Ketika singgah di sebuah kedai makan, mata
saya tertumpu kepada sebuah meja. Meja itu diduduki oleh 5 orang. Ibu dan ayah
serta tiga orang anak mereka. Saya agak kenal muka remaja yang duduk bersama
ibu bapanya itu. Walau bagaimanapun, saya terus berpaling apabila mereka
memandang kerana mereka semuanya sedang memegang rokok di tangan. Hati saya sudah
dapat meneka, patutlah anak-anak itu agak bermasalah di sekolah dan pernah
beberapa kali ditangkap membawa rokok kerana di depan ibu bapa sendiri pun
mereka merokok. Jauh di sudut hati saya kesa dengan sikap ibu bapa yang
membiarkan anak sendiri merokok di depan khalayak. Namun begitu, saya tahu
masyarakat sekarang sudah tidak ambil peduli soal malu, yang mereka pedulikan
ialah mereka kelihatan moden dan berlagak di dapan orang ramai. Lagi pun, kalau
kita menegur walaupun dengan tujuan yang baik, silap-silap kita akan diviralkan
di media massa hingga tidak salah pun jadi salah. Jadi, kita lihat sambil berdoa
agar mereka insaf dan sedar bahawa perbuatan sebegitu tidak baik.
Saya agak sebal dan jengkel apabila melihat
remaja yang masih di bangku sekolah merokok di tempat awam. Biarpun mereka
membeli rokok dengan wang mereka sendiri (hasil bekerja atau wang saku yang
diberikan oleh ibu bapa) perbuat remaja merokok di khalayak ramai ada tidak
elok. Mereka sepatutnya dididik supaya mengamalkan budaya hidup yang lebih
sihat dan berjimat cermat sejak di bangku sekolah. Ibu bapa berperanan penting
dalam hal ini kerana didikan dan asuhan yang betul, insya-Allah akan melahirkan
anak-anak yang cerdas dan cergas serta bebas daripada rokok. Pada pandangan
saya, merokok ini boleh dilakukan oleh anak-anak selepas mereka bekerja dan
mempunyai pendapatan tetap. Selagi masih di bangku sekolah mereka tidak patut
merokok. Apatah lagi kalau berkongsi rokok dengan ibu, ayah, abang, dan kakak.
Soal kemampuan dari segi kewangan untuk membeli rokok itu bukan alasan yang
sesuai.
Anak-anak remaja tidak harus digalakkan
merokok. Merokok ini lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Merokok
ini suatu pembaziran. Bayangkan kalau dalam sesebuah keluarga ada lima orang
merokok. Mereka menghabiskan 5 kotak rokok yang berharga RM5.00 sebungkus.
Dalam tempoh sebulan keluarga itu membeli 15 kotak rokok dengan nilai harga
sebanyak RM125.00. Wang yang bernilai RM125.00 ini jika disimpan selama 12
bulan, jumlahnya RM1500.00 dan jika disimpan selama 60 bulan, jumlahnya ialah
RM7500.00. Itu kalau betul sekotak rokok berharga RM5.00. Kalau sebungkus
berharga RM17.00, sebulan seorang akan habiskan RM85.00 untuk membeli rokok,
setahun habis RM1020.00, jika 5 tahun pula, jumlah duit yang digunakan untuk
membeli rokok ialah RM5100.00. Seandainya 5 orang, jumlah duit yang digunakan
oleh keluarga itu membeli rokok ialah RM25,500.00. Suatu jumlah yang agak besar!
Saya sebenarnya ingin tahu, apakah menggalakan
anak-anak merokok sejak usia remaja ini menguntungkan? Ya, memang ada ibu bapa
yang tidak tahu anak mereka seorang perokok tegar tetapi jumlah yang tidak tahu
ini sedikit. Ibu bapa yang tahu anak mereka merokok itu banyak. Jika kita
betul-betul menyayangi anak kita, lebih baik ajak mereka lakukan hobi yang lebih
berfaedah seperti bersenam atau membaca buku. Orang akan cakap saya ini kolot
dan ketinggalan zaman. Walau bagaimanapun, pada pandangan saya “ketinggalan
zaman” untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang salah itu lebih
baik daripada menyedut asap rokok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan