JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 Mei 2023

APAKAH MAKSUD NARSISTIK?



Kita selalu dengar seorang artis wanita yang kes tuntut cerainya sehingga kini tiada jalan penyelesaian selalu menyebut kata 'lelaki narsistik'. Apakah maknanya narsistik? 

Gangguan Personaliti Narsistik atau Narcissistic Personality Disorder (NPD) ialah sejenis gangguan mental yang dikategorikan khusus di bawah masalah gangguan personaliti. NPD selalu disalah anggap sebagai keyakinan diri yang tinggi dalam diri seseorang. Hakikatnya, NPD merupakan sikap tidak memperdulikan orang lain selain dirinya. Akan tetapi, tahap mementingkan diri sendiri pada individu yang NPD ini adalah ekstrem. Individu NPD ini bukan sahaja mementingkan diri sendiri malah sikapnya boleh mendatangkan kesan negatif kepada keadaan sekeliling termasuklah hubungannya dengan pasangan, keluarga, pekerjaan, dan masyarakat keseluruhannya. 

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kajian menunjukkan individu yang memiliki personaliti narsistik lebih berisiko untuk mendapat masalah anxiety, masalah mood dan salah guna dadah. Tingkah laku individu yang memiliki sikap narsistik juga menyebabkan mereka sering gagal dalam perhubungan intim, kekeluargaan dan profesion. Pakar psikologi juga mengatakan bahawa gangguan personaliti narsistik merupakan antara isu mental yang sangat susah dirawat kerana pesakit kebiasaanya menganggap personaliti mereka bukan suatu masalah kerana ia tidak memberi kesan buruk kepada mereka secara langsung. Mereka juga sukar menerima kenyataan kerana mereka menganggap gangguan itu merupakan personaliti mereka dan bukannya sesuatu yang perlu dirawat. Jadi, jika kita atau pasangan kita mempunyai tanda-tanda tersebut, sangat digalakkan untuk kita cari bantuan dan nasihat yang sesuai dari pakar terapi atau psikologi yang berkelulusan.

Ciri-ciri orang narsistik



Tujuh Tanda Gangguan Personaliti Nassistik


1. Dia sahaja yang paling hebat

Pesakit NPD mempunyai sikap mementingkan diri sendiri yang melampau. Mereka bukan sahaja berlagak dan mementingkan diri, malah mereka menganggap bahawa diri mereka ada satu keistimewaan untuk menandingi orang lain. Mereka tidak suka bergaul dengan orang kebanyakan dan menganggap mereka layak menerima layanan istimewa daripada semua orang. Setiap kali ada peluang, mereka akan bercerita tentang diri dan pencapaian mereka, bahkan pencapaian itu selalunya akan ditokok tambah dari perkara sebenar. Sikap suka menokok tambah juga menjadi kebiasaan buat mereka. Mereka juga percaya semua orang memerlukan mereka. Tanpa mereka, orang lain tidak akan mampu untuk berjaya.

2. Dia sering mendambakan pujian dan perhatian

Seseorang yang menghidapi penyakit ini selalunya akan membuat perkara-perkara yang akan menarik perhatian orang lain. Jika mereka tidak mendapat perhatian dan layanan yang diinginkan, mereka berkemampuan untuk membuat kecoh dengan mengada-ngadakan cerita yang bukan-bukan sehingga berjaya meyakinkan sesiapa sahaja. Golongan ini merupakan kaki drama, yakni merekalah drama king atau drama queen yang terhebat. Kita juga akan nampak pesakit-pesakit NPD ini selalu memuat naik gambar-gambar swafoto mereka ke dalam laman sosial dengan sangat kerap kerana mereka inginkan perhatian dan pujian dari kenalannya. Walau bagaimanapun, janganlah anggap semua orang yang suka memuat naik gambar swafoto di media sosial itu pesakit NPD

3. Dia suka menyusahkan orang lain

Penghidap penyakit NPD juga suka mengambil kesempatan ke atas orang lain seperti menyuruh orang lain membuat kerja mereka tanpa rasa bersalah. Mereka tidak mahu membantu apa lagi membuat kerja-kerja yang mereka anggap tidak setaraf dengan ‘kelayakan’ mereka. Jika melakukan kerja secara berkumpulan, orang yang mempunyai penyakit NPD ini merupakan orang yang “free rider” yang paling berjaya.

4. Dia suka memperkecil orang lain

Pesakit NPD ini mempunyai sifat sering memalukan dan merendah-rendahkan orang lain jika mereka tidak mendapat penghargaan seperti yang mereka inginkan. Mereka selalunya mampu untuk memalukan orang lain dalam keadaan terbuka. Dengan berbuat demikian, mereka boleh memperlihatkan kelebihan mereka kepada orang lain. Perlakuan seperti ini juga boleh mendatangkan masalah untuk mereka mendapatkan kawan kerana kebanyakan orang tidak akan selesa bergaul dengan mereka.

5. Dia hidup dalam fantasi

Orang yang mempunyai sifat NPD ini sering berhadapan dengan keadaan yang selalunya tidak seindah yang mereka inginkan. Oleh sebab itu, mereka berkemampuan untuk mencipta realiti mereka sendiri yang boleh jadi jauh berbeza dari realiti sebenar. Bukan itu saja, mereka bahkan boleh hidup dalam dunia mereka sendiri, yang kebiasaannya berpaksikan kuasa, kejayaan, kecantikan atau ketampanan mereka.

6. Dia pantang menerima kritikan

Jika kita tinggal bersama pesakit NPD, susah untuk kita tegur sikap buruk mereka kerana mereka tidak akan menerima apa-apa kritikan atau teguran daripada sesiapa sahaja. Mereka akan mengelak atau menyalahkan pihak lain jika suatu perkara buruk terjadi terhadap kerja yang mereka lakukan. Mereka juga tidak suka mendengar pendapat orang lain kerana mereka rasa mereka sahaja yang betul. Memang susah untuk bekerja dengan seseorang yang menghidapi NPD kerana mereka mempunyai tahap toleransi yang sangat sangat rendah.

7. Dia tiada rasa simpati dan empati

Mereka juga mempunyai masalah untuk memahami kesusahan orang lain. Mereka kekurangan sifat simpati dan empati terhadap orang sekeliling dan kebiasaaannya mereka lebih memilih untuk tidak mengambil peduli tentang keperluan orang lain. Jadi, ketika orang lain menghadapi kesusahan, jangan pelik jika mereka tidak tersentuh dan tidak ada rasa untuk membantu.

Cara untuk merawat orang narsistik

Sikap narsistik boleh wujud dalam diri individu disebabkan oleh rasa tidak selamat dan harga diri yang rendah. Oleh sebab itu, mereka suka membangga-banggakan diri untuk menutup kelemahan yang mereka miliki. Hidup mereka sangat bergantung pada pandangan dan pendapat orang lain terhadap mereka dengan melahirkan kekaguman dan persetujuan terhadap mereka secara berterusan. Jika kita berurusan dengan orang sebegini, kita hanya memberikan pujian jika dia melakukan sesuatu yang layak dipuji. Jangan memberikan pujian yang melampau-lampau sehingga dia berasa angkuh dan riak. Jika ini berlaku maka kita akan menjadi mangsanya suatu ketika nanti. Segala kritikan dan teguran hendaklah dilakukan dengan kelembutan dan keikhlasan kerana orang NPD ini memang tidak boleh menerima kritikan. Walau bagaimanapun, jika kita bijak mereka akan sentiasa bersedia mendengar dan mereka akan berubah dengan amat baik. Mereka akan menghormati dan memuliakan kita. 

Ketiga, jangan biarkan diri anda dimanipulasi oleh orang NPD. Orang NPD ini sentiasa mahu kita berfikir seperti dia dan memberitahu apa yang dia mahu dengar. Seorang narcissist berpendapat bahawa dia tidak melakukan apa-apa yang salah, yang bermaksud bahawa dia perlu menyalahkan seseorang untuk kegagalannya, dan orang itu barangkali ialah anda. Sekiranya anda berasa bersalah, cemas atau dimanipulasi dan jenis emosi ini tidak kerap di dalam anda, maka berhati-hatilah. Jika anda membiarkan diri anda dimanipulasi, anda akan menjadi mangsa orang NPD itu.

Orang NPD ini sering mempunyai keinginan untuk meremehkan perbuatan dan pencapaian orang lain agar berasa dirinya lebih unggul. Oleh sebab itu kita harus mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu yang akhirnya menjadi senjata untuk dia menyerang kita. Jika kita mahu bahawa dia betul-betul memerlukan kita untuk mendampinginya, biarkan dia berusaha untuk mendekati kita tanpa menjadikan dirinya sebagai raja yang harus didewakan. Orang NPD ini sebenarnya mampu memahami emosi orang lain dan boleh menjalin hubungan yang penuh dengan kasih sayang. Namun begitu, mereka terlalu sukar berempati kerana mereka selalu melihat diri merekalah yang paling penting dan harus diutamakan. Mereka juga pandai menggoda, terutamanya jika mereka mahu mendapatkan sesuatu sebagai balasan. Walau bagaimanapun, mereka mampu melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan kita menderita dalam tempoh yang panjang kerana terlalu rumit untuk menjalin hubungan serius bahagia berpanjangan dengan golongan ini. Jika kita tahu lebih awal cuba elakkanlah daripada menjalin hubungan dengan orang NPD kerana ramai orang tidak kuat untuk berhadapan dan hidup bersama mereka. 

KESIMPULAN

Penyakit NPD ini sukar dirawat. Rawatan terbaik adalah daripada diri orang itu sendiri. Kita harus ingat tiada seorang pun manusia yang sempurna di dunia ini. Semua orang akan melakukan kesilapan dan menghadapi kejatuhan atau kegagalan dalam perjuangan. Jika kita anggap kitalah yang terbaik, itu adalah salah. Minda kita harus sihat selalu untuk bersikap terbuka terhadap kritikan dan pandangan daripada orang lain kerana daripada itulah kita akan membaiki diri supaya menjadi lebih baik kepada orang yang memerlukan kita. Kita harus turunkan rasa ego yang keterlaluan untuk bergerak ke hadapan dengan lebih aman, sejahtera, dan bahagia. Memang amat sukar untuk orang NPD berubah tetapi percayalah jika kita hidup dengan kepercayaan kepada Tuhan yang mendalam kita akan kenal diri kita dan cuba untuk berubah menjadi lebih baik dari sehari ke sehari. Perubahan itu akan menjadikan kita orang yang berpersonaliti unggul dan dihormati. 




Tiada ulasan: