11 Februari 2011

ISU LUAR NEGARA : NEGARA KE-196 PADA PETA DUNIA IALAH SUDAN SELATAN


Barangkali agak kejam untuk mengklasifikasikan bahawa Republik Sudan adalah negara ketiga yang paling mengerikan untuk dilawati. Sudan juga signifikan dengan perang saudara. Ia juga sinonim dengan kedaifan, kelaparan dan kematian. Pangkalan utama kumpulan pemberontak dunia juga dipercayai bertapak di sini. Osama Laden dikatakan telah beroperasi selama lima tahun di Sudan. Imej negara ini sangat gelap. Pelancong juga tidak ada hati untuk singgah. Wartawan agensi antarabangsa kaget apabila dihantar membuat liputan. Bagi tentera beragama Islam, bertugas di bumi Sudan dianggap sebagai satu jihad. Hampir setengah abad, 48 juta rakyat republik ini menderita. Selepas berjaya keluar daripada cengkaman British dan mencapai kemerdekaan pada tahun 1956, pergolakan menjadi bertambah rumit. Sungguh malang apabila sebuah negara yang kaya dengan sumber minyak mentah menjadi negara yang paling miskin di Afrika.

Setelah lama bergelut, akhirnya Isnin lalu, atas permintaan rakyatnya, Sudan terbahagi kepada dua. Secara rasminya, sebuah negara baru yang dinamakan Sudan Selatan diisytiharkan merdeka sekali gus akan terangkum dalam peta dunia. Dengan itu, Sudan Selatan akan menjadi negara ke-196 jika kiraan mengambil kira Republik Taiwan yang masih belum mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS). Atas nama rakyat (AS), saya mengucapkan selamat kepada rakyat Sudan Selatan kerana referendum yang akhirnya memihak kepada wilayah ini merdeka. “Saya secara rasminya mengiktiraf Sudan Selatan sebuah negara berdaulat dan merdeka pada Julai 2011,” kata Presiden AS, Barack Obama kepada Reuters. Referendum atau pungutan suara yang dijalankan pada 9 hingga 15 Januari lalu diadakan kesan daripada Perjanjian Navaisha antara Khartoum (kerajaan Sudan) dengan Tentera Pembebasan Rakyat Sudan (SPLA).

Memetik laporan The Telegraph UK pula, Presiden Sudan, Omar Hasan Ahmad al-Bashir atau Omar al-Bashir berkata, pihaknya menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana itu pilihan rakyat di wilayah itu. Di tanah tumpah darahnya sendiri, Presiden itu dianggap sebagai pemimpin yang serba lemah dan menyokong keganasan. Konflik antara wilayah Sudan Utara dan Sudan Selatan yang dipicu oleh pertikaian minyak di Blok 5A (di Sudan Selatan), ideologi dan perbezaan etnik telah menjadikan republik itu umpama padang jarak padang tekukur. Secara keseluruhannya, pecahan etnik di Sudan terbahagi kepada 52 peratus berkulit hitam, 39 peratus Arab, enam peratus Beja sementara bakinya adalah orang luar. Presiden Omar al-Bashir (kiri) menerima keputusan rakyat Sudan Selatan untuk berpisah daripada Sudan Utara dengan hati terbuka. Menyusuri fakta negara paling terbesar di benua Afrika ini, Sudan Utara dihuni oleh penduduk berketurunan Arab yang beragama Islam.

Wilayah selatannya dihuni oleh majoriti penduduk Kristian yang masih berpaksikan kepada fahaman animisme. Selepas satu dekad Perang Saudara Sudan Pertama (1955-1972) yang melibatkan dua wilayah ini berakhir, 11 tahun kemudian iaitu pada tahun 1983, Perang Saudara Sudan Ledakan bom bertubi-tubi dan bunyi tembakan yang bertalu-talu bergema tidak kira siang atau malam. Perang sekali lagi mendominasi negara ini selepas Presiden Sudan ketika itu, Jaafar Muhammad An-Numeiri menggariskan Piagam Sudan. Piagam itu adalah berteraskan landasan Islam seratus peratus dan mengetepikan hak bukan Islam. Ramai yang panas hati terutama kepada penduduk wilayah Selatan yang beragama Kristian. Akhirnya, perjanjian damai komprehensif atau Perjanjian Navaisha dimeterai di Nairobi, Kenya pada 2005 dan kerajaan Sudan bersetuju mengadakan referendum yang berteraskan dua perkara.

Yang pertama, menentukan pemisahan antara utara dan selatan Sudan. Sementara yang kedua, menentukan wilayah mana yang akan menguasai Abyei yang kaya dengan sumber minyak. Memasuki penamat abad ke-21, perang saudara dilihat makin reda. Namun, dunia dikejutkan dengan konflik di Darfur, barat Sudan pula. Berbeza dengan perang sebelum ini, konflik itu merujuk kepada pergaduhan sesama penduduk Islam berlainan etnik antara suku kaum Afrika dengan penduduk keturunan Arab. Pada awalnya, puak-puak ini hanya berebut sumber asli tetapi akhirnya berubah menjadi isu politik. Sengketa yang memuncak pada tahun 2003 dikatakan bermula apabila militan Arab Badwi, Janjaweed yang dirujuk sebagai tentera Mahdi, muncul. Kumpulan ini dikatakan mendapat sokongan penuh daripada Omar al-Bashir yang menentang SPLA. Antara pemimpin paling menonjol dalam SPLA ialah oleh mendiang Kolonel John Garang. Bagaimanapun, cakap-cakap politik mengatakan AS dan Israel adalah dalang di sebalik perang ini.

Peperangan memang merugikan. Ia hampir meranapkan keseluruhan Sudan yang berkeluasan 2.5 juta kilometer persegi itu. Mengikut data daripada PBB, 40 peratus rakyat Sudan hidup dalam kedaifan dan 18 peratus daripadanya hidup menganggur. Hanya 15 peratus penduduknya boleh membaca dan dua peratus sahaja tamat sekolah rendah. Pemandangan kanak-kanak atau wanita memegang senjata adalah lumrah di sana. Gejolak Sudan begitu parah. PBB turut melaporkan lebih 300,000 terkorban sementara 2.7 juta penduduk Sudan hilang tempat tinggal dan tempat-tempat awam hancur sama sekali. Konflik Darfur menambahkan lagi sengsara yang ditanggung. Kira-kira 2.5 juta penduduk menjadi pelarian, 4 juta diancam kebuluran dan penyakit sementara 200,000 nyawa melayang. Tambah menyayat hati, ribuan wanita dicabul atau dijadikan pelacur dan kanak-kanak diseksa dengan zalim. Angka kematian dalam perang ini merupakan salah satu yang terbesar selepas Perang Dunia Kedua.

Untuk perang Darfur ini juga, Setiausaha Asun PBB, Ban Ki Moon berkata, pihaknya telah menanggung kos sebanyak AS$2 bilion (RM6.2 bilion) bagi operasi pertama pasukan pengamannya. Jika kita melihat haru-biru di Mesir sungguh menakutkan, momentum yang dirasai di Sudan lebih hebat. Demonstrasi di sana sini. Hampir setiap hari mahasiswa di wilayah Khartoum dan Gezira menentang kenaikan harga barang yang melampau. Satu kajian menunjukkan jika perbalahan masih tidak berpenghujung selama 10 tahun lagi, Sudan diramal akan kerugian sebanyak lebih RM300 bilion. Pada 7 Februari lalu, Pengerusi Suruhanjaya Referendum Sudan Selatan, Mohammed Ibrahim Khalil menyerahkan hasil referendum kepada Omar al-Bashir dalam satu majlis bersejarah di ibu kota Khartoum. Turut hadir ialah pemimpin Sudan Selatan, Salva Kiir. Sudan Selatan diumumkan merdeka sepenuhnya pada 9 Julai ini. Juba dijadikan ibu kota negara baru dunia itu. Bagi pemerhati politik, keputusan pemisahan antara utara dan selatan Sudan sudah diduga.

Kanak-kanak Sudan Selatan yang selama ini terjejas akibat perang saudara dijangka dapat kembali ke sekolah seperti biasa. Alasannya mudah, di utara dan selatan negara itu masing-masing mempunyai pegangan agama dan jati diri yang berbeza. Keputusan untuk membawa haluan sendiri adalah jalan yang terbaik. Memetik laporan Reuters, kemerdekaan yang diperoleh Sudan Selatan telah mendorongnya mempertimbangkan untuk bergabung dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam usaha mendakwa Omar al-Bashir yang melakukan jenayah perang di Darfur. Pembinaan kepada sebuah negara baru memang bukan kerja mudah. Lihat saja negara yang baru merdeka seperti Kosovo dan Timor Leste. Mereka masih merangkak. Bagi Sudan Selatan juga, banyak perkara perlu diselesaikan. Mereka sedang memikirkan mata wang sendiri, lagu dan juga bendera kebangsaan. Pekerja mereka yang selama ini menetap di kontena perlu dipindahkan. Begitu juga dengan jaringan jalan raya yang sangat teruk.

Baru-baru ini, pejabat Kementerian Perumahan Sudan mengusulkan satu usul luar biasa iaitu mahu meletakkan 10 ibu kota di Sudan Selatan dalam bentuk haiwan seperti badak dan zirafah dalam petanya. Ia juga masih di peringkat cadangan. Kedua-dua blok itu juga masih belum memutuskan bagaimana menyelaraskan masalah ekonomi termasuk pembahagian kekayaan sumber bumi. Sebelum ini, sebahagian daripada 98 peratus hasil minyak di Sudan Selatan diproduksikan di wilayah itu tetapi proses disuling dan diurus dijalankan oleh Sudan. Barangkali ia bakal diubah. Adakah Sudan Selatan yang dihuni majoriti penduduk Kristian akan membuat hubungan diplomatik dengan Israel? Jawapannya juga akan diketahui kelak. Meskipun Omar al-Bashir kelihatan sedikit kecewa dengan keputusan referendum, beliau tetap berharap Sudan Selatan yang baru merdeka itu akan terus menjadi sahabat baiknya. Dengan pengumuman Sudan Selatan sebagai sebuah negara berdaulat, maka, secara rasminya, nama Sudan digugurkan daripada daftar negara yang menaja keganasan. Anak-anak Sudan diharap juga dapat kembali ke sekolah semula seperti kanak-kanak lain.


Oleh
MAZLINA ABDUL MAJID

SUMBER
HARIAN KOSMO
11 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : TRANSFORMASI PEMBIAYAAN DUNIA AKADEMIK



Dalam hampir semua peradaban, komuniti ilmu dan sarjana sering mendapat layanan istimewa. Institusi dan kos pengajian disediakan. Malah biaya penyelidikan ditaja. Tidak salah rasanya jika dirumuskan bahawa dalam semua peradaban, kesarjanaan mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat sebagai institusi penggerak minda, pembangun insaniah dan penyuluh zaman. Itulah justifikasi kebanyakan sarjana dibiaya sepanjang pembabitan dalam dunia ilmu bermula dari proses pembelajaran sehinggalah akhirnya sampai pada tahap tertinggi dari segi pengembangan idea, pengajaran, penyelidikan dan penulisan. Justeru, dalam konteks moden, dunia kesarjanaan masih sinonim dengan layanan istimewa, pelaburan besar dan penajaan, khususnya dari kerajaan dan dermawan. Memang dunia kesarjanaan penuh keanehan. Dalam keghairahan sarjana menekuni pelbagai disiplin ilmu, tidak ramai prihatin terhadap kerangka kewangan institusi ilmu.

Apabila berbicara mengenai pengurusan, sarjana biasanya melihat ke luar dengan mengemukakan pelbagai teori mengenai pengurusan organisasi swasta dan awam; jarang sekali mengenai institusi pengajian tinggi. Apabila membahaskan mengenai model kewangan, mereka mendefinisikan pelbagai sistem dari Wall Street sehinggalah sukuk; jarang sekali mengenai kaedah untuk menampung program kesarjanaan.  Realitinya, dengan ratusan pakar dalam pelbagai subdisiplin ekonomi di universiti tempatan, mereka masih mengharapkan geran dan pelbagai bentuk subsidi untuk melengkapkan peralatan komputer di makmal fakulti. Malah di kalangan selebriti penerima Anugerah Nobel masih bergantung kepada sumbangan geran untuk menaja penyelidikan dan menampung kos aktiviti kesarjanaan.  Barangkali sudah menjadi resam dalam dunia kesarjanaan moden bahawa ahli akademik yang tersohor dan dianggap cemerlang adalah di kalangan mereka yang paling berjaya mendapat geran penyelidikan paling lumayan.

Dengan kata lain, paling banyak mendapat ihsan dan bantuan pihak lain!  Itulah keanehan dunia akademia. Hal ini tidak terhad kepada universiti awam tempatan, malah di serata dunia. Sejak saya menjadi Naib Canselor UTM pada akhir 2008, persoalan ini sering ‘menghantui’ fikiran saya. Ini semakin ketara berikutan langkah kerajaan seluruh dunia mengurangkan defisit kewangan yang turut membabitkan pengurangan peruntukan kepada universiti dan aktiviti kesarjanaan.  Pada hemat saya, komuniti ilmu perlu mencari perspektif dan kerangka baru dari segi kewangan. Secara idealnya, institusi ilmu terutama universiti seharusnya menjadi model kepada sistem kewangan moden. Hal ini perlu membabitkan inovasi dalam semua aspek, termasuk kos operasi dan pembiayaan program kesarjanaan. Pada hemat saya, kerangka kewangan pengajian tinggi dan pembangunan kesarjanaan boleh ditransformasi terhadap empat komponen utama, iaitu pembiayaan pengajian, emolumen, penyelidikan dan prasarana.

Dalam konteks Malaysia, sebahagian sudah dirangka menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara menerusi dasar autonomi.  Sehubungan itu pada 2 Februari lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, melancarkan Biasiswa Endowmen UTM yang menyediakan peluang kepada 100 mahasiswa terbaik mengikuti pengajian peringkat sarjana muda di UTM pada sesi akademik 2011/12. Biasiswa RM10,000 setahun untuk setiap penerima itu ditaja menerusi dana Endowmen UTM yang ditubuhkan pada 2010. Dijangka menjelang 2020, semua mahasiswa ijazah sarjana muda akan mendapat pembiayaan Biasiswa Endowmen.  Biasiswa Endowmen UTM bukan sekadar kemudahan penajaan pengajian malah satu inisiatif dalam kerangka untuk mentransformasi pembiayaan pengajian tinggi di Malaysia. Biasiswa Endowmen juga adalah komitmen warga akademia untuk turut menyumbang dan mewarnakan dunia kesarjanaan menerusi sumbangan pelbagai pihak untuk menyemarakkan kesarjanaan di Malaysia.

Secara tidak langsung akan mengurangkan pergantungan kepada Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN). Selain penyediaan biasiswa, dana Endowmen UTM juga akan menaja kursi profesor, menyediakan kemudahan prasarana terbaik untuk pembelajaran dan pengajaran, dan dana penyelidikan berimpak tinggi. Pada suatu tahap nanti, menjelang 2020, dana Endowmen menyumbang lebih 10 peratus daripada kos operasi universiti.  Hal ini bukan suatu khayalan. Dalam sejarah banyak universiti ternama dan tidak begitu ternama, endowmen adalah mekanisme utama pembiayaan pengajian tinggi. Universiti Al-Azhar di Mesir adalah contoh terbaik. Model ini juga dilaksanakan di Harvard, Yale, Princeton dan MIT. Selain itu, banyak sumber kewangan lain dapat dijana menerusi pelbagai aktiviti berkaitan pengajian tinggi seperti komersialisasi harta intelek, pelaburan strategi dan penyediaan kemudahan prasarana.

Ringkasnya, untuk terus memacu kesarjanaan dan institusi pengajian tinggi negara, maka pergantungan kepada geran dan sumbangan pihak kerajaan perlu dikurangkan. Pengurangan ini tidak bermakna kerajaan boleh lepas tangan untuk tidak lagi berpartisipasi dalam pembiayaan pengajian tinggi, sebaliknya menyediakan ekosistem lebih mantap bagi menyemarakkan kesarjanaan. Pembabitan pelbagai pihak untuk menyediakan dana pelbagai program dan komuniti ilmu menandakan komitmen seluruh lapisan masyarakat untuk sama-sama memartabatkan kesarjanaan.

Oleh :
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia
Pengerusi Akademia bagi Program Agenda Kritikal Pengajian Tinggi

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : BERSAMA MENDIDIK ANAK BANGSA


Syukur dan tahmid ke hadrat Allah SWT serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kita bersyukur kerana pada pagi ini kita sekali lagi diberikan kesempatan untuk menghadiri perhimpunan yang amat bermakna buat kita semua. Perhimpunan ini bukan sahaja melambangkan kebersamaan kita dalam mendidik anak bangsa, malah mencerminkan kesatuan hati kita untuk melaksanakan amanah yang murni ini dengan sebaik mungkin. Pertamanya, saya ingin mengucapkan selamat memulakan tugas kepada guru-guru yang baru melangkah ke alam perguruan pada tahun ini. Di sinilah bermulanya perjuangan anda untuk mendidik anak bangsa dan mencorak masa depan negara. Memang benar, amanah yang bakal digalas adalah besar dan tugas yang menanti anda semua amat mencabar. Namun saya yakin dengan segala latihan yang diberikan dan sokongan yang bakal diterima, anda mampu untuk melaksanakan tugas ini dengan baik. Tidak lupa juga kepada guru-guru yang pernah mendidik kita.

Marilah kita kalungkan setinggi-tinggi penghargaan di atas jasa dan bakti mereka yang terus terpahat di sanubari kita. Bak kata orang, sekali menjadi guru, selamanya dikenang sebagai guru. Bahkan, hingga ke akhirnya dipanggil cikgu, curahan budinya diingat selalu. Seperti nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Uthman Awang:

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat cikgu kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat

Berada bersama dengan guru-guru pada pagi ini mengingatkan saya kepada kata-kata seorang guru yang pernah saya dengar. Bahawa dalam dunia ini, terdapat dua insan yang benar-benar gembira melihat kita berjaya. Pertamanya, ibu bapa kita; keduanya, guru-guru kita. Kita biasa melihat di kaca televisyen, di dada akhbar, atau mengalaminya sendiri di sekolah. Sebaik-baik sahaja keputusan peperiksaan diumumkan, yang menitiskan air mata gembira melihat seorang murid berjaya adalah guru. Malah, banyak kisah kejayaan peribadi yang bermula dari sentuhan keramat seorang guru. Daripada anak seorang petani, menjadi Naib Canselor universiti. Daripada anak seorang buruh ladang, menjadi peguam yang terkenal. Daripada anak seorang penjaja, menjadi usahawan yang berjaya. Semua keajaiban ini tidak akan berlaku tanpa suluhan ilmu seorang guru. Maka, pastinya juga kejayaan anak-anak kita di hari esok bergantung kepada keikhlasan guru-guru hari ini memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka.

CABARAN BARU DUNIA PENDIDIKAN

Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, persaingan bukan lagi bersifat lokal tetapi global. Jika kita ingin menjadi sebuah negara maju, sebuah negara yang kompetitif di peringkat antarabangsa, modal insan yang kita lahirkan melalui institusi sekolah kita mestilah mampu untuk menjadi pesaing global. Maka kualiti pendidikan kita juga mestilah dinilai berdasarkan penanda aras antarabangsa. Pencapaian murid kita dalam mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris mesti ditingkatkan sehingga mengatasi penanda aras antarabangsa. Begitu juga dengan pendidikan teknik dan vokasional yang seharusnya menjadi pemangkin kepada pembinaan modal insan berkemahiran tinggi. 


Perluasan pendidikan teknik dan vokasional harus berlaku secara drastik untuk menampung keperluan tenaga mahir negara yang semakin meningkat. Semua ini adalah penting dalam usaha kita untuk melonjakkan kemajuan negara dalam suasana persaingan global yang semakin sengit. Pendek kata, sektor pendidikan berada di barisan hadapan dalam memastikan cita-cita Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang 2020 menjadi realiti. Dalam upaya kita untuk menjadi sebuah negara maju, guru-guru berada di barisan paling hadapan dalam membina modal insan yang akan memacu kemajuan negara kita. Dalam hal ini, pendidikan merupakan landasan utama yang akan menentukan masa depan negara. Kukuh landasan ini, maka cerahlah peluang kita untuk mencipta masa depan yang lebih gemilang.

KOMITMEN GURU

Walaupun cabaran yang dihadapi oleh guru-guru hari ini adalah berbeza daripada apa yang ditempuhi oleh guru-guru dahulu, kunci kepada kemampuan kita untuk menjadi sebuah negara yang berjaya tetap sama. Kuncinya ialah keikhlasan guru, dedikasi guru dan kesungguhan guru untuk menggilap potensi setiap murid sehingga mereka menjadi insan yang berjaya. Alhamdulillah, berkat semangat, usaha dan dedikasi guru-guru, kita telah berjaya mencatat peningkatan yang memberangsangkan dalam keputusan peperiksaan-peperiksaan awam pada tahun lalu. Keputusan UPSR 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun. Kita juga bersyukur di atas peningkatan yang dicapai dalam keputusan PMR. 


Peratusan pelajar yang memperolehi semua A meningkat dari 9.51 peratus pada tahun 2009 kepada 10.21 peratus pada tahun lalu. Di sebalik angka-angka positif ini, tersirat seribu satu cerita pengorbanan dan ketabahan guru-guru. Misalnya, di Sekolah Kebangsaan Bebangan, sebuah sekolah kecil dalam daerah Kapit di Sarawak. Guru-guru, dengan bantuan pembantu murid dan warden asrama, memulakan kelas ulang kaji seawal jam 5 pagi pada setiap hari persekolahan. Walaupun jam 5 pagi adalah di luar waktu bertugas biasa, tetapi oleh kerana guru-guru percaya awal pagi adalah waktu yang terbaik untuk murid memahami dan mengingati apa yang dipelajari, mereka tetap hadir lebih awal ke sekolah untuk membimbing murid. Bagi saya, ini adalah contoh pengorbanan guru yang luar biasa. Barangkali, tidak ramai yang sanggup melakukan pengorbanan seperti itu. 


Namun, hakikatnya ada di kalangan guru-guru kita yang sanggup melakukannya. Pengorbanannya luar biasa, hasilnya pun luar biasa. Sekolah Kebangsaan Bebangan telah berjaya melonjakkan kedudukannya daripada berada dalam Band 3 pada tahun 2009, kepada Band 2 pada tahun 2010. Lonjakan yang dihasilkan hanya dalam tempoh satu tahun bagi sebuah sekolah kecil di luar bandar ini adalah sesuatu yang memberangsangkan. Untuk itu, saya mengucapkan syabas kepada Cikgu Juan a/k Jugah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bebangan, dan semua guru serta kakitangan sekolah ini. Saya percaya setiap sekolah mempunyai cerita pengorbanan dan kejayaan masing-masing. Di sebalik kejayaan setiap pelajar, terdapat sentuhan keramat wira dan serikandi kita yang tidak didendangkan (our unsung heroes). Sekiranya kisah-kisah pengorbanan dan kejayaan mereka dihimpunkan dan wira serta serikandi kita diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya, saya percaya seluruh warga guru akan mendapat suntikan semangat yang segar untuk melakukan yang terbaik demi memastikan kejayaan setiap murid.

TAWARAN BARU (BAI'AH)

Perkara ini bukanlah sesuatu yang di luar jangkauan. Tahun lalu saya umumkan Tawaran Baru (Bai'ah) untuk pengetua dan guru besar sebagai salah satu daripada inisiatif di bawah NKRA Pendidikan. Kita tetapkan mana-mana sekolah yang berjaya melepasi sasaran tertentu, guru besar dan guru-gurunya akan menerima ganjaran kewangan. Ganjaran kewangan berasaskan prestasi ini adalah satu perkara baru yang tidak pernah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam di negara kita sebelum ini. Tetapi kita percaya, Tawaran Baru adalah satu idea berani yang sekiranya dilaksanakan secara telus dan adil akan menjadi dorongan paling berharga buat guru-guru untuk meningkatkan prestasi kerja masing-masing. Pada awalnya, kita sasarkan dua peratus guru besar dan pengetua akan berjaya melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan. 


Ini adalah satu jangkaan konservatif yang dibuat dengan mengambil kira kelaziman dalam trend lonjakan prestasi sekolah. Hendak seribu daya, Tawaran Baru yang kita umumkan telah memberi suntikan semangat dan dorongan yang kuat kepada guru-guru kita untuk meningkatkan prestasi sekolah masing-masing. Buktinya, setahun selepas Tawaran Baru diumumkan, kita dapati jumlah guru besar yang berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan adalah di luar jangkaan. Bukan lagi dua peratus seperti yang disasarkan, tetapi 12.1 peratus, iaitu pertambahan sebanyak 600 peratus daripada jangkaan asal. Jemaah Nazir sedang membuat pengesahan mengenai prestasi 924 orang guru besar yang telah disenarai pendek. Insya-Allah, saya akan umumkan senarai guru-guru besar yang layak menerima ganjaran dalam masa terdekat. 


Sebagai tanda penghargaan kita, guru-guru yang bersama-sama berusaha untuk melonjakkan prestasi sekolah juga akan turut menerima ganjaran seperti yang telah dijanjikan. Setiap guru besar yang layak akan menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru yang paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang. Senarai Pengetua dan guru-guru sekolah menengah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru ini akan saya umumkan pada pertengahan tahun ini. Apakah maknanya ini kepada kita semua? Bagi saya, guru-guru kita, dengan adanya dorongan, pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya, mereka boleh melakukan yang terbaik. Telah pun terbukti, prestasi guru-guru terbaik kita bukan sahaja memberangsangkan, malah luar biasa. Syabas saya ucapkan!

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI

Satu lagi inisiatif di bawah NKRA Pendidikan ialah mengenal pasti dan memberi pengiktirafan kepada Sekolah Berprestasi Tinggi. Pada tahun lalu, kita telah umumkan 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi. Pada tahun ini, 30 buah sekolah lagi yang memenuhi kriteria yang ditetapkan akan diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. Namun, dalam melaksanakan program SBT ini, apa yang penting bukan jumlah sekolah yang mendapat pengiktirafan. Tetapi apakah impak sekolah ke atas pembelajaran murid dan bagaimanakah sekolah-sekolah ini dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sekolah-sekolah lain. Hal ini tidak mustahil untuk dicapai. Sekolah Kebangsaan Brinchang, Cameron Highlands, hari ini telah menempa beberapa kejayaan hasil pelbagai usaha sama yang dijalin dengan Sekolah Kebangsaan Convent Kota Taiping yang merupakan salah sebuah sekolah berprestasi tinggi. 


Guru-guru kedua-dua sekolah terlibat secara bersama dalam panitia mata pelajaran yang dibentuk khusus untuk berkongsi idea tentang cara bagaimana untuk meningkatkan prestasi murid. Hasilnya, dalam peperiksaan UPSR tahun lalu, pertama kali dalam sejarah Sekolah Kebangsaan Berinchang, semua murid lulus matapelajaran Sains dan 95.5 peratus murid lulus mata pelajaran Matematik. Ini adalah contoh satu usaha yang mudah, tetapi amat berkesan untuk meningkatkan pencapaian murid. Tahniah saya ucapkan kepada warga kedua-dua sekolah ini. Melangkah ke hadapan, antara aspek yang perlu ditekankan oleh SBT ialah inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Autonomi yang diberikan kepada sekolah-sekolah ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menjana daya kreativiti guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang paling efektif. 


Kita ingin lihat idea-idea yang lebih berani dan segar untuk meningkatkan pencapaian murid muncul dari sekolah-sekolah berprestasi tinggi. Dalam hubungan ini, jadikan sekolah berprestasi tinggi sebagai makmal idea-idea kreatif pengajaran dan pembelajaran yang boleh dilaksanakan di dalam bilik darjah. Ini kerana matlamat akhir SBT bukan sekadar memberi pengiktirafan terhadap kecemerlangan sekolah, tetapi memastikan kecemerlangan sekolah dapat memberi impak yang positif ke atas pencapaian setiap murid. Di samping program SBT, Kementerian Pelajaran juga merintis kerjasama dengan Khazanah Nasional Bhd. melalui Yayasan Amir, iaitu sebuah badan bukan keuntungan, untuk menjayakan program Sekolah Amanah. Pada peringkat awal ini kita telah memilih 10 buah sekolah untuk dijadikan Sekolah Amanah, di mana pihak Khazanah Nasional telah memberi komitmen untuk membantu sekolah-sekolah ini meningkatkan pencapaian. Dengan adanya kerjasama awam-swasta ini, kita yakin tahap pencapaian sekolah-sekolah di negara kita akan dapat dilonjakkan lagi agar setanding dengan pencapaian sekolah-sekolah cemerlang di peringkat antarabangsa.


PROGRAM PEMBANGUNAN SEKOLAH

Dalam usaha kita untuk melonjakkan prestasi semua sekolah, kita sedar bahawa padang tidak selalunya rata. Ada sekolah yang sudah sedia cemerlang, tetapi banyak juga sekolah yang masih bergelumang dengan pelbagai kekangan untuk berjaya. Pada masa yang sama kita sedar bahawa tugas kita ialah untuk memastikan setiap murid berjaya. Walau apa pun latar keturunan mereka, walau di mana mereka berada, kejayaan mereka adalah tanggungjawab kita. Pastinya, impian seorang anak kecil di Sekolah Kebangsaan Balar di Gua Musang, Kelantan adalah sama nilainya dengan cita-cita seorang murid di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara di Kuala Lumpur. Seorang nun jauh di pedalaman, seorang lagi di tengah-tengah ibu kota. Seorang dengan serba-serbi kekurangan, manakala seorang lagi dengan segala kemudahan.


Keutamaan kita pastinya ialah untuk memastikan impian kedua-dua anak kecil ini dapat dicapai. Dalam menghadapi realiti ketiadaan padang yang sama rata, pendekatan kita mestilah berbeza. Zaman menggunakan pendekatan yang sama untuk menyelesaikan permasalahan yang berbeza telah berakhir. Untuk itu, kita telah memperkenalkan Program Pembangunan Sekolah. Di bawah program ini, lebih 160 orang jurulatih yang terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran, pensyarah Institut Aminuddin Baki, pensyarah Institut Pendidikan Guru, Pengetua Cemerlang dan Guru Cemerlang telah dilantik untuk membimbing sekolah-sekolah berprestasi rendah. Sekolah-sekolah sasaran adalah yang berada dalam Band 6 dan Band 7, iaitu dua kumpulan terendah dalam senarai penarafan sekolah di negara kita.

Alhamdulillah, pendekatan secara bimbingan ini telah membuahkan hasil. Kita telah berjaya mengurangkan jumlah sekolah rendah yang berada dalam Band 6 dan Band 7 daripada 209 buah pada 2009 kepada 140 buah pada tahun 2010. Sebanyak 88 buah sekolah yang dahulunya berprestasi rendah kini telah berjaya meningkatkan prestasi masing-masing. Menariknya, 83 daripada 88 buah sekolah ini adalah sekolah-sekolah di luar bandar. Syabas saya ucapkan kepada Cikgu Jama a/k Rigong, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tampak di Sabah, Cikgu Subramaniam a/l Chellapan Guru Besar SJKT Ladang Dublin 7 di Kedah, Cikgu Ng Yong Liang, Guru Besar SJKC Kheng Chee di Pahang dan semua guru-guru besar yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing. Jelasnya, Program Pembangunan Sekolah ini telah terbukti berjaya membantu sekolah-sekolah berprestasi rendah untuk meningkatkan pencapaian murid. Melalui proses bimbingan secara berterusan, kita telah berjaya mengatasi beberapa kekangan yang dihadapi oleh pihak sekolah. Misi kita ialah untuk memastikan setiap murid berjaya mencapai impian masing-masing.

PROGRAM LITERASI DAN NUMERASI

Kita juga menekankan tentang penguasaan literasi dan numerasi murid di peringkat awal persekolahan. Penguasaan kedua-dua kemahiran ini di peringkat awal adalah penting untuk memastikan murid tidak mengalami kesukaran mengikuti pelajaran apabila umur mereka semakin meningkat. Justeru, sebarang masalah berkaitan dengan penguasaan literasi dan numerasi perlu dikenal pasti dan diatasi segera. Untuk itu kita telah memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) di bawah NKRA Pendidikan. Alhamdulillah, dengan pelaksanaan program ini, kita telah dapat mengenal pasti tahap kemahiran literasi dan numerasi murid dan melakukan usaha intervensi untuk membantu murid-murid yang gagal menguasainya. Berdasarkan keputusan saringan ketiga LINUS yang dilaksanakan pada bulan November 2010, 85 peratus murid Tahun 1 telah menguasai literasi dan 91 peratus menguasai numerasi. Kita percaya dengan usaha-usaha intervensi secara berterusan, tahap penguasaan literasi dan numerasi murid akan dapat dipertingkatkan.

PEMBIMBING INSAN, PEMBINA NEGARA

Dalam keghairahan kita untuk membina modal insan, jangan kita lupa tentang satu lagi matlamat utama pendidikan, iaitu untuk membangun jiwa insan. Guru-guru, seperti juga ibu bapa, adalah pembimbing dan pengasuh jiwa murid. Tugas guru bukan sekadar mencurahkan ilmu, tetapi menyuntik nilai dan makna yang murni ke dalam sanubari murid. Pastinya, pendidikan yang disulami dengan asuhan budi dan pekerti yang mulia adalah sesempurna pendidikan. Guru juga adalah pembina negara bangsa. Dalam perlumbaan kita untuk menjadi sebuah negara maju, harus kita ingat bahawa masyarakat maju yang ingin kita cipta haruslah berakar kepada nilai, budaya dan jati diri yang utuh. Untuk itu, anak-anak kita perlu diasuh supaya memahami dan menghargai susur-galur sejarah pembinaan negara kita. Bagaimana generasi terdahulu melakukan pelbagai pengorbanan untuk membina sebuah negara yang bebas dan merdeka. Bagaimana masyarakat pelbagai kaum di negara kita telah menerima antara satu sama lain sebagai saudara sewarganegara. Ini adalah antara rekod pencapaian kita yang penting dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu.

Justeru, saya ingin menegaskan bahawa pengkisahan tentang sejarah pembinaan negara kita mesti disampaikan kepada murid secara jujur. Oleh sebab itu, kita telah menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah yang akan mengesyorkan kepada kerajaan cadangan-cadangan untuk menambahbaik kandungan kurikulum serta pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah. Tujuannya ialah supaya pembelajaran sejarah dapat melahirkan warganegara yang benar-benar memahami sejarah, bersifat patriotik dan mempunyai jatidiri yang kukuh. Hakikatnya, guru-guru menggalas tanggungjawab yang amat besar. Di bahu guru terletak amanah membangun jiwa manusia dan membina negara bangsa. Bukan calang-calang insan yang sanggup memikul tugas berat ini. Namun, saya percaya, guru-guru yang berada di hadapan saya pada hari ini memilih kerjaya guru kerana anda semua berjiwa guru. Sebagai seorang yang berjiwa guru, tugas ini sudah pasti akan digalas dengan penuh keikhlasan dan kesedaran. Jadikanlah keikhlasan guru dan keberkatan ilmu yang disampaikan sebagai sumber kekuatan kita untuk bersama-sama mencipta sebuah negara bangsa yang berjaya.


SUMBER 
UTUSAN MALAYSIA
11 FEBRUARI 2011

10 Februari 2011

ISU SOSIAL : PAKAIAN BIARLAH SESUAI DENGAN STATUS PELAJAR


Dahulu, etika berpakaian di institusi pengajian tinggi (IPT) jarang diberi perhatian khusus kerana mahasiswa bergaya mengikut kesesuaian yang boleh diterima norma masyarakat. Mereka meletakkan matlamat menjejakkan kaki di IPT untuk menuntut ilmu dan mengubah nasib keluarga dan tidak terlalu terdedah kepada aliran fesyen masa kini. Pakaian sopan serta mudah disesuaikan dengan semua situasi menjadi pilihan sementara jika berpakaian kurang sesuai dan pelik dipandang serong serta dilabel dengan tanggapan negatif. Bagaimanapun, kini etika berpakaian di kalangan mahasiswa mula menjadi bualan masyarakat dan sering diperkatakan pelbagai pihak kerana dikatakan sudah semakin melampau. Bukan saja tidak mengikut tertib peraturan ditetapkan institusi, malah berani pula berpakaian seksi yang ternyata melanggar batas maruah individu dan menyakitkan mata masyarakat. Tidak kurang pula berpakaian pelik atas nama fesyen.

Ini sekali gus mencalar nama baik institusi, keluarga dan negara selain mengundang persepsi negatif umum tingkah laku mahasiswa di menara gading yang sepatutnya menjadi golongan contoh. Persoalannya, adakah etika berpakaian ditetapkan selama ini sudah tidak bersesuaian dengan jiwa mahasiswa yang kebanyakannya terdiri daripada generasi muda yang moden dan fanatik terhadap fesyen? Adakah kurangnya pemantauan masyarakat dan institusi pengajian menjadikan mereka semakin berani melanggar peraturan, sekali gus menggunakan alasan hak sebagai perisai daripada dikenakan tindakan? Ketua program Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara ( UiTM), Anas Musavir berkata, mahasiswa perlu bijak dan akur terhadap peraturan ditetapkan serta jangan menggunakan alasan hak sebagai ‘menghalalkan’ segala perbuatan. Menurutnya, setiap institusi mempunyai peraturan etika berpakaian wajib diikuti bagi membezakan mereka sebagai warga berpendidikan tinggi, selain mencerminkan budaya ilmu.

Institusi tidak pernah menghalang, namun biarlah mengikut garis panduan ditetapkan, apatah lagi etika berpakaian itu mencerminkan kualiti diri dan institusi diwakili. Sebagai pusat pembudayaan ilmu, IPT mengharapkan warganya kelihatan profesional, terpelajar serta diiktiraf masyarakat. Bayangkan kalau mereka berpakaian selekeh, tidak senonoh atau sakit mata memandang, apakah tanggapan orang luar? Etika berpakaian bukan untuk menafikan hak individu tapi lebih kepada mendidik  dan mendisiplinkan juga sebagai proses awal menyiapkan mereka mengikut peraturan selari keperluan industri pekerjaan. IPT bukan tempat untuk bergaya keterlaluan. Setiap mahasiswa IPT tertakluk kepada peraturan berpakaian yang sudah ditetapkan iaitu kemas dan sopan. Bagi lelaki, digalakkan memakai pakaian kasual dengan seluar panjang dan baju kemeja apabila ke kuliah atau berbaju kebangsaan. Perempuan pula lebih manis berbaju kurung, berpakaian longgar dan bersesuaian untuk ke kuliah mahu pun ketika melaksanakan tugasan luar.

Dilarang memakai selipar, berbaju jarang dan ketat, seluar pendek, seluar ketat, jeans lusuh, skirt pendek dan kemeja-T berkolar bulat. Mahasiswa hari ini kian berani berpakaian tidak sepatutnya hingga ‘menyakitkan’ mata disebabkan faktor budaya dan mudahnya memperoleh pelbagai perkembangan terkini dunia fesyen melalui media menjadi penyumbang utama. Budaya masyarakat yang selalu bersikap terbuka dan ‘’tidak kisah’ menyebabkan mereka semakin berani berpakaian sesuka hati. Malah ada juga IPT tidak mengambil tindakan terhadap pelajar yang melanggar peraturan dengan alasan tertentu, sekali gus menjadikan mereka besar kepala. Kesalahan tidak boleh diletakkan pada satu pihak semata - mata, yang cuai perlu ditegur dan diperbetulkan. Masalahnya, bukan semua mahu memikul tanggungjawab itu, justeru yang salah terus melakukan kesalahan. Apatah lagi dengan segala kemudahan mengikuti aliran fesyen terkini menyebabkan fesyen tidak bersesuaian turut dipakai. Ini impak yang kurang baik kerana bukan saja boleh merosakkan perjalanan ilmu, malah mampu memberi pengaruh negatif kepada orang lain.

Meskipun ada yang mengatakan fesyen itu hak individu tapi tidak bermakna boleh melanggar peraturan sesuka hati. Amat menyedihkan apabila mahasiswa yang diiktiraf golongan cerdik pandai menjadi hamba fesyen terutama yang tidak senonoh. Misalnya, ada mahasiswa lelaki kini ‘bertukar’ karakter seperti perempuan dengan memakai gincu atau berskaf, begitu juga sebaliknya. Inikah golongan yang boleh disandarkan harapan? Fenomena ini kian menakutkan. Katanya, berfesyen tidak salah namun, perlu mengikut lunas tertentu supaya tidak mencalar maruah diri serta institusi yang selama ini berusaha memberi imej terbaik kepada masyarakat. Fesyen adalah subjektif dan fleksibel mengikut kehendak masing-masing, namun biarlah ada kesopanan serta tidak menjolok mata selain boleh mendatangkan masalah kemudian hari. 

Andaian peribadi tidak boleh diukur melalui cara berpakaian, namun interpretasi awal dibuat melaluinya.  Dengan kata lain, pakaian melambangkan cermin diri seseorang. Mahasiswa perlu akur, institusi bukan tempat untuk melawa atau lawan bergaya tapi menuntut ilmu. Bagaimanapun, sebahagian besar mahasiswa tahu meletakkan kepentingan dan matlamat utama berada di IPT selain tidak terlalu taksub pada kehendak fesyen semasa. Menggayakan sebarang fesyen sama ada moden atau tradisional tidak salah, namun biarlah mengikut etika ditetapkan. Bukan melakukannya untuk institusi semata-mata, malah lebih penting demi menjaga peribadi dan maruah diri daripada pandangan serong masyarakat. Janganlah mencari glamor dengan berfesyen kerana ditakuti kalau tersilap langkah, buruk padahnya.

Oleh :
Ruhaiza Rusmin

SUMBER
HARIAN METRO
07 FEBRUARI 2011

ISU SOSIAL : KEJAM! KEJAM! KEJAM!!!


Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sejumlah 517 bayi dibuang di seluruh negara sejak enam tahun lalu. Kebanyakan kes buang bayi dilakukan individu terutama gadis yang bimbang maksiat terbongkar selain tiada tempat mengadu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, berdasarkan perangkaan, seramai 203 mangsa dikenal pasti sebagai bayi lelaki manakala 164 bayi perempuan. Bagaimanapun, 150 kes lagi gagal dikenal pasti jantina berikutan keadaan bayi tidak cukup sifat atau hanya penemuan janin. Malah, ada juga mayat bayi sudah reput dan bedah siasat tidak dapat dilakukan. Daripada jumlah itu juga seramai 230 bayi ditemui masih hidup manakala 287 sudah meninggal dunia. Tahun 2008 mencatatkan jumlah pembuangan bayi teramai membabitkan 102 kes. Statistik ini agak menggerunkan apatah lagi gejala buang bayi terus berlaku.

Dalam bulan lalu saja, sebanyak 19 kes bayi dilaporkan dan angka ini dijangka meningkat.  Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga seramai 37 suspek ditahan termasuk empat individu sepanjang bulan lalu. Hasil kajian mendapati lokasi yang paling digemari untuk membuang bayi di kawasan perumahan, tempat pembuangan sampah, masjid, surau, jalan, sungai, semak dan tandas. Beliau berkata, gejala pembuangan bayi ini banyak dipengaruhi faktor bimbang rahsia terlanjur melakukan hubungan seks diketahui keluarga dan rakan-rakan selain tidak mempunyai tempat untuk mendapatkan khidmat nasihat, jagaan dan sokongan moral daripada masyarakat sekeliling. Apa yang jelas kebanyakan remaja yang mengandung anak luar nikah itu tetap melakukan perbuatan kejam berkenaan walaupun menyedari perbuatan membuang bayi yang baru dilahirkan menyalahi undang-undang. Mohd Bakri berkata, dalam menangani masalah sosial itu, PDRM mengambil pendekatan serius dengan menggunakan pendekatan pencegahan dan rawatan serentak.


Paling penting peranan ibu bapa dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan selain menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Mereka juga perlu mengawal pergaulan anak-anak bagi memastikan anak masing-masing tidak terbabit dengan seks bebas. Selain itu penyebaran filem pornografi turut menjadi punca aktiviti seks bebas ini terus menular di dalam masyarakat,” katanya. Pada masa sama beliau turut memberi penerangan berhubungan sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai NUR Alert (National Urgent Response Alert) yang kini diambil alih sepenuhnya oleh pihak PDRM daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Menurutnya, tanggungjawab itu yang mula dijalankan PDRM sejak 27 Januari lalu membolehkan polis melakukan tugas mengesan, menyiasat dan menghebahkan perkara itu kepada media dengan lebih pantas berhubung laporan kes kehilangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

SUMBER :
HARIAN METRO
10 FEBRUARI 2011

ISU KENEGARAAN : RAKYAT BENCI PEMIMPIN RASUAH DAN ZALIM


Apabila Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali tersingkir daripada pemerintahannya kerana kebangkitan rakyat, ramai penganalisis meramalkan ia akan diikuti dengan kejatuhan kerajaan Arab lain terutama yang berasaskan monarki. Apa yang berlaku di Tunisia itu bakal mencetuskan teori domino kepada kebangkitan rakyat di rantau tersebut. Ramalan itu seolah-olah benar apabila kini Mesir juga turut bergolak di samping beberapa negara lain di rantau Arab. Tetapi adakah ini petanda kejatuhan pemerintah yang berasaskan monarki di Arab? Kejatuhan Zine El Abidine dilihat sebagai amaran kepada para pemerintah Arab yang terkenal dengan sifat boros dan rasuah. Amaran bahawa rakyat akan bangkit. Selepas Tunisia, kebangkitan itu mula terasa di Kesultanan Oman, Jordan, Sudan dan yang paling teruk Mesir. Tetapi realitinya masih terlalu awal untuk mengatakan kesan domino itu akan menjatuhkan para pemimpin di rantau Arab.

Walaupun kebanyakan kepimpinan di negara Arab lebih bersifat autoritarian atau monarki, namun latar belakang sosioekonomi turut mempengaruhi kejatuhan sesuatu kerajaan. Rakyat Tunisia bangkit menjatuhkan Zine al-Abidin kerana mereka telah lama menderita dan hidup dalam kesusahan.  Sedangkan Presiden dan isterinya tidak segan silu hidup dengan menunjuk-nunjuk dan menonjolkan kemewahan mereka. Sebab itu tragedi seorang pemuda miskin peniaga buah membakar diri kerana gerainya di rampas oleh pihak berkuasa kerana gagal melunaskan cukai menjadi pencetus kepada kebangkitan rakyat. Begitu juga di Mesir, selama 30 tahun di bawah pemerintahan Presiden Hosni Mubarak mereka dimomokkan dengan propaganda bahawa Mubarak banyak berjasa kepada negara itu. Mubarak telah berjaya membawa pelbagai kemajuan kepada Mesir hingga menjadikannya dihormati dan paksi kepada rantau Arab.

Realitinya, di sebalik segala momokan itu, kemiskinan bukan sahaja menghuni kampung-kampung di Lembangan Nil yang subur, tetapi turut merebak ke lorong-lorong di kota-kota besar. Golongan miskin terpaksa hidup gelandangan. Mengejar bas mini yang langsung tidak ada ciri-ciri keselamatan sebagai pengangkutan harian. Ramai daripada mereka meminta sedekah di pasar, terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan roti, mengemis untuk mendapatkan pekerjaan (yang gajinya tidak seberapa).Dalam gelak ketawa rakyat miskin negara itu tersembunyi penderitaan yang menuntut agar sesuatu di lakukan oleh kerajaan. Apabila kerajaan pimpinan Mubarak dikatakan gagal mengatasi penderitaan golongan miskin ia mendorong kepada kebangkitan rakyat untuk menuntut kehidupan yang lebih adil. Lebih 40 peratus penduduk negara itu hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$2 sehari. Bagi mereka yang pernah melancong atau menjelajah ke Mesir pasti dapat menyaksikan sendiri erti penderitaan rakyatnya.

Nelayan dengan jaring yang koyak, wanita tinggal atas bumbung kerana tidak mampu menyewa rumah atau bilik, budak lelaki menjual bakul di jalanan dan hanya tidur dalam sampah sarap merupakan pemandangan yang biasa dilihat. Itu belum diambil kira kisah buruh yang kesempitan hidup dan tidak mampu menyara makan keluarga hingga menggantung dirinya. Sama seperti Zine al-Abidin, Mubarak juga terkenal dengan pemerintahannya yang keras. Bagi pemerhati antarabangsa sifat sebenar Mubarak tersembunyi di sebaliknya senyumannya “Kemarahannya tersembunyi di sebalik topeng senyumannya itu,” kata seorang analisis. Sebab itu, apabila rakyat bangun menentang maka ia berakhir dengan pertumpahan darah. Mubarak adalah seorang yang tidak bertolak ansur dengan penentang. Beliau lebih rela memusnahkan mereka daripada berkompromi. Tetapi kemiskinan dan kemarahan telah mendorong rakyat untuk menentang kedua-dua kerajaan itu - Tunisia dan Mesir.

Yang pasti Zine El-Abidin telah tumbang di Tunisia, sementara Mubarak kini semakin tertekan untuk terus mengekalkan kuasa. Adakah apa yang berlaku di kedua-dua negara Arab ini akan mempengaruhi negara Arab lain terutama yang mengamalkan pemerintahan beraja? Bunga-bunga penentangan itu sudah timbul di Jordan apabila pembangkang telah mengadakan perhimpunan antikerajaan bagi mendesak pemulihan ekonomi bagi mengatasi masalah pengangguran dan inflasi. Di Oman minggu lalu, rakyat berarak membantah kenaikan harga barang dan masalah rasuah di negara itu. Bantahan itu dikatakan fenomena yang jarang sekali berlaku di negara Teluk itu. Ada yang mengaitkannya dengan pengaruh Tunisia. Di Sudan, pembangkang mendesak supaya kerajan totalitarian Presiden Omar al-Bashir diganti. Begitu juga di Algeria dan Mauritania apabila beberapa lelaki membakar diri meniru apa yang dilakukan oleh pemuda penjual buah di Tunisia.

Begitu juga di Yemen turut berlaku bantahan ekoran keadaan ekonomi yang semakin menekan rakyat. Ini menunjukkan negara-negara yang berhadapan dengan masalah ekonomi, kemiskinan, pengangguran dan inflasi yang tinggi mempunyai potensi besar untuk menyaksikan kebangkitan rakyat bagi menjatuhkan kerajaan. Kesan domino itu tidak mungkin akan berlaku di negara-negara Arab yang kaya seperti Qatar, Emeriah Arab Bersatu, Bahrain, Kuwait dan Arab Saudi. Di negara-negara ini rakyatnya hidup senang lenang kerana dibiayai hasil minyak yang melimpah ruah. Pendapatan perkapita rakyat mencecah enam angka. Ini berbeza dengan negara-negara seperti Tunisia, Mesir, Yemen, Sudan dan Oman. Yang mana sebahagian besar rakyat hidup miskin dan tertekan. Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan ketidakpuasan sosial semakin marak di beberapa negara rantau Arab yang boleh membawa kepada perubahan kerajaan.

Dianggarkan purata kadar pengangguran di rantau Arab adalah 12 peratus antara 2005-2008. Di kalangan belia pula mencecah 30 peratus. Malah laporan PBB menyatakan kebimbangan inflasi yang tinggi dan kenaikan harga makanan akan menjadi titik tolak kepada penentangan rakyat di rantau Arab. Namun, untuk mengatakan apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir akan mempengaruhi keseluruhan rantau Arab masih terlalu awal. Penganalisis berpendapat, kesan daripada apa yang berlaku di Tunisia kepada negara lain bergantung kepada bagaimana negara itu berubah. Adakah ia berubah kepada kebaikan atau terus terjerumus ke dalam kancah huru hara? Jika perubahan di Tunisia berjalan dengan elok dan kehidupan rakyat bertambah baik maka kemungkinan ia akan  dicontohi.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
08 FEBRUARI 2011