JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 September 2022

CATATAN CIKGU ZULKARNAIN : PENJUAL TONG GAS BERJIWA MURNI

Penjual tong gas sangat dekat dengan diri kita tetapi saya yakin ramai yang memandang kerjaya ini hanya sebelah mata. Mereka berpakaian selekeh dan memikul tong gas hanya dengan beralaskan sehelai tuala yang juga digunakan untuk mengesat peluh. Secara jujur, siapakah yang pernah memarahi penghantar dan penjual tong gas ini apabila mereka lewat sampai ke rumah kita? Situasi dimarahi oleh pembeli kerana lambat menghantar tong gas ini sudah menjadi asam garam bagi mereka. Akan tetapi, pernahkah kita terfikir akan pengorbanan yang mereka lakukan terhadap kita? Walaupun mereka menjual barangan dan perkhidmatan, mereka juga manusia biasa yang wajar dihormati dan dimuliakan.

Saya terdorong untuk menulis cerita ini selepas memikirkan tentang tulusnya hati dan ikhlasnya jiwa seorang usahawan tong gas yang selalu menghantar tong gas ke rumah saya. Dia tidak pernah menolak apabila diminta menghantar tong gas ke rumah saya walaupun pada masa saya menelefon dia berada jauh dari lokasi rumah saya. Dia hanya tidak menepati masa yang dijanjikan. Namun begitu saya maklum, untuk sampai ke rumah saya dari bandar Sibu memerlukan masa 30 hingga 45 minit, itupun jika tiada masalah kesesakan lalu lintas. Pada masa yang sama orang yang meminta khidmat mereka mungkin dari rumah yang dilalui semasa perjalanan maka dia perlulah singgah dahulu.

Tanggal 28 Ogos 2022, saya hubungi "Tauke" yang selalu menghantar tong gas ke rumah saya. Tong gas rumah saya sudah habis dua minggu lepas. Saya memasak menggunakan dapur elektrik. Namun begitu, saya tergerak untuk menukar tong gas pada hari itu. Petang itu hujan turun dengan lebat. Penjual tong gas itu menelefon saya selepas saya selesai menunaikan sembahyang mahgrib. Saya buka pintu pagar rumah untuk memudahkan dia masuk dan membancuhkan kopi untuknya seperti biasa. Yang peliknya, selalunya, "Tauke Tong Gas" itu akan hantar sendiri tong gas masuk ke rumah saya. Pekerja dia akan menunggu di dalam lori. Dia selalu memanggil saya dengan panggilan "Cikgu Rumah Cantik" atau "Cikgu". Petang itu pun begitu, sebaik sahaja sampai, dia terus pikul tong gas masuk ke rumah saya. Hujan masih lebat. 

Cikgu, boleh aku masuk? Kaki aku basah? Nanti lu rumah kotor! 

Masuk tauke, tak apa. Nanti saya mop. 

Dia pun terus masuk dan meletakkan tong gas di ruang khas di luar dapur memasak. Dia dah hafal pun lokasi tong gas itu. Selepas memasang dan mengunci kepala tong gas, saya pun hulurkan bayaran dan jemput dia minum dahulu macam biasa. Dia minum dengan laju. Dia beritahu selepas ini perlu memandu ke sebuah sekolah di luar bandar yang jauhnya lebih kurang 60 kilometer. Dia kata dia mesti hantar tong gas malam itu juga. Kawasan sekolah itu tidak ada kedai makan. Kalau dia tidak hantar cikgu itu tidak makan! Saya kata cikgu itu boleh makan mi segera. Saya cadangkan dia hantar esok sebab hujan lebat. Waktu pun sudah menunjukkan pukul 8:00 malam. Dia kata dia kasihankan cikgu itu. 

Terdetik di kepala saya, "Tauke Tong Gas" ini bukan bekerja untuk duit tetapi lebih mengutamakan pelanggan daripada kesihatan dan keselamatan diri. Saya terharu. Saya nasihatkan dia memandu dengan hati-hati. Jalan gelap. Dia terus masuk ke dalam lori sambil melambaikan tangan mengucapkan terima kasih. Hubungan silaturrahim saya dengan Tauke Tong Gas itu sudah lama, jika dia hantar tong gas kami selalu berbual. Dia suka memuji rumah saya walaupun saya tahu rumah dia lagi besar dan cantik. Dia sebenarnya jutawan. Orang yang menyintai kerjaya mereka sanggup mengorbankan apa-apa sahaja kerana itulah kepuasan bagi mereka.

Kalaulah aku serajin dia!

Tiada ulasan: