10 Oktober 2010

ISU ALAM SEKITAR : 1000 RAHSIA HIDUPAN LAUT

Lautan merupakan satu anugerah tuhan kepada manusia yang tidak terperi indahnya dan tak tercapai dek akal akan kewujudannya. Begitu juga dengan hidupan di dalamnya yang sehingga kini masih kekal sebagai satu misteri besar dalam kehidupan manusia. Ketika manusia di Barat sibuk untuk mewujudkan satu jawatan tentang siapa yang bakal menjadi jurucakap bumi jika terdapat makhluk asing yang mahu membuat hubungan dengan manusia hakikatnya lautan yang terbentang luas itu pun masih jauh lagi untuk diketahui tentang kewujudan spesis yang terdapat di dalamnya. Mungkin agak melucukan, namun hasil kajian para saintis mendapati lebih tiga perempat dari lebih sejuta spesis (mungkin lebih) yang terdapat di dalam laut masih belum diketahui kewujudannya.

Lautan yang boleh kita tafsirkan sebagai himpunan air masin yang meliputi permukaan bumi yang dibatasi oleh benua ataupun kepulauan yang besar merupakan elemen yang dominan di atas muka bumi. Dianggarkan lautan meliputi 71 peratus dari permukaan bumi, dengan luas sekitar 361 juta kilometer persegi. Manakala isi lautan pula dianggarkan sekitar 1370 juta kilometer padu, dengan kedalaman rata-rata 3790 meter. Berdasarkan hasil kajian rangkaian penyelidik dari Cencus of Marine Life yang didedahkan pada Selasa lepas, terdapat lebih sejuta spesies mendiami lautan dengan sekurang-kurangnya tiga perempat daripadanya masih belum dikenal pasti. Census of Marine Life merupakan rangkaian penyelidik global di lebih 80 negara yang telah terlibat secara aktif dalam kajian saintifik selama 10 tahun tentang kepelbagaian, pergerakan dan cara hidup pelbagai jenis spesis yang terdapat di dalam laut.

Kajian tersebut yang bernilai AS$650 juta (RM2.08 bilion) itu telah berjaya menemui lebih 6,000 spesies baru dan beberapa spesies hidupan yang sebelum ini di kategorikan jarang dijumpai, tetapi sebenarnya banyak terdapat di dalam laut. Penyelidikan tersebut melibatkan lebih 2,700 saintis, 670 institusi dan lebih 540 lawatan yang mengambil masa kira-kira 9,000 hari di laut. Hampir 30 juta pemerhatian dilakukan ke atas 120,000 jenis spesies hidupan sepanjang kajian dijalankan. Menurut laporan tersebut apa yang didedahkan adalah satu penemuan yang tidak pernah diperolehi sebelum ini. Ia adalah gambaran tentang kepelbagaian, taburan dan perbezaan hidupan laut di muka bumi ini, daripada mikrob kepada paus, dari kawasan kutub berais ke kawasan tropika, daripada ombak di tepi pantai hingga ke dasar laut yang paling dalam. Kajian itu dijalankan bagi mengenal pasti hidupan yang pernah mendiami lautan, yang tinggal di laut masa kini dan kemungkinan spesies yang boleh hidup di laut pada masa depan. Menurut penyelidikan tersebut, sebanyak 16,764 spesies ikan berjaya dikenal pasti setakat ini, tetapi kira-kira 5,000 spesies lagi masih belum dapat ditentukan jenisnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengendali Cencus of Marine Life, Ian Poiner berkata, penyelidik buat kali pertama dapat menentukan antara spesies yang dikenali dan yang tidak di kenali secara sistematik. "Semua hidupan di permukaan bergantung kepada kehidupan di dalam dan dasar laut. Hidupan laut mem bekalkan separuh daripada oksigen dan banyak makanan kepada kita se lain mengawal perubahan iklim," katanya yang berasal dari Australia. Melihat kepada kepentingan hidupan laut ini pastinya membuat kita terfikir apa perlunya manusia terlalu membazir tentang apakah benar wujudnya kehidupan di angkasa lepas.

Telah terlalu banyak wang dihabiskan untuk membuat kajian tentang perkara ini sedangkan hakikatnya hidupan di dalam laut itu sendiri masih terlalu banyak yang tidak diketahui kewujudannya. Agak menghairankan kenapa perkara ini tidak diberikan perhatian yang lebih khusus padahal benar-benar terdapat hidupan di dalam laut yang mungkin boleh memberi kesan yang lebih dalam kehidupan manusia. Bukan untuk menidakkan kepentingan penerokaan sains angkasa lepas namun jika ia terlalu tertumpu apakah benar wujud kehidupan di luar sana, adalah malang jika kita mengabaikan hidupan di dalam laut yang terdapat di bumi itu sendiri.

Oleh Hafizahril Hamid
Utusan Malaysia
10 Oktober 2010
 

ISU KESIHATAN = AKIBAT SUKA MAKAN MAKANAN SEGERA

Cara hidup masyarakat yang semakin gemar makan makanan segera dan bergoreng di restoran-restoran dikenal pasti sebagai antara punca penyakit kronik semakin menjadi-jadi di kalangan penduduk Malaysia sejak kebelakangan ini. Jika dahulu penyakit jantung, diabetes dan darah tinggi dikaitkan sebagai penyakit orang kaya kerana kemampuan mereka untuk bermewah dengan makanan tetapi hari ini anggapan itu tidak boleh dipakai sepenuhnya. Pemakanan yang berlebihan daripada keperluan dan pengambilan makanan suplemen yang tidak betul juga antara penyumbang kepada penyakit-penyakit tersebut.

Semua lapisan masyarakat, tidak mengenal usia, bangsa, kaya atau miskin turut menghidap penyakit-penyakit kronik itu hari ini. Sementara itu jumlah penghidapnya kian meningkat terutama penyakit jantung koronari yang menjadi punca kematian nombor satu di Malaysia. Corak pemakanan yang tidak seimbang, pekerjaan tanpa banyak pergerakan dan faktor keturunan turut menjadi penyumbang kepada penyakit-penyakit kronik yang boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dan dikawal.

Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia Dr. Tee E. Siong tidak menyangkal bahawa latar belakang genetik dan keturunan seseorang turut memainkan peranan menyumbang kepada penyakit-penyakit kronik itu. Namun demikian, punca utama kepada penyakit tersebut masih banyak ditentukan oleh corak pemakanan dan diet yang salah, tidak seimbang serta melakukan pekerjaan yang tidak memerlukan banyak pergerakan dan tenaga. Kita tidak boleh menyalahkan keturunan kedua-dua orang tua kita kerana memiliki baka penyakit-penyakit tersebut, sebaliknya kita sendiri yang patut dipersalahkan kerana mengamalkan cara hidup yang kurang sihat.


Hakikatnya, adalah tidak tepat sekiranya pengamal makanan sayur-sayuran (vegetarian) menganggap bahawa mereka tidak boleh menghidap penyakit jantung koronari misalnya. Harus diingat, dengan hanya tidak memakan daging yang mengandungi kolesterol tidak akan melindungi seseorang daripada menghidap penyakit jantung koronari. Pengambilan tenaga daripada lemak dan karbohidrat serta komponen lain dalam diet seperti serat dan sumber garam merupakan faktor penting untuk mengekalkan kesihatan. Adalah diingatkan bahawa kolesterol yang menyumbat arteri disumbangkan oleh badan seseorang itu dan bukan berpunca daripada makanan semata-mata.


Penyakit-penyakit kronik itu boleh dielakkan kerana tahap kesihatan seseorang itu ditentukan oleh mereka sendiri. Rakyat Malaysia perlu peka dengan kehadiran dan bahayanya penyakit-penyakit tersebut jika tidak dikawal dan mengambil langkah-langkah positif lebih awal bagi mengelak risiko untuk menghidapnya. Sementara itu,  penyakit-penyakit kronik yang berpunca daripada pemakanan dan diet yang tidak betul termasuk obesiti, darah tinggi, diabetes, jantung koronari dan beberapa jenis barah semakin meningkat di Malaysia. Walaupun sejak 40 tahun lalu penduduk Malaysia telah banyak mengubah corak pemakanan dan diet namun penyakit-penyakit kronik tetap dihidapi kerana sesetengahnya masih menggemari makanan yang senang dibeli dari restoran-restoran dan warung tanpa melakukan aktiviti secukupnya untuk membakar lemak.


Penduduk yang begitu peka memulihara kesihatan menerusi corak pemakanan bagaimanapun telah mengurangkan makan nasi, tidak menambah pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, menambah pengambilan lemak dan minyak, karbohidrat yang halus, daging/ ikan dan telur. Penduduk Malaysia juga turut menambah peratusan tenaga menerusi pemakanan lemak dan menambah sumber protein daripada binatang, lemak dan kalori. Sementara itu semakin banyak keluarga gemar makan di luar rumah dan makan makanan bergoreng. Penduduk kita  juga suka mengambil makanan yang lebih daripada diperlukan dan mengambil suplemen nutrien yang tidak betul.



09 Oktober 2010

ISU PENDIDIKAN : UPSR DIKEKALKAN, PMR DIMANSUHKAN MULAI 2016


Perkara ini telah diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Malaysia pada 9 Oktober 2010. Keputusan ini merupakan hasil persetujuan rundingan meja bulat terakhir mengenai cadangan pemansuhan UPSR dan PMR. Perubahan ini akan dilaksanakan mulai tahun 2016. Antara perubahan yang dicadang dalam proses penambahbaikan UPSR, termasuk mengambil kira bidang utama saja dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan baki 40 peratus berteraskan kokurikulum atau sivik. Bagi UPSR, walaupun kemungkinan besar UPSR dikekalkan, bentuk dan  formatnya agak berbeza dengan penambahbaikan yang kita akan lakukan. Mengenai PMR, meja bulat bersetuju dengan cadangan mengubah bentuk (pelaksanaannya) kepada penilaian berasaskan sekolah. Tapi, Lembaga Peperiksaan perlu menyelaras ujian itu supaya tidak dilihat berat sebelah.

AYAT MAJMUK PANCANGAN


DEFINISI


1. Gabungan ayat-ayat tunggal yang tidak setara untuk membentuk ayat baru.
2. Satu ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil dipancangkan ke dalam ayat induk tersebut.

JENIS-JENIS

1. Ayat Majmuk Pancangan Relatif.
2. Ayat Majmuk Pancangan Komplemen
3. Ayat Majmuk Pancangan Keterangan.

AYAT MAJMUK PANCANGAN RELATIF

1. Menggunakan penanda relatif "yang"

Contoh :

AYAT 1 : Bill Clinton sedang makan nasi ayam penyet.
AYAT 2 : Nasi ayam penyet itu George Bush beli.

= Bill Clinton sedang makan nasi ayam penyet yang George Bush beli itu.

AYAT MAJMUK PANCANGAN KOMPLEMEN

1. Menggunakan kata komplemen 'bahawa" dan "untuk"

Contoh :

1. Will Smith mengumumkan bahawa dia akan berlakon filem arahan Suhaimi Baba.
2. Untuk memastikan dirinya sentiasa popular, dia sentiasa mencetuskan kontroversi.
3. Mike Tyson menegaskan bahawa dia dikhianati oleh Sapok Biki dalam perlawanan tinju semalam.

KIASAN BERPINDAH

KIASAN SANDAR

1. Dikaitkan dengan benda lain yang serupa dengan perkara yang dikiaskan.
2. Contoh : mandi kerbau, tidur ayam, pening lalat, jinak merpati

KIASAN TERUS

1. Menyatakan sesuatu perkara secara terus dengan perkara lain
2. Mempunyai makna yang berbeza dengan makna kata itu
3. Contoh : Kutu embun, mabuk darah, naik darah.

KIASAN BERANGKAP

1. Mempunyai pertentangan bunyi antara perkara yang diperkatakan dengan perkara yang dikiaskan.
2. Contoh : mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

KIASAN BERBUNGA

1. Menggunakan kata-kata yang indah
2. Juga dikenali kiasan permanusiaan atau personifikasi
3. Contoh : pohon melambai-lambai

KIASAN PEMANIS

1. Melindungi daripada memperkata sesuatu yang kurang manis
2. Merupakan bahasa halus
3. Mengelakkan orang tersinggung
3. Contoh : berbadan dua, orang rumah, ke sungai kecil

KIASAN MELOMPAT

1. Maksud yang sama dengan kata-kata tersebut
2. Contoh : tangan baju, kaki seluar, menjahit baju.

KIASAN MELARAT

1. Menyimpang jauh dari makna asal
2. Contoh : sudah berisi = Mengandung, berat tulang = Malas

KIASAN

DEFINISI

Ungkapan yang menyatakan sesuatu perkara dengan mengiaskan kepada satu perkara yang lain, sama ada menyebut perbandingan atau tidak.

FUNGSI KIASAN

1. Menjelaskan sesuatu maksud
2. Menguatkan sesuatu maksud.
3. Sebagai bahasa halus

JENIS-JENIS KIASAN

1. Kiasan asal
2. Kiasan berpindah

KIASAN ASAL

1. menerangkan sesuatu perkara dengan menggunakan perkara lain
2. menggunakan kata perbandingan iaitu seperti, bak, umpama, bagai, macam

Contoh :

1. manis seperti madu
2. hancur seperti kaca terhempas
3. merdu bak buluh perindu

KIASAN BERPINDAH

1. Kiasan yang tidak menggunakan kata perbandingan
2. Kata dicantumkan terus dengan perkara yang dijadikan perbandingan.

JENIS-JENIS KIASAN BERPINDAH

1. Kiasan Sandar
2. Kiasan terus
3. Kiasan berangkap
4. Kiasan berbunga
5. Kiasan pemanis atau gayang
6. Kiasan melompat
7. Kiasan melarat.

UNSUR-UNSUR FRASA DALAM AYAT

UNSUR KESERASIAN MAKNA

1. Kepulangan Putera Jerico Gonzalez disambut dengan riang gembira.
2. Mat Kilau merupakan pahlawan Melayu yang gagah berani.

UNSUR MAKNA BERLAWANAN

1. Sebagai pekerja yang berpengalaman banyak peristiwa yang pahit manis yang dialaminya.

UNSUR MAKNA KESERUPAAN

1. Baju yang dipakai oleh Tyra Bank itu berwarna biru laut.

HASIL KARYAKU: APABILA LELAKI TERSENYUM

Apabila lelaki tersenyum padamu
tak semestinya dia jatuh cinta
mungkin senyumannya senyum menghina
dia jelek atau tidak suka
janganlah rasa disuka
kerana hatinya
penuh dengan dusta

Apabila lelaki tersenyum padamu
tak semestinya dia bahagia
mungkin jiwanya tenat dibalut masalah
derita dan sengsara mengelambui hidupnya
dekatilah dia
mungkin terbuka hatinya
untuk berseloka dan bercerita
suka dukanya

Apabila lelaki tersenyum
tidak semestinya dia berjaya
mungkin dia nazak ditimpa masalah
janganlah kau ucapkan tahniah
kerana ketika itu
hatinya parah bernanah
Apabila lelaki tersenyum
balaslah dengan kemesraan
agar jiwa lelakinya bisa kau takluki

kerana dia dahagakan cinta
inginkan belaian
dari seorang insan
bernama wanita

Nukilan Rasa Sang Perwira Cinta
Zul Farihin
09/10/2010




HASIL KARYAKU: JANGAN LUPAKAN AKU


jangan lupakan aku
pabila aku tiada
kerana antara kita
ada ikatannya
pertama, sayang
kedua, cinta
ketiga, kasih


jangan lupakan aku
pabila aku pergi
sebab antara kita
ada kaitannya
pertama, rindu
kedua, kumilikmu
ketiga, kubahagia
disampingmu


jangan lupakan aku
pabila aku mati
lantaran antara kita
ada ikatan suci
tidak akan terputus
walau jasadku
bersemadi

SUSUNAN YANG BETUL UNTUK PERANCANGAN BAHASA MELAYU

01. Perancangan Dasar

02. Perancangan Taraf

03. Pengekodan

04. Penilaian hasil dan pemantapan strategi

YANG SALAH DAN YANG BETUL

YANG SALAH
Di masa cuti sekolah, banyak orang balik ke kampung
YANG BETUL
Pada masa cuti sekolah, banyak orang balik ke kampung

YANG SALAH
Taylor Lautner menceburkan diri di bidang lakonan.
YANG BETUL
Taylor Lautner menceburkan diri dalam bidang lakonan.

YANG SALAH
Bersama-sama surat ini, saya lampirkan borang kaji selidik.
YANG BETUL
Bersama-sama surat ini, saya lampirkan borang kaji selidik.

YANG SALAH
Saya tidak akan mensiakan peluang ini.
YANG BETUL
Saya tidak akan mensia-siakan peluang ini.

YANG SALAH
Setengah orang tidak suka makan makanan yang manis-manis.
YANG BETUL
Sesetengah orang tidak suka makanan yang manis-manis.
Setengah-setengah orang tidak suka makanan yang manis-manis.

YANG SALAH
Di antara yang hadir ke majlis tersebut ialah Micheal Owen.
YANG BETUL
Antara yang hadir ke majlis tersebut ialah Micheal Owen.

YANG SALAH
Kerjasama di antara mereka akan diteruskan lagi.
YANG BETUL
Kerjasama antara mereka akan diteruskan lagi.

YANG SALAH
Program ini ialah hasil daripada kerjasama antara USM dan UNIMAS.
YANG BETUL
Program ini ialah hasil daripada kerjasama antara USM dengan UNIMAS

YANG SALAH
Dia belajar dari pengalaman.
YANG BETUL
Dia belajar daripada pengalaman.

YANG SALAH
Buku itu dimasukkan dalam laci.
YANG BETUL
Buku itu dimasukkan ke dalam laci.