JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Jun 2023

MASIHKAH KAU INGAT? PENGALAMAN MENDAPATKAN SUNTIKAN VAKSIN COVID-19


SUNTIKAN VAKSIN DOSE 1
18 MEI 2021, 05:36 PETANG

Ketika dunia cemas dengan jumlah angka kematian yang meningkat saban hari akibat merebaknya penyakit COVID-19, masyarakat digesa mendapatkan suntikan vaksin untuk menguatkan antibodi masing-masing. Kakitangan awam termasuk guru merupakan golongan yang memang diwajibkan mendapatkan suntikan vaksin. Saya masih ingat, mana-mana guru yang degil dengan arahan mengambil suntikan vaksin akan disisihkan atau diasingkan daripada guru lain dan pelajar-pelajar yang sudah mendapatkan suntikan vaksin. Ketika itu, kesalahan kerana enggan mengambil suntikan vaksin akan menjadi perhatiann dan perbualan orang. Kita tidak dibenarkan pergi ke mana-mana malahan boleh dibuang kerja (bagi segelintir mereka yang bekerja dengan swasta). Kelompok yang enggan mengambil vaksin ini sentiasa menjadi bualan dan dikecam dalam mesyuarat seolah-olah mereka melakukan jenayah. Saya berdoa agar hubungan golongan ini dengan pentadbir sekolah sudah menjadi baik kerana krisis akibat tidak mahu mengambil vaksin dahulu banyak hati yang terluka. 

Saya sebenarnya takut mengambil suntikan vaksin ini tetapi saya takut dituduh menjadi penyebar penyakit COVID-19 dan penyebab orang lain kehilangan nyawa dan sayangkan kerjaya maka saya putuskan juga niat untuk ikut orang lain. Semasa suntikan vaksin Dose 1, pada mulanya tidak ada rasa sakit. Namun begitu, selepas beberapa jam, lengan sebelah kiri saya mulai rasa sakit dan badan mulai demam. Rasa sakit itu makin teruk menjelang malam hingga saya terpaksa menelan penadol untuk mengurangkan kesakitan. Tidur jadi tidak lena kerana badan terasa panas. Walau bagaimanapun, saya tidak mahu pergi ke klinik atau hospital kerana saya tahu punca sakit yang saya alami adalah suntikan vaksin tersebut. Lagipun, kalau kita pergi ke klinik atau hospital ketika itu, kita memang dianggap mengidap penyakit COVID-19, silap-silap kena tahan untuk kurantin. Rasa sakit itu mulai reda selepas beberapa hari. Semuanya kembali seperti biasa. 

Beberapa minggu selepas suntikan Dose 1, saya perlu mendapatkan suntikan Dose 2, saya masih lagi takut tetapi perlu juga pergi kerana saya tidak mahu dipertanggungjawabkan jika dituduh sebagai punca yang menyebabkan orang lain mendapat jangkitan COVID-19. Saya masih ingat dahsyatnya natizen memarahi, mencaci, dan menghina seorang perempuan yang dikatakan menjadi penyebab "KLUSTER PASAI" pada masa itu. Kesan suntikan Dose 2 tidak seteruk kesan yang saya hadapi semasa DOSE 1. Saya telah bersedia awal ikut nasihat rakan-rakan, makan penadol terlebih dahulu. Saya masih ingat, semasa COVID-19 melanda, ubat yang paling penting ialah Penadol. 


SUNTIKAN VAKSIN DOSE 2
8 JUN 2021: 9:55 PAGI

Saya pernah disahkan positif Covid-19 hingga diberikan gelang warna merah jambu. Saya menjalani kurantin di rumah sendiri selama 7 hari. Ketika itu, ramai kawan-kawan yang datang menghantar makanan dan ubat-ubatan kerana saya tidak boleh keluar hari rumah. Kalau kita kena COVID-19 ini deria rasa kita hilang. Kita masak lauk, andai terlebih garam pun kita tidak akan rasa kerana semua rasa makanan jadi tawar. Jika kita bancuh kopi, kita bubuh dua sudu gula dalam segelas kopi pun kita tidak rasa terlalu manis atau tidak kerana semuanya tawar. Deria rasa saya hilang selama seminggu. Takut juga pada masa itu kerana saya banyak membaca tentang penyakit COVID-19. Setiap hari saya perlu menjawab survey yang dihantar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui aplikasi My Sejahtera. Alhamdulillah, selepas 10 hari saya mulai berasa sembuh.

Pada 14 Disember 2012, pukul  8:00 pagi saya mendapatkan suntikan Booster Dose 1. Suntikan yang ketiga ini tidak mendatangkan kesan atau alahan terhadap diri saya. Saya berharap agar tiada lagi penyakit berjangkit yang muncul. Pengalaman menjalani kehidupan sebagai guru semasa COVID 19 melanda amatlah perit. Kenangan itu akan terus kekal di ingatan sampai bila-bila untuk diceritakan kepada generasi akan datang. Sesi persekolahan yang dilaksanakan dalam talian dan sekejap buka untuk bersemuka dan tutup apabila ada kes COVID-19 amatlah perit bagi kita semua. Kesannya, ramai anak-anak yang masih belum mengenal huruf di sekolah rendah masuk pula ke sekolah menengah kerana tidak diberi peluang untuk mengulang kembali hanya mereka yang terlibat sahaja yang tahu. Bayangkan semasa sekolah ditutup untuk sesi bersemuka pada 17 Mac 2020, murid itu berada di tahun 1, dan belajar dalam talian (bagi yang mampu), kemudian pada awal tahun 2022, barulah persekolahan bersemuka betul-betul berlangsung hingga sekarang, mereka terus masuk tahun 3. Apa-apa pun alasan, hidup perlu diteruskan. Tiada sesiapa pun yang minta keadaan itu terjadi, kita mesti hadapi dengan penuh cekal dan tabah. 


Tiada ulasan: