09 Disember 2025

BUDAYA MEMBACA PUNCA PELAJAR SEMAKIN LEMAH DALAM AKADEMIK DAN GAGAL MENJAWAB SOALAN KBAT

Sejak akhir-akhir ini, isu kemerosotan prestasi akademik dalam kalangan pelajar semakin mendapat perhatian dalam dunia pendidikan. Dewasa ini, fenomena pelajar gagal menguasai soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) semakin membimbangkan, terutamanya apabila dapatan pentaksiran menunjukkan kelemahan ketara dalam aspek analisis, aplikasi, dan penaakulan. Sebagai seorang pengetua yang memimpin institusi pendidikan, saya melihat punca utama masalah ini berkait rapat dengan budaya membaca yang semakin luntur dalam kalangan pelajar.

Umum mengetahui bahawa membaca merupakan asas kepada perkembangan ilmu, keupayaan berfikir secara kritis serta pembinaan kosa kata yang luas. Namun begitu, kebelakangan ini, tabiat membaca tidak lagi menjadi amalan harian majoriti pelajar. Mereka lebih cenderung memilih kandungan ringkas seperti video pendek atau hantaran media sosial yang tidak merangsang minda secara mendalam. Akibatnya, mereka kehilangan kemahiran asas untuk memahami teks panjang, menghuraikan maklumat kompleks dan menghubungkannya dengan konteks baharu yakni kemahiran penting untuk menjawab soalan KBAT.

Tambahan pula, bagi menjawab soalan KBAT, pelajar perlu mempunyai latar pengetahuan yang luas bagi membuat pertimbangan dan justifikasi yang bernas. Namun demikian, apabila budaya membaca tidak subur, pelajar tidak terdedah kepada pelbagai isu semasa, wacana ilmiah, mahupun idea baharu yang membentuk kerangka pemikiran matang. Sehubungan dengan itu, guru sering melaporkan bahawa murid gagal memberikan jawapan yang mendalam kerana maklumat sedia ada dalam minda mereka terlalu terhad.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, salah satu sebab utama budaya membaca merosot ialah perubahan gaya hidup digital. Pada masa ini, pelajar lebih banyak menghabiskan masa dengan permainan dalam talian dan aplikasi hiburan. Berbeza dengan generasi dahulu yang menjadikan buku sebagai medium utama pengisian masa lapang, generasi kini melihat aktiviti membaca sebagai sesuatu yang membosankan dan tidak mengujakan. Walau bagaimanapun, hakikatnya membaca melatih daya tumpuan dan ketahanan mental, iaitu dua elemen penting untuk menghadapi soalan KBAT yang memerlukan pembacaan teliti dan pemikiran yang mendalam.

Selain itu, kecenderungan sistem pembelajaran yang terlalu berfokus kepada peperiksaan juga menyumbang kepada masalah ini. Sesetengah pelajar hanya membaca bahan nota ringkas atau “ramalan soalan” tanpa benar-benar meneroka pengetahuan yang lebih luas melalui pembacaan. Natijahnya, mereka hanya menghafal tetapi gagal memahami konsep. Apabila berhadapan dengan soalan KBAT yang berbentuk terbuka dan memerlukan penilaian pelbagai perspektif, pelajar menjadi buntu kerana tidak mempunyai asas ilmu untuk berfikir secara meluas.

Lebih-lebih lagi, kekurangan sumber bacaan berkualiti dalam persekitaran pelajar turut menyumbang kepada masalah ini. Ada sekolah yang perpustakaannya kurang dikunjungi, atau buku baharu tidak ditambah mengikut perkembangan semasa. Dalam nada yang berbeza, ada juga pelajar yang sebenarnya minat membaca tetapi tidak mendapat sokongan di rumah kerana suasana kurang kondusif. Bertitik tolak daripada hal ini, pihak sekolah dan ibu bapa perlu berganding bahu memastikan kemudahan bacaan mudah diakses dan dipromosikan secara aktif.

Sebagai contoh, di sekolah saya, amalan membaca selama 10 minit sebelum sesi pembelajaran dimulakan telah berjaya menanam tabiat membaca secara konsisten. Selain itu, program seperti sudut bacaan kelas, pertandingan ulasan buku dan sesi bersama penulis tempatan dapat menimbulkan semangat cinta akan ilmu dalam diri pelajar. Seterusnya, guru perlu memainkan peranan sebagai model membaca di hadapan murid supaya budaya ini menjadi kebiasaan, bukan paksaan.

Bak kata peribahasa Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Budaya membaca mesti dipupuk sejak kecil dan diperkukuh sehingga ke peringkat menengah. Jika pelajar dibiasakan dengan pembacaan yang pelbagai;  baik karya sastera, artikel ilmiah, mahupun bahan bukan fiksyen maka kemahiran berfikir aras tinggi akan berkembang secara semula jadi. Mereka akan lebih kritis, kreatif, dan berani mengemukakan pendapat berdasarkan hujah yang kukuh.

Dalam menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21, sehubungan dengan itu, kita tidak boleh lagi memandang ringan isu kejatuhan budaya membaca. Ia bukan sekadar masalah tabiat, tetapi memberi kesan langsung kepada kemenjadian murid, kualiti pemikiran dan masa depan negara. Soalan KBAT diwujudkan untuk melatih pelajar menjadi warga berfikir, namun tanpa asas membaca yang mantap, mereka hanya akan terus bergelut mencapai tahap kefahaman yang diharapkan.

Sebagai pengetua, saya percaya bahawa transformasi budaya membaca memerlukan kerjasama semua pihak. Sekolah perlu menyediakan program yang menarik dan relevan; guru harus memperkaya pengajaran dengan bahan bacaan yang memupuk pemikiran kritis; ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik di rumah; dan pelajar sendiri mesti menyedari bahawa membaca adalah jambatan ilmu yang tidak boleh diganti dengan teknologi.

Budaya membaca memainkan peranan besar dalam pencapaian akademik dan keupayaan pelajar menjawab soalan KBAT. Jika budaya ini terus dipinggirkan, kita akan melihat semakin ramai pelajar hilang keupayaan untuk berfikir secara mendalam, menghurai maklumat kompleks dan membuat rumusan yang matang. Sebagai penutup wacana, marilah kita menghidupkan kembali budaya membaca sebagai satu norma dan identiti sekolah. Dengan berbuat demikian, kita bukan sahaja melahirkan pelajar yang cemerlang, tetapi juga generasi yang bijaksana, berfikir jauh dan mampu memimpin negara ke arah kemajuan.

Tiada ulasan: