Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sejumlah 517 bayi dibuang di seluruh negara sejak enam tahun lalu. Kebanyakan kes buang bayi dilakukan individu terutama gadis yang bimbang maksiat terbongkar selain tiada tempat mengadu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, berdasarkan perangkaan, seramai 203 mangsa dikenal pasti sebagai bayi lelaki manakala 164 bayi perempuan. Bagaimanapun, 150 kes lagi gagal dikenal pasti jantina berikutan keadaan bayi tidak cukup sifat atau hanya penemuan janin. Malah, ada juga mayat bayi sudah reput dan bedah siasat tidak dapat dilakukan. Daripada jumlah itu juga seramai 230 bayi ditemui masih hidup manakala 287 sudah meninggal dunia. Tahun 2008 mencatatkan jumlah pembuangan bayi teramai membabitkan 102 kes. Statistik ini agak menggerunkan apatah lagi gejala buang bayi terus berlaku.
Dalam bulan lalu saja, sebanyak 19 kes bayi dilaporkan dan angka ini dijangka meningkat. Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga seramai 37 suspek ditahan termasuk empat individu sepanjang bulan lalu. Hasil kajian mendapati lokasi yang paling digemari untuk membuang bayi di kawasan perumahan, tempat pembuangan sampah, masjid, surau, jalan, sungai, semak dan tandas. Beliau berkata, gejala pembuangan bayi ini banyak dipengaruhi faktor bimbang rahsia terlanjur melakukan hubungan seks diketahui keluarga dan rakan-rakan selain tidak mempunyai tempat untuk mendapatkan khidmat nasihat, jagaan dan sokongan moral daripada masyarakat sekeliling. Apa yang jelas kebanyakan remaja yang mengandung anak luar nikah itu tetap melakukan perbuatan kejam berkenaan walaupun menyedari perbuatan membuang bayi yang baru dilahirkan menyalahi undang-undang. Mohd Bakri berkata, dalam menangani masalah sosial itu, PDRM mengambil pendekatan serius dengan menggunakan pendekatan pencegahan dan rawatan serentak.
Paling penting peranan ibu bapa dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan selain menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Mereka juga perlu mengawal pergaulan anak-anak bagi memastikan anak masing-masing tidak terbabit dengan seks bebas. Selain itu penyebaran filem pornografi turut menjadi punca aktiviti seks bebas ini terus menular di dalam masyarakat,” katanya. Pada masa sama beliau turut memberi penerangan berhubungan sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai NUR Alert (National Urgent Response Alert) yang kini diambil alih sepenuhnya oleh pihak PDRM daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Menurutnya, tanggungjawab itu yang mula dijalankan PDRM sejak 27 Januari lalu membolehkan polis melakukan tugas mengesan, menyiasat dan menghebahkan perkara itu kepada media dengan lebih pantas berhubung laporan kes kehilangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.
SUMBER :
HARIAN METRO
10 FEBRUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan