Golongan pembodek yang pertama, iaitu orang yang melakukan sesuatu tanpa menganggu hak orang lain pada pandangan zahir. Akan tetapi, perlakuan dan tindakannya menyakitkan mata yang memandang. Pembodek jenis ini berkerja secara menunjuk-nunjuk, apabila ada ketua jabatan maka dia akan bertukar watak menjadi rajin serta merta. Apabila ketua jabatan tiada dia automatik menjadi malas, semalas-malas manusia yang pernah wujud di muka bumi. Semua kerjanya akan diceritakan kepada ketua jabatan. Dia kerap menghantar mesej kepada ketua jabatan untuk memberikan cadangan dan sebagainya. Jika terkena pula dengan ketua jabatan yang mudah tertipu dek pandangan mata, pembodek jenis ini selalu dipuji dan dipuja maka akan semakin bermaharajalelalah perangai suka membodek dia dari semasa ke semasa. Pembodek jenis ini rajinnya luar biasa walaupun hanya sekadar lakonan tetapi hasilnya ghaib tak nampak. Kenapa? Entahlah! Tepuk dada tanya selera.
Golongan pembodek yang kedua saya kategorikan "Pembodek Mak Bawang Merah". Pembodek jenis ini akan menggunakan senjata bodek yang maha dahsyat untuk mengapai aspirasi di hati. Dia akan memfitnah dan memburuk-burukkan orang lain untuk sehingga orang percaya akan kata-katanya. Pembodek jenis ini tergamak hati menabur pasir di periuk nasi orang lain yang tidak berdosa demi mencapai matlamat jahatnya. Dia melakukan kerja membodek ini adalah kerana dia tidak mahu orang lain lebih berjaya daripadanya. Oleh itu, dengan perancangan yang buruk dia akan mempengaruhi ketua jabatan supaya orang itu disingkirkan dan hidup tertekan. Jika ketua jabatan percaya maka tercapailah hajat dan hasratnya. Si Pembodek menang bergaya di dunia.
Golongan yang suka membodek ini tidak akan lenyap di muka bumi kerana syaitan suka berkawan dengan manusia jenis ini. Syaitan suntik sedikit jarum cemburu dan iri hati maka gagahlah dia bekerja untuk memusnahkan mangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana rasa perikemanusiaan dan persahabatan sudah lama hancur di hati orang seperti ini. Yang lebat dan rimbun di taman jiwanya hanyalah kebencian terhadap orang lain. Dia sentiasa memikirkan cara untuk mempengaruhi Boss untuk menjatuhkan orang yang dia perlu singkirkan. Ya, majoriti mereka akan berjaya sebab sesetengah Boss pun tidak bijaksana kerana salasilah mereka pun daripada rumpun dan keluarga yang sama. Cuma, sebagai manusia kita doakan mereka-mereka ini kembali ke pangkal jalan. Usahlah berlumba-lumba melakukan dosa kerana kita ini bukanlah manusia yang sempurna. Hiduplah seadanya. Insya-Allah, tanpa membodek pun kita bisa hidup senang dan bahagia. Yang paling penting, kita ditempatkan di syurga di dunia kekal kelak. Itu janji-Nya, Yang Maha Terpuji dan Yang Maha Mulia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan