JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 September 2022

Catatan Cikgu Zulkarnain : Sahabat Tulang Ikan


Sahabat yang kekal sukar untuk kita temui tetapi ada. Mata kita selalu dibutakan dengan ragam manusia sekeliling hingga kita terlepas pandang insan yang betul-betul jujur menjalinkan silaturrahim dengan kita. Allah mendatangkan orang yang betul untuk bersahabat dengan kita namun Allah tidak mengutuskannya secara terus, kita akan diuji kerana Allah mahu kita betul-betul mengenali dan menerimanya. Namun begitu, ramai yang gagal dalam  menghadapi ujian itu kerana mata kita selalu salah dalam menilai seseorang. Mata kita mudah terpana dengan permata yang berkilauan hingga tembaga usang yang kelam dibalut debu kehitaman tidak dipedulikan. Akhirnya, kita sukar menemui titik kebahagiaan kerana tidak terjumpa yang sempurna wahal dia pernah datang tetapi kita yang menolaknya hingga dia berlalu pergi tanpa jejak dan kesan. 

Dunia persahabatan itu seindah pelangi andai kita betul-betul bersahabat dengan orang yang tepat. Ujian yang betul-betul sukar untuk kita mencari sahabat sejati apabila kita mempunyai cita rasa yang sama sehingga berlakunya buruk sangka dan khianat. Impaknya, sayang bertukar benci, kasih menjadi caci, dan cinta berganti iri. Akhirnya, masing-masing mencari sahabat baharu dan membawa haluan sendiri. Baik bertahun-tahun yang disemai luluh kerana khianat sehari. Budi berkurun-kurun disulam, tenggelam dilanda banjir benci. Yang dahulu indah kini tidak berseri. Yang dahulu disayang kini dimusuhi. Ketika bulan persahabatan masih bersinar nasi sekepal makan berkongsi, ayam seketul juga dibahagi, dunia tiada siang tiada malam, indah berhari-hari. 

Asam garam dalam dunia persahabatan ini indahnya sementara, pedihnya hingga ke hujung nyawa. Sakit pedih dibuat sahabat sejati parahnya bagai ditusuk selumbar bisa. Tikamannya tepat menusuk hingga luruh tangkai hati. Cemburu seorang sahabat bisa membunuh tugu kepercayaan dan membakar menara harapan kerana kita disingkirkan tanpa sedar angkara fitnah dan syak wasangka. Dialah yang selalu bertanya khabar tetapi dialah juga yang menjadi onar tanpa kita sedar. Sahabat yang kekal dan abdi sudah lama mati, yang hadir itu semuanya sahabat basa basi. Datang ketika kita diperlukan, hilang ketika perut sudah kekenyangan. Ketika di depan kita, hormatnya melaut, di belakang kita dia musuh dalam selimut. Dunia persahabatan yang dibina boleh hancur gara-gara berebutkan "tulang ikan" dek kelaparan pangkat, harta, nama, dan perhatian!


Tiada ulasan: