JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Julai 2022

CATATAN CIKGU ZUL : PELAJAR CEMERLANG TIDAK BOLEH BERKOMUNIKASI SECARA LISAN DENGAN MATANG


Baru-baru ini, Tengku Mahkota Johor Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengulas cara Kapten Pasukan Malaysia dan Kapten Pasukan Singapura setelah habis perlawanan persahabatan bola sepak antara kedua-dua buah negara. Kapten pasukan Singapura berupaya menjawab soalan yang ditanya dengan matang tetapi apabila kapten negara kita memberikan ulasan atau pandangan agak keterbelakang. Saya sebagai seorang guru selalu berhadapan dengan situasi ini di sekolah. Pelajar kita lemah dalam berkomunikasi walaupun cemerlang dalam peperiksaan bertulis. Mereka gagal berkomunikasi secara lisan dengan berhujah atau mengemukakan pendapat yang menyakinkan. Mereka sangat takut dan rasa rendah diri apabila bercakap secara lisan di hadapan umum. Mereka bercakap menggunakan bahasa rojak atau bahasa tidak format yang tidak sesuai dengan situasi.

Kelemahan ini amat ketara semasa pelajar diminta untuk berkomunikasi spontan semasa temuduga ataupun memberikan pendapat tentang sesuatu isu yang berfokus kepada satu tajuk. Pelajar tidak dapat memberikan isi yang tepat dan membincangkan sesuatu isi dengan menghuraikan isi itu berserta bukti dan contoh yang meyakinkan. Mereka kelihatan sangat tidak yakin dan mengelabah atau berhenti bercakap dalam tempoh yang lama untuk memikirkan idea yang seterusnya. Apabila kita meminta mereka menjawab soalan, jawapan yang diberikan dalam ayat yang tergantung dan tidak jelas. Cuba perhatikan jawapan lima orang pelajar ini apabila saya meminta pendapat mereka tentang persoalan, "Mengapakah mereka perlu belajar bersungguh-sungguh?"

Nawi: Supaya kita pandai cikgu! (Nada menjerit)

Ramlah: Saya mahu masuk universiti, dapat kerja, beli rumah, beli kereta, melancong ke banyak tempat.

Wahida: Masa depan yang cerah. Saya nak jadi kaya. Ada pendapatan tetap, gaji tinggi, rumah besar, kereta besar.

Eryanie: Saya perlu belajar bersungguh-sungguh kerana saya mahu mencapai cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Saya merupakan anak sulung dalam keluarga. Saya tidak mahu menghampakan ibu bapa saya yang telah bersusah payah membiayai persekolahan saya. Saya mahu membahagiakan mereka hingga ke akhir hayat. Oleh itu, dalam peperiksaan SPM saya membuat sasaran 10A+ supaya mereka berasa gembira dan bangga mempunyai anak seperti saya. Dengan keputusan yang cemerlang itu, saya akan memohon tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam. Doakan saya berjaya Cikgu.

Pelajar yang menjawab seperti Nawi, Ramlah, dan Wahida amat banyak bilangannya. Pelajar yang menjawab seperti Eryanie tidak banyak dan mungkin tiada langsung. Mengapakah keadaan ini terjadi? Puncanya ialah pelajar kita tidak dilatih untuk berkomunikasi secara spontan. Mereka boleh menjawab dengan baik dalam peperiksaan bertulis hingga memperoleh A+ tetapi gagal berkomunikasi dengan matang, lancar dan meyakinkan. Budaya ibu bapa yang tidak suka berkomunikasi dengan anak di rumah adalah punca. Situasi ini akan diburukkan lagi dengan pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang masih ditakuk lama, iaitu pelajar mendengar guru bercakap. Guru tidak pernah memberikan peluang kepada pelajar melakukan pidato spontan tentang apa-apa tajuk kerana sibuk mengejar masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Pihak pentadbir sekolah pula menekan guru untuk fokus kepada peperiksaan hingga perancangan guru yang betul terpaksa diubah suai. Pihak KPM, JPN dan PPD pula masih mengukur kejayaan sekolah dan pelajar berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) telah membarahkan lagi keadaan ini.

Natijahnya, sejak sekolah rendah hingga tingkatan enam pelajar dididik menjawab soalan peperiksaan. Aspek komunikasi dipinggirkan. Oleh sebab itu, apabila kita melihat persidangan Parlimen, kita rasa kecewa dengan wakil-wakil yang kita pilih. Mereka hanya tahu mencaci saksama sendiri dan saling membidas dengan hujah yang menyentuh sensitiviti diri dan agama. Kita pun tiada kurangnya. Kita selalu menyaksikan pergaduhan di kaunter jabatan kerajaan atau tempat bayaran di kompleks beli-belah dan restoran makanan segera. Faktornya ialah kegagalan kita mengajar kemahiran berkomunikasi secara spontan. Saya mudah tersentuh hati apabila mendengar orang berbahasa dengan cara yang salah dan biadap tetapi kerana hormat saya berdoa untuk sejukkan hati dan berharap suatu hari akan hadir orang yang akan memberikan ilmu kepada mereka. Alangkah ruginya, belajar tinggi-tinggi, pangkat teratas sekali, nama jadi sebutan di sana sini, tetapi apabila tiba masa berkomunikasi hancur. Sibuk memuji diri atau bercerita tentang buruk orang lain! Itulah kita sekarang ini! Saya selalu makan hati berulam jantung apabila mendengar orang bercakap sekerat belut sekerat ular.

" You know pelajaran ini important untuk your masa depan"

Cikgu bercakap dengan pelajar! Apakah maknanya ini? Apakah impaknya kepada generasi pada masa akan datang? Tepuk dada tanyalah selera!

Tiada ulasan: