Jutaan insan yang berjaya pada hari ini merupakan golongan yang makan berlaukan garam, tidur berbantalkan lengan, ke sekolah meredah hutan, hidup dihimpit pelbagai kekurangan. Hati mereka sarat dengan duka dan derita apabila dihina, dicaci, dan dinista lantaran ketidakmampuan menyerlahkan dan menyalut diri dengan kemewahan duniawi. Mereka tekun menimba ilmu di sudut belakang bilik darjah tanpa memikirkan kemiskinan dan kepayahan hidup. Mereka sentiasa tabah dan redha dengan yang mereka miliki tanpa meminta daripada orang lain. Dengan kasut lusuh dan rabak, baju dan seluar koyak bertampal mereka selalu dipandang jijik oleh rakan tetapi mereka tetap berjiwa kental. Yang memandang kita dengan pandangan hina hanya kerana kita terlihat miskin itu hanyalah manusia bukannya Tuhan.
Ramai pelajar miskin yang mempunyai impian yang kuat untuk keluar dari belenggu kemiskinan. Mereka memasang aspirasi untuk mengapai langit nan tinggi. Biar tanpa sokongan, dokongan mahupun harapan, mereka tetap mara ke hadapan tanpa hati dan jiwa yang terlalu sensitif dan merendah diri. Sedikit demi sedikit mereka mendaki dan mata insan yang dahulunya hanya memandang sesepet mata mula luas darjah bukaannya. Hidup ini suatu persaingan, nak berjaya terpulang pada kentalnya semangat bukan banyaknya fulus!
Realiti yang saya sendiri alami, pelajar miskin yang berilmu dan berkeperibadian mulia, ramai yang sayang. Guru-guru selalu memberikan sokongan dan ramai rakan yang suka bersama dan membantu kita. Yang penting, cara kita membawa diri apabila bergaul dengan orang sekeliling. Jangan sesekali kita gunakan alasan kemiskinan itu untuk malas belajar, suka membuang masa dengan perkara yang tidak mendatangkan manfaat dan melakukan perbuatan yang melanggar peraturan sekolah. Jika kita selalu menimbulkan masalah, rasa kasih dan sayang yang ada di hati orang lain akan hilang. Mereka tidak membenci kita tetapi hati mereka sudah tiada rasa apabila memandang kita.
Raaliti yang saya nampak pada hari ini, dari tafsiran mata seorang guru, saya kadang-kadang terkedu dan tersedu melihat sebilangan remaja yang rela mencorak noda dengan memilih untuk hanyut dalam arus dunia wahal perjalanan masih terlalu jauh untuk dinakhoda. Ramai pelajar-pelajar sekolah yang hanyut dengan godaan persekitaran yang menyebabkan mereka berubah watak dan tingkah laku. Mereka mabuk bercinta hingga lupa masa depan yang belum jelas haluan arahnya. Cinta itu datang dan pergi tetapi tiada manusia yang hidup bernasikan dan berlaukkan cinta kerana manusia yang sempurna perlukan keluarga yang bahagia. Kebahagiaan itu maknanya kita kena ada pekerjaan, tempat tinggal dan segala keperluan yang bukan boleh dibeli dengan cinta dan mimpi! Tuhan tidak akan memberi nikmatnya pada manusia yang tidak tahu memanfaatkan peluang untuk meraih ilmu di duniawi pinjaman ini.
Hari ini kita mungkin tidak merasai susah payah hidup setelah gagal tetapi kita harus ingat, kita bukan hanya hidup hari ini dan esok kita akan mati. Kegagalan dalam pelajaran itu akan menyebabkan kita sesal hingga ke hujung nyawa kerana peluang dan ruang untuk kita banyak yang tertutup. Oleh itu, ketika peluang dan ruang terbuka luas di depan mata, berusahalah untuk masuk ke dalam agar kita tidak ditinggalkan. Hidup ini amatlah sukar untuk diramal tetapi tidak sukar untuk diperjuangkan andai kita tahu sebab musabab kita hidup dan dihidupkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan