11 Disember 2025

GURU TIDAK BOLEH BUAT SALAH?

 

Dewasa ini, dalam lautan harapan yang sering melimpahi bahu seorang guru, muncul satu persoalan yang menikam jiwa secara halus: benarkah guru tidak boleh membuat kesilapan. Umum mengetahui bahawa guru dianggap pelita yang harus sentiasa menyala, memancarkan cahaya yang tidak pernah padam, walau malam dalam dirinya begitu panjang. Dalam meniti kehidupan pada marcapada, guru ditempatkan pada takhta moral yang tinggi, dipandang sebagai penjaga ilmu dan pewarna akhlak murid. Namun demikian, kita sering lupa bahawa pelita juga pernah bergoyang, dan cahayanya pernah redup apabila diterpa angin kehidupan.

Pada masa ini, masyarakat memandang guru sebagai insan serba tahu, serba tenang dan serba betul. Sehubungan dengan itu, setiap langkah guru ditenun dengan jangkaan bahawa mereka harus sempurna. Tambahan pula, murid, ibu bapa dan masyarakat mencerminkan diri mereka melalui laku seorang guru, seakan guru itu cermin besar yang tidak boleh retak walau sedikit. Natijahnya, guru terpaksa berjalan di atas titian harapan yang sangat tipis. Dalam nada yang berbeza, tekanan ini kadangkala membunuh sisi manusiawi seorang guru, menjadikan mereka takut untuk bernafas dengan jujur, apatah lagi melakukan kesilapan sekecil zarah.

Selain itu, dalam zaman di mana suara boleh menular secepat bayang awan, kesilapan guru walaupun kecil mudah dibesar besarkan. Seperkara lagi, media sosial menjadikan setiap salah satu episod yang tidak boleh dipadam. Bertitik tolak daripada hal ini, guru semakin berhati hati, dan dalam berhati hati itu hilanglah sedikit keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu. Kesannya, kreativiti guru terbelenggu, meskipun niat mereka sentiasa mahu membawa murid ke puncak pengetahuan.

Walau bagaimanapun, hakikatnya guru ialah manusia yang bernafas dengan degupan sama seperti orang lain. Mereka letih, mereka terluka, mereka belajar. Bak kata peribahasa Melayu, setiap yang hidup tentu merasa lelah. Namun demikian, kelelahan itu sering tidak diberi ruang untuk difahami. Guru diharap menjadi air yang tidak pernah kering, sedangkan mereka sendiri kadang kala merasakan gelodak yang tidak tertulis pada wajah.

Di ruang pejabat seorang pengetua, saya sering melihat dengan mata hati bahawa kesilapan guru bukan lahir daripada niat yang goyah, tetapi daripada bebanan tugas yang meninggi seumpama gunung. Tambahan pula, mereka memikul bukan sahaja tugasan mengajar tetapi juga rekod, mesyuarat, program, dan kebajikan murid. Dalam masa yang sama, mereka masih perlu tersenyum seolah olah jiwa mereka tidak pernah koyak. Sementelahan itu, kesilapan kecil tidak wajar dijadikan hukuman besar, kerana yang bekerja keras pasti pernah tersadung.

Seterusnya, kita perlu menyoal diri: mengapa guru tidak diberi ruang untuk salah, sedang salah itu jendela bagi mereka untuk tumbuh. Misalnya, seorang guru mungkin tersilap menafsir emosi murid atau tersalah memilih pendekatan PdP. Contohnya, teguran yang berniat membina mungkin disalah erti. Namun demikian, kesilapan itu sebenarnya membuka pintu baharu untuk refleksi dan pembaikan. Dengan berbuat demikian, guru akan menjadi lebih matang dan empati terhadap murid.

Di samping itu, budaya sekolah perlu menyediakan bahu yang tidak menghukum, tetapi mendakap. Sehubungan dengan itu, pengetua, guru kanan dan rakan sekerja perlu membina ekosistem yang membenarkan guru belajar daripada kesilapan tanpa rasa takut. Lanjutan daripada itu, sesi refleksi dan perbincangan profesional mampu menyuburkan semangat baharu dalam diri guru, menjadikan mereka bukan sahaja pendidik tetapi pencipta perubahan.

Tambahan pula, masyarakat perlu memahami bahawa kesilapan tidak menjadikan guru seorang perosak, tetapi penyempurna dalam perjalanan mereka sebagai pendidik. Dalam nada yang lebih lembut, murid sendiri belajar daripada kesilapan. Justeru, apakah salahnya jika guru juga berjalan di jalan yang sama, hanya dengan langkah yang lebih berhati hati. Sebagai contoh, guru yang pernah tersilap akan lebih berhikmah dalam tindakan seterusnya.

Akhir sekali, persoalan guru tidak boleh buat salah bukan sekadar tentang profesion, tetapi tentang hati manusia yang bekerja untuk manusia lain. Bak kata cendekiawan, manusia belajar bukan daripada apa yang sempurna, tetapi daripada apa yang jatuh lalu bangkit semula. Dalam sinar pengharapan itu, kita perlu sedar bahawa guru ialah manusia yang diberi amanah besar, tetapi tetap manusia yang memerlukan ruang untuk membaiki diri tanpa dihukum dengan pandangan yang berat sebelah.

Kesimpulannya, guru tidak harus dilihat sebagai sosok yang bebas daripada salah, tetapi insan yang gigih memadam salah dengan refleksi dan usaha berterusan. Secara keseluruhan, menghargai sisi manusiawi guru ialah langkah pertama untuk memartabatkan profesion ini. Tuntasnya, apabila guru diberi ruang untuk salah dan diperbaiki dengan kasih, mereka akan kembali mengajar dengan hati yang lebih jernih. Sebagai penghias bicara, guru yang disayangi ialah guru yang mampu terus menyinari dunia meski pernah mengalami gelap dalam perjalanan menjadi lebih baik.

Tiada ulasan: