Sejak akhir-akhir ini, isu pelajar yang takut untuk mengikuti Aliran STEM A di Tingkatan Empat menjadi perbualan utama dalam ekosistem pendidikan negara. Dewasa ini, walaupun negara sedang pesat membangun dalam sektor teknologi dan inovasi, minat pelajar terhadap bidang ini masih berada pada tahap yang membimbangkan. Sebagai seorang pengetua yang memerhati perkembangan ini secara dekat, saya melihat fenomena ini bukan sahaja berakar umbi daripada kelemahan akademik semata-mata, tetapi turut melibatkan faktor psikologi, persepsi masyarakat dan perubahan nilai aspirasi generasi muda.
Pertama, kelemahan pelajar dalam Matematik dan Sains semasa di peringkat menengah rendah menjadi punca paling dominan. Kebelakangan ini, pelajar memasuki Tingkatan Empat dengan asas yang longgar dalam konsep matematik seperti algebra, geometri dan penaakulan logik, serta kelemahan memahami konsep sains seperti tenaga, zarah, atau interaksi kimia. Akibatnya, apabila ditawarkan peluang mengikuti Aliran STEM A yang memerlukan kekuatan kognitif lebih tinggi, mereka berasa gentar dan hilang keyakinan. Tambahan pula, prestasi sederhana atau lemah di Tingkatan Satu hingga Tiga sering menanam kepercayaan bahawa mereka tidak layak atau tidak mampu mengurus tuntutan subjek STEM yang lebih kompleks.
Kedua, pelajar pada hari ini mudah menyerah kalah kerana sudah membentuk persepsi awal bahawa Matematik Tambahan, Biologi, Fizik dan Kimia adalah subjek “paling susah”. Sejak zaman-berzaman, stigma bahawa aliran sains hanya sesuai untuk pelajar “pintar” terus diwarisi tanpa pemahaman yang tepat. Oleh itu, sebelum mencuba pun, pelajar telah meletakkan halangan mental terhadap keupayaan diri. Sehubungan dengan itu, mereka berasa lebih selamat memilih aliran sains sosial atau vokasional yang dilihat lebih “mesra peperiksaan”. Natijahnya, potensi sebenar mereka tidak dapat diteroka sepenuhnya kerana takut kepada bayang-bayang kesukaran yang belum diuji secara realistik.
Ketiga, bukan sahaja pelajar yang takut mengikuti aliran STEM, tetapi ibu bapa juga turut berkongsi ketakutan yang sama. Dalam beberapa kes, ibu bapa meminta anak menukar aliran walaupun baru peperiksaan pertama dijalankan. Sebagai contoh, terdapat murid yang memperoleh markah 0% dalam peperiksaan pertama Matematik Tambahan, lalu ibu bapanya serta-merta menganggap anak mereka tidak sesuai berada dalam aliran tersebut. Walhal, keputusan tersebut hanyalah petunjuk awal yang boleh diperbaiki melalui intervensi, bimbingan dan latihan berstruktur. Namun demikian, tekanan sosial dan kebimbangan ibu bapa terhadap risiko kegagalan peperiksaan mendorong mereka memilih jalan selamat, iaitu menyingkirkan anak daripada Aliran STEM A sebelum mereka benar-benar berpeluang menyesuaikan diri.
Keempat, guru juga tidak terkecuali daripada dilema ini. Dalam usaha meningkatkan peratus kelulusan sekolah, terdapat guru yang bimbang pelajar tertentu akan gagal dalam peperiksaan besar seperti SPM jika mereka kekal dalam Aliran STEM A. Lalu, lanjutan daripada itu, guru mencadangkan pelajar bertukar ke aliran lain yang dianggap lebih sesuai. Tindakan ini walaupun berniat baik, secara tidak langsung menghakis keyakinan pelajar terhadap kebolehan diri. Dalam nada yang berbeza, guru yang memberi galakan dan sokongan mampu membina keberanian pelajar, tetapi guru yang terlalu berhati-hati pula kadang-kala menambah ketakutan yang sedia ada.
Kelima, aspirasi dan cita-cita generasi kini juga berubah selari dengan perkembangan zaman. Pada masa ini, jarang kedengaran pelajar Tingkatan Empat menyatakan hasrat menjadi doktor, jurutera, ahli farmasi atau saintis—kerjaya yang dahulunya sangat digemari dan dianggap prestij. Sebaliknya, pelajar kini cenderung memilih kerjaya kreatif seperti pempengaruh media sosial, pereka kandungan digital, pereka grafik, juruvideo, atau bidang perniagaan dalam talian. Perubahan cita-cita ini tidak salah, namun ia secara tidak langsung mengurangkan motivasi mereka untuk memilih Aliran STEM A, kerana mereka tidak lagi melihat keperluan akademik yang sejajar dengan aspirasi baharu tersebut.
Selain itu, ketidaksepadanan antara jangkaan pelajar dan realiti STEM turut menambah jurang ketakutan. Pelajar membayangkan subjek STEM sebagai pembelajaran abstrak yang menekan, sedangkan hakikatnya bidang ini sangat berkait rapat dengan kehidupan dan masa depan industri. Jika dibandingkan dengan negara maju, pelajar di sana melihat STEM sebagai peluang, bukan ancaman. Walau bagaimana sekalipun, dalam konteks tempatan, pemahaman terhadap potensi kerjaya STEM masih belum meluas.
Sebagai pengetua, saya percaya usaha membetulkan persepsi ini perlu dilakukan secara menyeluruh, bukan sekadar memindahkan pelajar dari satu aliran ke aliran lain. Pihak sekolah mesti menyediakan intervensi awal untuk menguatkan asas Matematik dan Sains sejak Tingkatan Satu. Di samping itu, guru perlu mengubah pendekatan PdP agar lebih bersifat inkuiri, eksploratif dan menyeronokkan. Ibu bapa pula wajar diberi pencerahan bahawa kegagalan awal bukan penamat, tetapi permulaan proses pembelajaran yang sebenar.
Kesimpulannya, ketakutan pelajar untuk mengikuti Aliran STEM A bukan berpunca daripada ketidakupayaan mutlak, tetapi daripada persepsi salah, pengalaman awal yang negatif, sokongan yang tidak seimbang dan aspirasi yang berubah-ubah. Secara tuntas, semua pihak perlu bekerjasama membina ekosistem yang menyokong pembangunan potensi pelajar, bukan menghakimi kemampuan mereka berdasarkan kegagalan awal. Sebagai penutup wacana, marilah kita memperkasa kembali budaya yakin diri dalam kalangan pelajar agar mereka berani melangkah ke dunia STEM yang sebenarnya luas, dinamik dan penuh peluang untuk masa depan negara.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan