11 Disember 2025

BILIK GURU INDAH PEMANGKIN NUR DIDIKAN SEJATI

 

Dewasa ini, tugas seorang pengetua bukan sahaja memastikan kecemerlangan murid tetapi turut memfokuskan kebajikan serta profesionalisme guru. Dalam meniti kehidupan pada marcapada, saya menyedari bahawa bilik guru sering dianggap sekadar ruang bekerja, sedangkan hakikatnya ruang ini merupakan jantung operasi sekolah. Umum mengetahui bahawa guru ialah aset utama yang menentukan kualiti pendidikan. Namun demikian, penyediaan bilik guru yang berkualiti sering dipinggirkan kerana lebih banyak perhatian diberikan kepada bilik darjah atau infrastruktur murid. Di sinilah letaknya cabaran sebenar kepimpinan sekolah untuk menilai aspek yang tersirat dan sering terlepas pandang.

Pada masa ini, bilik guru bukan sekadar tempat menyemak buku atau menyediakan Rancangan Pengajaran Harian. Tambahan pula, bilik ini menjadi ruang untuk guru mengurus emosi selepas mengajar, berkongsi idea, dan mendapatkan sokongan rakan sejawat. Sehubungan dengan itu, suasana bilik guru yang kondusif amat penting untuk menjaga kesejahteraan mental guru. Namun demikian, aspek ini sering dipandang ringan, walaupun kesannya menular kepada prestasi pengajaran guru di bilik darjah. Natijahnya, kita harus menyedari bahawa kualiti bilik guru mempunyai implikasi besar terhadap keseluruhan iklim sekolah.

Salah satu aspek yang sering terlepas pandang ialah susun atur bilik guru. Seperkara lagi, ruang kerja yang sempit dan tidak tersusun boleh menjejaskan tumpuan guru. Dalam nada yang berbeza, bilik guru yang luas tetapi tidak mempunyai zon tertentu turut menyebabkan kesibukan kerja menjadi tidak teratur. Misalnya, ketiadaan sudut perbincangan kecil memaksa guru berbincang di meja kerja sehingga mengganggu rakan lain. Bertitik tolak daripada hal ini, pengetua perlu memberi perhatian dalam menyusun ruang agar lebih terancang, berfungsi dan memenuhi keperluan guru.

Selain itu, saya sering melihat aspek kebersihan bilik guru menjadi isu berulang di sekolah. Walaupun guru terkenal dengan sifat profesional, namun kawasan berkongsi sering menjadi cabaran. Tambahan pula, kekangan masa guru menyebabkan ruang kerja mudah menjadi sesak dengan kertas, fail serta bahan bantu mengajar. Dalam hal ini, pihak sekolah perlu menyediakan sistem penyimpanan yang teratur dan mencukupi. Dengan berbuat demikian, guru dapat mengekalkan persekitaran kerja yang kemas dan teratur, seterusnya mengurangkan tekanan harian.

Di samping itu, aspek keperluan rehat guru amat penting tetapi sering dipinggirkan. Guru berdepan beban tugas besar saban hari, termasuk mengajar, menyemak tugasan, mengurus kokurikulum dan urusan pentadbiran. Ironinya, ruang rehat khusus untuk guru jarang diberi perhatian dalam perancangan infrastruktur sekolah. Sedangkan, sudut rehat yang selesa dapat membantu guru menstabilkan emosi sebelum kembali mengajar. Seperti yang kita sedia maklum, guru yang tenang dan ceria akan memberi impak lebih positif kepada murid. Lanjutan daripada itu, penyediaan sudut rehat yang ringkas tetapi selesa wajar diberi perhatian.

Aspek teknologi juga tidak kurang pentingnya. Walaupun sekolah kini dilengkapi pelbagai sistem pembelajaran digital, namun sokongan teknologi dalam bilik guru sering tidak setara. Misalnya, komputer yang perlahan, mesin pencetak yang kerap rosak atau internet yang tidak stabil menyebabkan guru hilang masa produktif. Antaranya, guru terpaksa menunggu lama untuk mencetak atau memuat naik bahan. Dengan berbuat demikian, tugas harian mereka menjadi semakin berat. Oleh itu, sebagai pengetua, saya percaya penyelenggaraan berkala serta peningkatan fasiliti digital di bilik guru perlu menjadi agenda utama kepimpinan sekolah.

Seterusnya, bilik guru juga merupakan ruang pembinaan budaya profesional yang sering tidak dititikberatkan. Guru memerlukan ruang untuk berbincang secara kolaboratif, bukan hanya menjalankan tugas individu. Namun demikian, ada sekolah yang tidak menyediakan ruang khas untuk perbincangan profesional, menyebabkan mesyuarat kecil terpaksa dilakukan secara tidak formal di tempat sempit. Tamsilnya, guru tidak mempunyai kemudahan papan kenyataan interaktif atau sudut maklumat terkini yang membantu perkembangan profesional mereka. Sehubungan dengan itu, sebagai pengetua, saya percaya bilik guru perlu menjadi pusat kepada pembinaan budaya kerja profesional dan bukan sekadar ruang bertugas.

Sementelahan itu, aspek hubungan insani dalam bilik guru juga sering diabaikan. Walaupun guru profesional, namun suasana bilik guru yang tidak harmoni boleh menjejaskan hubungan sesama mereka. Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan ini ialah penempatan meja yang tidak strategik, ketiadaan ruang privasi atau kurangnya komunikasi formal. Dalam masa yang sama, persekitaran yang terlalu bising atau padat menyebabkan guru mudah berasa tertekan. Oleh itu, bilik guru yang berkualiti perlu mengambil kira keseimbangan antara ruang kolaboratif dan ruang privasi.

Bak kata orang tua tua, tempat yang baik memperbaik perangai, tempat yang sempit memendekkan akal. Peribahasa ini menggambarkan betapa pentingnya ruang kerja guru dalam membentuk suasana kerja yang harmoni dan produktif. Dalam konteks pengurusan sekolah, peribahasa ini memberi isyarat jelas bahawa persekitaran fizikal mampu mempengaruhi tingkah laku, emosi dan pemikiran individu. Guru yang bekerja dalam ruang yang teratur, cerah dan selesa cenderung lebih fokus serta bersemangat dalam melaksanakan tugas. Sebaliknya, ruang sempit dan tidak terurus boleh menimbulkan tekanan yang tidak disedari. Oleh itu, memastikan bilik guru sentiasa kondusif merupakan pelaburan penting dalam meningkatkan kesejahteraan profesional dan peribadi guru.

Kesimpulannya, bilik guru berkualiti merupakan aspek penting yang sering tidak diberi perhatian sewajarnya dalam pengurusan sekolah. Secara keseluruhan, penambahbaikan bilik guru bukan hanya soal ruang fizikal, tetapi melibatkan kesejahteraan emosi, budaya profesional dan sokongan teknologi. Tuntasnya, sebagai pengetua, saya percaya setiap usaha untuk meningkatkan kualiti bilik guru akan memberi impak langsung kepada motivasi guru, seterusnya meningkatkan kecemerlangan murid. Sebagai penghias bicara, bilik guru berkualiti ialah ruang yang membina guru berkualiti demi masa depan pendidikan negara.

Tiada ulasan: