlaku kesan paling buruk adalah ia akan memutarkan kedudukan kutub-kutub sekarang kepada terbalik (polar shifting). Bagi mereka yang percaya ia dikaitkan dengan peristiwa banjir besar zaman Nabi Nuh alaihissalam dahulu. Bagaimanapun planet ini dikatakan tidak akan menghentam bumi tapi tarikan gravitinya yang sangat kuat akan mengganggu bumi. Planet ini dikatakan hanya akan lalu di antara bumi dan matahari, dimana kecerahannya muka buminya berwarna kemerah-merahan seperti matahari. Maka ada yang beranggapan ia sebagai antara tanda besar kiamat dimana akan kelihatan objek merah di langit. 

Planet Nibiru dipercayai mempunyai muka bumi yang tandus, senantiasa berlaku letusan gunung berapi, gempa bumi dan bencana alam lain dan ia mampu memudaratkan hidupan-hidupan yang menghampirinya. Selain itu Planet Nibiru dipercayai berkuasa magnetik dan boleh menganggu kestabilan geografi bumi. Semenangnya banyak kajian mengenai planet ini telah dijalankan namun kewujudannya masih menjadi misteri. Ia sukar dikesan walaupun melalui alat teropong planet, kerana kedudukannya yang berada jauh dari Pluto. Malahan pada tamadun Mesopotamia dan pada era kegemilangan Kota Babylon yang diperintah oleh Raja Nebuchadnezzar, Planet Nibiru juga dikenali sebagai Planet Tiamat, maka adakah ia juga satu sebutan bagi kiamat?

Kod rahsia

Selain itu teori akan berlaku kiamat pada 2012 diperkuatkan lagi dengan penemuan kod rahsia dalam Kitab Injil Perjanjian Lama pada tahun 1994 oleh sekumpulan penyelidik. Menurut mereka, bumi akan dihentam asteroid sehingga menyebabkan kemusnahan besar-besaran. Bagi seorang penulis, Fahd Amir al Ahmadi mengatakan bahawa banyak ilmuwan yang bersepakat dengan suku Maya bahawa satu kejadian besar akan berlaku pada tahun 2012 namun masih belum diketahui jenis bahananya. Di Asia, hal yang sama telah ditunjukkan oleh berbagai buku yang ditulis oleh para astrologi China dari Dinasti Chang sejak tahun 1766, akan berlaku bencana besar pada 3778 M (yang bertepatan dengan tahun 2012). 

Seorang ahli astronomi Jepun, Haido Itakawa pula berkata pada tahun 1980 bahwa planet-planet matahari akan tersusun di dalam satu garis di belakang matahari, dan ini kemudiannya akan mengakibatkan kejadian kemusnahan di angkasa raya sekaligus menghentikan kehidupan di atas muka bumi juga pada tahun 2012. Itu adalah antara sebahagian tilikan dan kepercayaan sesetengah manusia bahawa kejadian tsunami yang semakin hebat melanda dunia adalah antara petanda dunia sudah semakin sampai ke penghujung. Sesungguhnya ramalan mengenai kiamat tahun 2012 itu disandarkan pada penemuan beberapa ahli astrologi kuno serta para ahli astronomi moden. Namun bagi kita sebagai umat Islam seseorang wajib beriman bahawa hari kiamat pasti datang dan berlaku. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsianya.

Islam

Namun begitu soal kiamat merupakan hal ghaib yang harus dipercayai oleh setiap Muslim namun tarikh sebenar hanya diketahui oleh Allah SWT seperti firmannya dalam surah al A'raf: 187, maksudnya :

"Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: "Bilakah terjadinya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba".

Malah tokoh Islam, Syeikh Yusuf al Qaradhawi pernah ditanya apakah dunia akan hancur pada tahun 2012 ? Beliau menjawab bahawa ini termasuk pembicaraan tentang sesuatu yang akan datang, menerobos tabir masa yang akan datang, menyingkap apa-apa yang mungkin terjadi pada anda besok atau lusa, dan itu semua tidaklah ada yang mengetahuinya kecuali Allah SWT.

Tsunami Jepun

Sehingga kini berdasarkan rekod, Jepun adalah negara paling banyak dilanda tsunami dan sememangnya ia sudah sangat sinonim dengannya. Dalam jangkamasa lebih 1,300 tahun, sebanyak 195 kejadian tsunami telah melanda Jepun dan secara puratanya kejadian ini berlaku sekali dalam 6.73 tahun. Malah, gempa bumi kuat berukuran 8.9 skala Richter yang juga kelima terkuat di dunia telah menyebabkan kedudukan Pulau Honshu berganjak sehingga 2.4 meter dengan pembentukan rekahan di dasar laut negara itu sepanjang beratus-ratus kilometer. Hingga kini jumlah korban sebenar masih belum boleh dipastikan kerana angkanya terus meningkat dari saban hari. Dijangka jumlah sebenar mungkin melebihi 10,000 orang. Mengenali rakyat Jepun nyata mereka dikenali dengan semangat tinggi untuk bangkit seperti kebangkitan yang ditunjukkan mereka selepas pengeboman Nagasaki dan Hiroshima. Namun diharapkan selepas tertinggal di belakang China pada nombor tiga sebagai negara ekonomi terbesar dunia, mungkin peristiwa tsunami ini akan memberi sinar baru yang lebih baik dan bermakna dalam kehidupan .

ISU EKONOMI : TRANSFORMASI URUS TANAH WAKAF SECARA EFISIEN MAJUKAN SEKTOR PERTANIAN

Oleh Amirul Afif Muhamat
BERITA HARIAN
24 MAC 2011


Kedah sangat sinonim dengan gelaran ‘Periuk Nasi Malaysia’ kerana kesuburan tanahnya untuk aktiviti pertanian terutama sawah padi. Transformasi ekonomi negara daripada negara berasaskan pertanian kepada perindustrian sedikit sebanyak memberi impak kepada proses pertanian di Kedah.  Namun, kebergantungan Kedah kepada pertanian masih tinggi jika ditinjau daripada Keluaran Negeri Kasar (KNK) untuk tiga tahun berturut-turut dari 2009, 2008 dan 2007, masing-masing berjumlah RM1.8 bilion, RM1.8 bilion dan RM1.73 bilion iaitu sumber ekonomi ketiga terpenting selepas sektor perkhidmatan dan perkilangan. Krisis makanan dunia yang dirasai sekitar 2008 memberi kesan kepada banyak negara tidak terkecuali Malaysia. Di atas kesedaran itu, kerajaan merangka Dasar Agro Makanan bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan yang mencukupi buat negara.

Walaupun perhatian yang lebih sudah mula diberikan kepada sektor pertanian dan diterjemahkan dalam peningkatan eksport bahan makanan ke luar negara, kesan positif ini tidak dapat memberi kesan rantaian yang lebih jelas kerana import bahan makanan ke negara ini meningkat lebih tinggi daripada eksport.  Pelbagai pihak mengetengahkan beberapa faktor yang menjadi halangan kepada aktiviti pertanian iaitu kekurangan modal, ketidaksediaan terhadap penerimaan teknologi moden, kekurangan tanah dan kurangnya tenaga manusia bagi aktiviti ini. Di sinilah yang perlu dirungkai permasalahan yang dihadapi sektor pertanian ini, terutama berkaitan tanah walaupun Malaysia pada hakikatnya memiliki sumber tanah yang luas berbanding jiran terdekatnya, Singapura.  Namun, pengurusan tanah yang efisien diperlukan untuk memberi nafas baru kepada sektor pertanian ini dan di sini letaknya keupayaan tanah wakaf untuk menjadikan pertanian sebagai aktiviti ekonomi yang menguntungkan.

Secara umumnya, tanah wakaf boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu tanah wakaf khusus dan tanah wakaf umum. Tanah wakaf umum ialah apabila pewakaf menyerahkan pemilikan tanah kepada majlis agama negeri tanpa sebarang syarat untuk membangunkan tanah berkenaan, manakala tanah wakaf khas disertakan syarat tertentu seperti tanah diwakafkan untuk kawasan perkuburan, pembinaan masjid atau sekolah. Difahamkan hampir 20,735.61 ekar tanah wakaf di Malaysia dan kebanyakan terbiar tanpa sebarang aktiviti ekonomi dijalankan. Beberapa lokasi tanah wakaf yang strategik seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan sesetengah tempat di Johor Bahru memiliki nilai yang tinggi. Ini secara tidak langsung memberi makna yang majoriti tanah wakaf di negara ini memiliki nilai yang rendah kerana terletak di tempat terpencil atau di kawasan kampung yang kurang nilai komersialnya.

Sebagai contoh, Kedah memiliki kawasan tanah wakaf seluas 1,244.88 hektar yang mana lebih 80 peratus terletak di kawasan yang jauh dari bandar Alor Setar (maklumat terkini daripada portal Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji). Justeru, penelitian yang lebih jelas diperlukan untuk setiap lokaliti yang memiliki tanah wakaf bagi menilai potensi tanah untuk pertanian sekiranya tanah wakaf itu terbiar tanpa sebarang aktiviti sama ada aktiviti berdasarkan amanah si pewakaf atau pun inisiatif pihak jabatan agama.  Kesan pembangunan tanah wakaf bagi kegiatan pertanian akan memberi impak positif dalam bentuk pulangan wang bagi jabatan agama, pekerjaan kepada penduduk tempatan seterusnya hasil pertanian bagi masyarakat sekitar. Justeru, adalah jelas bahawa transformasi tanah wakaf diperlukan bagi memangkin aktiviti pertanian di negara ini.

Penulis ialah pensyarah Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dan boleh dihubungi melalui e-mel: amirulafif@salam.uitm.edu.my

ISU UMUM : GANJARAN BUAT PENJAWAT AWAM


Penjawat  awam adalah nadi kepada pentadbiran sesebuah kerajaan. Kakitangan awam pada setiap peringkat adalah pelaksana kepada pelbagai dasar yang dirangka kerajaan dan kepada mereka terletak keupayaan, keberkesanan dan kecekapan sesebuah sistem pemerintahan. Kejayaan atau kegagalan juga terletak kepada sejauh mana peringkat tertinggi penjawat awam memutuskan sesuatu dasar dan dapat pula dilaksanakan dengan jayanya pada peringkat pertengahan dan bawahan. Penjawat awam membentuk satu kumpulan tenaga kerja yang besar dan di Malaysia saja, ia meliputi kira-kira 1.3 juta kakitangan. Oleh itu, bagi memastikan penjawat awam sentiasa cekap, pelbagai latihan dan kursus diberikan dari semasa ke semasa. Pada masa sama, kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan, ganjaran dan insentif tertentu kepada penjawat awam bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin.

Antaranya ganjaran persaraan, skim perubatan dan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pinjaman perumahan serta pelbagai elaun dan insentif lain. Ini semua bagi merangsang semangat, keupayaan dan kebijaksanaan penjawat awam dalam membantu kerajaan mengurus dan mentadbir negara. Justeru, kita melihat pengumuman kerajaan untuk menarik balik penangguhan bayaran sebahagian ganjaran berkaitan persaraan pilihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Februari tahun lalu adalah wajar dan tepat pada masa. Berikutan itu, penjawat awam yang memilih bersara pilihan akan menerima bayaran sekali gus atau 100 peratus. Perkara itu diumumkan Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, kelmarin. Kenyataan Perdana Menteri ini jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam. Kita percaya ramai penjawat awam gembira dengan pengumuman Perdana Menteri itu. Kita juga percaya ketika penangguhan itu dibuat, ramai juga yang kecewa kerana tidak dapat menikmati wang persaraan mereka sepenuhnya berikutan keputusan itu. 

Apapun kita yakin keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti kedudukan kewangan negara dan pada masa sama kerajaan turut mengambil kira komitmen penjawat awam yang berjaya membantu memulihkan negara daripada kesan krisis ekonomi dunia. Kita percaya kerajaan akan mengumumkan banyak lagi berita gembira buat penjawat awam bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin, begitu juga dengan keluarga mereka yang turut memberi sumbangan secara tidak langsung terhadap kejayaan negara. Berikutan itu, kerajaan juga bersetuju supaya semua penjawat awam yang mengambil skim KWSP yang bersara wajib atau bersara mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239, termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan secara percuma. Apapun, kita amat berharap penjawat awam sentiasa berusaha meningkatkan komitmen mereka untuk membantu kerajaan ketika senang mahupun susah. Kita tidak mahu penjawat awam hanya dilihat pandai ‘meminta-minta’ seperti kenaikan gaji atau bonus dengan mengemukakan pelbagai alasan tetapi gagal menunjukkan pencapaian membanggakan. 

Kita juga tidak mahu penjawat awam terus kekal dengan cara kerja dan pemikiran lama. Kita mahu penjawat sanggup berubah sejajar Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang mahu meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan. Kita percaya jika mereka menunjukkan prestasi memberangsangkan sudah pasti akan ada ganjarannya. Kita yakin kerajaan sedia mendengar masalah dihadapi penjawat awam dan sentiasa mencari jalan memperbaikinya terutama melaksana kaedah terbaik menilai prestasi mereka.

BERITA HARIAN
24 MAC 2011

ISU PENDIDIKAN : PERKONGSIAN PINTAR LONJAK KECEMERLANGAN

Oleh Norliza Abdullah
24 MAC 2011
BERITA HARIAN


Pengumuman Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud mengenai peningkatan prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu sebagai yang terbaik bagi tempoh empat tahun pastinya membanggakan semua pihak, termasuk Kementerian Pelajaran.  Keputusan itu sekali gus mencerminkan sistem peperiksaan kendalian Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) berjaya melahirkan insan berilmu. Pengumuman SPM semalam melengkapkan ketiga-tiga keputusan peperiksaan awam tahun lalu bermula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), semuanya mencatatkan peningkatan membanggakan. Abd Ghafar mengumumkan seramai 9,239 calon mendapat keputusan dengan gred cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran tahun lalu berbanding 7,987 calon pada 2009 iaitu peningkatan seramai 1,252 calon.

Perangkaan itu sudah cukup membuktikan kewibawaan LPM dalam menguji keupayaan sejumlah 467,970 calon dengan baik berdasarkan standard aras peperiksaan sebenar.  Kecemerlangan akademik menerusi pencapaian peperiksaan saja tidak mencukupi dalam usaha kerajaan melahirkan generasi seimbang yang cemerlang akademik dan pembangunan sahsiah.  Menyedari pentingnya modal insan seimbang, LPM menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai tahun ini, sudah memulakan sistem pentaksiran berasaskan sekolah (PBS). Sistem ini merangkumi proses penilaian murid berasaskan empat elemen iaitu Tahu, Faham, Boleh Buat dan Beradab.  Ciri Beradab pula dibahagikan kepada dua iaitu Adab Terpuji dan Adab Mithali. Kedua-dua ciri itu diberi perhatian serius bertujuan memupuk nilai murni dalam diri individu pada peringkat sekolah.  Sistem itu dilaksanakan kerana pencapaian individu dalam peperiksaan bersifat objektif kerana ia boleh dinilai berdasarkan perangkaan mengikut gred.

Berlainan pula dengan proses menilai sahsiah pelajar kerana ia lebih bersifat subjektif. LPM kini sudah selesai menyediakan satu garis panduan khas pelaksanaan PBS untuk peringkat sekolah menengah dan diharap dapat dilaksanakan secepat mungkin. Penyediaan garis panduan secara bersepadu penting supaya setiap sekolah mendapat satu ketetapan standard dan pelajar dinilai secara standard dan memenuhi ketetapan sedia ada. Garis panduan standard itu juga sekali gus menangkis anggapan sesetengah pihak, terutama dalam kalangan ibu bapa mendakwa penilaian itu dikhuatiri mewujudkan ketidakadilan tindakan guru ketika membuat penilaian. Ramai guru mengakui sistem pendidikan negara menerusi kaedah peperiksaan sudah berjaya. Kejayaan LPM itu menjadi cabaran baru kepada warga pendidik dalam memastikan kecemerlangan akademik yang diperoleh seimbang.

Keseimbangan itu penting dalam melahirkan modal insan cemerlang bagi memenuhi tuntutan Dasar Pendidikan Negara. Sebagai penyedia dasar, kementerian yakin pelaksanaan PBS sepenuhnya hingga ke peringkat menengah dapat memenuhi keperluan itu.  Abd Ghafar juga memaklumkan peningkatan prestasi sekolah adalah hasil daripada pendekatan ‘Tawaran Baru’ kementerian dan sekolah. Tidak dinafikan secara kasarnya, perkongsian pintar itu memang membuahkan hasil kerana pihak pengurusan sekolah dijanjikan dengan ganjaran jika usaha mereka melonjakkan kecemerlangan sekolah.  Pengetua dijanjikan ganjaran RM7,500, diikuti lima peratus daripada jumlah keseluruhan guru sekolah berkenaan menerima RM1,800. Baki guru lain mendapat RM900. Petugas sokongan seperti kerani diberi imbuhan setimpal.

Tanpa disedari kerjasama pintar itu menimbulkan pelbagai tekanan terutama kepada pelajar yang terpaksa memenuhi tuntutan sekolah untuk terus cemerlang. Guru terpaksa mengorbankan masa mengisi keperluan menjayakan pelbagai program sekolah. Timbul bebanan hingga guru terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga semata-mata memenuhi tuntutan kerjaya membim-bing anak bangsa hingga mengenepikan perhatian kepada anak dan keluarga. Apa saja penilaian ditetapkan pada peringkat sekolah, pastinya mereka akan mengambil kira pencapaian akademik sebagai penanda aras kejayaan. Apabila wang dijadikan sasaran, pastinya niat awal melahirkan modal insan cemerlang sahsiah dan akademik tidak mencapai objektif sepenuhnya.

23 Mac 2011

ISU UMUM : PDRM ATASI MASALAH "TERSALAH PINTU"

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my


Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berusaha mengatasi masalah 'tersalah pintu' yang sering menimbulkan ketidakselesaan masyarakat semasa mahu mendapatkan khidmat pasukan itu. Maksud 'tersalah pintu' ialah orang ramai yang menjadi mangsa jenayah atau ingin membuat aduan tetapi memilih melaporkan kejadian itu kepada pegawai atau anggota polis yang tidak mempunyai kuasa menyiasat kes berkenaan. Contohnya, pengadu yang ingin melaporkan kes jenayah tetapi menemui anggota polis trafik untuk mendapatkan bantuan. Apa berlaku dalam PDRM sekarang adalah anggota polis trafik tidak akan menerima laporan tersebut kerana ia bukan bidang kuasanya untuk menyiasat kes jenayah. "Inilah masalah 'tersalah pintu' yang mahu kita atasi bagi menjaga imej PDRM demi memberi keselesaan kepada orang ramai," kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, baru-baru ini.

Menurut Hussin, pihaknya akan cuba mengatasi masalah tersebut dengan mengarahkan semua anggota polis agar melayan baik orang ramai yang datang menemui mereka untuk meminta bantuan. Walaupun tidak boleh menjalankan siasatan, mereka harus membawa pengadu kepada pegawai atau anggota dari bahagian yang bertanggungjawab terhadap kes dilaporkan. Hussin juga memberitahu, program 'Membudayakan Hidup Sihat dan Cergas' akan dilancarkan pada 26 Mac ini bagi menggalakkan warga PDRM menjalani kehidupan sihat. Program anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan ini menurut beliau, menerapkan pengetahuan tentang ilmu kecergasan kepada warga PDRM. Menerusi program itu, anggota polis perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sebanyak tiga hingga empat kali setahun termasuk indeks jisim badan (BMI). Ujarnya, terdapat lima perkara atau falsafah harus diberi perhatian jika mahu melahirkan warga PDRM yang mantap dan mampu memberi mutu perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.

Lima perkara tersebut adalah memastikan tahap kesihatan anggota sentiasa baik, memiliki keluarga kukuh, bekerja dengan cemerlang, mengurus baik kewangan dan mempunyai kawan-kawan boleh dipercayai. Selain itu, katanya, PDRM juga bersedia menjalin kerjasama dengan semua pihak termasuk ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis masyarakat untuk membanteras jenayah. Hussin yang bakal bersara pada 15 April ini turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mencurahkan khidmat dan menimba pengalaman berbeza sepanjang berada dalam PDRM bermula dengan jawatan sebagai pegawai rendah sehinggalah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

UTUSAN MALAYSIA
23 MAC 2011

ISU BAHASA : BAHASA MELAYU DIMARTABAT, BAHASA INGGERIS DIPERKASA

Oleh Sidek Baba


Isu kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dan bahasa kedua timbul lagi. Secara perundangan, statusnya adalah jelas dalam konteks Malaysia tetapi aspek penggunaannya menjadi isu antara integriti dan kemampuan mendapatkan ilmu menggunakan bahasa Inggeris. Apabila Kementerian Pelajaran mengkaji semula PPSMI dan mengambil keputusan untuk memartabatkan semula pengajarannya dalam bahasa Melayu, ia menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan. Keputusan itu adalah langkah bijak supaya bahasa ibunda dimartabatkan dan bahasa Inggeris diperkasakan. Penegasan yang dibuat dalam Majlis Penutup Pertandingan Antarabangsa Bahasa Melayu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkasa bahasa Melayu di peringkat nasional dan antarabangsa adalah langkah bijak, berpandangan jauh dan tepat pada waktunya.

Bahasa Melayu sudah sekian lama menjadi bahasa ilmu dan bahasa ilmiah. Sejarah lebih 53 tahun Malaysia merdeka menghasilkan secara empirikal bahawa bahasa Melayu memiliki upaya tinggi menjadi salah satu bahasa yang tersohor di dunia. Namun begitu kepentingan bahasa Inggeris tidak dinafikan. Janganlah kita berasa rendah diri bahawa tanpa menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, kita bakal ketinggalan dalam proses maju dan membangun. Dalam usaha memartabat bahasa Melayu, kita tidak meninggalkan penguasaan bahasa Inggeris. Cara mana bahasa Inggeris dapat dikuasai dengan berkesan, itu adalah cabaran yang perlu kita atasi. Bangsa Anglo-Saxon atau orang-orang Eropah dahulunya menghantar orang-orang yang mahir berbahasa Arab untuk datang ke Andalusia bagi mempelajari dan menguasai ilmu-ilmu orang Islam dalam segala bidang, kemudian menterjemahkannya ke dalam bahasa Latin atau Ibrani sebagai asas maju dan berubah.

Strategi mereka ialah mengekalkan integriti sebagai bangsa Eropah dan menguasai ilmu pengetahuan dari tamadun lain untuk maju. Mereka tidak mengambil ilmu Islam, sekali gus mengambil bahasa Arab sebaliknya mengekalkan penguasaan bahasa Latin, Ibrani dan Hebrew sebagai bahasa ilmu. Dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu berada dalam kedudukan yang amat unik untuk dijadikan bahasa integrasi dan bahasa ilmu. Memperkasa diri dengan penguasaan bahasa Inggeris, malah bahasa-bahasa lain adalah suatu keperluan kerana sifat zaman berubah dan perkongsian ilmu dalam tamadun orang lain adalah dituntut. Uniknya bahasa Melayu dalam konteks umat Melayu, ia terpancar istilah dan makna yang berasaskan sistem nilai. Sejak merdeka, terbukti bahasa ini digunakan di pusat pengajian tinggi khususnya dalam bidang sains, teknologi dan perubatan.

Lulusan sekolah-sekolah dan institusi yang menggunakan bahasa Melayu terbukti berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, tidak saja di universiti yang menggunakan bahasa Inggeris tetapi juga bahasa Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan sebagainya. Persoalan yang berbangkit ialah memperkasa bahasa Inggeris telah menyebabkan status aplikasi bahasa Melayu beransur-ansur dipinggirkan. Penggunaanya dalam subjek sains dan matematik dan 100 lagi cabang-cabang disiplin ilmu, tidak saja memberi kesan pencapaian dalam akademik tetapi telah menjadikan penggunaan bahasa Melayu semakin tidak penting dan lebih membimbangkan lagi, ia menjadi bahasa rojak dalam kegunaan harian. Ia bakal menyentuh integriti bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam konteks sebuah negara yang merdeka. Memperkasa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, malah bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga untuk menghadapi cabaran perubahan amatlah penting.

Ia menuntut pendekatan pengajaran-pembelajaran yang dinamik dan kreatif di bilik darjah dan kuliah supaya kesan penguasaannya terserlah. Kemajuan teknologi dan modul-modul terkini dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua dan ketiga terbuka luas untuk diaplikasikan supaya tidak saja penguasaan bahasa ibunda menjadi teguh dan kukuh tetapi dalam masa yang sama, penguasaan bahasa Inggeris menjadi lebih baik. Tidak ada asas akademik dan hujah integriti yang menyatakan bahawa meninggalkan bahasa ibunda dalam menguasai ilmu dan mendakap bahasa kedua menjadi bahasa utama menyebabkan sesuatu bangsa itu maju. Orang-orang Perancis, Jerman, Jepun, China dan Korea masih tetap mempertahankan integriti bahasa ibundanya untuk maju tetapi dalam masa yang sama, amat terbuka untuk menguasai bahasa lain sebagai strategi untuk maju dan membangun.

Sekian lama Filipina menggunakan bahasa Inggeris, tetapi tidak pula mencapai model negara maju yang boleh dijadikan rujukan. Strategi Malaysia untuk terus tidak mengubah peruntukan perundangan mengenai status bahasa ibunda baik dalam Perlembagaan ataupun Akta Pendidikan adalah sesuatu yang bijak. Memberi keutamaan untuk memperkasa bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain adalah langkah strategik untuk terus maju. Psikologi ini harus diperkukuhkan dengan teguh dan mantap sebagai warga Malaysia, tidak saja dalam dasar tetapi juga dalam amali dan aplikasi. Memberi fokus tentang sains dan matematik adalah penting dari sudut ilmu dan akademik. Menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar boleh memberikan dua implikasi besar. Pertama, bidang sains dan matematik amat rapat hubungannya dengan corak ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkembang pada masa kini dan masa depan.

Menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama menyebabkan jangka panjangnya meminggirkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia juga menyentuh tentang persoalan integriti kerana bahasa itu dikaitkan dengan jiwa sesuatu bangsa. Melaksanakan strategi memperkasa bahasa Inggeris tanpa melakukan projek perintis, persiapan guru-guru dalam penguasaan bahasa, prasarana pembelajaran yang tidak kondusif di luar bandar menyebabkan wujudnya jurang pencapaian yang berbeza dan boleh menyebabkan keciciran melebar. Oleh itu, langkah Kementerian Pelajaran menyusun kembali pendekatan memperkasa proses pengajaran-pembelajaran dalam bahasa Inggeris adalah suatu langkah yang dialu-alukan. Petanda yang ada dalam keputusan peperiksaan yang lalu menjadi bukti bahawa pelajar-pelajar akan lebih mudah menguasai ilmu dan kemahiran menggunakan bahasa ibundanya dan dalam masa yang sama, pemerkasaan bahasa Inggeris memerlukan perancangan dan strategi pembelajaran-pengajaran yang lebih berkesan.

Sekiranya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dapat mengekal dan mengembalikan status bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa Inggeris sebagai bahasa penting, ia bakal menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai wibawa mempertahan dan mengembangkan faktor-faktor teras sebagai bangsa merdeka dan dalam masa yang sama amat terbuka untuk menguasai elemen-elemen luar lingkungan untuk maksud keilmuan dan kemajuan menggunakan bahasa-bahasa penting dunia. Tidak timbul isu patriotik atau tidaknya dalam soal penggunaan bahasa Inggeris dan kurang patriotiknya apabila tidak menggunakan bahasa Melayu. Umat Melayu bersetuju bahasa memperkasa bahasa kedua dan ketiga yang kaitannya dengan ilmu adalah penting. Tidak timbul umpamanya bahasa Inggeris tidak penting atau bahasa Cina kurang penting. Dalam tradisi Islam, tidak wujud masalah linguistic chauvinism iaitu pembatasan terhadap penguasaan bahasa.

Ilmuan Islam yang tersohor mampu mencetus tamadun menguasai banyak bahasa. Menguasai sesuatu bahasa adalah menguasai ilmu yang ada pada bangsa itu. Dalam masa yang sama sesuatu bahasa itu akan menjadi bahasa yang matang, bahasa ilmu sains dan teknologi apabila ia digunakan dalam penghasilan karya, kerja-kerja penyelidikan, pengajaran dan pelajaran. Sejak merdeka bahasa Melayu mampu dimartabatkan di universiti-universiti di Malaysia dan memerlukan azam dan tekad politik yang tinggi bahawa tidak harus wujud rendah diri atau rasa ketinggalan untuk menguasai sekiranya bahasa Melayu dijadikan bahasa utama dalam penerokaan ilmu dan bahasa Inggeris dijadikan bahasa penting untuk dipelajari dan dikuasai.

UTUSAN MALAYSIA
23 MAC 2011