26 September 2010

HASIL KARYAKU: SOMBONGNYA CIKGU ITU


Sombongnya cikgu itu
dia ingat dia popular
nama terkenal di sini sana
pandai mengajar berilmu kononnya
kesukaan pelajar dan warga sekolahnya
mendabik dada bagai si kera
melibas ekor bagai buaya
meluat hamba menyaksikannya


Angkuhnya cikgu itu
ke sana sini menjaja cerita
kononnya dialah yang bijaksana
pandai bekerja menepati masa
kesukaan pengetua sudahlah nyata
asyik menyalak bagaikan anjing
kadang-kadang menyinga bagai singa betina
geli hamba melihat lakunya


Congkaknya cikgu itu
selalu mencanang kelebihan dirinya
konon-kononnya banyak pengalaman
bukan berguni tapi bertan-tan
tak sedar diri bagaikan Pak Pandir
tak tahu diri bagaikan pak kaduk
cuba-cubalah cermin muka wahai mat jenin
supaya kau nampak tanah tempat berpijak

Karya
Cikgu Zul Farihin
SMK Sacred Heart
26/09/2010

Catatan:
Sajak ini hanyalah cetusan bayangan hati diri saya dan tiada kena mengena dengan mana-mana guru baik yang mengenali diri saya mahupun yang tidak mengenali diri saya. 

HASIL KARYAKU: ENGKAULAH SAHABAT

Sahabat
aku sakit
kau beri ubat
ubat mujarab
sehingga ku terlelap
sembuh dan cergas
seperti sedia kala


Sahabat
aku salah
kau beri nasihat
nasihat berguna
sehingga ku sedar
dari cuai dan lalai
utuh peribadi


Sahabat
aku lapar
kau suapkan makanan
makanan yang enak
dan mengenyangkan
laparku hilang


Sahabat
aku gagal
kau beri dorongan
kata-kata perangsang
pembangkit semangat
untukku bangkit
meneruskan perjuangan

Nukilan dari jiwa
Cikgu Zul Farihin
26 September 2010

SMK Sacred Heart
Sibu Sarawak



HASIL KARYAKU: GURUKU YANG CANTIK

Guruku yang cantik
cantik perbuatan bagai diacuan
cantik kelakuan dihias sopan
cantik perangai bagai dicanai
cantik pertuturan menawan perasaan
cantik senyuman bagai lukisan


Guruku yang cantik
cantik pengajaran pelajarnya ilmuan
cantik didikan pelajarnya budiman
cantik ajaran pelajarnya cendikiawan
cantik asuhan pelajarnya negarawan
cantik asahan pelajarnya handalan


Guruku yang cantik
cantik wajahmu penyejuk jiwa
cantik layananmu bagaikan ibunda
cantik bersahabat bagaikan ayahanda
cantik nasihatmu untuk semua
cantik budimu takkan ku lupa


Guruku yang cantik
cantik budi indah pekerti
cantik bahasa sukar dilupa
cantik bicara mengenal dunia
cantik minda tempat bertanya
cantik segala itulah syurga

Hasil karya
Cikgu Zul Farihin
SMK Sacred Heart
26/09/2010




25 September 2010

BAHASA MALAYSIA KERTAS 1 STPM = ASAL USUL BAHASA MELAYU

FAKTA PENTING 

01. Filum ialah kelompok bahasa tertua berusia 5000 tahun. (Filum Austris )
02. Rumpun ialah kelompok bahasa berusia 2500 hingga 5000 tahun.
03. Terdapat 3 rumpun bahasa iaitu Austronesia, Austroasia, Cina-Tibet
04. Keluarga ialah kelompok bahasa berusia 2500 tahun.
05. Bahasa Austronesia terdiri daripada Nusantara, Polinesia, Malenesia, dan Mikronesia.
06. Bahasa Polinesia ialah Hawaii, Tonga, Tahiti, Samoa, Maori, dan Kepulauan Easter di Timur.
07. Bahasa Malenesia ialah kepulauan Fiji hingga ke Halmahera, New Guinea, New Caledonia, Irian.
08. Bahasa Mikronesia ialah kepulauan Marianna, Marshall, Gilbert, dan Carolina.
09. Bahasa Nusantara mengandungi 200 hingga 300 bahasa.
10. Bahasa Nusantara dikenali juga Bahasa Indonesia.

11. Subkeluarga Bahasa Indonesia ialah Indonesia Pusat dan Filipina-Formosa
12. Dalam subkeluarga Indonesia Pusat terdapat golongan bahasa Sumatera.
13. Bahasa Melayu terletak dalam golongan bahasa Sumatera.
14. Bahasa Sumatera - Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung, Melayu
15. Filipina - Tagalog, Iloko, Bikol, Bisaya, Sulu, Tombulu
16. Kalimantan - Iban, Kayan, Kenyah, Melanau
17. Bahasa Formosa - Favor, Lang, dan Singkam
18. Gorontalo - Bulanga, Kaidipan, Gorontalo, Buoi
19. Toroja - Kaili, Bare'e, dan Wotu
20. Jawa - Sunda, Jawa, dan Madura.

MORFOLOGI : 14 FAKTA PENTING


14 FAKTA PENTING 


01. Morfologi ialah bidang yang mengkaji pembentukan kata.

02. Empat aspek yang dikaji ialah struktur, binaan, golongan dan bentuk kata.

03. Bentuk kata ialah unit tatabahasa yang tunggal.

04. Bentuk kata terhasil dari pengimbuhan, penggandaan, dan pemajmukan.

05. Kata tunggal tidak menerima pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan.

06. Akronim ialah kata singkatan yang terhasil daripada percantuman perkataan.

07. Kata terbitan terhasil daripada proses gandingkan imbuhan dengan kata dasar.

08. Kata majmuk terhasil daripada gabungan dua atau lebih kata dasar.

09. Kata kerja transitif ialah kata kerja yang memerlukan objek selepas kata kerja.

10. Kata kerja tak transitif tidak memerlukan objek atau penyambut.

11. Kata hubung bertugas menggabungkan dua atau lebih ayat - ayat majmuk.

12. Kata praklausa ialah kata yang hadir di hadapan klausa.

13. Kata prafrasa ialah kata yang terletak di hadapan frasa.

14. Kata pascakata merujuk kepada fungsi -nya, hadir selepas sesuatu perkataan.

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Jangan lupa kualiti filem
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 1 Mac 2010

APABILA bercakap tentang kualiti, ada orang menganggap itu suatu yang subjektif. Ini kerana kualiti tidak boleh diukur dengan angka-angka tertentu. Tetapi pada masa yang sama juga kita kena mengakui bahawa ukuran kualiti itu tetap ada. Apa ukuran kualiti filem tempatan? Adakah jumlah kutipan dan bilangan penonton boleh dijadikan ukuran atau sebenarnya kita sendiri dapat mengukur kualiti sesebuah filem dari sudut yang lain?

Khalayak filem tempatan terlalu disogokkan dengan angka. Lalu mereka menganggap angka-angka ini mewakili kualiti sesebuah filem. Kutipan harian dijadikan satu tarikan untuk membawa penonton ke pawagam tetapi pada masa yang sama tidak menawarkan kepada penonton bahawa filem itu terbaik untuk mereka. Kalau pun kita tidak mampu menghasilkan filem yang hanya berkualiti, tetapi kita perlu berusaha untuk menawarkan kepada penonton filem yang memenuhi cita rasa massa. Pada masa yang sama pengarah dan produser dengan jujur mempertingkatkan tahap kualitinya.

Kalau setiap filem yang ditayangkan hanya menjaja angka, kita tidak ada dapat menghasilkan filem yang berkualiti. Walaupun ada yang pandai mengelak berkata kualiti itu subjektif tetapi orang yang menghasilkan tentu tahu yang dibuatnya berkualiti atau sekadar untuk kelangsungan perniagaan. Penonton mesti dicerdikkan atau mendorong mereka berfikiran kritis apabila mendepani filem-filem yang buruk di pawagam.

Ini bukan untuk membunuh filem tempatan tetapi apabila penonton berfikiran kritis dan tidak pasif seperti sekarang, pengarah dan produser akan membuat filem yang menepati atau mendekati cita rasa massa. Mereka tidak rugi apa-apa hanya sekadar mengalih daripada cenderung membuat filem yang buruk kepada filem yang lebih baik, bukan saja lebih popular. Membuat filem yang dirasakan berkualiti tidak memerlukan pelaburan tambahan.

Misalnya kalau selama ini mereka menulis skrip dengan sambil lewa asalkan ada gambar bergerak sudah dianggap filem, berubahlah menulis skrip yang ada anjakan pemikiran. Buatlah filem genre apa sekalipun kerana yang membezakan adalah isi kandungannya. Filem komedi boleh menjadi filem yang bagus dan filem yang penuh dengan syarahan pula menjadi sebaliknya. Kalau sebelum ini pembinaan watak tidak diberi perhatian, untuk menjadi lebih baik perlulah membina perwatakan yang diyakini.

Malah membuat filem yang berkualiti boleh menjimatkan apabila memberikan watak kepada pelakon yang boleh berlakon daripada pelakon yang dipaksa berlakon selepas ditawarkan bayaran lumayan. Di sinilah tanggungjawab pengarah untuk mencerdikkan penonton bahawa mereka menjadi penonton filem bukan penonton artis popular.

Memang benar filem adalah sebahagian daripada cabang mendapatkan hiburan. Tetapi kalau penonton yang kritis tidak terhibur dengan sesebuah filem waima disumbat lagu dan artis popular, mereka tidak akan rasa terhibur. Maka pengarah jangan mudah menganggap filem mereka hanya sebuah hiburan. Bagaimana pula kalau filem yang dikatakan hiburan membuat penonton rasa terhina dengan kecetekan filem yang ditonton.

Sekarang hampir semua institusi pengajian tinggi tidak kira awam atau swasta ada menawarkan pengajian perfileman. Saban tahun beribu orang yang tamat pengajian dan mereka ini mempunyai selera yang tinggi tentang filem. Bayangkan apa akan terjadi apabila kadar celik filem penonton jauh lebih tinggi daripada pengarah? Sekarang filem-filem buruk bernasib baik kerana ada penonton-penonton yang berselera rendah sekalipun menghuni negara semaju Malaysia. Sepatutnya mereka berselera tinggi.

23 September 2010

BELAJAR SINTAKSIS : 23 FAKTA PENTING YANG HARUS PELAJAR TAHU


FAKTA PENTING 


01. Sintaksis ialah bidang yang mengkaji proses pembinaan ayat.

02. Ayat ialah unit pengucapan paling tinggi dalam susunan tatabahasa.

03. Ayat mesti ada subjek dan predikat.

04. Ayat dasar ialah ayat sumber pembentukan ayat lain.

05. Terdapat 4 pola ayat dasar iaitu FN+FN, FN+FA, FN + FK, FN + FS

06. Frasa ialah satu atau lebih patah kata sebagai unsur dalam ayat.

07. Frasa endosentrik ialah frasa nama, frasa kerja, dan frasa adjektif

08. Frasa eksosentrik ialah frasa sendi nama.

09. Objek tepat ialah objek penyambut secara langsung.

10. Objek sipi ialah objek penyambut secara tidak langsung.

11. Ayah menghadiahi ibu rantai. Objek tepat = ibu, Objek sipi = rantai.

12. Ayat aktif transitif mengandungi kata kerja transitif. Perlukan objek (penyambut)

13. Ayat aktif tak transitif mengandungi kata kerja tak transitif. Tidak perlukan objek.

14. Ayat pasif mengandungi kata kerja pasif, mengutamakan objek atau perbuatan.

15. Ayat tunggal mengandungi satu klausa (1 subjek, 1 predikat)

16. Ayat majmuk mengandungi lebih daripada satu ayat tunggal.

17. Ayat majmuk pancangan relatif menggunakan penanda relatif "yang"

18. Ayat majmuk komplemen menggunakan kata komplemen "bahawa" dan "untuk"

19. Ayat majmuk pancangan keterangan - satu ayat induk, satu atau lebih ayat kecil.

20. Ayat majmuk campuran ialah campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk.

21. Pengguguran ayat - penerbitan ayat mengakibatkan pengguguran unsur tertentu

22. Proses perluasan ayat - penambahan unsur-unsur dalam ayat baharu

23. Penyusunan semula ayat - susunan ayat diubah dan diterbitkan semula



BAHASA MELAYU KERTAS 3 STPM = SEMANTIK

FAKTA PENTING YANG HARUS
DIINGAT MENJELANG STPM 2010

01. Semantik ialah bidang mengkaji makna.
02. Sinonim ialah perkataan yang mempunyai makna yang hampir sama.
03. Antonim ialah kata yang berlawanan maksud.
04. Polisemi ialah bunyi sama, ejaan sama, makna berbeza. (sama dgn Polisemi)
05. Homonim ialah dua kata atau lebih bunyi sama, ejaan sama, makna berbeza.
06. Homofon ialah bunyi sama, ejaan lain, makna berbeza. (bena, bina)
07. Homograf ialah ejaan sama, bunyi lain, makna berbeza. (perang)
08. Hiponim ialah makna umum ke makna khusus. (Kenderaan = kereta, bas, dll)
09. Makna denotatif ialah makna tersurat atau makna asal.
10. Makna konotatif ialah makna dikaitkan dengan nilai positif atau negatif.
11. Bidalan ialah peribahasa erti selapis yang mengandungi pengajaran.
12. Pepatah ialah peribahasa erti selapis yang tidak mengandungi pengajaran.
13. Perbilangan ialah peribahasa yang disusun berangkap seperti puisi.
14. Perumpamaan ialah peribahasa berlapis.
15. Kiasan asal mengaitkan perkara dengan perkara lain sebagai perbandingan.
16. Kiasan berpindah tidak menggunakan kata perbandingan.
17. Kiasan sandar mengaitkan benda lain dengan benda serupa dengan perkara.
18. Kiasan terus menyatakan sesuatu secara terus.
19. Kiasan berangkap mempunyai pertentangan bunyi antara perkara.
20. Kiasan berbunga menggambarkan sesuatu dengan kata-kata yang indah.
21. Kiasan pemanis untuk melindungi daripada mengatakan sesuatu yang tidak elok
22. Kiasan melompat membawa maksud yang sama dengan kata-kata tersebut.
23. Kiasan melarat menyimpang jauh daripada makna asal perkataan.

22 September 2010

KOSA KATA YANG BOLEH DIGUNAKAN UNTUK MENULIS KARANGAN

01. absurd = mustahil, tidak masuk akal

02. ketidakacuhan = sikap tidak memperdulikan sesuatu
03. beradaptasi = membuat penyesuaian
04. adiwangsa = bangsa utama (mulia)
05. adiwarna = amat indah, amat bagus
06. akademikus = orang yang berpendidikan / lepasan universiti
07. aktual = yang sebenarnya
08. mengakulturasi = menyerapan budaya ke sesuatu budaya yang lain
09. alhasil = akhirnya, kesudahannya
10. seantero = seluruh


11. apologetik = menyesali sesuatu perbuatan yang sudah terlanjur
12. apresiasi = penghargaan terhadap sumbangan atau jasa seseorang
13. asimilasi = berpadu menjadi satu
14. pengasimilasian = proses mengasimilasikan sesuatu
15. pembabibutaan = melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang
16. membahalakan = memuja, mendewa-dewakan
17. memperbonekakan = mempermainkan
18. bobrok = rosak, binasa
19. membobrokkan = merosakkan, membinasakan
20. cemerkap = tidak cermat melakukan sesuatu


21. kecemerkapan = kelalaian
22. mendampilkan = merapatkan
23. darulfana = dunia yang tidak kekal abadi
24. de facto = pada hakikatnya, sebenarnya
25. de jure = menurut undang-undang
26. memperdekap = menjadikan lebih dekat
27. kedekadenan = kemerosotan (nilai, kualiti dan lain-lain)
28. mendugalkan = memuakkan, meloyakan
29. keefisienan = kecekapan
30. egosentrik = mementingkan keperluan diri dan tidak peduli orang lain


31. egotisme = mementingkan diri sendiri
32. eksistensi = kewujudan
33. evasif = mengelak diri daripada sesuatu tanggungjawab
34. memfaalkan = meramalkan
35. memfadihatkan = memalukan seseorang, mengaibkan
36. fanatisisme = keyakinan yang amat kuat terhadap sesuatu
37. berfantasi = berangan-angan, berkhayal
38. memfantasikan = mengkhayalkan, mengangan-angankan
39. fundamental = sangat penting
40. secara generalisasinya = kesimpulannya


41. menggeneralisasikan = membuat kesimpulan tentang sesuatu perkara
42. kehakikiannya = keadaan yang sebenarnya
43. hipokrasi = perbuatan berpura-pura baik
44. mengimplementasikan = melaksanakan
45. mengintegrasikan = menyatupadukan (kaum)
46. inteligensia = orang bijak pandai
47. mengisbatkan = menentukan, menetapkan
48. mengalicaukan = mengelakkan
49. ketidakkeruanan =keadaan tidak tentu arah
50. kekhilafan = kesalahan kerana kurang teliti atau kurang pengalaman


51. terkhilaf = tersalah, terkeliru
52. khisit = iri hati, cemburu
53. mengomidikan = memperdayakan, mempermainkan, menipu
54. kolaborasi = berkerjasama dengan pihak musuh
55. kolaboratif = kerjasama antara dua pihak
56. melemahlesukan = menjadikan lemah, tidak bermaya
57. maslahat = berfaedah, berguna
58. kemaslahatan = faedah, kegunaan
59. musyawarah = perundingan antara kedua-dua belah pihak
60. bermusyawarah = berunding, berbincang, bermesyuarat


61. mengqadimkan = meramalkan
62. memperyahudikan = memandang hina
63. seyogia = sepatutnya
64. yuda = peperangan
65. mentarbiahkan = mendidik, mengasuh

17 September 2010

PENGETAHUAN AM : ISU ALAM SEKITAR : DUNIA BERDEPAN BANYAK BENCANA


NEW YORK 16 Sept. - Ketua baru misi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa selepas bencana tsunami Asia, gempa bumi besar di Haiti dan banjir teruk di Pakistan, dunia perlu bersedia untuk berhadapan dengan peningkatan bilangan bencana alam, yang memerlukan kempen baru untuk menanganinya. Valerie Amos, Setiausaha Rendah Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, menyeru supaya dicari kaedah baru bagi mengendalikan bencana alam yang besar ketika merayu lebih banyak sumbangan dana untuk membantu mangsa banjir Pakistan, esok. "Ini adalah krisis yang sangat besar dan masih belum diselesaikan. Ia semakin besar dan besar dan besar mengikut masa.



"Banjir ini adalah satu bencana terbesar yang pernah kita alami. Jadi pada masa depan kita perlu mencari jalan baru untuk bekerja, mengumpul dana dan memperluas rangkaian sumbangan," kata bekas menteri Britain itu pada sidang media di ibu pejabat PBB, di sini. Amos menegaskan bahawa banyak yang perlu dipelajari daripada bencana dahsyat sejak beberapa tahun kebelakangan ini bermula daripada tsunami 2004 yang meragut lebih 220,000 nyawa di beberapa negara sekitar Lautan Hindi hingga kepada gempa bumi besar Haiti pada Januari lalu yang mengorbankan 250,000 orang. Pegawai PBB berkata, skala bencana di Pakistan adalah lebih besar kerana 21 juta penduduk terjejas dengan kediaman musnah dan kerugian hasil pertanian serta haiwan ternakan akibat banjir.



Pakistan juga menghadapi masalah penempatan populasi pelarian terbesar dunia, kebanyakannya dari Afghanistan. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam mengumumkan bantuan kecemasan bernilai AS$451 juta (RM1.4 bilion) untuk Pakistan. Kesatuan Eropah (EU) juga sedang mencari jalan untuk menghulurkan bantuan. - AFP

PENGETAHUAN AM : ISU ALAM SEKITAR : BUMI CATAT SUHU PALING PANAS

Imej yang dikeluarkan oleh NASA merakamkan fenomena La Niña dikesan
semakin meluas di Lautan Pasifik seperti yang dirakamkan oleh satelit Jason-2.

WASHINGTON 16 Sept. - Dalam tempoh lapan bulan sejak awal tahun ini, bumi mencatat suhu purata paling panas, sekali gus memecahkan rekod suhu panas purata yang dicatat dalam tempoh yang sama pada 1998. Dalam tempoh lapan bulan itu, bumi mencatat suhu purata 14.7 darjah Celsius iaitu suhu yang sama pernah dicatat dalam tempoh yang sama pada 1998, kata Pentadbiran Hidupan Laut dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA). Ketika 1998 mencatat suhu purata paling panas dalam tempoh lapan bulan itu, 2005 pula mencatat suhu paling panas sepanjang tahun. Dalam pada itu, NOAA turut mendapati suhu pada bulan lalu merupakan suhu ketiga paling panas bagi bulan Ogos selepas 1998 dan 2009, apabila mencatat suhu mencecah 16.2 darjah Celsius.



Selain itu, suhu musim panas antara Jun hingga Ogos tahun ini merupakan suhu kedua paling panas selepas 1998 apabila ia mencecah 16.2 darjah Celsius. Dalam satu laporan berasingan, Pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan berkata, litupan ais pada musim panas tahun ini di Artik merupakan yang ketiga terkecil berbanding ketika kali pertama saiznya diukur melalui satelit pada 1979. Saiz bongkah ais yang meliputi laut Artik semakin mencair dan keluasannya yang dicatat seluas enam juta kilometer persegi pada bulan lalu adalah 22 peratus lebih kecil daripada yang pernah dicatat antara 1979 hingga 2000, lapor NOAA. Bongkah ais yang semakin cair berpunca daripada perubahan cuaca akibat pemanasan global yang menyebabkan suhu bumi semakin meningkat sejak beberapa dekad lalu.



Kecairan ais turut dilaporkan di Greenland dan Antartika yang dibimbangi akan menyebabkan beberapa masalah seperti peningkatan kadar paras laut, pengurangan glasier dan perubahan cuaca dunia. Satu laporan baru iklim dunia mendapati, beberapa kawasan di timur Eropah, timur Kanada, dan di timur Asia mencatat suhu panas luar biasa, manakala di Australia, tengah Rusia serta selatan Amerika Selatan dicatat mengalami suhu paling sejuk dalam sejarah. - AP