24 Mac 2011

ISU EKONOMI : TRANSFORMASI URUS TANAH WAKAF SECARA EFISIEN MAJUKAN SEKTOR PERTANIAN

Oleh Amirul Afif Muhamat
BERITA HARIAN
24 MAC 2011


Kedah sangat sinonim dengan gelaran ‘Periuk Nasi Malaysia’ kerana kesuburan tanahnya untuk aktiviti pertanian terutama sawah padi. Transformasi ekonomi negara daripada negara berasaskan pertanian kepada perindustrian sedikit sebanyak memberi impak kepada proses pertanian di Kedah.  Namun, kebergantungan Kedah kepada pertanian masih tinggi jika ditinjau daripada Keluaran Negeri Kasar (KNK) untuk tiga tahun berturut-turut dari 2009, 2008 dan 2007, masing-masing berjumlah RM1.8 bilion, RM1.8 bilion dan RM1.73 bilion iaitu sumber ekonomi ketiga terpenting selepas sektor perkhidmatan dan perkilangan. Krisis makanan dunia yang dirasai sekitar 2008 memberi kesan kepada banyak negara tidak terkecuali Malaysia. Di atas kesedaran itu, kerajaan merangka Dasar Agro Makanan bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan yang mencukupi buat negara.

Walaupun perhatian yang lebih sudah mula diberikan kepada sektor pertanian dan diterjemahkan dalam peningkatan eksport bahan makanan ke luar negara, kesan positif ini tidak dapat memberi kesan rantaian yang lebih jelas kerana import bahan makanan ke negara ini meningkat lebih tinggi daripada eksport.  Pelbagai pihak mengetengahkan beberapa faktor yang menjadi halangan kepada aktiviti pertanian iaitu kekurangan modal, ketidaksediaan terhadap penerimaan teknologi moden, kekurangan tanah dan kurangnya tenaga manusia bagi aktiviti ini. Di sinilah yang perlu dirungkai permasalahan yang dihadapi sektor pertanian ini, terutama berkaitan tanah walaupun Malaysia pada hakikatnya memiliki sumber tanah yang luas berbanding jiran terdekatnya, Singapura.  Namun, pengurusan tanah yang efisien diperlukan untuk memberi nafas baru kepada sektor pertanian ini dan di sini letaknya keupayaan tanah wakaf untuk menjadikan pertanian sebagai aktiviti ekonomi yang menguntungkan.

Secara umumnya, tanah wakaf boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu tanah wakaf khusus dan tanah wakaf umum. Tanah wakaf umum ialah apabila pewakaf menyerahkan pemilikan tanah kepada majlis agama negeri tanpa sebarang syarat untuk membangunkan tanah berkenaan, manakala tanah wakaf khas disertakan syarat tertentu seperti tanah diwakafkan untuk kawasan perkuburan, pembinaan masjid atau sekolah. Difahamkan hampir 20,735.61 ekar tanah wakaf di Malaysia dan kebanyakan terbiar tanpa sebarang aktiviti ekonomi dijalankan. Beberapa lokasi tanah wakaf yang strategik seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan sesetengah tempat di Johor Bahru memiliki nilai yang tinggi. Ini secara tidak langsung memberi makna yang majoriti tanah wakaf di negara ini memiliki nilai yang rendah kerana terletak di tempat terpencil atau di kawasan kampung yang kurang nilai komersialnya.

Sebagai contoh, Kedah memiliki kawasan tanah wakaf seluas 1,244.88 hektar yang mana lebih 80 peratus terletak di kawasan yang jauh dari bandar Alor Setar (maklumat terkini daripada portal Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji). Justeru, penelitian yang lebih jelas diperlukan untuk setiap lokaliti yang memiliki tanah wakaf bagi menilai potensi tanah untuk pertanian sekiranya tanah wakaf itu terbiar tanpa sebarang aktiviti sama ada aktiviti berdasarkan amanah si pewakaf atau pun inisiatif pihak jabatan agama.  Kesan pembangunan tanah wakaf bagi kegiatan pertanian akan memberi impak positif dalam bentuk pulangan wang bagi jabatan agama, pekerjaan kepada penduduk tempatan seterusnya hasil pertanian bagi masyarakat sekitar. Justeru, adalah jelas bahawa transformasi tanah wakaf diperlukan bagi memangkin aktiviti pertanian di negara ini.

Penulis ialah pensyarah Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dan boleh dihubungi melalui e-mel: amirulafif@salam.uitm.edu.my
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...